Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

31 August, 2011

Dia


Dia di hari raya
tersenyum ria bergembira
memakai sut melayu lengkap bersongkoknya
aduh! tampan bergaya.

Dia di pagi syawal mulia
mengukir wajah ceria
bersalaman memohon restu ayahbonda
aduh! sejuk hati memandangnya.

Dia anakku istimewa
kasih kulimpahkan padanya
moga bahagia dirimu jua
berayahbonda kami berdua.

CNM, 31/8/11, 15.57 pm



Cintai yang mencinta

Telah tertulis
dalam ketentuan
setiap kejadian ada pasangannya
Adam dan Hawa
siang dan malam
putih dan hitam
panas dan hujan
siapa kamu yang tegar ingin bersendirian
mengejar cinta yang tidak pasti
sedang ada jiwa menyerah cinta abadi
sanggup berkorban hatta nyawanya sekalipun.

Bukankah hidup ini berkonsepkan memberi dan menerima
jika kamu menerima cinta yang suci
dengan penuh jiwa raga
jangan kamu memandangnya sebelah mata
selaminya dalam dalam
kerana penyerahan cinta tanpa keterpaksaan
tak ternilai keabdiannya
hanya kepada kamu akan memperhambakan dirinya
percayalah, banyak sudah teladan
dek kerana mengejar keinginan perasaan
manusia jadi buta mata hati.

Dan sejarah cintanya
disulami air mata derita
tiada bahagia
yang hadir cuma sengsara
terpenjara dalam dunia gerhana
jangan dituruti hati yang lara
cinta bisa membutakan rasa
gagal mengenal intan atau kaca
akhirnya hati dihiris kecewa
terkunci dalam sangkar jiwa
menanggung duka ke hujung nyawa.

CNM, 31/8/11, 15.15 pm

Laut Kasih XXXVIII

Telah aku mencintaimu dinda
dan kapan bila pun aku akan terus mencintaimu
biar hanya sekali hati ini dimiliki
akan selamanya kuserahkan kasih nan abadi
tiada dua tiada tiga tiada gantinya.

Telah aku mengasihimu dinda
dan sampai bila pun aku akan terus mengasihimu
biar hanya satu hati ini menyayangi
akan selamanya kuperhambakan kesetiaan nan suci
tiada tolehan tiada biasan tiada goyahnya.

Laut kasihmu dinda
kaya khazanah karangan cinta
bergemerlapan mutiara kasih sayang
berlimpahan nikmat kemesraan
memberi sejuta kemanisan dalam sejarah hidupku.

CNM, 31/8/11, 11.11 am

ABC

Aku
Berasa
Ceria
Di
Elastika
Fana
Getaran
Hati
Ikut
Jejak
Keterujaan
Lantaran
Mimpi
Nekad
Omelan
Pasrah
'Que'
Rentas
Sebuah
Taman
Unggul
'Violet'
Warnanya
'Xtra'
Yakin
Zahirnya.

CNM, 31/8/11, 9.15 am

Laut Kasih XXXVII

Ketahuilah sayang
kasih sayang dari laut kasihmu
jadikan aku perindu
rindu akan setiap bait bicara
rindu akan setiap bisikan cinta
rindu akan setiap sentuhan manja
rindu akan setiap pelukan hangat membara.

Ketahuilah sayang
kasih sayang dari lautkasihmu itu
jadikan aku lemas dalam takungan cintamu
lemas dalam bicara setiamu
lemas dalam bisikan asmaramu
lemas dalam belaian manjamu
lemas dalam pelukan hangatmu.

Dan aku masih di sini
berdiri di tengah lingkaran laut kasihmu
berdiri di atas teguhnya cinta laut kasihmu
berdiri menjunjung langit laut kasihmu
berdiri menyaksikan bulan dan bintang laut kasihmu
semuanya memberi daku kekuatan
menyayangi dirimu seadanya kamu.

CNM, 31/8/11, 7.50 am

Laut Kasih XXXVI

Biar bibirmu tidak bersuara
melagukan ayat-ayat cinta
namun kutahu dinda
pada helaian suci hatimu
tertulis puisi-puisi cinta indah
yang engkau tuliskan untukku
dan aku bisa membacanya kasih
pada belaian manja ramah mesra
pada hangat nafasmu menyapa dedaun telinga
pada gelora asmaramu yang melingkari dalamnya laut kasihmu.

Andai aku mampu kasih
tidak sedetik pun yang berlalu pergi
kumembiarkan dirimu dalam resah
mendambakan hangat genggaman jemari
memimpinmu ke mahligai bahagia
akan daku cuba sentiasa ada
seperti adanya hela nafasmu
tak terpisah dalam jaga dalam lena
kerana kutahu dinda
diriku dan dirimu saling memerlu.

CNM, 31/8/11, 7.15 am

Laut kasih XXXV

Keindahan purnama
adalah keindahan wajahmu sayang
bagai tidak pernah akan terpadam
menyeri melimpahkan kesetiaan
untuk daku seorang.

Kasih sayangmu
bagai sungai yang mengalir
tidak pernah terhenti
membanjiri sengenap jiwa ragaku
aku bahagia kasih.

Kesetiaanmu dinda
sepertinya putihan pasiran pantai
menunggu dan menunggu ombak
dalam gelora rindu dalam tenang sukma
begitu ampuh laut kasihmu.

Waktu ke waktu
tanpamu
aku tidak bisa senang
setiap detik yang berdetakan
hanya padamu kudambakan sayang.

CNM, 31/8/11, 6.55 am

Malaysiaku!

Pada hari ini 54 tahun lalu
sejarah tercatat
dalam kisah Tanah Melayu
tarikh keramat
tidak mungkin dilupakan
seluruh pejuang kemerdekaan
seluruh warganya yang bencikan bangsa penjajah
maruah tanah tumpah darah terbela
bebas dari cengkaman bangsa asing.

Pada hari ini
bergema lantang merdeka! merdeka! merdeka!
setiap satunya dilaungkan atas rasa bangga
kemenangan berharga
seluruh warga Tanah Melayu
bangsa yang ada bersatu
ingin melihat kesapaduan wawasan
membangunkan negara bangsa
hidup dalam harmoni
aman damai di bumi merdeka.

Malaysiaku!

CNM, 31/8/11, 6.28 am

1 Syawal 1432 H

Hari ini
terasa syahdu
terasa akan kemenangan
melepasi ujian bulan ramadhan
menahan lapar dan dahaga
melawan nafsu sendiri
tekun menunaikan perintah-Nya
tanpa gagal.

Hari ini
terasa sungguh gembira
bersama sanak saudara
menunaikan solat aidilfitri
menziarahi pusara ayahbonda
bersalaman memohon kemaafan sesama
membuka lembaran baru
setapak lagi ke depan dalam fasa kehidupan.

Salam Aidilfitri 1432H
mohon maaf atas silap salahku
kelemahan semua atas kenaifan diri ini
semoga teman teman semua dalam sejahtera
menyambut syawal yang bermakna
bersama keluarga tercinta
abadikan potret nantinya jika ada
buat tatapan semua.

CNM, 1 Syawal 1432 H, 7.00 am

29 August, 2011

Laut Kasih XXXIV

Sayang
di sudut hati ini
tersimpan indah mutiara kasih
yang kutemui di dasar hati laut kasihmu
akan kujaga rapi
agar rona kemilauannya
terus menyinari laman hidupku.

Sayang
di taman hati ini
berbunga kuntuman rindu
yang bertangkai kesetiaan laut kasihmu
akan kubelai selalu
agar harum mewanginya
terus mengharum kamar jiwa ragaku.

CNM, 29/8/11, 11.50 am

Laut Kasih XXXIII

Mengenalimu kasih
satu suratan indah dalam diari hidupku
membuai jiwa raga ke puncak mahligai
menyubur rasa cinta
berbunga pucuk kasih
di tangkai hati ini.

Mencintaimu kasih
satu ketentuan berharga dalam kamus hidupku
tersimpan beribu memori indah
tercipta dari limpahan laut kasihmu
jadikan diriku pengagum dirimu
utusan tak ternilai buat diri ini.

CNM, 29/8/11, 9.47 am

Dipanah Cinta

Andai dirimu menyaksikan
gulungan ombak membiru
langit cerah dihiasi awan putih mengebu
pasiran pantai memutih memukau
pelangi kembar menyeri menghiasi
namun hati rasa tiada bahagia
hilang sirna.

Dalam setiap detik yang belalu
pada ombak gulung menggulung
pada awan gemawan berkepul
pada setiap butiran pasir pantai
pada warna-warna pelangi
hanya terlihat wajahnya
sedarilah kamu telah dipanah cinta.

Itu realiti
hati telah dicuri
raga telah dibeli
jiwa telah ditakluki
jangan biarkan semuanya tergadai
terlepas begitu saja
mengundang air mata.

CNM, 29/8/11, 9.25 am

sejarah cinta tak terucapkan

Andai pintu hati kamu diketuk
lalu terkuak menampakkan senyuman
di bibir cintamu
jangan biar bicara hanya pada hati
ucapkan pada pembuka pintu cinta
agar dia tidak akan berpusing
melangkah pergi dengan sekeping hati
yang hampa tanpa mendengar jawapan
sudinya kamu menyingkap tirai kamar hati
menerima bisikan suci
aku cinta kamu
dalam kerelaan tanpa paksaan
hindari tragedi kegagalan mengungkapkan
sebaris ayat kepastian
yang akan menjadi sejarah cinta tak terucapkan.

CNM, 29/8/11, 8.08 am

Al-Fatihah buat ayahbonda.

Hening pagi
damai terasa
sayu menusuk kalbu
di kampung halaman sendiri
terkenang ayahbonda yang telah berpusara
larayan kenangan berputaran
menerjah bening minda
aku rindu.

Senyap sunyi
burung-burung belum berlagu
seakan mengerti jiwaku
menahan sebak mengasak ke dada
lalu kuhela nafas dalam dalam
memohon agar kesejahteraan
milik ayahbonda
damailah di hujung Ramadhan.

Al-Fatihah buat ayahbonda.

Anakanda NikMie, 29/8/11, 7.03 am

jadi manusia

Di desa ini
aku mula menghirup udara
di teratak kecil beralas tikar mengkuang
berjirankan alam suci menghijau
dididik diasuh atuk ayah bonda
jadi manusia berguna
jadi manusia yang tahu asal usulnya.

Andai atuk ayah bonda
bisa melihat daku
lihatlah hasil didikan kalian
sekurangnya anakanda menabur bakti
mencurah keringat membina insan
jadi manusia berguna pada bangsa negara agama
terima kasih atuk ayah bonda menanam ilmu ke dada.

CNM, 29/8/11, 7.33 am

salam aidilfitri maaf zahir dan batin

Walau;
langkah tak pernah bertemu,
bicara hanya di hujung tinta,
kata suara tak pernah terdengar,
tangan tak bersalaman,
mata tak berpandangan,
bersapa hanya di laman maya,
kata-kata mungkin menghiris rasa,
garapan mungkin merobek jiwa,
nukilan mungkin menyembilu sukma,
izinkan saya menyusun sepuluh jari,
memomohon kemaafan dari teman PBKS,
jika ada kata beracun menusuk kalbu,
salam aidilfitri maaf zahir dan batin.

CNM, 29/8/11, 29 Ramadhan, 6.15 am.

Selamat tinggal Ramadhan

Akan berpisah jua kita
setelah kau bawakan sinar
janji-janji keampunan bersamamu
jadikan berat hatiku berpisah denganmu
entah ketemu lagi
sebelas purnama akan datang
akan kutahan rindu
semoga ada umurku menunggu ketibaanmu
janjiku ..aku pasti menunggu
Selamat tinggal Ramadhan.

CNM, 29/8/11, 5.45 am

Bahasa hati

Bahasa hati
sering kali terpancar pada sinar mata
tidak bisa disembunyi
keruh di hulu akan keruh jua di kuala
terserlah akhirnya.

Bahasa hati
sering kali disalah erti
kerana tiada kata bicara
yang bisa dimengertikan
yang ada cuma riak wajah
diwarnai sepasang sinar mata.

CNM, 28/8/11, 15.46 pm

Kujejak

Kujejaki lagi
tanah tempat kelahiran
terasa sungguh damai
kala memijak bumi bertuah
menjunjung langit yang menjadi saksi
dan aku tidak pernah lupa
dari sini asal usulku.

Walau warganya
yang kukenali satu satu pergi
selagi mampu
akan kujengok kemari
kenangan suka duka meniti dewasa
mengajar aku erti kehidupan
jangan dilupa dari mana kita datang.

CNM, 28/8/11, 13.19 pm

yang lebih indah

Kawan
tiada yang lebih indah
di pagi hari raya
dapat bersalaman dengan orang tua
bermaafan dengan pelukan syahdu
namun apa daya
aku sudah yatim piatu
hanya kenangan lalu bisa dikenangi
hanya air mata dan iringan doa dapat kukirimkan
moga sejahtera ayahbonda di sana.

CNM, 27/8/11, 17.27 PM

Ingat yang tiada

Teman
dalam keseronokan
menyambut syawal yang bakal tiba
jangan dilupa pada yang tiada
mereka juga ingin rasa bahagia
hulurkan seberapa yang ada
kurangkan beban di jiwanya.

Teman
hati ini jadi sayu
mengenangkan mereka yang tiada ayah ibu
pada siapa hendak mengadu
melainkan tetangga yang suci kalbu
hulurkan kata simpati
moga tenang hatinya.

cnm 27/8/11, 10.38

26 August, 2011

Laut Kasih XXXII

Dinda
andaiku mampu
mengumpul karangan dari laut kasihmu
akan kubina istana cinta
buat bernaung memadu asmara kita.

Dinda
andaiku mampu
meraup jutaan buih dari laut kasihmu
akan kubina taman kasih
jadi laman permainan anak-anak kita.

Dinda
andaiku mampu
melebur pasiran pantai dari laut kasihmu
akan kubina takhta kristal
jadi pelamin indah persandingan kita.

CNM, 26/8/11, 19.47 pm

Duhai perantau

Duhai perantau
kala takbir raya bergema
muncullah di pintu hati orang tuamu
selagi mereka masih ada
kembalilah jangan dilupai
kerana tanpa mereka
tidak mungkin takbir itu didengari.

Duhai perantau
andai kamu mampu
bahagiakan hati orang tuamu
kerana nantinya
sampai waktu dan ketika
kamu menunggu kepulangan anak-anak tercinta
sama seperti mereka.

CNM, 26/8/11, 16.30 pm

Laut Kasih XXXI

Andai pintu hatiku
diketuk bidadari dari syurga
akan kujaga
kasih dah sayangku padamu dinda
telah ku serahkan raga ini untukmu
tanpa rasa keterpaksaan yang menekan.

Aku yakin dan pasti
dikaulah jodoh terbaik untukku
akan kujaga amanah yang Esa
mengurniakan seorang hamba yang setia
kurasakan bertuahnya diri ini
merasai limpahan laut kasihmu.

Aku bahagia kasih
dan aku ingin membahagia
akan kucuba waktu ke waktu
jadi insan yang mengerti jiwa dan ragamu
memahami dalam suka duka tawa tangis
kerana kutahu kasihmu seperti juga kasihku.

CNM, 26/8/11, 7.24 am

Kawan

Kawan
apalah ertinya kawan
jika tiada rasa simpati
tenanglah
usir duka di hatimu.

Kawan
apalah ertinya kawan
jika tiada rasa kasihan
bersabarlah
panjatkan doa mohon dari-Nya.

Kawan
apalah ertinya kawan
jika tiada rasa keakraban
bertabahlah
dugaan-Nya sekadar pengujian keimanan.

CNM, 26/8/11, 6.41 am

Laut Kasih XXX

Kasih
kala aku resah
dikaulah jadi penenang
beri kekuatan
menempuh segala yang mendatang
kutahu kerana sifat kasihnya kamu.

Kasih
kala aku berduka
dikaulah jadi penghibur
beri harapan
melepasi segala cabaran
kutahu kerana sifat tenangnya kamu.

Kasih
kala aku bergembira
dikaulah jadi peneman
beri sokongan
menikmati segala keindahan
kutahu kerana sifat setianya kamu.

Kasih
kaulah memberi daku bahagia
dalam susah dalam senang
dalam sedar bawa sedar
kaulah cinta hatiku
selagi bernafas jiwaku berteman laut kasihmu.

CNM, 26/8/11, 6.26 am

Teman

Teman
tidakkah kamu merasa gentar
bila mendengar janji-janji balasan-Nya
dalam ayat-ayat suci
dan ingatlah janji-janji-Nya
tidak pernah didustakan
beruntunglah bagi mereka yang mendapat keredhaan-Nya
mudahan kawan
kita tergolong dalam golongan dirahmati-Nya
dan mendapat syafaat Rasulullah S.A.W
di hari yang tiada berguna segala harta benda dan anak pinak
Subhanallah.

CNM, 26/8/11, 5.47 am

25 August, 2011

Laut Kasih XXIX

Tahukah dikau kasih
inginku habiskan sisa hidup ini
mencintai dan menyangi dirimu
setulus ragaku
kerana kasihmu tak ternilai
yang telah kau serahkan tanpa paksaan.

Tahukah dikau kasih
inginku terus waktu ke wakktu
memuja dan membahagiakan dirimu
sepenuh jiwaku
kerana kesetiaanmu tak pernah goyah
yang telah kau curahkan tanpa ragu.

Duhai kasih
kusyukuri anugerah kecintaan ini
yang terbentang luas saujana mata memandang
tak terjangkau akal menghitung
hebat dan tingginya darjat
cinta yang dilingkari kasih sayang laut kasihmu.

CNM, 25/8/11, 19.13 pm

Laut Kasih XXVIII

Aku jadi tidak peduli
andai tiada siapa memahami
kehendak hatiku
mencurah kasih padamu dinda
kerana kutahu pada dirimu ada selautan kasih
terima kasih sayang
memberi ruang diriku bertakhta di hatimu.

Aku jadi tidak peduli
andai tiada siapa mengerti
keinginan jiwaku
membelai cinta limpahan laut kasihmu
kerana kutahu pada dirimu ada kasih sayang sejati
terima kasih sayang
memberi peluang diriku mengasihi dirimu.

CNM, 25/8/11, 10.34 am

24 August, 2011

Laut Kasih XXVII



Sayangku
aku ingin jadi pasiran pantai
yang dibelai elus ombak laut kasihmu
buih-buih cinta menyuci
kemilauan pasiran putih memantul cahaya mentari
asyiknya.

Sayangku
aku ingin jadi bayu malam
yang melagukan dedaun pesisir laut kasihmu
mendendangkan lagu cinta sucimu
tingkah meningkah irama membelai sanubari
asyiknya.

Sayangku
aku ingin jadi angin laut
yang mengalunkan gelombang laut kasihmu
bergulungan kejar mengejar ke pantai kasih
mendebur kecintaan ke dada labuhan
asyiknya.

CNM, 24/8/11, 22.10 pm

Laut Kasih XXVI

Sore ini
sinaran mentari di ufuk laut kasihmu
menggamit rindu datang membelenggu
layaran kisah silam berputaran di benak kalbu
lalu aku tersenyum kesyahduan
merasa bahagia dalam limpahan kemanisan cintamu.

Sore ini
bila siang berangkat pergi
dan malam menjelma mengganti
aku jadi rindu pada belaian manja asmaramu
seakan membawaku ke alam taklukan laut kasihmu
dan kemaruk kasihmu merantai jiwaku.

CNM, 24/8/11, 19.16 pm

Laut Kasih XXV

Bait-bait kata cinta
yang kuukir dengan pasiran pantai
dibawa arus ke dasar laut kasihmu
lalu jadi benih kasih yang bercambah rindu
mekar pada tangkai karangan cintamu.

Bait-bait kata rindu
yang kupintal dengan buih ombak
dibawa arus ke tengah laut kasihmu
lalu jadi taman indah yang berbunga kasih
menghiasi kepulauan cintamu.

CNM, 24/8/11, 18.46 pm

Laut Kasih XXIV

Dinda
ingin sekali
kanda berbaring di ribaan
memeluk erat pada pinggang
mendengar setiap degup jantung
merasa hangat setiap hela nafas membelai telinga
dan memandang dalam dalam ke anak mata hitammu.

Dinda
biar hati bergetaran
merasakan renungan cintamu
yang menusuk ke segenap nadi jiwa
meracun setiap saraf yang mengalirkan rindu
mengalirkan kasih sayang cinta sucimu
dan laut kasihmu melimpah ruah dengan rasa kecintaan.

CNM, 24/8/11, 16.10 pm

Laut Kasih XXIII

Kasih
kutahu cintamu suci
tiada galang gantinya
mencurah cinta dengan rela
tiada pernah jemu
bak gulungan ombak memuja pantai.

Kasih
kutahu setiamu tegar
tiada gegar goyahnya
mencinta dengan seluruh jiwa raga
tiada pernah berubah
bak banjaran gunung megah berdiri.

Terima kasih dinda
laut kasihmu melimpah cinta kasih sayang
takkan kupersia
dalam susah dalam senang
selangi hayat dikandung badan
selagi nafas belum terhenti.

CNM, 24/8/11, 7.21 am

23 August, 2011

Adakalanya

Adakalanya
rasa kasih yang menggunung
tidak bisa terucapkan dengan kata-kata
hanya mampu dizahir dalam tingkah menyayangi
pernah kamu zahirkan?

Adakalanya
rasa cinta yang membara
tidak bisa dipamer dengan gerak tari
hanya mampu dipuisi dalam bait kata yang indah
pernah kamu puisikan?

Adakalanya
rasa dendam yang mencengkam
tidak bisa dibendung dengan jiwa tenang
hanya mampu dilakar dalam lukisan kecewa
pernah kamu lakarkan?

Kehendak hati
tidak bisa beriringan dengan akal
kerana nafsu jadi dinding kebal
memisah antara
rasional dan ikutan perasaan.

CNM, 23/8/11, 23.44 pm

Laut Kasih XXII

Dari kaki gunung kerinduan
aku menyusuri denai keyakinan
aku menuruni lembah ketabahan
aku merenangi ke muara sungai kesabaran
membawa puing-puing cintaku.

Melewati muara kasihmu
aku enapkan puing-puing cinta
ke dasar laut kasihmu
akhirnya terbina delta cinta yang subur
di sini terbenih dan tumbuh pohon cinta kita.

Pada pohon cinta ini
camar laut kasihmu terbang hinggap
menumpang teduh melepas lelah
dan terbang lagi
menyampai cerita teguh kasih antara kita.

CNM, 23/8/11, 22.04 pm

Laut Kasih XXI

Andaiku mampu menyelami
ke dasar laut kasihmu
akan kukumpul karangan
akan kubina pelantar bermahligai di tengah lautan
jadi medan peraduan kita berdua.

Di sini dalam terang cahaya mentari
kita sama sama berenang
beriringan ditemani hidupan laut
yang menyaksikan cinta antara kita
berpadu menjadi satu teguh menugu.

Di sini dalam gelita kelam malam
kita sama sama berbaring berpegangan tangan
memandang ke langit ditemani bulan dan bintang
yang menyaksikan asmara kita menghangatkan malam
seakan hanya ada permulaan tiada akhiran.

Dinda
luasnya nikmat
dalamnya erti kasih
tingginya darjat kecintaan
yang terbit dari laut kasihmu.

CNM, 23/8/11, 20.30 pm

Fahami kasih dan cintanya

Andai dikau mengetahui
bahawa kasih yang tercurah itu
bagai jiwa raga bercagaran nyawa
nescaya tiada satu garis luka pun
yang sanggup dikau mencakari suci hatinya.

Andai dikau mengerti
bahwa cinta yang ditakhtakan itu
bagai hela nafas yang sentiasa ada
nescaya tiada satu saat pun
yang sanggup dikau menyakiti jiwanya.

Andai dikau memahami
bahawa rindu yang bertamu itu
bagai darah yang sentiasa mengalir
nescaya tiada satu kata bicara pun
yang sanggup dikau menyembilukan dirinya.

Fahami kasih dan cintanya
bukan mainan yang bisa dijual beli
bukan barangan yang bisa dicari ganti
bukan dongengan yang bisa dilupai
semuanya hanya ada pada cinta sejati.

Mengertikah?
CNM, 23/8/11, 19.00 pm

Laut Kasih XX

Seluruh isi laut kasihmu
biar jadi saksi
sehebat mana gelora membadai
memukul aku ke pesisiran pantai
tetap kugagahi jua
melayari lambungan ombak
kerana kuingin sampai ke labuhan laut kasihmu.

Menempuh gelombang
angkara taufan laut kasihmu
dalam terang siang yang berbahang
dalam gelita malam yang membeku
tidak bisa melemaskan sekujur kasihku
akan kuharungi jua walau tergadai nyawa
kerana cintaku ada di labuhan laut kasihmu.

CNM, 23/8/11, 17.11 pm

Laut Kasih XIX

Sepertinya nelayan
tidak mampu berpisah dengan laut
begitulah diriku
dari waktu ke waktu
merindu keasyikkan panorama laut kasihmu
angin badai, hujan gerimis, awan gemawan
silih berganti tak terhenti
mewarnai kanvas hatiku.

Sepertinya pelukis
tidak mampu berpisah dengan lukisannya
begitulah diriku
dari waktu ke waktu
merindu keajaiban malam
dihiasi bulan dan bintang di langit laut kasihmu
bergemerlapan menyeri
mewarnai lembaran sanubariku.

CNM, 23/8/11, 16.41 pm

22 August, 2011

Kata Hati

Apa yang kugarapkan
apa yang kupuisikan
apa yang kucoretkan
dalam bait-bait kata tanpa suara
terbit hari liang-liang keikhlasan hati.

Tarian jemarian ini
menuruti akal yang berfungsi
memelodikan lenggok
mengetuk papan kekunci
jadi ayat-ayat yang bererti.

Akan aku terus begini
kerana hati ini telah memberi
separuh dari inginannya
meneliti indah bait-bait puisi
teman-teman yang dikasihi.

CNM, 21/8/11, 23.42 pm

Laut Kasih XVIII

Alunan ombak laut kasihmu
gemersik iramanya
mendendang lagu ke telinga sukmaku
menghilang titik-titik duka lara
bertandang ketenangan tanpa sangka.

Kilauan bayang-bayang ombak laut kasihmu
seakan cerminan wajah setia yang kudambakan
memikat sanubari menyedari harga kasih
yang tercurah bertali arus
dari kekayaan laut kasihmu.

Betapa
laut kasihmu jadi penyubur
memperteguh rasa cinta
tanpa paksa
kepadamu dinda.

CNM, 21/8/11, 23.13 pm

Pejuang bangsa merdeka

Sejarah tidak pernah berdusta
mencatat cerita penuh sengsara
satu-satu perginya pejuang bangsa
Tok Janggut, Mat Kilau, Maharajalela
dan beratus lagi gugur dengan tumpah darah
darah yang mengalir demi cinta tanah air
biar hilang nyawa demi bangsa terbela.

Terima kasih
pejuang-pejuang bangsa
mewariskan tanah bangsa yang merdeka
semoga gugur kalian atas nama syahid
terus memperjuangkan slogan TUAH
takkan Melayu hilang di dunia
dan bangsaku bangsa yang merdeka.

CNM, 21/8/11, 21.07 pm

Senja ini

Senja ini
hati bagai digembur
merona warna merah saga
wangi bagai haruman mawar
manis bagai senyuman bermadu
dan lengkung bibir ini meleretkan sebuah senyuman
tanda bunga-bunga bahagia berputik mekar
menghiasi indah taman hati
menghijau jadi redupan pada mata memandang
tiada gurisan pada layar kehidupan
Alhamdulillah.

CNM, 21/8/11, 19.15 pm

Laut Kasih XVII

Deburan ombak laut kasihmu
membelai pantai hatiku
membasahi pasiran asmara
membenih bunga rindu
mekar di tangkai kalbu
jadi wangian mengharum kamar cintaku.

Desiran bayu laut kasihmu
mengusap elus pipi jiwaku
merona warna pelangi menghiasi
memancar nur kasih
bercahaya bergemerlapan
menerangi kamar rinduku.

Dinda
laut kasihmu
melimpah asmara cinta
meniup mesra angin bahagia
teruja aku dalam kemaruk cintamu
rahmat dan nikmat laut kasihmu.

CNM, 21/8/11, 19.02 pm

Bicara hatiku

Pada awan yang memutih
kubisikkan salam rindu
sampaikan kepada sang ratu hati
aku jadi rindu-serindunya
dalam jaga dan dalam mimpi.

Pada angin yang mendingin
kubisikkan kata cinta
sampaikan kepada sang ratu yang bertahta
aku jadi resah dan gelisah
tanpa mendengar sebaris bicara.

Pada hujan yang mencurah
kubisikkan rasa cinta
sampaikan kepada sang ratu yang manja
aku mencurah kasih setia
hanya padanya aku mendamba.

Aku cinta
Aku rindu
kepadamu dinda.
CNM, 21/8/11, 15.50 pm

Sayangnya dia

Atas nama kecintaannya
diadakan apa jua kehendak
dari sekecil-kecil permintaan
hingga ke sebesar-besar keinginan
sayangnya dia.

Atas nama kasihnya
dituruti segala tingkah laku
agar benih kasih sayang
terus tumbuh subur di taman jiwa
sayangnya dia.

Atas nama rindunya
dibawa ke mana saja
potret menawan sebuah wajah
akan terubat rindu dendamnya
sayangnya dia.

Atas nama setia
dipegang janji-janji yang terucap
tiada yang lain mampu menyinggah
hanya ratu hatinya yang bertahta
sayangnya dia.

Dia itu suami
yang kemaruk cinta isterinya
kerana setia dan serahan jiwa raga
dalam susah senang
tanpa banyak bicara
tanpa onar yang sengaja.

Berbahagialah ke akhirnya.

CNM, 21/8/11, 15.27 pm

21 August, 2011

tanpa gagal

Sehingga hari ini
andai kita masih bernafas
tentu sekali
dikurniakan percuma
syukur alhamdulillah
dan
sudahkah kita
menegak syariat-Nya
meninggalkan larangan-Nya
mengamalkan segala suruhan-Nya
tanpa gagal
seperti-Nya memberi nafas tanpa gagal.

CNM, 21/8/11, 9.22 am

Kamu tidak mahu?

Ramadhan akan meneruskan perjalanannya
melabuhkan layar dan berangkat pergi
sebulan bertamu membawa khabar gembira
keampunan Ilahi yang dijanjikan-Nya
usah terlalu dibuai indah jelmaan syawal
masih perlu dihidupkan malam malam akhirnya
mencari suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan
andai takdir malam itu jadi milik sesiapa
itulah kemenangan yang sebenarnya
dan syawal jadi lebih bermakna

Kamu tidak mahu?

CNM, 21/8/11, 8.27 am

Anak



Anak-anak itu
ada hatinya yang perlu dijaga
ada perasaannya yang perlu dibaca
ada kehendaknya yang perlu ditanya
ada citarasanya yang perlu dibela
kerana mereka sebahagian dari kita
datangnya dari rasa cinta dua jiwa
dalam satu kesepaduan asmara yang suci
dengarkan
berikan mereka peluang
mengecapi rasa indah tautan cinta itu
bukan disakiti
bukan diketepi
jadi patung yang tiada hati
kita yang dewasa jadilah lebih mengerti
anak-anak anugerah tak ternilai
satu amanah
jadi harta dunia dan akhirat.

CNM, 21/8/11, 8.00 am


Malaysiaku.

Telah berlalu suatu zaman
dicengkam kuku-kuku tajam
memecah belah se Tanah Melayu
merobek luka hati-hati anak watan
dari zaman Portugis hingga zaman British
telah dikikis segala khazanah
dan kekal meninggalkan parut luka yang dalam
namun
bangsa yang ada di sini
mampu bertahan
membangunkan semula
di atas sisa-sisa jarahan penjajah
dengan satu nama satu wawasan
Malaysiaku.

CNM, 21/8/11, 5.45 am

aku bukan lagi muda

aku ingin terus berlari
sepertinya waktu-waktu keremajaanku
namun hanya hati yang meluap-luap
sedangkan telah hadir putihan ke rambutku
apa maknanya kalau bukan usia telah menuju senja
kuterima hakikat fizikal tidak upaya lagi
bergerak seligat anak muda
banyak sudah gerak yang terbatas
ingatan kian mengendur
kudrat kian melesu
mata kian kabur
dan aku tahu aku bukan lagi muda.

CNM, 20/8/11, 23.59 pm

mengapa tidak menyeluruh?

di sebahagian dunia
hujan mencurah bagai bertahun dilanda kemarau
di sebahagian dunia
bumi kekeringan bagai bertahun menanti setitis hujan
di sebahagian sudut hati
tersiat dek tingkah yang menyembilu luka
di sebahagian sudut hati
ketabahan menerima takdir ketentuan-Nya.

mengapa tidak menyeluruh?

CNM, 20/8/11, 23.31 pm

20 August, 2011

daerah yang hijau

Aku di daerah yang hijaunya masih membaluti
kedinginan menyelubungi dari waktu ke waktu
embun di hujung dedaun menitis suci
membasahi bumi menyubur rerumput yang melata
menghijau kedamaian lalu ketenangan bertamu
membawa aku jauh dari hiruk pikuk kota
yang penuh dengan asap jerebu noda nista
ketenangan yang tergadai dek kerakusan
pincangnya pengurusan warga di sana
sedar, namun tak bisa berbuat apa-apa
kalah dengan tuntutan semasa
tunggulah natijahnya.

CNM, 20/8/11, 10.30 am

CNM, 20/8/11, 10.30 am

19 August, 2011

Malam yang gebu

Malam yang gebu
dihiasi purnama yang dirindu
menerangi langit tanpa awan kelabu
dilingkari bintang beribu
memukau seisi alam terpaku
indahnya kejadian alam ciptaan-Mu
tiada tandingan Ya Tuhanku.

CNM, 19/8/11, 21.24 pm

18 August, 2011

Kata-kata

Kata-kata yang indah bak pelangi
boleh jadi seperti
air yang bercucuran ke daun keladi
dan bertetesan ke bumi gersang
tidak memberi makna.

Kata-kata yang tajam bak sembilu
boleh jadi seperti
sebutir permata dalam timbunan pasir
berkilauan menyeri memukau pandangan
penuh bermakna.

CNM, 18/8/11, 18.46 pm

garisan penamat

Tidakkah kamu merasakan
larian kamu sudah ke penghujung
melepasi garisan penamat di alam fana ini.

Teman
sedar atau tidak
garisan itu kian menghampiri.

Sama-sama kita
saling mengingati
yang pergi tak akan kembali.

Semoga beroleh
kesejahteraan
hakiki.

CNM, 18/8/11, 16.14 pm

Hati-hati


Telah banyak sudah
cerita yang kudengar
kisah yang kubaca
kejadian yang kuperhatikan
ketenangan, kesabaran, kematangan
jadi aset menyelamatkan
usah terlalu mengikut kata hati dan perasaan
kerana ia bisa memusnahkan diri sendiri
jangan jadi buta
buta hati buta mata
setiap apa yang terjadi
pasti ada hikmah yang menanti
kekalutan mengundang tragedi
hati-hati.

CNM, 18/8/11, 15.07 pm

17 August, 2011

Kuntuman rindu

Kuntuman rindu yang mekar di tangkai hati
mengharumkan semerbak wangian kasih
memenuhi segenap kamar sukma
mengalirkan getaran mengukir senyuman
memperindah rupa wajah
seakan purnama yang sarat
mengembang berseri
menyuluh sinar cahaya terang benderang
mengusir bayangan duka
dari sebuah jiwa.

kamu bagaimana?

CNM, 17/8/11, 21.19 pm

Pada hari ini

Pada hari ini
diperturunkan ayat-ayat suci
jadi panduan dan pedoman ke jalan kebenaran
dan ayat yang pertama
menyeru kita membaca
bacalah dengan mata hati
selami yang tersurat mahu pun yang tersirat
telah diingatkan Junjungan Besar Rasulullah
tidak akan kamu sesat
andai berpegang teguh pada dua perkara
Al-Quran dan As-Sunnah
InsyaAllah.

CNM, 17/8/11, 10.36 am

16 August, 2011

Pernah kamu jumpa?

Dia datang
dengan sendu
dengan sedu sedan
air mata berjuraian membasahi pipi
seraya memohon pertolongan
maka diberikan nasihat
sayang sekali
masuk telinga kanan
keluar telinga kiri.

Pernah kamu jumpa?
burukkan!
dan kamu jangan begitu.

CNM, 16/8/11, 23.22 pm

Cinta

Cinta tidak luar biasa
hadir tak terduga
datang tak dipinta
meresap bawah sedar dalam jiwa
berbunga sukma yang merasa bahananya.

Cinta jadi luar biasa
jika pemainnya jadi buta
gagal mengenal antara intan atau kaca
setelah tercucuk sembilu cinta dusta
baru terbeliak biji mata.

jangan main dengan cinta!

CNM, 16/8/11, 17,59 pm

Dapat kamu rasa

Setelah kedinginan dalam hawa yang membeku
ketika keluar mempamerkan diri pada hangat mentari
aku nikmati akan rasa saat itu
dapat kamu rasa seperti aku rasa?

Setelah bermandi peluh dalam hangat mentari yang membakar

ketika di bawah pancuran dingin air mandian
aku nikmati akan rasa saat itu
dapat kamu rasa seperti aku rasa?

CNM, 16/8/11, 16.30 pm

kesunyian pagi

Ketikanya kesunyian pagi
embun masih suci
berbisik sanubari
damainya hati
dikurnia Ilahi
masa dan waktu sehari lagi
menikmati
indahnya alam ini
memupuk kasih sayang tak bertepi
mengejar impian yang hakiki
mencari keredhaan Ilahi
syukur Ya Rabbi.

CNM, 16/8/11, 6.38 am

Bahasa rajuk

Diam tak ingin berbicara
tiba tiba berubah emosi rasa
riuh jadi sepi
senyuman jadi kelat basi
sepatah pertanyaan
sepatah jawapan
perut lapar
dikata tak lapar.

Jika disoal
yang terpancul tiada apa apa hal
namun jauh ke dasar lubuk hati
hirisan pilu memancarkan sendu sanubari
ingin dipujuk rayu
bagai kanak-kanak tidak mendapat yang dihajati lagaknya itu
marah marah mahu
tak malu.

kamu tahu?

CNM, 14/8/11, 23.57 pm

Naluri hati

Naluri hati
jangan dipandang ringan
ianya datang dari kata hati
yang paling luhur dan mulus.

dengarkan
hayati sedalam dalam
kerana apa apa yang akan terjadi
nantinya tidak menjadi sejarah duka.

faham ke?

CNM, 14/8/11, 23.35 pm

Marah itu api

Marah itu api
api itu membakar.

bukan hanya satu hati yang terbakar
orang di sekeliling juga turut terbakar.

lebih baik berdiam
diam tidak bermakna kalah
hanya tindakan cakna meredakan isu.

yang bersalah akan sedar di pengahkhirannya
nah! saat itu kamu basuh cukup cukup.

boleh gitewww?
CNM, 14/8/11, 23.07

14 August, 2011

Selongkar rasa

Andai ketenangan di permukaan tasik hati
dizahirkan dengan senyuman bermadu
jangan dikata tiada gelora di dasaran
selami sedalam dalamnya
lihat yang tersembunyi
di balik batu batu kepalsuan
dan pastikan tiada kekeliruan dek olak-olak wajah.

belajar menyelongkar rasa!

CNM, 14/8/11, 18.59 pm

Cerminkan diri

Sebelum jendela kamar cintamu dibuka
singkap tirai cermin diri
tilik akan rupa wajah
adakah setanding sang pujaan
agar penyerahan jiwa dan raga
berbalas tanpa rasa keterpaksaan
atau atas dasar simpati
dan tiada jiwa yang terluka
rasa terhina.

ngerti?

CNM, 14/8/11, 18.45 pm

Beri Peluang Ke Dua

Jika diteliti
dan cuba dimengerti
sebagai hamba yang sering alpa
pasti ada ketergelinciran yang melukakan
dalam sedar atau bawah sedar
kesilapan pernah tercatat.

Dan jika telah hadir
sebuah keinsafan yang ikhlas
tanpa melanggar janji-janjinya
kembali kepada syariat
tanpa gagal meninggalkan larangan-Nya
tanpa gagal menunaikan perintah-Nya.

Harus
diberikan peluang ke dua
bukan begitu?

CNM, 14/8/11, 17.07 pm

Hati perlu terima

Sering kali ditemui
kerana keegoan yang melampau
diri sendiri jadi mangsa kedegilan hati
merana dalam diam
memendam perasaan
yang bertelingkah dengan kemahuan.

Jadilah insan yang berjiwa matang
hal-hal yang merugikan
buang jauh jauh
ke tengah lautan keikhlasan
kecapi bahagia yang diharapkan
kerana di sana belum tentu ada bahagia.

Bukankah?
kemaafan itu dendam yang terindah
usah dijunjung kemarahan
usah dipanjangkan rajuk murahan
sesalan di awalan
pasti membuah kesejahteraan.

cuba kamu renungkan!

CNM, 14/8/11, 15.42 pm

Pasti

Pagi,
petang,
siang,
malam,
silih berganti,
dan kita masih bernafas,
diberi peluang,
mencari keredhaan-Nya,
mengumpul sebanyak-banyak amal kebajikan,
buat bekalan ke alam abadi,
dan ingatlah teman itu pasti terjadi,
kerana janji-janji-Nya tidak didustakan.

CNM, 14/8/11, 11.06 pm

Pernahkah?

Pernahkah?

Hati dan perasaan kamu tidak seiringan
tidak sehaluan keinginannya
perasaan cukup membenci
nak memandang pun tak upaya
namun di dasar hati
masih tersisa rasa kasih dan sayang
perang gelora rasa
hanya kerana cucukan sembilu kata
yang meninggalkan parut luka
tak terawat hanya dengan ucapan kemaafan
ia jadi dendam yang parah membarah
hanya masa menentukan penamatnya
bahagia atau derita.

CNM, 13/8/11, 21.51 pm

13 August, 2011

Berbanggalah

Kepayahan yang ditelan
jadikan pembakar semangat juang
bukan racun yang melemahkan sendi keazaman
yang memusnahkan segalam iltizam
berenang dan terus berenang
walau perlu menongkah arus
demi sebuah pegangan
dari pewaris kemerdekaan.

Mereka itu contoh teladan
berjuang demi bangsa yang bebas
menentukan hala taju sendiri
membangun tanpa diikat mentalnya
memilih jalan terbaik demi maruah negara
dan tiada titisan darah yang mengalir
mengotori jalan perjuangan
tidakkah kamu merasa bangga wahai anak merdeka?

CNM, 13/8/11, 10.32 am

Bahasa Cinta

Bukan pada hebatnya bicara
bait-bait romantis sang arjuna
bahasa cinta ada pada ikhlasnya sukma
menyerah jiwa dan raga
memuja kasih yang ditahta
berkorba apa saja
masa dan tenaga
air mata
umpat cerca
tiada bermakna
yang dijaga hanya cinta yang tak berbahasa
diredhai yang Esa.

Mengertikah kamu semua?

CNM, 13/8/11, 5.19 am

12 August, 2011

Senyuman senja

Senyuman senja yang hambar
hanya mengundang kaku
tidak bisa meraih simpati hati
dan malam yang tiba
menjengah dengan rupa wajah hiba
terpilu dengan insan-insan
yang tiada lagi rasa malu
tiada rasa malu kepada diri
tiada rasa malu kepada Tuhan
tidak berpuasa di bulan Ramadhan.

Ya Rabbi kurniakan nur keimanan kepada mereka.

CNM, 12/8/11, 19.14 pm

Pohon jadi gemulah

Pohon yang tersungkur
mencium ke lantai bumi
akan perlahan melayu dengan redha
kerana berakhir sudah riwayat
akan kembali kepada tanah
menyubur pepohon baru
yang akan tiba saat dan ketikanya
rebah tersembam
kaku.

CNM, 12/8/11, 18.50 pm

Pembelit

Yang terbelit
akan memutar belit
harapannya moga dia terlepas dari belitan ciptaan sendiri
bila dah terbelit putar belitnya semakin berbelit
mengheret sama orang lain dalam putar belit
ada juga manusia begini yang kerjanya membelit
sudahnya terbelit hingga tak mampu membelit lagi.

CNM, 12/8/11, 14.32 pm

lereng kesesatan

Jalan-jalan berliku di lereng kesesatan
bisa menjerumuskan ke gaung kehinaan
pendakian yang bijak bisa mengatur langkah
derapan yang pantas tidak menjamin sampai ke puncak
lenggang yang berimbangan mungkin menyelamatkan
pandai-pandailah merancang perjalanan.

Selamat berjaya!

CNM, 11/8/11, 22.31 pm

11 August, 2011

Boleh jadi apa saja

Cinta boleh jadi api
membakar hancur dedaun kasih
menjadi debu mengotori nafas rindu
ditiup angin berterbangan ke hujung alam
hilang bersama terbenam sinar mentari senja.

Cinta boleh jadi air
mendingin damai wajah asmara
menjadi rencah ketenangan sukma
berputik kuntuman kasih sayang insan
mekar jambangan silaturahim menyatu dua jiwa.

Cinta boleh jadi racun
cinta boleh jadi penawar
cinta boleh jadi apa saja
hanya yang tahu nilai cinta
merangkul kejap dalam dakapan kesyukuran.

Cintai Pencipta lebih dari mahkluk-Nya..boleh begitu?

CNM, 10/8/11, 22.00 pm

Rayakan kemenangan

Dalam kekalutan
menanti tibanya syawal
tanda hari kemenangan bagi yang berpuasa
jangan dilupakan
tarikh keramat 31 Ogos
Tunku melaungkan kemerdekaan bangsa dan negara
tanda bebasnya kita dari cengkaman penjajah
bangsa yang menindas demi kepentingan diri
dan kini
cukup bermakna andai kita bersama mengenang
sejarah yang tak mungkin terpadam
bebas merdeka.

CNM, 10/8/11, 17.31 pm

10 August, 2011

Hatinya bukan untukmu

Duhai pemabuk cinta
sedar dan terima
andai hatinya bukan untukmu
lepaskan dia pergi mengejar cintanya
takkan mampu kau menawan cintanya
berbahagialah dengan merelakan
cukup sekadar dia tahu
cintamu suci
dan cintamu tidak upaya memiliki.

dengarlah pemabuk cinta!

CNM, 10/8/11, 16.16 pm

Wanita Melayu

Wanita Melayu itu
yang menyusun bait katanya
yang mengatur tempuh langkahnya
yang menjaga sopan lenggoknya
yang tinggi budi pekertinya.

Wanita Melayu itu ..engkaukah?
yang punya semangat waja
yang punya kekuatan daya juang
yang punya sopan tutur kata
yang punya adab tertib bicara.

Wanita Melayu itu..engkaukah?
yang menjaga maruah keluarga
yang menjaga warisan bangsa
yang mendukung wawasan negara
yang menegak syariat Allah.

Engkaukah?

CNM, 10/8/11, 15.34pm

teman

teman
lakonan yang sedang kita lakonan ini
sama ada diredha atau dimurka Tuhan
barangkali kita sedari
atau barangkali tidak disedari
akan dirakamkan
nah! satu masa kita akan dipertontonkan lakonan itu.

tidakkah kamu mahu beringat?

CNM, 10/8/11, 14.38 pm

09 August, 2011

Bakpo?

Sebelum muncul pelangi
menghiasi dada langit sebuah hubungan
selalunya ada
awan kelabu yang menyelubungi
ribut petir yang sambar menyambar
hujan gerimis yang mendingin beku
air mata yang bercucuran laju
lengkung bibir tak bermadu
senyuman jadi tawar.

kenapa?

CNM, 9/8/11, 22.08 pm

Pawang Cinta

dialah yang menabur racun
dalam rasa cinta yang mula tumbuh
menyucuk bisa dalam setiap sendi rindu
membenam rasa kasih yang mula bernafas.

dialah yang menjadi penawar
menyubur rasa cinta yang layu sebelum waktu
menyuntik semangat kasih yang membara
menyala jadi unggun cinta yang menerangi derita.

dialah yang didamba
dalam benci
dalam curahan kasih sayang.

CNM, 9/8/11, 20.10 pm

08 August, 2011

Tempuhi

Ke hujung dunia sekali pun kamu berlari
masalah tetap mengejar langkah kamu
kecuali kamu berhenti
dan menghadapinya
dengan semangat kental
yang dipintal dari tali pengalaman
jadi perisai ampuh
menangkis halangan yang menerjah
dan meninggalkannya
tanpa menoleh lagi ke belakang
menjunjung langit biru diwarnai pelangi.

CNM, 8/8/11, 21.41 pm

07 August, 2011

haru!

Dia bukan bisu
dia kelu
tak terkata walau dimahu
kerana getar yang mengegar dada kalbu
lidah membatu
bibir membeku
suara terbuku
dalam minda yang sendu.

haru!

CNM, 7/8/11, 22.50 pm

setiap sinar mata

Pada setiap sinar mata
renungkan dalam dalam
ada sebuah catatan tersimpan
mengertikan setiap garis cahaya
yang terpancar darinya
moga dari situ bisa dimengerti
hasrat yang tak terucapkan
tersimpan dalam kata yang bisu.

kamu perlu tahu!

CNM, 7/8/11, 22.27 pm

ada mungkin?

Dan ketika lena yang dibuai mimpi indah
begitu sukar sekali ingin keluar dari ruang bawah sedar
merasakan begitu selesa
barangkali damai juga
begitulah agaknya
jika sudah dalam kamar noda
tak akan dengan mudah keluar darinya
kecuali kunci yang tersimpan dalam diri
disuluh nur keinsafan.

ada mungkin?

CNM, 7/8/11, 19.16 pm

Luar dalam

Jangan dilihat pada pudarnya kulit luar
jika kamu berusaha mengupas
pasti kamu temui
isi yang baik.

Jangan ingat yang berkilat itu sempurna
jika kamu meneliti ke dalam
pasti kamu temui
kecacatan yang disembunyi.

kau terfikir?

CNM, 7/8/11, 17.46

06 August, 2011

Asam Pedas Gula Melaka

Catatan insan yang bersemangat tinggi
punyai kekuatan dalam diri
mencapai impian yang dihajati
walau seringkali disalah erti.

Setelah membaca catatan memori
saya mendapat pengajaran yang bererti
melaksanakan tugas harus sepenuh hati
bukan hanya sekadar menerima gaji.

Bijak merancang jadi intipati
bidang tugas harus laksana dengan teliti
kaji kelemahan dan kelebihan diri
hasilnya pasti berkualiti.

Catatan ini sungguh memotivasi
dari kisah suka duka beliau sendiri
menangani murid, ibubapa, guru dan keluarga sendiri
jadi contoh dan aspirasi memajukan diri.

CNM, 6/8/11, 17.27 pm

Kemaafan dendam yang terindah.



Mampukah luka sedalam-dalam
ditimbus hanya dengan sepatah salam mohon kemaafan
sedang darah kesakitan mengalir membuak-buak
menakungi segenap lurah jiwa
bernanah membarah jadi api dendam
yang pasti parutnya kekal ke hujung nyawa
namun sepatah kata kemaafan yang terucapkan
pada lenkung ulas bibir tak bermadu
diyakini jadi kata dendam yang terindah.

CNM, 6/8/11, 16.18 pm

kekasih yang rindu



Rindu yang bertandang
adakah bisa mereda kepiluan
yang seakan tiada penghujungnya
dalam penantian tanpa setitis kepastian
hanya harapan dan anganan menenami sayu
air mata sendu tak kira lagi bercucuran menitis laju
mengharapkan rindu terubatkan dengan sebuah pertemuan
dambakan walau sesaat pertautan empat sinar mata kerinduan
yang bisa meleraikan rasa terpisah dek gelora lautan kasih tak berketepian.

begitukah dua insan yang memendam rasa?

CNM, 6/8/11, 9.18 am

Gelora rasa

Gelora rasa yang terendam dalam tasik hati
bisa melonjak bagai todak menerjah
menikam luka mengalir darah
menitis merecik ke dinding jiwa
hancur berkecai sebuah ketenangan.

Kenapa?

CNM, 5/8/11, 16.48 pm

Hujan yang mencurah

Hujan yang mencurah
bagai mengerti akan kehausan bumi
dahaga titis-titis suci menyejuk
membawa dingin akan sekalian isi alam
Ya Rabbi
rahmat-Mu melimpah ruah
tak terhintung akal
syukur alhamdulillah
sungguh mulus tadbiran-Mu
Maha Suci Engkau Pencipta Agung.

CNM, 4/8/11, 18.09 pm

04 August, 2011

Jangan biar

Jangan biar dia lapar
kerana takkan mampu dia berkerja
jadi lemah
jadi lembap
dan segala macam sifat yang negatif
kenyangkan dia
bagi dia cukup makan
bagi dia cukup rehat
InsyaAllah minda waras.

CNM, 4/8/11, 17.08 pm

Kemanisan


Yang berkasih!
Mahu kamu tahu kemanisan cinta?
ia bukan pada sumpah janji setia
ia bukan pada indahnya kata-kata
ia bukan pada indahnya rupa wajah
kemanisan cinta
ada pada kejujuran mengasih
ada pada kejujuran memberi kasih
umpamanya pantai
yang mengasihi deburan ombak
walau elus walau membadai
dirangkulnya penuh rela.

CNM, 4/8/11, 15.11 pm

mengapa harus begini?

Pernah saya terjumpa
kerenah anak-anak zaman kini
ibubapa cukup baik
dan menaruh harapan yang tinggi
anak-anak jadi orang yang berguna.

Namun harapan seakan tinggal harapan
bila anak bersikap pijak semut tak mati
di depan mata dialah anak solehah
di belakang dialah duri dalam daging
merosakkan diri sendiri.

mengapa harus begini?

CNM, 4/8/11, 14.06 pm

Jaga Nama

Junjunglah nama ini sehingga terhenti nafas
kerana yang memilih kita sendiri
jika tiada secebis rasa mencintai tugas ini
adalah lebih baik mengundur diri
kerana tingginya harapan
ya! harapan orang tua mereka
agar anak-anak terdidik
di bahu kita tergalas amanah ini.

Dan kita juga pasti punyai anak sendiri
pada siapa harapan mendidik anak ini
tentu pada rakan pendidik jua
jadi beramanahlah melaksanakan amanah
agar anak-anak sendiri
terdidik oleh guru-guru yang amanah
yang tahu akan besar harapan orang tuanya
InsyaAllah teman.

CNM, 4/8/11, 13.53 pm

03 August, 2011

dengan redha

Setiap degupan jantung
dan setiap helaan nafas yang berlalu
ada harga yang perlu dibayar
dengan redha
mentaati segala suruhan-Nya
dan meninggalkan segala larangan-Nya
tanpa gagal.

CNM, 3/8/11, 14.20 pm

Jika takdir

Jika takdir datang seperti kehendakmu
maka bersyukurlah atas kurnia-Nya
rahmat dan nikmat.

Jika takdir datang tidak seperti dambaanmu
maka bersabarlah atas ujian-Nya
dugaan dan cabaran.

Bagitulah roda kehidupan
suka duka silih berganti
sebelum kita pergi
ketemu Ilahi.

CNM, 3/8/11, 6.43 am

Dia yang maha mengetahui

Dan Dia maha mengetahui
yang nyata mahupun yang tersembunyi
kerana kita datang dari-Nya
dan kepada Dia juga kita akan kembali
hanya Dia yang mampu memberikan pertolongan
dari arah yang tidak kita sangka-sangka
kembalilah mentaati Sang Pencipta
dalam susah dan dalam senang
kerana takdir terlalu misteri untuk dikesali
selebihnya lebih baik belajar meredhai
pasrah kepada Ilahi.

CNM, 3/8/11, 5.11 am

02 August, 2011

tiada hadnya.

Saat yang tidak kita tunggu
akan tiba jua
seharusnya bersedia
lipat gandakan amalan mulia
lebih-lebih di bulan puasa
janji yang Esa
pahala tiada hadnya.

CNM, 2/8/11, 19.01 pm

Jadi dewasa seiring usia!

Apa pun yang kamu rasa
tidak seharusnya mengaburi iman di dada
jaga tingkah
jaga kata-kata
jangan ikut rasa yang membawa binasa
kesabaran yang termulia.

Jadi dewasa seiring usia!

CNM, 2/8/11, 18.26 pm

Teruskan

Teruskan kembara kali ini
dengan semangat padu
usah leka dan alpa lagi
seruan Ilahi tidak harus rasa membelenggu
sesungguhnya ada kebajikan
yang tak terfikir menanti
InsyaAllah teman.

CNM, 2/8/11, 6.45 am

01 August, 2011

Kesepaduan hati

Di rumah-Mu
jelas kesepaduan hati
hamba-hamba-Mu tunduk menyerah diri
memanjat doa memohon keampunan
pada bulan yang Engkau janjikan penuh keberkatan
Ya Rahman Ya Rahim
syukur masih berkesempatan bersama
ramadhan kali ini.

CNM, 1/8/11, 22.16 pm

Perjalanan

Perjalanan yang seketika ini
tidak terkecuali menyusuri lorong yang sempit
yang penuh dengan onak dan duri
yang bisa mengoyakkan iman.

Menempoh selekoh yang membawa selingkuh
godaan yang menarik-narik nafsu kemungkaran
terjebak dalam kesesatan mengadai ketakwaan
tidak mungkin hanya satu landasan lurus.

Pada Ramadhan penuh barakah
mohonlah keredhaan Ilahi
agar dianugerahkan nur keimanan
meningkatkan ketakwaan.

CNM, 1/8/11, 11.34 am

Berikan

Berikan sedikit waktumu
untuk tigapuluh hari mendatang
dalam sepurnama ini
untuk menambah sedikit bekalan kebajikan
apabila kembali menemui Sang Pencipta
moga ditakdirkan kita umat yang tidak kerugian.

CNM, 31/7/11, 22.36 pm

Sesudah kepahitan

Sesudah kepahitan
pasti ada kemanisan
yakini ketentuan Ilahi hanya menguji
kesabaran kunci kebahagiaan
simpan sebagai teman di kala kesusahan
syukuri di kala kelapangan.

Ramadhan yang tiba
membawa seribu rahmat
rangkullah ke pelukkanmu.

CNM, 31/7/11, 14.28 pm