Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

26 June, 2012

Laut Kasih 148

saat senja bertamu
hati bertambah rindu
akan cumbu dan rayumu.

saat senja mengufuk
hati semakin dirasuk
indah gurau dan rajukmu.

saat senja melambai
hati kian terbelai
kasih mesramu yang membuai.

Laut kasihmu menggebu di kala senja.

CNM, 26/6/12, 7.15pm
THMK

senja merenjis warna

senja yang merenjis warna
seakan dapat meneka
jiwa yang sedang merona
sebuah kisah cinta
aku dan dia.

senja yang merenjis warna
seperti dapat menduga
sukma yang sedang bergelora
menanggung rindu asmara
aku dan dia.

senja yang merenjis warna
seringkali dapat merasa
naluri lelaki yang kupunya
sering memelodikan nada bahagia
aku dan dia.

CNM, 26/6/12, 6.51pm
THMK

Laut Kasih 147

kuutuskan doa
dalam jaga dalam lena
kupohon moga dikurnia Yang Esa
limpahan laut kasihmu yang berpanjangan
tiada tepian tiada akhiran
sehingga dijemput kembali menemui Yang Mengurniakan.

Semoga kita bersama-sama tiba ke sisi-Nya.

CNM, 26/6/12, 6.32pm
THMK

Laut Kasih 146

bisikan cinta telah memadai
kerana hatiku
sentiasa dibelai asmara laut kasihmu.

lafaz rindu telah menyelubungi
kerana jiwaku
seringkali dipayungi kerinduan laut kasihmu.

telah ditakdir cintaku hanyut ke kepulauan laut kasihmu.

CNM, 26/6/12, 4.07pm
THMK

25 June, 2012

Laut Kasih 145

telah kusediakan
sebuah kamar di sudut hati
buat menempatkan sekuntum cintamu

telah kubina
sebuah taman cinta di sudut sukma
buat menyemai pohon rindumu

utusan bayu laut kasihmu datang menyapa
mengucap salam bersulam senyuman mesra
tanda rasa bahagia.

CNM, 24/6/12, 9.02pm
THMK

24 June, 2012

saat inikah

saat lafaz inikah paling berbangga
aku cinta kamu sayang
sepenuh jiwa dan ragaku...

saat lafaz inikah paling berharga
sudikah kamu menjadi isteriku
susah dan senang tempuhi bersama...

saat lafaz inikah paling bahagia
aku terima nikahnya dikau berbintikan ayah dikau
dengan satu lafaz bersaksi...

cuba kamu puisikan untukku jawapanmu...

CNM, 24/6/12, 5.26pm
THMK

Laut Kasih 144

andai aku digelar pencuri
ya aku akui kupernah mencuri
telah kuretus cinta dari tangkai hatimu
untuk kusimpan di kamar asmaraku
biar wangian cintamu setiasa menyemarak rindu
menyubur rasa kasih dan sayang
menyatu dan berpadu menjadi kepulauan di laut kasihmu.

andai aku digelar peragut
ya aku akui kupernah meragut
telah kupetik cinta dari taman kasihmu
untuk kukalungkan ke leher asmaraku
biar kerdipan cintamu setiasa menyinar menyemarak kasihku
menyubur rasa kesetiaan
sabar menunggu bisikan asmara laut kasihmu.

CNM, 24/6/12, 4.48pm
THMK

Laut Kasih 143

jujur kukatakan
cintamu tak pernah kusangsikan
kerana kutahu
dan sememang kunikmati
limpahan laut kasihmu.

ikhlas kukhabarkan
cintamu tak pernah kuragukan
kerana kumerasa
dan sememang kumiliki
abadinya titisan kasihmu.

aku jadi rindu
setiap detik bersamamu.

CNM, 24/6/12, 4.12pm
THMK

Laut Kasih 142

hari ini hatiku terus tersenyum
bercandaran menjiwai nikmat laut kasihmu
kerana cinta siapa yang kudapat
kalau bukan cintamu
kerana rindu siapa yang kudapat
kalau bukan rindumu.

sungguh mengasyikkan
warna-warna aura laut kasihmu.

CNM, 24/6/12, 2.32pm
THMK

Laut Kasih 141

ke mana pun kuberdiri
bayangan laut kasihmu tetap memayungi
tak tergugah dek pesona dunia
cintaku dan cintamu
bertaut menyatu padu.

ke mana pun kuberlari
bayu laut kasihmu tetap membelai
tak terluluh dek sandiwara dunia
kasihku dan kasihmu
bersemi menyeri waktu ke waktu.

ke mana pun kuberkelana
wangian laut kasihmu tetap harum mewangi
tak terlarut dek olahan dunia
janjiku dan janjimu
jadi saksi ampuhnya dua jiwa menjadi satu.

CNM, 23/6/12, 11,52pm
THMK

Laut Kasih 140

malam yang kian mendingin
merasuk rinduku menyelinap ke kamar laut kasihmu
menyingkap kelambu asmara
mencumbui mulus sekujur tubuh cintamu
dalam haruman aroma kasih yang menusuk kalbuku.

malam yang kian membeku
menarik rinduku memasuki sanggar mimpimu
menyelak tirai asmara
memeluk hangat sekujur tubuh kasihmu
dalam haruman wangian laut kasihku.

CNM,23/6/12, 11.31pm
THMK

Laut Kasih 139

andai namaku diseru
merenangi luas lautan
menuju kepulauan laut kasihmu
akan kurenangi dengan hati penuh berahi
kerana aku yakin di sana cinta berahimu melimpah ruah.

andai namaku dilaungkan
mendaki barisan banjaran gunung
menuju ke puncak banjaran kasihmu
akan kudaki dengan hati penuh ghairah
kerana aku pasti di sana puncak kasihmu menunggu penuh ghairah.

CNM, 23/6/12, 10.46pm
THMK

23 June, 2012

Laut Kasih 138

nota-nota cinta
yang pernah kaucoretkan buatku
tersimpan rapi di laci hatiku
buat penawar rindu
saat berjauhan denganmu.

surat-surat cinta
yang pernah kauwarkahkan untukku
tersusun rapi di kotak benakku
buat pengubat rindu
saat mendambakan bisikan manjamu.

puisi-puisi cinta
yang pernah kausyairkan padaku
tergantung rapi di dinding kalbuku
buat penyubur rindu
saat dahagakan belaian hangatmu.

aku nelayan cinta di laut kasihmu.

CNM, 23/6/12, 55.54pm
THMK

bungamu, kumbangku

bunga-bunga cintamu
mekar di taman hati
menggamit kumbangku
terbang hinggap menghirup nektar cinta.

bunga-bunga cintamu
mekar di taman kalbu
melambai kumbangku
terbang mendebunga benih rindu.

bunga-bunga cintamu
harum mewangi di taman impian
menyeru kumbangku
terbang dalam haruman khayalan.

CNM, 23/6/12, 2.34pm
THMK

berdiri bulu roma

berdiri bulu romaku
saat kucupan hangatmu
singgah ke kuping hatiku...

berdiri bulu romaku
saat nafas cintamu
menghela ke sanubariku...

berdiri bulu romaku
saat bisikan asmaramu
membelai jiwaku...

CNM, 23/6/12, 1.56pm
THMK

jangan jeles

aku kecanduan rasa
memeluk sekujur tubuhmu
mencumbui wangian yang menggebu
setiap lekuk dan bonjolan tubuh mengasyikkan
merangsang naluri dan nafsuku

Oh bantal pelukku
sungguh seksi dirimu pada pandanganku
salam selamat malam
salam kemaafan buat teman
teruskan menggarap nukilan.

CNM, 16/6/12, 11.20pm
THMK

17 June, 2012

cukup hanya sekali III

andai jiwamu mula berbara
atas tingkahku yang menutup bicara
tanya pada hatimu yang bermain sandiwara
kuhanya mengikut rentak permainan yang kamu cipta
cukuplah hanya sekali
unggun yang kaunyalai
membahangkan tusukan duri
tak akan kubiar kaukuburkan sekeping hati yang dilukai.

simpanlah nesan yang kauukir

untuk kuburkan kedurjanaanmu.

CNM, 17/6/12, 1.48pm

THMK

cukup hanya sekali II

kutinggalkan ruang tamu hatimu
dengan ucapan salam kemaafan
mengundur diri ke teratak pasrahku
setelah hatiku kausiat dengan sembilu keangkuhanmu
usah datang merayu memohon kemaafan
katamu memberi kemaafan keperibadian mulia
namun padaku tidak mengulangi ketelanjuran diri
lebih mulia dari kata kemaafan kali kedua
kawal selia diri bukan kata janji yang sewenang bisa dipalsukan.

kaubelajar erti sebuah keinsafan
sebelum mengajarku erti sebuah kemaafan.

CNM, 17/6/12, 2.10pm
THMK

cukup hanya sekali

setelah kumemberi kemaafan
atas ketelanjuranmu
buat kali keduanya tingkahmu terulangi
tak mungkin aku berpaling lagi
menoleh pandang pada wajah bertopeng
yang penuh dengan celoreng dusta
maafkan daku insan yang lemah
tiada memiliki daya memberi kemaafan lagi
carilah aku di sana nanti...

cukuplah hanya sekali hatiku disakiti.

CNM, 17/6/12, 1.08pm
THMk

Laut kasih 137

senyumanmu

mengembur rindu hatiku

mengucup kejat ulas bibir rindumu

bertaut menjadi satu

dalam keasyikan deruan bayu laut kasihmu.

lirikan matamu

menggamit cinta hatiku

membisikkan kata-kata rindu

ingin bertemu

memadu kasih asmara bersaksikan laut kasihmu.

CNM, 16/6/12, 6.39pm

THMK

16 June, 2012

Laut Kasih 136


saatku di kejauhan
raut wajahmu mengembur rindu
senyuman manismu menguntumkan cinta
menggamit laut kasihku
melontarkan sebuah kucupan hangat ke bibirmu
membisikkan kata cinta ke kuping telinga jiwamu
agar lenamu diulit mimpi asmara kita.

CNM, 15/6/12, 7.05pm

THMK

Laut kasih 135

saatku berpergian
seringkaliku dikejutkan
di balik lipatan kemeja yang kamu siapkan
terselit sekeping kad ucapan dengan ungkapan
'aku rindu kamu'
'aku selalu menyayangimu'
'ketahuilah selamanya aku menunggumu sayang'
itulah luahan suara laut kasihmu
yang sering menemaniku di kala rindu membuih.

CNM, 14/6/12, 10.49pm

THMK

Laut Kasih 134

telah kuucapkan
dari dulu kini dan esok ini
aku mencintaimu sayang
tetap tak terluluh
kau yang satu.

telah kupaterikan

dari dulu kini dan esok ini
aku mengagumimu sayang
tetap tak terkakis
kau yang romantis.

kaulah laut kasihku...


CNM, 13/6/12, 10.24pm

THMK

13 June, 2012

air dan angin

angin
tak dapat ditangkap
tak dapat digengami
sukar mengawal diri
berpusing-pusing menerbangkan pergi
kepingan-kepingan bumi
yang retak seribu.

air
sejuk lagi mendingin
merendah diri
mengalir ke lembah
meresap melembutkan
kepingan-kepingan bumi
bercantum kembali.

dan aku tak ingin menjadi seperti angin memusnahkan
aku ingin sekali menjadi seperti air mencantumkan.

CNM, 13/6/12, 4.29pm
THMK

11 June, 2012

Laut Kasih 133

Puisi cinta laut kasih
kulontarkan ke tengah lautan jiwa
biar bergulung menjadi ombak
menjadi bait kata cinta
aku rindu padamu
dinda.

Puisi cinta laut kasih
kuhamburkan ke langit sukma
biar merecik bercahaya
menjadi ayat cinta
aku kasih padamu
dinda.

Puisi cinta laut kasih
kualirkan ke sungai hati
biar menderu berlalu
menjadi melodi asmara
menyanyikan lagu cinta
padamu dinda.

CNM, 11/6/12, 6.49pm
THMK

Laut Kasih 132

kuanyam daun-daun mengkuang
kujadikan hamparan cinta
buat kamu bertenun kasih dan sayang
di pinggiran laut kasih kita.

kutiupkan seruling bambu
kumelodikan lagu cinta
buat kamu liburkan sukma rindu
di pesisiran laut kasih kita.

CNM, 11/6/12, 5.59pm
THMK

Laut Kasih 131

dalam mimpi tidurku
ingin aku memasuki alam bawah sedarmu
menyelami isi hati mimpi-mimpi di laut kasihmu
untukku bawa ke alam sedarku
jadikan ia realiti
buat menghargai kasih sucimu.

CNM, 11/6/12, 3.37pm
THMK

08 June, 2012

Laut Kasih 130

Kutulis warkah dalam mimpimu
dalam memorimu datang ia menyeru

bila pagi menjelma, ia jadi bunga

bila malam menjelma, ia jadi purnama

cerita kita, bila kau datang

dunia ini penuh warna, penuh keindahan

bila pelangi menjelma , itulah seri wajahmu

bila haruman mewangi, itulah haruman rambutmu

di mana kau berada kupasti ada

aku pengembara, destinasinya kamu

kau nadi denyut jantungku

duniaku dalam mimpi-mimpi laut kasihmu.

CNM, 8/6/12, 11.47 am

THMK

Laut Kasih 129

aku di sini
ditemani rindumu
yang tersenyum manis
tersipu-sipu tunduk kepadaku
pabila ketemu.

aku di sini

ditemani warna pelangi kasihmu
yang merona elus
menyerikan kamar sukmaku
berseri cahaya bahagia.

aku di sini

tarikan jemari
menitip kata bahagia
mengusir sepi biar ditelan senja
kerana memiliki khazanah laut kasihmu

CNM, 8/6/12, 11.44am

THMK

Laut Kasih 128

aku ingin
bercanda di pesisir pantai laut kasihmu
mengutip karangan cinta
buat menghiasi
kamar peraduanku.

aku ingin

terbang tinggi hingga ke pelangi kasihmu
mengukir ayat-ayat cinta
buat unggun
menghangatkan kasihku.

aku ingin

beranang menuju pulau rindumu
memetik bunga-bunga asmara
buat mewangi
sekujur tubuh rinduku.

CNM, 8/6/12, 11.38am

THMK

Laut Kasih 127

aku rela
dipanggil pencuri
kerana sememangnya
aku mencuri hatimu
untuk kusimpan ke akhir hayatku.

aku redha

digelar peragut
kerana sememangnya
aku meragut kasihmu
untuk kutahta ke hujung nyawaku.

terima kasih sayang

kerana mengizinkan
kerana memberi ruang
kerana memberi peluang
aku memiliki laut kasihmu hingga saat ini.

CNM, 8/6/12, 11.28am

THMK

Laut Kasih 126

cintamu dan cintaku
berpegangan tangan menyusuri laut kasih
bercanda menyaksi
ombak bejujukkan membelai hati
tak pernah henti.

kasihku dan kasihmu

beriringan berjalan di gigian laut kasih
berpelukan memerhati
bayu menghembus menyapa sanubari
hari berganti hari.

CNM, 7/5/12, 11.53pm

THMK

Laut Kasih 125

ingin sekali dinda
kumenyelam ke dasar laut kasihmu
mengutip karang-karang cinta
untuk kubina mahligai
keluarga bahagia.

ingin sekali sayang

kuberenang ke teluk laut kasihmu
mengumpul puing-puing kasih
untuk kuukir istana
keluarga tercinta.

CNM, 7/6/12, 11.38pm

THMK

07 June, 2012

Laut Kasih 124

di ufuk laut kasihmu
terbentuk lengkungan pelangi cinta
satu seperti rupa wajahmu menyeri
satu seperti rupa wajahku tersenyum menanti
indah berpasangan.

di dada langit laut kasihmu

terbentuk gumpalan awan gemawan
satu seperti hati dan jantungmu putih suci
satu seperi kalbu dan jiwaku redup memayungi
indah alam cinta kita.

CNM, 7/6/12, 10.42pm

THMK

Laut Kasih 123

mencintaimu kasih
satu ketentuan yang berbayar
kerana cintamu tidak pernah hambar
setiasa bersinar
memancar suria.

mencintaimu sayang

satu keputusan yang gemilang
kerana cintamu penuh kasih sayang
sentiasa merangsang
kedamaian.

mencintaimu dinda

satu perbuatan yang berharga
kerana cintaku yang kamu takhta
sentiasa setia
dalam suka duka.

laut kasihmu yang terindah...


CNM, 7/6/12, 10.21pm

THMK

Laut Kasih 122

malam ini
hati melonjak ingin berkata-kata
berbisik ke kuping sukmamu
ingin sekali aku didekap erat
ditemani hela nafas bayu laut kasihmu.

malam ini

sanubari teruja ingin menyuara
berbisik ke telinga jiwamu
ingin sekali aku dibelai manja
ditemani detak jantung laut kasihmu.

CNM, 7/6/12, 10.12pm

THMK

hati bertampal

hati yang bertampal koyok
membawa diri termenung monyok
melancar perang mogok
macam ayam tak mahu berkokok
enggan berseronok
walau dipujuk elok-elok
katanya usah menyogok
dirinya bukan terlalu bongok
untuk membeza yang tulin dengan yang olok-olok
hati jangan sesekali dibelok-belok
nanti katanya tiada bagimu esok
dendam memakai tengkolok
silaturrahim jatuh terjelepok
dicampak orang ke bawah pokok
bersepah macam puntung rokok.

CNM, 7/6/12, 9.14pm
THMK

Laut Kasih 121

Di teratak laut kasihmu dinda
aku menumpang teduh
menghirup wangian taman kasihmu
buat membajai pohon sukma
yang berpucuk kasih sayang.

Di pelantar laut kasihmu dinda
aku menumpang berbaring
beralaskan cadar kesetiaan
membuai lenaku
menghadirkan mimpi indah.

Di dermaga laut kasihmu dinda
aku menumpang bercanda
bertemankan secangkir rindu
membelai jiwaku
membenih kesyahduan.

CNM, 7/6/12, 8.33am
THMK

Laut Kasih 120

Laut Kasih 120

Usah tunduk tersipu
menahan debar sukma
donggakan pandangan
tataplah senyuman ini
agar tenang getaran dada laut kasihmu.

Usah melirik pandang
mencuri renung tampangku
palingkan jelingan
lihatlah semahu-mahumu
esok jangan rindu-rinduan pada laut kasihku.

CNM, 7/6/12, 12.43am
THMK

06 June, 2012

Laut Kasih 119

merdunya
suara siti nurhaliza
mendendangkan lagu
cintanya bukan di atas kertas
cintanya di hati yang ikhlas.

romantiknya
bait kata yang kuingin coretkan
cinta ini kupersembahkan di atas kertas
untuk kulayarkan ke laut kasihmu
tunggu di dermaga cinta kita dinda.

CNM, 6/6/12, 5,48pm
THMK

Lelaki Sasa

sungguh mantap bodynya
berketul-ketul dari kaki ke kepala
apa kerja mudah dilaksana
kudrat macam hulk dalam cerita
menghayun tangan pasti tak bersisa
tapi ambo nak tanya
bak solat macamana
boleh bangkit solat subuh tanpa paksa
menarik selimut yang memang menggoda
tak sampai sekilo beratnya
cer citer ada jawapankah kome...

CNM, 6/6/12, 12.14pm
THMK

Cerita Potong


i.
kata Ah Long
lu lansi lu kena potong
wa tarak kelentong
lu punya telinga kita kasi lelong
itu kaki lima pasar borong.

ii.
aiskrim potong
pekena lepas gotong royong
nak-nak penat angkat tong
kutip sampah sepanjang lorong
jadi drebar kereta sorong.

iii.
tukang potong
cuti sekolah memang untung
sana-sini dijemput memotong
meriah satu kampung
majlis khatan anak burung.

CNM, 5/6/12, 11.52pm
THMK

mengapa

senja ini aku tak ingin berkata-kata
hanya memandang rona jingga
menyilau di ufuk sana
dengan lambaian penuh tanda tanya
apakah masih ada kesempatan berjumpa.

senja ini aku hanya memasang dengar
cicipan beburung kembali ke sarang hingar bingar
begitulah rutin seharian terus berputar
masing masing mencoret dan melakar
adakah yang menjadi iktibar.

senja ini aku hanya membisu
merenung pada langit yang kian kelabu
malam sayup dari kejauhan bertamu
mengusir senja tanpa pernah bertemu
adakah harapan insan kembali kepada-Mu.

CNM, 5/6/12, 7.01pm
THMK

05 June, 2012

Bila Rindu Mula Bosan

dia
berbisik pada air mata
jangan nak mengada-ngada
membasahi pipi yang tak tahu apa-apa
tunggu saat bermunajat kepada-Nya
gugurlah selebat-lebat tak mengapa.

dia
berkata pada mata
keluar dari tempurung masa
pandang pada luasnya alam cinta
lirikkan pada yang berhati mulia
kenyit pada sukma adakah ini si dia.

dia
bermusyawarah dengan jiwa
perlukah setia pada yang durjana
bukankah itu kerja sia-sia
membakar usia
tanpa kepastian apa-apa.

CNM, 5/6/12, 2.08pm
THMK

Cerita Ayam



ternak ayam
ayam ini duk bereban
pagi-pagi keluar cari makan
kalau sembelih boleh dimakan
telurnya pun boleh tahan
campur madu terus boleh telan
daging dia boleh masak rendang
halal tiada siapa melarang.

bela ayam
ayam ini tak ada reban
malam-malam keluar cari makan
jantan miang disembelih terang-terang
bapak ayam ibu ayam jadi dalang
macam-macam cara memperdagang
daging mentah di sela kangkang
haram agama semua melarang.

CNM, 4/6/12, 5.08pm
THMK


beza tapi sama

aku tulis selapis
kau tulis berlapis lapis
beza tapi sama...

aku tulis sebaris
kau tulis banyak baris
beza tapi sama...

aku menulis
kau juga menulis
samanya kita menulis puisi
bezanya aku tulis pendek kau tulis panjang
itu pilihan bukan paksaan.

CNM, 4/6/12, 12.39tgh
THMK

beza tapi sama

aku tulis selapis
kau tulis berlapis lapis
beza tapi sama...

aku tulis sebaris
kau tulis banyak baris
beza tapi sama...

aku menulis
kau juga menulis
samanya kita menulis puisi
bezanya aku tulis pendek kau tulis panjang
itu pilihan bukan paksaan.

CNM, 4/6/12, 12.39tgh
THMK

aku, kau dan dia

aku tulis
kau larikkan
dia baitkan,

aku baca
kau telaah
dia meneliti,

garapan puisi
hari-hari begini
jadi jangan dengki.

CNM, 4/6/12, 12.31tgh
THMK

Semalam yang hilang

semalam ramai yang berbicara
meluahkan rasa bersahaja
aku tak mendengari apa nada diperkata
kerana kuhanya membaca
kamu jangan ketawa
ini hanya manipulasi bahasa
sebagai juadah memenuhi masa
semalam yang hilang dari ingatan minda
tanpa petunjuk petanya.

CNM, 4/6/12, 12.26tgh
THMK

itu ketentuan

"siang kukepanasan
dibakar mentari
langit bertelanjang tanpa awan
tiada tanda hujan bersimpati
tandus kekontangan,

malam kukedinginan
bumi melepas hangat ke angkasa
langit terusan dalam ketelusan tanpa awan
embun menitis menebarkan kebekuan
gigil dalam kegelapan".

gurun berbicara lirih...

CNM, 4/6/12, 12.02tgh
THMK

pagi telah pergi

pagi telah pergi
mengekori fajar yang mendahului
belayar sebelum mentari menampilkan diri
tanpa sama sekali mempeduli
mampukah kita mengejari
kepantasan masa yang tak sudi menanti.

CNM, 4/6/12, 11.49am
THMK

Si Ayam Bapak



Si Ayam bapak
sayap mengepak
bangga jadi bapak
tiada yang berani bertekak
dua bini jadi penggalak
mencari rezeki anak beranak
keliling kampung berkokok galak
dialah raja penakluk Felda Trolak.

CNM, 3/6/12, 5.20pm
FTS

Ada Berani




moh! lawan kokok...

ayam berkokok atas batang
kalau hisap rokok nyawa cepat melayang
tak percaya tanya pawang.

CNM, 3/6/12, 3.55pm
FTS


Kulihat

Embun telah pergi
Terpeluwap dibawa angin
Bergumpalan di angkasa raya
Menjelmakan diri
Jadi awan gemawan
Membawa titisan rahmat
Pada rerumput dan dedaun
Yang menunggu merayu.

CNM, 3/6/12, 10.43am
FTS

terkunci atau mengunci

puja dan puji kepada-Mu Ya Allah
selawat dan salam kepada junjungan Rasulullah
mohon berlindung dari syaitan yang direjam.

kedapatan insan
terbelenggu di kamar nafsu
sedang kunci keluar di tombolan pintu.

jalan kebenaran terpapar di mata hitam
jalan kemungkaran melingkari benak akal
terkuncikah oleh tiupan harmonika iblis
atau mengunci diri dengan kejahilan sendiri.

CNM, 1/6/12, 2.51pm
THMK

04 June, 2012

Laut Kasih 118

kusemai sepohon mawar

yang kubajai dengan kata rindu

moga tumbuh subur mawar kasih

menguntumkan kelopak yang mewangi

untuk kuselitkan ke telingamu sayang.

kubaitkan puisi-puisi cinta

untuk kubacakan saat dikau berbaring ke riba

di kamar peraduan berdua

memadu kasih mesra

dalam nikmat asmara laut kasih kita.

CNM, 2/6/12, 10.52pm

FTS

Laut Kasih 117

Laut Kasih 117

kuberbicara di pesisiran laut kasihmu

bersaksikan purnama yang sarat

bermelodikan deburan ombak

bertingkahkan siulan pungguk

bahawa;

di hati ini kusediakan

suatu sudut yang paling indah

buat menyimpan bisikan cinta

yang kujadikan penawar rindu

di kala berjauhan denganmu dinda.

di kalbu ini kuperuntukkan

suatu kamar yang paling damai

buat menempatkan kata-kata setia

yang kugubah menjadi azimat cinta

di saat kukerinduan padamu sayang.

CNM, 2/6/12, 10.36pm

FTS

01 June, 2012

Laut Kasih 116

lautan kasih yang kumiliki
datang hari kebeningan hatimu
memancar cahaya bak langit bersuluh purnama
dipagari kilauan kejujuran yang tidak sekalipun padam
bagai udara yang kuhela.

lautan kasih yang kaulimpahkan
meruap wangian rindu seharum mawar merah
yang sering kuhirup dari kamar cintamu
cintaku dan cintamu semerbak mewangi
tak terlarut dek arus zaman.

CNM, 1/6/12, 12.07tgh
THMK

Duhai Pemabuk Cinta

sebuah cinta ikhlas nan tulus
tidak memerlukan kata rayu
ianya terbit dari kuntuman kalbu
pada insan yang telah meragut
tangkai hati disulam kasih dan sayang
sepenuh jiwa dan raga.

sebuah kejujuran dan kesetiaan
tidak memerlukan permintaan
ianya lahir dari kelopak hati
pada insan yang telah memenangi
selaut kepercayaan diiringi ketelusan
tanpa dolak dalik alasan.

renungkan
buat ketetapan
meneruskan atau meninggalkan
sebuah cinta yang tidak menjanjikan kepastian
lihatlah pada luasnya alam
masih ada peluang dan ruang yang lebih menyakinkan.

usah terusan dalam kemaruk cinta...

CNM, 1/6/12, 11.21am
THMK

masa silam

masa silam menduga
dari kaki tangga
kudaki ke menara
bertemankan doa
kini di menara
meraih jaya
tersenyum bangga
melafaz syukur kepada-Nya
punya keluarga bahagia
punya punca rezeki yang mulia
dalam redha-Mu yang Esa.

CNM, 1/6/12, 10.27am
THMK

Doa buat sahabat

Salam di pagi Jumaat
semoga kalian sihat walafiat
dilimpahi nikmat dan rahmat
ditingkatkan darjat
ditinggikan martabat
dipandang mulia dan hebat
di sisi-Nya yang Maha Berkudrat.

Selamat menjalani ibadat
di hari jumaat penuh berkat
semoga amalan kita diangkat
diterima Allah akan taubat
terlepas kita dari balasan yang berat
sesungguhnya keampunan-Nya menyelamat
semua saudara seagama yang dihormat.

CNM, 1/6/12, 10.15am
THMK

Semak

teman
andai kamu rasa
laman ini mula tumbuh semak
maklumkan saya
biar saya pikul pam racun
merancun semak yang menyemak.

sahabat
andai kamu nampak
laman ini mula tumbuh parasit
maklumkan saya
biar saya menekan butang delete
menebas parasit yang melilit membelit.

CNM, 31/5/12, 10.31pm
THMK