Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

10 July, 2016

Laut Kasih 384

Indah tika bersamamu
cinta bertaut padu
bayu laut kasih membuai rindu
deruan ombak laut kasih bersenandung syahdu
desiran angin laut kasih membelai kalbu.

Betapa realiti ini
bagai khayalan mimpi.

Engkau dan aku yang mengerti.

CNM, 9/7/2016.

JANTAN

Kokok bertalu
lebar sayap tayang taji
sibuk reban sana reban sini.

Ke medan juang
tak pasti
diyakini
rezeki
anak bini
cari sendiri.

CNM 9/7/2016

Laut Kasih 383

Bagai irama dan lagu
engkau dan aku
paduan dua kalbu
dengan doa restu
laut kasih kita menggebu.

Bagai bulan dan bintang
engkau dan aku
serikan alam cinta
rindu nan syahdu
bertaut di lautan kasih
hening kedamaian memutih.

CNM, 4 Syawal 1437H

SERDAK

Kenapa gelak?
Tak dipandang di hari raya
segala mak nenek juadah menyelera
dari ketupat hingga lemang rendang ayam belanda
pun mungkin kerutuk daging rusa
serdak tak terlintas di minda.

Nah! Dah terbiasa
setelah segala juadah dah tiada
serdak rempeyek maruku bahulu didamba
ditonggang tin segala
menagih serdak tersisa
buat regu teh tanpa gula.

Senyum engkau ya!

CNM, 3 Syawal 1437H

Laut Kasih 382

Mencintaimu
suatu rasa terindah
disulami haruman asmara
asyik dalam jalinan cinta
gemerlapan laut kasih kita.

Dicintaimu
suatu anugerah teristimewa
dihiasi jambangan kasih
penuh wangian rindu
mewangi aroma laut kasih kita.

Senda cinta membelai jiwa.

CNM, 3 Syawal 1437H

Laut Kasih 381

Dari sinar mata
kukenal wangian cintamu
semerbak mekar
menakluk sukma
mencintaimu seadanya.

Dari seri wajah
kupasti haruman kasihmu
menyelubungi alam laut kasihku
membelai jiwa
mengasihimu selamanya.

Cintaku dan cintamu kian padu.

CNM, 3 Syawal 1437H.

Puisi

Ketika tidak bersuara
ia menerawang ke minda
menerjah ke perdu akal
mencari saki baki
kata azimat yang tertinggal
menyatuni Dia.

Ketika tidak berbicara
ia menerobos ke dada jiwa
menyelinap ke dasar sukma
mengintai serdak iman
kembali ke jalan benar
mengharap reda-Nya.

CNM, 3 SYawal 1437H

Laut Kasih 380

Ratusan purnama
kita hidup bersama
silap dan salah
kuampunkan dikau
kerana kasih padamu
mewangilah laut kasih kita.

Ratusan purnama
kita layari bahtera
meredah samudera cinta
badai dan gelora
datang mencuba
syukur kepada yang Esa
laut kasih kita berdebur sejahtera.

CNM 3 Syawal, 1437H.

Laut Kasih 379

Ya Rabb
syukur kepada-Mu
anugerahkan daku amanah
seorang wanita
selaut kasihnya
tertumpah hanya padaku.

Ya Rahman Ya Rahim
anugerahkan kami
kesihatan yang baik
kesejahteraan berpanjangan
agar dapat kami
melunaskan segala suruhan-Mu.

Takdirkan kami ke syurga-Mu.

CNM, 2 Syawal 1437H

Tiada salahnya

Duhai anak
tiada salahnya
abah terima seadamu.

Ketika
engkau bagai harimau
abah tahu hanya seketika
garangmu tak ke mana.

Ketika
engkau bagai kucing
meleser manja
engkau menakluk jiwa.

Engkau
sebahagian nyawaku.

CNM 1 Syawal 1437H

Laut Kasih 378

Di sini
tanah yang menjadi saksi
laut kasihmu
laut kasihku
terpateri.

Di sini
catatan sejarah suci
laut kasihmu
laut kasihku
terpahat abadi.

CNM 1 Syawal 1437H

Kemenangan

Kemenangan itu
tanpa gagal
mematuhi
syariat
Ilahi.

Kemenangan itu
mampu
melafazkan syahadah
saat dijemput
kembali.

CNM

Jihad?

Jihad?

Jihadkah itu?
Mengebom sana sini
mengambil nyawa sesuka hati
sedang Islam itu mengajar
hatta dalam bab berperang.

Kembalilah
kembali berjihad
untuk perbaiki diri
itu lebih baik bagimu.

Usah menamakan jihad
andai ajaran Dia dan Rasulnya
engkau cabuli.

CNM, 5/7/16

Air mata Aidilfitri

Saban tahun
tragedi demi tragedi
kita dengar
kita papar
kita sebar,

TAPI MENGAPA?

Tak cukup menginsafkan
tak cukup menyedarkan
tak dipeduli
dek telinga yang ditulikan
dek mata yang dibutakan
bahawa nyawa itu tiada galang ganti
air mata aidilfiitri
terus menghantui.

CNM, 5/7/16

Cakap Politik

Orang politik
madahnya terlakar cantik
mulus-muluk
ramai tertunduk
bagai dirasuk.

Orang politik
amalinya tertabir berpalit
putar-belit
minda dililit
onar diselit
menetas jahit.

CNM, 3/7/16

Sesak dan Sebak

Lebuh raya sesak
anak-anak pulang ziarah
jumpa mak ayah.

Lebuh rasa sebak
kepulangan dinanti
sambut aildilfitri.

CNM

Hebatnya Wanita

Engkau berikan dia
setitis air mani
akan diberikan kamu
seorang bayi

engkau berikan dia
tempat tinggal
akan disediakan kamu
syurga dunia

engkau berikan dia
bahan-bahan mentah
akan dijadikan hidangan
masakan istimewa

engkau berikan dia
helaian bertanda tangan gobenor
akan ditabungkan
jadi simpanan masa depan.

Itukah wanita di sisimu?

CNM

Isi dan Kulit

Membacamu tidak sulit
isi cantik molek
tertib tersusun cantik
syariat yang mengulik
amalan terbaik.

Membacamu tidak sulit
kulit tegang terik
bercahaya terpancar menarik
gaya hidup sihat dikelek
amalan terbaik.

CNM

Terperangkap dalam sinaran

Mahu kamu tahu
terperangkap aku dalam sinaran
sinaran Cool FM
madah berlagu
membelai kalbu

Mahu kamu tahu
terperangkap kamu dalam sinaran
sinaran Cool FM
bicara DJ dirindu
coleteh DJ ditunggu

Terikat tanpa tali
kala sinaran Cool FM bermelodi.

CNM

Ingat Sampai Bila-bila!

Di kala
cinta hijau merimbun
terbit rasa
melafaz janji
...kan ingat sampai bila-bila!

Di kala
kasih kembang mekar
bertunas rasa
mengucapkan rindu
...kan ingat sampai bila-bila!

CNM

Hang Pi Mana?

Chek
pi bendang
berbahasa kerbau

Chek
pi sungai
menebar jala

Chek
pi kebun
jajat umbi pohon

Hawat hang tanya?

CNM

Pelangi Pagi

Datang menyeri
indah warnai hari
keagungan ciptaan Ilahi

hidup biar seperti pelangi
walau seketika menghiasi
dinanti
seisi alam menyenangi.

CNM 21 Jun 2016

Orang Kampung Tahu

Zaman transformasi
berbasa basi
hanya buat mengaburi

pelusuk negeri
engkau tabur wangian
harumannya tak termampu
menutup hamis
yang telah jemarimu raut rapi

di hujung jari
cerita ceriti
masuk kampung
tak terbendung

satu hari
mungkin jadi senjata makan diri.

CNM, 21 Jun 2016

Kenangan Seorang Lelaki

Ingat tak lagi
saat kaumelafaz ikatan suci
mengikat seorang wanita
bercampur baur rasa
terharu bahagia
membela amanah yang Esa.

Ingat tak lagi
saat kaujadi bapa
tangisan anak
menderaikan air mata
sebak dada
darah daging muncul ke dunia.

Ingat tak lagi
saat kaujadi wali
menikahkan puteri
menyantuni seorang lelaki
sebak menyelimuti
darah daging dilepaskan pergi.

CNM, 19 Jun 2016