Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

Showing posts with label Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Kehidupan. Show all posts

30 June, 2017

Oh! Ubi Kayu.

Tatkala
hujan bermelodi
dingin menyelimut naluri
muncul di benak memori
enaknya setongkol rebusan ubi.

Tatkala 
sinar disimbah mentari
bahang membakar naluri
hadir di benak memori
enaknya segelas sirap tapai ubi.

masih adakah yang mengenalimu?

Oh! Ubi Kayu.

CNM

Ya


Bau tanah ini
menusuk sukma
tanah yang terukir beribu kenangan...

terubat akan rindu
rindu pada kampung halaman
kicau burung kokok ayam 
kembalikan kenangan silam...

ya semuanya
tak pernah hilang
tak mungkin pudar
detik ke detik membugar
walau kini jauh di rantau...

sesekali kembali
menghangat memori 
kusimpan ke akhir nanti.

CNM

23 December, 2016

Di Tangan Orang

Pabila harga di tangan orang
lelah kita dipermain.

Getah, sawit, minyak, timah
sumber kita yang dijarah
harga diperendah.

Kita masih dijajah
dicatur arah
lemah
tiada daya menyanggah.

Bumi bertuah
hasil melimpah ruah
tadbir urus dikelir indah
petani pekebun nelayan gundah
himpitan hidup tak sudah-sudah.

CNM

28 November, 2016

Akar dan Pucuk

Pucuk
subur menghijau 
rendang bersilara
disimbah mentari
disirami embun pagi
usah lupa diri
semuanya 
dek akar yang berbakti
teguh mencengkam bumi
bekalkan nutrisi.

Satu waktu pucuk ...kan layu
penangan akar dibiar mereput
duhai! pucuk kembalilah ke bumi
korbankan diri jadi humus.

CNM

Sijil

Helaian kertas
tercetak butir bernas
layak di atas

Kepingan kertas
bernilai dari wang kertas
hapus waswas

Ada yang terbebas
dek sekeping kertas.

CNM

Lima Sembilan

Sudah lima sembilan
diulang, ulang

datang dan pergi
disambuti serata negeri
terlekatkah di hati?

Payung negara
pak menteri gah di tandu
rakyat masih menelan
asap candu gerhana

mereka atau kita
yang hanya galak
laungkan kata merdeka
minda jiwa terpasung
tiada untung.

CNM, 7/8/16

Topi dan Perut Besar

dimilki topi
buat menutup akalan
difikirnya tak akan kelihatan
dunia bukan zaman Belanda
dunia jurangnya semakin menghama.

dimiliki perut besar
telah penuh diisi campuran haloba
tak terduga ada satu rongga
terlepas jua bauan menyembilu dada
memang telah diduga.

CNM

Maju Depa

depa
CSI sungguh
sudah masuk mahkamah
harus ada yang lemas
tak terenang dek agenda terbabas.

kita
CSI apa
dikhabarkan tiada apa-apa
menutup bangkai mungkin berjaya
baunya tetap semerbak ke serata dunia.

CNM

Kuala Lumpur

Namamu kian berlumpur
dek tangan-tangan pencukur

khalayak dipaksa akur
hanyir sistem berbaur
rakyat menggelupur

sesak dada kian subur
saku penuh kian mengendur
bayaran parkir digembur-gembur
gaji bulanan lebur

oh! Kuala Lumpur
habuk debu tadbir mencelur
banyak hati melecur

mereka gah mencatur
kaut untung buat berlibur.

CNM, 19/7/16

Olak Berolak

Kecil kita
di tengah kuasa
olak bergolak
di laut penuh onak
rebutan penyangak

Kecil kita
bergolek kena
digolek pun kena
diplomasi langkah terpuji
tiada janji selamat kontroversi

Ya Al-Waliy
lindungi kami.

CNM, 16/7/16

10 July, 2016

JANTAN

Kokok bertalu
lebar sayap tayang taji
sibuk reban sana reban sini.

Ke medan juang
tak pasti
diyakini
rezeki
anak bini
cari sendiri.

CNM 9/7/2016

SERDAK

Kenapa gelak?
Tak dipandang di hari raya
segala mak nenek juadah menyelera
dari ketupat hingga lemang rendang ayam belanda
pun mungkin kerutuk daging rusa
serdak tak terlintas di minda.

Nah! Dah terbiasa
setelah segala juadah dah tiada
serdak rempeyek maruku bahulu didamba
ditonggang tin segala
menagih serdak tersisa
buat regu teh tanpa gula.

Senyum engkau ya!

CNM, 3 Syawal 1437H

Puisi

Ketika tidak bersuara
ia menerawang ke minda
menerjah ke perdu akal
mencari saki baki
kata azimat yang tertinggal
menyatuni Dia.

Ketika tidak berbicara
ia menerobos ke dada jiwa
menyelinap ke dasar sukma
mengintai serdak iman
kembali ke jalan benar
mengharap reda-Nya.

CNM, 3 SYawal 1437H

Jihad?

Jihad?

Jihadkah itu?
Mengebom sana sini
mengambil nyawa sesuka hati
sedang Islam itu mengajar
hatta dalam bab berperang.

Kembalilah
kembali berjihad
untuk perbaiki diri
itu lebih baik bagimu.

Usah menamakan jihad
andai ajaran Dia dan Rasulnya
engkau cabuli.

CNM, 5/7/16

Cakap Politik

Orang politik
madahnya terlakar cantik
mulus-muluk
ramai tertunduk
bagai dirasuk.

Orang politik
amalinya tertabir berpalit
putar-belit
minda dililit
onar diselit
menetas jahit.

CNM, 3/7/16

Sesak dan Sebak

Lebuh raya sesak
anak-anak pulang ziarah
jumpa mak ayah.

Lebuh rasa sebak
kepulangan dinanti
sambut aildilfitri.

CNM

Terperangkap dalam sinaran

Mahu kamu tahu
terperangkap aku dalam sinaran
sinaran Cool FM
madah berlagu
membelai kalbu

Mahu kamu tahu
terperangkap kamu dalam sinaran
sinaran Cool FM
bicara DJ dirindu
coleteh DJ ditunggu

Terikat tanpa tali
kala sinaran Cool FM bermelodi.

CNM

Ingat Sampai Bila-bila!

Di kala
cinta hijau merimbun
terbit rasa
melafaz janji
...kan ingat sampai bila-bila!

Di kala
kasih kembang mekar
bertunas rasa
mengucapkan rindu
...kan ingat sampai bila-bila!

CNM

Orang Kampung Tahu

Zaman transformasi
berbasa basi
hanya buat mengaburi

pelusuk negeri
engkau tabur wangian
harumannya tak termampu
menutup hamis
yang telah jemarimu raut rapi

di hujung jari
cerita ceriti
masuk kampung
tak terbendung

satu hari
mungkin jadi senjata makan diri.

CNM, 21 Jun 2016

Kenangan Seorang Lelaki

Ingat tak lagi
saat kaumelafaz ikatan suci
mengikat seorang wanita
bercampur baur rasa
terharu bahagia
membela amanah yang Esa.

Ingat tak lagi
saat kaujadi bapa
tangisan anak
menderaikan air mata
sebak dada
darah daging muncul ke dunia.

Ingat tak lagi
saat kaujadi wali
menikahkan puteri
menyantuni seorang lelaki
sebak menyelimuti
darah daging dilepaskan pergi.

CNM, 19 Jun 2016