Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

11 July, 2015

Serdak

Kenapa gelak?
Tak dipandang di hari raya
segala mak nenek juadah menyelera
dari ketupat hingga lemang rendang ayam belanda
serdak tak terlintas di minda.

Nah! Dah terbiasa
setelah segala juadah dah tiada
serdak rempeyek maruku bahulu didamba
ditonggang tin segala
buat regu teh tanpa gula.

Senyum engkau ya!

CNM

Dada rakyat

Suasana hari raya makin terasa
ada yang dah tak sabar nak pulang ke desa
mak ayah terbayang-bayang pada pandangan mata.

Maka berjuta rakyat akan meninggalkan kota
kota yang bicaranya terkadang memualkan dada
dada berjuta rakyat masih meletak ibu bapa tinggi harga
harga petrol tak tertanding nilai mencium tangan ayah bonda di pagi raya.

Tinggallah segala pakar
di kota pencakar langit yang mencalar
teori jauh tersasar
dari nilai kemanusiaan sebenar.

Allahuakhbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar.

CNM

Kerja dia


Highway utara selatan
Pulau Pinang punya jambatan
Putrajaya Cyberjaya
Koridor Raya Multimedia
Menara Berkembar Petronas
Menara KL di Bukit Nenas
KLIA-Westport
Proton-Perodua dieksport
dan banyak lagi jika nak dibilang
semuanya di sebalik seorang negarawan terbilang.

Selamat hari jadi Tun M.

Kaubuat apa untuk Malaysia?
Belajar hormati orang berjasa
kalau tak kaucuba buat benda lebih megah dari dia!
Jangan hanya tahu habiskan dana negara
kauapa ada?

CNM

Sirna

Malaysia yang sejahtera
kebelakangan ini satu-satu musibah menimpa
dan tiada satu pun perkara
terjadi tanpa makna
sesungguhnya pada setiap satu kejadian ada tanda-tanda
kepada yang ingin melihatnya
kurasa seakan keberkatan semakin sirna
kamu rasa bagaimana?

Ya Allah
limpahkan cahaya hidayah
moga pemimpin kami terus istiqamah
mencontohi Rasulullah
mentadbir urus dengan hemah.

CNM

Hei!


Hei!
Jika balik kampung itu dikata pemboros
biarlah aku digelar pemboros
aku nak kelik
mak aku ada lagi
engkau apa peduli
duit minyak aku yang bayar.

Hei!
Mak bapak aku tak ajar
nak jimat sampai kena kurang ajar
engkau kena belajar
yang mana patut diperdengar
yang mana tak patut diperdengar
ramai orang boleh hilang sabar
engkau mengajar yang kurang ajar.

CNM

Kupinta

Malaysia masih aman
biar gelora menghentam kiri kanan
selagi tuduhan tak dibuktikan
maka kekal ia sebagai hanya tuduhan
teruskan berdoa Malaysia kekal aman
kerana kita inginkan kesejahteraan.

Ya Allah, serlahkan kebenaran
andai ada ketidakjujuran kepimpinan
kuburkan kuasa kezaliman
andai mereka di landasan kebenaran
berikan mereka kekuatan menepis tomahan
sesungguhnya hidup ini penuh ujian
dan hanya kepada-Mu tempat meminta pertolongan.

CNM

"dalam kain"


Huh!
Lima tahun umur dibelasah
papa mama jahat.

Hais!
Mak pukul anak sendiri
sampai hilang nyawa diseligi.

Pedih
hangat menggelegak hati
apa nak jadi masyarakat kini?
Dah mati budaya ambil tahu hal dalam kain orang
engkau, engkau
aku, aku.

Makin ramai hantu tak berkain.

CNM