Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

10 February, 2016

Kembalikan!

Telah lama
mendung menyelubung
menidakkan cahaya ke laman warisan
gugur bunga-bunga harapan
hilang haruman gemilang.

Hujan keperitan makin mencengkam
bumbung dirobek dari dalam
caturan kelam
tangan-tangan hitam
nyahkan temaram.

CNM

Oh Badut!

Satu dekad
aku tak kenal
tak terlintas dek akal

Dua dekad
aku seakan terlihat
kelibat macam hebat

Tiga dekad
aku yakin melihat
aksinya sungguh dahsyat

Empat dekad
jenakanya jenaka sesat
menyiat jiwa sihat.

CNM

Pabila Wanita Menulis!

Bukan sebaris,

kala jiwanya menangis
air mata laju menitis,

bukan menabur janji manis
realiti kehidupan dilukis
penuh tragis lagi sadis,

bahawa hidup tak semesti harmonis
jadi mangsa lelaki hamis
mengemis
kasih yang tipis,

hatinya terguris
dipersia si hidung kempis
hidup penuh kudis
tak terubat dengan mulut bertumis
kasih yang sengaja ditepis.

CNM

Yang Empat

Aku nombor satu
rela dimadu
janji direda Yang Satu
syurga bagiku,

Aku tak kisah nombor dua
demi meraih cinta
hormat pada yang tua
aman bahagia,

Aku reda jadi nombor tiga
kakak satu dua berkongsi cinta
pakat-pakat jaga
dia yang menawan jiwa,

Aku yang keempat
lali diumpat
janji kasihnya tersemat
aku rasa selamat,

Yang empat
sepakat
berkat
dunia akhirat.

CNM.

Kita Orang?

Kita orang?
Atau hanya orang-orang
duduk bersarang
jadi dalang
mengubang.

Kita orang?
Atau hanya orang-orang
tiada perasaan
hilang peri kemanusiaan
miskin pertimbangan.

Kita orang?
Atau hanya orang-orang
main wayang
jadi petualang
mengorek lubang.

Orang atau orang-orang!

CNM

Awat Hang Lagu Tu?

Awat hang lagu tu?
Cepat tak sebulu
tindak melulu
memalu
sekutu.

Awat hang lagu tu?
Takut bayang hantu
raban merapu
mengikut kutu
mencabut bulu.

Seantero Malaya malu
semua orang tahu
hang lagu tu.

CNM

"kluk-klek"

Baso jenih kluk-klek
depe jerenih
belake petit sawa
rakyat jelato dikecek
terima dengan hati bersih
semua kena percaya.

Baso kluk-klek
belit kalahkan ular sawa
pecah perut terkeluar semua benda.

CNM