Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

Showing posts with label Patriotik. Show all posts
Showing posts with label Patriotik. Show all posts

30 June, 2017

Teraju

Bertukar teraju
hati rasa bercelaru
akan terbangkah di angkasa biru
atau menjunam ke tanah lesu
berkecamuk kalbu.

Ya Rabb hadirkan
yang bervisi
yang ada hati budi
yang mudah didekati
yang mahu mengenali
takdirkan kami
berteraju utamakan organisasi.

CNM

28 November, 2016

Warkah Buat YDPA XV

Warkah Buat YDPA XV

Daulat Tuanku
sembah patik harap diampun

hamba susun sepuluh jari
menitip kata dari tinta hati
dengarkan bicara hamba ini

tahniah ucapan diberi
selayaknya Tuanku ke takhta tertinggi
payungan Tuanku kami nanti
moga berkat serata negeri

titah perintah Ilahi
diutuskan rasul dan nabi
hidupkan syariat yang diperingati
subur makmur negara menjadi
sejahtera bawa ke alam abadi

kami setia mentaati
lihatlah kami dari takhta suci
sengsara dalam indah manipulasi
perit hidup dalam kekayaan dimiliki
perbetulkan tadbir urus negara dicintai
kembalikan hak-hak kami

Tuanku yang disanjungi
kepada siapa lagi nak kami ratapi
berabad sudah Tanah Melayu menangisi
dari satu tangan ke satu tangan menjajahi
tak sanggup lagi dirobek hati-hati kami
dengan kuasa yang Tuanku miliki
perbaiki institusi memayungi

Tuanku yang disanjungi
politik berbasa-basi
kelihatan menikam harmoni
mencalar sanubari pejuang demokrasi
rasuah sana sini
serata dunia mula sangsi
amanah negara dikotori
rakyat terpana kepercayaan dikhianati

Ampun Tuanku
sembah patik harap diampun
bicara hamba yang hina
pertimbangkan dengan bijaksana
mudahan ada petunjuk dari-Nya
memayungi rakyat jelata.

CNM, 14/10/16.

GURU

Guru penyempurna akhlak
tampal yang koyak
baiki yang rosak
bukan sembarangan tempelak
ada asas nak ditegak.

Guru pemangkin integriti
bina jati diri
kawal emosi
bukan sembarangan provokasi
ada dasar kritis menyata harga diri.

Guru junjung amanah
lafaz janji bersumpah
bangunkan bangsa berdiri megah
bukan sembarangan bantah
ada kepincangan membarah.

Guru semua pun tahu
wariskan ilmu
suburkan rasa bersatu
bukan sembaragan sembilu
ada nanah mencucuk kalbu.

Guru selamanya dikau guru
engkau tahu
aku tahu
Dia tahu.

CNM

19 June, 2016

..kan tumbuh

pena-pena jemari
...kan tumbuh
silih berganti
tak akan mati

satu-satu
sasterawan dulu
pergi tak kembali
meninggalkan diksi
diwarisi
generasi pencinta puisi

semadilah
dengan aman ke alam abadi
Ya Rabb ampuni
anugerahkan Firdausi.

CNM

18 May, 2016

#angkara siapa


#angkara siapa

Orang kata
beri nama yang baik-baik
bukan aku yang kata...

aku, kamu dan mereka
bangsa melayu
nama melayu...

di kota raya
martabatkah melayu?
Yang tinggi itu engkau nampak?
KLCC, KL Tower, MayBank Tower
aku tak nampak yang nama melayu tinggi?

di Putrajaya
PICC
Alamanda
Precinct
Parcel
mana nama melayu!

Yang tinggal keretapi tanah melayu
makin ditelan dek LRT MRT ERL
pupus melayu dek tangan bangsaku.

CNM, 18/5/16

14 November, 2015

Calon


Tolak
yang memahalkan.

Pilih
yang memurahkan.

Berjanjilah.

CNM

Giris

Dari atas tikar awan-gemawan
terlihat negeri hujung benua
diselubung jerebu
kian kalut
rakyatnya terjerut...

dari atas hamparan awan-gemawan
tertabir negeri tepian benua
disimbah resah
kian melalut
khalayaknya dicerut...

yang kembang ...kan mengecut.

CNM, 12/10/15

Pudar

Betapa
jerebunya negaraku
tak seindah warna-warna Jalur Gemilang
sirna gemerlapan
ditelan caturan berkarbon.

Betapa
berhabuk negaraku
tak sedamai kibaran Jalur Gemilang
lesu berdebu
pincang dek salahlaku.

Merah membarah
Biru membeku
Putih Merintih
Kuning Meruncing
pudar.

CNM, 16/9/15

Enambelas September

Malaysiaku meriah
Melayu dalam warna merah
lambang amarah
Melayu marah
berpadu satu arah.

Malaysiaku indah
Melayu dalam warna merah
lambang pejuang gagah
Melayu tabah
bersatu dek satu akidah.

Malaysiaku berdiri megah
Melayu dalam warna merah
tak akan Melayu hilang kata Bang Tuah
Melayu tak mahu dijajah
Melayu Islam bangun menyangah.

Malaysiaku gah
Melayu satu wadah
pertahan tanah tumpah darah
bangsa bermaruah
khalifah di bumi Allah.

CNM, 13/9/15

Lima Lapan

Mata itu tidak mahu mendengar
telinga itu tidak mahu melihat
merdeka tanpa jiwa.

Mata itu ditulikan
telinga itu dibutakan
merdeka tanpa rohnya.

Lima lapan
menuju kekaburan
tunggang-langgang.

CNM, 30/8/15

Bersih: Empat Titik Kosong

Usaha melopong
pun memalu tong kosong
bangkit bergabung
nyatakan pedih menyelubung
dek isu yang membusung.

Usah melenggong
pun terbelelek mata kosong
yang benar perlu disokong
sejahtera didukung
bangsa dijunjung.

Tuanku Yang Dipertuan Agong
raja-raja yang memayung
rakyat mohon dilindung
hidup kian rentung
dek pimpinan tak tahu dek untung.

CNM, 26/8/15

Siapa Bangsat?

Aku
tatkala dingin masih memeluk
terbongkok dari umbi ke umbi
memanjat doa berteman mentari
moga berlimpahan rezeki
sedang engkau enak memanipulasi
aku atau engkau yang bangsat?

Aku
ketika cuaca bergelora
meredah ombak bergadai nyawa
menebar jala memukat harapan
demi  anak isteri
sedang engkau lena diulik mimpi
aku atau engkau yang bangsat?

Aku
saat embun galak menitis
bersama kerbau di relung berbahasa puitis
mengharap rezeki tertulis
demi sesuap nasi
sedang engkau gah merentap emosi
aku atau engkau yang bangsat?

Lidahmu membangsat
aku di sini
menadah tangan
Ya Rabb
kurniakan rahmat
jauhkan dari laknat
sejahterakan rakyat.

CNM, 25/8/15.

Melayu Bangsat?

Melayu tak akan bangsat
andai pemimpinnya tidak khianat,
Melayu tak akan bangsat
andai terajunya berpegang adat,
Melayu tak akan bangsat
andai pucuk pimpinannya berdarjat,
Melayu tak akan bangsat
selagi kuasa yang diberi dijaga penuh hemat,
Melayu tak akan bangsat
di Tanah Melayu berjunjungkan daulat.

CNM

eh!

Wah!
4.0 bagusnya
takkan tak dapat tempat.

Huh!
dah 4.0 teruknya
takkan tak nak ikat.

Parok.

CNM

05 August, 2015

Malaysiaku

Malaysiaku

Hari memperingati
laungan keramat mendekat
sejarah kian lumat
hancur dari minda umat
tiada yang melekat.

Julai terkulai hangat
pecat memecat
gugur dikerat
ralat menghambat
satu negara terkulat-kulat.

Malaysiaku memberat
urus tadbir berselaput karat
kelihatan sagat menyagat
mempertahan pangkat
rakyat meluat.

CNM

Karatan Merdeka

Makin jauh
harapan tokoh
melihat bangsa teguh
berpadu ampuh
elak negara jatuh

integrasi kian lusuh
polarisasi membunuh
semangat patriotik meluruh
negara mungkin lumpuh
diterjah musuh

pemimpin tak bersusuh
berjuang tanpa paruh
rakyat dicucuh
dasar tak kukuh
sejarah mengeruh.

CNM, 26/7/15

MALAYSIA SEHATI SEJIWA


Malaysia
Ampuh di persada dunia
Lantunan usaha teraju bangsa
Anjur pembangunan buat rakyat jelata
Yang terbukti mencapai agenda
Sosial ekonomi terlonjak ke menara
Insani terbina berlandas ajaran agama
Anggun di mata dunia.

Sehati
Ego ditolak ke tepi
Hayati erti kemerdekaan sejati
Amanat bapa kemerdekaan digenggami
Tunjang kecemelangan dikecapi
Imbalan selayak dinikmati.

Sejiwa
Etika satu bangsa satu negara
Jelmakan dalam tingkah bicara
Institusi keluarga terbela
Warga masyarakat bahagia
Anugerah bangsa merdeka.

CNM, 26/7/15

11 July, 2015

Kerja dia


Highway utara selatan
Pulau Pinang punya jambatan
Putrajaya Cyberjaya
Koridor Raya Multimedia
Menara Berkembar Petronas
Menara KL di Bukit Nenas
KLIA-Westport
Proton-Perodua dieksport
dan banyak lagi jika nak dibilang
semuanya di sebalik seorang negarawan terbilang.

Selamat hari jadi Tun M.

Kaubuat apa untuk Malaysia?
Belajar hormati orang berjasa
kalau tak kaucuba buat benda lebih megah dari dia!
Jangan hanya tahu habiskan dana negara
kauapa ada?

CNM

Sirna

Malaysia yang sejahtera
kebelakangan ini satu-satu musibah menimpa
dan tiada satu pun perkara
terjadi tanpa makna
sesungguhnya pada setiap satu kejadian ada tanda-tanda
kepada yang ingin melihatnya
kurasa seakan keberkatan semakin sirna
kamu rasa bagaimana?

Ya Allah
limpahkan cahaya hidayah
moga pemimpin kami terus istiqamah
mencontohi Rasulullah
mentadbir urus dengan hemah.

CNM

Kupinta

Malaysia masih aman
biar gelora menghentam kiri kanan
selagi tuduhan tak dibuktikan
maka kekal ia sebagai hanya tuduhan
teruskan berdoa Malaysia kekal aman
kerana kita inginkan kesejahteraan.

Ya Allah, serlahkan kebenaran
andai ada ketidakjujuran kepimpinan
kuburkan kuasa kezaliman
andai mereka di landasan kebenaran
berikan mereka kekuatan menepis tomahan
sesungguhnya hidup ini penuh ujian
dan hanya kepada-Mu tempat meminta pertolongan.

CNM