Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

30 August, 2013

minda terjajah

minda terjajah

ramai yang menggelupur
bila dikatakan mundur,

ramai yang menggeletik
bila dikatakan tak patriotik,

egonya!
sedang masih ada warga;

buang sampah dari kereta,
campak putung rokok bawa meja,
lagu negaraku terlupa senikata,
banyak lagi kalau nak catat semua

sesuaikah dengan 56 tahun merdeka?
tepuk dada buka minda
jangan nak sentap bila orang mengata...

CNM, 30/8/13

Pra-Merdeka : Pasca-Merdeka

Pra-Merdeka : Pasca-Merdeka

tiga era
masih meninggal duka;

Inggeris
datang mengikis
khazanah Tanah Melayu habis
anak bangsa terhiris
peritnya tak terlukis...

Jepun
membawa racun
menghancur sebuah tamadun
anak bangsa dibalun
sakitnya meruntun...

Komunis
memecah belah harmonis
masyarakat ditabur janji manis
propaganda kekerasan menguris
lukanya dalam tak terhakis...

jangan engkau lupa
bukan sedikit air mata.

MERDEKA!

telah terbina
negara tercinta;

Syukur
Dia menganugerah nur
pejuang-pejuang bangsa masyhur
sepakat mengatur
tuntut merdeka tanpa gugur...

Perpaduan
jadi asas kemerdekaan
bangsa menyatu atas satu tujuan
bebas merdeka dalam acuan
negara bangsa ke puncak kejayaan...

Bangunkan modal insan
satu kemestian bukan kemewahan
ia tunjang negara capai wawasan
jadi negara maju seperti perancangan
bebas merdeka dari segala penjajahan.

jangan engkau leka
mereka sentiasa mencuba.

CNM, 30/8/13

50pp: mencari

50pp: mencari

...dalam perjalanan mencari sinar pelangi, tentu menempuh suka duka realiti, tentu ada anganan dan fantasi, tentu ada mimpi-mimpi, semuanya kerana ingin temui, sebuah kebahagiaan yang menyeri, dan yakinlah diri tidak sendiri, insan-insan yang menyayangi, akan berdiri teguh menyuntik motivasi, binalah kestabilan emosi, sesungguhnya tempat memohon pada Ilahi, Dia maha memberi....

CNM, 30/8/13

Puisiku Sepi

Puisiku Sepi

puisiku sepi
di malam yang sunyi
entah kenapa jari jemari enggan menari
mungkin telah penat menanti
ilham yang tak kunjung kemari...

puisiku sepi
irama hati seakan terhenti
melodi sanubari seakan tak bernadi
mungkin telah lelah menanti
idea yang hilang tak ditemui...

CNM, 29/8/13

29 August, 2013

Bingkisan Akhir V

Bingkisan Akhir V

setelah kupacak nesan
tanda kukuburkan jiwa lara
tiada lagi ruang yang pernah kauhuni di hati
ia jadi suci bersih tenang dengan izin Ilahi
usah engkau datang menagih kembali
kerana cukuplah hanya sekali
hati ini disakiti...

jadikan perpisahan ini
perpisahan yang kaunanti
biarkan kusendiri.

CNM, 28/8/13

Bingkisan Akhir IV

Bingkisan Akhir IV

telahpun meruap air mata
jadi pelangi di dada angkasa
walau senyuman mampu kuperaga
cinta teraniaya menyesak ke dada
begitu sukar melupa sandiwara yang engkau cipta
namun cintaku kepada-Nya mengatasi segala...

akan kukuburkan jiwa yang tersiksa
dan kujadikan kisah kita sebagai nesannya.

CNM, 28/8/13

Bingkisan Akhir III

Bingkisan Akhir III

cinta
yang engkau nokhtahkan
tiada lagi peruntukan air mata
biar kusendirian menongkat janji dibina
dan engkau bebas mengejar cinta
andai tidak kautemui yang didamba
itu bermakna tiada lagi aku di dunia
mempertahan cinta yang engkau aniaya...

CNM, 28/8/13

Bingkisan Akhir II

Bingkisan Akhir II

kutuliskan
warkah akhir ini
dengan titisan air mata
tatkala engkau membaca
ia telah mengering dari tubir duka
dan mudahan tiada lagi tumpahan kecewa
membasahi helaian-helaian sejarah cinta
yang engkau tamatkan dengan leraian janji yang kaubina...

kutintakan air mata
tanda nokhtah antara kita.

CNM, 28/8/13

di sini

di sini

aku;
larikkan kata
zahirkan bicara
lontarkan suara
dalam rencam nada,
dari luahan cinta
membangkit persoalan di minda
sindiran tajam menusuk sukma
kugaul menjadi ramuan karya...

nikmatilah jika bermakna.

CNM, 27/8/13

gah pada nama!

gah pada nama!

pada nama
gah di kuping telinga
engkau dipandang mulia
taraf khutub khanah negara
tapi adakah bermakna?
jika tiada usaha
memperbaiki yang sedia ada
tambah baik nilaian berganda
membukti nama itu selayak engkau punya...

CNM, 27/8/13

bingkisan akhir

bingkisan akhir

jangan engkau basahkan
bingkasan akhir ini dengan air mata
aku percaya setelah selesai engkau membaca
telah jauh aku dari hatimu yang tega
pergiku bukan dengan rela
undur diriku atas keterpaksa
berbahagialah kuutus doa
kerana hati ini tak mungkin ada sesiapa...

CNM, 26/8/13

cepat

cepat

andai ada bunga
yang telah memikat
jangan tersipu-sipu
hantar segera guntingan
sunting ke jambangan
usah biar terlalu lama
kelak disambar kumbang jalanan...

CNM, 26/8/13

? nawaitumu

? nawaitumu

tiada ijab kabul
tiada paluan kompang,

alih-alih kaumeloya
tetiba kaumemual,

bunting haram?
atau seketul darah itu bengkak membusuk?

aku tidak perlu jadi terlalu cerdik
membezakan haruman atau kohongan nawaitumu!!!

CNM, 26/8/13

~Monolog Gebar Gebu~

"betapa saban malam
aku menunggu hadirmu
menghangatkan malam dinginku
tinggalkan medan puisimu
berbahagi waktu
walau hanya temaniku
dalam lena yang bisu"

~Monolog Gebar Gebu~

CNM, 25/8/13

gelap

gelap

sepertinya cahaya
gelap punyai nikmat
masuki dunia gelap
dan kamu akan rasainya
bahawa ia satu anugerah...

CNM, 25/8/13

takhtakan

takhtakan

jangan dipacak duri
pada sekeping hati suri
kelak dendam tersimpan ke mati
jiwanya menangisi
tingkah lelaki dikasihi...

CNM, 25/8/13

Wanita Melayu

Wanita Melayu

Wanita Melayu itu;
yang menyusun bait katanya
yang mengatur tempuh langkahnya
yang menjaga sopan lenggoknya
yang tinggi budi pekertinya.

Wanita Melayu itu, ...engkaukah?
yang punya semangat waja
yang punya daya juang perkasa
yang punya sopan tutur kata
yang punya adab tertib bicara.

Wanita Melayu itu,...engkaukah?
yang menjaga maruah keluarga
yang menjaga warisan bangsa
yang mendukung wawasan negara
yang menegak syariat Yang Esa.

Engkaukah?

CNM, 25/8/13

Monolog Kolestrol.

"tega kamu
membiarkan aku bermaharajalela
membaluti segenap urat nanti
biar detak jantung laju berlari
cepat ke garisan nafas terhenti...

tolonglah sayangi diri"

Monolog Kolestrol.

CNM, 23/8/13

50pp: jalan

50pp: jalan

... denai ini yang kita pilih, lalui dengan rasa kasih, tiada suara merintih, hanya usaha gigih, ditagih, berikan dengan jiwa dan raga suci bersih, moga tiada halangan menyedih, doakan dipermudah onak duri direpih, yakini dan pasrah arah kita tak teralih, di akhirnya kita terpilih, memiliki kebahagiaan sahih, senyuman terukir memutih...

CNM, 23/8/13

Metamorfosis

Metamorfosis

metamorfosiskan minda
keluar dari tempurung era
buka seluasnya dada...

metamorfosiskan cara
atur lenggok bicara
tak sumbang di mata...

CNM, 22/8/13

seksi

seksi

puisiku malu
beraksi di ranjang beradu
tersipu-sipu
khuatir diintai tamu
kututup pintu...

masuk gebar baldu!

CNM, 22/8/13

pencanang

pencanang

bermata helang
menghidu tembelang
digebang-gebang
menelanjang
aib orang.

CNM, 22/8/13

sahabat

sahabat

kalaupun kamu pohon
hargai humus di perdu
tanpa ia kamu tak merimbun...

setiap satu pelengkap
usah cemerkap
bongkak...

CNM, 22/8/13

yang di tampuk

yang di tampuk

duhai pohon jaga dirimu,
jangan sesekali biar dedalu bertamu,
jika kamu gagal berdiri,
ramai yang tumbang sekali,
andai dia yang gugur,
hanya dia yang hancur...

CNM, 22/8/13

tak perlu

tak perlu

tak perlu!
jadi anak menteri
untuk menjadi...

tak perlu!
jadi anak pak imam
untuk mantap iman...

tak perlu!
jadi anak jutawan
untuk bantu yang kesusahan...

tak perlu!
jadi anak sasterawan
untuk hasilkan nukilan...

CNM, 21/8/13

kita

kita

kita senyum
bila dapat hak
bila dapat menegak
apa yang kita nak
walau menidak hak orang lain...

kita suka
bila sesuatu memihak
bila sesuatu dipijak
ada yang kita lanyak
walau menganiaya insan lain...

begitukah kita?
yang melampau tidak direda.

CNM, 21/8/13

salah nyata

salah nyata

hah! cinta tak pernahnya buta
jika benar sedemikian rupa
masakan ia memimpin ke teratak bahagia...

huh! sebenarnya pencinta itu yang buta
gagal berpaut pada dahan cinta
terhumban ke lembah derita...

engkau yang salah nyata.

CNM, 21/8/13

haram dihadap

haram dihadap

telah bertuan,
telah berpuan...

pucuk-pucuk muda diulamkan,
anak-anak ikan di lorong gelap dipaiskan...

pelahap
yang haram dihadap

CNM, 21/8/13

terasa

terasa

telinga-telinga pekak
terbahang diledak
terjahan kebenaran
terpukul keegoan

tampan berkulit badak
tak tertahan gelodak
terasak  kebenaran
terbakar perasaan

mata-mata buta
memerah membeliak
membangkang kebenaran
memecah pekung kepalsuan

yang benar tetap benar.

CNM, 21/8/13

28 August, 2013

Alah

Alah

mataku
buka seperti purnama
terus menyinar sepanjang malam...

mataku
perlu sedikit waktu
untuk menyinar kala mentari kembali...

CNM, 20/8/13

Siapalah aku

Siapalah aku

kuhanya mampu
mengintai wajahmu
indah menawan kalbu
berseri menyuluh sepiku
bertamulah mengubat rindu...

CNM, 20/8/13

50pp: Harapan

50pp: Harapan

...jika mampu, aku ingin bisikan pada mentari, bawalah kedukaan, hunjam ke ufuk barat, benamkan dalam-dalam ke pusat bumi, dan kala suria bersinar lagi esoknya, hanya senyuman yang terukir, menguntumkan ulas bibir mekar, bunga-bunga kedamaian berkembang, segenap penjuru alam berwarna-warnikan ketenangan, mewangikan haruman perpaduan, dunia bebas merdeka dari sengsara angkara sengketa...

CNM, 18/8/13

50pp: milik yang abadi

50pp: milik yang abadi

...hari ini bukan lagi semalam, jika duka telah menajak keras hatimu, hentikanlah tangisan, biar angin meniup awan mendung pergi, lalu langit kalbu membiru membawa pelangi ronakan tampan bahagia, dan esok yang bakal tiba, tunggu dengan hati yang tenang, sebening dan sehening muara kedamaian, berdoalah yang muluk mulus jadi milik abadi...

CNM, 18/8/13

Nyata

Nyata

di balik timur
tidak punya hati luhur
agenda menghancur
mengkebumi tanpa galian kubur

darah merah tersembur
mayat jadi pengembur
jenayah disubur
yang kufur

Ya Allah pancarkan nur
bersatu mempertahankan makmur
hidup dalam syukur
kepada-Mu yang mengatur.

CNM, 18/8/13

Sebak


Sebak

mentari pun luka
menyaksi bumi bersimbah darah

kirimkan doa
mereka menang di sisi-Nya.

CNM, 17/8/13

17 August, 2013

tusukan barat

tusukan barat

di barat
ada Islam tanpa muslim
mengkaji
meneliti
kekuatan ummah

di Arab
ada muslim tanpa Islam
tak henti
khianat dengki
mendedah kelemahan diri

tusukan barat
mencelahkan sembilu
membajikan selumbar
biar Islam hancur
dek umat yang kufur

Ya Allah
kembalikan hati Islam
kurniakan nur kesedaran
berpadu menongkah dakyah
barat yang memecah belah.

CNM, 17/8/13

Suka tak Suka VIII

Suka tak Suka VIII

Suka tak suka
era ini ICT jadi perantara
guna dengan bijaksana
pandai memilih yang berguna
tinggal yang meleka.

Suka tak suka
pelbagai gadjet direka
tujuan memudahkan kita
tapi ada merosak budaya
merenggang aktiviti keluarga.

Suka tak suka
anak-anak makin leka
kerja rumah entah ke mana
hanya permainan gadjet di minda
fokus belajar hilang begitu saja.

Suka tak suka
itulah hakikatnya
ibubapa perlu berjaga-jaga
anak-anak pandai bersandiwara
depan mata macam malaikat lagaknya.

Suka tak suka
pengaruh sekeliling besar kesannya
ambil tahu hal perkara
mencegah usaha cakna
mengubat lelah dibuatnya.

Suka tak suka
aplikasi atas talian melata
pendek kata pengetahuan ICT perlu di dada
kalau tidak dikata buta
buta teknologi alam maya.

Suka tak suka
dunia semakin berbahaya
ada saja kisah dicerita
ICT jadi medan memperdaya
yang terjerat merana.

Suka tak suka
usah terlalu percaya
tanam sedikit rasa curiga
siasat siapa kenalan kita
moga tak terkena.

Suka tak suka
berhati dengan internet punya niaga
ada yang memanipulasi urusniaga
duit lesap barang tiada
ditipu buta-buta.

Suka tak suka
ICT ada pro dan kontranya
hati-hati mengguna
jadi yang bijak sebagai pengguna
moga selamat mendapat faedahnya.

CNM, 17/8/13

50pp: rasa cinta

50pp: rasa cinta

...laungan keramat merdeka! merdeka! merdeka! limapuluh enam tahun dulu, biarlah terus bergema di kamar hati, mengenang sejarah perlukan rasa cinta, ya, rasa cinta pada perjuangan negarawan, yang telah berkorban masa tenaga dan nyawa, demi kesinambungan warisan, suka duka dan rasa hati yang dikecapi kini adalah peninggalan mereka buat kita selamanya...

CNM, 17/8/13

Suka Tak Suka VII

Suka Tak Suka VII

Suka tak suka
kita dibatasi masa
barangkali itu sebabnya
masa diibarat emas permata
bernilai tak terhingga.

Suka tak suka
masa yang lepas tak kembali semula
ia boleh jadi sejarah bahagia
pun boleh jadi pengajaran berguna
masing-masing ada ceritanya.

Suka tak suka
kita perlukan pengurusan masa
antara kehendak diri dan keluarga
tak kecuali tanggungjawab kerja
perlu diagih dengan cakna.

Suka tak suka
masa tak menanti kita
yang leka ketinggalan selamanya
yang bijaksana beruntung meniti masa
tiap detik terlalu berguna.

Suka tak suka
telah diingatkan Yang Esa
demi masa rugi manusia
kecuali mereka
yang sabar dan berpesan sesama.

Suka tak suka
usia makin berganda
muhasabah diri dosa pahala
di mana tercatat amalanya
di kiri atau kanan kita.

Suka tak suka
mohon ampun kepada-Nya
sedang Rasulullah sering berdoa
mohon diterima amalannya
inikan pula kita hamba biasa.

Suka tak suka
mohon maaf sesama
kekhilafan mungkin tak disengaja
selesaikan urusan dunia
di akhirat moga direda.

Suka tak suka
kita tak sempurna
yang di sekeliling pelengkapnya
berbuat baiklah sesama
silaturrahim dijaga.

Suka tak suka
nukilan di penghujungnya
moga ada yang berguna
terkesan di dada
jadi panduan berguna.

CNM, 16/8/13

50pp: dengar

50pp: dengar

...duhai pemimpin, pemilik kuasa dan siapa saja yang berautoriti, keputusanmu memang kata putus, tidak dipersoal, pun tidak menjadi isu, keakuran pasti diberi, cuma dipinta, ambil langkah yang bijak, sebelum membuat apa-apa keputusan, sekurangnya beri sedikit masa, mendengar, meneliti, menilai setiap luahan, elak dari membuat keputusan yang mengecewakan tanpa mendengar penjelasan...

CNM, 16/8/13

Bermandi Darah

Bermandi Darah

bumi anbia
bermandi darah
angkara musuh tak pernah lelah
menghasut memecah belah
membunuh yang tak bersalah

bukan kecil angka
gugur kerana agama-Mu Ya Allah
moga wangian syahid dianugerah
hancurkan musuh-Mu Ya Allah
berikan kemenangan yang di jalan-Mu Ya Allah.

CNM, 16/8/13

Suka Tak Suka VI

Suka Tak Suka VI

Suka tak suka
sejarah memberi fakta
negara merdeka dek persetujuan bersama
kesatuan hati terbina
demi kedaulatan negara.

Suka tak suka
negara kita berbilang bangsa
tolak ansur perlu diperkasa
harmonikan suara
perpaduan diutama.

Suka tak suka
kita punya pelbagai budaya
asimilasikan kelainan cara
menerima seadanya
tiadalah sengketa.

Suka tak suka
perlembagaan telah diterima
jadikan asas pegangan semua
hormati hak yang sama
keadilan terserlah jua.

Suka tak suka
kita punya sistem beraja
kesetiaan perlu dijaga
mendaulat payung mahkota
kedamaian terbela.

Suka tak suka
kita dijamin kebebasan beragama
hormati kepercayaan di dada
usah meniup bara
kelak terbakar rupa.

Suka tak suka
kita ada penguatkuasa
undang-undang harus dibela
menegak yang norma
menolak onar dicipta.

Suka tak suka
kita warga negara
amalkan prinsip sopan bersusila
tiada yang akan terasa
senyuman diberi percuma.

Suka tak suka
kita sebahagian negara
buruk laku buruk nama
jagalah adab budaya bangsa
negara akan dipandang mulia

Suka tak suka
tepuk dada tanya selera
semuanya di hati kita
tiada siapa mampu memaksa
kita mampu mengubahnya.

CNM, 16/8/13

Kata RAHMAN, kataku

Kata RAHMAN, kataku

kata Rahman
merdeka! merdeka! merdeka!
apa guna merdeka
jika minda masih kelas tiga
tiada beza.

kata Abdul Razak
kita punya keperibadian dengan satu bahasa
apa guna dirasmikan bahasa kita
jika bahasa penjajah didewa
tiada makna.

kata Hussien Onn
kita perlu pemimpin berjiwa
apa guna pemimpin dipuja
jika rakyat diperkuda
tiada patriotismenya.

kata Mahathir Mohamad
kita punya pendapat yang berbeza
apa guna banyak idea
jika tidak ada titik sama
tiada kesepaduannya.

kata Abdullah Ahmad Badawi
kita maju hasil perjuangan lagenda
apa guna kemajuan di persada
jika moral dilupa
tiada kehormatannya.

Kata Najib Abdul Razak
saya perlu kuasa untuk rakyat jelata
apa guna memiliki kuasa
jika rakyat makin terhina
tiada ertinya.

kataku
semua pemimpin pandai berkata
indah pada pendengaran semua
tiada guna kalau tak dilaksana
pemimpin akan ditanya
apa yang dikerja...

CNM, 16/8/13

Suka Tak Suka V

Suka Tak Suka V

Suka tak suka
cuti dah di penghujungnya
bersiap siaga
kembali bekerja
meneruskan agenda.

Suka tak suka
dah jadi tugas kita
tanggungjawab kena laksana
amanah bangsa negara dan agama
itu perlu diutama.

Suka tak suka
kita yang pilih kerja
jangan rasa terbeban dengannya
buat secara kerja sama
yang berat ringan jadinya.

Suka tak suka
kepentingan semua dijaga
kepentingan diri dikawal selia
pasukan terjaga
institusi berjaya.

Suka tak suka
dengar arahan ketua
jangan ikut kepala kita
ia jadi barah bawa bencana
kita jadi perosak tak berguna.

Suka tak suka
latih diri bekerjasama
kalau tak tahu bertanya
kalau berilmu kongsi semua
permuafakatan banyak faedahnya.

Suka tak suka
berikan sumbangan anda
tonjolkan diri untuk berjaya
kelebihan diri usah simpan saja
rugi terpendam tak diguna.

Suka tak suka
tugasan biar ikut jadualnya
tak menyusah rakan sekerja
tertangguh nak dilaksana
dek kerja kita yang tertunda.

Suka tak suka
aku berpesan pada semua
tak terkecuali diriku juga
yang baik diamal sentiasa
yang buruk dihentikan segera.

Suka tak suka
sampai sini dulu versi lima
dengan Izin-Nya
ada idea sambung yang enam pula
harap dimaaf pada silap salah bicara.

CNM, 16/8/13

sedang-sedang saja

sedang-sedang saja

minum susu
katanya putih sangat,

minum kopi
katanya hitam sangat,

minum kopi susu ya
sedang-sedang saja...

CNM, 15/8/13

Jantan Durjana

Jantan Durjana

Jenis apa kamu ini
jantan durjana
membelasah yang lemah
kamu yang patut melindungi
kamu yang patut membela.

Kamu wanita!
lepaskan diri dari bala
jantan durjana akan membinasakan hidupmu
usah ditagih cinta jantan keparat
tak rugi jika kamu leraikan.

Kamu lelaki!
jika menyusahkan wanita, bacul namanya
dah tak suka lepaskan
belajar menghargai anugerah Tuhan
belajar memuliakan.

CNM, 15/8/13

50pp: diuji

50pp: diuji

...ada yang sering marah-marah, bila menyaksikan Israel mengambil hak Palestin, tanpa ada peri kemanusiaan, menindas, menafikan, dan di sini, di tanah air yang bertuah, ada yang baru diuji sedikit dengan limpahan kesenangan, dengan bongkak mengambil hak orang lain, tanpa peduli kesulitan, rintihan hatta penjelasan, tiada tolak ansur, persis bangsa Israel...

Cnm, 15/8/13

Huru Hara

Huru Hara

telah disabda
akan tiba satu zaman huru hara
kini terbentang depan mata
darah memercik serata semesta
nyawa dipersenda
manusia jadi malaikat pengambil nyawa...

Ya Allah
Engkau turunkan pertolongan
kepada yang tidak berdosa.

CNM, 15/8/13

hayati

hayati

mata yang mendengar
pandangannya bermakna,

telinga yang melihat
pendengarannya bererti,

kaki yang menggapai
langkahnya kesampaian,

tangan yang berlari
hayunannya berisi,

hidup yang mati
kakunya membatu...

CNM, 13/8/13

kita yang tinggal

kita yang tinggal

mempertahankan tanah warisan
datuk maharajalela yang tidak rela bangsa diperkuda
mat kilau yang perjuangannya sentiasa berkilau merentas masa
tok janggut yang tersungkur demi anak bangsa tak jadi pak turut
dan banyak lagi nama yang gugur pantang berundur...

kita yang tinggal bagaimana?

CNM, 13/8/13

tanah ini

tanah ini

tanah ini
tanah bangsaku
kekal berdaulat direstu

tanah ini
tanah bertuah
tanah tumpahnya darahku

tanah ini
akan kupertahan
ke titisan darah terakhir

tanah ini
bebas merdeka
lambang kedaulatan bangsa

tanah ini
tanah melayu
hakikat yang jitu.

CNM, 13/8/13

Kencing

Kencing

Kecing manis
sejenis penyakit kronik
lebihan gula dalam darah
hanya ubatan dapat mengawal
kekal sepanjang hayat.

Kencing tikus
sejenis jangkitan virus
menyerang organ badan
sistem gagal berfungsi
membawa mati.

Kencing kawan
sejenis penyakit hati
jika terkena menyakitkan emosi
tak terjangka
dari yang dipercaya.

CNM, 13/8/13

Jenayah

Jenayah

relevankah lagi rukun negara?
semakin hari semakin menjadi-jadi jenayah...

rukun negara kelihatan tidak lagi dihayati;
jika percaya kepada tuhan
jika setia kepada raja dan negara
jika memelihara keluhuran perlembagaan
jika mendukung kedaulatan undang-undang
pasti kesopanan dan kesusilaan diamalkan...

tiba masanya yang dibuktikan bersalah dinyahkan dari bumi bertuah ini.

CNM, 12/8/13

mula panas

mula panas

satu, satu tragedi
mengocak muara damai
dari siri tembak menembak
kini letupan meledak...

tanah ini mula panas
api hura hara mula melecurkan
kebimbangan berputik membarah
sedikit demi sedikit ketenangan disesah jenayah...

manusia sudah jadi "malaikat maut".

CNM, 12/8/13

50pp: heningkan jiwa

50pp: heningkan jiwa

...kita pulang,
pulang berhari raya,
berhari raya di desa tercinta,
desa tercinta tempat ayah bonda,
ayah bonda yang melahir dan membela,
membela jadi manusia berguna,
berguna pada negara bangsa dan agama,
agama mengajar kita membersihkan jiwa,
jiwa yang suci meninggalkan prasangka,
prasangka merosakkan hubungan sesama,
sesama bermaafan di hari raya...

CNM, 10/8/13

Malaysia vs Barca

Malaysia vs Barca

atas kertas
Malaysia tak akan menang
tapi apa yang akan berlaku tak siapa tahu,

Malaysia tak perlu ada penyerang selincah Messi
Malaysia tak perlu ada perancang sebijak Iniesta
Malaysia tak perlu ada pertahanan semantap Puyol
cukuplah
jika Malaysia miliki semangat juang seperti mereka.

"Mainkan bola bukan dimainkan bola"

CNM, 10/8/13

50pp: tanggungjawab

50pp: tanggungjawab

...tidakkah sebahagian dari kita malu, ya malu kepada makhluk tuhan, yang tidak punya akal, jauh lebih sempurnanya kita, makhluk sebaik kejadian, makhluk yang diberi buah fikiran, pada subuh dingin, masih enak dibuai mimpi, bergebar hangat, sedang ayam-ayam pun bangun untuk mengejutkan, menunaikan tanggungjawab yang diperintahkan, sesungguhnya solat itu lebih baik...

CNM, 10/8/13

Mendidik

Mendidik

ketika embun
belum dibahang mentari
anak-anak
masih berupa rebung
ia senang dilentur...

ketika mentari berlabuh
kelam malam makin gelita
anak-anak
sudah bagai buluh
ia sukar dibentuk...

bertukang pada masa sebelum terlewat.

CNM, 10/8/13

50pp: tragedi

50pp: tragedi

...sedarkah, di hujung sebuah perpisahan, andai hatimu mengharapkan dia menoleh pandang, percayalah, sebahagian hatimu masih pada dia, dan jika hatimu belum cukup kering, berpaling tanpa menoleh lagi, percayalah, hidupmu akan berendam air mata, terkenang-kenang mengapa perpisahan yang dipinta, sedang hati meronta-ronta ingin memiliki dia, kendalikan keegoaan, mudahan dijauhi tragedi cinta...

CNM, 9/8/13

50pp: terpenjara

50pp: terpenjara

...di sebalik tirai besi, berdindingkan tembok batu, beralaskan lantaian simen, di dalam sel-sel kecil, ada hati-hati yang sebak, mengenang sejarah lalu, atas kekhilafan diri, atas kealpaan diri, atas kecuaian sendiri, telah menjerumuskan diri dengan noda, memalitkan lumpur ke badan sendiri, dan kini mungkin menghitung hari-hari terakhir menikmati indahnya berhati mulia...

CNM, 9/8/13

kenangkan jasa

kenangkan jasa

kala kita bergembira
ingatlah;
ada yang sebak di perbatasan
ada yang bersengkang mata di wad kecemasan
ada yang meronda di lorong-lorong perumahan
demi tugas yang telah diamanahkan
telah mereka korbankan
masa dan tenaga
di hari perayaan...

CNM, 9/8/13

50pp: rajuk

50pp: rajuk

...kecewa, marah, tentang apa saja yang dihajati, tak dipenuhi, tak ditunaikan, buat diri rasa terpinggir, rasa dianak tirikan, rasa sendirian, membawa kepada pemencilan diri, kemurungan, enggan berkomunikasi, sebagai reaksi kepada keinginan yang tak kecapaian, tindakbalas yang merugikan diri sendiri, setelah dipujuk, rajuk masih berpanjangan, perlukah tindakan sedemikian, matanglah dalam tindakan...

CNM, 9/8/13

syukur

syukur

beri derita
beri bahagian
keduanya nikmat
pengujian alam fana
syukur
ia bawa keinsafan...

CNM, 9/8/13

Puisi di Aidilfitri

Puisi di Aidilfitri

Saat kegembiraan
ingatlah juga kesedihan
kerana ia akan silih berganti...

Saat kesedihan
ingatlah detik keriangan
kerana kesedihan pasti akan pergi...

doakan yang baik-baik saja.

CNM, 8/8/13

Di Pagi Syawal

Di Pagi Syawal

mari bertakbir memuji Ilahi
tanda syukur atas nikmat diberi
sempurna ramadan yang pergi
berzakat menyucikan diri
bermaafan sesama sendiri

ingatlah sahabat mulai hari ini
musuh kita bertugas kembali
tanpa had mendekati
membisikan kealpaan mengingkari
titah perintah Allah yang patut ditaati...

moga kita sentiasa mengawal diri.

CNM, 8/8/13

'mok ayoh'

'mok ayoh'

pernah mok ayoh?
cakap sayang pada kita
jarang terdengar
tapi mengapa kita tahu
mok ayoh sayang kita?...

pulanglah selagi ada hayat mereka.

CNM, 7/8/13

50pp: mohon maaf semua

50pp: mohon maaf semua

...di laman maya, aku banyak menulis kata, bicara tanpa bersua, menegur tanpa menyapa, berpesan tak mengira siapa, maaf andai ada salah tuturnya, silap atur bahasanya, tanpa disedari mungkin menguris rasa, menyemai benih kecewa, memutuskan rasa bersama, dan pada hari raya aidilfitri yang mulia, kumohon keampunan dari semua, tua dan muda...

CNM, 7/8/13

Gema Takbir

Gema Takbir

gema takbir
menggamit kerinduan
pada kasihnya kamu
membelaku
sejak pertama kali
mata ini memandangmu

tak tertanding kasihmu ibu
rindu ini tak pernah pergi

Allahu Akbar Wa Lillah Ilham.

CNM, 7/8/13

50pp: berita

50pp: berita

...memperkata, tentang sesuatu berita, yang ternyata, bukan berlaku depan mata, usul periksa, biar jelas dan nyata, jika tidak ia jadi menjaja, berita ditokok tambah ikut rasa, mengelirukan pembaca, lebih-lebih lagi diterima dengan membabi buta, buruk padahnya, boleh timbul salah sangka, mencetus sengketa, berbalah kerana kecewa, dek pembawa yang mengadu domba...

CNM, 6/8/13

Cinta Tiga Segi



Cinta Tiga Segi

mencintai yang tidak mencintai
dicintai yang tidak dicintai
cinta tiga segi
sering terjadi
menyayat hati...

CNM, 5/8/13

50pp: menikus

50pp: menikus

...politikus senyap mengular, jika pasal kepentingan diri berdegar-degar, cabar mencabar, bila soal bangsa dicalar balar, di mana suara halilintar, hambar, tawar, tak rasa tercabar, kerana bukan hal dalam gebar, tak perlu nak diperbesar, biar, biar orang lain yang ambil putar, biar bangsa sendiri dicakar, biar hati bangsa sendiri dibakar, biar...biar...

CNM, 5/8/13

50pp: tergadai

50pp: tergadai

...katanya kita adalah kita, kita nak jadi kita, tak nak terikut mereka, tapi ternyata kita bukan lagi kita, kita telah beransur jadi mereka, dengan mengasimilasikan budaya, menyerap apa yang sedap di mata, mencontohi apa yang kena dengan citarasa, mengambil tingkah yang konon kena dengan gaya semasa, sedang budaya sendiri dilupa...

CNM, 5/8/13

Laut kasih 306

Laut kasih 306

berkolekkan rindu
meredah gelombang asmara
merentasi gelora laut kasihmu
menuju pulau cinta
aku pasrah rela
kerana kutahu
di sana ada rimbunan bahagia...

CNM, 9/8/13

Laut Kasih 305

Laut Kasih 305

rasa seperti di alam mimpi
memiliki selaut kasihmu
yang tak tergambar di alam jaga
sentiasa dibuai rindu
sentiasa mekar kuntum senyuman
sentiasa terhidang haruman cinta
terima kasih dinda
moga berpisah tiada ke hujung nyawa...

CNM, 9/8/13

Laut Kasih 304

Laut Kasih 304

di sebalik;
bicara mata
suara lenggok badan
isyarat sejambak senyuman
yang engkau pamerkan
aku menggilai
aku terpesona
aku tergoda
dengan sekujur tubuh laut kasihmu
menggiurkan rasa cinta ini...

CNM, 9/8/13

06 August, 2013

Laut kasih 303

Laut kasih 303

malam ini
hati melonjak ingin bersuara
berbisik ke kuping sukmamu
ingin sekali aku dipeluk erat
ditemani hela nafas laut kasihmu.

malam ini
sanubari teruja ingin berbicara
berbisik ke telinga jiwamu
ingin sekali aku dibelai manja
ditemani detak jantung cintamu.

CNM, 6/8/13.

Laut Kasih 302

Laut Kasih 302

mencintaimu kasih
satu ketentuan yang berbayar
kerana cintamu tidak pernah hambar
setiasa bersinar memancar suria

mencintaimu sayang
satu keputusan yang gemilang
kerana cintamu penuh kasih sayang
sentiasa merangsang kedamaian

mencintaimu dinda
satu perbuatan yang berharga
kerana cintaku yang kamu takhta
sentiasa setia dalam suka duka

selaut kasih termilik.

CNM, 6/8/13.

Laut Kasih 301

Laut Kasih 301

teratak kenangan
jadi saksi
bercantumnya
aliran sungai rinduku
dan ombak rindumu
di muara laut kasih kita...

lalu berpadu ia menjadi pulau cinta
dalam kesyahduan gelora kasmaran asmara.

CNM, 6/8/13

05 August, 2013

Celup

Celup

di hari raya
ramai anak-anak bertamu
menjamu selera sudah tentu
tak lupa duit diserbu

sebelum balik
ada tak yang kena celup jari
dakwat kekal tanda bertamu
elak dua kali menyerbu

CNM, 5/8/13

Tembak Menembak

Tembak Menembak

kepada siapa sekalipun sasaran
yang kini kelihatan kepada individu berprofil
dek amarah dan dendam
ia harus dipandang serius pihak keselamatan
jangan biar isu ini jadi biasa
kerana masyarakat kita kaya budi bahasa
keamanan jadi teras kemajuan negara.

CNM, 5/8/13

Pertimbangan

Pertimbangan

di akal
ada jalan,

di dada
ada pilihan,

di hati
ada ketetapan...

pertimbangkan yang diredai Tuhan.

CNM, 5/8/13, THMK.

apa guna

apa guna

mata yang celik
sengaja dibutakan,

telinga yang mendengar
sengaja dipekakkan,

akal yang bijak
sengaja dilembamkan.

CNM, 4/8/13

Pilihan

Pilihan

lelaki
memilih yang cantik
memuja yang bergetah
tidak yang teguh akidah
yang akur perintah Allah

wanita
memlih yang poket sendat
memuja yang berpangkat
tidak yang mendukung syariat
yang membawa kepada syafaat

jadilah yang bijak.

CNM, 4/8/13, THMK.

tiada kepastian

tiada kepastian

Langit cinta
tidak menjanjikan pelangi bahagia
adakala awan duka menyelubungi
menutupi seri wajah rindu
gerimis resah menempias
membasahi sekeping hati
dan perlahan meleraikan
segenggam harapan...

CNM, 4/8/13

Sistem yang Pincang

Sistem yang Pincang

saban hari beronar
adegan jenayah terpapar
sana sini tersebar
keselamatan kian tercalar
hidup aman kian tercabar

di mana bermulanya akar?
padaku sistem yang pincang telah menjalar
kelemahan yang tidak mahu didengar
pemimpin sibuk dengan politik dalam pagar
gagal membulatkan suara membendung pencakar

pasukan besar
tak menjamin mencapai sasar
strategi tepat perlu dikibar
biar gerun penjenayah tegar
menghormati undang-undang tersiar

bangkitlah pembesar
sebelum barah kian menular
kaji selidik mematahkan selumbar
yakinkan rakyat keselamatan tak tercemar
terkawal dari anasir yang mengelar.

CNM, 4/8/13, THMK.

Ya Rahman Ya Rahim

Ya Rahman Ya Rahim

kurniakan kami kemuliaan-Mu
ketemukan kami dengan malam yang ditunggu
malam yang lebih baik dari seribu bulan itu
sesungguhnya Engkaulah penentu
untung nasib kami di hari amalan disemak satu persatu...

CNM, 2/8/13

Salam Kemaafan

Salam Kemaafan

sepertinya langit
yang tidak selalu cerah
kutahu
bicaraku tidak selalu indah
tingkahku tidak selalu berhemah
wajahku tidak selalu ramah

kususun
sepuluh jari
menghulurkan salam kemaafan
atas ketelanjuran
atas kesilapan
yang mungkin tanpa disengajakan
mengguris hati sahabat sekalian

salam aidilfitri maaf zahir batin

CNM, 2/8/13

Jika Pulang

Jika Pulang

biarlah
menguntumkan senyuman
disambut penuh keriangan
jangan
mengukir kedukaan
disambut penuh kepiluan

biar lambat asal selamat...

"Selamat Hari Raya Aidilfitri"

CNM, 2/8/13, THMK.

Laut Kasih 300

Laut Kasih 300

bajai pohon cintamu
dengan siraman kasih suci
biar merimbun dedaun rindu
menaungi redup kasih abadi
janji tak dimungkiri...

bajai pohon cintamu
biar ia jadi saksi
tiada dua tiada tiga
cinta diberi setelus hati
kekal ke akhir nanti...

CNM, 5/8/13

Laut Kasih 299

di matamu ada sinar cinta,
di lehermu ada nadi cinta,
di dadamu ada debaran cinta,
di hatimu ada kamar cinta.

di teratak jiwaku ada sinar cinta
yang berkerdipan pabila bertamu ke kamar laut kasihmu.

CNM, 5/8/13

Laut Kasih 298

kugembur laut kasih
dengan memeluk sekujur rindu
dengan mengucup wangian cinta
dengan mendengar syair asmara
dengan memotret wajah cinta membara
dan kuvideokan untuk tatapanmu.

CNM, 5/8/13

Laut Kasih 297

Puisi cinta
yang kutulis bertinta rasa
merangkai bait-bait kata rindu
kurentangkan umpama jaluran pelangi
menyeri dada langit dari ufuk ke ufuk hati
dan menguntum sebuah senyuman di ulas bibirmu...

Puisi cinta
yang kualunkan beriring melodi muzik alam
mendayukan kata suara syahdu
kuperdengarkan hanya ke telinga hatimu
membisik elus sukma
dan terukir seraut wajahmu yang rupawan...

CNM, 5/8/13

Laut Kasih 296

Aku sering kali menyimpan rasa
untuk kubisikan dalam kelambu cinta kita
kerana kutahu
saat cuping telingamu menyambut ayat cinta
merona merah pipi mulusmu...

Aku sering memandang ke dalam mata hitam
dalam-dalam kubongkar rahsia hatimu
kerana kutahu
saat matamu bertatapan mataku
kautertunduk malu mengiyakan rasa gelora asmara...

Aku cinta kamu dinda!!!

CNM, 5/8/13

Laut Kasih 295


apa lagi yang hendak kukata
setelah cintaku berbalas bahagia,

luasnya lautan kasihmu
tak terjangkau dek mindaku,

ucapan syukur kepada Yang Satu
kuzahirkan bertalu...

CNM, 3/8/13

Laut Kasih 294



aku bukanlah novelis
untuk mengarang sebuah novel cinta
aku bukanlah terlalu daif
untuk menyatakan rasa cinta

memadailah
kulafazkan
aku cinta kamu hingga akhir nanti
atas selaut kasih yang engkau beri...

CNM, 3/8/1
3

Laut Kasih 293

yang terindah
berbaring di ribaan laut kasihmu
mendengar bisikan rindu syahdu
menghirup wangian cinta tulus padu
yang kauberikan padaku

aku terlena dalam dakapan cinta kasih sayangmu.

CMN, 22/7/13, THMK.

01 August, 2013

100pp: ketemukan

100pp: ketemukan

...lelah yang pernah singgah ke dada ini, terasa telah berbayar, dengan berbakti pada agama, bangsa dan negara, jika bukan kerana keizinanmu, aku tidak di sini hari ini, punya keluarga, punya anak isteri yang membahagiakan, hidup seadanya, syukur atas kurniaan Yang Maha Pemurah lagi Maha Menyayangi, aku yakini semua itu atas berkat doamu, doa yang kini aku tak merasai lagi, hanya utusan doa yang mampu kupanjatkan kepada-Nya, semoga dirimu di sana dalam keredaan dan kemuliaan Sang Pencipta, amanlah, tiada lagi air mata yang tertumpah, yang aku tahu bukan sedikit membasahi pipimu, dan aku pohoni sungguh-sungguh Ya Allah ketemukan aku dengan dia...

CNM, 1/8/13, THMK

50pp: semalam, hari ini dan esok

50pp: semalam, hari ini dan esok

...sepahit mana, pun semanis mana yang semalam itu, jadikan guru yang mengajar, untuk jadi lebih matang dalam kehidupan, buat menempuh hari ini dengan tenang dan sabar, menempatkan diri ke landasan terbaik, demi kemenjadian mencapai kebahagiaan, dan kemampuan menduga yang bakal ditempuh esok lusa, adalah persediaan berasas pengalaman yang telah mendewasakan...

CNM, 1/8/13

Mungkin

Mungkin

Ya Allah
mungkinkah
kerana janji keampunan-Mu
jadi asbab
ramai yang mengingkari

syariat-Mu dipandang sepi
dek suatu ketika sebelum mati
difikir sempat mohon diampuni...

CNM, 31/7/13

50pp: 3G

50pp: 3G

...kini zaman kecanggihan ICT, maklumat di hujung jari, pelbagai gadjet dan peranti dimiliki, dari pemimpin tertinggi ke pelajar yang belum boleh berdikari, semua memiliki dalam kocek sendiri, namun fenomena ini mungkin mengundang tragedi, murid mengenepi fokus bila mengaji, asyik teruja dengan peranti 3G dek terkena sindrom 3G: gedik, gelinyau, gatal...

CNM, 31/7/13

"Iceberg"

"Iceberg"

pandanglah
dengan mata hati
kebaikan yang terpamer
mungkin menutupi sebongkah kemungkaran
tunjang diri yang tak kelihatan...

CNM, 31/7/13

Pergi

Pergi

pergi
dengan janji terpateri
ia menyakiti

pergi
dengan merungkai ikatan tali
ia mengubati

jika tiada lagi ruang di hati
pergilah tanpa mengkhianati
maruah tak dicemari.

CNM, 31/7/13

dekat

dekat

dekat kemari
biar bau ketiak terhidu
usah menjauh ke belakang

dekat padaku
biar terpercik liur
usah menghindari ke tepi

dekat pada punca ilmu
lebih mudah menguasai
lebih menjadi
lebih direstui.

CNM, 30/7/13, THMK.

?

?

kenapa tu?
memandang dari celahan jari
malu ek?
tak mengapa!
aku tak akan memperlekeh nukilanmu
kongsikanlah
ramai saja yang menanti mainan bahasamu...

aku akan senyum lebih manis dari madu.

CNM, 30/7/13, THMK

50pp: belum masa

50pp: belum masa

...kawal diri, belum masanya, fokus kepada matlamat pendidikanmu, biarkan dahulu naluri untuk mencintai dan dicintai, kerana aku yakin cinta itu akan hadir jua, dan pada ketika yang tepat bukalah seluasnya kamar hatimu, bajai rasa itu dengan kesetiaan dan kejujuran, cinta tanpa kejayaan diri tak membawa ke mana, ia bisa memusnahkan...

CNM, 30/7/13

Nur

Nur

di mata
ada nur yang menyaksi,

di telinga
ada nur yang mendengar,

di hati
ada nur yang mengerti,

bahawa janji-Nya tak didustai.

CNM, 30/7/13, THMK.