Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

Loading...

28 November, 2016

Takdir Kita Berbeza 14


Kak
Kala orang lain seusia
tekun menjawab SPM
aku tak tertakdir ikut serta
perancangan-Nya
terbaik buatku.

CNM

Takdir Kita Berbeza 13

Kak
jika tersusun sijil-sijilmu
capaian cemerlang
kususuri
sepertimu
kujuga ingin cemerlang
buat ibu abah bangga.|

CNM

Takdir Kita Berbeza 12

Dia sempurna di mataku
keistimewaanmu
kekuatan bagiku
kekuranganmu
cabaran bagiku
dalam dirimu
mengalir darahku.

Takdir Kita Berbeza 11

Kak
lihat teman-temanku
lihat teman-temanmu
takdir kita berbeza
aku anak istimewa
hanya di sisi ayah bonda

Kak
dikau ke pelusuk dunia
merantau cari ilmu
Bawa pulang
moga tak ketinggalan
kutumpang senang.

CNM

Warkah Buat YDPA XV

Warkah Buat YDPA XV

Daulat Tuanku
sembah patik harap diampun

hamba susun sepuluh jari
menitip kata dari tinta hati
dengarkan bicara hamba ini

tahniah ucapan diberi
selayaknya Tuanku ke takhta tertinggi
payungan Tuanku kami nanti
moga berkat serata negeri

titah perintah Ilahi
diutuskan rasul dan nabi
hidupkan syariat yang diperingati
subur makmur negara menjadi
sejahtera bawa ke alam abadi

kami setia mentaati
lihatlah kami dari takhta suci
sengsara dalam indah manipulasi
perit hidup dalam kekayaan dimiliki
perbetulkan tadbir urus negara dicintai
kembalikan hak-hak kami

Tuanku yang disanjungi
kepada siapa lagi nak kami ratapi
berabad sudah Tanah Melayu menangisi
dari satu tangan ke satu tangan menjajahi
tak sanggup lagi dirobek hati-hati kami
dengan kuasa yang Tuanku miliki
perbaiki institusi memayungi

Tuanku yang disanjungi
politik berbasa-basi
kelihatan menikam harmoni
mencalar sanubari pejuang demokrasi
rasuah sana sini
serata dunia mula sangsi
amanah negara dikotori
rakyat terpana kepercayaan dikhianati

Ampun Tuanku
sembah patik harap diampun
bicara hamba yang hina
pertimbangkan dengan bijaksana
mudahan ada petunjuk dari-Nya
memayungi rakyat jelata.

CNM, 14/10/16.

GURU

Guru penyempurna akhlak
tampal yang koyak
baiki yang rosak
bukan sembarangan tempelak
ada asas nak ditegak.

Guru pemangkin integriti
bina jati diri
kawal emosi
bukan sembarangan provokasi
ada dasar kritis menyata harga diri.

Guru junjung amanah
lafaz janji bersumpah
bangunkan bangsa berdiri megah
bukan sembarangan bantah
ada kepincangan membarah.

Guru semua pun tahu
wariskan ilmu
suburkan rasa bersatu
bukan sembaragan sembilu
ada nanah mencucuk kalbu.

Guru selamanya dikau guru
engkau tahu
aku tahu
Dia tahu.

CNM

Akar dan Pucuk

Pucuk
subur menghijau 
rendang bersilara
disimbah mentari
disirami embun pagi
usah lupa diri
semuanya 
dek akar yang berbakti
teguh mencengkam bumi
bekalkan nutrisi.

Satu waktu pucuk ...kan layu
penangan akar dibiar mereput
duhai! pucuk kembalilah ke bumi
korbankan diri jadi humus.

CNM

Sijil

Helaian kertas
tercetak butir bernas
layak di atas

Kepingan kertas
bernilai dari wang kertas
hapus waswas

Ada yang terbebas
dek sekeping kertas.

CNM

Takdir Kita Berbeza 10

Duhai anak
takdirmu berbeza

satu ayah bonda
nasib tak serupa
kasih kami sama

betapa kami ingin lihat
kasih sayang kamu terikat
tak terluntur ke akhir hayat
mohon pada-Mu Ya Rabb
tautkan mereka kejat.

CNM

Takdir Kita Berbeza 9

Kak
Apa khabarmu di sana?
Sejahteralah kudoa

di sini
rindu menyelinap ke hati
kutabahkan diri

terpisah kita
hanya di mata
dekatnya kita di hati.

CNM

Takdir Kita Berbeza 8

Kak 
segalanya mungkin bagimu
gapai impian hidup

Kak
aku tak mampu sendirian
mengharap payunganmu
jalan seiringan
hingga ke akhiran.

CNM

Takdir Kita Berbeza 7

Tiada kata-kata
kasihnya diperaga
biar potret berbicara

tak terluah
dengan bahasa indah
hanya mampu bertingkah

kak
biar beza kita
bagai lagi dan bumi
namun kutahu
antara kita ada ikatan padu

peruntukan kasihmu untukku.

CNM

Takdir Kita Berbeza 6

Alam itu
saling melengkapi
kita pun sama

kak
moga kekuranganku
tidak melemahkanmu

kak
kelebihanmu
jadi kekuatanku
dalam diri kita
mengalir darah yang sama
waris ayah bonda.

CNM

Takdir Kita Berbeza 5

Dik
engkau sempurna
di mata kami

kasih sayang
tak berbelah bahagi
itu pasti

pada dirimu
tertakdir begitu istimewa
mengajar erti sabar

terima kasih
memilih kami
berkongsi suka duka
mudahan tertakdir kita ke syurga.

CNM

Takdir Kita Berbeza 4

Kak
aku tak setandingmu
cerdik pandai menuntut ilmu

Kak
yang aku tahu
kasih sayangku padu

Kak
biar terpisah beribu batu
ikatan kasih
biar kejat waktu ke waktu

Kak
bertuahku
menjadi saudaramu
selamanya biar begitu.

CNM

Takdir Kita Berbeza 3


kak
kita bersaudara
satu ayah bonda

kak
di mata dunia
kulahir tidak sempurna
jangan pernah ada kecewa

kak
anggap aku seperti yang lain
punya hati dan perasaan
mengharap kasih dan sayang

kak
ke mana pun langkahmu
jangan pernah lupa
aku di belakangmu

jika telah tiada yang kasih padamu
tiadalah lagi aku.

CNM

Takdir Kita Berbeza 2

kak
izinkan daku
menumpang kasihmu

kak
jangan pernah lupa daku
walau kuhanya menanti di sini
doaku mengiringi

kak
ibu abah berikan ilmu
kubukan sepertimu
ditakdir daku harapkan ihsanmu
seumur hidupku

kak
pulangmu kunanti
bergelak tawa
mengusir duka
pimpinku ke syurga.

CNM

Tebah

Malam ini
tebah menebah
perak dalam tangan
emas jadi impian
catat sejarah terbilang.

Malam ini
jadi saksi
bangsa Malaysia
pamer aksi taraf dunia
buru emas pertama.

Mudahan dapat cuti satu negara.

CNM

Takdir Kita Berbeza

Selamat jalan kak
semoga selamat sampai

takdir kita berbeza kak
biar adik di sisi abah ibu
menunggu kepulanganmu

tak mungkin kujejak langkahmu kak
tanpa kenal tulis baca
hanya doa kuutuskan
suatu hari pulangmu dengan kejayaan

hakikatnya kak
kita miliki ibu abah
yang sama.

cnm

Lima Sembilan

Sudah lima sembilan
diulang, ulang

datang dan pergi
disambuti serata negeri
terlekatkah di hati?

Payung negara
pak menteri gah di tandu
rakyat masih menelan
asap candu gerhana

mereka atau kita
yang hanya galak
laungkan kata merdeka
minda jiwa terpasung
tiada untung.

CNM, 7/8/16

Topi dan Perut Besar

dimilki topi
buat menutup akalan
difikirnya tak akan kelihatan
dunia bukan zaman Belanda
dunia jurangnya semakin menghama.

dimiliki perut besar
telah penuh diisi campuran haloba
tak terduga ada satu rongga
terlepas jua bauan menyembilu dada
memang telah diduga.

CNM

Maju Depa

depa
CSI sungguh
sudah masuk mahkamah
harus ada yang lemas
tak terenang dek agenda terbabas.

kita
CSI apa
dikhabarkan tiada apa-apa
menutup bangkai mungkin berjaya
baunya tetap semerbak ke serata dunia.

CNM

PENCURI HATIMU.


Kenapa semua orang boleh senyum, membelai dan menunjukkan rasa kasih yang berlebihan kepada seorang manusia yang dikenalpasti telah mencuri! Tidakkah kamu rasa pelik. Insan ini dianggap istimewa, menawan dan pelbagai lagi istilah yang lunak-lunak. Fikir sejenak secara logiknya orang akan membenci, meluat dan menyampah kepada sang pencuri. Aku yakin kamu juga terperangkap dengan situasi satu ini, bukan sahaja suka malah telah mungkin mencintai dia sepenuh jiwa raga. Sanggup sehidup semati. Ada yang melafazkan kata biarlah maut yang memisahkan kami pun mungkin ingin dijemput pulang bersama-sama.

Adakah aku betul kamu telah mempunyai perasaan sebegitu kepada;

PENCURI HATIMU.

CNM, 20/7/16

Kuala Lumpur

Namamu kian berlumpur
dek tangan-tangan pencukur

khalayak dipaksa akur
hanyir sistem berbaur
rakyat menggelupur

sesak dada kian subur
saku penuh kian mengendur
bayaran parkir digembur-gembur
gaji bulanan lebur

oh! Kuala Lumpur
habuk debu tadbir mencelur
banyak hati melecur

mereka gah mencatur
kaut untung buat berlibur.

CNM, 19/7/16

Ohoii! Ayah Ibu

Oh! Ayah 
Oh! Ibu 
kenallah anakmu

Oh! Ayah 
Oh! Ibu 
lapangkan waktu
tunjuk ajar anakmu

Oh! Ayah 
Oh! Ibu 
doakan dan restu 
hidup anak-anakmu
biar direda yang Satu.

CNM, 16/7/16

Hujung Minggu

Rehatkan diri
banyak memerhati,

anak-anak membesar
pastikan tak tersasar
beri tunjuk ajar,

duduk depan tv
layan cerita hindi
kunyah lemang aidilfitri
badan tambah berisi,

surf sana sini
baca berita tragedi
tak kurang laporan sensasi
hitung conggak macam-macam terjadi
syukur negara kita keamanan masih diwarisi.

CNM, 16/7/16

Olak Berolak

Kecil kita
di tengah kuasa
olak bergolak
di laut penuh onak
rebutan penyangak

Kecil kita
bergolek kena
digolek pun kena
diplomasi langkah terpuji
tiada janji selamat kontroversi

Ya Al-Waliy
lindungi kami.

CNM, 16/7/16

Alam Lestari

Kemarau dingin telah menguap
embun bertitisan melakar senyuman
serata alam lantunkan kesyukuran
bahang berlari ke sudut alam
menanti musim kembaii menyerang
beburung galak turun mandi ke kali
unggas terbang bebas seakan lupa diri
nafas berisi udara segar
jantung bersemangat menari
seisi alam gagah berdiri.

Telah melarut keperitan
hanyut ke dasar ketenangan
yang tinggal rona-rona kesejahteraan
sebelum bertunas putik kesengsaraan
perlahan menyelinap bajai kedukaan.

Ketentuan terindah itu apa yang tertakdir.

CNM 16/7/16

Sesaat

Sesaat
aku mengintai ruang
terpandang ke dada langit malam
bulan bintang hadir di sebalik awan gemawan
pepohon tunduk rimbun dedaunan
pungguk bertenggek di dahan
mungkin mencari ilham
lagu apa nak didendang.

Sesaat
pada ruang terluang
saksikan keagungan Tuhan
tiada sesuatu dijadikan tanpa peranan
kepada yang beriman
sepanjang perjalanan pulang
padanya ada petunjuk
mudahan tak tergelincir dari jalan kebenaran.

CNM, 11/7/16.

Laut Kasih 390

Jika
indahnya kerlipan bintang 
indah lagi kerlipan kasihmu
di langit hatiku.

Jika
indah percikan cahaya
indah lagi percikan rindumu
di dada hatiku.

Gemerlapan cahaya cinta
menerangi alam laut kasih kita.

CNM, 11/7/16