Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

28 March, 2012

Kaukah itu

Kaukah itu
cerah memancarkan cahaya
bak mentari pagi.

kaukah itu

terang menyuluh gelita
bak purnama penuh.

kaukah itu
menderu menempias titis
bak hujan gerimis.

kaukah itu
mewangi mengharum taman
bak bunga mawar.

kaukah itu
pujaan hati
jawapanmu kunanti.

CNM, 28/3/12, 8.54pm
THMK

andai tiada lagi

andai tiada lagi rasa rindu di hatimu
ungkapkan sejujurnya
tiada lagi rindu yang menyubur untuk disirami.

anda tiada lagi rasa kasih di jiwamu

bisikkan seikhlasnya
tiada lagi kasih yang mewangi untuk diciumi.

anda tiada lagi rasa cinta di sukmamu
lafazkan sebenar-benarnya
tiada lagi cinta yang membara untuk dipertahankan.

andai tiada lagi setitik ruang di sanubarimu
katakan seterangnya
tiada lagi ruang yang istimewa untuk diberikan.

andai tiada lagi aku di dunia ini
kirimkan doamu.

CNM, 28/3/12, 7.08pm
THMK

aku ingin

aku ingin
bercanda di pesisir pantai hatimu
mengutip karangan cinta
buat menghiasi
kamar peraduanku.

aku ingin

terbang tinggi hingga di pelangi kasihmu
mengukir ayat-ayat cinta
buat unggun
menghangatkan kasihku.

aku ingin
beranang menuju pulau rindumu
memetik bunga-bunga asmara
buat mewangi
sekujur tubuh rinduku.

CNM, 28/3/12, 6.49pm
THMK

aku

aku di sini
ditemani rindu
yang tersenyum manis
tersipu-sipu tunduk kepadaku
baru ketemu.

aku di sini

ditemani warna pelangi
yang merona elus
menyerikan senja
di laman bertinta.

aku di sini
tarikan jemari
menitip kata bahagia
datang membaca
gubahan cerita.

aku mengusir sepi
biar ditelan angin senja.

CNM, 28/3/12, 6.31pm
THMK

aku hanya

aku hanya cengkerik
merayap di bumi
bila malam datang
aku berdendang
menyanyikan lagu kegemaran
lagu puisi yang kuciptakan.

aku bukan helang
yang terbang tinggi mendabik dada
seakan tak ingin kembali ke bumi
pabila penat ke ranting jua
menumpang pepohon
mencuri dengar bicara cengkerik.

CNM, 27/3/12, 11.00pm
THMK

27 March, 2012

kaupalu

kaupalu
tingkah meningkah
irama tarian apache
yang kauhebahkan serata alam
itulah yang patut kita tarikan.

lalu aku menari dengan rentak paluan
berpegang kepada irama yang kausajikan
sebaliknya
aku disalahkan menari sumbang
mengapa tariku sumbang, kaumengajarnya bukan?...

CNM, 27/3/12, 9.44pm
THMK

perlukah

perlukah
terusan menyimbah air mata duka
buat memujuk hati yang lara
ianya hanya menambah bisa
membarah menanahkan bara
hentikan dan lupa.

perlukah
menyakiti yang tua
hanya untuk memenuhi selera
ingat redhaNya atas redha mereka
janji-janji tak didusta
masanya akan tiba.

CNM, 27/2/12, 8.48pm
THMK

Sekah

kausekah
pohon yang aku tanam
terbelah dua dahan yang dulu tercantum
gugur putik ukhwah
tak menjadi buah jalinan.

kaumenyempal
ranting persahabatan yang merimbun
tunduk layu pohon yang kubaja
gugur daun-daun
tiada lagi naungan menumpang teduh.

CNM, 27/3/12, 8.10pm
THMK

yang kutunggu

yang kutunggu
malam disuluh lantera purnama
cahayanya menerangi kelam sudut hati
terpamer senyuman di ulas bibir jiwa
dambaan datang membawa manisan
buat bancuhan bahagia.

CNM, 27/3/12, 7.28pm
THMK

lumrah

yang indah dikerumuni
yang jelek dibenci
adakah yang indah menjanjikan kemanisan
adakah yang jelek telah tersurat hanya kepahitan
ketentuan Ilahi suatu misteri
pelajari sebelum mengikut kata hati
teliti dan pasti
itu terbaik yang kaumiliki.

CNM, 27/3/12, 6.42pm
THMK

Kulepaskan

senja ini
kulepaskan luka lama
menaiki kolek ke muara damai
dan kubisikkan kepadanya
usah bertandang lagi
tiada tempat di teratak hati.

senja ini
hati berkata sendiri
pergilah kauduka ke pulau derita
bertapa dan berdoa
moga ada kemaafan kepadamu
atas onar yang telah kamu ciptakan.

CNM, 27/3/12, 6.18pm
THMK

25 March, 2012

Lenkungan Mentari

dari ufuk ke ufuk
mentari memberi cahaya suci
seperti lahirnya seorang bayi
belum berdaki
setelah mentari meninggi
awan-awan hitam mengotori
begitulah perjalanan hidup insani
bila semakin jauh berlari
debu-debu dosa menggunung tinggi
andai tiada kesedaran keinsafan diri.

CNM, 25/3
/12, 1.18pm
THMK

Bangkit

Bangkitlah
dengan lengkung senyum manis
tanda jiwamu masih hidup
bernyawa
seperti kamu masih bernafas.

Usah bangkit
dengan bibir tergantung batu kehampaan
tanda jiwamu mati sebelum tiba waktu
terkubur
meninggalkan jasad tak berjiwa.

CNM, 25/3/12, 10.15pm
THMK

bata-bata cinta

bata-bata cinta
ditempa sedemikian rupa
buat membina istana asmara
dalam teguh padu kasih sayang dua jiwa
mahligai bahagia gemerlap bak purnama.

bata-bata cinta
disusun menjadi haluan ke syurga
berpandu syariat yang Esa
membina jalinan ukhwah sesama
dalam limpahan rahmat diredha.

bata-bata cinta
ada di gedung sukma
gilap jadikan kristal berharga
biar memancar terang cahaya
indahnya keperibadian berakhlak mulia.

CNM, 25/3/12, 8.02 am
THMK

24 March, 2012

Tinta Hati

tinta hati menganyam puisi
mengetuk pintu-pintu hati seni
menyerap wangi haruman kasturi
dalam bait-bait kata penuh erti
yang digubah dari ilham Ilahi.

tinta hati melakar realiti
jadi panduan arah melayari
samudera penuh onak dan duri
belayarlah bertemankan jati diri
yang dikutip sepanjang pantai kebenaran hakiki.

CNM, 23/3/12, 11.54pm
THMK

23 March, 2012

Api Cinta

dinyalakan pemetik api cinta
menyala rasa cinta
marak merah menyala bara cinta
mengeluar asap-asap bunga cinta
harum mewangi wangian cinta
menyelubungi kamar cinta
berkerdipan cahaya lentera api cinta
menerangi alam cinta.

sewaktu permulaan indah sekali api cinta
jadi teman dua hati yang dibuai cinta
awas! jiwa-jiwa yang diamuk cinta
akan terbakar dirimu dek api cinta
andai tersalah unggun pembakar cinta
mermecik bara menyambar sumbu cinta
terbakar hangus jadi sisa-sisa kegagalan cinta
merana dua jiwa kerana satu cinta
dibakar api cinta.

CNM, 23/3/12, 11.29pm
THMK

Bicara Kisah Sehangat Asmara

Lagi garapan memilu
cinta yang tulus jadi racun paling bisa
menghiris dalam dalam hati seorang wanita
begitu kejamnya lelaki membiarkan sebuah cinta layu sebelum masa
terkapai-kapai isteri muda mencari apa silap dan salah
ditinggalkan suami tercinta dengan seribu tanda tanya.

Setelah kepahitan
sembilan tahun bersaksi purnama yang hambar
tiba-tiba dia muncul menunaskan kembali kenangan
sejarah cinta pertama yang tak akan terpadam
walau hati disiat-siat tanpa belas kasihan
rasa kasih masih berbaki di lautan bisa kepedihan.

Itulah namanya cinta
setelah kesakitan masih tertingal rasa kasih.

Cinta yang diberi
dengan separuh nyawa
kekal bersemi walau hati terseret di mata duri
dendam tidak bisa menyuci sisa-sisa kasih yang tertumpah
kekal mewarnai rindu yang tiada penghujung
menunggu dan menunggu tanpa rasa jemu.

Terpisah sepasang suami isteri
atas perancangan ayah bonda sendiri
begitu kejam menghancurkan hidup anak sendiri
sembilan tahun perpisahan yang membibitkan rasa dendam
salah sangka bahana tiada khabar berita walau sebaris ayat
hidupnya penuh tanda tanya.

Janji yang dimeterai
dimungkiri atas keterpaksaan
namun si tua bongkak
menginsafi kesilapan diri
dan cuba menebus kembali dosa silam
dengan mengaturkan pertemuan kembali.

Sehelai rindu yang tertinggal
bisa memaksa hati menangis tanpa air mata
menahan pilu yang menggigit jiwa
dan damba belaian kasih
dalam kenangan musim semalam
jadi racun menyelinap ke seluruh raga.

Bila dia muncul kembali membawa harapan
hati tidak bisa melupa
pada kisah ditinggalkan tanpa khabar berita
yang menyemak akal hanya kenapa, kenapa dan kenapa?
sukar menerima
dibayangi kebimbangan sejarah silam berulang kembali.

Cinta yang tulus tak pernah membohongi
terserlah dalam ungkapan dan untaian kata
seperti lewat musim semalam
begitulah bunyinya walau telah lama terpendam
dan dia tidak pernah sesekali membeci
cintanya kekal dijaga rapi tak terhakis walau seinci.

Air mata barangkali
hanya membawa pergi separuh
rasa cintanya yang diserah dengan nyawa sekali
tiada pernah terlintas membiarkan cintanya ditiup angin dendam
diikat teguh pada tiang hati
kukuh berdiri tak terluluh dek gelora emosi.

Selama sembilan tahun
hujan rindu petir amarah silih berganti
terpikul di pundak
saat pertemuan kembali
betapa rindu yang terkumpul
tak terucapkan hanya hati yang tahu.

Perlahan dilepaskan kekaburan rasa
dipupuk kembali rasa kasih
setelah menyedari cintanya tak pernah dikhianati
bahagia yang ditunggu
tiba jua dengan tautan sejati
atas keredhaan ayah bonda yang merestui.

CNM, 23/3/12, 16.45 pm
THMK

kamu

sayang
kupilih dikau antara beribu
kerana kutahu kasihmu untukku.

sayang
kupuja dikau antara berjuta
kerana kutahu cintamu buatku.

sayang
kutakhta dikau antara mereka
kerana kutahu kita miliki dua hati satu jiwa.

CNM, 23/3/12, 6.29pm
THMK

Pawang Cinta

dialah yang menabur racun
dalam rasa cinta yang mula tumbuh
menyucuk bisa dalam setiap sendi rindu
membenam rasa kasih yang mula bernafas
terkubur harapan.

dialah yang menjadi penawar
menyubur rasa cinta yang layu sebelum waktu
menyuntik semangat kasih yang membara
menyala jadi unggun cinta yang menerangi derita
bertunas bahagia.

dalam rasa benci
dalam limpahan kasih sayang
mana satu yang dihulurkan pawang cinta
dalam dambaan
meraih sekuntum cinta.

CNM, 23/3/12, 16.39 pm
THMK

Hatinya bukan untukmu

Duhai pemabuk cinta
sedar dan terima
andai hatinya bukan untukmu
lepaskan dia pergi mengejar cintanya
takkan mampu kamu menawan jiwanya
berbahagialah dengan merelakan
dia pergi menggapai apa yang dicita
cukuplah sekadar dia tahu
cintamu suci
dan cintamu tidak upaya memiliki.

dengarlah pemabuk cinta
sekali ini saja!

CNM, 23/3/12, 16.31 pm
THMK

Dalam bicara yang pahit

Anak
dalam bicara ibumu yang pahit
terselit seribu kemanisan
dengarlah
walau tidak seiring dengan geletak hatimu.

Anak
dalam bait kata gurumu yang sinis
tersemat seribu kebaikan
pandanglah
walau tidak selari dengan detak jiwamu.

Anak
dalam keras tajam pesanan orang tua
tersirat seribu azimat
akurlah
walau tidak membungakan kuntum sukmamu.

Anak
dalam manis kata teman sabayamu
tersimpan racun yang bisa
kendalikan dengan bijak
sebelum kamu tersungkur di pintu kegagalan.

CNM, 23/3/12, 4.21pm
THMK

22 March, 2012

Persimpangan

di persimpangan
pilihlah antara terang cahaya
atau gelita malam
untuk berpaut padanya.

di persimpangan
pilihlah antara peribadi rasulullah
atau mahkluk laknatullah
untuk mencari redha-Nya.

di persimpangan
pilihlah antara ketetapan akidah
atau ketaksuban pada kemunafikan.

kauada pilihan!

CNM, 22/3/12, 10.18pm
THMK

20 March, 2012

bingkai wajah

bingkai wajah
yang sering kamu tatap
memerah rindu ke kolam kalbu
dan tubir mata bergenangan
menahan sesak sebak di dada.

bingkai wajah
yang sering kamu renungi
mencuit kasih di hujung sanubari
dan kelopak matamu menggugurkan titis
kepiluan menanti dalam ketakpastian.

CNM, 20/3/12, 11.04pm
THMK

kunekad

di kelam malam ini
kubernekad berdiri
atas sokongan teman-teman di sini
akan kuanyam bait-bait kata puisi
jadi tatapan semua yang sehati seni.

di gelita malam ini
kuberjanji pada diri
atas dokongan teman-teman sejati
akan kujalin larik-larik kata dari tinta hati
buar menghibur tetamu laman puisi.

CNM, 20/3/12, 10.53pm
THMK

Malam

malam bawalah kenangan hitam
pergi bersamamu
aku tak mahu mamandangnya lagi
biar fajar dan mentari pagi jadi saksi
kupusarakan sejarah
tak ingin kukenang kenang lagi
kutamatkan di sini tentang cerita semalam.

CNM, 20/3/12, 10.20pm
THMK

darah luka

kaucanang miliki hati suci
tak sedarkah hati itu
menyimbah darah-darah luka
menyelaputi setiap pori mukaku
darah-darah kian membeku
yang akan menetas menjadi ulat-ulat kelaparan
menggigit secebis demi secebis hati sucimu
tunggulah jika hati itu bisa bertatih ke perdu keinsafan
sebelum kamu dijemput pulang tanpa kemaafan.

CNM, 20/3/12, 9.27pm
THMK

ditikam selumbar

aduh!
aku ditikam selumbar bicara
dalam bait kata jari mentah remaja
tak kenal yang mana sebaya yang mana orang tua.

aduh!
aku cabut selumbar bicara
kubakar satu-satu jadi bara merah menyala
buat mencairkan bongkah kedangkalan di jiwa mereka.

CNM, 20/3/12, 8.54pm
THMK

Selamat tinggal kenangan

kenangan yang mengusik sanubari
kubiarkan di tapak tangan
agar angin kedamaian menerbang
ke mana saja di pelusuk alam
jadi debu kelukaan.

harapan di sini
aku bina dari sisa-sisa kenangan semalam
kalian yang menghulur tangan
menyambutku dari cenuram hinaan
dari manusia di puncak keangkuhan.

CNM, 20/3/12, 7.57pm
THMK

Senja Melambai

Senja melambai hiba
pada kepingan luka yang tersisa.

Malam tiba
membawa lembaran tanpa cela.

aku sirami pusara kenangan
membaja pohon harapan.

CNM, 20/3/12, 7.06pm
THMK
·

Puisi Sebaris

Wanita

i. Suka dipuji-puji sang lelaki.

ii. Hati keras-keras kerak nasi.

iii. Sekali disakiti, diingatinya sampai mati.

CNM, 20/3/12, 5.39pm
THMK

Puisi Sebaris

Remaja

i.
Menangi hatinya sebelum memenangi akalnya.

ii.
Jadi temannya bukan jadi lawannya.

iii.
Ingin dimanja bukan dicerca.

iv.
Terburu-buru mengikut nafsu.

v.
Bertindak tanpa fikir natijah.

CNM, 19/3/12, 10.42pm
THMK

19 March, 2012

Laut itu

laut itu ganas
tidak menjanjikan seribu kemanisan
hanya yang tabah menuai hasilan.

laut itu bisu
tidak memberikan kata harapan
hanya yang mengerti memanafaatkan.

laut itu menderu
dalam nada sayu
dalam nada berlagu
buat santapan pencintamu.

CNM, 19/3/12, 10.10pm
THMK

Makan

macam-macam makan;

makan hati

air mata membasahi ke pipi
wajah tak berseri.

makan suap

kaya dengan duit gelap
lama-lama ke tahan masuk lokap.

makan jalan
boleh sebabkan kemalangan
memandu perlu beri tumpuan.

makan dalam
kata-kata menikam
boleh tubuh dendam.

makan gaji
bukan kerja sendiri
jadi kuli.

makan masa
suatu tempoh yang lama
nak laksana.

makan apa yang kamu tahu...?
cerita padaku.

CNM, 19/3/12, 8.34pm
THMK

18 March, 2012

Suluhkan Nur-Mu

aku tak ingin sesat
dalam terang cahaya pemodenan
juga dalam gelita budaya songsang.

Ya Raabi
suluhkan Nur-Mu ke kamar hati
biar terang arah perjalananku
tiba di hadapan-Mu
dalam cahaya keimanan
penuh ketakwaan.

Aku mohon kepada-Mu Ya Rahim.

CNM, 18/3/12, 8.35pm
THMK

Bakar Kalori

Petang-petang begini
aku suka berlari
selalunya setengah jam sehari
bakar kalori
peluhkan diri
takut kolestrol tinggi
risau gula darah tinggi
nanti organ tak berfungsi
jantung tersumbat kapilari
penyakit pun mari
apa pun tak boleh nanti.

kamu! kamu ada berlari?

CNM, 18/3/12, 7.08pm
THMK

Tupai yang mari

malam tadi
kupasang perangkap tikus
umpan sebuku roti
yang datang bukan tikus
tupai yang kepingin makan roti.

sudah kulepaskan dia pergi
lama juga dia memandang tadi
agaknya mengucapkan terima kasih
dari pagi kuperhati
garang juga bila kumendekati.

jangan datang lagi!

CNM, 18/3/12, 5.05pm
THMK

Salam Hujung Minggu

Kepada semua sahabatku
salam ceria di hujung minggu
didoakan sejahtera selalu
dalam limpahan rahmat dan restu
Tuhan yang satu.

kongsikan nukilanmu
biar dimanafaatkan tetamu
berpesan-pesan dengan jitu
kerana amalan itu
membawa kesedaran yang perlu.

laksanakan tugasmu
utamakan keluarga yang menunggu
anak isteri perlu dibantu
mereka bergantung harap padamu
duhai sahabatku.

CNM, 18/3/12, 7.54am
THMK

Kubina tangga ke menara

duri-duri yang kaucacak
selumbar yang kaucacah
kaca-kaca yang kaukecah
kukumpulkan satu persatu
buat membina tangga ke menara.

kupijak dengan hati yang luka
kulangkah dengan jiwa kecewa
namun kupercaya
bukan kamu yang menentukan aku ke mana
akan kuteruskan perjuangan di sini.

CNM, 18/3/12, 10.46am
THMK

wahai jari!

wahai jari yang gedik
berhenti mencebik
nanti aku debik
tak berketik
lembik.

wahai jari redha yang terbaik
kaudiam-diam dan jadi baik
tarikan ayat yang tak kait mengait
cerita semalam yang pahit
buang ke cenuram bukit.

wahai jari duduk baik-baik
jangan menconteng yang pelik
dipandang jelik
nanti diherdik
dek mata-mata yang celik.

CNM, 17/3/12, 11.27pm
THMK

kubotolkan

kata-kata tolol
yang menyondol
bak kepala dogol
kusumbat ke dalam botol
kujadikan aerosol
buat menyedarkan si tolol.

CNM, 17/3/12, 11.01pm
THMK

Getah

getah
walau bau tak seharum bunga
tetap diusaha
rezeki ada padanya
harga berganda
di zaman teknologi bahan kimia.

kebun getah
beri makna
orang banyak tanah kaya
kebun luas berekar-ekar luasnya
hidup senang hasil kebun berlipat ganda.

tak ramai yang nak toreh getah
mengapa?

CNM, 17/3/12, 10.11pm
THMK

17 March, 2012

aku dibantu

di saat aku terhumban
kalian menghulurkan tangan
membantu aku bangkit dari kedukaan
meneruskan perjuangan seni
menulis untuk mengingati.

di saat aku dihina
kalian memujuk rasa
memberi kekuatan jiwa
syukur kepada yang Esa
ada sahabat dalam suka dan duka.

kalian sungguh istimewa.

CNM, 17/3/12, 9.48pm
THMK

Bila Akal di Tapak kaki

tindakan gila menjadi-jadi
anak bunuh ibubapa sendiri
suami bunuh isteri
sungguh ngeri
perbuatan amat keji.

jika ada masalah dihadapi
cepat lari cari perawat dipercayai
usah ikutkan hati
buruh natijah menanti
sesal tak berguna lagi.

sebab itu disaran berdiam diri
berwuduk sejukkan hati
amarah dihindari
rasional mengawal diri
tindakan terpuji.

kaji
selidiki
buat generalisasi.

CNM, 17/3/12, 9.16PM
THMK

Parut tertinggal kekal

luka tak berdarah
pancungan tajam pedang lidah
bisa terubatkan
dengan kata penawar
salam kemaafan.

namun usah sesuka
mencacah muka hati
tiada teknologi
bisa melenyapkan
parut yang tertinggal kekal.

CNM, 17/3/12, 8.56pm
THMK

Lawak Doktor

seorang ibu muda
yang dalam kesakitan melahirkan
dikejutkan doktor perubatan
katanya, 'awak harus sabar menghadapi dugaan'
ibu muda cemas .

lalu dia bertanya, "kenapa doktor?"
dengan muka selamba
doktor mengatakan
'anak awak lahir berkaki ayam,
jangan tertekan'.

ibu muda meraung penuh perasaan
berfikir anaknya alami kecacatan
doktor tertawa seraya berkata,
'bayi lahir memang berkaki ayam'
mana ada yang pakai kasut.

CNM, 17/3/12, 6.10pm
THMK

16 March, 2012

Hujan Menghunjam

hujan saat ini
menghunjam butir-butir amarah
membersih sisa-sisa kerakusan manusia
mencemari alam semesta
tanpa rasa bersalah.

hujan kembali
menghunjam titis-titis kekesalan
mencuci daki-daki kealpaan manusia
menoda bumi berjasa
tanpa peri kemanusiaan.

hujan seakan menangisi derita alam.

CNM, 16/3/12, 6,26pm
THMK

Ops! mak kaubergetar

Ops! mak kaubergetar

zaman teknologi
masing masing ada gadget moden
dari telefon bimbit 3G
kepada komputer teknologi tinggi
semua boleh dimiliki.

al-kisah dalam suatu mesyuarat
pengerusi memang 'loghat'
telefon bimbit dalam kocek di mode getaran
sedang dia leka membincangkan agenda
tiba-tiba terlatah ops! mak kaubergetar.

satu bilik gempar
apa hal...?

CNM, 16/3/12, 5.37pm
THMK

Jangan Gelak

Adapun cerita ini adalah kisah yang berlaku di alam haiwan. Di mana sekumpulan binatang mengikut persatuan masing-masing menuntut di mahkamah tinggi haiwan berkaitan istilah yang diguna pakai oleh manusia. Semua tuntutan telah didaftarkan ke mahkamah berkenaan;

Kes 1:
Sekumpulan ayam melalui Persatuan Ayam-ayam sedunia telah menfailkan saman kepada manusia yang menggunakan telur mereka untuk membuat telur mata. Namun telur mata itu dinamakan 'telur mata kerbau'. Mereka merasakan ini suatu yang sangat tidak adil. Mereka menuntut suatu bayaran yang berpatutan kepada setiap telur yang telah digunakan.

Kes 2:
Sekumpulan ular sawa melalui Persatuan Ular Sawa Batik telah menfailkan bantahan penggunaan istilah 'pembelit macam ular sawa'. Perkataan ini terang-terangan menjatuhkan maruah ular sawa yang cantik lagi budiman. Mereka menuntut perkataan pembelit tidak dikaitkan dengan ular sawa.

Kes 3:
Sekumpulan siput babi melalui persatuan siput babi China menfailkan tuntutan ke atas penggunaan istilah 'lembab macam siput babi'. Perkataan lembab itu didapati menghina siput-siput yang memang memiliki ciri sedemikian. Perkataan lembab dimohon tidak dikaitkan dengan mana-mana kumpulan siput babi.

Kes 4:
Sekumpulan keldai juga telah menfailkan saman melalui persatuan keldai Amerika Utara ke atas manusia yang menggunakan istilah 'bodoh macam keldai'. Menurut presiden persatuan ini, penggunaan istilah berkenaan bercanggah dengan piagam PBB yang mementingkan hak asasi.

Itulah sebahagian kes yang sempat dibaca di notis board perkarangan mahkamah tinggi haiwan di sebuah zoo di lembah safari Afrika Tengah. Walau bagaimanapun kes ini masih tertangguh kerana raja rimba masih belum lulus pengajian bahasa mahkamah manusia.

Sekian.

CNM, 16/3/12, 4.48pm
THMK

anak derhaka?

aik!!! nanti dulu bapa-bapa
semak dulu hak mereka
sebelum mengata
anak itu derhaka;

i.
sudahkah dicari emak yang beragama
taat kepada yang Esa
bukan emak yang tercela
di sisi agama.

ii.
sudahkah diberi nama sebaik-baik nama
panggilan penuh mesra
bukan anak celaka
anak tak guna.

iii.
sudahkan diajar kepentingan agama
mengenal al-quran dan as-sunnah rasulnya
bukan membiar saja
anak terkapai-kapai tanpa nakhoda.

kalau dah semuanya
takkan jadi anak derhaka
kerana kupercaya yang baik diredha yang Esa
dikurniakan cahaya takwa
dalam diri mereka.

CNM, 16/3/12, 2.29pm
THMK

Wahai Kaum Adam

Wahai kaum adam
jangan lupa hari ini
hari jumaat penuh berkat
jom bersiap tunaikan solat
khutbah banyak nasihat.

Wahai kau adam
bila kali terakhir bersolat jumaat
jangan buat-buat tak ingat
jom bersegera kita solat
sebelum ditakbirkan empat kali sesolat.

Wahai kaum adam
tinggalkan segala perkerjaan
pada hari jumaat apabila mendengar seruan
tunaikan dulu perintah tuhan
kemudian bertebaranlah berurusan.

Wahai kaum adam
maaf aku hanya berpesan
solat harus diutamakan
kerana ia membezakan
kita dari yang kesesatan.

CNM, 16/3/12, 12.20 tgh
THMK

Hari ini Jumaat, Esok Sabtu

Hari ini Jumaat, Esok Sabtu
Mari kita taat, kepada tuhan yang satu.

Hari ini Jumaat, Esok Sabtu
Jangan lupa solat, itu wajib bagimu.

Hari ini Jumaat, Esok Sabtu
Jumaat penuh berkat, hari yang ditunggu.

Hari ini Jumaat, Esok Sabtu
Mari kita bersahabat, saling bersatu padu.

Hari ini Jumaat, Esok Sabtu
Teruskan mencatat, puisi-puisi indahmu.

Hari ini Jumaat, Esok Sabtu
Kudoakan kalian sihat, untuk datang bertamu.

Hari ini Jumaat, Esok Sabtu
Setiasa dirahmat, dengan doa restu.

Hari ini Jumaat, Esok Sabtu
Bicara tamat, kuundur dulu.

CNM, 16/3/12, 7.30am
THMK

Lawak Remaja

tak tahu nak rujuk siapa
pada ayahanda dipertanya
katanya, "ayah! kenapa belalai ada misai?"

lalu kehairanan si ayah
'belalai ada misai?
setahu ayah gajah tak ada misai'.

"bukan gajah ayah
adik punya belalai, dah ada misai!"

'ooo itu tanda kamu dah remaja'

"ayah pon ada ke?"...

CNM, 15/3/12, 11.43pm
THMK

jangan sesekali

jangan sesekali
kamu kuburkan penulis
kerana yang dikuburkan jasadnya
pena yang tertinggal
terus hidup melakar kisah.

jangan sesekali
kamu menghina sesama penulis
kerana yang dihina akan terguris
penanya akan menanggis
melakar kisah yang tragis.

jangan sesekali
mengulangi kesilapan yang sama
kerana kemaafan sukar untuk kali ke dua
tunggulah hingga hujung nyawa
kata-kata menjadi saksi di sana.

CNM, 15/3/12, 10.28pm
THMK

15 March, 2012

pendek akal?

la...
pendek akal?
sejengkal?
dua jengkal?
berapa pendek?
ada alat mengukur?

la...
tak boleh jawab?
kata panjang akal!
kata mengaji sampai Amerika!
baru soalan tadika,
dah terkunci akal.

siapa yang pendek akal?
kau atau aku?

CNM, 15/3/12, 9.28pm
THMK

Kutinggalkan

Kutinggalkan sebuah kota
yang penuh dengan contengan kata
tak ingin kupeduli akan makna
biar terhakis dek masa
bersama penconteng tak berbudi bahasa.

Kusenang di keheningan desa
yang tercatat bait-bait rasa
aman sentosa
hidup dalam suasana hormat sesama
terjalin ukhwah yang bermakna.

CNM, 15/3/12, 7.12pm
THMK

Lawak Perawat Penagih

tuan-tuan
saya kena tahu
apa jenis 'barang' yang ditagih
sebelum saya cadangkan cara rawatan
InsyaAllah dengan izin dapat dipulihkan.

aku pun berkata,
"bagai mana dengan kes hamba,
yang ketagih hisap air dengan straw?"

motivator, ...?????

CNM, 15/3/12, 5.15pm
THMK

Masih hijau meleleh

tanpa sedar
kauberkata-kata dalam racau
dek kedangkalan hati untuk mengerti
antara kemunafikan dan kebenaran hakiki.

orang melihat tingkahmu
seperti anak-anak
yang masih hijau lelehan hingusnya
berkerak di bingkai bibir.

belajar tinggi akal di tapak kaki.

CNM, 15/3/12, 3.54pm
THMK

Debu-debu kota

debu-debu kota
kian berterbangan
menyelubungi suci desa
adab ketimuran dicemari
budaya asing dijunjungi.

debu-debu kota

kian berserakan
menyelimuti damai desa
jenayah kian meruncing
semangat kejiranan tiada lagi.

debu-debu kota

menyesak ke dada
memenuhi rongga kehidupan
negara kian terancam
pelbagai gejala merosakkan.

CNM, 15/
3/12, 3.02pm
THMK

kutulis, kaupadam

kutulis, kaupadam

kutulis sebaris-sebaris
buat pesanan bukan mengguris
padamu menyemak habis.

apa yang aku tulis
kaupadam habis
sampai terguris lembaran tak berbaris.

kutulis, kaupadam
kutulis, kaupadam
suatu hari engkau yang terpadam
bersama daki-daki pemadam.

CNM, 15/3/12, 2.55pm
THMK

Yang

yang dalam jurang Mariana
yang tinggi puncak Himalaya
yang hangat mentari
yang dindin salji
yang menulis aku
yang membaca kamu...

CNM, 15/3/12, 1.51pm
THMK

Puisi Sebaris

i.
Barang siapa merasakan dirinya sentiasa betul, sesungguhnya dia perlu diperbetul.

ii.
Barang siapa menyakiti, dia berpenyakit hati, rawati dengan bermuhasabah diri.

iii.
Biar orang mencerca mengeji, asal kita tak ikut serta menyeligi.

iv.
Biar mata-mata memandang sinis, asalkan tidak mengemis.

v.
Biar tidak diterima insan, asalkan diredha Tuhan.

CNM, 15/3/12, 9.25am
THMK

Hati busuk, Hati wangi

aku memerhati;

i.
yang berhati busuk
selalunya memandang
dengan pandangan mata lalat
mencari yang jijik.

ii.
yang berhati wangi
selalunya melihat
dengan pandangan mata lebah
mencari yang indah.

lebah menghasilkan manisan,
lalat meninggal telur yang mengotorkan.

CNM, 15/3/12, 8.24am
THMK

Hari ini Hari Khamis, Esok Hari Jumaat

Hari ini hari Khamis,
esok hari Jumaat,
salam harmonis,
buat teman yang dihormat.

Hari ini hari Khamis,
esok hari Jumaat,
memang sedih kalau hati terhiris,
rasa bagai disiat-siat.

Hari ini hari Khamis,
esok hari Jumaat,
jangan asyik duk menangis,
kuatkan kembali semangat.

Hari ini hari Khamis,
esok hari Jumaat,
lupakan yang tak manis,
kenangi yang memikat.

Hari ini hari Khamis,
esok hari Jumaat,
kita ada quran dan hadis,
peganglah mudahan tidak sesat.

Hari ini hari Khamis,
esok hari Jumaat,
jangan bersedih tak habis-habis,
membazir masa kecewa mengikat.

Hari ini hari Khamis,
esok hari Jumaat,
buangkan yang tragis,
bina hidup yang hebat.

Hari ini hari Khamis,
esok hari Jumaat,
garapkan kata puitis,
buat renungan sesaat.

Hari ini hari Khamis,
esok hari Jumaat,
mari kita sama-sama rintis,
laman yang ada berkat.

Hari ini hari Khamis,
esok hari Jumaat,
tak perlu cakap berlapis-lapis,
nanti mesej pembaca tak dapat.

CNM, 15/3/12, 7.54am
THMK

14 March, 2012

kujahit, kaubelah

kujahit perlahan-lahan
untuk tutupi lubang-lubang kelemahan
agar tiada taufan bisa membinasakan.

kaubelah karung diam-diam
membiarkan berciciran apa yang tersimpan
akhirnya semua hadapi krisis kemusnahan.

sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada harapan.

CNM, 14/3/12, 10.55pm
THMK

kusirami, kauracuni

kutadah embun
buat menyiram dedauan silaturrahim
agar segar di bawah terik mentari dengki.

kautadah hujan asid
buat menyiram pohon persahabatan
agar layu di bawah terik mentari iri.

CNM, 14/3/12, 10.15pm
THMK

kenapa...?

kau sayat
layar putih yang aku bentangkan
untuk teman-teman datang mencoret kenangan.

kau siat
kulit buku yang aku sediakan
untuk teman-teman datang membaca garapan.

kau kerat
tali-tali yang aku rentangkan
untuk teman-teman berpaut menuju kejayaan.

kau sekat
jalan-jalan yang aku rintihkan
untuk teman-teman menumpang lalu ke menara kebahagiaan.

aku pohon kepada tuhan, kembalikan kau ke pangkal jalan.

CNM, 14/3/12, 9.31pm
THMK

Lawak suami penyayang

isteriku belanja sakan
dah tiga jam belum datang
motorsikal diservis dah boleh jalan.

setelah empat jam melaram
dia datang dengan lenggang lengguk mengancam
penuh barang kiri kanan depan belakang.

dia pun berkata, "macam mana nak bawa balik ni bang,

banyak barang ada diskaun menggiurkan,
saya tak tahan".

dah tahu datang dengan motorsikal kenapa membeli sakan

aku pun berkata, 'jangan risau sayang, abang dah sewa lori sampah,
nak bawa barang pulang.'

CNM, 14/3/12, 8.37pm
THMK

Lawak isteri penyayang

suamiku baru pulang
katanya, "nak makan,
abang lapar sayang".

aku senyum paling menawan
sambil berkata, "belum kenyang ke bang?
dah makan dam aji dari pagi sampai petang".

suamiku naik radang
katanya "jangan perli abang"
tahu pula dia nak meradang.

aku senyum lagi mengancam
sambil berkata, "tak perlu marah sayang,
bawa saya masak kat pasar malam
kalau abang nak cepat makan".

CNM, 14/3/12, 7.30pm
THMK

Kepincangan

Di kota
rumah tebal berdinding batu
barangkali itu sebabnya
insan-insan tidak mendengar seru
panggilan Ilahi menuju kejayaan
tidak hairan banyak kepincangan.

Di kota
rumah berdinding kaca
barangkali itu sebabnya
nur keimanan terpantul ke angkasa
insan-insan tidak tersuluh cahaya ketakwaan
tidak hairan banyak kepincangan.

Di kota
rumah bertutup rapi
barangkali itu sebabnya
ayat-ayat suci tidak meresapi
mengesani jiwa-jiwa warga kota
tidak hairan banyak kepincangan.

Di kota
rumahnya berjeriji macam penjara
barangkali itu sebabnya
manusia takut kepada manusia
tidak takut kepada yang Esa
tidak hairanlah banyak kepincangan.

CNM, 14/3/12, 7.11pm
THMK

Bumi Berkata

aku malu
malu melihat sandiwara manusia
telunjuknya lurus menuding seberang
ekor jalaknya bergelumang najis
sadis.

aku kecewa
kecewa manusia tak berperi
menelanjang dengan rakus
memperkosa penuh nafsu serakah
khazanahku anugerah-Mu.

aku derita
menanggung bebanan manusia
menyemai tipu daya
membaja tamak haloba
menuai dosa dalam nista.

aku bangga
menjalani perintah-Mu Ya Rabbi
jadi jambatan
kembalinya makhluk pada-Mu
dengan catatan kanan dan kiri.

CNM, 14/3/12, 6.49pm
THMK

Kerak Nasi

jangan dibuang
rendamkan air
bagi ayam itik makan
itu rezeki dia orang
sedekahkan.

jangan dibuang
rendamkan air
taburkan di perdu tumbuhan
jadikan baja tambahan
subur menenangkan.

CNM, 14/3/12, 6.35pm
THMK

Akrostik PASAR MALAM

Pasar malam
Amat bermakna kepada masyarakat sekarang
Senang nak cari makan beli barang keperluan
Amat mudah bila kepenatan
Rehat terus balik dari tugasan.

Macam-macam ada dijualkan
Adik kakak pakcik makcik semua bertandang
Lenggang lengguk berpegangan tangan
Aku suka perhatikan gelagat pengunjung pasar malam
Memang mencuit hati penjual punya cara menarik pelanggan.

CNM, 14/3/12, 6.13pm
THMK

Tasik Berduri

Dari kejauhan
membiru indah warnamu
menggamit perasaan mendekati
ternyata indah sekali
dingin terasa pabila bercanda di tepian.

Tak terduga
apatalah lagi berprasangka
ketenangan rias di permukaan
menyembunyi duri tajam di dasar
aku tertikam dengan sandiwara tasik berduri.

jadi pengajaran sampai mati.

CNM, 14/3/12, 4.16pm
THMK

Akrostik Sakit Jantung

Sakit jantung
Adalah pembunuh senyap
Kematian mengejut yang menakutkan
Infomasi menunjukkan ia satu penyakit bahaya
Telah menjadi penyakit yang utama negara.

Jaga diri dan kesihatan anda
Amalkan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang
Nafikan rokok, alkohol, dadah dan makanan tak seimbang
Teruskan bersukan kekalkan kecergasan
Untuk kesihatan yang berpanjangan
Nanti hidup sejahtera tak menyusahkan
Gemilang terbilang di akhir zaman.

CNM, 14/3/12, 4.06pm
THMK

Akrostik DIABETES

Diabetes
Istilah gula darah tinggi
Akan menjejaskan organ lain nanti
Berusahalah kawal pengambilan makanan
Elak dari terus dirosakkan oleh gula yang tinggi
Terutama organ ginjal , jantung dan hati
Enggan mengambil ubatan mempercepatkan kesan
Sebaiknya dapatkan rawatan pakar perubatan.

CNM, 14/3/12, 3.56pm
THMK

Dahulunya II

aku tak sekolah tadika
maklumlah duduk di desa
sekolah terus masuk darjah satu
atukku seminggu menunggu
gara-gara perasaan malu.

dah seminggu baru dapat teman baru
perlahan-lahan aku maju
tamat darjah satu aku dah pandai baca buku
periksa selalu dapat nombor dua sesekali dapat nombor satu
ada anak cina lebih pandai dariku.

zaman sekolah rendah cukup nostalgia
bila ada sukan olahraga
macam-macam kumenangi piala
acara pecut memang aku suka
pernah wakil sekolah tapi tak ke mana.

pasukan Pengakap cukup menguja
bila tiba hari perkhemahan seronok terasa
namum malang menimpa
anak cikgu pula kehilangan nyawa
lemas menyeberang sungai nak ikut serta.

sungguh indah zaman kanak-kanak dahulunya
meninggalkan sekolah rendah penuh kenangan tak dilupa
meneruskan persekolahan di alam remaja
semakin mencabar minda
bersaing sesama mencapai jaya.

CNM, 14/3/12, 3.38pm
THMK

Dahulunya

Pagi-pagi
jajat tebing sungai
cari pucuk paku
percuma segar tak layu
masak lemak makan nasi laju.

Sudah dapat pucuk paku
masuk kebun getah cari kayu api
kumpul banyak-banyak buat tanak nasi
dapur gas belum ada lagi
periuk letrik jauh sekali.

Petang-petang cari daun pisang
buat bungkusan kuih tepung bungkus
kelapa tua buat intinya
goreng dengan gula melaka
digentel bulat-bulat sebesar biji mata.

Tiba bulan puasa
cendol pula diusaha
mengisar beras buat tepungnya
tempurung tebuk jadi acuan
terapung cendol bila diteran.

Malam pula bikin rojak buah
timun, nenas, jambu dan limau bali
digaul bersama keropok keping
ramai juga yang meminati
murah rezeki.

Itulah secebis kisah
yang dulunya aku lalui
hidup sudah bersama ibunda dicintai
semuanya segar dalam memori
tak terpadam hingga akhir nanti.

CNM, 14/3/12, 3.02pm
THMK

Setulus Kasih Ibu

dia yang melahirkan
dia yang menyusukan
dia yang memandikan
dia yang meyuapkan
dia yang mendodoikan
dia yang mendidik
dia buat segalanya untukku
dari tapak kakiku sebesar dua jari
hingga aku boleh berdikari
tak pernah sekali berhenti
mencurah bakti.

aku sedar dan kutahu,
dia menjagaku
tak terbalas jasa ibu
kerana kasih dan cinta kepadamu,
kumohon kesejahteraan dalam setiap doa-doaku,
semoga Allah merahmati dirimu
tulus dan suci pengorbananmu
tiada yang lebih baik dari perbuatanmu
dalam hidup yang aku ketemu
selagi ada hayat ini
kusimpan kenangan indah memjadi warismu.

aku rindu kepadamu ibu.

CNM, 14/3/12, 10.32am
THMK

Salam Pagi Rabu

Hari ini hari Rabu
esok hari khamis
lama ke menunggu
ayat-ayat indah yang puitis.

Hari ini hari Rabu
esok hari kkamis
tuliskan isi hatimu
jangan hanya menangis.

Hari ini hari Rabu
esok hari Khamis
hati menjadi rindu
mengharap kasih yang manis.

Hari ini hari Rabu
esok hari Khamis
kudoakan untuk kamu
semoga dalam harmonis.

Hari ini hari Rabu
esok hari Khamis
tenang jiwa celaru
agar wajah kelihatan manis.

Hari ini hari Rabu
esok hari Khamis
biasakan membaca buku
jana minda yang dinamis.

Hari ini hari Rabu
esok hari Khamis
muliakan sahabatmu
agar tiada sebarang krisis.

Hari ini hari Rabu
esok hari Khamis
dengar nasihat ibu
hidup tak jadi tragis.

Hari ini hari Rabu
esok hari Khamis
jaga tutur katamu
agar tidak menghiris.

Hari ini hari Rabu
esok hari Khamis
salam hormat kepada tetamu
teruskan menulis.

CNM, 14/3/12, 7.35am
THMK

Al-Fatihah Buat Dirang


Kudoakan semoga rohmu dicucuri rahmat
bersemadilah dengan aman
semoga syurga buatmu anak malang
belum mengerti sepak terajang kehidupan
diragut nyawa tanpa peri kemanusiaan.

Ya Tuhan
Engkau hancurkan manusia berhati binatang
sesungguhnya kemarahan ini Engkau ampunkan
semoga ibubapa Dirang diberi ketabahan
menempuh dugaan bukan calang-calang.

Apa dosa anak ini
sanggup dibunuh dibakar ngeri
moga dijauhkan dari anak-anak kami
malapetaka sehebat begini
lindungi kami Ya Allah dari penjenayah ini.

CNM, 13/3/12, 9.53pm
THMK

13 March, 2012

kegelapan

sungguh malang
jika diri merasa bergemerlapan
sedangkan warna sekeliling pekat kehitaman
dilingkari kegelapan
tiada cahaya kesedaran
terusan dalam dunia bawah tempurung.

sungguh menyedihkan
jika diri merasa penuh pengetahuan
sedangkan mata buta tentang adab sopan
dikaburi ketaksuban
akal dipinggirkan
terusan dalam dunia tanpa cahaya iman.

CNM, 13/3/12, 9.31am
THMK

malu pada cermin

tidakkah kamu malu pada cermin
menilik indah rupa anugerah tuhan
yang kamu calit dengan maskara kepalsuan
yang kamu sapukan wangian kesombongan
yang kamu lukiskan dengan garis keangkuhan
yang kamu solekkan dengan solekan keegoaan
lalu kamu kenakan selendang kebejatan
yang menutupi ubun paling bongkak
dan kamu memandang isi alam
dengan pandangan penghinaan.

cermin itupun menggigil kekesalan!

CNM, 13/3/12, 9.00am
THMK

Ingin aku



ingin aku
melonjak ke dada langit
memintal awan gemawan
menjadi sebaris ayat buat tatapanmu
walau di sudut mana engkau berdiri
sesungguhnya hidup ini ada penamatnya
dan jangan kamu tamatkan dengan sebuah sesalan.

ingin aku
mengejar pelangi berkembar
mengukir sebaris pesanan buat renunganmu
walau di puncak mana engkau berdiri
sesungguhnya keegoan dan keangkuhan
sedikit demi sedikit bertukar menjadi barah
dan jiwamu akan dimamah kekesalan yang tak kelihatan.

CNM, 13/3/12, 8.33am
THMK

Senyum

senyumlah
ia penawar paling mahal
ia bisa merawat hati yang dibelah dua
perlahan cebisan-cebisan hampa bertaut
menjadi segumpal kemaafan.

senyumlah
ia hadiah paling berharga
ia bisa memujuk jiwa yang dilumati
perlahan sisa-sisa kecewa bercantum
menjadi seketul keredhaan.

senyumlah dengan senyuman paling ikhlas!

CNM, 13/3/12, 8.16am
THMK

Dingin

embun kesabaran menyelimut dingin
membeku merah bara di dada malam
terpadam amarah yang kau nyalakan
dengan sepotong api keangkuhan
meninggi diri penuh keegoaan
dihiasi renda kesombongan.

dingin bertandang
menghakis kepingan-kepingan harapan
lalu terkubur segala kenangan
yang memaksa ia dibuang
ke lubuk sejarah silam
menjadi tugu pelupusan.

CNM, 13/3/12, 8.02am
THMK


Tak Sangka

sungguhku tak menyangka;
ular lidi menjadi naga,
ikan bilis menjadi paus,
biawak menjadi dinasaur,
ganasnya.

bagai parasit
membunuh dalam diam
bila perumah tumbang
dia pon ikut kecundang
rasakan.

CNM, 12/3/12, 7.10pm
THMK

12 March, 2012

Sekali bah sekali pantai berubah

Sang ombak memuja pantai
setia mendampar saban waktu
namun kesetiaan tidak menjanjikan
apa-apa kepastian
pantai tetap berubah
membiarkan ombak terusan
merayu saban waktu
inikan pula makhluk bernama manusia
penuh tipu daya
membolak balik kepercayaan
membunuh setia kawan
merubah rasa
mengikut naluri jiwa haloba.

CNM, 12/3/12, 9.00am
THMK

Matanya bulat

matanya bulat
terjojol dek kain singkat
pakaian muda mudi melarat
tonjol yang ketat-ketat
terbonjol sendat.

matanya bulat
terjojol dek aksi dahsyat
anak muda duduk rapat-rapat
tangan merayap segenap tempat
duduk dalam gelap tak kira tempat.

matanya bulat terkulat-kulat!

CNM, 11/3/12, 10.06pm
THMK

Detik yang cemburu

Detik kian laju
memaksa kita terus memburu
kejar impian yang satu
menemui Ilahi dengan ibadat bermutu.

Detik kian laju
memaksa kita terus meluru
memperbanyakan selawat doa restu
mendapat syafaat pada hari pembalasan jitu.

Detik kian laju
memaksa kita bantu membantu
memperkasakan ilmu untuk maju
membangunkan bangsa menunju mercu.

Detik kian laju
memaksa kita utamakan mutu
membina keluarga haruslah dipacu
membentuk masyarakat yang bersatu padu.

Detik kian laju
memaksa kita tidak membatu
berusaha dengan semangat menggebu
mencari rezeki halal yang menunggu.

CNM, 11/3/12, 9.57am
THMK

Lamunan cerita luka

Pada redupnya senja
terpandang di sudut mata
angin membelai lembut dedaunan rasa
menyentak aku dari lamunan cerita luka
cerita musim remaja sering kali menerpa
terkadang diikutkan rasa menekan jiwa
syukur masih ada ruang dan masa
membina kekuatan dari deraian airmata.

Senja pergi melambai mesra
bertabah dan panjangkan doa
yang maha berkuasa mendengarnya
jadilah hamba yang meredha
ketentuan pasti ada hikmahnya
dalam suka duka kehidupan sementara
menuju alam yang kekal selamanya
semoga mendapat rahmat yang Esa.

CNM, 11/3/12, 9.45am
THMK

Warkah mimpi

Kutulis warkah dalam mimpimu
dalam memorimu datang ia menyeru

bila pagi menjelma, ia jadi bunga
bila malam menjelma, ia jadi purnama

cerita kita, bila kau datang
dunia ini penuh warna, penuh keindahan

bila pelangi menjelma , itulah seri wajahmu
bila haruman mewangi, itulah haruman rambutmu

di mana kau berada kupasti ada
aku pengembara, destinasinya kamu

kau nadi denyut jantungku
duniaku dalam mimpi-mimpimu.

CNM, 11.3.12, 9.27 am
THMK

Warna-warna hati

Aku rindu pada bait-bait bicaramu
tiada kata berseni tersusun rapi seperti katamu
setiap patah katamu menitip tanda di batu hampar hatiku
jadi mercu tanda dalam liku-liku perjalanan panjangku
lorong berduri kulolosi dengan bisa calar menggembur semangat juangku
dalam kejerihan kau panjatkan doa memohon restu
kuukiri bayangan silam dalam lipatan sejarah hatiku
agar kekal kumiliki waktu-waktu keemasan bersamamu
warna-warna hatiku timbul beralun di atas lembaran kenangan bersamamu.

CNM, 11/3/12, 9.15am
THMK

11 March, 2012

Syair Sepanjang Zaman XI

Pagi-pagi teringat nasi dagang
lauk ikan tongkol memang menyelerakan
petani nelayan buat bekalan
mencari rezeki di bumi tuhan
demi anak-anak yang tersayang.

Ahad yang tenang
pagi-pagi tv bersiaran
alam mistik punya program
alamak! isu nasi kangkang
sungguh meloyakan.

Inilah akibat nafsu yang ditakhtakan
si isteri menyihir suami untuk diperbodohkan
rasa tamak menguasai perasaan
si isteri guna jalan dilaknati tuhan
bersubahat dengan makhluk halus menyekutukan tuhan.

CNM, 11.3.12, 7.48am
THMK

10 March, 2012

Dah

Dah

Dah kutahu
bagaimana tingkahmu
bijak memujuk rayu
untuk kepentinganmu
ada udang di sebalik batu.

Dah kutahu
bagaimana sikapmu
pandai bermuka sayu
untuk meraih simpati kepadamu
bermuka-muka tanpa malu.

Dah kutahu
bagaimana caramu
memilih bulu
buat tungganganmu
memijak yang tak sebulu.

CNM, 10/3/12, 11.41am
THMK

Syair Sepanjang Zaman X

Becana alam adalah cabaran
musim hujan boleh kebanjiran
hadapi dengan tenang buat persiapan
selalu ikuti perkembangan
terutama makluman ramalan.

Bencana alam adalah aturan
kemarau boleh menjejaskan tanaman
bersedia dengan pelan tindakan
minimumkan kesan perubahan
hidup tak dalam kesusahan.

Bencana alam adalah putaran
alam dalam proses menuju keseimbangan
kitalah yang harus menyesuaikan
fenemona kejadian luar jangkaan
yang menguji kesabaran.

CNM, 19/3/12, 10.52am

Mencintaimu

mencintaimu kasih
satu ketentuan yang berbayar
kerana cintamu tidak pernah hambar
setiasa bersinar
memancar suria.

mencintaimu sayang
satu keputusan yang gemilang
kerana cintamu penuh kasih sayang
sentiasa merangsang
kedamaian.

mencintaimu dinda
satu perbuatan yang berharga
kerana cintaku yang kamu takhta
sentiasa setia
dalam suka duka.

CNM, 10/3/12, 10.28am
THMK

09 March, 2012

Hidup perlukan...

hidup ini biar berteman
tak akan mampu hidup sendirian
jangan diperlekeh andai tak sehaluan
kerana apa yang dipertahan
belum tentu betul di sisi Tuhan.

hidup ini biar bersopan
tak akan ada yang mampu bertahan
andai saling melengkapi tak diamalkan
seperti indahnya ciptaan
dijadikan berpasang-pasangan.

CNM, 9/3/12, 11.51pm
THMK

Bisikan Cinta

malam ini
hati melonjak ingin berkata-kata
berbisik ke kuping sukmamu
ingin sekali aku didekap erat
ditemani hela nafas kasihmu.

malam ini
sanubari teruja ingin menyuara
berbisik ke telinga jiwamu
ingin sekali aku dibelai manja
ditemani detak jantung cintamu.

CNM, 9/3/12, 11.32pm
THMK

kenapa tidak begitu?

jika lihat si buta
teraba-raba di jalanan
kamu yang celik
perlukah mengherdik kepadanya
apalah kamu ini tidak tahu melintas jalan
kenapa tidak begitu?
kau kata kau pandai...

jika jumpa si bisu
tertanya-tanya di halaman
kamu yang mampu berkata-kata
perlukah meninggi suara kepadanya
apalah kamu ini tak faham bahasa
kenapa tidak begitu?
kau kata kau bersopan...

lihat ke dalam diri...

CNM, 9/3/12, 10.58pm
THMK

tak toleh lagi

kutak ingin menoleh lagi
kerana yang ada di belakang
hanya guratan-guratan
yang merembeskan air mata
hiba.

kutak mahu menoleh lagi
kerana yang ada di hadapan
adalah kerdipan-kerdipan
yang menyinarkan keceriaan
sejahtera.

CNM, 9/3/12, 10.10pm
THMK

aku jadi lupa

aku jadi lupa
mukaku disimbah penghinaan
dengan darah sembelihan.

aku jadi lupa
airmukaku diconteng cercaan
dengan arang keangkuhan.

aku jadi lupa
kisah semalam yang hiba
kerana aku ada kalian semua.

CNM, 9/3/12, 9.51pm
THMK

Kulupuskan

kulupuskan separuh
sejarah silam yang tak ingin kukenang
kelontar jauh-jauh ke hujung alam
biar ia membeku bersama dingin kutub
menjadi tanda pelupusan.

kuhapuskan setengah
kisah semalam yang tak ingin kusimpan
kuhumban sedalam-dalam ke dasar lautan
biar ia mengeras bersama enapan puing-puing laut
menjadi karangan buangan.

CNM, 9/3/12, 2.28pm
THMK

08 March, 2012

Hari Wanita

Wahai lelaki pasangan wanita
hari ini hari menghargai mereka
jangan lupa ucapkan terima kasih tak terhingga
merekalah yang setia
di sisi kita.

Wahai lelaki suami wanita
hari ini hari menghargai isteri anda
jangan lupa ucapkan rasa bangga
punya isteri cantik jelita
berkorban apa saja.

Wahai lelaki di luar sana
hargai wanita walau siapapun mereka
jangan ambil kesempatan atas kelemahannya
bantulah apa yang kamu terdaya
kerana wanita dicipta untuk melengkapkan kita.

Tahniah kepada semua yang bergelar wanita
walau di mana anda berada
semoga ceria sentiasa
diberkati dan dilindungi yang Esa
sepanjang masa.

CNM, 8/3/12, 7.26pm
THMK

Gaji dinaikan

Gaji dinaikan
beri suntikan semangat kakitangan awam
berkerja dengan penuh kesungguhan
menyokong transformasi kerajaan
membangunan modal insan
capai wawasan.

Imbuhan ditambahbaikan
beri insentif untuk penjawat awam
melaksana dengan penuh ketekunan
membantu jayakan visi kerajaan
capai taraf negara maju yang diidamkan
dalam waktu ditetapkan.

CNM, 8/3/12, 6.14pm
THMK

Tambah Gaji

PM umum tambah gaji
baru pagi tadi
maknanya tambah kerja lagi.

PM umum SBPA batal
siapa yang gatal
buat perubahan nakal.

PM umum SSM ditambahbaikan
ini bagus untuk kakitangan
petingkan kebajikan.

CNM, 8/3/12, 3.18pm
THMK

jangan diperlekeh

andai kita lebih dewasa
jangan diperlekeh yang muda
belum tentu kita tahu segala
tak semesti yang muda tak tahu semuanya
usah pandang sebelah mata.

ada seorang imam
menegur anak kecil
"hati-hati katanya
apabila berwuduk
memakai terompah besar
nanti tergelincir jatuh".

kata anak kecil
"kalau kutergelincir
hanya aku yang jatuh,
kalau imam tergelincir
ramai yang akan jatuh".

CNM, 7/3/12, 9.42pm
THMK

Jangan kata apa-apa

Jangan kata apa-apa
Sebelum mencuba
Baik diam saja
Usah mudah putus asa
Diri anda ada upaya.

Jangan kata apa-apa
Sebelum berusaha
Baik perhati saja
Usah rasa hina
Diri anda ada idea.

CNM, 7/3/12, 22.38pm
THMK

Malam dah dewasa

Malam dah dewasa
Lalu mata tak larat nak buka
Yang diidamkan bantal dan tilam saja
Buat melurus belikat memulih tenaga
Esok nak sambung kerja.

Malam kian tua
Umur kita makin berganda
Saat hujung nyawa makin tiba
Marilah kita taati yang Esa
Semoga diampuni dosa-dosa kita.

Malam makin menggoda
Menebarkan dinginnya halwa
Rasa nak masuk selimut tiba- tiba
Moga mimpi membuai lena
Terjaga dengan senyum lega.

CNM, 7/3/12, 23.11pm
THMK

Hujan

Hujan berseloka
Katanya bumi dahaga
Dituangnya segelas air pelega
Buat menyubur pohon-pohon melata
Hijau bumi di pandangan mata.

Hujan berjenaka
Katanya sungai kering airnya
Dicurah sebaldi air berharga
Buat menakungi hidupan akua
Biru sungai di pandangan mata.

CNM, 7/3/12, 22.51pm
THMK

Malam berbicara

malam berbicara
melalui suara hujan
mendayu dan sayu
mengusik hati yang sendu
tak ingin berlagu.

malam berbicara
melalui suara angin
sayup dan mendingin
membeku hati yang lara
tak ingin menyuara.

malam berbicara
melalui titis embun
berdetap meratap
menemani hati yang malap
tak ingin berkata-kata.

CNM, 7/3/12, 9.08pm
THMK

lihat dari kacamata...

lihatlah dari kacamata lebah
mencari bunga-bunga
menyedut manisan nektar
menghasilkan madu
ubati banyak penyakit.

jangan lihat dari kacamata lalat
mencari yang busuk
meninggalkan berengga
mengotori
membawa pelbagai penyakit.

CNM, 7/3/12, 8.32pm
THMK

tak pandai

aku tak pandai
nak bermuka-muka
kalau ya aku kata ya
kalau tidak aku kata tidak
suka tak suka
aku dah menyuara
terserahlah pada kamu menilainya.

aku tak pandai
nak berlakon sandiwara
kalau tak betul aku tegur segera
kalau betul alhamdulillah aku sokong saja
tak susah mana
tapi kalau nak aku telan semena-mena
maaf bukan aku orangnya.

CNM, 6/3/12, 10.32pm
BBB

biar betul

kalau nak cepat
naik kapal terbang
jangan naik keretapi.

kalau nak sihat
amal gaya hidup sihat
jangan main rembat.

kalau nak kaya di akhirat
ganda amal ibadat
jangan buat jahat.

pendekkan kata
buat sesuatu biar betul
tak betul?

CNM, 7/3/12, 6.38pm
THMK

hari ini

hari ini tertuai
apa yang kamu usahakan
andai ia menghadirkan senyuman
tahniah!
cikgu dapat ucapkan.

hari ini berbuah
apa yang kamu tanamkan
andai ia menghadirkan air mata
bertabah!
cikgu dapat katakan.

hidup perlu diteruskan.

CNM, 7/3/12, 6.27pm
BBB

baik

aku bukan yang terbaik
namun aku ingin memberi yang terbaik
dengan mencuba yang terbaik
kerana Allah suka yang baik-baik
rasul juga menyampai yang baik-baik.

manusia ada jahat ada baik
insan suka yang baik-baik
yang baik-baik selalunya terbaik
mari kita kerjakan yang baik
tinggalkan yang tak baik.

kamu tak mahu baik?

CNM, 7/3/12, 6.03pm
THMK

kulabuhkan tirai malam

kulabuhkan tirai malam
tergoda dek keseksian tilam
mohon diri lalu kuhulur salam
dengan lafaz kemaafan salam selamat malam.

teruskan menggarap ilham
esok kudatang menghadam
puisi kalian penuh iltizam
sangat bermakna untuk difaham.

CNM, 6/3/12, 11.06pm

Malam Masih Muda

Malam masih muda
remaja keluar meronda
jumpa kawan-kawan sekepala
macam-macam keluar agenda
kalau elok tak apa juga
ditakuti merosak diri bangsa dan agama.

Malam masih muda
embun belum dewasa
langit berseri disuluh purnama
insan leka memeriah lorong nista
mencari keseronokan sementara
tak ingat pahala dosa.

"kembalilah mentaati yang Esa"
aku hanya mampu berdoa.

CNM, 6/3/12, 9.45pm
BBB

Di sudut mana

Di sudut mana sekalipun aku berdiri
aku tetap jadi diriku
andai pandangan matamu terbakar
aku tetap aku
dan itulah aku
dengan caraku.

Di ceruk mana sekalipun aku berada
aku tetap dengan semangatku
andai caraku tak seiring caramu
aku tetap aku
dan itulah aku
dengan peganganku.

CNM, 6/3/12, 9.56pm
BBB

05 March, 2012

Nasi mentah, Budak mentah

seorang budak
memasak nasi
nasinya mentah.

balik ayah
ayah bertanya
"kenapa nasi mentah?"

budak mentah naik marah
"ayah tahu apa,
ayah tak memasak".

tak memasak
tak semesti tak tahu memasak
adeh!!! budak mentah.

belajar lagi memasak!

CNM, 5/3/12, 18.45pm
@poyo

Wibawa Palsu

cakap pasal bola sepak
sebutlah David Beckam
jangan sebut Tiger Wood.

cakap pasal memasak
sebutlah Chef Wan
jangan sebut Donald Trump.

cakap pasal lagu
sebutlah M. Nasir
jangan sebut Karam Singh.

kamu faham?

CNM, 5/3/12, 18.08pm
BBB

Menyeleweng

aku tanya pasal ayam
kenapa ayam begitu begini?
kamu jawap pasal itik
itik begitu begini
kalau nak menjawab
kamu jawab pasal ayam
bukan pasal itik.

kalau tak tahu pasal ayam
duduk diam-diam
jangan bagi aku cerita itik
aku sudah tahu pasal itik
yang nak aku tahu pasal ayam
ya! pasal ayam
bukan itik.

CNM, 5/3/12, 17.35pm
BBB

04 March, 2012

kontot

kontot
hah! apa yang kontot?
puisi kontot!
sebab idea terbantut
bila terbau yang meletup
dan disorot-sorot
kamu jangan kalut!
tutup mulut.

CNM, 4/3/12, 22.06pm
@poyo

Adakala

kalau tak tahu, bertanya
adakala
kalau tak tahu, diam.

kalau tahu, cakap
adakala
kalau tahu, jangan cakap.

kalau malas, susah
adakala
kalau malas, senang.

CNM, 4/3/12, 21.52pm
BBB

Besar

Orang pangkat besar
gaji besar
kereta besar
rumah besar
belanja besar
selera besar
bini pun besar
pendek kata semua besar, betul ke?

CNM, 4/3/12, 21.31
@poyo

melukut di tepi gantang

usah melukut di tepi gantang
ada tiada tak memberi makna
yakin pada diri ada kelebihan
tetapkan matlamat untuk jayakan
nescaya hidup berhaluan.

usah melukut di tepi gantang
ada tiada tak dipandang
usaha sendiri apa yang diidam
itu lebih bermakna
nilai tambah kepuasan.

CNM, 4/3/12, 21.20pm
BBB

Akrostik Tinta Hati Menitip Kata

Tetamu budiman
Ini laman perkongsian
Nukilkan bicara untuk tatapan
Tentang apa saja yang diilham
Anda amat dialu-alukan.

Hiasi keperibadian
Agar diredhai Tuhan
Tetap teguh menjaga keimanan
Itulah sebaik-baik insan.

Mulakan hari dengan ucapan
Engkaulah tuhan yang pengasih dan penyayang
Nikmat-Mu tak pernah padam
Ihsan-Mu kepada isi alam
Terima kasih yang maha mengurniakan
Ilahi pencipta tiada tolok bandingan
Penguasa semesta alam.

Kami hamba yang mengharapkan
Ampunan dan keredhaan
Terjaga dari bencana yang dijanjikan
Allah yang maha besar.

CNM, 4/3/12, 20.06pm
BBB

Merah Mata

merah mata
menunggu senja jingga
tak terhitung akan dosa-dosa
di hujung hari bernoda
apakah ada ampunan buat kita?

merah mata
menanti senja merona
terkumpulkah akan pahala
di hujung hari bersisa
apakah ada amalan diterima dari kita?

CNM, 4/3/12, 19.09pm
BBB

Jangan seperti itik

dik!
jangan jadi seperti itik
bila bertemu air
lupa daratan
enggan pulang.

dik!
jangan jadi seperti itik
bila bertemu kubang
lupa reban
bertelur di padang.

itik nampak sopan
jalan berjujukan
ketemu air
hilang pertimbangan.

lumrah atau kegagalan?

CNM, 4/3/12, 18.53pm
BBB

Tinta Hati Menitip Kata

Kutitipkan kata dari tinta hati hanya kerana-Nya
Getaran rasa dijelmakan dalam bait-bait kata
Menyuarakan bicara tanpa suara di ruang maya
Tiada sempadan tiada rahsia
Semua insan diundang membaca.

Kularikkan suara dari tinta hati hanya kerana-Nya
Melodi jiwa dizahirkan dalam ayat-ayat berbunga
Menganyam lagu sukma merangsang minda
Jadi panduan dan pedoman sesama
Dalam perjalanan mencari redha-Nya.

CNM, 4/3/12, 18.30pm
BBB

Apa Guna

apa guna berteman
kalau hanya menyakitkan
biar mereka berkumpulan
aku senang sendirian
menyerah diri pada tuhan.

apa guna berteman
kalau hanya untuk penghinaan
biar mereka dengan kesombongan
aku tenang sendirian
menadah tangan mohon perlindungan.

apa guna berteman
kalau hanya dipermainkan
biar mereka dengan keangkuhan
aku tabah sendirian
pasrah kepada ketentuan.

CNM, 4/3/12, 17.52pm
BBB

pelantar

kumendaki dari tangga ke tangga
membina pelantar buat semua
berdiri berkongsi seni yang sama
namun apa daya
harapan hanyalah dambaan yang hampa
dikuburkan pelesit haloba
menyerpihkan pelantar menjadi dua
menjatuhkan yang tak berdosa.

CNM, 4/3/12, 14.58pm
Tinta Hati Menitip Kata

laungan muazin

telah kedengaran
laungan muazin
tiada yang lebih penting
dari seruan
menuju kejayaan.

mari kita
berhenti seketika
sujud kepada yang Esa
tuhan yang maha kuasa
yang memberi segala.

CNM, 13.32pm, 4/3/12.

api itu

api yang kaunyalakan
tak bisa membakar semangat ini
malah ia marak
meleburkan keangkuhanmu
jadi debu.

api yang kaunyalakan
tak bisa menghaguskan kekentalan ini
malah ia menghangat
mencairkan kebebalanmu
jadi kumuhan.

api yang kaunyalakan
tak bisa membutakan pandangan ini
malah ia menerangi
menyuluh jalan ke puncak
jadi jaya.

CNM, 4/3/12, 13.24pm
FTS

Demi Masa

telah difirmankan
demi masa sesungguhnya
kita manusia dalam kerugian
andai tidak saling berpesan-pesan
hal-hal kebenaran dengan penuh kesabaran.

marilah teman-teman
kita bermuhasabah akan diri sendiri
adakah sudah melaksanakan segala suruhan
adakah sudah meninggalkan segala larangan
tanpa gagal.

CNM, 3/3/12, 21.40pm
Tinta Hati Menitip Kata

Hujan Malam Ini

Hujan malam ini
menyubur semangat yang kulentur
menjadi inspirasi
terus menitip kata dari tinta hati
menjadi bait-bait puisi
yang bererti.

Hujan malam ini
melarutkan kotoran silam
suci sesuci langit tanpa awan hitam
membiru saujana mata memandang
dari ufuk ke ufuk
terlihat ke serata alam.

CNM, 3/3/12, 20.26pm
Tinta Hati Menitip Kata.

Syair Sepanjang Zaman IX

zaman sekarang penuh dugaan
hidup dikelilingi jenayah kekerasan
rompak rogol dan pembunuhan
saban hari kita diberitakan
menyayat perasaan.

terancam keselamatan
hati dalam kebimbangan
nyawa bagai barang mainan
diragut tanpa belas ehsan
menyiat hati insan.

ya tuhan
lindungi kami dari segala kejahatan
hancurkan manusia bertopeng syaitan
berikan pertolongan yang kami harapkan
sesungguhnya Engkau maha mentadbirkan.

CNM, 2/3/12, 22.49pm
BBB

Syair Sepanjang Zaman VIII

arus pemodenan
menelan adat ketimuran
muda mudi berpeleseran
tanpa segan silu berduaan
di khalayak bercumbu berpelukan
hanyut dengan nafsu syaitan.

globalisasi tanpa sempadan
barat menjajah dengan kemajuan
menguasai pasaran
gadget-gadget melalaikan
muda mudi jadi sasaran
pelbagai program dijamukan.

kerajaan perlu main peranan
menyekat budaya yang kian merosakan
semai cintakan budaya ketimuran
dari peringkat rendah ke atasan
terselamat modal insan
penyambung warisan.

CNM, 2/3/12, 22.22pm
BBB

bicara di ambang malam

kutanam
kenangan silam
bernesan pedoman buat sempadan
yang hitam telah terpadam
yang putih melaram.

kupasang harapan tersergam
menyuluh jalan tak terpadam
jadi panduan sepanjang zaman
mencari sucinya keredhaan
di bumi tuhan.

CNM, 2/3/12, 19.24pm
BBB

alam pun faham

jika sembilu yang kau tanam
takkan yang tumbuh itu budi
tanya sama alam.

jikan racun yang kau siram
takkan hidup pohon keakraban
tanya sama alam.

jika keangkuhan yang kau simpan
takkan keamanan yang bertandang
tanya sama alam.

jika kemunafikan yang kau pertahan
takkan siapa akan bertahan
alampun meragam.

CNM, 2/3/12, 18.24pm
BBB

Syair Sepanjang Zaman VII

Ibubapa yang budiman
hamba ingin berpesan
anak-anak anugerah tuhan
usah terlalu memberi kepercayaan
kelak hati disakitkan.

sesibuk mana mencari makan
peruntukan waktu untuk perhatikan
dengan siapa anak kita berkawan
dikhuatiri terpengaruh budaya syaitan
susah nak di bawa ke pangkal jalan.

tanamkan ke dada keimanan
ada kekuatan menahan anasir menyesatkan
walau tidak diperhatikan
Allah jua diingatan
jadi mereka modal insan penuh ketakwaan.

CNM, 2/3/12, 17.58pm
BBB

Syair Sepanjang Zaman VI

kawan
mari kita meriahkan
laman syair sepanjang zaman
kongsikan suara hati jangan disimpan
sekurangnya terbebas bebanan.

teman
mari kita beriringan
menggarap puisi buat pedoman
demi masa manusia dalam kerugian
kecuali yang berpesan dengan benar dan penuh kesabaran.

adik kakak abang sekalian
usah malu usah segan
nukilkan karya terbaik sepanjang zaman
sama-sama kita martabatkan
seni warisan budaya tempatan.

CNM, 2/3/12, 16.52 pm
BBB

Senyuman palsu

terukir senyuman yang terindah
pada bibir yang berlipstik sandiwara
sedang hati menangisi perbuatan.

tersusun senyuman yang palsu
senyuman yang bersalut tuba
menanah membarah meracun jiwa.

janji-Nya tak didusta dik!

CNM, 2/3/12, 16.17pm
BBB

seekor munafik

pada dinding-dinding awam
serata negeri diukir
kata-kata kagum
pada utusan tuhan
kerana topengnya berwajah malaikat.

pada dinding-dinding sendiri
segenap penjuru ditampal
foto-foto separuh bogel
buat melempias nafsu
nah! hatinya berwajah iblis.

kenali teman seekor munafik!

CNM, 2/3/12, 15.10pm
BBB

Syair Sepanjang Zaman V

sahabat
di malam jumaat
mari kita perbanyakkan amalan sunat
agar mendapat berkat
beruntung di akhirat.

sahabat
ketepikan rasa penat
bacakan yassin perhala berlipat
tenteram jiwa mental sihat
beruntung fizikal kuat.

sahabat
renungkan segala nasihat
di mana-mana laman yang mencatat
ambillah jadikan panduan menuju akhirat
InsyaAllah anda memilih jalan selamat.

CNM, 2/3/12, 19.19pm
BBB

01 March, 2012

telah

telah kulontar ke penjuru alam
kisah-kisah semalam
biar terpampang
menjadi sejarah
bezanya engkau dan aku.

telah kubuang ke lautan
duri-duri kata
biar mengenap
menjadi batu enapan
tanda keangkuhanmu.

telah kusemai di ladang hati
semangat baru
biar bercambah
menjadi pohon yang menyaksi
kepalsuan yang kau pertahankan.

CNM, 1/3/12, 18.35pm
BBB