Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

29 July, 2013

Dua Jalan

Dua Jalan

di dunia
ada jalan yang memerit
sengaja menguji keimanan
dan di sana
ada ganjaran yang lumayan

di dunia
ada jalan yang mengiurkan
membutakan ketakwaan
dan di sana
ada wajaran yang mengerikan

akal diberi percuma, kaupilihlah!

CNM, 29/7/13

28 July, 2013

50pp: kehilangan

50pp: kehilangan

...sederas manapun air mata mengalir dek sebak akan sebuah kehilangan, ia tak bisa mengembalikan, jasad itu terbujur kaku bisu menunggu disemadikan, kesat air mata itu dari gugur, belajar menerima, reda dengan ketentuan, pujuk hati menerima, bahawa Tuhan lebih menyayangi, utuskan doa, semoga perpisahan yang ditadirkan, perpisahan yang akan dikenang selamanya...

CNM, 28 Jul 13, THMK

50pp: hancur

50pp: hancur

...bagai bintang yang berkecai jatuh dari dada langit, sekeping hati yang hancur tak mungkin bercantum kembali, mengapa dibiar ia retak, pecah dan berderai, sedang kamu tak punya hati kering, untuk berpaling dan pergi tanpa menoleh lagi, kenapa dengan mudah menyakiti sekeping hati yang setia mencintai, dalam susah dalam senang menanti...

CNM, 28 Jul 13, THMK

Bagaimana

Bagaimana

bagaimana
boleh ada jurang antara
setelah berpadu saling mencinta

bagaimana
boleh ada persoalan antara
setelah mengukir janji setia

bagaimana
boleh ada curiga antara
setelah saling mengenal jiwa raga

CNM, 28 Jul 13, THMK

Aku Pelik

Aku Pelik

pada lafaznya
yang di tampuk kuasa menjunjung sunnah
bicara tentang penyatuan ummah
bersungguhkah mereka?
belajar dari sejarah agama
penyatuan atas nama persaudaraan
yang dibawa Junjungan Besar S.A.W

tapi mengapa?
rakyat makin berbeza
tiada warna-warna senada
kian berpuak menegak agenda
menjauh dari ajaran agama
berbalah demi kuasa
tiada usaha membulat suara...

CNM, 28 Jul 13

Duhai Anak

Duhai Anak

ingat tak kamu?
siapa yang membesarkanmu
siapa yang memberi waktu
kala engkau memerlu
bukankah kedua orang tua itu?

nah! ingin aku menyeru
pulanglah walau sekejap bertamu
melayan orang tua yang merindu
selagi hayat mereka di depanmu
sebelum mereka pulang pada Yang Satu

bila kali terakhir kamu bertemu?

CNM, 28/7/13, THMK.

27 July, 2013

50pp: rajuk alam

50pp: rajuk alam

...hujan berhenti menitis, awan gemawan enggan mengelabu, angin pegun dan hanya memandang, tanah-tanah jadi gersang, rerumput kekuningan, kering kehausan, layu tunduk menanti ehsan, alam telah menyebal, merajuk pada rakusnya insan, menelanjang kehijauan, memperkosa kedamaian, meragut keseimbangan, tanpa sedikit pun rasa bersalah, hanya mementingkan keperluan sendiri, sedang kemakmuran bersama, tergadai maruahnya...

CNM, 27/7/13, THMK.

100pp: Cinta

100pp: Cinta

...bicara tentang cinta, suatu isu sejagat, anugerah terindah, satu naluri rasa yang menjalar dalam jiwa tanpa paksa, pun mungkin tanpa sedar, mencintai itu satu nikmat, tak tergambar, hanya yang menghadapi mampu merasai, kepada siapa cinta diberi, sedalam mana cinta ditanam, seluas mana cinta ditebar, hanya hati pemberi cinta ada jawapannya, cinta bukanlah barang mainan yang boleh dijual beli, ia bukan boleh dipaksa, ia hadir bila ada rasa kasih dan rasa menyayangi, bibit-bibit rindu yang melata jadi petanda cinta mula berputik, berkembang meniti masa, andai dibajai dengan kejujuran dan kesetiaan, cinta akan berada di landasan yang benar, terjaga rapi lagi suci...

CNM, 27/7/13, THMK.

50pp: Ikhlaslah

50pp: Ikhlaslah

....jika kepentingan diri melebihi dari kepentingan bersama, natijahnya adalah kehancuran kelompok, lebih besar lagi kehancuran sebuah institusi mahupun negara, ia mampu membunuh saki baki rasa kekitaan, nilai kepercayaan akan terkubur, rasa tidak puas hati akan bergelojak membangkit api kemarahan, kacau bilau bakal tercetus, dan meletupnya tuntutan keadilan, ikhlaslah dalam perkhidmatan...

CNM, 27/7/13, THMK

aku tak fikir

aku tak fikir

catatan rasa nukilan bicara
sahabat maya sahabat pena
media cetak arus perdana
semuanya bermakna
aku tak fikir ia sampah
padaku katamu yang tiada hemah
selayaknya dibakul sampahkan
sedikit pun tak membawa percambahan
selebihnya hanya berunsur hinaan...

yang pelik lagi menghairankan
puisi engkau juga disiarkan
di laman yang engkau anggap
timbunan karya sampah.

sedarkah engkau?

CNM, 26/7/13, THMK.

Barah Integrasi

Barah Integrasi

menjelang 56 tahun kemerdekaan
dengan ledakan media elektronik
maklumat merebak pantas
pelbagai cerita disebar
dengan berita di hujung jari
di mana status integrasi?

pelbagai provokasi
meniup sentimen perkauman
menyemarak bara kebencian
membahangkan api persengketaan
yang membakar kesepaduan
bisa menghancur leburkan keharmonian

barah integrasi
andai tidak dicegahi
natijahnya sungguh ngeri
seluruh dunia bakal menyaksi
runtuhnya sistem demokrasi
dwi dewan raja berperlembagaan terkebumi

hargai nilai integrasi sebelum ia jadi barah membawa mati.

CNM, 26/7/13, THMK.

Nostalgia



Nostalgia

ini dia
radio kaset
zaman siswaku
saban malam yang bisu
memutar main lagu syahdu
menemani saat metelaah buku
hingga lena beradu

di corong radio ini
sajak pertamaku
"jauh, jauh, dan jauh"
dibacakan pengacara radio "Pok-pok Tu-tu"
yang terkenal satu masa dulu
menghibur penjaga malam
melewati malam-malam kelam

bahan kenangan
yang terlipat ampuh di ingatan
barangan yang masih tinggal dalam simpanan
mengembalikan nostalgia zaman keremajaan
menempuh hidup alam siswa
jauh dari ayah bonda
demi sebuah kejayaan dicita.

Alhamdulillah atas kurniaan-Mu Ya Allah.

CNM, 25/7/13, THMK

menyemai damai

menyemai damai

kucuba
mencipta laman damai
menanam pepohon ukhuwah
biar merimbun silaturrahim
saling membantu
saling mengingatkan
bukan menusuk jarum kebongkakan
seperti mana insan konon mulia
tapi hati penuh kumbahan kesombongan...

CNM, 25/7/13, THMK.

50pp: hakikat

50pp: hakikat

...menghampiri duapuluh tahun membina modal insan, telah kutemui pelbagai ragam, baik anak didik mahupun penjaganya, jelas sekali segelintir yang hadir mencari ilmu, tiada bermatlamat dan ditambah buruk dengan ketidakpedulian penjaga mereka, seakan menyerah bulat-bulat kepada guru mendidik, sedang waktu anak-anak sebahagian besarnya adalah di rumah, bukankah pendidikan bermula dari rumah?...

CNM, 25/7/13, THMK.

Puisi

Puisi

puisi ada jiwa
puisi punya rasa
puisi luahan minda
puisi perkongsian bicara
puisi olahan kata
puisi binaan bait bahasa
dan puisi boleh jadi seribu satu macam perkara

puisi padaku bukan sampah.

CNM, 24/7/13

Pedulikan

Pedulikan

sahabat
teruskan berkarya
kata-kata sumbang yang kedengaran
jika datang dengan keilmuan
ia jadi pengajaran
tapi
jika datang dengan penghinaan
ia jadi racun merosakan
kerana yang berilmu
tidak akan mengkritik tanpa saranan
menunjuk jalan penambahbaikan

aku tidak rasa hormat
kepada yang rasa diri sempuna
dan sesungguhnya hanya DIA yang sempurna.

CNM, 24/7/13, THMK.

Sebaik Kejadian

Sebaik Kejadian

Insan lahir dengan akal
dianugerah kebolehan berfikir
memilih antara kejahatan dan kemuliaan
bukan tunduk pada nafsu dunia

Insan lahir dengan sepasang mata
diberi melihat seluruh alam nyata
memilih jalan kebenaran direda
buka terpesona pada kepalsuan dunia

Insan lahir dengan mulut yang sempurna
diberi kepandaian petah berbicara
menyampaikan kebenaran
bukan menghina mencerca menyakitkan

Insan lahir dengan sepasang telinga
diberi pendengaran akan pesanan
mengambil iktibar dari ketentuan
bukan mendengar fitnah dan dusta

Insan lahir dengan sepasang tangan
diberi kekuatan kemahiran berseni
menghulurkan bantuan kebajikan
bukan merampas menakluk merosakkan

Insan lahir dengan sepasang kaki
diberi arah melangkah ke puncak kejayaan
membawa diri ke mercu kebahagiaan
bukan menuju ke lembah kehinaan membinasakan

Insan dilahirkan dengan sekeping hati
punyai nilai kemanusiaan
buat memupuk budi pekerti
bukan membelai kemunafikan diri.

CNM, 24/7/13, THMK.

50pp: sedap mulut

50pp: sedap mulut

...enak, bangga, puas dan seumpamanya bagi yang suka melempar tohmahan kepada golongan pendidik, jika kenyataan berpandukan fakta sebenar, alhamdullilah jadi pengajaran, andai kenyataan berdasar emosi semata, ia menunjukkan kebodohan sendiri bila mengatakan orang lain bodoh, anehnya mereka ini tidak pula mendidik anak sendiri, berlumba hantar anak ke sekolah,...apa maknanya tu????

CNM, 23/7/13, THMK>

50pp: meracuni

50pp: meracuni

...sekali lagi, langit diselubungi zarah-zarah tak kelihatan, mata kesakitan, menahan pedih asap debu, nafas terhela dalam sebu, menyesak dada, mengapa? Mengapa ada manusia yang seakan tidak peduli, mencemar alam, merosakkan kitaran semulajadi, hidupan terdera, mati dalam sengsara, tangan-tangan manusia alpa, meracuni saudara sendiri, demi kepentingan diri, tunggulah datangnya murka Ilahi...

CNM, 23/7/13, THMK.

50pp: berhelah

50pp: berhelah

...bila bapa mula sangsi, dia kata pergi, tapi surat peringatan jadi bukti, dia telah membohongi, berhelah melepas diri, konon tiada aktiviti, seteleh diselidiki, rupanya belum menyiapkan tugasan diberi, bertangguh kerana sikap malas mengaji, cuba melari diri, sedang mak ayah percaya sepenuh hati, anak ke sekolah seperti diingini, anak zaman ini!...

CNM, 21/7/13, THMK,

50pp: kelainan

50pp: kelainan

...andai tanah yang engkau berdiri kini tidak lagi mendamaikan, melangkahlah ke benua yang diidamkan, beranjak ke ruang baru, yang mampu memberi ketenangan dan kebahagiaan, usah peduli laman tumpah darah ini, nun di sana kedapatan alam luas terbentang buat yang miliki kemahuan, punyai hati kering adakala kelebihan pada yang inginkan kelainan...

CNM, 21/7/13, THMK.

21 July, 2013

50pp: melerai

50pp: melerai

...di hujung hari, nadamu kian meruncing, melodinya kian menyesak, lagunya merobek rasa, ke mana hilangnya irama kedamaian yang sering kaucipta, yang kaualunkan penuh kesyahduan, mendayu-dayu membelai penuh keasyikan, yang tinggal seakan sebuah nyayian kekecewaan, dendangan penuh kelukaan, perit pedih menyiat dalam-dalam, dan aku merasakan kamu semakin menjauh, melerai ikatan keharmonian...

CNM, 21/7/13, THMK

menunggu fajar

menunggu fajar

bulan mengenyit mata
sambil tersipu mengulum senyum
seraya berkata
malam mengajaknya merangkak
berembun menunggu fajar
sebelum mentari mengusir
ke ufuk cahaya...

CNM, 21/7/13, THMK.

Dilema

Dilema

dia
bukan nak pun
duduk sama kita
lebih senang sendiri
menjaga ayam itik sereban
tak ingin susahkan anak-anak menantu
orang tua memang begitu
susah nak setuju...

CNM, 20/7/13, THMK.

20 July, 2013

Bermadu

Bermadu

kebaikan bermadu kemusnahan;

i.
titis itu datang membaja
pori-pori terbuka
bercambah benih bersuka ria
berpucuk ke menara

ii.
titis itu tiba meranap segala
menenggelam padang asa
layu gugur jadi sisa
hancur hanyut ke muara.

CNM, 20/7/13, THMK.

susah sangatkah?

susah sangatkah?

kamu dulu tu
siapa yang jaga
dari tapak kaki sebesar dua jari
sampai beranak berbini
bukankah kedua orang tua itu
yang tak pernah meminta darimu...

susah sangatkah nak menjenguk mereka?
layanlah selagi mereka ada.

CNM, 20/7/13, THMK.

monolog awan

monolog awan

aku
telah pun
menyerap menyerak
bahang mentari yang membakar
pun juga mengandungkan titisan air
membawa ke hulu ke hilir
bagi membasahi bumi yang kering
menyubur tanah-tanah gersang
menyegar dedaun layu
tapi mengapa
sayup kedengaran keluh kesah
dari makhluk sebaik kejadian...

CNM, 20/7/13, THMK.

50pp: setelah

50pp: setelah

...setelah menyaksi mentari pagi menyinar dengan sekuntum senyuman, setelah melihat pepohon hijau melambai damai, setelah melihat awan gemawan berarak ke ufuk senja, setelah mendengar nyanyian keriangan unggas membawa pulang rezeki, setelah disimbah bayu lembut yang menyamankan, setelah berimiginasikan keindahan alam sekeliling, dia tetap tidak hadir, dan hanya nukilan ini kupersembahkan...

CNM, 20/7/13, THMK.

Membelah

Membelah

membelah rindu
tanya pada diri adakah termampu mengagih rindu
sebelum memaknai erti ketulusan rindu
yang kirim di angin lalu
sang perindu yang menunggu...

membelah kasih
tanya pada diri adakah termampu membahagi kasih
sebelum menyelami kedalaman cinta putih
yang disemai ke sukma terpilih
sang pencinta yang menagih...

CNM, 19/7/13

Engkar dalam Taat

Engkar dalam Taat

kucontohkan;

i. pemandu
kekal memasang tali pinggang keledar
tapi melanggar lampu isyarat merah
lalu berlanggar
berlaku tragedi berdarah.

ii. isteri
kekal menjaga maruah diri
tapi keluar rumah tapa minta izin suami
lalu dicurigai
berlaku tragedi berkelahi.

iii. hamba
kekal berpuasa menahan lapar dahaga
tapi gagal memyempurnakan solat, membuka aurat, tak berzakat
lalu diterimakah amalan
kerana keengkaran yang disengajakan.

CNM, 19/7/13, THMK.

C

C

Culas
cemarkan imej peribadi
cerminan tak menjadi
cemerlang jauh sekali
cacarmarba terjadi

Celika
cerita tetang kemalasan
ceroboh etika pekerjaan
cuai dalam tugasan
comot perjawatan

Cutel.

CNM, 18/7/13

18 July, 2013

Tangan Nafsu

Tangan Nafsu

tangan nafsu
tanpa segan silu
menconteng arang ke muka kalbu
bebal menongkah wahyu
mengheret songsang dari diredai Yang Satu

tangan nafsu
mengikat keinsafan ke perdu
kunci ke pintu kebenaran dipalsu
mengaburkan jalan direstu
melambai ke lembah berdebu

tangan nafsu
melakar garis-garis sendu
kekal terlanjur melukis keliru
hidup terumbang di lorong berliku
terkumpul catatan kelabu...

tangan nafsu
angkatlah telapak ke langit biru
mohon keampunan sucikan dosa lalu
sesungguhnya pada Dia tempat mengadu
nescaya tangan nafsu tunduk malu.

CNM, 18/7/13, THMK.

Lelaki

Lelaki

saat engkau berpergian
keluar di awal pagi
mencari segedung rezeki
ingat di belakangmu menanti anak isteri
penuh harapan tak pasti...

lelaki
jangan sesekali engkau curangi
sepanjang waktu yang mereka restui
jangan mereka engkau khianati
cuba memasang angan berpoligami...

lelaki
jika helahmu diketahui
maka kamu telah memasang unggun api
kelak akan membakar harmoni
kamu didendami hingga mati...

CNM, 17/7/13, THMK.

17 July, 2013

50pp: Senyum

50pp: Senyum

...Senyum itu indah, senyum penakluk jiwa, senyum mengoncang sukma, senyum mengetarkan dada, senyum jadi pengubat luka, senyum bisa mereda amarah, senyum petanda menerima, senyum pemberi jawapan, senyum bahasa menyata, senyum memungkin kemaafan, senyum baja kasih sayang, senyum menyubur kedamaian, senyum gambaran sebuah kemesraan, senyum tak ternilai harganya, jangan lupa senyum...

CNM, 17/7/13

50pp: janji

50pp: janji

...lupakah pada janji, yang terucapkan setelah kiam mengangkat takbir, janji bahawa hidup mati hanya kerada Dia, jika kerana Dia, mengapa dipersenda titah dan perintah-Nya, tidakkah itu engkar dalam taat, berpuasa tanpa solat, berpuasa tanpa menutup aurat, berpuasa tanpa mengeluar zakat, di manakah ketulusan janji, atau hanya pengucapan yang tak bererti...

CNM, 17/7/12, THMK.

Terima Kasih

Terima Kasih

terima kasih bulan
mengindahkan kelam malam
cahayamu dinanti pelusuk alam
menyuluh wilayah kegelapan
memberi harapan
hidup perlu diteruskan
dan bahawa gelita tak berpanjangan...

CNM, 16/7/13, THMK

wanita

wanita

sungguh mulia
tabah taat dan setia
tunjang kekuatan lelaki berjaya
tunjang sebuah keluarga bahagia
mempertahankan hak ke hujung nyawa..

wanita
jangan mudah terasa
ia jadikan lebih mudah dalam berbicara
buang emosi junjung rasional
itu kelihatan lebih profesional...

CNM, 17/6/13, THMK

50pp: terbuka

50pp: terbuka

...sebelum kita meminta orang lain terbuka, membuka minda berlapang dada, adakah diri kita sudah membuka seluasnya minda sendiri, sedia menerima kritikan, sedia menerima teguran, kalau belum bersedia lupakan sahaja hajat murni itu, kerana yang memberi respon pasti ada yang tak sehaluan dengan kita, jadi bersiap sedia dengan kemungkinan disanggah segala...

CNM, 16/7/13, THMK.

50pp: Penat

50pp: Penat


...terkadang terasa dari dalam lubuk jiwa akan keletihan, ya letih, bila apa yang diusahakan jauh dari kemenjadian, entah di mana cacat celanya, namun aku yakin sesuatu kejayaan perlukan kesungguhan semua  yang terlibat, jika bertepuk hanya sebelah tangan, orang kata tak akan berbunyi, jauh sekali mengundang kemeriahan, ia memenatkan lagi mengecewakan...

CNM, 16/7/13, THMK.

50pp: kembali

50pp: kembali

...demi masa, setiap yang dikerja tercatit dalam diari pahala dosa, syurga atau neraka hak mutlak Yang Esa, kita hanya mampu berdoa, memohon keampunan masa ke masa, tersembunyi reda atau murka pada ketentuan-Nya, Dia mengetahui segala yang tersembunyi mahupun yang nyata, kembalilah kepada syariat yang membawa syafaat dan reda-Nya ke syurga...

CNM, 16/7/13, THMK.

50pp: betul

50pp: betul

...andai rasa betul, semak betul-betul, sahkan ia memang betul, tak perlu lagi diperbetul, diterima semua memang betul, kerana jika hanya merasa betul, menganggap diri sentiasa betul, itu perlu diperbetul, biasakan yang memang betul, hentikan yang tidak betul , baharulah dikatakan betul, tiada yang mengiyakan ia tak betul, melainkan semuanya betul...

CNM, 16/7/13, THMK.

50pp: berbeza

50pp: berbeza

....memandang mudah mengundang padah, walau sama tapi berbeza, bermain bolasepak kelihatan sama dengan bermain futsal, tapi keduanya amat berbeza, memandu bunyinya mudah, memandu kereta tak sama cara mandu lori panjang, kalau silap boleh masuk longkang, jadinya belajarlah setiap satu penuh hemah, tolak ke tepi keegoaan yang memunah, tentu banyak faedah...

CNM, 16/7/13, THMK.

50pp: kenalilah

50pp: kenalilah

...sebelum mengangguk kepala tanda setuju, sebelum mengekor seperti kerbau dicucuk hidung, sebelum menerima apa saja yang diperkata, kenalilah siapa mereka, siapa yang menyata, kelak tersalah terima, terpesong jalan dan kepercayaan, terbelenggu dek kependekan akal, terkial-kial, tertunjal-tunjal, menyesal dalam sebal, malu berlingkar-lingkar, melilit berakarkan dangkal, mengenepi yang benar, yang sepatut diuar-uar...

CNM, 16/7/13, THMK.

50pp: senak akal

50pp: senak akal

...terkadang bukan masalah kita pun, tapi ia datang berpusing mengusut fikiran, mengocak muara kedamaian, membenih awan kemurungan, menghunjam titis kedukaan, membanjiri kolam keresahan, dan selaut kebingungan meliputi dataran ketenangan, membunuh semangat, meluluh ketabahan, memenggal kesabaran, melumpuhkan kekentalan, semangat juang terlebur, hanya mampu berdoa dan pasrah setelah berhempas pulas, senak akal...

CNM, 15/7/13, THMK.

15 July, 2013

50pp: kenapa?

50pp: kenapa?

...bunga-bunga rindu yang mekar di tangkai kalbu, mengharumkan wangian syahdu, bila bicara yang dibisikkan menawan sukma menggebu, terharu, tapi itu hanya sementara bila ia hancur jadi debu, kala perbuatan menyembilu, menyiat sekeping hati hancur berkecai membeku, rindu pun keras membatu, gugur satu persatu ke perdu, layu sebelum waktu,...kenapa begitu?

CNM, 15/7/13, THMK

100pp: di mana silapnya

100pp: di mana silapnya

...aku ini pengajar, sedaya upaya memberi yang terbaik, membantu yang termampu, menyediakan kamu berperang di dewan peperiksaan, sehingga ke situ saja yang mampu aku bantu, selebihnya kamu yang perlu bertarung dengan kerencaman soalan, dengan ilmu yang kamu serap pada setiap pertemuan, hasilnya kamu rasai sendiri, yang cemerlang, yang meningkat, yang merosot semua ada, di mana silapnya aku atas kemerosotan kamu? di mana lebihnya aku atas kecemerlangan kamu? yang cemerlang, yang merosot aku juga yang mengajar, salahkah aku? tanya diri kamu? adakah benar-benar bersungguh atau hanya takut dileteri ibubapa bila di rumah, bukan hadir untuk sebuah kejayaan tapi hanya tempat pelarian...

CNM, 15/7/13, THMK

50pp: malam

50pp: malam

...malam telah mengoyangkan jari telunjuknya pada mataku, lalu mataku tersipu malu, mana tidaknya, dari pagi bertenggek pada skrin komputer, membaca, menulis, menelaah puisi tanpa henti, malam mengingatkan cukuplah, esok-esok bisa disambung lagi, berilah kerehatan yang mencukupi pada mata yang kian uzur, hidup ini harus bersederhana, kawal diri, bisik malam bersahaja...

CNM, 14/7/13, THMK

Mata

Mata

bila mata berbicara
ada yang lentuk tergoda
jatuh cinta pandang pertama
rela menyerah jiwa raga
demi sebuah rasa...

bila mata berbicara
ada yang masam mencuka
terasa diri bagai dihina
menjauhkan diri berduka
demi ego yang diperaga...

bila mata berbicara
kata-kata tidak lagi bermakna.

CNM, 14/7/13, THMK

50pp: sama

50pp: sama

...dalam tubuh, sama mengalirnya merah darah, tiada beza, tiada lebih, tiada kurang, jadi usah memandang pada yang lain dengan pandangan sebelah mata, lebih baik menghulur tangan persahabatan, menerima seadanya sahabat, tiada kata-kata menghina, merendah dan merasa diri hebat lagi sempurna, di sini kita sama berkongsi minat sama memartabat indahnya bahasa...

CNM, 14/7/13, THMK.

14 July, 2013

Miskin

50pp: miskin

...kulit-kulit kerepotnya yang kian dimamah zaman dek saban hari tidur bertilamkan kepingan-kepingan buluh, berselimutkan dingin embun, berlangitkan kelam malam disinari bulan bintang, berbantalkan batu bata, saban malam ditemani irama lagu keroncong diperutnya, dia sudah lali, sudah berdekad menelan pahit, hanya mampu berdoa semoga dirinya diredai dalam ketar menahan tusukan dingin...

CNM, 14/7/13, THMK.

Sepi



...sepi yang menyelimuti hati, bisa membunuh secuil rasa rindu, dan hati mula memberontak dek imiginasi bukan-bukan tentang si dia yang menyepi tanpa khabar berita, maka bermula episod prasangka yang bisa jadi barah dalam sebuah perhubungan suci, cuma jarak dan waktu yang membataskan atas tugas yang tak mampu dielakkan, fahamilah dia...

CNM, 14/7/13, THMK

Ya Allah


Aku Hanya Bulan


Laut Kasih 291

Laut Kasih 291

aku ingin kasih
sentiasa di saku hatimu
andai ada air matamu menitis
mampuku sapukan penuh romantis
andai ada resah menyinggah
bisaku usir dengan berhemah...

tempatkan aku di saku hatimu
biar haruman laut kasih kita kumewangikan.

CNM, 13/7/13, THMK.

Yang Retak

Yang Retak

retak
yang telah kaukerjakan
dengan tajam bilah selumbar bicara
ia tidak bisa dicantumkan kembali seperti sediakala
walau mohon kemaafan yang kauhulurkan semanis madu syurga
kesan-kesan calar tetap berparut bernanah dan membarah di jiwa
andai kesakitannya telah hilang sekalipun ia jadi seperti gunung berapi hidup...

CNM, 13/7/13, THMK.

biarkan aku

biarkan aku

aku membaca puisimu
walau dalam;
gelora tsunami
ribut pasir gurun
gelegak lahar berapi
hujan petir menyambar,
kerana aku yakin puisimu berinti
inti ilmu yang bererti...

biarkan aku...

CNM, 13/7/13, THMK

Tutupi

Tutupi

tutupi mata
biar nafsu jadi buta
kerana mata yang terbuka
merangsang nafsu menjadi gila
membawa ke lembah hina lagi sengsara...

tutupi mulut
biar bicara tidak melalut
kerana kata orang santan binasa kerana pulut
bicara yang patut
sebelum dicarut...

tutupi telinga
biar amarah tidak menyinga
hindari hujan kata sang penghina
yang akan membakar damai jiwa
kelak bercambahan sengketa...

CNM, 13/7/13, THMK.

Sia-sia

Sia-sia

andai
petah berhujah
berdegar-degar
dari bawa tempurung
tak siapa melihat dengar

andai
kokok berderai-derai
memecah kesunyian alam
dari bawa serkup
tak siapa memandang pusing.

CNM, 13/7/13, THMK.

Memori

Memori

Memori di akal akan kekal, lebih-lebih lagi yang mencakar. Tidak mudah diluput. Andai semudah melelapkan mata dan selepas bangun semuanya hilang begitu saja, sungguh bertuah mereka yang dibeleggu memori hitam. Segala kepahitan bagai air lalu di daun keladi, satupun tak tinggal...

CNM, 12/7/13, THMK.

kerana apa?

kerana apa?

harum kasihmu
buat si dia yang bertakhta
kerana apa?
rasa menyayangi dengan sepenuh hati
atau cuma rasa simpati yang menguliti
teliti sebelum sesalan menyinggah
diburu hampa tak sudah...

CNM, 12/7/13, THMK.

Laut Kasih 290

Laut Kasih 290

ramadan ini
laut kasih kita kekal menyeri
dihiasi langit biru berentangkan pelangi
alunan ayat-ayat suci mendamai hati
manisnya bersamamu yang dikasihi
menjalani ibadat perintah Ilahi...

CNM, 11/7/13, THMK.

Madah Bercabai 6

Madah Bercabai

mutu bola sepak negara
kian menjadi barah di dada
tiada pasukan kelas A ingin berlawan
tiada pasukan mahu adakan perlawanan
kerana kos mendobi baju pun tak berboloi...

sunggup menyedihkan.

CNM, 11/7/13

Madah Bercabai 5

Madah Bercabai

apa jenis ni?
dah orang masakkan
dah orang hidangkan
dah orang kejutkan
bangunlah tanpa menyakitkan hati
ini tidak
berdengkur sampai pagi
dah sedar marah bini
konon tak kejutkan sahur
hampeh!

kalau boleh makan dalam tidur
rasanya disuruh sumbat takut kebulur...

CNM, 11/7/13.

sebaiknya

sebaiknya

jadilah
sepertinya bayu
menghembus lembut
menyiram dingin ke dada damai
tenang bagai air di muara...

jadilah
seumpamanya cahaya
menyuluh terang
menyimbah nur ke jalan diredai
meluruskan titian ke alam abadi...

jadilah
seakan air
menitis tanpa henti membasuh
menyucikan daki-daki noda
membersihkan kegelapan hati...

CNM, 11/7/13, THMK.

Laut Kasih 289

Laut Kasih 289

deburan ombak laut kasih
senantiasa hidup
beralun berolak
berjajaran menuju pesisir pantai kemuliaan
dalam pengharapan mengapai sebuah reda-Nya...

anugerahi kami keampunan-Mu.

CNM, 10/7/13.

Menelah

Menelah

tak siapa mampu menelah
apa yang ada
di kamar sekeping hati insan lain
dan adalah tidak adil
memberi kenyataan
bahawa apa yang berlaku
tidak bertepatan dengan akal fikir sendiri...

selagi tak bercanggah
serah pada Allah.

CNM, 10/7/13, THMK.

Madah Bercabai 4

Madah Bercabai

seringkali
bila silap langkah
itu dikatakan sebab "syaitan"
manusia mencari alasan
nah! di bulan ramadan
sebab syaitan jugakah?
makanan dibeli tak ikut keperluan
belian ikut nafsu makan
berlebihan
sudahnya campak ke longkang.

adakah manusia di bawah alat kawalan jauh syaitan?

CNM, 10/7/13

Ditawarkan

Ditawarkan

telah ditawarkan
sebaik-baik ganjaran
untuk umat akhir zaman
bulan keampunan
bulan penuh keberkatan...

syaitan dibelenggu
manusia bebas dari digangggu
tinggal lagi mahu tak mahu
membawa diri sujud kepada Yang Satu
memohon kemulian Tuhan Yang Merestu...

kutiplah tawaran pada luasnya hamparan kebajikan.

CNM, 9/7/13, THMK.

Senja Cinta Terindah

Senja Cinta Terindah

Senja
merona langit jinga
menggamit sekepal jiwa
mengagumi pesona tercipta
agungnya Dia Sang Pencipta...

Cinta
anugerah Penguasa Semesta
buat makhluk bernama manusia
menyatu dua sukma
berpadu memupuk bahagia...

Terindah
itulah nikmat dan rahmat Allah
kurniaan terserlah
terpancar seri pada wajah
senyuman menguntum bak delima merekah...

CNM, 9/7/13, SCT

Deklarasi

Deklarasi

dua hati
melakar deklarasi
hanya berdua mengerti
mempertahan cinta suci
hingga akhir nanti...

dua hati
mencanting deklarasi
hanya berdua mengenggami
berpegang pada janji
hingga nafas terhenti...

CNM, 7/7/13, THMK.

Hidup Mati

Hidup Mati

hidup ini
bukan seperti lampu
dipetik suis menyala ia
menerangi kegelapan
satu ketika padam selamanya...

hidup ini
dari celik mata
diterjah cahaya juga gelita
bermula catatan pahala dosa
akan dibuka satu persatu di hadapan Yang Esa.

CNM, 7/7/13, THMK.

Menulis

Menulis

menulis itu bukan semudah
mengunyah gula-gula getah
mengerakkan rahang atas ke bawah
habis manis sisa diludah
dan kunyah lagi sampai tak ingin sudah...

menulis ada kaedah
ilmunya bukan mudah
mari sama-sama kita bedah
serap inti pati berfaedah
dari ilmuan yang berkongsi wadah...

moga karya bertambah gagah.

CNM, 7/7/13, THMK

Madah Bercabai 3

Madah Bercabai

ramai yang kelat muka
bila puasa tiba
ramadhan pertama
dah beli baju raya
konon takut naik harga
tapi logiknya macam tak suka
hanya hari raya ada dalam minda...

CNM, 6/7/13, THMK

Ditulangi

Ditulangi

di belakang kejayaan
seorang anak yang cemerlang
berdiri ibubapa yang berkorban
memberi tanpa tertekan
kerana amanah Tuhan...

di belakang kejayaan
seorang suami yang gemilang
berdiri seorang isteri yang penyayang
menyokong dalam susah dan senang
kerana taat perintah Tuhan...

di belakang kejayaan
seiapa saja yang terbilang
berdiri insan-insan yang berkebolehan
membantu tanpa persoalkan
kerana mencari keredhaan Tuhan...

CNM, 6/7/13, THMK.

Madah Bercabai 2

Madah Bercabai

janganlah kita
belum lagi berpuasa
sudah memutar mainkan lagu raya
sedang ramadhan sangat mulia
dialah bulan yang disebut dalam Al-Quran Yang Esa
bulan yang penuh tawaran menyuci dosa
bulan yang dijanjikan pahala berlipat ganda
tanpa ramadhan, syawal tak tiba...

CNM, 6/7/13, THMK.

Madah Bercabai 1

ehem! ehem!
ramai pula secara tiba-tiba
yang diserang gastrik
belumpun lagi
Penyimpan Mohor Besar Raja-raja
muncul di TV istihar hari puasa
jangan marah ya
ini fakta bukan auta...

CNM, 6/7/13, THMK

Ikutlah!

Ikutlah!

jadi seperti air
mengalir ke muara
menuruni lurah gunung
akur menuruti lenggang lenggok
alurnya jika mahu tiba ke kuala...

jangan sesekali
memandang enteng
kelak tersasar
terkeluar dari normal
yang diterima pengamal...

CNM, 5/7/13, THMK.

Nyatakan

Nyatakan

tulislah
pendek atau panjang
itu bukan soalnya
janji aku bisa membaca
apakah yang kamu inginkan
kerana aku tidak mampu membiarkan
dirimu itu dalam ketidakpastian
dirimu itu dalam kegelisahan
menerka dalam kesamaran
memerah keringat fikiran...

CNM, 5/7/13, THMK.

Laut Kasih 288

Laut Kasih 288

terima kasih
duhai cinta hati
kerana telah membaca
setiap baris puisi di jiwa
dan menghadiahkan selaut kasih
jadi milikku...

CNM, 5/7/13, THMK.

Kenapa?

Kenapa?

kenapa
engkau kembang ke tepi
engkau kembang ke depan
memboroi
membuncit

kerana
engkau tak henti mengunyah
engkau makan tak ikut sunnah...

CNM, 3/7/13, THMK.

berbayarkah?

berbayarkah?

berbayarkah?
titis-titis keringat
yang gugur menyejat
dengan hanya ucapan terima kasih
walau ia tak ditagih...

berbayarkah?
titis-titis darah
yang menitik setelah ditarah
dengan hanya ucapan maafkan
sedang ia mencipta jahitan...

CNM, 2/7/13, THMK

Di

Di

di baris-baris pohon
keringatnya menitis bak embun
kulit tuanya digigit si kaki belang
demi anak-anak tersayang
dalam kelam dinihari
satu-satu pohon disinggahi...

di batas-batas relung
peluh memandikan tubuh
kulit tuanya dicumbu pacat lintah
demi anak-anak yang masihh mentah
dalam terik bakaran mentari
terbongkok menyemai pohon padi...

di olak-olak ombak
terjeluak isi perut bergelojak
kulit tuanya disimbah angin laut
demi anak-anak yang berpaut
dalam lambungan gelora
tebaran jala beriring doa...

CNM, 2/7/13, THMK.

Hujan

Hujan

hujan menderu
mendendangkan lagu
tariannya rancak laju
dingin menyelinap ke tulangku
perut bernada merayu
mohon diisi roti barang sebuku
cicah kopi bikinan ratu
sambil baca puisi sahabatku...

CNM, 2/7/13, THMK.

malam berpesan

malam berpesan

malam telah berpesan
berhati-hati dengan kegelapan
ada tangan-tangan berkeliaran
ada kaki-kaki kemabukan
ada mata-mata yang berpeleseran
ada kata-kata yang berbunuhan
dan syaitan pun mentertawakan...

CNM, 1/7/13, THMK.

Laut Kasih 287

Laut Kasih 287

kasih
indahnya duduk berdua
memandang ke hamparan laut kasih
pantulan cahaya cinta
pada setiap alun ombak
bagai mendendang irama
dan kemilauan cahaya rindu
membuai sukmaku...

CNM, 30/6/13, THMK.

Bayang-bayang

Bayang-bayang

...dalam diri ada bayang-bayang,
suatu rasa yang menghalang,
melengah tempoh jadi matang,
tidak yakin diri cemerlang,
merendah diri melepas peluang,
tak mahu ke depan berjuang,
hanya mengekor dari belakang,
silap langkah boleh kecundang,
terpesong arah tergelincir ke jurang...

takutkah kamu pada bayang-bayang?

CNM, 30/6/13, THMK.

Esok Julai

Esok Julai

esok sudah Julai
usah longlai
lemah gemalai
bangkitlah berpandai-pandai
impian perlu digapai
susun langkah yang sesuai
mudahan cita dicapai...

esok sudah Julai
usah lalai
leka lagi cuai
sedari apa yang diintai
jauhi mamai
nanti bertamu pokai
harapan berkecai...

esok sudah Julai
putuskan rantai
biar bersepai
orak langkah santai
jayakan yang terbengkalai
menuju puncak damai
dengan senyuman berderai...

CNM, 30/6/13, THMK.

Penjara

Penjara

...ramai yang bebas lepas, tanpa menyedari mereka dalam penjara ciptaan sendiri. dipenjara hati sendiri dengan hal-hal yang tidak membahagiakan...

...lantas memilih mengasingkan diri dan membiarkan kemurungan meragut kemanisan bersosial dalam ruang lingkup yang disyariatkan, sunggup malang penjara itu dibina atas kehendak sendiri...

...hidup terusan dibelenggu kepedihan sedang hati bisa memilih untuk menelan duka mencari keceriaan beronakan warna pelangi di luar sana...

ketahuilah bahawa di hati ada kunci ke pintu kebahagiaan...

CNM, 30/6/13, THMK.

Gol II

Gol II

Gol
Olik Klate olik
Lawan letih lembik

Gol
Olik Klate olik
Lawan lelah digelecik

Gol
Olik Klate olik
Lancar laju licik

Gol
Olik Klate olik
Layak piala bawa kelik

Gol
Olik Klate olik
Layak anugerah pemain terbaik

CNM, 29/6/13

Gol

Gol

Gol
Ole ole ole
Lagi Klate lagi

Gol
Ole ole ole
Ligat Klate ligat

Gol
Ole ole ole
Lincah Klate lincah

Gol
Ole ole ole
Lawan Klate lawan

Gol
Ole oleh ole
La la la...

CNM, 29/6/13, THMK.

Andai Bisa

Andai Bisa

andai bisa
malam meludah
nescaya telah dikahaknya
ke kaki kebejatan
yang bercambahan
di sebalik dedaunan...

andai bisa
pepohon menjerit
nescaya telah dilaungkannya
ke telinga kemaksiatan
yang berpeleseran
di taman-taman awam...

alam menyaksikan
kepincangan insan
menongkaH syariat tuhan
tanpa sekelumit sesalan
angkuh mempermainkan
suruhan yang difirmankan...

CNM, 29/6/13, THMK>