Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

13 June, 2014

Kerana Aku Seorang Lelaki

Kerana Aku Seorang Lelaki

Kalau begitu aku angkat kaki 
akan aku pergi tak kembali
tak ingin aku menyakiti
walau hati ini bagai besi
aku tetap ada peri.

Cukup sampai di sini
aku lelaki 
ya lelaki yang ada akal budi
tak tergamak melukai
seorang wanita sepertimu yang terlalu suci.

Pergiku jangan dicari
pergiku jangan ditangisi
pergiku jangan dinanti
kerana sekali hati ini melangkah pergi
tiada tolehan lagi.

Akan kukuburkan kenangan ini
biar jadi sejarah yang menyaksi
pergiku untuk merawat hati
hati yang telah tertusuk duri
duri yang kaucacakkan ke dalam janji.

Benarlah menyayangi tak semesti memiliki
biarlah cerita ini tamatnya begini
luka yang berdarah akan kubaluti
biar ia berparut menjadi tanda tragedi
sebuah kisah yang mengecaikan sekeping hati.

Aku lelaki
yang tahu diri
yang sedar diri tak dihargai
kehadiran bagai melukut sepi
hanya titik hitam kaucari.

Terima kasih dewi
kekhilafanku penyeri harimu
kelemahanku penyubur egomu
kuundur diri
mencari yang lebih memahami.

CNM, 13/6/14

Gagal Melafazkan

Gagal Melafazkan

Duhai insan
baik lelaki mahu pun perempuan
jangan mainkan perasaan
satu nyawa boleh diselamatkan
andai jujur melafazkan
tiada keserasian
tiada keinginan
sebelum ikatan dirancang.

Tragiknya sebuah perancangan
nyawa jadi bukti kesungguhan.

CNM, 13/6/14

Sentiasa Ada

Sentiasa Ada

Seteruk mana tingkah
ke lubuk mana pun memukat dosa
ke kubang mana melacur maruah
jejak pulang masih ada
terbuka.

Toleh!
Tolehlah ke belakang
andai haluan tanpa tujuan
lebih baik kembali dengan sesalan
dari terus hanyut dalam kepalsuan.

Kunci tergantung di pintu hatimu.

CNM, 12/6/14

Melerai


Melerai

Bila melerai
bercerai-berai
kira selesai
tutup tirai
jangan dedah walau sehelai.

Setelah menyelesai
kenapa dihurai?
itu bukan damai
itu membarai
kisah yang tak sesuai.

CNM, 12/6/14

Pasal Bola III


Pasal Bola III

i
Pelancongan berganda
jana ekonomi negara
rakyat dapat faedahnya.

ii.
Stadium dinaik taraf
ikut ketetapan diiktiraf
FIFA yang menaraf.

iii
Pemain jadi ternama
aksi hebat bersama bola
menjaring senjata utama.

iv
Pemain popular serata dunia
ditawar jadi model iklan pelbagai jenama
menambah pendapatan empunya nama.

v
Jurulatih jadi tumpuan
apa taktikal digunakan
dalam mengejar kejuaraan.

vi
Pengadil pembuat keputusan
kurangkan kontroversi itu harapan
peminat tak terkilan.

vii
Teknologi memberi bantuan
mengesan jaringan
pun juga licik membuat kekasaran.

viii
Bola baru dicipta
ringan bermutu tahan lama
bantu pemain mengawal sempurna.

ix
Satu acara tumpuan dunia
menyaksi sejarah dicipta
kehebatan menjaring diperaga.

x
Piala dunia
ditunggu semua
empat tahun tak lama.

CNM, 13/6/14

Pasal Bola II


Pasal Bola II

i
Kaki judi
mengharap pasukan menjadi
menang besar boleh joli.

ii
Kaki sorak
bertempik berteriak
sokongan padu tak berganjak.

iii
Kaki niaga
jual cendera mata
cari pendapatan buat keluarga.

iv
Kaki kutuk
tunggu masa menusuk
kelemahan lawan dirujuk.

v
Kaki tidur
tak kesah janji berdengkur
siaran ulangan pasti menghibur.

vi
Kaki bola
ramai menonton sama-sama
bertaruh siapa yang kena.

vii
Kaki meramal
macam-macam perihal
kalau salah buat muka tebal.

viii
Kaki kritik
emosi tak boleh dijentik
salah cakap darah naik.

ix
Kaki 'pukul'
cari sudut unggul
harap gambar cantik dirangkul.

x
Kaki stadium
bersesak memanas stadium
sokongan tak pernah merudum.

CNM, 12/6/14.

Pasal Bola


Pasal Bola

i
Orang duduk kedai kopi
cerita begitu begini
boleh lupa bini.
ii
Orang cakap tak henti
pasukan menang penalti
dapat piala dihajati.

iii
Orang bergaduh laki bini
rebut alat kawalan TV
kerana perlawanan diminati.

iv
Orang ditembak mati
kerana gol dibolosi
manusia hilang peri.

v
Orang kalah judi
pertaruhan jutaan rupee
malang masih tak sedar diri.

vi
Orang tak puas hati
pengadil tak bagi penalti
pemain dilayang kad lagi.

vii
Orang boleh mati
diserang sakit jantung darah tinggi
pasukan tewas walau mendahului.

viii
Orang saling membenci
kerana pasukan disanjungi
tiada semangat sukan di hati.

ix
Orang mencaci maki
keputusan tak menyebelahi
kalah berkali-kali.

x
Orang tersenyum sendiri
lihat gelagat peminat beraksi
adakala sedih berhari-hari.

CNM, 11 Jun 2014.

Laut Kasih 345


Laut Kasih 345

Kasih
dikau menjelma
menghembuskan bayu laut kasihmu
yang membelai pipi jiwaku
lena daku dalam rangkulan cintamu.

Kasih
dikau tiba
membawa wangian asmara laut kasihmu
yang memabukkan seluruh jiwaku
lemas daku dalam ghairah cintamu.

Kasih
kasihku tertumpah pada kolam hatimu.

CNM, 12/6/14.

Laut Kasih 344

Laut Kasih 344

Kasih
cintamu yang berlimpahan
akan kuabadikan
menjadi tunjang kesetiaan
sepanjang zaman.

Kasih
cinta ini milikmu
moga berbahagia hatimu
andai terpisah kita oleh waktu
kenangi daku dalam doa-doamu.

CNM, 11 Jun 2014

Laut Kasih 343

Laut Kasih 343

Di kota cinta
kasih kian menyala
biar gemerlap hingga syurga.

Cinta teguh antara
satu hati satu jiwa
anugerah paling berharga
moga ditakdirkan syurga.

CNM, 10 Jun 2014, BBB.

Kota Paris




Kota Paris

Katanya kota romantis
ruang mencipta kenangan manis.

Jenama terlaris
ke sejarah Perancis
menarik orang berbaris.

Aku mencatat dan menulis
ada lebih ada kurangnya kota metropolis
manusia pelbagai lapis
adat sopan tak kurang yang menghiris.

CNM, 8/6/14, Amarante Champs Elyse'es.

Kota Cinta

Kota Cinta

Tak terjangka
kaki ini jejak kota cinta
pelbagai rona
pelbagai rupa
rentas budaya
di kaki menara.

CNM, 8 Jun 2014, Amarante Champs Elyse'es

Di sini Di sana


Di sini Di sana

Di sini
ada awal akhir
ada mula dan penamat
perlu ingat bertaubat.

Di sana
hanya ada permulaan
tidak akan ada akhiran
abadi selamanya.

Dia maha mengetahui
Dia maha adil
Dia penguasa sekian alam
dunia akhirat.

CNM, 5/6/14, Brussel.

Dari Rantau

Dari Rantau

Jauh berjalan luas pandangan
menyaksikan tamadun bangsa
halus struktur seni binaan
ramah tamah bahasa pertuturan
pelbagai budaya dan pakaian.

Benarlah manusia
dijadikan-Nya berpuak-puak
pelbagai warna kulit
untuk saling mengenali
mentadbir alam ciptaan Ilahi
dalam mengabdi diri.

Terasa sangat kerdil di sisi-Nya.

CNM, 4 Jun 2014, Brussel.

Kerak Nasi

Kerak Nasi 

Dalam berjuang
suaranya lantang
hentam depan belakang
kasi pecah lubang
agar dijulang.

Ingatkan hati besi
rupanya hanya kerak nasi
air mata gugur membasahi pipi
mengenang nasib sendiri
ke mana hala selepas ini.

CNM, 1 Jun 2014.

Bila Kalah!


Bila Kalah!

Bola sepak.
Huh! Pengadil dibayar
lawan 14
bagi penalti
bagi 'free kick'
macam-macam suara.

Pilihan raya.
Huh! SPR tipu
ada pengundi hantu
ada "black out"
ada peti undi hilang
macam-macam tomahan.

Bila Menang!

Bola sepak
pilihan raya
senyum
tak kata apa-apa
semua kena
semua menepati rasa.

DUNIA!

CNM, 31/5/14