Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

23 December, 2016

Di Tangan Orang

Pabila harga di tangan orang
lelah kita dipermain.

Getah, sawit, minyak, timah
sumber kita yang dijarah
harga diperendah.

Kita masih dijajah
dicatur arah
lemah
tiada daya menyanggah.

Bumi bertuah
hasil melimpah ruah
tadbir urus dikelir indah
petani pekebun nelayan gundah
himpitan hidup tak sudah-sudah.

CNM

28 November, 2016

Takdir Kita Berbeza 14


Kak
Kala orang lain seusia
tekun menjawab SPM
aku tak tertakdir ikut serta
perancangan-Nya
terbaik buatku.

CNM

Takdir Kita Berbeza 13

Kak
jika tersusun sijil-sijilmu
capaian cemerlang
kususuri
sepertimu
kujuga ingin cemerlang
buat ibu abah bangga.|

CNM

Takdir Kita Berbeza 12

Dia sempurna di mataku
keistimewaanmu
kekuatan bagiku
kekuranganmu
cabaran bagiku
dalam dirimu
mengalir darahku.

Takdir Kita Berbeza 11

Kak
lihat teman-temanku
lihat teman-temanmu
takdir kita berbeza
aku anak istimewa
hanya di sisi ayah bonda

Kak
dikau ke pelusuk dunia
merantau cari ilmu
Bawa pulang
moga tak ketinggalan
kutumpang senang.

CNM

Warkah Buat YDPA XV

Warkah Buat YDPA XV

Daulat Tuanku
sembah patik harap diampun

hamba susun sepuluh jari
menitip kata dari tinta hati
dengarkan bicara hamba ini

tahniah ucapan diberi
selayaknya Tuanku ke takhta tertinggi
payungan Tuanku kami nanti
moga berkat serata negeri

titah perintah Ilahi
diutuskan rasul dan nabi
hidupkan syariat yang diperingati
subur makmur negara menjadi
sejahtera bawa ke alam abadi

kami setia mentaati
lihatlah kami dari takhta suci
sengsara dalam indah manipulasi
perit hidup dalam kekayaan dimiliki
perbetulkan tadbir urus negara dicintai
kembalikan hak-hak kami

Tuanku yang disanjungi
kepada siapa lagi nak kami ratapi
berabad sudah Tanah Melayu menangisi
dari satu tangan ke satu tangan menjajahi
tak sanggup lagi dirobek hati-hati kami
dengan kuasa yang Tuanku miliki
perbaiki institusi memayungi

Tuanku yang disanjungi
politik berbasa-basi
kelihatan menikam harmoni
mencalar sanubari pejuang demokrasi
rasuah sana sini
serata dunia mula sangsi
amanah negara dikotori
rakyat terpana kepercayaan dikhianati

Ampun Tuanku
sembah patik harap diampun
bicara hamba yang hina
pertimbangkan dengan bijaksana
mudahan ada petunjuk dari-Nya
memayungi rakyat jelata.

CNM, 14/10/16.

GURU

Guru penyempurna akhlak
tampal yang koyak
baiki yang rosak
bukan sembarangan tempelak
ada asas nak ditegak.

Guru pemangkin integriti
bina jati diri
kawal emosi
bukan sembarangan provokasi
ada dasar kritis menyata harga diri.

Guru junjung amanah
lafaz janji bersumpah
bangunkan bangsa berdiri megah
bukan sembarangan bantah
ada kepincangan membarah.

Guru semua pun tahu
wariskan ilmu
suburkan rasa bersatu
bukan sembaragan sembilu
ada nanah mencucuk kalbu.

Guru selamanya dikau guru
engkau tahu
aku tahu
Dia tahu.

CNM

Akar dan Pucuk

Pucuk
subur menghijau 
rendang bersilara
disimbah mentari
disirami embun pagi
usah lupa diri
semuanya 
dek akar yang berbakti
teguh mencengkam bumi
bekalkan nutrisi.

Satu waktu pucuk ...kan layu
penangan akar dibiar mereput
duhai! pucuk kembalilah ke bumi
korbankan diri jadi humus.

CNM

Sijil

Helaian kertas
tercetak butir bernas
layak di atas

Kepingan kertas
bernilai dari wang kertas
hapus waswas

Ada yang terbebas
dek sekeping kertas.

CNM

Takdir Kita Berbeza 10

Duhai anak
takdirmu berbeza

satu ayah bonda
nasib tak serupa
kasih kami sama

betapa kami ingin lihat
kasih sayang kamu terikat
tak terluntur ke akhir hayat
mohon pada-Mu Ya Rabb
tautkan mereka kejat.

CNM

Takdir Kita Berbeza 9

Kak
Apa khabarmu di sana?
Sejahteralah kudoa

di sini
rindu menyelinap ke hati
kutabahkan diri

terpisah kita
hanya di mata
dekatnya kita di hati.

CNM

Takdir Kita Berbeza 8

Kak 
segalanya mungkin bagimu
gapai impian hidup

Kak
aku tak mampu sendirian
mengharap payunganmu
jalan seiringan
hingga ke akhiran.

CNM

Takdir Kita Berbeza 7

Tiada kata-kata
kasihnya diperaga
biar potret berbicara

tak terluah
dengan bahasa indah
hanya mampu bertingkah

kak
biar beza kita
bagai lagi dan bumi
namun kutahu
antara kita ada ikatan padu

peruntukan kasihmu untukku.

CNM

Takdir Kita Berbeza 6

Alam itu
saling melengkapi
kita pun sama

kak
moga kekuranganku
tidak melemahkanmu

kak
kelebihanmu
jadi kekuatanku
dalam diri kita
mengalir darah yang sama
waris ayah bonda.

CNM

Takdir Kita Berbeza 5

Dik
engkau sempurna
di mata kami

kasih sayang
tak berbelah bahagi
itu pasti

pada dirimu
tertakdir begitu istimewa
mengajar erti sabar

terima kasih
memilih kami
berkongsi suka duka
mudahan tertakdir kita ke syurga.

CNM

Takdir Kita Berbeza 4

Kak
aku tak setandingmu
cerdik pandai menuntut ilmu

Kak
yang aku tahu
kasih sayangku padu

Kak
biar terpisah beribu batu
ikatan kasih
biar kejat waktu ke waktu

Kak
bertuahku
menjadi saudaramu
selamanya biar begitu.

CNM

Takdir Kita Berbeza 3


kak
kita bersaudara
satu ayah bonda

kak
di mata dunia
kulahir tidak sempurna
jangan pernah ada kecewa

kak
anggap aku seperti yang lain
punya hati dan perasaan
mengharap kasih dan sayang

kak
ke mana pun langkahmu
jangan pernah lupa
aku di belakangmu

jika telah tiada yang kasih padamu
tiadalah lagi aku.

CNM

Takdir Kita Berbeza 2

kak
izinkan daku
menumpang kasihmu

kak
jangan pernah lupa daku
walau kuhanya menanti di sini
doaku mengiringi

kak
ibu abah berikan ilmu
kubukan sepertimu
ditakdir daku harapkan ihsanmu
seumur hidupku

kak
pulangmu kunanti
bergelak tawa
mengusir duka
pimpinku ke syurga.

CNM

Tebah

Malam ini
tebah menebah
perak dalam tangan
emas jadi impian
catat sejarah terbilang.

Malam ini
jadi saksi
bangsa Malaysia
pamer aksi taraf dunia
buru emas pertama.

Mudahan dapat cuti satu negara.

CNM

Takdir Kita Berbeza

Selamat jalan kak
semoga selamat sampai

takdir kita berbeza kak
biar adik di sisi abah ibu
menunggu kepulanganmu

tak mungkin kujejak langkahmu kak
tanpa kenal tulis baca
hanya doa kuutuskan
suatu hari pulangmu dengan kejayaan

hakikatnya kak
kita miliki ibu abah
yang sama.

cnm

Lima Sembilan

Sudah lima sembilan
diulang, ulang

datang dan pergi
disambuti serata negeri
terlekatkah di hati?

Payung negara
pak menteri gah di tandu
rakyat masih menelan
asap candu gerhana

mereka atau kita
yang hanya galak
laungkan kata merdeka
minda jiwa terpasung
tiada untung.

CNM, 7/8/16

Topi dan Perut Besar

dimilki topi
buat menutup akalan
difikirnya tak akan kelihatan
dunia bukan zaman Belanda
dunia jurangnya semakin menghama.

dimiliki perut besar
telah penuh diisi campuran haloba
tak terduga ada satu rongga
terlepas jua bauan menyembilu dada
memang telah diduga.

CNM

Maju Depa

depa
CSI sungguh
sudah masuk mahkamah
harus ada yang lemas
tak terenang dek agenda terbabas.

kita
CSI apa
dikhabarkan tiada apa-apa
menutup bangkai mungkin berjaya
baunya tetap semerbak ke serata dunia.

CNM

PENCURI HATIMU.


Kenapa semua orang boleh senyum, membelai dan menunjukkan rasa kasih yang berlebihan kepada seorang manusia yang dikenalpasti telah mencuri! Tidakkah kamu rasa pelik. Insan ini dianggap istimewa, menawan dan pelbagai lagi istilah yang lunak-lunak. Fikir sejenak secara logiknya orang akan membenci, meluat dan menyampah kepada sang pencuri. Aku yakin kamu juga terperangkap dengan situasi satu ini, bukan sahaja suka malah telah mungkin mencintai dia sepenuh jiwa raga. Sanggup sehidup semati. Ada yang melafazkan kata biarlah maut yang memisahkan kami pun mungkin ingin dijemput pulang bersama-sama.

Adakah aku betul kamu telah mempunyai perasaan sebegitu kepada;

PENCURI HATIMU.

CNM, 20/7/16

Kuala Lumpur

Namamu kian berlumpur
dek tangan-tangan pencukur

khalayak dipaksa akur
hanyir sistem berbaur
rakyat menggelupur

sesak dada kian subur
saku penuh kian mengendur
bayaran parkir digembur-gembur
gaji bulanan lebur

oh! Kuala Lumpur
habuk debu tadbir mencelur
banyak hati melecur

mereka gah mencatur
kaut untung buat berlibur.

CNM, 19/7/16

Ohoii! Ayah Ibu

Oh! Ayah 
Oh! Ibu 
kenallah anakmu

Oh! Ayah 
Oh! Ibu 
lapangkan waktu
tunjuk ajar anakmu

Oh! Ayah 
Oh! Ibu 
doakan dan restu 
hidup anak-anakmu
biar direda yang Satu.

CNM, 16/7/16

Hujung Minggu

Rehatkan diri
banyak memerhati,

anak-anak membesar
pastikan tak tersasar
beri tunjuk ajar,

duduk depan tv
layan cerita hindi
kunyah lemang aidilfitri
badan tambah berisi,

surf sana sini
baca berita tragedi
tak kurang laporan sensasi
hitung conggak macam-macam terjadi
syukur negara kita keamanan masih diwarisi.

CNM, 16/7/16

Olak Berolak

Kecil kita
di tengah kuasa
olak bergolak
di laut penuh onak
rebutan penyangak

Kecil kita
bergolek kena
digolek pun kena
diplomasi langkah terpuji
tiada janji selamat kontroversi

Ya Al-Waliy
lindungi kami.

CNM, 16/7/16

Alam Lestari

Kemarau dingin telah menguap
embun bertitisan melakar senyuman
serata alam lantunkan kesyukuran
bahang berlari ke sudut alam
menanti musim kembaii menyerang
beburung galak turun mandi ke kali
unggas terbang bebas seakan lupa diri
nafas berisi udara segar
jantung bersemangat menari
seisi alam gagah berdiri.

Telah melarut keperitan
hanyut ke dasar ketenangan
yang tinggal rona-rona kesejahteraan
sebelum bertunas putik kesengsaraan
perlahan menyelinap bajai kedukaan.

Ketentuan terindah itu apa yang tertakdir.

CNM 16/7/16

Sesaat

Sesaat
aku mengintai ruang
terpandang ke dada langit malam
bulan bintang hadir di sebalik awan gemawan
pepohon tunduk rimbun dedaunan
pungguk bertenggek di dahan
mungkin mencari ilham
lagu apa nak didendang.

Sesaat
pada ruang terluang
saksikan keagungan Tuhan
tiada sesuatu dijadikan tanpa peranan
kepada yang beriman
sepanjang perjalanan pulang
padanya ada petunjuk
mudahan tak tergelincir dari jalan kebenaran.

CNM, 11/7/16.

Laut Kasih 390

Jika
indahnya kerlipan bintang 
indah lagi kerlipan kasihmu
di langit hatiku.

Jika
indah percikan cahaya
indah lagi percikan rindumu
di dada hatiku.

Gemerlapan cahaya cinta
menerangi alam laut kasih kita.

CNM, 11/7/16 

Laut Kasih 389

...dan
pada gelita malam
tanpa cahaya pun
mampuku melihat
wanginya kasihmu.

...dan
pada pekat malam
tanpa lentera pun
mampuku menghidu
haruman cintamu.

Cinta dan kasihmu
tertabir di hatiku.

CNM, 11/7/16

Laut Kasih 388

Senja ini 
indah sekali
bercanda berdua
berpimpin tangan
menyusur pesisir rindu
dicumbu sang bayu.

Senja ini
asyik sekali
menyaksi mentari cinta
melambai pergi
menanti malam menyapa
memadu janji di tepian laut kasih kita.

CNM, 11/7/16

Laut Kasih 387

Dikau
pabila siang
bagai mawar
semerbak mewangi
harumkan alam laut kasihku.

Dikau
pabila malam
bagai purnama
gemerlapan cahaya
terangi alam laut kasihku.

Dikau selalu ada.

CNM 11/7/16

Laut Kasih 386

Lamunanku
pada muara laut kasihmu
jadikan dikau
kenangan terindah
warnai hidup ini.

Sepanjang pesisir rindu
karangan kasihmu
berbisik sendu
rona-rona cintamu
berlagu syahdu.

Kutahu
aku tidak sempurna
tulus kata
laut kasihku
padamu ditakhta.

CNM, 10/7/16

Laut Kasih 385

Cinta itu
tak semudah ungkapan
pun tak semulus lontaran bait puisi
membajanya penuh onak duri
terkadang tercacah sembilu
terkadang bergenangan pilu.

Kasih itu
tak menitis sepertinya embun
ia terbit dari jambangan hati
tanpa sedari
merimbun di sanubari
bertakhta di jiwa
penuh reda tanpa paksa.

Cinta kasih sayang
menyulam rindu
di alam
laut kasih kita.

CNM, 10/7/16

10 July, 2016

Laut Kasih 384

Indah tika bersamamu
cinta bertaut padu
bayu laut kasih membuai rindu
deruan ombak laut kasih bersenandung syahdu
desiran angin laut kasih membelai kalbu.

Betapa realiti ini
bagai khayalan mimpi.

Engkau dan aku yang mengerti.

CNM, 9/7/2016.

JANTAN

Kokok bertalu
lebar sayap tayang taji
sibuk reban sana reban sini.

Ke medan juang
tak pasti
diyakini
rezeki
anak bini
cari sendiri.

CNM 9/7/2016

Laut Kasih 383

Bagai irama dan lagu
engkau dan aku
paduan dua kalbu
dengan doa restu
laut kasih kita menggebu.

Bagai bulan dan bintang
engkau dan aku
serikan alam cinta
rindu nan syahdu
bertaut di lautan kasih
hening kedamaian memutih.

CNM, 4 Syawal 1437H

SERDAK

Kenapa gelak?
Tak dipandang di hari raya
segala mak nenek juadah menyelera
dari ketupat hingga lemang rendang ayam belanda
pun mungkin kerutuk daging rusa
serdak tak terlintas di minda.

Nah! Dah terbiasa
setelah segala juadah dah tiada
serdak rempeyek maruku bahulu didamba
ditonggang tin segala
menagih serdak tersisa
buat regu teh tanpa gula.

Senyum engkau ya!

CNM, 3 Syawal 1437H

Laut Kasih 382

Mencintaimu
suatu rasa terindah
disulami haruman asmara
asyik dalam jalinan cinta
gemerlapan laut kasih kita.

Dicintaimu
suatu anugerah teristimewa
dihiasi jambangan kasih
penuh wangian rindu
mewangi aroma laut kasih kita.

Senda cinta membelai jiwa.

CNM, 3 Syawal 1437H

Laut Kasih 381

Dari sinar mata
kukenal wangian cintamu
semerbak mekar
menakluk sukma
mencintaimu seadanya.

Dari seri wajah
kupasti haruman kasihmu
menyelubungi alam laut kasihku
membelai jiwa
mengasihimu selamanya.

Cintaku dan cintamu kian padu.

CNM, 3 Syawal 1437H.

Puisi

Ketika tidak bersuara
ia menerawang ke minda
menerjah ke perdu akal
mencari saki baki
kata azimat yang tertinggal
menyatuni Dia.

Ketika tidak berbicara
ia menerobos ke dada jiwa
menyelinap ke dasar sukma
mengintai serdak iman
kembali ke jalan benar
mengharap reda-Nya.

CNM, 3 SYawal 1437H

Laut Kasih 380

Ratusan purnama
kita hidup bersama
silap dan salah
kuampunkan dikau
kerana kasih padamu
mewangilah laut kasih kita.

Ratusan purnama
kita layari bahtera
meredah samudera cinta
badai dan gelora
datang mencuba
syukur kepada yang Esa
laut kasih kita berdebur sejahtera.

CNM 3 Syawal, 1437H.

Laut Kasih 379

Ya Rabb
syukur kepada-Mu
anugerahkan daku amanah
seorang wanita
selaut kasihnya
tertumpah hanya padaku.

Ya Rahman Ya Rahim
anugerahkan kami
kesihatan yang baik
kesejahteraan berpanjangan
agar dapat kami
melunaskan segala suruhan-Mu.

Takdirkan kami ke syurga-Mu.

CNM, 2 Syawal 1437H

Tiada salahnya

Duhai anak
tiada salahnya
abah terima seadamu.

Ketika
engkau bagai harimau
abah tahu hanya seketika
garangmu tak ke mana.

Ketika
engkau bagai kucing
meleser manja
engkau menakluk jiwa.

Engkau
sebahagian nyawaku.

CNM 1 Syawal 1437H

Laut Kasih 378

Di sini
tanah yang menjadi saksi
laut kasihmu
laut kasihku
terpateri.

Di sini
catatan sejarah suci
laut kasihmu
laut kasihku
terpahat abadi.

CNM 1 Syawal 1437H

Kemenangan

Kemenangan itu
tanpa gagal
mematuhi
syariat
Ilahi.

Kemenangan itu
mampu
melafazkan syahadah
saat dijemput
kembali.

CNM

Jihad?

Jihad?

Jihadkah itu?
Mengebom sana sini
mengambil nyawa sesuka hati
sedang Islam itu mengajar
hatta dalam bab berperang.

Kembalilah
kembali berjihad
untuk perbaiki diri
itu lebih baik bagimu.

Usah menamakan jihad
andai ajaran Dia dan Rasulnya
engkau cabuli.

CNM, 5/7/16

Air mata Aidilfitri

Saban tahun
tragedi demi tragedi
kita dengar
kita papar
kita sebar,

TAPI MENGAPA?

Tak cukup menginsafkan
tak cukup menyedarkan
tak dipeduli
dek telinga yang ditulikan
dek mata yang dibutakan
bahawa nyawa itu tiada galang ganti
air mata aidilfiitri
terus menghantui.

CNM, 5/7/16

Cakap Politik

Orang politik
madahnya terlakar cantik
mulus-muluk
ramai tertunduk
bagai dirasuk.

Orang politik
amalinya tertabir berpalit
putar-belit
minda dililit
onar diselit
menetas jahit.

CNM, 3/7/16

Sesak dan Sebak

Lebuh raya sesak
anak-anak pulang ziarah
jumpa mak ayah.

Lebuh rasa sebak
kepulangan dinanti
sambut aildilfitri.

CNM

Hebatnya Wanita

Engkau berikan dia
setitis air mani
akan diberikan kamu
seorang bayi

engkau berikan dia
tempat tinggal
akan disediakan kamu
syurga dunia

engkau berikan dia
bahan-bahan mentah
akan dijadikan hidangan
masakan istimewa

engkau berikan dia
helaian bertanda tangan gobenor
akan ditabungkan
jadi simpanan masa depan.

Itukah wanita di sisimu?

CNM

Isi dan Kulit

Membacamu tidak sulit
isi cantik molek
tertib tersusun cantik
syariat yang mengulik
amalan terbaik.

Membacamu tidak sulit
kulit tegang terik
bercahaya terpancar menarik
gaya hidup sihat dikelek
amalan terbaik.

CNM

Terperangkap dalam sinaran

Mahu kamu tahu
terperangkap aku dalam sinaran
sinaran Cool FM
madah berlagu
membelai kalbu

Mahu kamu tahu
terperangkap kamu dalam sinaran
sinaran Cool FM
bicara DJ dirindu
coleteh DJ ditunggu

Terikat tanpa tali
kala sinaran Cool FM bermelodi.

CNM

Ingat Sampai Bila-bila!

Di kala
cinta hijau merimbun
terbit rasa
melafaz janji
...kan ingat sampai bila-bila!

Di kala
kasih kembang mekar
bertunas rasa
mengucapkan rindu
...kan ingat sampai bila-bila!

CNM

Hang Pi Mana?

Chek
pi bendang
berbahasa kerbau

Chek
pi sungai
menebar jala

Chek
pi kebun
jajat umbi pohon

Hawat hang tanya?

CNM

Pelangi Pagi

Datang menyeri
indah warnai hari
keagungan ciptaan Ilahi

hidup biar seperti pelangi
walau seketika menghiasi
dinanti
seisi alam menyenangi.

CNM 21 Jun 2016

Orang Kampung Tahu

Zaman transformasi
berbasa basi
hanya buat mengaburi

pelusuk negeri
engkau tabur wangian
harumannya tak termampu
menutup hamis
yang telah jemarimu raut rapi

di hujung jari
cerita ceriti
masuk kampung
tak terbendung

satu hari
mungkin jadi senjata makan diri.

CNM, 21 Jun 2016

Kenangan Seorang Lelaki

Ingat tak lagi
saat kaumelafaz ikatan suci
mengikat seorang wanita
bercampur baur rasa
terharu bahagia
membela amanah yang Esa.

Ingat tak lagi
saat kaujadi bapa
tangisan anak
menderaikan air mata
sebak dada
darah daging muncul ke dunia.

Ingat tak lagi
saat kaujadi wali
menikahkan puteri
menyantuni seorang lelaki
sebak menyelimuti
darah daging dilepaskan pergi.

CNM, 19 Jun 2016

19 June, 2016

Laut Kasih 377

Indah suria
pancar sinaran
kulihat indah lagi
sinar cinta dari laut kasihmu
terangi hidupku.

Putih salju
hiasi dada gunung
kulihat putih lagi
putik-putik rindu laut kasihmu
ronakan hidupku.

Kemilau kristal embun
bertitisan membungar
kulihat kemilau lagi
titis kasih laut kasihmu
mewarnai hidupku.

CNM, 19 Jun 2016

Laut Kasih 376

Ingat tak lagi
saat kita saling bertatapan
ada rasa menerjah ke dada
debaran sukma
melantun jadi kuntum senyuman.

Ingat tak lagi
saat kita saling berjauhan
ada rasa menyelinap ke jiwa
rindu melata
berkembang jadi putik cinta.

Cinta timbul di laut kasih engkau dan aku.

CNM 18/6/2016

Laut Kasih 375

Kasih
aku insan biasa
hanyut dalam arus leka
andai ada tersakiti hatimu
selaut kemaafan kupinta.

Deburan ombak laut kasihmu
tiada jemu membelai pantai hatiku
terbit keinsafan
kembali ke jalan bercahaya
mencari jalan ke syurga.

Mari kasih
kita genggan tangan
menuju labuhan abadi.

CNM, 17/6/16

Laut Kasih 374

Kasih
pernah dikau
dibarikan tentang cinta agung
selaut kasih tersimbah
kekal ke hujung nyawa.

Kasih
percayakah dikau
adanya cinta agung
ikatan suci dengan satu lafaz
kekal ke alam abadi.

Laut kasihmu
laut kasihku
menyatu.

CNM, 17/6/16

Laut Kasih 373

Kusingkap kenangan dulu
saat engkau sembunyikan wajah
kuseru namamu
lalu engkau mendonggak
lantas kita saling bertenungan
dan
terbitlah sekuntum senyuman
yang aku pasti
datangnya dari dasar laut kasihmu
harum mewangi
menghiasi jambangan hatiku.

CNM, 17/6/16

Laut Kasih 372

adakala
cinta tak perlu kata-kata
cukup dengan bahasa jiwa
yang menyelami laut kasihmu.

adakala
kasih tak perlu lunak bicara
cukup dengan bahasa sukma
yang membelai laut kasihmu.

adakala
rindu tak perlu diucapkan
cukup dengan lirikan mata
yang menagih cumbuan laut kasihmu.

CNM, 16/6/16

Laut Kasih 371

Jika mentari
menerangi serata alam
begitulah dikau
menerangi alam hidupku
merimbun ketenangan.

Jika pelangi
menyeri langit petang
begitu jua dikau
menyeri alam hidupku
mewarnai kesejahteraan.

Jika rembulan
menyinari gelita malam
begitu juga dikau
menyinari indah alam hidupku
bergemerlapan kebahagiaan.

CNM, 15/6/16

Laut Kasih 370

Ditakdirkan kita
berjumpa
bercinta
berkeluarga
nikmati selaut kasih suci.

Telah dicaturkan kita
berbahagi rasa
suka duka
onak sengsara
gelora selaut kasih menguji.

Bertabah kasih
biar tiba ke labuhan abadi.

CNM, 15/6/16

Peringatan

Pabila mata mula kabur
kulit mula mengendur
gigi-gigi telah gugur
uban kian subur
makannya banyak bubur
ingatlah
makin dekat kita dengan kubur.

CNM

Syukur

Demi sesuap nasi
demi memacu ekonomi
belum cerah mata
belum kering embun melata
mereka terbongkok
menjajat perdu-perdu
mengharap titisan susu
rezeki tak menentu
dalam negara maju.

CNM, 10/6/16

Bangun

Ambil sahurmu
biar angin berlalu
ibadat padu
puasa tak terganggu.

CNM

Ya

ya kasih
kecintaan ini tak kelihatan
hanya tersergam indah di jambangan jiwa

ya kasih
tiada dusta dalam lontar bicara
seikhlas raga terlakar rindu
buatmu.

CNM

Orang

Orang
yang baik padamu
...kan beri kesejahteraan

Orang
yang buruk tingkah padamu
...kan beri pengalaman

Orang
yang jahat kepadamu
...kan beri pengajaran.

Syukur.

CNM

Ramadan


Bulan keampunan
janji-Nya tiada didustakan
cahaya keredaan
terbentang saujana mata memandang
rebut peluang
terhidang.

Bulan kebajikan
mengumpul kebaikan
di alam abadi buat bekalan
pulang dengan tidak kosong tangan
mudahan dilimpahkan nikmat dan rahmat
dalam syurga ditempat.

CNM

Lagenda

Lagenda

Masih
aku ingat
jika ada pertarungan
satu sekolah menyaksikan
Muhammad Ali bertinju

Semadilah dengan damai
semoga bersama yang bertakwa
al-fatihah.

CNM

..kan tumbuh

pena-pena jemari
...kan tumbuh
silih berganti
tak akan mati

satu-satu
sasterawan dulu
pergi tak kembali
meninggalkan diksi
diwarisi
generasi pencinta puisi

semadilah
dengan aman ke alam abadi
Ya Rabb ampuni
anugerahkan Firdausi.

CNM

Akta Tiga Lima Lima

Duhai anak bangsa
syariat mari pertegakkan
persetankan yang tiada kena mengena.

Arak judi dan seangkatannya
musuh agama
jadi punca pendapatan mereka
itu sebabnya terlolong ternganga.

Aku, engkau dan kita
kalau nak bantah mereka
senarainya panjang berjela
tiada hormat hak beragama.

Diamlah kamu!

CNM

29 May, 2016

Khas Buat Menteri Pendidikan


YB Dato Seri
Selawat dan salam kumulai
terima kasih memayung kami
lihatlah apa yang kurang di sini
bantu kami naik taraf bintang berseri.

YB Dato Seri
kami di sini berjuang
junjung visi misi gemilang
mudahan anak bangsa cemerlang
KPM tersohor capai wawasan terbilang.

YB Dato Seri
tunjukkan jalan
biar kami jelas tentang impian
pimpin kami ke puncak kejayaan
bina negara bangsa berpendirian.

YB Dato Seri
kami menagih ihsan
lindungi kami dalam alam pendidikan
suntik kami dengan kekuatan
jaga kami dengan kebajikan.

YB Dato Seri
terima kasih atas perhatian
ia jadi pemangkin kesungguhan
laksana amanah kerajaan
tunai tetap kami tunaikan.

CNM, 29/5/16.

Di Hati

Di hati
mahu jadi makhluk sempurna
ada jiwa raga
tapi
ramai tiada peri manusia

Di hati
mahu jadi insan beriman
akur perintah tuhan
tapi
ramai bagai lupa ajaran

Di hati
mahu jadi ahli syurga
istiqomah bertakwa
tapi
ramai mengadai maruah agama

Jika hanya di hati
tiada yang menjadi
bak mutiara terperuk di laci.

CNM, 24/5/16.

Sengaja kupuisikan

Sengaja kupuisikan
dengan tajam diksi
biar terbuka mata hati
kembali...

Sengaja kupuisikan
dengan mulus tari
biar terpaut hati
kembali...

Sengaja kupuisikan
dengan tanda-tanda Maha Suci
biar terjaga dari lena mimpi
kembali...

Sengaja kupuisikan
bagi yang ingin ngerti
bahawa kita
dalam perjalanan
kembali...

Hidup selepas mati.

CNM, 24/5/16

Mutiara Globalisasi

pada jemari 
kata-kata ditari
mengatur dunia kini
visi misi
derap starategi
globalisasi menyaji
puncak tertinggi

pada minda dan hati
akalan tersusun rapi
menongkah realiti
transformasi diri
menjejak pasti
mutiara tersembunyi
di dasar ...kan ditemui
yakin pada Ilahi.

CNM, 24/5/16

Ekologi Maya

Terbina
dalam tamadun cakrawala
speseis-speseis bernyawa
persembah lakon drama
sandiwara bertema
dedah ragam manusia.

Dengan lenggok bahasa
dengan foto bergaya
dengan rajah begitu rupa
dengan melodi tercipta
habitat berbeza
rumpun bangsa
kelompok budaya
peraga rupa jiwa.

Ekologi maya
ada kosong minda
ada sarat dada
pilih dalam mencari reda-Nya
sepanjang jalan tuju kepada-Nya.

CNM

18 May, 2016

#angkara siapa


#angkara siapa

Orang kata
beri nama yang baik-baik
bukan aku yang kata...

aku, kamu dan mereka
bangsa melayu
nama melayu...

di kota raya
martabatkah melayu?
Yang tinggi itu engkau nampak?
KLCC, KL Tower, MayBank Tower
aku tak nampak yang nama melayu tinggi?

di Putrajaya
PICC
Alamanda
Precinct
Parcel
mana nama melayu!

Yang tinggal keretapi tanah melayu
makin ditelan dek LRT MRT ERL
pupus melayu dek tangan bangsaku.

CNM, 18/5/16

Dulu-Kini

Dulu
aku kenal dia
petah menghambur bicara
tak terlawan kosakata
bagai helaian kamus benaknya
menjunjung bahasa ibunda.
Kini
aku tak kenal dia
pelat menutur kata
terluluh kosakata
bagai mualaf dari hujung benua
mendukung bahasa penjarah dunia.
CNM

12 May, 2016

"Misi"



Dengarkan bicara
dari hati mulus suci;

Misi
putih bersih uniformmu
lambang tugas murni digalas
pagi petang siang malam bertugas
curah bakti tanpa culas.

Misi
tugasmu teramat mulia
tatkala mereka lena
kamu bersengkang kelopak mata
demi amanah merawat semua.

Misi
usah mudah kecewa
dengan bisik kata cerca
tabahkan jiwa
cari reda-Nya.

Misi
tukarkan persepsi
khidmat terefektif diberi
kos bererti
masyarakat puas hati.

Misi
tanpamu muram hidup
tanpa sokonganmu menyusup
semangat melingkup
wajah meredup
harapan tertutup.

Misi
kamu cukup istimewa
korban masa tenaga
demi satu nyawa
terima kasih tak terhingga
hanya syurga selayaknya.

CNM, 12/5/16

08 May, 2016

Nilailah II

Nilailah II

Saat dikau masih dibuai mimpi
dengan hati penuh reda
dia terbongkok-bongkok ke tempat kerja
berbahasa kerbau di sawah
menjajat umbi pohon-pohon getah
menebar jaring-jaring usang
demi secubit rezeki
buat kamu.

Saat dikau kelusuhan pakaian
dengan sebak dada
dia membelikan kain baru
sedang baju sendiri compang camping
kamu didahulukan
demi melihat engkau girang
seperti anak-anak kebanyakan
tak kenal keperitan.

Saat dikau perlu pertolongan
dengan rasa kegusaran
dia mengangkat tangan
memohon doa kepada tuhan
lindungi anak-anak dari kesusahan
kurniakan kesejahteraan
walau diri sendiri menelan kepahitan
tabahnya tiada bandingan.

Dia
bapamu
ingat...nak, ingat
jangan jadi anak lupa daratan.

CNM, 8/5/16

Lihat

pada setiap tapak langkahmu
ke mana arah tuju
berlandas atau melulu
membabi buta atau berilmu
penentu...

pada luas pandanganmu
apa yang terlihat itu
berteraskan masa lalu
pun bercagarkan dada sebu
penentu...

waktu ke waktu
gapai ke mercu
dengan doa restu
yakin pada Yang Satu.

CNM, 7/5/16

Nilaikan

Saat dikau belum membuka mata
dalam perit sakit bergandai nyawa
dia meredakan tangisanmu
dengan rangkulan kasih
disusui hingga engkau lena.

Saat dikau merengek dek deman panas
dalam penat lelah berjaga
dia merawat sakitmu
dengan sabar
dijeram kepala hingga engkau kebah.

Saat dikau meminta sesuap nasi
dalam kesibukan tugas harian
dia menyuap ke mulutmu
dengan sekuntum senyuman
dipastikan engkau kekenyangan.

Dia
Ibumu
berani engkau meninggikan suara?
tergamak engkau menarik muka?
jangan ...nak, jangan
jangan jadi anak derhaka.

CNM, 7/5/16

Ketika Titis Hujan

Renyainya
seakan berbisik ke telinga
beradulah
beradu dengan damai
kembalikan tenaga muda
buat membanting asa.

Dinginnya
menerjah ke tulang
dipeluk gebar hangat
sehangat hembusan nafas ke pipi
pulihkan semangat
esok melangkah lagi memerah keringat.

CNM

Lukisan Hati

Lukisan Hati

Terpamer di mata
bagai bintang-bintang di langit
melingkari purnama
menyuluh serata alam
bercahaya cakrawala keperibadian.

Terlakar di minda
bagai duri-duri tajam 
menikam hancur lebur sukma
ranapkan kepercayaan
memudarkan sebuah keakraban.

CNM

Budimu Dikenang

Hari ini
sebak menyelinap ke hati
sekian lama sama-sama menabur bakti
tiba saat engkaukan pergi
mengejar cita sendiri
mendekat diri kepada Ilahi

Redup pagi
seredup hati-hati kami
melepaskan kalian
tuju alam persaraan
gapai ketenangan
memeluk kejayaan.

Lihat
indah sang suria
menyinari cakrawala
indah lagi budimu
menabur mutiara ilmu
menyuluh gelita kalbu.

Tuan puan yang bersara
budimu dikenang
didik insan jadi terbilang
tak terbalas dek segunung intan
doa kami kepada Tuhan
dikurniakan rahmat dan nikmat berpanjangan.

Intai kami biar nampak di mata
esok tidak rindu mengusik jiwa
selalu tujuh pagi sudah bersua
bertegur sapa ramah mesra
...kan tinggal kenangan semuanya
terimbau masa ke masa.

Tuan puan yang bersara
andai ada terluang masa
jemput ziarah kami semua
kemaafan kami pinta
andai ada silap salah terkasar bahasa
selamat bersara
selamat maju jaya.

CNM, 6/4/16

Tersakiti

Andai rasa ini
menyesak jadi rasamu
mampukah engkau menahannya?

Usah senang-senang mengkhianati
jika sakitnya tak bisa engkau ubati
binasa diri.

CNM

Hilang

Engkau
damai mendampingi pesisiran pantai
tatkala sang bayu berpupuk lembut
menyapa ke muka
terasa bahagia
lumrahkah?
Pabila pantai dilanda ombak derita
engkau tinggalkan tanpa berita
hilang entah ke mana
berkubur tanpa nama.

CNM

Keranamu

Keranamu
angin
tanpa wajah
menyapa mulus
menggoncang ganas...

keranamu
air
menitis dari dada langit
menyimbah dingin
menelan bahang...

keranamu
pohon
tumbuh rimbun
menghijau pandangan
mengenyang ternakan...

keranamu
rembulan
menyeri cakrawala
menyuluh gelita malam
pendoman di lautan...

keranamu mentari
anugerah terhebat Ilahi.
CNM, 2/4/16

Dijadi

Tanah-tanah itu gersang
kering kontang
debu melayang,

lembah-lembah itu melimpah
lumpur meratah
harta benda musnah,

gunung-ganang itu bergetar
kerak bumi tersesar
hidupan bergelimpangan terdampar,

laut itu membuak
manusia berteriak
tangisan terisak-isak,

kepada Dia segala akan kembali
yang mana satu ingin didustai
dijadikan-Nya menguji.

CNM

Warna Warni Malaya


Tak cukup Melayu Cina India
diimport dari seluruh dunia
Indon Nepal
Vietnam Myanmar
Philippine Bangla
berjuta-juta
kasi warna Malaya
lagi meriah katanya.

CNM

Kita dan Mereka

Kita adalah kita
mereka adalah mereka

Kita jangan jadi mereka
mereka tak akan puas kita tak jadi mereka

Kita jaga hak kita
mereka tak pernah leka memperdaya

Kita dan mereka bak minyak dan air
sebekas mesra bersempadan nyata.

CNM

Siapa yang tahu?

Insan
tak seorang impikan derita
cuma panas tak pasti ke petang

Insan
tak seorang mengudang duka
cuma langit tak selalunya membiru

Insan
tak seorang tahu
redakan saja takdir
lebih baik tidak tahu.

CNM

Harapan

Saat hati jauh sendirian
alangkah indah ada jemari mulus
mengenggam alir kata-kata kekuatan

Tatkala air mata berderai
alangkah manis ada tangan kudus
menyapu titisan-titisan luka

Kala gelap jalan kehidupan
alangkah bertuah ada penunjuk tulus
memimpin ke cahaya kebenaran.

CNM

10 February, 2016

Kembalikan!

Telah lama
mendung menyelubung
menidakkan cahaya ke laman warisan
gugur bunga-bunga harapan
hilang haruman gemilang.

Hujan keperitan makin mencengkam
bumbung dirobek dari dalam
caturan kelam
tangan-tangan hitam
nyahkan temaram.

CNM

Oh Badut!

Satu dekad
aku tak kenal
tak terlintas dek akal

Dua dekad
aku seakan terlihat
kelibat macam hebat

Tiga dekad
aku yakin melihat
aksinya sungguh dahsyat

Empat dekad
jenakanya jenaka sesat
menyiat jiwa sihat.

CNM

Pabila Wanita Menulis!

Bukan sebaris,

kala jiwanya menangis
air mata laju menitis,

bukan menabur janji manis
realiti kehidupan dilukis
penuh tragis lagi sadis,

bahawa hidup tak semesti harmonis
jadi mangsa lelaki hamis
mengemis
kasih yang tipis,

hatinya terguris
dipersia si hidung kempis
hidup penuh kudis
tak terubat dengan mulut bertumis
kasih yang sengaja ditepis.

CNM

Yang Empat

Aku nombor satu
rela dimadu
janji direda Yang Satu
syurga bagiku,

Aku tak kisah nombor dua
demi meraih cinta
hormat pada yang tua
aman bahagia,

Aku reda jadi nombor tiga
kakak satu dua berkongsi cinta
pakat-pakat jaga
dia yang menawan jiwa,

Aku yang keempat
lali diumpat
janji kasihnya tersemat
aku rasa selamat,

Yang empat
sepakat
berkat
dunia akhirat.

CNM.

Kita Orang?

Kita orang?
Atau hanya orang-orang
duduk bersarang
jadi dalang
mengubang.

Kita orang?
Atau hanya orang-orang
tiada perasaan
hilang peri kemanusiaan
miskin pertimbangan.

Kita orang?
Atau hanya orang-orang
main wayang
jadi petualang
mengorek lubang.

Orang atau orang-orang!

CNM

Awat Hang Lagu Tu?

Awat hang lagu tu?
Cepat tak sebulu
tindak melulu
memalu
sekutu.

Awat hang lagu tu?
Takut bayang hantu
raban merapu
mengikut kutu
mencabut bulu.

Seantero Malaya malu
semua orang tahu
hang lagu tu.

CNM

"kluk-klek"

Baso jenih kluk-klek
depe jerenih
belake petit sawa
rakyat jelato dikecek
terima dengan hati bersih
semua kena percaya.

Baso kluk-klek
belit kalahkan ular sawa
pecah perut terkeluar semua benda.

CNM

24 January, 2016

Makan

Si miskin
kais pagi makan pagi
kasi petang makan petang
tertanya-tanya
apa yang akan dimakan?

Si kaya
ada segala
sebut saja ada di meja
bertanya-tanya
nak makan di mana?

Si politikus
saban hari mendengus
lubuk mana nak ditimbus
liar menikus
siapa mangsa nak dihapus?

CNM

Kedah Vs Pahang

Kedah
hijau panorama indah
rakyat tiada gundah
tadbir urus berhemah
pemimpin berwadah
khidmat kerana Allah.

Pahang
merah hangat berbahang
rakyat dalam bimbang
tadbir urus bertualang
pemimpin main wayang
khidmat kerana wang.

CNM

Bicara Puisi

Hei!
Pembogel aksara
apa yang engkau ghairahkan itu?
Aku bukan wanita seksi
bertelanjang di ranjang berahi
lenggang-lenggokku sekadar berbasa-basi.

Hei!
Penelaah kosa kata
apa yang engkau kecurkan itu?
Aku bukan jeruk mempelam muda
memecah liur ibu bunting kembar dua
siratan maknaku sekadar di pemuka.

Hei!
Tuntun ghairahmu
lempias hajat biar bersukat
dan pimpin liurmu
biar gecarnya tak tersasar
engkau belajar aku tak beronar.

CNM

3P

Insan
dambakan
PENERIMAAN.

Insan
inginkan
PERHATIAN.

Insan
dahagakan
PENGHARGAAN.

CNM

Bauksit

Digali segala bukit
bukan sedikit
rona karat melekit
selut debu menghimpit
penyakit menyelit
alam terpalit
rakyat tersepit
tadbir urus berbelit
kekayaan disumpit
kelestarian dihumban ke parit.

CNM

Parah

Belantara ditarah
robot-robot rakus menarah
tangan-tangan penjarah
tak kenal padah
alam musnah.

Tanah-tanah berdarah
lurah-lurah alirkan nanah
muara meludah
laut biru berubah
lenyap panaroma indah.

Siapa punya kerenah?

CNM

Ikat

Kerana gelaranku
aku diikat tanpa tali
akur janji
perintah itu ini
membatasi.

Kerana gelaranmu
kamu mengikat tanpa tali
menabur janji
lunak didengari
mengaburi.

CNM

Adus!

Kelihatannya dia telus
mulus lagi tulus
kudus.

Bungkus membungkus
rakus merebus
terkukus
dek fulus.

Penyamun Tarbus.

CNM

Tunai

Ketahuilah semua
kenaikan bayaran tol itu benar
kenaikan harga barangan dapur itu benar
kenaikan kos sara hidup itu adalah benar
kenaikan tambang pengangkutan awam itu benar.

Ya Allah
kami diminta ikat perut kami reda
kami diminta kerja lebih masa kami reda
kami diminta berjimat cermat kami reda
kami diminta bangun awal pagi elak kesesakan kami reda
Jika ada yang bertanya
mahukah lagi pemerintah sedia ada?
maka jawaplah dengan yakin dan pasti
kami akan guna kuasa undi
mengubah nasib kami.

Jangan nanti
pak-pak menteri
meroyan kehilangan kerusi
kerana apa kami janji
tunai tetap kami tunai.

CNM