Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

29 November, 2014

Harapan


Kepadamu
telah kami serah
amanah berjuang
membawa kesejahteraan
dengan izin Tuhan.

Lunaskan
hak kami
kerana amanah
dipertanyakan
di hadapan-Nya.
Pastikan anggotamu
bersaksikan yang benar
kamu laksanakan.

CNM

Akta Hasutan

Bijak pandai
zaman pra-merdeka
telah mampu menjangka
bangsa Melayu
jadi cacamarba
dek
lidah-lidah derhaka meludah fitnah
jari jemari kepalsuan membaji perpaduan
tingkah petualang membakar keharmonian.

Pertahankan bangsamu!

CNM

Pejuang UMNO

Minggu ini
dalam gegak gempita himpunan
ahli-ahlimu yang menaruh harapan
selongkar satu-satu
lihat mungkin anai-anai keangkuhan
meludah barah.

Andai telah tumbuh lalang liar
racun tebas buang
jangan disemak laman bonda
tempat anak-anak tumpang bermain
mengelak duri dengki
mengutip rezeki.

Andai ada kaca-kaca kebejatan
kutip lontarkan jauh-jauh
biar tumbuh berdiri
mawar keadilan
mengharumkan tonggak kepercayaan
mengembalikan perpaduan.

Aku bukan sesiapa
sekadar mencoret rasa
di tanganmu ada kuasa
menentu cara
menjaga anak bangsa
pewaris laungan keramat ...

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

CNM, 26/11/14

Indah Persahabatan

Setiap kejadian
maha suci-Mu yang menjadikan;
pasiran putih di pantai
kehijauan banjaran gunung
kebiruan langit dihiasi awan memutih
berseri sang pelangi merentangi angkasa
semuanya tak tertandingi
indahnya sebuah persahabatan
yang bersulam keikhlasan
yang saling menyayangi.

Ya Rabb reda dan restui kami.

CNM, 25/11/14

Alam Bernyawa


Apabila alam tak lagi mesra
manusia terpinga-pinga
menunding sini sana
mencari punca
sedang telah diwarta
bukit bukau usah diteroka
tunjang kelestarian flora fauna.

Korupsi melata
atas kerusi bawah meja
tak takut dosa
janji poket tebal membeli kuasa
digadai sejahtera
tunggulah murka yang Esa
bala menimpa
mencuci dosa.

CNM, 9/11/14

Tragedi


Tanah
di tulang belakang Malaya
robek, tobek, dikorek.

Korupsi
atas bawah kerusi
tak peduli
janji poket terisi.

Komuniti
siapa peduli
joli sana joli sini
janji anak bini puas hati.

Tunggulah datangnya murka Ilahi.

CNM

01 November, 2014

Tertancap

Malam ini
bola mata hitam putih
tertancap
pada skrin lebar
pada layar gergasi
dengan sorak sorai
menyaksikan
tok gajah dengan gading bertuah
harimau selatan dengan taring hikmat
berpencak silat
mengatur langkah
merobek gawang
menangkis serangan
buat menjulang piala keagungan se-Tanah Melayu.

Selamat berjuang.

CNM

Kasta

Hari ini
dikastakan
untuk harga.

Esok, esok
porak peranda
kerana harga.

Cerdik pandai
membina kasta
membinasa rasa.

CNM

Apa nampak?

Jika memandang
dengan pandangan mata lalat
geli
berahi.

Jika memandang
dengan pandangan mata lebah
muak
relak.

CNM

Entah

Pilih punya pilih
yang itu juga dileleh
barangkali;
sudah tiada ayam serama
sudah pupus kucing parsi
sudah lenyap hamster
makanya
anjing dipeluk cium.
Aduhai bangsaku
cuba anjur kempen cintai rasulmu.

CNM

Namamu

Namamu 
melonjak ke pentas
derap langkah
lenggok tari
disenangi.

Namamu
yang teratas
bersuara emas
pandangan bernas
memperjuang aman bebas
berbatas.

Di mata dunia
namamu harum 
Malaysia.

CNM, 18/10/14