Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

27 April, 2012

ada ketika

ada ketikanya
bahasa tidak perlu
perhatikan saja.

ada ketikanya

bahasa tidak penting lagi
nikmati saja.

ada ketikanya
bahasa tidak bermakna
diam saja.

CNM, 26/4/12, 11.19pm
THMK

21 April, 2012

Sangkar Cinta

dijanjikan emas permata
indah tutur kata menawan sukma
sekali terjerat ke dalam sangkar cinta
terkurung terikat selamanya
berteman titisan airmata

dianugerahkan wang berjuta
mewah harta benda mengaburi mata
sekali termasuk ke dalam sangkar cinta
terbelenggu terpasung ke akhir nyawa
berteman deraian airmata.

CNM, 21/4/12, 9.53pm
THMK

Laut Kasih 105

sayang
bila tiba malam
rinduku membuak-buak
mendambakan pelukan hangat
lena dalam alunan ombak laut kasihmu.

sayang
bila tiba malam
cinta menyerlahkan sinar
menerangi kamar asmara kau dan aku
belayar meredah lautan kasihmu.

CNM, 21/4/12, 9.10pm
THMK

17 April, 2012

Belum Tentu


belum tentu
bagaimana sudahnya.

belum tentu
ke mana sudahnya.

belum tentu
di mana sudahnya.

pohon restu...

CNM, 17/4/12, 10.20pm
THMK

di tangga malam

di tangga malam
aku mengatur langkah
meredah kelam bersuluh lantera
menuju cahaya
sepanjang jalan kebenaran.

di tangga malam
aku tak ingin menoleh ke belakang
kerana gelita yang lalu cukup mengajar
erti sebuah kekesalan
yang terzahir dari hati bening.

di tangga malam
aku tak ingin tersungkur
tanpa redha-Mu.

CNM, 16/4/12, 10.49pm
THMK

malam ini

malam ini
aku tak ingin bicara apa-apa
sekadar membaca puisi mimpi semalam
menceritakan cemburunya seorang lelaki
pada mimpi seorang isteri memeluk awan
di ranjang kesepian.

kutelaah lagi
puisi kembara seorang aku
sang penyajak mencari erti diri
dalam janji-janji kepada Ilahi
mencari jalan ke syurga yang hakiki
kekal abadi.

dan aku terus menatap
satu persatu
nukilan teman-teman
membawa pesanan
buat pedoman
dalam perjalanan pulang.

CNM, 16/4/12, 9.19pm
THMK

sucikan

sucikan
sekeping hati
biar mengalir darah-darah merah murni
ke segenap urat sendi
dengan denyut nadi
yang sujud pada Ilahi.

sucikan
wajah sukma
biar terpancar nur takwa
menyuluh seluruh kamar jiwa
terang jalan-jalan menuju-Nya
dalam berkat doa yang diredha.

CNM, 15/4/12, 10.34pm
THMK

adakah esok?

adakah esok
menanti kita seperti selalu
atau malam ini
malam yang tiada siangnya lagi.

adakah esok

tiba untuk kita seperti selalu
atau malam ini
malam yang terakhir di alam ini.

adakah esok
Allah berikan lagi kesempatan
untuk memohon keampunan
dari kesilapan yang tak disengajakan.

Ya Rabbi
ampuni kami
waktu ke waktu yang pergi
sebelum menjemput kami ke sisi-Mu.

CNM, 15/4/12, 10.02pm
THMK

kamu punya yang mana?

anganan
yang kamu perindah
tanpa ambil kisah
ia tak membawa faedah
terusan dalam khayalan tak sudah,

atau


imiginasi
yang disusuli
perancangan rapi
mampu menjadi realiti
bukan hanya impian tak bertepi.

CNM, 14/4/12, 12.42pm
THMK

tabib puisi

tabib puisi

di mana dapat kutemui

tabib puisi
yang bisa menunjuk ajar
petua-petua menulis puisi
jadi hebat mengesani.

ke mana dapat kutuju

mencari tabib puisi
yang ingin berkongsi ilmu
menggarap bait kata
jadi pedoman sesama.

kamukah tabib itu...?

CNM, 14/4/12, 11.28pm
THMK

14 April, 2012

Bidan Cinta

kaudengan sengaja
memberi khidmat cakar harimau percuma
menggoda buaya tembaga
pulang ke lubuk asmara
menyedut benih-benih noda
buat tangkal awet muda.

kaudengan selamba
menayang tubuh montok mendada
menawan gelora rasa sang kumbang durjana
hinggap ke kelopak nista
menyunting bunga-bunga dosa
buat susuk menyeri muka.

kaumenakluki lelaki-lelaki
bukan untuk suami
hanya memperkuda penuhi nafsu nafsi
mempermainkan dendam berahi
menyakiti lelaki
yang buta mata hati.

CNM, 14/4/12, 9.22pm
THMK

Doktor Cinta

kau sering permainkan wanita
kauciptakan lagu indah membuai jiwa
tertewas hati-hati sang hawa
tunduk menyerah cinta
sedang engkau taburi tuba
menghancur rasa.

kau sering permainkan wanita
kautuliskan puisi indah membelai sukma
tersungkur hati-hati sang hawa
datang menagih cinta
sedang engkau bermuka-muka
bermain sandiwara.

kaupilih wanita-wanita
yang dahaga belaian manja
kauubati kecewa
setelah pulih bergelora asmara
kaubunuh cinta di dada
meninggalkan nesan cinta.

CNM, 14/4/12, 8.52pm
THMK

silara kasih

silara kasih
redup memayungi cinta
tak terbakar dek bahang sengkata
tumbuh pohon asmara
rendang berpucuk rindu.

silara kasih
naungan terpilih hentian cinta
berteduh dari hujan cemburu
tak terhakis ladang bahagia
kekal subur sejahtera.

CNM, 14/4/12, 5.14pm
THMK

13 April, 2012

kamu tak yakin

macam-macam ragam manusia
mengumpat mengata
mencaci mencerca
mengutuk menghina
jangan alpa
Yang Esa tak pernah lupa.

macam-macam ragam insan
membunuh dengan kejam
merogol tanpa belas kasihan
merompak tanpa perikemanusiaan
jangan ikut syaitan
syaitan dimurkai Tuhan.

kamu tak yakin?
suatu saat kamu akan menghadap Tuhan
ketika kakimu terbelanggu menanti persoalan
apa yang kamu ingin persembahkan
janji-Nya hidup ini tiada yang sia-sia
yang baik dibalas syurga
yang jahat dihumban ke neraka.

CNM, 13/4/12, 5.29pm
THMK

malam berkata-kata

aku datang dengan gelap
supaya kamu berehat
bukan merayap-rayap
meneroka alam gelap
di kelab-kelab.

aku datang dengan dingin
supaya kamu tak naik angin
berkepala pusing
semua orang naik runsing
aksimu yang bengkeng.

aku datang menganti siang
supaya kamu tak berbahang
berhenti main wayang
perbanyakkan sembahyang
mengingati Tuhan.

CNM, 12/4/12, 11.57pm
THMK

12 April, 2012

Laut Kasih 104


telah beratus purnama
kita berdua memateri cinta
bersaksikan seluruh cakrawala
yang mengaminkan doa
sejahtera buat kita berdua.

telah beratus purnama
laut kasihmu megah beralun irama cinta
mendendangkan lagu asmara
membuai daku dalam lena
memiliki cintamu ke hujung nyawa.

CNM, 12/4/12, 10.31pm
THMK

mengapa?

di kota
lampu-lampu neon
harganya yang berjuta
tidak mampu membawa pulang
manusia ke tangga rumahtangga
ramai yang tersesat
di lorong-lorong hanyir
lemas dalam lopak nafsu.

di desa
walau hanya bersuluh purnama
samar-samar cahaya
berjaya membawa pulang
manusia ke tangga rumahtangga
terselamat dari lopak noda
tak tergelincir ke lubuk dosa
terhindar dari dimurka.

CNM, 12/4/12, 7.00pm
THMK

ajaran siapa?

ada manusia
sungguh pelahap
meratah daging saudara sendiri
sedang junjungan tidak mengajar begitu
ajaran siapakah itu?
tak malu?

ada manusia
sungguh gelojoh
menelanjang kain saudara sendiri
sedang difirmankan agar menutupi keaiban
ajaran siapakah itu?
tak malu?

CNM, 12/4/12, 6.22pm
THMK

Mulut

mulut orang
akan berdendang
apa saja irama yang disukai
kita tidak mampu menutupnya
yang baik dengari
yang jelek lupai.

mulut kita
kita boleh tutupkan
tak perlu berbunyi seperti mulut orang
elakkan mendendang yang jelek
kerana kita jadi sama dengan si mulut murai
andai bercicipan sebegitu.

CNM, 12/4/12, 5.57pm
THMK

anak-anak alpa

luhurnya
ibubapa menghantar kamu
menimba ilmu ke dada
buat bekalan hari muka
hidup berguna
untuk bangsa, negara dan agama.

anak-anak sungguh bangsat
tak malu buat jahat
kepercayaan ibubapa dikhianat
guru tak dihormat
tak mengerti konsep berkat
hidup kamu tak selamat.

Ya Allah
lindungi dan pelihara
anak-anak kami
dari perbuatan sia-sia
pancarkan nur takwa
jadikan mereka anak mulia.

CNM, 12/4/12, 3.27pm
THMK

pejuang

dia pejuang
dalam bahasa tulisan
jadi bahan baca anak cucu
mengenali asal usul negara bangsa
tapi mengapa
hilang sudah semangat tuah
yang dulunya jadi tunjang perjuangan
jangan kerana
rasa yang berlainan citra
kedamaian akal anak cucu tergadai maruahnya
kerana di tangan kamu pejuang
tercorak langkah-langkah anak muda
jauhi titik hitam yang akan mencemari gebar putihmu
dan aku hanya berpesan
kemuliaanmu harus dijaga kerana kamu juga manusia punyai kelemahan.

CNM, 11/4/12, 9.34am
THMK

11 April, 2012

Di keheningan pagi

di keheningan pagi ini
sunyi yang menyelimuti
kupanjatkan syukur kapada Ilahi
masih diberi kesempatan berasa di sini
menikmati indah bait puisi
garapan teman-teman pemuisi.

kuberdoa agar kalian dirahmati
sejahtera meniti hari
walau di manapun kalian berdiri
perteguhkan jati diri
tingkatkan ketakwaan kepada Ilahi
jadilah kita muslim sejati
agar tergolong dalam kalangan yang tidak rugi.

Salam Selamat Pagi.

CNM, 11/4/12, 7.26am
THMK

ketenangan

ketenangan
kedamaian yang dinantikan
tiba bersama sinar fajar
membasuh debu-debu semalam
menyuntik keazaman
terus mencari dan mencari
sabar membaca dan membaca
gigih mengumpul dan mengumpul
segenggam ilmu
untuk dikongsikan
bersama anak didik
yang menanti penuh harapan
demi sebuah kejayaan
impian ayahbonda tercinta
lahirkan insan mentaati Yang Esa.

CNM, 10/4/12, 6.53pm

09 April, 2012

Laut Kasih 103

Laut Kasih 103

demi kasihmu
walau malam kian memekat
kupujuk mata ini menunggumu dinda
tak akan lena
sebelum mengucup wangian ubunmu.

demi cintamu
walau embun telah menyelimuti
kuhangatkan rasa rindu ini
walau dalam cemburuan masa
tak akan kupersia
waktu-waktu yang akan berlalu tanpamu.

CNM, 8/4/12, 11.59pm
THMK

08 April, 2012

Laut Kasih 102

ingin kukatakan
aku berbangga berpimpin denganmu
melayari bahtera dalam keasyikkan
rona-rona ombak laut kasihmu
membuai mesra.

ingin kuucapkan
aku berbahagia bergandingan denganmu
menari dan menyanyi di pesisir pantai
disapa elus bayu laut kasihmu
membelai manja.

ingin kulafazkan
aku sentiasa dambakan dirimu
bercanda berpeleseran berdua
menikmati nikmat laut kasih
anugerah dariNya.

CNM, 8/4/12, 10.17pm
THMK

Laut Kasih 101

betapa malam ini
hati terdetik buat ke berapa kalinya
sungguh-sungguh terkesan
mengucapkan syukur kepada Ilahi
amat bertuah memiliki cintamu sayang.

Laut kasihmu yang terbentang
bak lautan saujana mata memandang
menganjur dari ufuk ke ufuk
berjarak dari kaki langit ke kaki langit
dihiasi pelangi kasihmu.

aku sayu dan terharu
jadi pemilik satu-satunya
kepada laut kasihmu
yang penuh mutiara kasih sayang
berkerdipan sepanjang zaman.

CNM, 8/4/12, 9.10pm
THMK

nukilanku

kutulis
sebuah puisi panjang
buat tatapanmu dinda
telah kubukukan seindah kata
jadikan kenangan cinta.

kucoretkan
sebuah soneta berirama
buat menemanimu sayang
telah kudiarikan seindah garapan
jadikan pengubat rindu.

kulakarkan
sebuah syair berlagu
buat menghiburmu manja
telah kugubah lagu dan irama
jadikan lagu jiwa.

CNM, 8/4/12, 8.51pm
THMK

jika kautanya

jika kautanya
apa yang seharusnya diperbuat
setelah cinta suci dinodai
dengan menelanjangkan janji di khalayak
tinggalkannya sendirian
biar ia belajar erti kesetiaan.

jika kautanya
apa yang seharusnya diputuskan
setelah pohon kasih diracuni
dengan memperkosa kejujuran
lepaskannya pergi
biar ia belajar makna kasih sayang.

jika kautanya
apa yang seharusnya dilakukan
setelah tangkai rindu dipatahi
dengan melacurkan sebuah penantian
ucapkan kepadanya
carilah sebuah rindu yang bukan untuk didagangkan.

CNM, 8/4/12, 5.41pm
THMK

hargai peluang kedua

hargai peluang kedua

setelah engkau menangis

sedu sedan memohon peluang kedua
dengan janji memperbetulkan diri
hargailah kepercayaan yang diberi
jangan khianati lagi
kerana di hatinya masih tertinggal
sisa-sisa menyayangimu
yang perlu kaubajai dengan kejujuran
bukan menabur racun sandiwara berbancuh air mata
kerana peluang ketiga jarang bertandang lagi.

CNM, 8/4/12, 4.51pm
THMK

air mata

air mata kekesalan
lebih bermakna
dari titis kegembiraan
dalam kealpaan
dihiasi kepalsuan.

air mata keinsafan

lebih bererti
dari tetes kebangaan
dalam keangkuhan
dihiasi kesombongan.

air mata kesyukuran
lebih indah
dari teriakan kejayaan
dalam kejahilan
dihiasi kebatilan.

CNM, 8/4/12,11.25am
FTS

07 April, 2012

Tersingkap

tersingkap selimut malam
disentap fajar bening
kala seruan menuju kejayaan
dilaungkan membelah sunyi
terjaga yang lena dibuai mimpi nista.

kepada-Mu ya Allah
yang masih memberi kenikmatan
merasai suatu lagi hari
dalam ucap syukur dan doa
restui kami semua.

CNM,070412,0648am
THMK

aku bukan sesiapa

aku bukan sesiapa di sini
kalau bukan kerana kamu teman
menghulur tangan tangan persaudaraan
memaut kejat aku terus berdiri
memintal puisi dari tinta hati.

aku bukan sesiapa di sini

kalau bukan kerana kamu kasih
menyuntik semangat tanpa merasa jerih
membakar iltizam terus bertatih
menggarap puisi berseni.

aku bukan sesiapa di sini
kalau bukan kerana izin-Nya
mengurniakan ilham masa ke masa
berkongsi isi minda gelora rasa
dalam bait puisi bernada.

aku bukan sesiapa
jauh sekali mendabik dada
berkongsi keindahan bahasa
dalam ayat-ayat berirama
menyampai mesej sesama.

CNM,060412,1123pm
THMK

kota puisi

teman
mari berganding tangan
membina kota puisi
dari titisan tinta hati.

teman

penuhkan garapan puisi
menghiasi dinding-dinding cermin
segenap ceruk kota puisi.

sama-sama kita dirikan...

CNM,060412,10.28pm
THMK

di hujung sana

di hujung sana
sedang menunggu
ketibaan kita dengan bekalan
entah berisi
entah kosong.

di hujung sana

sedang kita mendekatinya
melolosi onak duri
mengutip kebajikan
melindungi diri.

di hujung sana
hanya redha-Nya
penyelamat kita.

CNM, 060412, 10.57pm
THMK

kalau ya

kalau ya
katakan ya
jangan bertapi tapi
kelak sendiri rugi.

kalau ya

katakan ya
jangan menafi nafi
kelak teruk diperli.

kalau ya
katakan ya
jangan sembunyi-sembunyi
kelak rahsia makan diri.

kalau ya
katakan ya
itu amalan mulia
disukai yang Esa.

CNM,060412,0943PM
THMK

kalau bukan

kalau kita bukan
tukang bancuh air
minum saja air kosong.

kalau kita bukan

tukang jahit baju
pakai saja baju siap.

kalau kita bukan
pemandu yang ada lesen
naik saja teksi.

kenapa nak susahkan badan neh?...

CNM,060412,0916pm
THMK

06 April, 2012

di suatu sudut

berhenti
dan kesat air matamu
jangan sampai terlihat ia menitis
kerana mahal harganya.

duduk
dan angkat kedua tanganmu
mohon kepada Yang Maha Pemberi
apa saja yang kamu hajati.

sujud
dengan serendah-rendah hatimu
agar keredhaan-Nya
engkau miliki.

CNM, 060412,02.42pm
THMK

kaujaga

kaujaga
sekeping hati
yang dengan rela
dipersembahkan untuk dimiliki
tanpa dakwa dakwi.

kaujaga

sekuntum cinta
yang dengan redha
dihadiahkan untuk dibela
tanpa curiga.

kaujaga
sejambak kesetiaan
yang dengan penuh keikhlasan
diberikan untuk dipercayai
tanpa sangsi.

CNM,050412,10.10pm
THMK

itu ini

kalau kamu jumpa
manusia
yang beritu ini
lebih baik lari.

kalau kamu ada

kekasih
yang beritu ini
lebih baik cari ganti.

kalau kamu diselia
bos
yang beritu ini
lebih baik berhenti.

kalau kamu suka
beritu ini
lebih baik bermuhasabah diri
sebelum dibenci.

THMK
CNM,050412,9.47pm

jemariku

ingin sekali
melukis wajah bidadari mimpi
yang indah menawan hati
biar terlena hingga pagi.

ingin sekali

mempotretkan dambaan sanubari
yang mencari sebuah cinta sejati
bahagia ke alam abadi.

ingin sekali
melakar senyuman harapan
yang menunggu di kamar impian
menyambut huluran tangan.

THMK
CNM, 050412, 9.30pm

memperdaya

kauhulur
sehelai selendang sutera
agar aku berpaut kepadamu
sedang kausaluti dengan butiran kaca
menguris tangan keikhlasku.

kaucampak

seutas tali emas
agar aku berpegang kepada janjimu
sedang kaulumurkan buih-buih kepalsuan
mempermainkan kepercayaanku.

THMK
CNM, 040412, 11.11pm

Senja berpaling pergi

wajah senja yang merona jingga
sekilas kupandang dibasahi
titisan air mata rindu
yang sedikit demi sedikit
memenuhi segenap salur nadi
sebak meninggalkan hari
dalam keterpaksaan
membiarkan malam menyelimut sepi
menanti tiba fajar
menyusur kembali.

THMK
CNM, 050412, 6.53pm

di bumi nyata

tak ingin aku terbang
beriringan denganmu ke dada langit
kerana sikap keangkuhanmu
melupakan reranting di bumi
tempat kamu mengenal dunia.

tak ingin aku berganding

berpimpin tangan denganmu ke pelantar pelangi
kerana sikap egoismu
melupakan saat menimba ilmu
yang sama-sama kita gali.

biarkan aku
di bumi nyata
aku ada yang Esa
yang Maha Mengerti lagi Maha Memberi
aku pasti.

CNM, 040412, 1049pm
THMK

04 April, 2012

cahaya kepalsuan...

teman
kenali sinar kepalsuan
agar tidak berpinar mata hati
terjeremus ke lembah noda
penuh ulat-ulat nista.

kawan
halangi diri dari bahang kepalsuan
agar tidak terbakar kulit kebenaran
hangus dalam kemungkaran
penuh bara-bara kemaksiatan.

sahabat
mohon berlindung dari cahaya kesesatan
agar tidak terpesong arah perjalanan
melencong dari destinasi keredhaan
hidup dalam kerugian.

CNM, 040412,0930pm
THMK

perlukah

membuka
selendang sutera
yang menutupi ubun auratmu
kerana sebuah permintaan
mata yang derhaka.

menelanjangi
seraut wajah mulusmu
yang kaujaga rapi dari pandangan
kerana sebuah cinta
yang bertuhankan nafsu.

mengadai
sebuah mahkota berharga
yang hanya suci untuk seorang lelaki bergelar suami
kerana sebuah pengorbanan
membuktikan cinta syaitan.

CNM, 040412, 0858pm
THMK

menangislah


menangislah
jika apa yang kamu tangisi
harganya lebih mahal dari setitis air mata itu.

menangislah
kerana air mata bisa mereda rasa
tenang pasti tiba.

menangislah
menyesali dosa-dosa silam
kerana di sana tiada lagi ruang untuk menangis.

menangislah
tidak buruk rupamu di sisi-Nya
jika keinsafan hadir kembali kepada syariat-Nya.

THMK
CNM, 040412,0840pm

03 April, 2012

aku rela

dipanggil pencuri
kerana sememangnya
aku mencuri hatimu
untuk kusimpan
ke akhir hayatku.

digelar peragut

kerana sememangnya
aku meragut kasihmu
untuk kutahta
ke hujung nyawaku.

terima kasih sayang
kerana mengizinkan
hati dan kasihmu
kumiliki hingga saat ini.

CNM, 030412, 1047pm
THMK

telah diutuskan

telah diutuskan
janji-janji ke syurga
janji-janji ke neraka
perkiraan pahala dan dosa
dalam catatan yang Esa.

jadi usah kita lupa
ayat-ayat mana yang ingin didusta
kerana persaksian segala anggota
atas apa yang dikerja
di dunia.

Ya Allah
kurniakan keredhaan-Mu
untuk kami semua
jangan sesekali kami dijemput dalam keadaan hina
dalam jaga
dalam lena.

CNM, 030412, 0924pm
THMK

02 April, 2012

Tuhan Sengaja

Tuhan sengaja
menduga kita
dengan ragam cinta
deraian air mata
melodi gelak tawa
mengukur kesabaran jiwa.

Tuhan sengaja
menduga kita
dengan anugerah tak disangka
musibah datang melanda
keburukkan datang menimpa
mengukur keimanan di dada.

Tuhan sengaja
menduga kita
dengan harta berganda
akan terbitkah tamak haloba?
terjadi kedekut menderma
tiada ucapan syukur kepada-Nya.

Tuhan sengaja menduga sepanjang jalan menuju kepada-Nya.

CNM, 2/4/12, 6.31pm
THMK

pilih

di hadapan
terbentang jalan
jalan kepalsuan penuh kenihmatan sementara
seringkali menggoda rasa
memperdaya
ke neraka.

di hadapan
terbantang jalan
jalan kebenaran penuh keredhaan abadi
membawa rahmat berpanjangan
memimpin tangan
ke syurga.

pilih berpandukan firman Allah
pilih berlandaskan sabda junjungan besar kekasih Allah
yakini selamat dunia dan akhirat.

CNM, 010412, 1038am
THMK