Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

26 September, 2013

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

...kukira konsep memakmurkan, idea Tun M bertepatan, boleh diterapkan, dalam kehidupan harian, ya, Tun M cuba memakmurkan negara serantau yang berjiran, dan negara turut mendapat kesan kebaikan, jadi mengapa tidak kita memakmurkan yang duduk bersebelahan atau dengan kata lain rakan-rakan, jika orang di sekeliling kegembiraan, bukahkah kita turut mendapat kesejahteraan...?

CNM, 26/9/13

Susu

Susu

bayi minum susu ibu
ada sentuhan anak ibu
timbul rasa keakraban di situ
juga penuhi nutrisi bayi itu
bayi sihat menggebu

kauminum susu ibu?

hais! Dah tua-tua tak malu
masih nak minum susu
apa salahnya minum susu?
dah tua-tua lagi perlu
dapatkan kalsium bagi tulangmu itu

aku minum susu!!!

CNM, 25/9/13

dalam cermin kaca

dalam cermin kaca

diserahkan
sekeping hati dengan rela
bukan untuk jadi hiasan
diperaga dalam cermin kaca hatimu
cantik terjaga tak diperguna...

diberikan
kesetiaan penuh keikhlasan
bukan untuk jadi bahan pameran
tersimpan dalam cermin kaca nafsumu
suci terbela tak diharga...

CNM, 25/9/13

Ikut Malam

Ikut Malam

hari ini
aku terlalu banyak
ya, terlalu banyak berbicara
tanpa sedar malam telah dewasa
yang memerhati tanpa sepatah kata...

aku terfikir mengapa?

ada baiknya diam seribu bahasa
tak perlu berkata apa-apa
lihat dan dengar saja
yang baik simpan
yang buruk buang...

CNM, 24/9/13

50pp: Motivasi Malam

50pp: Motivasi Malam

...jujur berkata, ikhlas menyata, hindari beragenda, jauhi membawa cerita, tidak sesekali bersandiwara, elakkan sengketa, memungkinkan kita diterima, tiada syak wasangka, tidak dituduh berpura-pura, itulah sepatutnya diterima, bila mengamalkan sifat mulia, sikap boleh dipercaya, bukan bermuka-muka, mengada-adakan cerita, menokok tambah perisa, contohi junjungan besar kita, mudahan mendapat reda Yang Maha Esa...

CNM, 24/9/13

Melambai Pulang

Melambai Pulang

senja bertandang
siang hilang bahang
unggas-unggas bersiap pulang
mencari anak-anak di sarang
hari sudah lewat petang...

senja melambai pulang
di mana dirimu seorang
ingat tak lagi jalan pulang
ingat tak orang tersayang
tersungguh malang
jika masih bermain wayang...

pulang sebelum dijemput pulang.

CNM, 24/9/13

Laut Kasih 332

Laut Kasih 332

kupintal buih-buih rindu
yang kukutip dari pesisir pantai kalbu
kujadikan selendang cinta
buat menghiasi
ubun kesetiaanmu...

kujalinkan kuntuman kasih
yang kukutip dari kebunan hati
kujadikan kalungan cinta
untuk kukalungkan
ke leher kejujuranmu...

damailah laut kasih kita.

CNM, 24/9/13

Penangan Kari Kambing

Penangan Kari Kambing

malam tadi cicah roti canai
dengan kari kambing
enaknya tergeleng-geleng,

pagi tadi cicah roti bakar
dengan kari kambing
lazatnya tergeleng-geleng,

petang ni
terumbang-ambing
panas di dalam melembing
penangan kari kambing...

CNM, 24/9/13

Laut Kasih 331

Laut Kasih 331

laut mana tak bergelora
laut mana tak dibadai taufan
namun pesisir pantai cinta
terjaga dek bakau kepercayaan
terlidung dek pulau kesefahaman
dan delta-delta rindu bercantum
menjadi kasih sayang subur
menghiasi laut kasih kita...

CNM, 24/9/13

Laut Kasih 330

Laut Kasih 330

saat berjauh denganmu
bayu laut kasihku seakan sendu
bertiup sepoi lesu
enggan memainkan lagu
lagu cinta engkau dan aku...

saat terpisah dek waktu
ombak laut kasihku seakan pilu
menderu lemah layu
enggan mendebur irama syahdu
irama kasih engkau dan aku...

kembalilah sayangku
usah biarkan aku menunggumu.

CNM, 24/9/13

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

...kita semua ada peluang dan kesempatan, mengecapi nikmat anugerah Tuhan, walau di dunia penuh pengujian, namun di akhirat telah dijanjikan, balasan akan kebaikan, jalannya telah dicontohkan, jaga ketakwaan, mudahan akan jadi kita jutawan, meninggalkan segala larangan, mengerjakan segala suruhan, kedua-duanya dikerjakan tanpa kegagalan, dan tiada satu pun janji-Nya yang didustakan...

CNM, 24/9/13

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

...sesalan, keinsafan, biarlah hadir dari dalaman, kemahuan sendiri kembali ke pangkal jalan, ia kerana nur dari anugerah Tuhan, tiada paksaan, tiada sebab lain yang menekan, andai kesedaran atas sebab keterpaksaan atau atas sebab desakan, ia tidak akan berkekalan, perubahan hanya kerana inginkan perhatian, pun mungkin hanya untuk menutup segala kesalahan...

CNM, 24/9/13

Laut Kasih 329

Laut Kasih 329

malam yang sepi begini
aduhai dinda
hati merintih ingin memeluk kasih
berbaring di ribaan
melepas rindu seharian...

malam yang dingin begini
aduhai dinda
naluri mengelejat ingin bermanja
berpelukan menghangat asmara
beradu dalam keasyikan membaja cinta...

laut kasih tak sunyi selamanya.

CNM, 23/9/13

50pp: Motivasi Malam

50pp: Motivasi Malam

...semua orang ingin berhati tenang, tidak bimbang, hidup riang, dan ini bukan senang, tak juga terlalu susah jika dirancang, cubalah jangan berhutang, orang kata gali lubang tutup lubang, kalau dah terlibat situasi ini memang malang, sepanjang masa memikir tentang wang, berbelanjalah ikut kemampuan dari mencipta masalah bagi jangka masa panjang...

CNM, 23/9/13

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

...jika kita telah memilih, jangan sesekali merintih, belajarlah menyemai kasih, tak perlu orang lain terhegeh menagih, sepatutnya kita memberi lebih, bukan memberi pedih, pun bukan memberi sedih, usah menyisih, walau bertatih, berusaha dengan yang tercanggih, orang pun tak akan mendidih, hilang perih, mudahan hubungan sesama kembali pulih, awan pun memutih...

CNM, 23/9/19

Laut Kasih 328

Laut Kasih 328

semakin lama
puing rindu terenap
semakin pejal teras kasih,

semakin lama
ampaian cinta terhening
semakin jelas dasar kasih,

terwarna rona bahagia
di alam laut kasih kita
anugerah berharga,

Syukur Ya Allah.

CNM, 22/9/13

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

...kepayahan dalam kehidupan, biasa kedengaran, seringkali ia membawa rasa tertekan, cuba bertenang dengan lapangkan fikiran, adakan perancangan, atur strategi mapan, rujuk yang lebih berkepakaran, kaji kelemahan dan kekuatan, apa peluang dan halangan, tentu ada jalan keluar yang dapat menyelesaikan, setiap sesuatu itu ada kesukaran, anggaplah ia sebagai catu cabaran pengujian...

CNM, 22//9/13

Laut Kasih 327

Laut Kasih 327

kita dari
lembah berbeza
lembangan berbeza
meredah denai
mematah onak
menuju puncak sama...

dan di sana
alam laut kasih mewarna
kita nikmati indah panorama
asyik dalam cumbuan kata
terbuai dalam gelora asmara
engkau dan aku tertakdir bersama...

CNM, 21/9/13

22 September, 2013

Laut Kasih 326

Laut Kasih 326

aku ingin
berbisik kepada malam
tolong sampaikan pesan
bahawa kedinginan
membaja rindu
pada sang ratu...

aku ingin
memeluk erat kamu
menyerap hangat tubuhmu
akan lenaku tidak membeku
terus hidup melayan mimpi
indahnya panorama cinta
dari naungan laut kasihmu...

CNM, 19/9/13

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

...mohon kemaafan, memang sifat dimuliakan, sedar akan kesilapan, terlanjur dalam tingkah perbuatan, pun juga mungkin dalam tutur perkataan, hendaknya beriring rasa sesalan, sungguh-sungguh tidak akan mengulangi kekhilafan, ikrar dari lubuk perasaan penuh keinsafan, namun amat dikesalkan, manis bibir hanya mainan menghiasi kepuraan-puraan, sedang karat  semakin menebal  menghitamkan sekeping rasa keikhlasan... 

CNM, 19/9/13

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

...rezeki, ya benar rezeki datang dari Ilahi, takdir yang tercatat sejak azali, namun diberi ingatan agar kita mencari, bertebaran di muka bumi, menghayun kudrat tangan dan kaki, kerana yang secupak tak akan jadi segantang hanya dengan memerhati, gerakan diri, usaha lebih lagi, rezeki datang melimpah ruah membanjiri, yakini janji-Nya pasti...

CNM, 19/9/13

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

...mohon kemaafan, memang sifat dimuliakan, sedar akan kesilapan, terlanjur dalam tingkah perbuatan, pun juga mungkin dalam tutur perkataan, hendaknya beriring rasa sesalan, sungguh-sungguh tidak akan mengulangi kekhilafan, ikrar dari lubuk perasaan penuh keinsafan, namun amat dikesalkan, manis bibir hanya mainan menghiasi kepuraan-puraan, sedang karat  semakin menebal  menghitamkan sekeping rasa keikhlasan... 

CNM, 19/9/13

Hipokrit

Hipokrit

aku tak mencubit
jauh sekali nak menggigit
kenapa engkau terasa perit
batin menjerit-jerit
hipokrit...

nyahlah si penghipokrit...

CNM, 18/9/13

Ditendang, aduh!

Ditendang, aduh!

aku berjalan-jalan
di laman maya mencari kawan
diundang ke mahligai indah menawan
dijamu kopi bukan secawan
baik bahasa pemilik rupawan
sangkaku sungguh beriman
Ya Allah mulianya insan...

esoknya aku tergamam
dek kerana dihumban
entah apa alasan
rasanya tiada salah dalam perbualan
mungkin tingkah perbuatan
terusik barang hiasan
tak mengapalah tak kusesalkan...

ramai lagi teman di jalanan.

CNM, 18/9/13

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

...berlapang dada, buka minda, rasionalkan cara, utamakan yang utama, tinggalkan yang tak memberi makna, umpamanya, usah sibuk dengan hal-hal yang tidak membahagia, adalah lebih baik memikirkan hal yang dicita, rancang bagaimana menggapainya, atur strategi cakna, bertindak dengan bijaksana, tentu berjaya, ingatlah di sana belum tentu bahagia, tepuk dada tanya selera...

CNM,18/9/13

Laut Kasih 325

Laut Kasih 325

keluk rinduku melonjak tinggi
berkadar terus dengan haruman kasihmu...

penawaran keasyikan panorama laut kasih
memikat cita rasaku memiliki limpahan kasihmu...

kutingkatkan kuasa beli cintaku
dengan mempertaruhkan seluruh jiwa raga ini...

CNM, 17/9/13

50pp: Motivasi Pagi

50pp: Motivasi Pagi

...hari ini,
adalah realiti,
tempuhi dengan berani,
pasrah dan yakini,
pertolongan Ilahi,
akan tiba tanpa disedari,
bahawa; selepas hujan ada pelangi
selepas tangis ada tawa menyeri,
selepas gelita malam akan muncul mentari,
tidak selamanya kedukaan menyelubungi,
percayalah pada diri,
suntik semangat untuk terus berdiri,
ingatlah kamu tidak sendiri di sini...

CNM, 17/9/13

tersiksa

tersiksa

malam hiba
tak sanggup membuka mata
pohon-pohon bunga
bergoyang tak semena-mena
ada insan beragenda...

malam berduka
sering menyaksi drama
bikinan uda dan dara
dalam tepuk sorak musuh yang nyata
lemas dalam laut nafsu bergelora...

malam berdoa
dijauhi bahang dosa.

CNM, 16/9/13

Laut Kasih 324

Laut Kasih 324

bila irama hindustan
meniti bibir jadi siulan
hati bagai dibelai jemari mulusmu
merindukan bisikan cinta
yang sering engkau utuskan
pada bayu lewat senja dari laut kasihmu...

aku khayal dalam haruman rindumu.

CNM, 16/9/13

16 September, 2013

50pp: Renung

50pp: Renung

...mentari telah meledung, kamu masih temenung?...ayuh! Bendung, segala masalah yang menyelubung, perbincangkan dari awal hingga ke hujung, biar jelas punca yang menyadung, sama-sama fikir jalan berpayung, buat menggalas beban yang tergantung, bawa ke lembah pelupusan untuk dipancung, tanam ia dalam-dalam tanpa selindung, moga harimu tenang tanpa himpitan yang membusung...

CNM, 16/9/13

duhai pilu!

duhai pilu!

Dengarkan olehmu
orang dah tak mahu
nyah dari situ
jangan buat muka tak malu...

aku malu
kamu tak dialu
pergilah jauh-jauh tenangkan jiwamu
aku cadangankan ke awan biru
pun boleh juga ke bulan bintang yang kaumahu...

aku menyokong dengan padu
usah dikacau sesiapa makhluk sepertiku...

CNM, 16/9/13

Malaysiaku Berdaulat

Malaysiaku Berdaulat

telah tercatat
negaraku berdaulat
merdeka bermartabat
peninggalan pejuang hebat
aman damai penuh berkat...

telah maju rakyat
setaraf negara maju barat
meneroka ekonomi alam korporat
menerajui tadbir urus syarikat
kekayaan negara dimanfaat...

telah bersatu masyarakat
membina negara bangsa yang muafakat
kekal maju berdaya saing di seluruh jagat
hindari politik kotor yang memudarat
lenyapkan iklim ukhwah yang berkarat...

Malaysiaku berdaulat
dulu kini dan selamanya membulat.

CNM, 16/9/13

Alam Hijau?

di sini
kulihat alam hijau;
dedaun kembang mekar,
bebunga menabur haruman mawar,
embun menumpang sebentar,
heningnya cahaya memancar,
tubuh minda segar...

di sana
lesap malar hijau;
kelestarian hanya terimbau,
ketenangan dan kedamaian yang tak terbau,
urbanisasi kian meracau,
khazanah alam dikacau,
dek tangan-tangan melampau...

aku rindu pada alam hijau
aku cintai alam hijau
kamu?

CNM, 15/9/13

Trolak

aduh!
setiap kali di sini
tubuh mengerekot
dingin menggigit ke tulang
hangat melayang...

aduh!
bila fajar tiba
dalam ketar gegar
berwuduk sujud kepada-Nya
Ya Allah ampuni segala dosa...

biar sesuci alam desa.

CNM, 14/9/13

14 September, 2013

50pp: realiti bukan fantasi

50pp: realiti bukan fantasi

...pagi-pagi sunyi, embun belum pun pergi, seringkali naluri bolak-balik menghampiri, menghantui diri, denyutan nadi bisa terhenti, menghimpit sanubari, buntu dengan memori, resah gelisah menghadap realiti, serba salah menyelubungi, hidup tiada lagi seri, yang kelihatan hanya tabir gelap bagai jalan mati, rasa ini tegar mencacah damai hati, silap tadbir ranap peribadi...

CNM, 14/9/13

Laut Kasih 323

Laut Kasih 323

ingin aku menitip sepanjang kata
buat mememorikan cerita antara kita
namum kusedari luahan rasa seluas cakrawala
tersimpul dalam indah kata;
"aku cinta kamu dinda"
dalam alam laut kasih penuh warna berbunga...

CNM, 13/9/13

Laut Kasih 322

Laut Kasih 322

tanpa tangki udara
kuselami dalam-dalam ke dasar jiwa
membaca setiap nota
tentang cinta yang dibina
menghiasi mahligai laut kasih kita...

tanpa topeng udara
kuterbang setinggi-tinggi ke langit sukma
membaca bait-bait kata
tentang rindu yang dipelihara
mewarnai bahtera laut kasih kita...

sungguh dinda!

CNM, 13/9/13

Lucu

Lucu

bermodal tingkah bermadu
dijarah tanpa malu,

naik tandu,
diusung pengampu,

tembelang berbau
kelam satu kelambu,

satu dunia tahu
kalbu berdebu,

tercatat padu
dalam diari Yang Satu.

CNM, 13/9/13

OpCantas

OpCantas

pantas
berkas,

panas
merimas,

mereka yang ganas
jangan bagi bertunas,

lega hela nafas
rakyat bebas,

Malaysia teratas
dunia ucap syabas.

CNM, 13/9/13

rentan

rentan

telah kauutuskan bayu
membelai mulus kepercayaan
lalu dipersiapkan suatu daerah
paling indah pernah terlihat
untuk kauhuni...

tapi sayang!

puncak dulunya kebiruan
kini memutih beku
banjaran dulunya kehijauan
kini menguning layu
ternyata bayumu pemalsu...

CNM, 12/9/13

kandung saja

kandung saja

akal ini
telah lama bunting
kandungkan zuriat rasa
silih berganti beberapa purnama
namun belum ada tanda-tanda
air tentuban akan pecah
buat si bidan sastera
menyambut kelahiran puisi
dan seluruh warga maya
menerima selembar bicara...

CNM, 12/9/13

50pp: mana satu dulu?

50pp: mana satu dulu?

...kesetiaan dan kepastian, jadi pertikaian, yang mana perlu hadir menyakinkan, adakah kesetiaan hanya diberi setelah ada kepastian, atau kesetiaan perlu diperlihatkan untuk sebuah kepastian, bukankah kesetiaan tanpa kepastian itu, memberi suatu kelebihan dalam memperoleh kepastian, dan kesetiaan yang diberi hanya selepas kepastian bisa mengundang ketidakyakinan, buatlah keputusan dengan dalamnya pertimbangan...

CNM, 12/9/13

tanpa harapan

tanpa harapan

kutunggu
tanpa secebis harapan
kerana kutahu
tiada kepastian
engkau janjikan...

andai tertakdir
engkau tiba dengan senyuman
termakbullah doa
andai sebaliknya
takdir kita bukan untuk bersama...

pasrah, reda itu yang terbaik.

CNM, 12/9/13

11 September, 2013

Laut Kasih 321

Laut Kasih 321

setelah puas melayan mimpi
kaukejutkan daku dengan senyuman berseri
menghadiahkan kucupan paling berahi
tanda kegirangan hati
lalu aku tertanya apa gerangankah mimpi?

andai ada bahagia di hatimu
syukur kepada Yang Satu
dengan limpah kurnia-Nya itu
laut kasih kita membiru
kaya dengan puing-puing cinta menyatu...

CNM, 11/9/13

Laut Kasih 320


di sudut hati paling istimewa
kugubah kuntuman laut kasihmu
buat mengharumkan kamar rindu ini
dan cintaku padamu kekal mewangi
dari musim ke musim yang kita lalui... 

CNM, 10/9/13

Laut Kasih 319

Laut Kasih 319

dari detik pertama kali
mataku dan matamu
bertemu pada satu titik debar
aku terpersona
lalu menyemai benih cinta
yang aku bajai dengan keluhuran jiwa
telah bercambah tunas-tunas rindu
berkembang berputik dan berbunga
menyerbak haruman kerinduan
membuahkan selaut kasih
yang hingga kini kutatang
buat kaukecapi kasih sayang terbilang.

CNM, 10/9/13

Laut Kasih 318

cintaku marak di laut kasih
menyala di pesisir pantai rindu
menjadi unggun menghangatkan asmara
lalu lemas dalam hela nafas yang satu
terkapai di hamparan baldu...

engkau dan aku tersenyum padu.

CNM, 10/9/13

Laut Kasih 317

Laut Kasih 317

hidup ini
dalam imaginasi
terlalu sepi
tanpamu di sisi
menemani...

hilang melodi
hilang pelangi
hilang mewangi
hilang ikrar suci
laut kasih tak bernadi...

CNM, 9/9/13

Laut Kasih 316

Laut Kasih 316

pada janji
yang tercop mohor laut kasih
tertulis bisikan-bisikan cinta
yang pernah kita perkata
jadi lambang tautan dua jiwa
hatimu dan hatiku
menyatu berpadu...

pada melodi
yang terdebur dek ombak laut kasih
tercipta lagu-lagu rindu
yang pernah kita dendang
kala bercandaran bercumbu
menghangatkan cinta syahdu
buat bekalan pabila terpisah dek waktu...

CNM, 9/9/13

Laut Kasih 315

malam ini kasih
peluklah daku sehangatnya
saling kita berpegang tangan
menyatukan mimpi
mimpi bahagia dalam setiap doa...

malam ini sayang
lenalah ke dada kasihku
biar laut kasihku menyelimut elus
agar engkau terus dibuai mimpi
mimpi bersama selamanya hingga ke syurga...

CNM, 8/9/13

Laut Kasih 314


senja di tepian laut kasihmu
terang dengan cahaya cinta
aku terpaku meramas rindu
mendambakan dekapan kasihmu
yang menghangatkan dingin malam...

senja di tepian laut kasihmu
disapa wangian bayu asmara
lalu membangkitkan kenangan terindah
bercanda berdua bersaksikan purnama
dan malam seakan terlalu cepat dewasa...

asyiknya dinda.

CNM, 8/9/13

Sasau

Sasau

berderau
suara yang parau
meracau
memalu degup seriau.

mulus selembar gebar
yang kauhampar
tercacah dek selumbar
keegoanmu meluncur layar.

CNM, 11/9/13

malunya

malunya

bicara seindah sasterawan negara
ramai terpukau lenggok bahasa
mesej mengesan ke dada
amanat benar belaka
hebat berkarya...

tapi mengapa?
zip seluar dibuka...

aku hanya mampu geleng kepala.

CNM, 11/9/13

Rimau Malaya vs Gajah Putih

Rimau Malaya vs Gajah Putih

saksikan
rimau Malaya
memacak taring
mencakar gading
biar gajah putih
berputih mata
kempunan piala
pesta bola merdeka...

tv9.

CNM, 11/9/13

100pp: Motivasi

100pp: Motivasi

...soal menjaga hati, isu yang cukup dibimbangi, salah menangani, ada yang makan hati, saudara saudari terimalah realiti, bahawa dalam hidup ini, tak semua indah menyeri, menepati naluri, memenuhi kehendak diri, adakala ia menyakiti, ...meminggirkan diri, menyimpan gelojak emosi, membawa kemusnahan potensi, luahkan yang diimpi, memudahkan orang lain membuat pertimbangan memotivasi...

...ibubapa pasti menyayangi, memerhati, menyelidik tingkah anak-anak sendiri, dikhuatiri, tergelincir dari landasan selari, melanggar norma yang disepakati, terjerumus ke lembah yang merugi, gagal berada pada jalan yang membawa puja puji, dan sedari, teguran serta ingatan yang dileteri, walau pahit untuk didengari, di sebaliknya ada hikmah yang menjauhkan kamu dari menyesali...

CNM, 10/9/13

Malam Berhati Walang

Malam Berhati Walang

disuntik noda songsang
matanya buntang terpaksa memandang
menyaksi aroma hanyir disimbah sewenang
mengkhayalkan di kubang-kubang batu bersarang
kaca berdebu membias bayang telanjang
jadi umpan si hidung belang...

terjerat jebakan jalang
terlupa jalan pulang
hanyut di sela kangkang...

makhluk itu bersiulan girang.

CNM, 9/9/13

duhai peneraju

duhai peneraju

mencari titik maju
mengembara sudah tentu
utara selatan kamu tuju
timur barat kamu lalu
aku setuju
bermusafir menimba ilmu...

adakah akan ketemu?
titik maju
satu-satu melulu
sendirian memburu
tertakdirkah bertemu?
kembali berpadu...

atau semakin berbulu
dek tersiku
pendonggak dagu
yang bercelaru
memilih hala tuju
memartabat perjuangan merapu...

bukankah lebih jitu?
di meja bulat bertemu
duduk memilih jalan yang satu
dijajat satu persatu
dalam bulatan tekad setuju
dari aku, aku, kamu, kamu...

renungkan peneraju
kamu lebih tahu
aku hanya menyeru!

CNM, 9/9/13

tersimpan

tersimpan

seulas rindu yang tertinggal
kutatang penuh pengharapan
jadikan ia kenangan
yang hati ini terus menyayang
tak sekali kubuang...

telah kutulis
pada setiap perca jiwa
engkaulah yang mencuri raga
selamanya ia di sana
tak terpadam dimamah masa...

kusimpan.

CNM, 9/9/13

08 September, 2013

Dicanang

Dicanang

canang dicanang ke serata alam
terhebah kehebatan pencak silatmu
musuh merasa gerun
kecut dada terpegun
dek khabarnya terlalu agung...

sesekali
lihat pada pasak kekudamu
ampuh atau sumbang
kelak belum bertarung
tergolek jatuh tumbang
digelak orang...

CNM, 8/9/13

Puisi pada Tasik

Puisi pada Tasik

bait kata umpama air hujan
mesejnya umpama sejatan
persuratannya umpama autotrof
persiratannya umpama hetertrof
idea umpama matahari
yang menghidupkan sebuah ekosistem puisi...

indahkah tasik?;
andai air hujannya mengering
andai autotrofnya diracun
andai hetertrof dituba
begitulah rupa puisi
jika ekosistemnya dikhianati...

CNM, 8/9/13

biar tahu

biar tahu

miliki jajahan takluk
tentu ramai pengikut
istana luas dari ufuk ke ufuk
ukirannya engkau yang bentuk
seninya engkau yang dirujuk...

sayang!
jika buah tanganmu herot-berot
seni yang kauwariskan hilang
hanya gah pada percakapan
sedang amali lintang pukang...

CNM, 8/9/13

Laut Kasih 313

Laut Kasih 313

kasih
bahasa puitis
tidak perlu lagi
bila hatimu dah hatiku
bercumbu di sebalik kelambu...

kasih
bahasa romantis
tidak penting lagi
kala cintamu dan cintaku
menyatu di ranjang beradu...

nikmatnya laut kasih engkau dan aku.

CNM, 4/9/13

Laut Kasih 312

Laut Kasih 312

jika reromaku bisa menari
telah lama kubenarkan ia menari
mengikut irama tiupan bayu laut kasihmu
biar cinta dan rinduku berahi
menanti penuh ghairah
bisikan asmaramu
dan jadi meremang naluri kelelakianku...

asyik!.

CNM, 1/9/13

Laut Kasih 311

Laut Kasih 311

pada malam gelita
pada malam tanpa cahaya
aku tak perlukan lentera
aku juga tak perlukan neon kotaraya
cukup kukenali dirimu dari deria
wangian rambutmu
haruman sekujur tubuhmu
segar di jiwa...

CNM, 31/8/13

Laut Kasih 310

Laut Kasih 310

malam ini kasih
ingin aku mengajakmu
berbicara berdua di kamar cinta
berkata tentang rindu
melerai rasa terpedam di kalbu...

malam ini kasih
ingin aku dipeluk kasihmu
biar ia lena dibuai asmara
bermimpikan rona-rona bahagia
dalam bajaan laut kasihmu...

CNM, 29/8/13

Laut Kasih 309

Laut Kasih 309

saat aku termangu
melayan rasa rindu
pada luasnya laut kasihmu
menerjah haruman rambutmu
terpampang sekuntum senyumanmu
dan lirikan nakal itu peniup gelora cintaku.

CNM, 27/8/13

Laut kasih 308

Laut kasih 308

sepertinya
bulan dan mentari yang gerhana
gelora laut kasih sesekali membadai
terhempas aku ke pesisir pantai rindu
dan kurenangi kembali menuju pulau cintamu
kerana kutahu di sana
engkau mendepangkan tangan
menungguku tiba menghangatkan asmara...

CNM, 26/8/13

Laut Kasih 307

Laut Kasih 307

dalam redup sinar matamu
ada hangatan bayangan laut kasih
yang kurindu
yang kudamba
saat kita tak bersua...

membendung rindu mengasyikan jiwaku
mengenangmu suatu nikmat bagiku.

CNM, 23/8/13

50pp: rungkaikan

50pp: rungkaikan

....jika telah tiada lagi secebis rasa di hati, sisa-sisa kasih yang suci meruap pergi, jangan sesekali dikhianati, cinta kasih sayang suatu anugerah yang hadir tanpa disedari, tiba dan menginap di sudut hati, bercambah, berputik dan berbunga dari hari ke hari, dan rungkaikan kasih yang bersemi tanpa menyakiti, itu memaruahkan diri...

CNM, 8/9/13

Ingin

Ingin

ingin aku
terbang bebas sepertinya burung
hinggap dari ranting ke ranting
jauh dari hiruk pikuk keduniaan
menikmati indah alam...

ingin aku
terbang tinggi sepertinya helang
jelas memandang dengan mata tajam
mencari sudut paling tenang
buat merawat hati yang walang...

ingin aku bebas dalam batasan.

CNM, 7/9/13

Torpedir kata

Torpedir kata

yang diberi akal sempurna
guna dengan bijaksana
guna dengan cakna
usah suka mentorpedir kata
kelak diri menjatuhkan wibawa...

di mana budibicara?
di mana timbang tara?
jadilah yang realistik bukan bombastik
jadilah yang rasional bukan emosional
sabar itu keperibadian terindah...

CNM, 6/9/13

kembali

kembali

tak terlambat
selagi nyawa belum di halkum
kembalilah...

taubat
memohon keampunan
bukan hanya pengucapan
ia perlu seiring amal perbuatan...

menyesali sungguh-sungguh
melontar jauh-jauh
segala yang keruh
menjaga diri
mentaati syariat Ilahi...

CNM, 6/9/13

dua kaki

dua kaki

berpijakkah?
atau terawang-awangan...

realistik strategik logik
pasti kamu memetik...

aku yakin dan pasti
percayalah pada diri.

CNM, 6/9/13

kasihani diri

kasihani diri

apalagi nak ditangisi
tentang cinta yang dikhianati
ia meracun sanubari
memakan hati
rugi...

sedang yang menghianati
ketawa melepaskan diri
tinggalkan sisa yang membenci
tiada dipeduli
rugi...

kasihani diri
kamu ada Ilahi.

CNM, 5/9/13

biasa

biasa

membilang jari jemari
menghitung detik waktu
tanpa sedar
malam Jumaat kembali
senyuman meniti
sunyi sepi...

CNM, 5/9/13

Kemucup disalahkan

Kemucup disalahkan

kononnya
dia pemain bola
larinya berdesup bertenaga
tak terkejar tak terjaga
dah menang banyak piala
kalau disenarai panjang berjela...

tetiba
dia rasa tertikam jiwa
sepak bola asyik tak kena
disalahkan kemucup mencucuk kakinya
kalau tak tahu main
jangan kemucup disalahkan...

kemucup tak tahu apa ada di hatimu.

CNM, 4/9/13

Yang Menyimpang

Yang Menyimpang

yang menyimpang
barangkali kurang kasih sayang
untuk tarik perhatian dia meragam
dengan harapan ada yang melayan
hatinya girang...

yang menyimpang
barangkali suka kejanggalan
untuk lain dari yang lain
dengan harapan menongkah kebiasaan
hatinya kembang...

yang menyimpang
barangkali atas kedangkalan
kerana kurang pengetahuan
tapi telah terbiasakan
dianggapnya tak menyalahi hukum hakam...

CNM, 4/9/13

Cinta dan Air Mata

Cinta dan Air Mata

Opp!
jangan sesekali
engkau membeli cinta dengan air mata
kerana cinta itu bukan dari jiwa
ia hanya dari rasa kasihan yang alah pada air mata.

Opp!
jika cinta berteman air mata
itu cinta dusta penuh sandiwara
cinta dari jiwa
ia bawa bahagia.

opp!
jangan bazir air mata
pada cinta pura-pura
punca sengsara
ia bazirkan masa.

CNM,3/9/13

Bila Malam

Bila Malam

bila malam
datang yang hitam
lorong-lorong kelam
diidam sang khadam
mengecap yang haram.

bila malam
mata nak terpejam
tenaga siang dihadam
rehat bisa memadam
penat yang bungkam.

bila malam
puisi menerkam
serata alam
baris-baris kalam
terakam.

CNM, 3/9/13

mengulangi

mengulangi

sekali terlalu kuat
melekat...

harumanmu pekat
tampanmu memikat
godaanmu dahsyat...

seleraku meningkat
kakiku mengelejat
melangkah mengulangi hajat...

ooh! teh tarik kasih sayang,...hebat.

CNM, 3/9/13

Apa Kata!

Apa Kata!

yang banyak 'minyak'
mula jalan kaki
boleh juga kayuh basikal
pasti 'minyak' akan turun
kesihatan terjaga
jimat belanja...

hah! tak percaya
kena cuba...

CNM, 3/9/13

dua wajah

dua wajah

tersenyum pagi ini
tauke-tauke minyak
masuknya banyak...

kelat pagi ini
pengguna-pengguna khalayak
bayarannya banyak...

dua wajah kerana minyak.

CNM, 3/9/13

"Minyak" turun, "Gula" naik

"Minyak" turun, "Gula" naik

mana ada orang suka 'Minyak" naik
semua tak suka
tembam muka
besar paha
pinggang tiada ...

awas jika"minyak" turun
itu tanda penyakit "gula" naik...

kih...kih!

CNM, 2/9/13

Puisi Minyak

Puisi Minyak

berdesup puisi minyak
macam orang naik minyak
meluru macam orang dikejar pontianak
muncul di laman-laman dengan banyak
mencoret rasa hati yang menyesak
marah mula meledak
bebanan dihentak
rakyat diasak...

sakit mula membuak.

CNM, 2/9/13

dia

dia

dia mula berdehem
dia mula batuk
dia mula lelah...

aku yang resah
aku yang takut
aku yang risau
dia mati tengah jalan...

cnm 2/9/13

Cinta Ingin Mampir

Cinta Ingin Mampir

kenapa sukar ia hadir
cuba kamu fikir;

bila ada rasa kasih
cepat-cepat kamu sisih
konon tak mahu ketagih,

bila ada rasa rindu
cepat-cepat kamu tutup pintu
konon tak ingin dibelenggu,

bila ada rasa sayang
cepat-cepat kamu buang
konon tak nak dikata gila bayang,

bagaimana cinta ingin mampir?

CNM, 1/9/13

engkau suka, dia suka

engkau suka, dia suka

kausuka tapai beras
kausuka pulut durian
kausuka pengat pisang
kausuka air berkarbonat
kausuka cendol pulut tapai
kausuka bubur pulut hitam
kausuka teh tarik tiga lapis
kausuka segala yang manis-manis

diabetes akan suka engkau!
kausuka dia?

CNM, 1/9/13

50pp: Menuding

50pp: Menuding

...seringkali kita jumpa, ramai manusia menuding salah siapa, sedang kita tak pernah diajar berbuat derhaka, dari mana datangnya sifat celaka, dan telah difirmankan-Nya, demi masa rugi manusia, kita sendiri memilih jalan binasa, leka alpa, sedar tetapi membutakan mata, memekakan telinga, hanyut dalam nafsu yang bergelora, gagal meletak diri untuk direda...

CNM, 1/9/13

rasmi

rasmi

merah putih biru kuning
empatbelas melintang jalurnya,

tiada yang lain
inilah yang rasmi.

CNM, 31/8/13

Kecah

Kecah

mereka bernama gah
mereka berilmu gagah
mereka lebih terdedah
buta sejarahkah?

dikecah
menyemai pecah belah
mengundang padah
menempah punah
dengan wadah menongkah...

duhai penongkah
apa yang engkau cuba ubah?

CNM, 31/8/13

tak tertebus

tak tertebus

wajah-wajah hiba
pewaris pejuang negara
tersiksa dalam reda
mengalir air mata
tak tertebus dek pingat negara
kerana hilang nyawa bukan sandiwara...

engkau yang berkata
kembalikan mereka pada anak isteri tercinta
jika tidak engkau penulis skrip perosak bangsa.

CNM, 31/8/13

Gaul Jadi

Gaul Jadi

kulekatkan api dapur gas
kuhangatkan kuali
kutuang minyak masak
kucampak ikan masin jeruk
kumasukkan cabai tumbuk
kucampurkan bawang besar
kutaburkan nasi putih
kugaul hingga sebati
kuhiasi dengan daun sup
pergh! wangi...

jadilah nasi goreng ikan masin.

CNM, 31/8/13

Malam Merdeka

Malam Merdeka

ramai teruna dara
berjanji setia
ingin bebas merdeka
membina bahagia
dengan mengadai mahkota
kesucian ibunda...

Ya Allah jauhkan bala.

CNM, 30/8/13