Suka Tak Suka VI
Suka tak suka
sejarah memberi fakta
negara merdeka dek persetujuan bersama
kesatuan hati terbina
demi kedaulatan negara.
Suka tak suka
negara kita berbilang bangsa
tolak ansur perlu diperkasa
harmonikan suara
perpaduan diutama.
Suka tak suka
kita punya pelbagai budaya
asimilasikan kelainan cara
menerima seadanya
tiadalah sengketa.
Suka tak suka
perlembagaan telah diterima
jadikan asas pegangan semua
hormati hak yang sama
keadilan terserlah jua.
Suka tak suka
kita punya sistem beraja
kesetiaan perlu dijaga
mendaulat payung mahkota
kedamaian terbela.
Suka tak suka
kita dijamin kebebasan beragama
hormati kepercayaan di dada
usah meniup bara
kelak terbakar rupa.
Suka tak suka
kita ada penguatkuasa
undang-undang harus dibela
menegak yang norma
menolak onar dicipta.
Suka tak suka
kita warga negara
amalkan prinsip sopan bersusila
tiada yang akan terasa
senyuman diberi percuma.
Suka tak suka
kita sebahagian negara
buruk laku buruk nama
jagalah adab budaya bangsa
negara akan dipandang mulia
Suka tak suka
tepuk dada tanya selera
semuanya di hati kita
tiada siapa mampu memaksa
kita mampu mengubahnya.
CNM, 16/8/13
No comments:
Post a Comment