Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

29 September, 2012

Cerita Wau

Cerita Wau

Wau

Wau itu
kamu yang kawal selia
sepertinya anak-anak
kamu yang mencorak
ke mana melayang
tinggi di awan
atau
tidak bisa terbang.

Wau itu
kamu yang terbangkan
bertalikan tangsi ajaran
jangan biar dipukul angin kesesatan
ia bisa merobek keimanan
terhumban ke lembah kehinaan
dimurkai Tuhan.

CNM

Hidup Umpama Wau

pabila lahir
kita seakan terbang
ke kiri dan ke kanan
mengikut lenggang lengguk angin
andai gagal mengawal diri
terhumban ke bumi
andai pandai tadbir urus diri
ke dada langit terbang tinggi...

CNM

Wau II

Wau yang aku kenali
badanmu dari buluh duri
diraut rapi dek tangan berseni
ukuran ditepati segenap segi
dicantum kemas berhati-hati
dipakaikan kertas berwarna-warni
indah pelbagai corak menghiasi
dipasangkan teraju dari tali tangsi
menunggu angin terbang tinggi
megah di dada langit bak pelangi
tersenyum riang pemilik berpuas hati...

CNM

Layang-Layang

Layang-Layang

diasak membuta tuli
layang-layang terputus tali
terbang tak kembali
menyerah diri
pada rakusnya angin..

CNM

Belanjawan

Belanjawan

sudah dibentang
sungguh menawan
bonus satu setengah bulan
bantu golongan bawahan
kurangkan beban...

anak-anak sekolah dapat 100 ringgit seorang
syukurlah rakyat diutamakan
semoga negara terus aman
dapat hidup tenang
dapat beribadat kepada Tuhan...

aku dengar lebih kurang
dalam perjalanan pergi Seremban
esok baca lagi dalam akhbar harian
pemberian macam-macam
kerajaan prihatin janji ditunaikan...

esok perdana menteri turun ke Paroi
bertemui rakyat yang semakin boroi
rasanya amat berbaloi
mengekalkan kerajaan yang sepoi
rakyat diutamakan bukan mengantoi...

CNM

TIUB

TIUB

sahabat
sekali baca apa yang sahabat fikirkan
tentu tiub motorsikal bukan?
lebih-lebih lagi
ada iklan tepi jalan
dengan nombor telefon bagai...

tapi teman
kalau teman lalu kawasan Ulu Bendol
tiub itu lain maknanya
tiub itu telur itik ulu bendol
mat-mat rempit jangan terperdaya
jaga-jaga kalau pancit nak ke mana?...

CNM

Percumo bulih dose

Percumo bulih dose

ditulih pasa saing ambo
katonyo dah meningga dunio...

kewe pon tanyo kaba
ruponyo sega buga...

percumo bulih dose
ado lagi puok hok tak takuk Tuhe...

CNM
p/s baca ikut loghat Klate...

Laut Kasih 214

Laut Kasih 214

tanpa pandangan
kubisa mengesan kehadiranmu
kerana wangian laut kasih
telah melkat di sukmaku.

tanpa bicara
kumampu mengenali dirimu
kerana sentuhan laut kasih
telah sebati di jiwaku.

CNM, 26/9/12, 8.510pm
THMK

setiaku di sini

setiaku di sini

setiaku di sini
menanti kamu menulis puisi
menyampai bicara hati
fantasi atau realiti
kutetap teliti.

setiaku di sini
menggarapkan kamu puisi
berpesan dari hati ke hati
realiti atau imiginasi
baca jika sudi.

CNM

jarum berputaran

jarum berputaran

jarum jamku terus berputaran
tik! tak! tik! tak!
senada
tak pernah toleh ke belakang
sentiasa melangkah ke depan
semput sudah hari ini aku berhambatan
mengejar tak pernah kedapatan
izinkan daku mengusir lelah yang menyesakkan
salam kemaafan
salam selamat malam teman
teruskan menulis apa saja yang diilhamkan
esok saja kudatang membaca garapan...

CNM

Laut Kasih 213

Laut Kasih 213

sebelum terlena
aku ingin mengucup ubunmu
menghirup wangian rerambut
menyerap hangatan dakapan
menyuburkan mimpiku
dan dipenuhi wajah laut kasihmu...

sebelum terjaga
aku ingin memasuki alam mimpimu
menulis puisi-puisi cinta
melukis potret janji setia
menggarap syair asmara
dan mendodoi lenamu dengan lagu laut kasih kita...

CNM, 25/9/12, 11.02pm
THMK

Pak Aji Mak Aji

Pak Aji Mak Aji

maknya!
maknya!
paknya menang lagi...

paknya!
paknya!
maknya tak senang...

maknya dah tau
paknya menang lawan dam aji...

CNM

Lambat Cabut

Lambat Cabut

dek lambat cabut
tak dapat makan
tak dapat buat kuih talam
tak dapat buat tapai
ubi kayu dah jadi kayu...

dek lambut cabut
tak dapat habuan
tak dapat meraikan
tak dapat berbelanja sakan
pencuri dah kena tahan...

dek lambat cabut
tak dapat tahan
tak dapat menelan
tak dapat beri senyuman
gigi berlubang berdenyut sakan...

CNM

Laut Kasih 212

Laut Kasih 212

malamku dan malammu
menyatu dalam mimpi syahdu
deburan ombak laut kasih yang bertalu
memecah kesunyian alam bawah sedarku
tersentap lamunanku menerawang di awan biru
bertemankan pelangi cinta biasan cahaya kasih sayangmu...

CNM, 25/9/12, 10.15pm
THMK

jangan gelak

jangan gelak

sayang!
sepanjang pemergian abang
sayang tolong tengok-tengok kebun abang
tolong petik buah yang dah masak...

abang!
bila masa abang buat kebun?
sayang, tak pernah tengok abang berkebun

sayang!
kebun abang dalam muka buku
tu hah! dalam laptop tu...

CNM

Semak Meninggi

Semak Meninggi

jika semak mula meninggi
menutupi mata akalmu
pergilah bercuti...

jika semak telah meninggi
menakluki dada hatimu
pergila jumpa pakar psikiatri...

semak akan jadi hutan andai tak diperduli.

CNM

Dalam semak waktu

Dalam semak waktu

hidup makin bercelaru
diburu dan memburu
haru biru
langkah tak menentu
fikiran membeku
bicara bisu
akal tepu
hu hu hu...

CNM

Buat-buat

Buat-buat

Ramai orang melihat
tentang bukti kebenaran
cuma buat-buat tak melihat
kerana ada muslihat...

Banyak orang mendengar
tentang tanda kebenaran
cuma buat-buat tak mendengar
kerana ada onar...

CNM

Terima

Terima

terima hakikat
ketentuan dari-Nya
apa yang terjodoh untuk kita
dialah pelengkap kehidupan ini
perancangan Ilahi terbaik walaupun pahit...

bimbing dia
kala kamu merintih dia jadi penenangnya
tika kamu tersisih dia jadi penemannya
saat kamu tersenyum bangga dia jadi penyerinya
terima seadanya...

CNM

Laut Kasih 211

Laut Kasih 211

kerananya keasyikan laut kasih ini
pernahkan kita ketemu sebelum di sini
seakan beribu tahu telah mengenali
berpadu memegang janji
mudahan ke akhir nanti.

kerananya kenikmatan laut kasih ini
aku percaya kita ditakdirkan ada di sini
saling mengenali saling menyayangi
memadu kasih sejati
anugerah Ilahi.

mudahan kita ditakdirkan bersama ke firdausi.

CNM, 24/9/12, 10.46pm
THMK

Tak Perlu Menunggu

Tak Perlu Menunggu

kerana janji-Nya
tak mungkin didustakan
tak perlu menunggu
rerambut memutih
untuk memohon keampunan
kerana yang muda belia
juga dijemput kembali
tanpa disangka-sangka...

CNM

Di dalamnya ada

Di dalamnya ada

Di dalam senyuman itu
aku lihat ada garis-garis syukur
yang terpancar pada sinar matamu.

Di dalam tangisan itu
aku mendengar ada suara keinsafan
yang teresak sendu pada suara sesalanmu.

CNM

Tahu

Tahu

Kautahu akutahu
tahu sama tahu
aku tak tahu apa yang kamu tahu
kamu tak tahu apa yang aku tahu
mahu kamu tahu apa yang aku tahu?
hah! tak mahu tahu
bagus! jangan ambil tahu
mahu beritahu apa yang kamu tahu?
hah! tak apa aku tak nak tahu.

Tapi jangan buat-buat tahu
kalau tak tahu
cakap tak tahu
senang aku tahu
senang nak memberi tahu
apa-apa yang kamu tak tahu
dan kalau aku tak tahu
aku tanya orang tahu
sebelum memberi tahu
apa yang telah aku tahu
supaya kamu jadi tahu.

Kamu tahu
apa yang aku beri tahu?
kalau tak tahu
kamu tanya yang tahu
supaya aku tak perlu memberi tahu
perkara yang kamu tak tahu
setelah aku memberi tahu
kamu tetap tak tahu
aku pun tak tahu
apa lagi yang kamu tak tahu
aku rasa kamu pun tak tahu
apa yang kamu tak tahu...

tahu?...

CNM

Menyuara dengan bisu

Menyuara dengan bisu

aku bukan sesiapa
hanya penari jemari semu
punya suara kerdil
tapi mahu jua menyuara
walau bukan sepopular menteri perdana
walau bukan sehebat sasterawan negara
laman maya
jadi wadah membega jiwa
sekurangnya ada yang membaca...

CNM

Mampukah?

Mampukah?

di saat hati tersiat
dek mainan janji keparat
kamu memberi senyum yang paling berdarjat...

ketika dikhianati
dek manusia keji
kamu melafazkan kemaafan dengan seikhlas hati...

pabila dihina
dek insan durjana
kamu duduk menahan sabar dengan tenang jiwa...

hebat kamu andai mampu.

CNM

Hari ini pergi, Esok menanti

Hari ini pergi, Esok menanti

senja melabuh tirai
telah pergi satu lagi hari ini
meninggalkan kita tak kembali
apakah ada senyuman
untuk menyambut hari esok yang menanti
andai masih ada yang terbuku di hati
segeralah lepaskan ia pergi
kesibukan dengan keluhan emosi
teramat rugi kerana esok belum pasti
menjanjikan seri...

CNM

Senja menyampai pesan

Senja menyampai pesan

andai tiba kegelapan
susuri jejak-jejak cahaya semalam
agar ketemu jalan pulang.


andai kamu di dalam cahaya terang
berhati-hati kerana kegelepan melingkari
kelak terlanggar syariat Ilahi...

CNM

Teringinku

Teringinku

pabila panas
menghirup cendol tapai pulut
di bawah payungan rimba rimbun bersamamu...

pabila kedinginan
meneguk kopi jantan tiga dalam satu
di bawah limpahan cahaya purnama denganmu...

dan kita sama-sama menikmati nikmatnya anugerah Ilahi.

CNM, 23/9/12, 4.29pm
THMK

Sukar Sangatkah?

Sukar Sangatkah?

sukar sangatkah
memahami kehendak mereka
bukan untuk diri ini
pun bukan untuk dirimu
ketahuilah kehendak mereka
sedarlah ketetapan mereka
mereka yang menanda
mereka yang memberi nilaian
telah kucurahkan segala
aku hanya mampu membantu sampai di sini saja...

kamu berbuatlah seperti mana yang mereka minta.

CNM, 23/9/12, 3.43pm
THMK

Hitam Putih

Hitam Putih

yang putih tak terpadam
kekal dalam catatan-Nya
dijanjikan ganjaran
menyelamat
di hari perhitungan...

yang hitam mungkin terpadam
andai noda dibasuh nur ketakwaan
dijanjikan keampunan
dengan meninggalkan larangan
penuh keinsafan sebelum dijemput pulang...

CNM, 23/9/12, 1.26pm
THMK

Laut Kasih 210

Laut Kasih 210

ingin sekali
kupuisikan bahasa cinta
yang telah engkau bisikkan dalam mimpi-mimpiku...

ingin benar
kulagukan bingkisan cinta
yang telah engkau lafazkan dalam alam bawah sedarku...

dan akan kuperdengarkan kepada seisi alam laut kasih kita.

CNM

Laut Kasih 209

Laut Kasih 209

tanganku dan tanganmu
bertingkah memalu rebana cinta
bergema serata alam laut kasih kita
tiada pernah henti getarannya
mengelus gelora asmara...

CNM

Beri Ruang dan Peluang

Beri Ruang dan Peluang

setiap tutur bicara
setiap aduan sesiapa saja
beri ruang curahan rasa
usah dientengkan
kerana sedikit masa
bisa merubah tindakan mereka...

tak percaya kamu cuba.

CNM

Ganasnya Manusia

Ganasnya Manusia

"aku pernah melihat manusia
dengan gergaji, kapak dan parang segala
memotong-motong, mengerat-mengerat
mengapa-ngapak, membelah-belah
memarang-marang, mencincang-cincang
bukan mereka mengira
janji poket berisi kertas bergambar Gabenor Negara
hari-hari aku berdoa
semoga aku tak menjadi mangsa
namun apa daya akhirnya aku juga dikerja
menunggu masa untuk dibakar manusia"...

perkisahan sebenar sepotong kayu api yang tak berdaya.

CNM

Monyet dan manusia

Monyet dan manusia

manusia rakus membina
hutan dan bukit ditarah sesuka
habitat monyet dinyah begitu saja
ke mana mereka nak meminta?
manusia bising pabila
monyet-monyet mula meronda
masuk pekan cari habuan mereka...

manusia sama macam monyet terkinja-kinja
menganggu gugat ekosistem mereka
aku lihat di Kuala Selangor
monyet dah banyak macam manusia
bukan lagi terasing di dalam hutan dara
boleh dilihat merata-rata
mungkin jadi ancaman satu masa...

CNM

Torpedo Kata-kata

Torpedo Kata-kata

siapapun kita
yang diberi akal sempurna
guna dengan bijaksana
guna dengan cakna
usah suka mentorpedir kata
kelak diri menjatuhkan wibawa
di mana budibicara?
di mana timbang tara?
jadilah yang realistik ikut tempat dan ketika
jadilah yang rasional dalam tindakan sesama...

kesabaran keperibadian terindah.

CNM, 20/9/2012, 11.04am
THMK

Bang! Bang!

Bang! Bang!

Bang! Bang!
dulu masa muda-muda
selalu abang bancuhkan air untuk saya
dengan senyuman suami membancuhkan air...

Bang! Bang!
dulu masa muda-muda
selalu abang urut badan saya
dengan senyuman suami mengurut belakang isterinya...

Bang! Bang!
dulu masa muda-muda
selalu abang gigitkan buah rambutan untuk saya
suami bangkit dari meja makan tanpa senyuman...

Bang! Bang!
nak ke mana tu bang?
kata nak suruh gigit rambutan
nak ambil gigi palsu abang...

isteri tersenyum dengan penuh kasih sayang...

CNM

Bang! Bang!

Bang! Bang!

Bang! Bang!
dulu masa muda-muda
selalu abang bancuhkan air untuk saya
dengan senyuman suami membancuhkan air...

Bang! Bang!
dulu masa muda-muda
selalu abang urut badan saya
dengan senyuman suami mengurut belakang isterinya...

Bang! Bang!
dulu masa muda-muda
selalu abang gigitkan buah rambutan untuk saya
suami bangkit dari meja makan tanpa senyuman...

Bang! Bang!
nak ke mana tu bang?
kata nak suruh gigit rambutan
nak ambil gigi palsu abang...

isteri tersenyum dengan penuh kasih sayang...

CNM

Cerita Telefon

Cerita Telefon

dulu-dulukan
satu kampung satu telefon terpasang
kena pusing-pusing bila mendail nombor rakan
maju sikit tukar jenis tekan-tekan butang,

yang bercinta bergayut sakan
yang kecemasan beratur panjang
ada yang bertengek berbaring memegang ganggang
punya asyik dari malam membawa ke siang,

era sembilan puluhan
telefon bimbit diperkenalkan
saiz punya besar tak muat tangan
punya bangga miliki telefon tangan,

zaman sekarang
telefon semakin canggih tak terbayang
aplikasi pelbagai sistem gelombang
persekitaran semakin tercemar dek aliran gelombang,

kamu tak bimbang?

CNM

Cerita Berus

Cerita Berus

nak dengar cerita berus
banyak jenis berus
orang rajin selalu memberus
pantang nampak berus;

i.
berus gigi
pagi malam setiap hari
senyuman berseri
nafas mewangi,

ii.
berus besi
nak sakat karat dan daki
lantai atau pagar besi
sental sampai peluh membasahi,

iii.
berus sabut
yang ini buat cuci kasut
gosok perlahan-lahan dengan lembut
putih berseri pandangan tak serabut,

iv.
berus plastik
boleh tahan nampak cantik
tak kasar tapi elastik
sesuai berus bahan sintetik,

puisi pun kena berus...

CNM

dimamah usia

dimamah usia

kusedari
kian lemah memori
banyak yang tak diingati
lupa itu ini
susahkan diri sendiri
Ilahi Ya Robbi
lindungi diriku dari perkara tak diingini
atas kelemahan diri ini...

CNM

malam mengerut dahi

malam mengerut dahi

malam semakin mengerut dahi
dek kepelikan dengan tingkah manusia
segala peringatan telah ada
namun terus menzalim diri sendiri
tak takut kepada Ilahi...

malam semakin mengerut dahi
dek kebimbangan dengan sikap manusia
entah apa lagi esok akan dikerja
mengundang malapetaka
dimurkai Yang Esa...

CNM

Laut Kasih 208



malam ini
ingin aku berbaring ke dadamu
mencuri dengan melodi jantungmu berpuisi
apakah syair laut kasih yang dilagukan
seperti selalu mengulikku hingga terlena...

malam ini
ingin aku memaut tanganmu
merasakan setiap denyut nadi bertingkah
apakah getaran cinta laut kasih yang berdendang
seperti selalu mendodoiku hingga terlena...

CNM, 17/9/12, 10.18pm
THMK

Laut Kasih 207

Laut Kasih 207

telah kuserahkan cinta
terpulang padamu dinda
yang mampu kuberdoa
jangan sesekali pergi dariku
jangan sesekali berpaling dariku
kerana laut kasih kita sunyi
tanpa bisikan cintaku dan cintamu

CNM, 17/9/12, 9.38pm
THMK

dalam hidup ini

dalam hidup ini

teman! sedari
dalam hidup sedetik ini
duri-duri dugaan kian meruncing
lopak-lopak kehinaan kian membesar.

awas!
jangan sampai tercucuk
jangan sampai tergelincir
luka berdarah terpalit lumpur...

CNM

seteguk milo sebuku roti

seteguk milo sebuku roti

terima kasih Ya Ilahi
memberikan rezeki di pagi hari
seteguk milo sebuku roti
cukup mengalas perutku yang menyanyi
sebelum mengisi dengan sarapan pagi...

ambilah sarapan pagi
jangan biar perutmu berbunyi
kelak dia merangam kamu yang sakit nanti
makan sebelum lapar, sebelum kenyang berhenti
itulah pesanan Rasulullah yang dikasihi.

CNM

embun berkata

embun berkata

embun berkata kepadaku
tak ingin menitis lagi
biar berbahang bumi
pedih hatinya menyaksi
betapa keji manusia membuang bayi
dilontar dari pangsapuri
berkecai kepala terus mati
apa dosa si anak ini...

Ya Allah
Engkau lindungi kami
dari malapetaka dosa ini.

CNM

cara kita

cara kita

kita punya tinta
tinta kita berbicara
berbicara cara kita
kita bebas merdeka
merdeka sepenuh jiwa
jiwa melontarkan kata
kata yang berbudi bahasa
bahasa menunjuk bangsa
bangsa yang bernama
bernama di mata dunia.

CNM

Laut Kasih 206

Laut Kasih 206

ambillah hatiku
simpan di dada laut kasihmu
biar ia menggubah lagu untuk bayu rindu
biar ia menyairkan puisi untuk ombak menderu
biar ia menyanyikan melodi cintaku dan cintamu...

ambillah jiwaku
satukan dengan jiwamu
biar ia mendengar detak jantungmu
biar ia membelai sanubarimu
biar ia mengucup hangat ubun kasihmu...

CNM, 16/9/12, 10.27pm
THMK

Laut Kasih 205

Laut Kasih 205

bila mengenali dirimu
keajaiban mula berlaku
hati ini bagai terawang-awang
ada ketika membuat aku teringat sesuatu
ada ketika membuat aku terlupa akan sesuatu
hati tak mengetahui apa yang perlu berlaku...

aku mula mabuk cinta
dek hembusan nafas dari laut kasihmu
hati ini jadi seperti mata ingin memandangmu
hati ini jadi seperti deria bau menanti wangianmu
hati ini jadi seperti pungguk yang merindu rembulan
hati ini tidak pernah puas sentiasa dahaga...

hati ini lemas dalam dakapan laut kasihmu
hati ini tenggelam dalam gelora laut kasihmu.

CNM, 16/9/12, 9.47pm
THMK

Seloka 1 Malaysia

Seloka 1 Malaysia

Indera kayangan nama diberi
kecil molek indah berseri
nun di utara letaknya negeri
raja dan rakyat hidup harmoni,

Kedah negeri jelapang padi
hijau bumi rakyat berbakti
membekal beras tak pernah henti
sumber makanan utama kami,

Irama boria jadi tradisi
Pulau Pinang itulah negeri
bukit bendera sering dikunjungi
kereta kabel jadi mercu negeri,

Perak kaya dengan hasil bumi
Taiping ke Port Well dibina landasan keretapi
tahun 1888 tercatat sejarah ini
timah Lembah Kinta jadi saksi,

Selangor terkenal negeri industri
rakyat maju berteknologi tinggi
adat resam jangan tak diperduli
kelak binasa muda dan mudi,

Adat Perpatih amalan negeri
kaum ibu lebih bertempat di hati
bandar Seremban jadi nadi
pembangunan rancak diberi,

Pesat dengan pelancongan terkini
Melaka punyai sejarah tersendiri
peninggalan sejarah jadi bukti
melayu bangsa disegani,

Paling selatan negeri ini
negeri subur hasil pak tani
permainan kuda kepang diwarisi
seni negeri Johor boleh ditemui,

Genting Highland tempat tertinggi
jadi kunjungan pelawat serata negeri
Pahang miliki tanah-tanah tinggi
tak kurang hasil sawit bermutu tinggi,

Petroleum hasil utama negeri
Terengganu kaya raya kini
pembagunan pesat terjadi
rakyat maju negeri berprestasi tinggi,

Negeri Cik Siti
Kelantan orangnya baik budi
ditadbir pemimpin akhlak terpuji
moga dirahmati Ilahi,

Kuching, Bintulu, Miri
bandar utama bumi ini
Sarawak kaya hasil hutan asli
masyarakat terkenal berjati diri,

Sabah punyai puncak tertinggi
Gunung Kinabalu cukup dikenali
pelbagai kaum mendiami
hidup aman berintegrasi,

Wilayah Persekutuan penambah seri
Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya sering di hati
jadi lambang proses urbanisasi
menjadi negara maju dalam acuan sendiri,

kekallah berpadu di bawah panji
jalur gemilang berkibaran megah di sanubari
sama-sama mendukung sistem demokrasi
raja lambang kesepakatan yang termatri.

CNM, 16/9/12, 9.15am
THMK

Hujan Renyai

Hujan Renyai

Seakan bernada sayu
di hari ulang tahun negaraku
hujan renyai bersuara pilu
sayup-sayup menitis ke akalku
resah dengan apa yang sedang berlaku
meja bulat kian berapi dengan kata keliru
integrasi kaum kian ditusuk sembilu
integriti diri kian diluluh angin nafsu.

Oh! Malaysiaku
mampukah bertahan kamu
dengan tingkah warga tak menentu
tiada kesatuan membulat di kalbu
langkah-langkah tidak lagi bertemu
perpecahan kian meretak seribu
fitnah kian tersebar memalu
bangsaku kian jauh dari bersatu.

Hujan! Bawalah pergi kekalutan ini.

CNM, 16/9/12, 7.54am
THMK

Laut Kasih 204

Laut Kasih 204

telah bertaut
tangan cinta antara kita
bergandingan bercandaran
menuju medan laut kasih
seluas mata memandang...

telah bersimpul
ikatan kasih antara kita
berpandu jiwa menjadi satu
menjunjung setia berkasih
menikmati keindahan miliki laut kasih...

CNM, 16/9/12, 1.00am
THMK

Malaysia

Malaysia

16 September 1963
biru kuning bulan bintang
merah putih jalur melintang
itulah jalur gemilang
bendera terbilang
negara yang kusayang.

Dari Perlis hingga ke Sabah
rakyat bersatu padu ramah tamah
hidup harmoni beramanah
mendukung perlembagaan yang dimegah
raja dijunjung bukan disangah
negara berdaulat tercatat dalam sejarah.

Lapan raja dan sultan
seorang yang dipertuan
enam perdana menteri pilihan
jadi tonggak pentadbiran
moga kekal aman berzaman
maju makmur berkat diredhai Tuhan.

Perlembagaan itu undang-undang
rakyat semua perlu berpegang
tidak melakukan perkara sumbang
ada peraturan jadi pembayang
menjalani hidup sayang menyayang
tiada sengketa tiada petualang.

Dasar-dasar negara dirancang
amalan sistem dwi dewan
dewan rakyat dan dewan negara dalam parlimen
cadang bincang bahas dan timbang
itulah kerja wakil rakyat cemerlang
baru buat keputusan terbilang.

Kehakiman
badan pengendali keadilan
tiada siapa dinafi hak di sisi undang-undang
hakim bijak sana lagi berpengalaman
pertikaian selesai cara aman
muafakat sesama insan.

Malaysiaku
terus maju
menuju mercu
di era globalisasi dunia baru
terarah terpandu
kebijaksanaan pemimpin tonggak penentu.

CNM, 15/9/12, 10.49pm
THMK

warna alam

warna alam

mentari telah bersinaran
burung-burung bersiulan
angin menderu mendinginkan
awan berarak berkumpulan...

di mana kalian?
masih dalam gebar berlingkaran?
ayuh! bangun nukilkan
ayat-ayat indah untuk kubacakan...

usah tunggu hari petang membawa kegelapan
usah bertangguh tugasan yang diamanahkan
andai masih menebal bermalas-malasan
takut rezeki hilang tanpa dapat dikesan.

CNM

pernah kamu jumpa ii?

pernah kamu jumpa ii?

kita disorongkan agenda
transformasi sistem tadbir urus negara
macam-macam strategi dilaksana
memartabatkan malaysia di mata dunia
masih ada yang lena;

kalau berurusan dengan sektor awam banyak kerenahnya
baru pukul tiga petang tak berjawab telefon berdering saja
ke mana pegawai yang sepatutnya
mana piagam pelanggan yang terpampang di kaunter
sekadar hiasan semata?...

yang memberi khidmat di kaunter
muka kelat mencuka
tiada senyuman semanis gula
yang ada jelingan tajam menusuk dada
mana sopan santun budi bahasa budaya kita?...

kalau musim pilihanraya
wah! janji ditabur sesedap rasa
bila menang hilang entah ke mana
rakyat dibiar tanpa dibela
inikah pemimpin dicanang berwibawa?...

janji ditepati
slogan kerajaan kini
bagus sangat berbunyi
jangan sekadar janji tinggal janji
kerbau kita pegang pada tali, manusia kita pegang pada janji...

CNM

ada bagus?

ada bagus?

Salam sejahtera di pagi sabtu
bagaimana harimu
kelabu atau membiru
bisu atau bersuara merdu
mencuka atau senyum bermadu
hati menangis atau ceria menggebu...

nah! jika semuanya baik
itu tanda anda bagus
andai diselubungi kedukaan
usah bersedih
kamu masih punya hari
untuk bangkit menceriakan hati...

CNM

jangan didendami



andai malam ini
terjadinya perpisahan
antara kamu dan dia
terimalah takdir-Nya
percaya akan ada pertemuan
yang lebih indah
dari yang pernah kamu temukan...

CNM

pernah kamu jumpa?

pernah kamu jumpa?

rakyat malaysia
yang akalnya kelas tiga
kalau orang serba tak kena
diri sendiri dua kali lima
pernah jumpa?;

di lebuhraya di jalanraya
buka tingkap kereta
buang sampah ikut suka
sungguh memalukan bangsa,

dalam bas dalam komuter
siap membuta
orang mengandung orang tua
dibiar berdiri saja,

bercakap di telefon selular
macam dia seorang yang ada
macam guna pembesar suara
boleh pekak telinga,

bila lif terbuka
tak tunggu yang di dalam keluar semua
diserbunya macam dikejar anjing gila
tiada tatasusila,

kalau nak cerita
ada banyak lagi kelemahan rakyat malaysia
imej tak jaga
macam mana nak maju kalau begini cara...

CNM, 14/9/12, 3.25pm
THMK

sebelum fajar menjengah

sebelum fajar menjengah

izinkan daku melepaskan mengah
mengumpul tenaga yang kian lemah
esoknya bangkit penuh gagah
melunaskan tanggungjawab yang teramanah
kuhulurkan salam kemaafan penuh hemah
kuucapkan salam selamat malam untuk sahabat ramah tamah
jumpa lagi pabila cerah tanah...

CNM

renungi cintamu

renungi cintamu

andai ruang tamu hatimu
telah berhias kuntuman bunga
yang menyerbakkan wangian cinta
tutupilah daun-daun jendela kamarmu
agar tertunduk pandangan mata
pada bunga-bunga yang mekar di taman...

hiruplah wangian cinta
yang telah engkau takluki
jangan biar ia terlayu
di telapak tanganmu
suburkan dengan kasih sayang
sirami dengan curahan perhatian...

CNM

sebelum terlena

sebelum terlena

jaga tutur dan kata
pada kita mungkin biasa
tapi pada mereka bagai bahang berbara
bisa merelaikan sekeping hati seperti kecaian kaca
yang terhempas ke batuan kecewa
aku susun sepuluh jari hina
memohon kemaafan dari kalian semua
andai ada silap bicara
maafkan daku kerana tidak disengaja.

CNM

tak kelih sebeloh mato

tak kelih sebeloh mato

mugo aku tak kayo
tak banyok harto
mutak kelih sebeloh mato
mupande hino
tak ngaku sedaro
sungguh tak sangko
mulupo asal usul kito...

CNM
*baca ikut loghat klate...

titisan air mata

titisan air mata

andai kamu hadir
ke hadapanku dengan titisan air mata
tentu hatimu telah koyak rabak...

maafkan aku
kerana tak akan mampu
mencantumkan kembali cebisan-cebisan hati
yang telah berkecai di lantai jiwamu...

aku hanya mampu
melontarkan sepatah pesan
belajarlah meredha
ketentuan-Nya ada seribu satu hikmah
yang tak terduga dek akal kita...

CNM, 12/9/12, 9.40pm
THMK

Laut Kasih 203

Laut Kasih 203

rindu ini
tidak pernah meninggalkan kamar hati
walau menatap wajahmu seribu kali
ia bergayut kejat saban hari
tak mungkin terlepas pergi
dari rangkulan laut kasih yang kauberi...

cinta ini
tidak pernah sirna di sanubari
walau musim silih berganti
ia tumbuh melingkari
tak mungkin layu hilang seri
dari sanggar laut kasih yang kausemi..

CNM, 12/9/12, 9.26pm
THMK

sebelum melayan mimpi

sebelum melayan mimpi

andaiku
diakui milikmu
peluk dan dakap daku
sehangat mentari di ufuk timur
biar hagatan kucupanmu
menggetarkan sekujur tubuh cintaku
dan kita berpadu berpimpingan tangan
menuju ranjang asmara...

CNM

Laut Kasih 202

Laut Kasih 202

bila malam
kaujadi purnama
menyinari alam sukma
bercahaya kamar laut kasih kita
menjelma bahagia...

bila siang
kaujadi bunga
mewangikan alam sukma
mengharumkan kamar laut kasih kita
tiba kasih mesra...

bila senja
kaujadi sinar jingga
menghiasi alam sukma
mewarnai taman laut kasih kita
berona pelangi cinta kita berdua...

CNM, 11/9/12, 10.15pm
THMK

jariku

jariku

jariku menarikan kata
memelodikan puisi di alam maya
moga ada yang terkesan membaca
mengambil langkah yang cakna
tidaklah sambil lewa
yang baik jadikan pedoman berguna
yang buruk jadikan sempadan tidak alpa
jariku berpesan sesama...

CNM

wangian nama-Mu

wangian nama-Mu

dari puncak ke puncak
dari lembah ke lembah
terserak wangian
dalam puja dan puji
kebesaran, keagungan dan keesaan-Mu...

Maha suci-Mu ya Allah.

CNM

Titah

Titah

adapun raja rimba
bertitah pada semua warga
di bawah jajahan takluknya
jangan makan itu buah lada
nanti pedas tak terhingga
itu lada untuk hiasan semata
barang siapa yang memakan juga
akan dinyah dari rimba
pergilah hidup di kotaraya...

mahukah yang di rimba hidup di kota?

CNM

11 September, 2012

perjalanan ke muara

sucikah
sedang lengkung alurmu berliku
ada ketikanya berkelodak
ada ketikanya berkerikil
ada ketikanya berlumpur
dan aku percaya
saat kamu tiba di muara
telah hilang kesucian yang dibangga...

air itu mungkin bersih belum tentu suci.

CNM, 4.44pm, 11/9/12
THMK

jujur terpedaya

debur-debur ombak
seakan membisikkan keikhlasan
menjanjikan anak-anak ikan
buat memperdaya sang camar
terus bertenggek di hujung tanjung.

desus-desus angin
seakan menyanyikan keinsafan
menjanjikan bayu dingin
buat memperdaya sang layang-layang
terus terbang tanpa haluan.

CNM

aku bukan hartawan

moga kamu
tidak tersalah pilih
kerana aku bukan hartawan
apatah lagi jutawan
yang mampu menaburkan wang
betulkah aku yang kaupilih jadi teman
kerana nantinya aku akan memperdengarkan kebenaran
apa yang bertentangan
apa yang bersalahan
akan kukata penuh kejujuran
sanggup kautelan?

jika sanggup
kamu bukan salah buat pilihan

CNM, 10/9/12, 7.13pm
THMK

Tak Berharap

dulunya
aku selalu berharap
menumpang teduh pada awan
membawa hujan buat menghilang dahaga
kini awan tidak lagi mesra padaku
seringkali membawa halilintar
memanah kamar hatiku
akan kucari pepohon rendang buat berteduh...

dulunya
aku selalu berharap
menikmati sepoi hembusan bayu
membawa dingin buat menghilang bahangan
kini bayu tidak lagi mengelus gemalai padaku
seringkali membawa taufan
membadai teratak jiwaku
akan kutanam pepohon rendang buat berlindung...

aku tidak lagi mengharap
aku akan belajar hidup atas tapak kakiku.

CNM, 10/9/12, 6.07pm
THMK

jika ada tolehan

saat kaumelepaskan dia pergi
dengan sekeping hati yang tercalar
kerana tingkahmu
perhatikan langkahnya
andai ada tolehan akhir
percayalah dia mengharap
kamu datang memujuk
memohon kemaafan...

CNM

Hujan Berteduh

hujanpun berteduh
berhenti lelah di teratak alam
mengumpul kekuatan
mengatur langkah
untuk menari membasahi
bumi Ilahi.

CNM

Kaukata kulihat

kaukata kausuka
kulihat kautarik muka
mana satu nak percaya...

kaukata kaucinta
kulihat kaupasang dua tiga
mana satu jadi pilihan jiwa...

kaukata kausayang
kulihat kaumain wayang
mana satu yang boleh dipegang...

suka, cinta, kasih, sayang jangan dibuat main
ia anugerah Tuhan.

CNM

apa dayaku

apa dayaku
kamu alam semesta
tak mungkin mengubah jalanmu
hanya mampuku berdoa
pasrah akan ketentuan-Nya...

alam hanya menguji...

CNM

Aku Tak Ingin

...tak inginku
menjadi duri
yang mungkin mencucuk dagingmu
kerana tak mampuku
melihatmu dalam kesakitan...

aku ingin jadi haruman yang bisa kamu hirup wangiannya.

...tak inginku
menjadi kaca
yang bisa menghiris hatimu
kerana tak sanggupku
memandangmu dalam ketersiksaan...

aku ingin jadi udara yang bisa kamu hela semahumu.

...tak inginku
menjadi belati
yang boleh jadi menusuk sukmamu
kerana tak berdayaku
menyaksikanmu dalam kepayahan...

aku ingin jadi denyut-denyut nadi yang menghidupkan semangatmu.

CNM, 9/9/12, 12.56 pm

Ruginya

andai kamu masih terbaring kaku
melayan mimpi tak pasti yang mengeliru
sedang realitinya mentari tidak menunggumu
meninggalkan dirimu tanpa ragu
bangkitlah teman-temanku
tinggalkan hari semalam yang telah berlalu
pandang ke hadapan mencari kebahagiaan milikmu
berkat doa hidupmu direstu
Tuhan yang satu.

CNM

Lentera Cinta

lentera cinta
bersumbukan kata setia
bersumber kuasakan gasolin jiwa
terang berderang menyala
menerangi kamar asmara...

lentera cinta
tak terpadam dek hembusan curiga
semarak menyala di alam sukma
menyuluh jalan menuju bahagia
kekal bercahaya ke hujung nyawa...

CNM, 8/9/12, 11.12pm
THMK

Laut Kasih 201

bila kutenung
dalam-dalam ke dalam anak matamu
mengapa hatimu tunduk tersipu
yang ada hanya sekuntum senyuman malu
yang tertinggal di ulas bibirmu...

bila kumemeluk
kejat-kejat ke dalam dakapan
mengapa degup jantungmu berlagu
hingga terdengar ke kuping hatiku
irama cinta bernada syahdu...

bila kumencium pipi
sehangat-hangat yang pernah kuberi
mengapa getaran asmaramu bernadi
menggamit kelelakianku bermelodi
menari-nari tarian laut kasih yang tersemi...

CNM, 8/9/12, 10.25pm
THMK

ketidakperdulian

jangan amalkan
kerana hati punya had dan batasan
sekali kepercayaan telah terbelah lapan
sukar untuk dicantum-cantumkan
dek rasa pengabaian mencengkam ke tulang hitam...

lapangkan waktu
walau sesaat tanda prihatinmu
kerana dalam tak sedar mungkin ada hati kian jauh darimu
menunggu dipujuk rayu
mengharap dibelai selalu...

kamu ambil tahu...

CNM

Agenda menyesat

mataku membulat
bagai disiat-siat
melihat aksimu yang ligat
terkinja-kinja mengelejat
berbaju sendat nampak pusat
berbonjol padat
melanggar adat
budaya kurang sihat
kamu ceduk dari barat
budaya kita sudah tak ingat
yang melekakan kaurembat
konon nampak hebat
tak sedar agenda menyesat
barat tak pernah lupa memasang jerat
memesong pegangan ke akhirat...

CNM

simpan janji

andai
terjaga pergorbanan
tertugu kesetiaan
jadikan janji
panji kemenangan...

andai
termusnah ikatan
terlerai sebuah perhubungan
jadikan janji
nesan pengkebumian...

CNM, 6/9/12, 10.18pm
THMK

Atas Tanah ini

atas tanah ini
kita berdiri mencari rezeki
untuk sesuap nasi
mengalas perut yang berbunyi
dari anugerah Ilahi.

atas tanah ini
kita berusaha menyumbang bakti
untuk kemajuan bangsa sendiri
tidak dipandang keji
mulia berjati diri.

atas tanah ini
kita sama-sama hidup harmoni
untuk menjaga integrasi
tiada yang iri
jauh dari khianat dengki.

atas tanah ini
kita julang panji-panji
satu warna satu hati
mendukung perlembagaan tertinggi
hidup berpaksi.

atas tanah ini
kedamaian dicari
perpecahan dibenci
usah bermain dengan api
kelak terbakar musnah diri sendiri.

CNM, 6/9/12, 7.05pm
THMK

menjejak mimpi

pada malam yang dingin
dibawa hujan senja berangin
aku mengundur diri di sini
menjejak mimpi yang belum pasti
dalam dakapan sang ratu hati...

salam kemaafan
salam selamat malam
sejahterakan sahabatku Ya Tuhan...

CNM

Mengalamkan Cinta

Aliran sungai cintamu
menuruni hijau pergunungan asmara
dingin membelah belantara sukmaku
reranting janji yang berdaun rendang memayungi
kasih sayangmu memenuhi kolam hatiku
bungaan cintamu mewangikan serata alam
dan burung-burung turut mendendangkan
lagu mengalamkan cintamu dan cintaku...

CNM

eh! tutup pula

eh! hari tu cukup bangga
buka seluar ambil gambar
tak pula tutup muka...

ek! hari ni tutup pula
kenapa tak rasa bangga
wartawankan ada...

buka,
bukalah,
semua orang nak tengok...

CNM

bisikan merayu

ambilah jiwaku
simpan di dalam hatimu
aku tidak bisa hidup tanpamu...

datanglah padaku
sesuatu telah berlaku
hatiku tahu hatimu tahu...

apabila hati berlagu
tiada mimpi yang palsu
semuanya mungkin berlaku...

CNM, 3/9/22, 9.57pm
THMK

Opaganam Style

tarian kuda?
tarian setelah kena pil kuda?
pengaruh dah menakluk separuh dunia
dari USA hingga Malaysia semua terngaga
tengok aksi kuda menggoda
takutnya punah minda
anasir luar macam candu ketagihnya
satu lagi proganda?
menusuk anak bangsa
leka...

CNM

Aku Lihat

Ayam-ayam laga
galak berkokok dan berhimpun
katanya nak menaji tuan reban
dilukiskan gambar tuan reban
digesel-geselkan bontot bertahi
diberak-beraknya di muka tuan reban
sungguh menjijikkan...

tunggu hari je
kamu kena sembelih
bikin ayam goreng kunyit.

CNM

Senja ini

dedaun tunduk kaku
melepaskan kamu pergi
berpisah entah berjumpa lagi
sayup kicauan unggas menemani
menanti mentari tenggelam di ufuk sunyi...

CNM

Tak mungkin kalis

sekuat manapun mencintai
sekuat manapun rasa kasih dan sayang
tak mungkin kalis terjahan rindu
tak mungkin kalis himpitan pilu
di kala sang pujaan jauh beribu batu...

CNM, 2/9/12, 6.09pm
THMK

Laut Kasih 200

syukur kepada Ilahi
hingga saat ini mengurniakan ilham berpuisi
lantas kuabadikan buat tatapan isteri
betapa kasih sayang yang kamu beri
amat bermakna dalam hidup ini.

Alhamdulillah
kasih sayang kita terus bercambah
berkat mengharungi badai dengan tabah
dalam senang dalam susah
sama-sama menikmati sama-sama menyelesai masalah.

Terima kasih sayang
kerana terus di samping abang
meneruskan kehidupan yang kita rancang
moga kita jadi hamba yang cemerlang
tergolong dalam kalangan yang diredhai Tuhan.

Mudahan lautan kasih kita terus bergemerlapan.

CNM, 1/9/12, 9.41pm
THMK

Laut Kasih 199

Laut Kasih 199

anggun
di pelamin
kerana laut kasih kita
tak henti mendebur asmara
menghembus bayu cinta...

CNM

aku pelukis

aku pelukis

aku pelukis kata
dari warna tinta hati
engkau tafsirkan semahumu
kerana saat aku mempamerkan kanvas bicara
ia telah jadi milikmu
simpan andai ia menawan
andai menjelekkan biarkan ia usang
ditelan dek zaman...

CNM

bermaknakah

bermaknakah

putih kulit menggebu
bak telur yang dikupas
membaluti sekeping hati
yang penuh titik-titik
keegoaan, kebebalan, kejahilan

mana mungkin mahligai dibina kekal megah berdiri
andai tiangnya tak dipasak padu...

CNM

sedekah senyuman

lontarkan senyuman
pada alam
yang memberikan udara
sesegar salju di pergunungan
dingin dan menyamankan...

lemparkan senyuman
pada insan
yang memberi rasa bahagia
setenang air di kali
jernih bersih lagi suci...

ukir senyuman
pada tampang wajah
kekalkan ulas bibir yang bermadu
menakluki hati-hati
membalas dengan ufti persahabatan...

CNM, 1/9/2012, 8.00am
THMK

Malaysia

telah merdeka
separuh abad memupuk setia
anak bangsa dibela
bahasa dimartabat ke persada
agama dijunjung pegangan bersama
harmoni dicipta...

kini warga Malaysia
memainkan lagu berbara
angin tenang kian bergelora
kedamaian kian tercela
hormat menghormati jadi deraian kaca
membajai perpecahan dengan sengaja...

Oh! Malaysia
pendukungmu kian lara
tiada kesatuan hati tertera
anak-anak muda pewaris alpa
pemimpin bertelagah sesama
musyawarah bukan lagi cara...

Malaysia
semoga tak berkecai bak kaca
kekallah sebagai intan yang bercahaya
gah di serata dunia
masyarakat berpadu minda dan tenaga
keranamu Malaysia...

kita satu nada, kita satu jiwa, kita satu bangsa, kita satu negara, kita satu Malaysia...

CNM, 1/9/12, 7.40am
THMK

perjalanan kita

perjalanan kita
semuanya menuju Yang Satu
ada waktu dan ketikanya
menempuh kegelapan
berikan hati penglihatan
berikan mata pendengaran
untuk memilih
lorong yang akan tiba ke hadapan-Nya
tanpa sesalan...

CNM

titik hitam

andai aku melukis titik hitam
pada sekeping kanvas putih bersih
apa yang kamu nampak?
titik hitam sudah tentu
jarang yang melihat
betapa luasnya kanvas putih tanpa titik hitam
begitulah lumrah
yang buruk diperkata
yang baik jarang dilihatkan...

CNM

Laut Kasih 198

ek!
kenapa tersenyum
nakalnya senyumanmu itu
mengatakan aku seksi
bercandaran di pinggiran laut kasihmu

oh!
baru kutersedar
laut kasihmu menggebu
membuat aku tersenyum malu
pada malam jumaat berdua denganmu...

CNM, 30/8/12, 9.46pm
THMK