Disember Lapan
disember lapan
terang suria pagi memberi harapan
bahawa mendung awan semalam
tak selamanya datang mengelam
syukur kepada-Mu tuhan...
disember lapan
apakah yang bermain di fikiran
tahun baru bakal menjelang
sudahkah tercapai impian
yang disasar penuh pengharapan...
disember lapan
masih berbaki waktu menunaikan
hajat yang didambakan
sebelum mengucapkan selamat jalan
kepada tahun yang pergi meninggalkan.
disember lapan
ilham masih bertandang
menitip kata buat peringatan
sesama kita yang bergelar insan
sesungguh demi masa perlu berpesan-pesan...
disember lapan
andai telah jauh keterlanjuran
kembalilah ke pangkal jalan
kuhulurkan tangan
tanda memberi sokongan...
disember lapan
orang tua berpesan
jangan diremehkan suruhan tuhan
kelak menyesal badan
setelah dijemput pergi tiada jalan pulang...
disember lapan
mari kita eratkan persahabatan
saling bantu membantu dalam penulisan
lupakan mereka yang melempar penghinaan
karya kita, kitalah yang harus martabatkan...
disember lapan
andai aku membaca dan membetulkan
bukan bertujuan mencari kesalahan
sekadar berkongsi kebenaran
lumrah aku, kamu dan sesiapa ada kekhilafan...
disember lapan
teruskan menitipkan nukilan
sama-sama kita berpuisi penuh kejujuran
berkongsi akan kepuitisan
menyusun bait kata jadi tatapan...
disember lapan
esok dan disember sembilan
moga yang baik-baik bertandang
dijauhi segala kedukaan
dikurniakan kesejahteraan...
berhenti dulu ya, banyak kalau nak tuliskan.
CNM, 8 Dis 2012, 9.04pm, THMK
No comments:
Post a Comment