Suka Tak Suka III
Suka tak suka
kita perlu berkata-kata
jaga bahasa
jangan sampai menghina
ada hati yang terluka.
Suka tak suka
orang akan berbicara
jaga tingkah
jaga air muka
elak diri diperkata.
Suka tak suka
ada orang suka mengata
biarkan saja
yang baik tetap baik di sisi-Nya
yang buruk DIA tentukan di sana.
Suka tak suka
pendapat tentu berbeza
hormati hak mereka
selagi tidak mencerca
fikir dan amalkan jika berguna.
Suka tak suka
usah terlalu berduka
di sana belum tentu bahagia
amat rugi membuang masa
dengan hal tak membahagia.
Suka tak suka
harta kita ada sebahagian hak mereka
sucikan harta
beri zakat dengan rela
mudahan rezeki berlipat ganda.
Suka tak suka
perpisahan akan berlaku juga
kehilangan ayah bonda
kehilangan apa jua
bersedia sepenuh jiwa.
Suka tak suka
apa yang dicita
tak akan semua dirasa
pasti ada kurnia tak disangka
kerana DIA mengatur yang terbaik buat kita.
Suka tak suka
kesilapan tak akan terlepas dari kita
lapangkan dada
jadikan ia pengajaran berguna
perbaiki diri mencapai jaya.
Suka tak suka
baik buruk ada hikmahnya
bersyukurlah dengan apa yang dikurnia
kerana ada yang lebih susah dari kita
teraniaya terhina tanpa rela.
Suka tak suka
ini versi ketiga
alhamdulillah jemari bertenaga
menitip kata
tinta hati dari kamar minda.
CNM, 23/12/12, 2.12pm, THMK.
No comments:
Post a Comment