Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

10 September, 2011

Kerana manis dan mahalnya zaman remajaku;

Aku jadi rindu
pada sawah dan bendang
bergelumang dengan pacat dan lintah
mengagau sepat keli dan puyu
buat regu sepinggan nasi
dan segala macam kenakalan
mengukir senyuman tak bertepi.

Aku jadi rindu
pada musim tengkujuh
apabila hujan tak celik mata
mengayuh perahu ke hulu ke hilir
mencari dedaun pohon sisik puyu
buat mengisi perut
sekandang kambingku.

Aku jadi rindu
pada musim kemarau
berteman sebatang bambu
merenangi separuh sungai kelantan
mencari etak di mendapan pasiran sungai
menjajat tebingan sungai mengutip pucuk paku
sayuran percuma segar tak tercemar.

Aku jadi rindu
pada musim buah
tiada pohon yang tak aku panjat
memenggal bontot kelapa muda di atas pelepahnya
meneguk segar manis airnya
tanpa rasa takut
dan aku sedar semuanya hanya tinggal kenangan.

Aku jadi rindu pada kampung halamanku.

CNM, 10/9/11, 22.45 pm

No comments:

Post a Comment