Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

30 January, 2012

Rezeki berbeza

Ada tokoh berjaya
dipuja serata negara
duit melimpah berjuta
namun tiada anak pinak pula
mengharap dan mengharap tak kunjung tiba
rezeki berbeza.

Ada petani nelayan dan peraih susah hidupnya
tak dikenal walau separuh desa
duit cukup-cukup makan saja
namun anak-anak sedozen ramainya
syukur anugerah yang Esa
rezeki berbeza.

Takdirnya rahsia tak terduga!!!

CNM, 29/1/12, 17.57pm
BBB

hujan merajuk

Sudah lama hujan merajuk
kekontangan menanti dengan sesak dada
setitis bagai selaut kedinginan
dan
seluruh penghuni memanjat doa
mengharap jutaan titisan
menelan dahaga semusim.

CNM, 29/1/12, 12.41pm
FTS

Sekuntum dara

mekar di laman ayahbonda
menghias diri dengan syariat ilahi
mengenggam janji menjaga peribadi
memenjara nafsu dengan ayat-ayat suci
kehormatan diri dijaga rapi.

mekarnya diintai kumbang durjana
cuba memetik tanpa redha
ingin menghisap madu percuma
habis manis sepah disisa
waspada sekuntum dara.

CNM, 29/1/12, 12.15 tgh
Felda Trolak Selatan

Agung Ciptaan-Mu

Ya Rabbi
maha agung ciptaan-Mu
indah di pandangan
lazat jadi hidangan
mengubati
jika mahu mengkaji
tiada sia-sia
akan setiap kejadian.

Kamu yakin?

CNM, 28/1/12, 21.54pm
Bidor

Mengintai senja

Kumengintai senja
berbalam di balik reranting
seakan melambai pergi
meninggalkan seribu kenangan
menutup hari
dengan wajah tak akan kembali.

CNM, 28/1/12, 21.26pm
BBB

Panjang dan kosong

Aku baca
suatu garapan yang panjang
penuh dengan tanda baca
yang hadir dalam benak sedarku
persoalan demi persoalan
tiada pengajaran
tiada pembelajaran
kerana penulis mengatakan
aku membacanya terbalik.

Iyakah begitu?
kosong.

CNM, 28/1/12, 19.15pm
BBB

Konar-konar

Konar kiri
konar kanan
jatuh dalam lubang jamban!!!
@
"konar kot ni
konar kot tu
masuk lube jambe".

CNM, 28/1/12, 18.10pm

Sekongkolan nafsu II

manusia yang terpenjara dek nafsu
celik matanya cuma hatinya berdebu
runtunan nafsu yang membelenggu
membekukan rasa keinsafan kepada Tuhan yang satu
celaru.

kunci sedia tergantung di pintu
sedar dan bangkitlah lepaskan diri dari penjara nafsu
dekatkan diri dengan ayat-ayat wahyu
tinggalkan sekitaran yang memaku
pilih jalan pulang kepada Dia yang merestu.

CNM, 28/1/12, 9.15am
BBB

Indah hanya kata

bahasa lidahnya
kelihatan akur kepada pencipta
menyayangi Allah dan Rasulnya.

bahasa hatinya
sungguh pendusta
meninggalkan suruhan tuhannya.

di mana akidahmu?

CNM, 28/1/12, 7.25am
BBB

Sendiri mahu ingat

Kawal makanmu kawan
sebelum
kencing manis melekit
sebelum darah tinggi meninggi
sebelum jantung sakit
berhati-hati
sendiri mahu kawal diri
jika sudah terbaring sakit
kamu menyusahkan orang lain.

Amalkan gaya hidup sihat!!!
jangan merokok
jauhi arak
rajin bersenam
makan seimbang
jangan mencuba dadah
lakukan aktiviti berfaedah
mudahan hidup kamu indah
sihat sejahtera beribadah.

CNM, 27/1/12, 10.07pm
BBB

Katakan tidak

Teman
katakan tidak kepada rokok
di dalamnya seribu macam toksik
meracuni diri
merosakkan tubuh badan
wang hasil penat lelah
terbakar hangus tanpa makna.

Teman
jika ingin menjauh kamu mampu
tukarkan kepada membeli buku
buku mengukuhkan dadamu
sarat dengan ilmu
bukan racun melemah paru-paru
kamu setuju?

Katakan tidak kepada rokok!!!

CNM, 27/1/12, 9.57 am
BBB

Mengeow nada menggatal

Aku terdengar
di luar sana seekor kucing
mengeow dengan nada menggatal
di malam jumaat
agaknya tiba malam mengawan
menaburi benih-benih yang memekat
memecah kesunyian malam.

Kucing siapakah itu?

CNM, 26/1/12, 23.36pm
BBB

Jalan berduri

Jika tahu jalan berduri
pakailah kasut
yang pergi redah dengan kaki ayam kenapa?
rasa diri kebal?
atau diri bebal?

ish! dah tua-tua gelak dek orang.

CNM, 26/1/12, 18.44pm
BBB

Kamu makan budu?

aku suka budu
cicah ulam daun kayu
bubuh ikan tawar rebus
picit cili api lagi bagus
nasi sepinggan tak cukup
susah makan nak ditutup
dah tengah hari ni
rasa nak makan nasi
rasanya dah siap dimasak isteri
tinggal lagi nak suap dengan jari.

jom makan tengah hari.

CNM, 26/1/12, 12.11tgh
BBB
@poyo

Jika aku bertanya

Teman
jika aku bertanya
akan kejelasan makna pada puisi kalian
aku bukan mencari salah
aku ingin fahami puisi kamu
aku ingin mencari maknanya
kerana mencari makna sebenar
hanya melalui bantuan pemiliknya.

Ketepatan kata
memperjelaskan makna
makna yang jelas menyampaikan maksud
pembelajaran dan pengajaran berlaku
itu yang aku mahu
buka hanya sekadar mencipta nukilan
penuh kemuskilan
tiada penjelasan.

CNM, 26/1/12, 11.38am
BBB

Kutulis Puisi Cinta

Kulontarkan ke tengah lautan jiwa
biar bergulung ombak
menjadi bait kata cinta
aku rindu padamu
dinda.

Kuhamburkan ke langit sukma
biar merecik bercahaya
menjadi ayat cinta
aku kasih padamu
dinda.

Kualirkan ke sungai hati
biar menderu berlalu
menjadi melodi asmara
menyanyikan lagu cinta
padamu dinda.

CNM, 26/1/12, 10.45am
BBB

26 January, 2012

Cinta ada destinasi

Sebuah cinta
yang menempuh perjalanan
pasti ada destinasi
bergantung kepada pemiliknya
untuk tiba dengan penyatuan
atau terhumban ke jurang perpisahan
sedar atau tidak
cinta miliki destinasi akhirnya.

CNM, 26/1/12, 8.43am
BBB

Bila nak berubah?

Saban hari kita dengari
di musim perayaan
kemalangan maut meningkat
tragedi mengundang petaka
bila nak berubah sikap?

Saban kali kita baca
di musim perayaan
mangsa mercun cedera
malah ada yang hilang nyawa
bila nak sedar diri?

Saban malam kita tengok berita
makin menjadi-jadi pengedar dadah berbahaya
walau hukuman mati dikena
tak menakutkan manusia tamak haloba
bila nak hapus masalah negara?

CNM, 25/1/12, 20.36pm
BBB

25 January, 2012

Kehadiran dipinta

Lelaki
saat kamu menelanjangkan dirinya
mencumbui penuh ghairah
menikmati madu asmara bersama
menaburkan benih-benih cinta
dan dia rela menakunginya dalam lemas puncak syahwat
membawa percantuman sperma dan ovul sembilan purnama
saat melahirkan
hanya kehadiranmu dipinta
memberi semangat di kala bertarung nyawa
memberi kamu zuriat
jangan dilupa!

CNM, 25/1/12, 18.30pm
BBB

Prasangka

Prasangka
perosak segala
jiwa dibelenggu curiga
membawa porak peranda
membelah cinta setia.

Prasangka
meracun sukma
keyakinan terhakis di minda
tiada rasa percaya
merobek cinta pertama.

CNM, 25/1/12, 17.51pm
BBB

Emas di kepala

Begitu seronok kanak-kanak
bermandi manda di anak sungai
menghilang bahang mentari setelah penat mengaji
ibu dan ayah penat mencari
rupa-rupanya berkubang macam sebulan dah tak mandi
yang malangnya saat beradu menyelam
bila timbul muncul emas atas kepala
bau harum semerbak.

CNM, 25/1/12, 17.24pm
BBB

Aku tersedar

Selepas lena yang panjang
kucari wajahmu di dada-dada awan, tiada.
kuintai ke permukaan kali, tiada.
kutinjau di jaluran pelangi, tiada.

dan aku tersedar
wajahmu terlukis di kamar hati
tergantung menghiasi ranjang rindu
menyemarak rasa cinta yang membuai jiwa.

CNM, 25/1/12, 16.46pm
BBB

Aku hanya

aku tidak kaya raya
untuk menghadiahkan emas permata
untuk menaburi wang berjuta
aku hanya ada tinta suara
yang kutitipkan dalam bait-bait kata
jika ada pengajaran yang menusuk minda
ambillah simpan ke dada
jika ada kata yang nista
tinggalkan sebagai sisa
mohon maaf atas kelemahan hamba.

CNM, 25/1/12, 6.45am
BBB

jika ingin pergi

jika ingin pergi
pergilah tanpa pengetahuan
tak perlu membisik kata
biar semua sedar sendiri
di sini mungkin tiada apa yang dicari
yang ada hanya potongan-potongan kata
berharga kepada yang ingin mengerti akan nilainya.

CNM, 24/1/12, 22.43 pm
BBB

Menjulang keibuan, miskin maruah

wajah siangnya sungguh mithali
jadi contoh legenda
anak-anak bangga
punya seorang ibu sepertinya
serba sempurna
tiada cacat cela.

kemiskinan...

wajah malamnya sungguh keji
menelanjangkan maruah
membiar tubuh diratah
menakungi benih-benih haram
demi memenuhi perut anak-anak
niat tidak menghalal cara.

CNM, 23/1/12, 22.01
BBB

Terpalu jiwa

Apabila mendengar
khabaran tragedi demi tragedi
merapi bergoncangan
memuntah lahar
membanjiri pelusuk kampung
memburu nyawa
tuntut korban tanpa rela.

Apabila menyaksi
klip-klip video tragedi tsunami
membadai tanpa perikemanusiaan
menelan segala harta benda
menjemput nyawa-nyawa ke laut
tanpa ada jalan pulang
terpalu jiwaku.

CNM, 23/1/12, 21.13pm
BBB

Kutinggalkan

Kutinggalkan jejak
agar terukir kenangan
di bumi menghijau memberi ketenangan
ragutlah pucuk kegundahan
bawa pergi bersama angin ke penjuru alam
biar bayu menderu
mendendangkan lagu ria
menyata hati pernah damai di sini.

CNM, 23/1/12, 18.42pm
BBB

Tasik Tasoh

Kuberdiri di sana
menikmati panorama
indah sungguh anugerah yang Esa
tenang di pandangan mata
melimpah ruah air penghilang dahaga
empangan dibina elak bencana
sedikit-sedikit dialir ke muara
merentasi lembah dan desa
mengairi kawasan sawah saban masa
tumbuh subur padi menguning tanpa hampa
hidup makmur seluruh warga
negeri indera kayangan di bawah payung tuanku raja.

CNM, 21/1/12, 23.00pm
Kangar

Nasib

Aku terkurung dalam sangkar
menempuh hari-hari yang sukar
tempatku di dalam belukar
bebas memanjat berpaut pada akar-akar
mencari buahan menghilang lapar
aku tak ingin hidup dalam sangkar
terasing dari kumpulan bebas meliar
nasibku terdampar di taman ular.

CNM, 22/1/12, 22.26pm
Kangar

Di mata

Di matanya
ada seribu rahsia
menanti tanpa suara
memerhati gerak mangsa
tangkas mematukkan racun berbisa
melumpuh anggota
sungguh bahaya.

Kini terkurung dalam cermin kaca
menjadi bahan tontonan saja
makan apa saja yang ada
tak bebas memburu mangsa
hidup tersiksa
dikurung tanpa rela
bisa dibuang penjaga.

CNM, 22/1/12, 22.17pm
Kangar

Aku menulis, kamu menulis

aku menulis apa yang aku rasa
kamu menulis apa yang kamu rasa
jadi masing-masing ada rasa
ada aku emosi dengan apa yang kamu tulis?
aku sekadar memberi pandangan yang berbeza tentang isu kamu tulis
untuk setuju dengan kamu, aku kena analisis
maaf jika aku tidak setuju, aku ada pemikiran aku sendiri
tak semesti akan selari
jadi tak perlu kamu beremosi.

apa yang aku tulis
aku tak harap kamu setuju lurus macam pembaris
kamu analisis
kamu kaji biar habis
beri aku input biar aku analisis
bukan beri aku emosi kamu yang bengis
cuba rasional dalam menulis
cuba belajar menerima pandangan bukan hanya nak menangkis
tak mati dikritik penulis.

aku dah biasa tak disukai
aku dah biasa disingkirkan kerana puisi
aku bersyukur boleh kawal emosi
jadi aku harap kamu boleh kawal emosi
kalau emosi kamu goyang baik jangan ke mari
laman ini macam-macam manusia dengan akal sendiri
tak akan mampu kamu nak kawal minda pemuisi
masing-masing ada cara tersendiri
selebihnya kamu fikirlah sendiri.

CNM, 22/1/12, 20.14pm
Kangar

kepada semua penulis di sini

kamu ada hak menulis
tulisan kamu akan dibaca khalayak
pembaca berhak memberi pandangan sendiri
pembaca berhak menafsir mengikut pemikirannya
tidak salah kamu mempertahankan pandangan kamu.

TETAPI,

beremosi dengan pandangan orang lain itu tidak patut
adakah semua orang kena bersetuju dengan apa yang kita tulis?
jika tak boleh kawal emosi lebih baik menulis di laman sendiri
di sini kena belajar menerima pandangan orang lain
di sini kena belajar mengkaji kenapa orang lain berfikiran begitu.

CNM, 21/1/12, 18.35pm
Kangar

Kembalikan

Kembalikan kerdipan
yang menyeri langit malam
yang memberi cahaya seluruh alam
agar tak terpadam
cahaya puisi-puisi yang belum hadam.

Kembalikan kerlipan
yang mempesonakan pemandang
yang menakluki hati pengarang
agar tidak hilang
keindahan seni yang dijulang

Kembalikan!

CNM, 21/1/12, 00.10am
BBB

Rintik Hujan

Rintik hujan
yang menambah dingin malam
tak sedingin di kamar hati
dalam gigil berkata
sebelum terpejamnya mata
hitungkan bekalan ke sana
biar selebat hujan
melimpah memberi makna
teruskan berdoa.

CNM, 20/1/12, 23.50pm
BBB

Pembaris

Sentiasa rasa diri betul
orang lain tak betul
bila ditegur marah berketul-ketul
ingatlah pembaris kamu tak sentiasa betul
ada ketika kau digeledingkan panas ketaksuban
ada kala kau dibengkokkan hangat kebebalan
kompas ada betulnya
mentari ada petunjuknya
bulan bintang ada petunjuknya
cuba sedar diri
jangan hanya lurus bendul.

CNM, 20/1/12, 17.13pm
BBB

Langau bangkai

ke hulu ke hilir
dengan lidah terjelir
membingit telinga
sudah sebati dirinya
sukakan daging bangkai
terjumpa daging bersih
terpandang daging sembelih
daging bangkai juga dihinggapi
daging bangkai juga disanjungi
akhirnya jadi bangkai.

CNM, 20/1/12, 16.34pm
BBB

Cuti-cuti Malaysia

Tahun Baru Cina
akan menjelma
tahun naga
diharap membawa bahagia
cuti lagi seluruh negara.

Aku nak meronda
jalan-jalan ke utara
bawa seisi keluarga
menikmati keindahan panorama
di musim cuti-cuti Malaysia.

Jom kita terbang
merayau ke perlis indera kayangan
kalau jumpa hulurkan tangan
tegur-tegurlah saya takut tak perasan
boleh duduk minum sembang-sembang.

CNM, 20/1/12, 15.12pm
BBB

Menggebu

apa yang menggebu?
aku senyum buat tak tahu
kamu tentu tahu
usah bilang dulu
jika tahu
cukup untuk diri kamu
apa yang menggebu itu!!!

CNM, 19/1/12, 21.29pm

Aku dan Kamu

Aku jadi cikgu
sebab aku nak jadi cikgu
dari kecil aku ada azam itu
syukur Allah beri jalan kepadaku
mencurah ilmu
moga ada yang terbantu.

Kamu?
kenapa jadi cikgu?
kerana nak jadi guru
atau tak ada kerja yang kamu mahu
atau cuba-cuba saja jadi guru
jangan begitu
jika kamu pilih jadi guru
jadilah guru yang bermutu.

CNM, 19/1/12, 22.00pm
BBB

O la la

O la la
aku minum milo
sambil garap puisi poyo
sambil temankan myspecial hero
makan malam sebelum tido.

ho ho ho
yang couple yang solo
ada sale kat sogo?
aku dah lama tak beli perfume polo
kalau ada tolong hello, hello.

CNM, 19/1/12, 21.25pm
BBB

Cermin, cerminkan!

Lihat ke dalam diri
apa yang diperkata?
kalau hanya sekadar suara
pi mai pi mai tang tu juga
usah rasa diri lebih dari semua
betulkan diri lebih berguna.

Allah firmankan baca!
maka bacalah apa yang diperkata
bukankah di situ ada ilmu
nilai sendiri
kalau diajari
orang lain tak pernah mengerti.

Hi hi hi aku gelak je dengan manusia begini.

CNM, 17/1/12, 23.01pm
BBB

Cinta padu

Sejak dulu
kuberi cinta padu
padamu dinda yang satu
kerana kutahu cintamu juga padu
hanya untukku.

Tahun berganti baru
cintaku kian padu
memejal beku di hatimu
tak terluluh dihakis waktu
kupasti kamu tahu.

Berkasih hanya satu
berkawan biar beribu
dalam susah ada yang membantu
dala kebuntuan ada yang menyumbang ilmu
usah cemburu dindaku.

CNM, 17/1/12, 22.43pm
BBB

Kembang

Kembang menyeri
menanti
sang kumbang meneguk wangi
andai tak dijumpai
layu sepi
tak pernah mengecapi
cinta duniawi.

CNM, 17/1/12, 21.45pm
BBB

Merempat kerana diri

Asyik goyang kaki
tak ingin bangkit melangkah pergi
mencari rezeki
yang melimpah memenuhi
bumi Ilahi.

Sering mengomel sendiri
cakap banyak kurang amali
ajaran tak dipeduli
bikin kerja ikut kepala sendiri
tak cuba usaha sepenuh hati.

Selalu bermimpi
dalam jaga di siang hari
tak pula keluar air liur basi
tambah lemak berkati-kati
tak bergerak-gerak macam dah mati.

CNM, 17/1/12, 21.19pm
BBB

aku malu

andai muridku
tidak mencintai ilmu
dalam dunia penuh buku
terpaut pada budaya merapu
tiada matlamat hidup diburu.

andai muridku
terkandas ke menara ilmu
di mana silap dan salahku
gagal memberi cukup peluru
berperang dengan soalan yang mengeliru

andai muridku
berkata cikgu tak ajar kepadaku
sedangkan telah kukongsi di muka buku
pelbagai informasi yang membantu
hanya kamu yang tak mahu ambil tahu.

CNM, 15/1/12, 17.32pm
BBB

aku tak malu

malunya aku
bila masuk darjah satu
atukku kena menunggu.

malunya aku
bila orang bersepatu
aku hanya berkaki ayam kematu.

malunya aku
bila kekawan berganti baju
aku hanya ada satu.

aku tak malu berkongsi cerita itu
dan air mataku berguguran sayu
mengenang jerih perit ibu
membesarkanku.

CNM, 15/1/12, 17.12pm
bbb

Mataku di mana-mana

Usah pelik teman
mataku ada di mana-mana
kerana aku bukan melihat hanya dengan mata
telingaku juga bermata
hatiku juga bermata
anggotaku juga bermata
alam sekeliling juga mataku
terima kasih ya Rabbi
nikmat yang Engkau berikan.

CNM, 15/1/12pm
BBB

Mitos di kuburan

katanya ada jembalang
menunggu yang lewat pulang
aku pun ingin ketahui benar atau mainan
saat melalui kuburan di lewat malam
aku berhenti dan perhatikan nesan-nesan
tiada apa yang berkeliaran
tiada makhluk yang menakutkan
hanya mitos yang tak berkesudahan.

lalu aku doakan kesejahteraan ahli kubur
aman bersemadi
dirahmati.

CNM, 15/1/12, 15.27 pm
BBB

Cerita Kubur

Hari ini puisi pasal kubur
kerana kuburan bisa menginsafkan
kepada yang asih tersisa keimanan
kembali mempembariskan diri
di bawah syariat Ilahi.

Ramai yang menggali kubur sendiri
tanpa disedari dek akal yang membeku
mengikut telunjuk hawa nafsu
yang memperdaya dengan kenikmatan palsu
melorong ke kuburan sebelum waktu.

CNM, 15/1/12, 14.45pm
BBB

Menggali kubur

dibiar hidung tercucuk
pengembala keldai dadah
dek sedikit pesona kemewahan
ramai yang terpedaya
menggali kubur sendiri tanpa sedar.

di bawah pengaruh dadah
remaja merempit mempertaruhkan nyawa
dek tawaran meniduri seekor gadis genit
ramai yang hilang akal
menggali kubur sendiri dengan rela.

CNM, 15/1/12, 14.32pm
BBB

15 January, 2012

Sekongkolan nafsu

Begitu ramai manusia
meringkuk dalam penjara hati
dibelenggu kebejatan
dirantai kebebalan diri
sedang kunci kebenaran tergantung di pintu
alah pada runtunan nafsu
terusan membutakan mata
enggan melepas diri dari perangkap noda
bergelumang dosa
mempersia peluang dan ruang memutih dairi diri
untuk anugerah keredhaan-Nya.

CNM, 15/1/12, 13.49pm
BBB

Mengubur rindu

rindu yang bernyawa
tinggal dalam hati sang pencinta
memerah rasa mengundang perih jiwa
berperang dengan armada perasaan
menuntut kesabaran janji.

mengubur rindu
mungkinkah?
kerana rasa itu mengalir
ke seluruh urat nadi yang berdetak
seirama dengan detak jantung cinta.

CNM, 15/1/12, 12.54pm
BBB

14 January, 2012

Puisi Cinta

Puisi cinta
yang kamu anyam dari buih-buih rindu
terhampar indah
mengalas baringanku
lena dibuai mimpi bercumbu denganmu

Puisi cinta
yang kamu pintal dari awan-awan kasih
menyelumuti sekujur tubuh
menghangat naluri asmaraku
mendamba dekapan romantis darimu.

CNM, 14/1/12, 22.00pm
BBB

senja ini

senja ini
aku duduk
memandang langit itu
putih kosong
tiada titik cela
jingga kian merona.

CNM, 14/1/12, 18.59 pm
BBB

Setiap sesuatu ada manisnya

sepertinya durian yang dibaluti duri-duri tajam terkandung isi yang manis di dalamnya begitulah ujian Tuhan buatmu.
sedari dan terimalah di akhirannya ada kemanisan yang tak terfikir dek akal awalnya.

ketentuan Tuhan adalah yang terbaik walau pahit yang harus ditelan.
mahukah kamu yang manis-manis?

akhirnya kamu tersungkur dengan kesakitan di akhirannya.
biarlah kita diuji kerana DIA akan menguji dengan ujian yang mampu tertanggung.

CNM, 14/1/12, 15.57 pm
BBB

Aku suka, Aku tak suka

Aku suka, Aku tak suka

Aku suka yang banyak tanya
boleh aku buat semakan kendiri
apa yang tak kena
apa yang perlu penambahbaikan
demi kualiti pendidikan.

Aku tak suka yang diam
tak tahu faham tak faham
bila peperiksaan markah menjunam
kabur semacam
nak perbaiki tiada petanda jadi ukuran.

CNM, 14/1/12, 14.58pm
BBB

Saat ini

Saat ini
Aku hanya kepingin
Belaian di kepala buat menghadirkan mimpi
Jasad istirehat dan hanya menyaksi
Alam bawah sedar memutar main cerita di layar mimpi
Yang baik
Yang indah
Biar berbaris menunggu giliran
Melintasi layar.

CNM, 13/1/12, 23.55pm
BBB

Kepada Remaja

Simpan madumu jangan sampai dikepah habis
fikir sejenak sebelum melangkah
terlajak selangkah nak mengundur terlalu jauh
dengar dengan mata hati
pesan ayahbonda
nasihat guru sahabat handai
semua sempadan berguna
lindungi diri dengan sedikit kesombongan
terutama yang tidak dikenali hati budi
kerana manis kata membawa racun duka
waspada.

CNM, 13/1/12, 22.35 pm
BBB

13 January, 2012

Baca

Baca walau sepatah kata, kerana ia bisa jadi penawar kepada racun kejahilan yang memasung dirimu dalam kegelapan tanpa cahaya pengetahuan.

Baca dengan nama Allah yang maha mendengar, doa-doa pohon keampunan tiada hijab dengan-Nya. Sesungguhnya Dia maha pengampun lagi maha mengasihani.

Baca untuk yang masih hidup, kerana dengan khafiatnya ilmu bermanfaat terbuka pintu- pintu hati untuk tunduk akur kepada syariat-Nya.

Baca, bacakan, bacalah!

CNM, 12/1/12, 23.26 pm
BBB

Setiap saat

Setiap saat
bermanfaat
nak-nak hari Jumaat
penuh berkat
gandakan amalan sunat
tambah saham ke akhirat
doa dipanjat
banyakkan bermunajat
moga dirahmat
sang pemilik alam sejagat.

CNM, 12/1/12, 21.43pm
BBB

eh, eh

eh, eh
patutlah
sepi semacam.

eh, eh
macam tak tahu
malam ini malam apa.

senyum
senyum
senyum jangan kata apa-apa.

CNM, 12/1/12, 18.43pm
BBB

satu dua, satu, satu dua

satu dua, satu, satu dua

satu ke dua
satu je
satu ke dua
nak dua?
tak suka dua?
sebab apa?
sebab Tuhan hanya satu, katanya.

CNM, 12/1/12, 18.31pm
BBB

Aku ingin

hadirlah dalam setiap helaan nafas
bisikkan
satu kata azimat
aku cinta kamu sayang
dan memercik aura kecintaan
membajai semangat hidup
untuk memilikimu selamanya, kasih.

CNM, 12/1/12, 18.27pm
BBB

11 January, 2012

Puisi cinta

Puisi cinta

Puisi cinta
yang kutulis bertinta darah
merangkai bait-bait kata rindu
kurentangkan umpama pelangi
menyeri dada langit dari ufuk ke ufuk hatimu
dan menguntum sebuah senyuman di ulas bibir gebumu

Puisi cinta
yang kualunkan beriring melodi muzik alam
mendayukan kata suara syahdu
kuperdengarkan hanya ke telinga hatimu
membisik elus sukma
dan terukir seraut wajah terindah pada pandangan mataku.

CNM, 11/2/12, 20.18 pm
BBB

Hujan malam

Hujan malam

Hujan malam
menempa sepi
mentertawakan rindu
yang berkocakan di dasar hati
menambah rencah perih
dalam gelegak ramuan kasih.

CNM, 11/1/12, 19.46pm
BBB

Pulang tak kembali

Pulang tak kembali

kita pasti akan pulang
membawa segebar kisah
di kanan yang mulus-mulus
di kiri yang jelik-jelik
yang mana satu lebih tebalnya?

dan Dia tidak pernah sesekali
memungkiri janji-janji-Nya
yang di kanan tak terpadam
yang di kiri pohon bersungguh keredhaan-Nya
nescaya suci bersih dengan izin-Nya.

dan dalam perjalanan kepulangan ini
apakah bekal sudah mencukupi?
sesungguhnya amal kebajikan
doa anak-anak yang soleh
ilmu yang dimanafaat
taruhan penyelamat di lorong tiada jalan kembali.

CNM, 11/1/12, 18.53pm
BBB

Kering

Kering

Tiada lagi ia untuk menitis
membasahi mengiringi rasa sebak
kekontangan
yang tinggal hanya galur rasa
peritperih
menyelusuri waktu.

Tiada lagi ia untuk menitis
membanjiri kolam hati duka
kekeringan
yang tinggal hanya cebisan redha
nyalaan semangat
melayari masa.

CNM, 11/1/12, 18.37pm
BBB

Siapa

Siapa

Siapa di balik tirai
menyembunyi wajah
hanya haruman
petunjuk kehadiran
tak tersingkap dek akal akan rupa
jadi misteri.

CNM, 10/1/12

Pujaan

Pujaan

Dia punyai suara
lunak merdu memukau
terlentok dara, janda dan yang berpunya
asyik dengan dendangan lagunya
mengalunkan sukma.

Aku juga meminati lagu-lagunya
tersentuh nurani mencuit jiwa
membesar bersama melodi nyanyian menguja
semoga hidupmu diredha
wahai sang pujaan.

CNM, 10/1/12

Kupuisikan untukmu TPM

Kupuisikan untukmu TPM

YB Tan Sri
aku dan anak-anak malaysia
bernaung di bawah payung peganganmu
kami mengharapkan redup
dengan sinar cahaya menyihatkan
bukan bahang yang membakar
merosakkan tipis kulit kepercayaan.

YB Tan Sri
aku percaya dan doakan
tiada darah-darah dialirkan
menjadi sungai kebencian
pulihkan semangat kami
kerana yang batil akan hancur lebur
yang benar tetap akan berdiri megah.

YB Tan Sri
pertahankan kebenaran
dengan membunuh kepalsuan
usah mengambil hak rakyat
berkhidmat untuk rakyat
kerana pemimpin
datang dari rakyat.

CNM, 10/1/12, 19.35pm
BBB

Keputusan

Keputusan

Semua maklum
yang didakwa
yang mendakwa
Tuhan mengetahui
jika pengakuanmu palsu
bertaubat lebih baik.

CNM, 9/1/12, 18.16pm
BBB

Dua nada

Dua nada

Yang mendakwa
redha
keputusan hakim yang bijaksana
itu hukuman dunia
di akhirat akan diperhitung katanya.

Yang didakwa
lega
syukur terlepas dari tohmahan
suci nama diri dan keluarga
moga bahagia.

Yang baik-baik aku doa
yang baik tak terpadam di sisi-Nya
yang tak baik ada masa untuk membersihkannya
taubat nasuha
InsyaAllah terampun dosa.

CNM, 9/1/12, 17.47pm
BBB

Benar ke putih

Benar ke putih

Benar ke putih
atau hanya menyinar di mata
sedang di luar lingkungan pengaruh
gelap gelita
yang terang tak semesti tak gelap
yang gelap tak semesti tak terang
ada akal fikir!

CNM, 8/1/12, 22.46pm
BBB

Siapa kesah

Siapa kesah

Nak berkumpul
berkumpullah
nak berarak
beraraklah.

Jangan buat sampah
jangan jadi sampah
nanti orang menyampah.

CNM, 8/1/12, 22.09pm
BBB

Dianogsis Cinta

Dianogsis Cinta

Pabila mata bertentang
kalbumu berdetak kencang
seakan disentap rakus
tapi mengasyikkan
hati segera berbisik
inikah dia.

Pabila berjauhan
hatimu menghembus bayu rindu
mengharap si dia tertampar
dan segera mengirim
sebaris ayat cinta
aku cinta kamu.

Pabila bersua
lidah kelu seribu bahasa
hanya senyuman memainkan rasa
wajah ayu tampang bergaya
terasa diri bak bidadari syurga
hanya kepada dia tertumpah segala.

Masa jadi terlalu singkat
bila temujanji akan berakhir
masa jadi terlalu lama
saat menunggu ketibaan si dia
dan masa jadi terlalu cemburu
kepada cinta yang diraih.

CNM, 8/1/12, 21.57 pm
BBB

Kenangi

Kenangi

Sebatang pena yang kekeringan tinta
jangan dicampak ke bangkul sampah
kenangi jasa-jasanya.

Bait-bait kata cinta
yang kamu garap indah
dialah jadi perantaraannya.

Simpan jadikan kenangan
andai cinta kamu berkubur tanpa nesan
kamu ada dia untuk mengenang tulusnya cintamu.

CNM, 8/1/12, 21.03pm
BBB

Beginikah?

Beginikah?

Beginikah sinar hatimu
seindah cahaya di langit senja merona jingga
menanti si dia menyapa selembut elus bayu
kuntuman rindu mekar di tangkai jiwa
menunggu dipujuk rayu
mendekap cinta bersama.

CNM, 8/1/11, 20.15pm
BBB

Keras

Keras

Ada yang tak suka keras
kasar menyakitkan.

Ada yang mendidik dengan keras
tegas untuk hasil yang memuaskan.

Ada yang suka berkerja keras
tambah rezeki di bumi Tuhan.

Kamu suka yang keras?

CNM, 8/1/12, 18.32pm
BBB

Sampah

Sampah

Dalam program TV banyak sampah
itu kata kebanyakkan orang
aku sokong
ada benarnya
ada asas kenyataannya.

Dalam puisi ada apa?
puisi pada kamu apa teman?
puisi kepadaku
isi minda berseni
yang digarap indah dengan mainan bahasa
merangkai makna.

CNM, 8/1/12, 18.18pm
BBB

Botak

Botak

Kepala tak berambut
tayar tak berbunga
poket tak berduit.

Ada yang suka botak
ada yang marah botak
ada yang kikis sampai botak.

Aku belum botak.

CNM, 8/1/12, 18.11pm
BBB

Lawak hakim

Lawak hakim

Gelisah
yang tertuduh resah
yang arif belum nampak wajah
masing-masing bertabah
berdoa dan pasrah.

Yang ditunggu akhirnya tiba
dengan muka yang selamba
maaf saya lewat terjaga
anda semua kes liwat memang suka
nah! ini keputusannya nanti saya baca.

CNM, 8/1/12, 16.42pm
BBB

Lewat Liwat

Lewat Liwat

Kes lewat
perakam waktu
merah.

Kes liwat
perakam video
kena pecah.

Tunggu esok
lewat dan liwat
gawat?

CNM, 8/1/12pm
BBB

Suka-suka je

Suka-suka je

Suka-suka
nak cakap nak mengata
ingat sikit dosa pahala
nanti tak jumpa
terseret ke dalam bara manusia.

Suka-suka
nak menyumpah nak mencerca
ingat sikit syurga neraka
nanti tak diredha
dihumban ke unggunan manusia.

CNM, 8/1/12, 16.28pm
BBB

Dua hati

Dua hati
yang menjadi landasan
kepada gerabak kehidupan
akan menyelamat muatan
andai saling terikat
pada syariat
yang ditetapkan.

CNM, 8/1/12, 15.26pm
BBB

08 January, 2012

Malam Ahad

Malam Ahad

Malam ahad malam merayap
anak muda bermacam gelagat
lebuh raya tempat merempit ligat
anak dara orang jadi taruhan hebat
masing-masing ambil dadah konon menaikan semangat.

Allah, kurniakanlah nur hidayah
hiasi mereka dengan cahaya keimanan
ada kesedaran untuk kembali ke pengkalan jalan
dialu-alukan keluarga, masyarakat dan negarawan.

CNM, 7/1/12, 23.34pm
BBB

Manusiakah manusia

Manusiakah manusia?
yang tiada kemanusiaan membelit manusia
manusia-manusia yang terbelit oleh manusia tiada kemanusiaan
jadi manusia yang diperkuda
buta mata
buta hati
gagal bezakan realiti
gagal bezakan yang benar
hanya jadi pak turut tegar
mengikut membuta tuli
menganiaya diri sendiri
minta dijauhi.

CNM, 7/1/12, 19.12pm
BBB

07 January, 2012

Jatuh hukum

Jatuh hukum

Jika memihak
tentu senyum lebar
sistem kehakiman telus
katanya.

Jika tak memihak
tentu masam mencuka
sistem keadilan tidak telus
katanya.

Entahlah
yang tahu diri engkau
jika tak bersalah lawan habis-habisan
jika bersalah taubat saja itu lebih baik.

Aku doakan yang baik-baik saja
yang jatuhkan hukum ingatlah kamu akan dipersoal
jika tak bersalah lepaskan
jika bersalah jatuhkan hukuman setimpal.

CNM, 7/1/12, 18.15 pm
BBB

Aku ingin

Aku ingin

Aku ingin berjalan
tanpa meninggal jejak
yang mengaburi jalan kamu di belakang.

Aku ingin berlari
tanpa memercik lumpur
yang mencemari pandangan kamu di sisi.

CNM, 5/1/12, 19.15 pm
BBB

Surat

Surat

Kautuliskan satu surat panjang
dengan hanya satu noktah
tiada kesimpulan.

CNM, 5/1/12, 16.27pm
BBB


Surat II

Kautuliskan satu surat kontot
terkandung hanya 'tidak'
terjawab seribu persoalan.

CNM, 5/1/12, 17.30 pm
BBB


Surat III

Kautuliskan surat bertinta darah
dengan ayat-ayat membunuh
rasa cinta.

CNM, 5/2/12, 18.52pm
BBB


Surat IV

Kautuliskan sebuah puisi cinta
dari tinta rindu yang membuak
semerbak wangian makna
menyubur benih kasih
di jambangan hati.

CNM, 5/1/12, 20.50 pm
BBB


Surat V

Kautuliskan bicara cinta
pada helaian-helaian hati
menjadi sebuah novel asmara
kenangan kita berdua
selamanya.

CNM, 5/1/12, 21.55pm
BBB


Surat VI

Kutuliskan surat dengan dakwat cinta
menjawab persoalanmu
kaulah yang satu
dulu kini dan selamanya
dirahmati yang Esa.

CNM, 16.13pm
BBB


Surat VII

Kutuliskan rahsia hati
pada kepingan-kepingan sukmamu
terlarik indah senyuman kata
membentuk lengkung manis bibirmu
kasih menunduk malu.

CNM, 6/1/12, 23.36pm
BBB


Surat VIII

kutuliskan sebuah nota
yang kaurangkul ke perdu jiwa
menjadi tonggak mimpi-mimpi
alam cintamu.

CNM, 00.05 am, 7/1/12
BBB


Surat IX

Kautuliskan isi hati yang tersirat
dihangat unggunan api cemburu
katamu di situ tertera kasih mendalam
yang cuba kausampaikan
yang cuba kauperkatakan.

CNM, 7/1/12, 10.15pm
BBB


Surat X

Kau dan aku saling berutusan
berbicara tentang impian
kini kita menyatu
di bawah satu bumbung
dalam istana cinta.

CNM, 7/1/12, 12.47 am
BBB

Esok

Esok

Esok
bermula lagi
melaksana visi dan misi
hantar anak didik ke universiti
demi harapan ibubapa yang mempercayai
kugalas dengan sepenuh hati.

CNM, 3/1/12, 21.43 pm
BBB

Berjuang seperti Ombak

Berjuang seperti Ombak

Usah gundah anakanda
berjuanglah untuk masa depanmu seperti ombak membadai
tidak pernah kenal erti jemu
dan lihat pasiran pantai itu
hasilnya dari ketabahan ombak
semoga kamu akan berjaya
abah menyokong dari belakang sebaik termampu
jadikan SPM rintis kecemerlangan hidupmu.

CNM, 3/1/12, 9.32 am
BBB

Sinar

Sinar

Sinar itu
membimbingi
menuju jalan keluar yang terang
tidakkah kamu melihatnya.

CNM, 2/1/12, 23.23pm
BBB

Hitam Putih

Hitam Putih

Hitam akan putih
pada rerambut
seiring peningkatan usia.

Putih akan hitam
pada kanvas kehidupan
seandai menyusuri jalan penuh jelaga.

Hitam dan putih
warna
amalan.

CNM, 2/1/12, 21.19 pm
BBB


Langit Tak Bersuara

Tak sesekali ia bersuara
sekadar menukar warna dada
ada kala ceria
ada kala bermuram durja
dan dentuman di langit terbuka
tidak harus rerumput mencurah air yang ada.

CNM, 2/1/12, 20.27pm
BBB


Seindah Mentari

Jadilah seindah mentari
menerangi alam semesta sejak azali
memberi cahaya sepanjang hari
satu galaksi berseri.

CNM, 2/1/12, 20.16 pm
BBB


Berbahagia

Berbahagialah kamu
beranak pinak
mencari rezeki
yang tidak datang sendiri
jika tidak dicari.

CNM, 2/1/12, 16.13pm
BBB


'Cap Rumah'

Tak termampu sendirian
kerana lumrahnya diutus berpasangan
terbang hinggap ke mana pun
kembali kepada fitrahmu
terbang sepasang
di bumi tuhan.

CNM, 2/1/12, 16.03pm
BBB

Hujan huru hara

Hujan huru hara

Hujan huru hara
yang merejam bara
menempiarkan kekalutan
syukur
payung petunjuk Ilahi
melindungi kami
dari lemas
dalam banjir api kebejatan
dan manusia bertopeng syaitan
insaflah kamu sebelum terlambat.

CNM, 2/1/12, 15.33pm
BBB

Frame Cinta

Frame Cinta

Frame cinta yang kamu ukir
terlihat indah sekali
jika digantung
pada dinding hati
yang tiada contengan cemburu
yang bebas dari calaran syak wasangka
yang bersih dari percikan darah keegoaan.

Kamu akan asyik
menatapi senyuman cinta
biasan cermin diri pada frame cinta.

CNM, 1/1/12, 16.37pm
BBB

Cuti

Cuti

Tiada lagi
esok lusa kembali bertugas
amanah tergalas
bina insan jadi yang teratas
memakmurkan bumi yang luas
berpegang kepada batas-batas
syariat yang tegas
menyelamat dari terbabas
ke jurang ganas.

CNM, 1/1/12, 15.23pm
BBB

Salam Ceria

Salam Ceria

Selamat tahun baru
jalani azam baru
moga sejahtera milik kamu
senyum-senyum selalu
sucikan kalbu
bebaskan diri dari dibelenggu
masalah yang menganggu
esok langit pasti membiru
tiada yang lebih mengerti dirimu
ingat Tuhan Yang Satu
cukuplah kepada-Nya tempat mengadu
kepada-Nya kita memohon restu.

Mulakan tahun dengan ceria
semai benih-benih bahagia
hilangkan segala luka
ubati calar-calar duka
biar terbunuh barah sengsara
berkubur malapetaka
dan biar melata
pohon-pohon bersilara
menaungi kehidupan penuh makna
menuju pulang ke sisi-Nya
dalam keredupan cahaya takwa
anugerah Yang Esa.


CNM, 1/1/12, 13.21 pm
BBB

Secebis Pesanan

Secebis Pesanan

Tahun baru bermula
setelah azam dipajak ke ladang harapan
bertebarlah kumpul baja pohon kehidupan
biar akar mencengkam kejat
tak terhakis dek arus kemodenan
berpucuk-berbunga-berbuah kejayaan
dan terbalas ruyung yang kaupecahkan.

CNM 1/1/12, 12.42tgh
BBB

01 January, 2012

Sebelum

Sebelum

Sebelum kita ditakbirkan
dengan empat kali takbir
mohon agar nur keimanan
tidak sesekali Allah palingkan
dari menetap di kalbu
kerana hanya keredhaan-Nya
menyelamat
dari terhumban ke dalam jahanam.

CNM, 1/1/12, 00.13 am
BBB

Dengan Nama Allah

Dengan Nama Allah
Ya Rahman Ya Rahim

Kumulakan bicara di awal tahun 2012
mari kita bersama menjulang bahasa kita
larikan bait-bait kata terindah
menjadi pesanan yang berfaedah
demi masa telah difirmankan
manusia dalam kerugian
kecuali
yang beriman dan beramal soleh
dan berpesan-pesan dengan kebenaran penuh kesabaran.

CNM, 1/1/12, 00.01am
BBB

Suatu Renungan Di ambang 2012

Suatu Renungan Di ambang 2012

Aku, kamu dan kamu
apakah sumbangan kepada Ilahi?
sudahkah melaksanakan syariat-Nya?
berapa kalikah mengucapkan kalimah syahadah di luar solat?
sempurnakah solat?
cukupkah puasa di bulan ramadhan?
bersihkah harta dari yang berhak ke atasnya?
berapa kali mendoakan untuk keampunan kedua ibubapa?
sepanjang 364 hari yang sudah dilalui
renungi.

Selamat menyambut tahun baru kepada semua Warga Forum Cari
sambutlah dengan cara dikehendaki-Nya
bukan dengan cara bermaksiat kepada-Nya.

CNM, 30/12/11, 18.37 pm
BBB

Manis

Manis

Andai kamu teguk cinta
biar manisnya kekal ke senja
jangan hanya
ada madu di tangga
ruang tamu berserakan taburan kaca.

CNM, 30/12/11, 11.59 am
BBB

Luka

Luka

Ditoreh
luka berdarah
memercik darah duka
hati
bahagia.

CNM, 30/12/11, 11.14 am
BBB

Mendung

Mendung

Meneduh
menghitam langit
dingin
memberi cahaya.

CNM, 30/12/11, 10.43 am
BBB

Ligat

Ligat

Berpusing
bak kipas siling
laju
membawa bahang.

CNM, 30/12/11, 10.32am
BBB

Tukang cat

Tukang cat

Di sapu atas bawah kiri kanan
dicat-cat
yang comot jadi bersih
yang lama nampak baru
aku tengok saja
pening bau cat.

CNM, 30/12/11, 0.31am
BBB

Yang memenjara

Yang memenjara

Terperangkap dalam kebuasan
Sedang cahaya terang menyuluh
Yang terpandang hanya lorong-lorong hanyir
Terpenjara dalam kebebalan hati
Hanyut dan terus hanyut
Sehingga kematian menjemput
Moga ada kebajikan yang tak terpadam.

CNM, 3012/11, 00.10 am
BBB

Kelelakianku, berahimu II

Kelelakianku, berahimu II

Kelelakianku
menyeka ghairah
bila bibirmu mengucup hangat bibirku
diiringi melodi nafas
mengasyikkan.

Kelelakianku
memendam rasa
bila rangkulan ghairahmu mengepam laju jantung cintaku
disusuli bisikan asmaramu
menghayalkan.

Kelelakianku
lemas dalam berahimu
terdampar di pesisir pantai asmara
dan terukir senyuman
di bibir nakalmu.

CNM, 28/12/11, 21.50 pm
BBB

Dedalu

Dedalu

Buka pandangan
sedari dedalu
sedang memerah
segenap kudrat
nanti kelumpuhan
meranapkan impian.

CNM, 28/12/11, 14.48 pm
BBB

Kelelakianku berahimu

Kelelakianku berahimu.

Kelelakianku
ingin memasuki kamar hatimu
mencumbui cintamu yang seksi
biar berahiku tertunduk
puas.

Kelelakianku
ingin menyingkap kelambu ranjangmu
berbaring menghirup wangian mungil dadamu
biar berahiku melesu
puas.

Kelelakianku
menggebu mulus seperti mulusnya ulas bibirmu
ingin sekali kubiarkan kau mengucup hangatnya
biar berahimu tersenyum
puas.

CNM, 27/12/11, 23.17 pm
BBB

Dinda

Dinda

Usah tunduk tersipu
menahan debar sukma
donggakan pandanganmu
tataplah senyuman ini
agar tenang getaran dadamu.

Usah melirik pandang
mencuri renung tampangku
palingkan jelingan
lihatlah semahu-mahumu
esok jangan rindu-rinduan.

CNM, 27/12/11, 22.46 pm
BBB