Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

29 November, 2011

Cinta Berpalang



Aku duduk dengan anak bujang
banyak pula idea datang
cinta zaman sekarang
banyak cinta berpalang
sepatutnya dihalang
sebelum bersarang.

Bini orang
laki orang
tunang orang
jangan ditenang-tenang
nanti kena kejar dengan parang
digelak dek orang.

Sumbang mahram
lagilah haram
dicucuk hidung dek syaitan
tak kenal hukum Tuhan
main sebat tak tahu halal haram
mohon dijauhkan.

Cinta sama jenis
memang jijik habis
haiwan pun tertarik lawan jenis
apa nak jadi manusia bernafsu iblis
ya Allah lindungilah kami dari cinta sejenis
balasan-Mu amat perit dan sadis.

Katakan tidak kepada cinta berpalang!

CNM 29/11/11, 12.12 noon
BBB
Cinta Berbelang

Banyak sudah yang pecah lubang
pengamal cinta berbelang
lelaki hidung belang
cinta diletak pada pucuk lalang
ditiup nafsu bergoyang-goyang
tiada satu yang patut dijulang
semua tembelang
cinta dikaburi dengan wang
body melayang
sepah dibuang
hidup bagai layang-layang
terumbang ambing kecundang
terjebak dalam hidup sumbang
angkara cinta berbelang lelaki hidung belang.

Hati-hati dengan yang berbelang!

CNM, 29/11/11, 11.11 am
BBB

Tit! Tat! Tit! Tat!

Tit! Tat! Tit! Tat!
tak pernah nak berhenti
lelah mengekori
nasib baik ada teknologi
semua perkara pantas kulakui
senang hati.

Tit! Tat! Tit! Tat!
tak pernah memandang lagi
semput kalau tak mengerti
syukur semua berjalan seperti dikehendaki
tiada yang terbantut menganggui
lapang emosi.

Tit! Tat! Tit! Tat!

CNM, 29/11/11, 10.45 am
BBB

Air Mata Cinta

Air Mata Cinta

Tertumpah jua walau diseka
kerana alam cinta sering dilambung gelora
yang merindu pasti merasa
ditemani air mata cinta
kerana bait-bait kata tak terbicara
hanya titisan menyampai rasa.

Mengalir akhirnya bila cinta ditahta
rasa kesyukuran cinta berbalas mesra
disatukan dalam lafaz suci berkat doa ayahbonda
meniti alam rumahtangga memupuk bahagia
jadi suami.isteri yang setia
dalam menjadi redha yang Esa.

CNM, 29/11/11, 8.33 am
BBB

Air Mata Rindu

Air mata rindu
bergenang di kelopak hati
menitis membasahi pipi cinta
terpisah dek jarak dan waktu
terasing dek laut dan benua
hanya laman puisi jadi taman bercandaran
keyboard penyampai gelora rasa
skrin bercahaya jadi saksi cinta antara benua
berteman air mata rindu lagi syahdu.

Kamu cepat bersatu!

CNM, 29/11/11, 8.15 pm
BBB

Salam selamat pagi

Salam selamat pagi
kepada semua warga PBKS
semoga hari anda jadi hari terbaik
yang pernah anda tempuhi
saya di sini sentiasa cuba menenami
membaca bait kata suara puisi-puisi hati
tersenyum sendiri
macam-macam gelora emosi
marah, suka, duka, misteri semua dilontari
semoga ukhwah antara kita lebih erat lebih bersemi
kupohon kepada Ilahi
semoga dipermudahkan segala urusan teman-teman di sini.

CNM, 29/11/11, 7.54 am
BBB

Laut Kasih 91

Dihambat dingin malam dinda
Aku jadi rindu bisikan cintamu
Khayal dalam pelukan hangat
Merasai setiap helaan nafas melingkari leherku
Kucupan mesramu mengasyikkan.

Diselimuti sepi malam dinda
Aku tak keruan tanpa belaian manjamu
Aku lemah dan karam dalam lautan kasihmu yang tak bertepi
Aku sering mendamba mimpi indah bercandaran denganmu
Menikmati gemersik alunan lagu laut kasihamu.

CNM, 29/11/11, 00.06 am
BBB

Laut Kasih 90

Denyut-denyut nadi
seakan mengheret aku terus berdiri
menjulang kasih dan sayang yang kamu tumpahkan
mempertahankan janji yang terlafaz
hingga helaan nafas yang terakhir.

Detak-detak jatung
seakan menjerit kepadaku agar terus bertahan
mengenggam butiran cinta yang kamu canaikan
biar kekal dalam tanganku rindu yang kamu hembuskan
jadi simpulan asmara yang mengikat kejat cintamu dan cintaku.

Debar hatiku dan debar hatimu
menyatu padu dinda
bercahaya menyinari
ruang alam laut kasihmu
tak pernah sirna.

Goldkey, 28/11/11, 22.36 pm
BBB

Laut Kasih 89

Kerana limpahan laut kasihmu
ingin aku terbang
hinggap ke jendela hatimu
mengantungkan tirai bersulam puisi cinta
agar setiap bukaan mata di pagi harimu
kamu bisa tersenyum dinda.

Sesungguhnya senyumanmu
jadi penawar yang merawat jiwa
yang aku dambakan setiap saat
bila kamu tiada di sisi
senyumanmu jadi azimat
bekalan semangat untuk terus bernafas.

CNM, 28/11/11, 21.36 pm
BBB

Kawal

Kawal
jadikan sesuatu terkawal
biar dalam kawalan yang berpandu
mudahan selamat
tiada yang terbabas sepertinya supir masuk gaung
hancur musnah barangkali juga bisa meletup, pom!!!
berkecai tak guna sesen pun.

Kawal
seeloknya bawa berbincang
minta pandangan
minta bantuan yang boleh diharapkan
usah mengambil jalan singkat diapit jurang
sedikit kelekaan padah mengundang
terjerumus ke lembah kebinasaan.

Apa pun kena kawal
kau kawal?

CNM, 28/11/11, 20.20 pm
BBB

Air mata kehilangan

Pernahkah
kamu termengalirkan air mata kehilangan
tak berkuasa membendung
bercucuran laju
menitis
membasahi dada yang menyebak
tak terucap kata
pilu menyiat-nyiat
hanya mata yang bersuara
aku, pernah kerana kehilangan.

CNM, 28/11/11, 17.47pm
BBB

Puisi kasih untuk dia

Puisi kasih untuk dia

Dia
lena di ribaanku
tak terketik
teralir getaran kasih
antara aku dan dia
dia terlalu istimewa
tiada tolok bandingan
kurela korban nyawa kerananya
dia, anakku Zharif Aimran.

CNM 28/11/11, 17.12 pm
BBB

Cinta bukan sekadar ungkapan

Cinta bukan sekadar ungkapan

Mahu kamu tahu
cinta bukan sekadar sebuah ungkapan
cinta harus terbit dari teras hati
yang luhur menyerahkan
tanpa syarat
tanpa paksaan
cinta itu suci
yang tak seharus dikhianati.

CNM, 28/11/11, 14.40 pm
BBB

Mungkinkah?

Sebening pagi
begitu suci harapan
dambakan
langit biru dihiasi awan memutih
embun menitis jernih di hujung dedaun
angin meniup sepoi membawa dingin
mentari menyinar menyuluh jalan
ombak berlagu riang
seakan tiada duka
sepertinya tiada sengketa
semuanya baik-baik saja
mungkinkah?

CNM, 28/11/11, 9.41 am
BBB

28 November, 2011

Laut Kasih 88

Malam ini dinda
ingin sekali aku lena dalam dakapanmu
mendegar degup jantungmu berpuisi
puisi cinta yang tertitip di hatimu
biar hatiku tersenyum.

Malam ini dinda
biar lenaku panjang
diulit mimpi bercanda bersamamu
menikmati indah pesisir laut kasih
yang kamu jaga musim ke musim.

CNM, 28/11/11, 00.30 am
BBB

Acuan belum menjadi

Aku tak kecewa
cuma sedikit hampa
melihat pasukan bolasepak kita
padaku pemain main sambil lewa
semangat bagai terpenjara
mudah menyerah sebelum tamat masa
bagaimana ingin gah di peringkat antarabangsa
semangat juang masih kelas tiga
sedikit kemenangan sudah buat alpa
sedikit imbuhan sudah bikin rasa selesa
bangun anak bangsa
kalau ingin maju contohi bangsa berjaya
jepun korea pilih saja
acuan sendiri belum mengena.

CNM, 27/11/11, 23.32 pm
BBB

Lebihnya orang

Masa berjuang
harus terusan bersemangat
mempertahankan apa yang ada
bukan sekadar berpusing menghabiskan waktu
mengharap nasib.

Lihatlah kelemahanmu
gagal mengambil kesempatan
di atas kekurangan lawan
fokus hilang semangat terbenam
sudahnya terima kekalahan.

Lebihnya orang
semangat semakin menjulang
bermain mati-matian
tak kenal erti ketinggalan
akhirnya menang dengan cemerlang.

Apa yang nak dibanggakan
jelas kamu belum matang
perlu lebih banyak berlawan
belajar dari kesilapan
bina kekuatan.

Terimalah kekalahan!

CNM, 27/11/11, 22.48 pm
BBB.

Hijrah cinta bertaut kasih

Maal hijrah mencatat sejarah
hijrah Nabi dari Mekah ke Kota Madinah
atas rasa kecintaan kepada ummah
bertaut kasih melakukan hijrah
meneruskan perjuangan di luar Kota Mekah
membangunkan ummah perteguh akidah
menyatukan manusia jadi amanah.

Kita ummatnya patut teguh sudah
ada al-Qur'an dan as-sunnah
tiada pecah belah
mengenggam tali-tali Allah
La Illah Ha Ilallah
Muhammad Rasulullah
aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu persuruh Allah.

CNM, 26/11/11, 9.06 am
BBB

Laut Kasih 87

Kujulang kasih dan sayangmu
kerana kutahu ia datang dari petak kalbu
ikhlas hanya untukku
terima kasih dinda
melimpahkan ketenangan
menghulurkan kedamaian
menemani perjalanan hidupku.

Kutahtakan cinta dan janjimu
kerana kutahu ia terbit dari kamar sanubari
tulus hanya kepadaku
terima kasih sayang
sering berdiri di sisi
sering ada di belakang
sering ada di waktu kumeminta.

Laut Kasihmu terus menyubur kasihku.

CNM, 26/11/11, 8.42 am
BBB

Sarapan pagi

Sudahkah kamu makan pagi
aku belum lagi
sekejap lagi aku cari
kat dapur ada roti
cicah dengan hot nescafe.

Mulakan hari
dengan minum pagi
jangan biar perut tak berisi
nanti masuk angin susah sendiri
sakit datang menyusahkan sana sini.

Ambilah makanan yang tak banyak kalori
badan sihat minda menari-nari
jemari ligat menggarap puisi
kongsi suka duka di hati
mengubati emosi sendiri.

Usah diambil makanan berat
nanti lemak berkarat
sakit jantung boleh melarat
tak sempat cari ubat
dah berangkat.

Kau boleh ingat?

CNM, 26/11/11, 8.25 am
BBB

Ada waktunya



Ada waktunya
kita keseorangan
menghadap hari mendatang
seakan tiada siapa yang peduli
melainkan hati dan perasaan sendiri
hanya degup jantung yang mengerti
bahawa hidup ini terus bernadi
bahawa hidup ini belum mati.

Apa pun jua kronologi
selagi hela nafas tak terhenti
selagi nyawa masih berbaki
Allah tidak pernah menyakiti
sentiasa ada untuk memberi
sentiasa hampir untuk diingati
pintalah dengan kerendahan hati
kerana Dia maha pengasih lagi menyayangi.

CNM, 26/11/11, 7.34 am
BBB

Maha Raja Lawak

Kata juri tak berapa lawak
jalan cerita tak berapa digelak
biar saja saya buat lawak
tersebut kisah pengantin baru melawak
setelah tujuh hari tujuh malam kenduri
di pagi malam pertama mereka
menangis tersedu sedan akan pengantin
terkejut kedua ibubapa
disangka mereka berselisih faham
bila ditanya mengapa?
dengan sedu sedan menjawab
mereka menangis menyesal lambat berkahwin.

CNM, 25/11/11, 23.42 pm
BBB

Nilai Tiga

Macam-macam barangan ada
dari alatan rumahtangga
hingga karpet dari India
dijual pukal harga sederhana
datang saja bawa wangnya.

Kain baju juga ada
hijau biru merah kuning dan jingga
mengaburi pandangan mata
wanita seronok memilih warna
pilih saja suami yang membayarnya.

Musim cuti sekolah rombongan sentiasa ada
mencari barangan murah harga
dari baju sekolah anak-anak hingga aneka bunga
tak habis nak ronda luas kawasannya
sekali datang tak cukup waktunya.

Bukan nak promosi bukan nak menjaja
saja seronok tengok aneka ragam pengguna
tawar menawar perkara biasa
selagi tak penuh belakang kereta selagi ditinjaunya
aduh! berhemahlah kalau berbelanja.

Kau, pernah ke Nilai Tiga?

CNM, 25/11/11, 21.50 pm
BBB

Takbir!

Takbir!
Allahuakhabar
ayuh! teman-teman
marilah kita bertakbir dan sujud kepada-Nya
masih ada ruang dan kesempatan
sebelum
kita ditakbirkan dengan empat kali takbir.

CNM, 25/11/11, 19.26 pm
BBB

OKU

Orang kurang upaya
jangan dipersenda
seharusnya mereka dibela
mereka juga insan biasa
tak meminta lahir kurang upaya
nasib menguji keimanan mereka.

Marilah kita
memupuk kesedaran menjaga
hak-hak insan kurang upaya
bantu mereka untuk berjaya
menjalani kehidupan lebih bermakna
kitalah yang perlu membantu seadanya.

Kamu bela?

CNM, 24/11/11, 20.46 pm
BBB

24 November, 2011

Hujan-hujan begini

Hujan-hujan begini
perut selalu bernyanyi
nak makan itu ini
susah hati bini
nak cekau selara suami
isteri mengidam pun tak macam ini.

Hujan-hujan begini
ibubapa susah hati
anak-anak main air tak ingat mati
kain baju bertimbun nak jemur tak muncul mentari
sejuk dingin sampai ke ulu hati
berselimut meringkuk macam bayi.

Hujan-hujan begini
kerja tak berapa nak harmoni
gangguan air hujan dan banjir sana sini
majikan rugi pekerja tak mari
apa nak buat hukum alam terjadi
terima saja dengan berat hati.

CNM, 24/11/11, 16.06 pm
BBB

Si Mata Keranjang

Pantang
melihat si dara berlenggang
mula memasang angan
ada hati nak tambah cawangan
sedang anak bini tungang-langgang.

Dara jelita
waspada perangkap buaya
berbahasa indah pekerti mulia
itu mungkin hanya mengaburi mata
berbuat baik ada maksudnya.

CNM, 24/11/11, 13.22 pm
BBB.

Katanya

Mengapa banjir melanda?
di tangan-tangan manusia
berlaku perubahan cuaca
gas-gas tercemar dibebaskan di sini sana
udara panas memerangkap haba
mengubah suhu dunia
ribut dan taufan sering melanda
membawa hujan berganda.

Di tangan-tangan manusia
berlaku pembangunan bandar mega
alam sekitar bukan lagi diutama
parit longkang sungai tak terjaga
hujan mencurah takungan melimpah isinya
banjir kilat sering membantut kerja
harta benda rosak tak terjangka
kerugian berlipat ganda.

Di tangan-tangan manusia
pembalakan berleluasa
gondol khazanah alam semesta
tiada lagi penapis air berharga
air tecemar menghakis kotoran segala
tanah runtuh mengancam nyawa
banyak sudah berlaku peristiwa
korban kerakusan manusia.

CNM, 24/11/11, 11.35 am
BBB

Banjir Tiba

Banjir Tiba

Hujan tak celik mata
musim tengkujuh melanda
ada yang bersorak gembira
ada yang bermuram durja
yang di lembah hatinya berdoa
moga hujan tidak terus menggila
yang di banggol hatinya tenang saja
banjir melanda apa nak dikata
sudah tiba musim terima denga redha.

Awasi anak-anak anda
jangan dibiar mandi manda
arus deras boleh bawa malapetaka
jadi mangsa banjir yang pertama
dengarkan pengumuman dari masa ke masa
air naik pindahlah segera
tinggalkan harta benda
selamatkan nyawa
itu lebih berharga lagi bermakna.

CNM, 24/11/11, 11.05 am
BBB

Kenangan

Kenangan
adalah segumpal penawar
menyubur rasa merimbun azam
jadi selembar aspirasi
penguat kendiri
meneruskan perjalanan
mematahkan onak dan duri
di sepanjang denai kehidupan
menuju puncak kejayaan.

CNM, 24/11/11, 10.43 am
BBB

Benarkah?

Wanita
memberi cinta
untuk membeli kasih dan sayang
dari lelaki yang dicintai
walau tak pasti.

Lelaki
menaburkan janji
untuk menawan cinta
dari wanita yang memikat hati
walau tak pasti.

CNM, 24/11/11, 10.24 am
BBB

Manisnya

Sungguh bertuah
masih diberi kesempatan
memuji dan memuja kebesaranMu
limpahan rahmat dan nikmat tak terhitung
pinjaman yang bermakna
tak terbalas ya Allah
semoga amalan dan doa kami
menepati syariat dan perintahMu
maka lindungilah kami
dari segala malapetaka dunia dan akhirat
tempatkan kami dalam golongan yang beroleh kemenangan
di sisi kekasihMu Muhammad S.A.W.

CNM, 24/11/11, 10.00 am
BBB

23 November, 2011

Si genik

Hah! petang ini
naluri kelelakianku berkocak lagi
dari jauh kuterbayang
si genik kuning
gebu mulus kulitnya
haruman menusuk dadaku
ingin sekali kumenanggalkan tudungmu
biar daku membelai rerambutmu
menyaksikan kegebuan setiap inci tubuhmu
lalu kugigit semahu
melempiaskan seleraku
aku, mendamba si genik jagung madu.

CNM, 23/11/11, 17.30 pm
BBB
@poyo.

Nafsuku menggebu

Entah mengapa tengah hari ini
nafsuku mencanak menggebu
wangianmu sungguh mencuit seleraku
nikmatnya mencumbui harumanmu
sungguh saat nafsu bergelojak menderu
tak dapat kutahan lagi
lantas kutelanjangkan balutan badanmu
kumandikan dengaan air hangat
kubiarkan engkau meliuk lentuk
dalam ranjang aluminium
ah!!! kau bikin seleraku memuncak
terima kasih maggi jantanku.

CNM, 23/11/11, 14.34 pm
BBB
@poyo.

Dia datang

Dia datang
membawa gundah
pasti ada yang musnah
ada yang hilang rumah
duduk dalam khemah
tunggu bantuan kerajaan berhemah.

Dia datang
membawa rezeki
ikan-ikan banyak sekali
tebar jaring sangkut sepat puyu keli
orang kampung suka sekali
dapat ikan free.

Dia datang lagi
pada musim yang dinanti
ada untung ada rugi
terima saja ketentuan Ilahi
susah senang silih berganti
hujan duka hujan rezeki.

Banjir tiba lagi!

Goldkey, 22/11/11, 21.21 pm
BBB

Memilih

Hati-hati memilih
usah terlalu memilih
silap pilih sering berselisih
mental letih
hati pedih
susah nak pulih
jiwa merintih
sukma mendidih
diselimuti sedih
semangat menjerih
apa pun tak boleh.

CNM, 22/11/11, 17.13 pm
BBB

Final Bolasepak Sukan SEA

Kamu patriotik?
tahukah kamu hari ini ada peristiwa
yang bukan sedikit menagih keringat
basah lencun belum tentu berjaya
ayuh! Teman-teman
berkampung kita di hadapan layar gergasi
menyaksikan sekali lagi
harimau malaya menerkam garang garuda.

Garuda sudah terluka
dirobek gawangnya sekali
kali ini pasti datangnya garang sekali
niat bukan sekadar mematahkan taring
barangkali ingin memagut leher harimau malaya
nah! Inilah masanya seluruh warga tanah melayu
menyokong padu anak-anak harimau malaya
berjuang membawa pulang emas acara sepak bola.

CNM, 21/11/11, 12.52 tgh
BBB

Pluk! Plak!, Pluk! Plak! Kecebum.

Jalan dalam air
seberhati-hati mana pun ada bunyi
silap langkah "kecebum" jatuh lubang
riuh sekampung
basah kuyup
malu!
lain kali jalan atas batas, ok!

CNM, 20/11/11, 11.11.
BBB

21 November, 2011

Jalan tanah merah

Masih ada jalan tanah merah
ya, ramai yang suka lalu jalan tanah merah
ada cabaran kendali kenderaan dengan terpandu
perlu kemahiran
sudah tentu pemandu tahu selok beloknya
sudah tentu pemandu tahu destinasinya
sudah dipilihnya jalan itu.

Nah! Jika kamu tidak mahu lalu jalan tanah merah
lalulah di jalan bertar
jangan pula mengata jalan tanah merah
ada lubang, ada lopak
jalan yang bertar tak semesti selamat
tiada tanah runtuh
tiada tanah jerlus.

Kamu yakin sangatkah?
jangan hanya takut kereta terpalit lumpur
jalan tanah merah jadi mangsa
mana tahu pemandu yang lalu mampu lalu tak percikan lumpur
barangkali mungkin
barangkali boleh terjadi
yang kita tak suka tak semesti orang tak suka
yang kita suka tak semesti orang suka.

Aku, aku tak suka aku cakap aku tak suka
aku, aku suka aku cakap aku suka
aku, aku tak nak pening kepala
aku, tak suka aku cakap kenapa aku tak suka
aku, suka aku cakap kenapa aku suka
aku, aku tak kisah orang tak suka, janji aku tak buat dosa
aku, aku terima kasih kalau orang suka, tak menyakiti hati sesiapa.

CNM, 20112011, 13.42 pm
BBB

19 November, 2011

Katakan tidak

Kepada rokok dan dadah
haram jadah
merosak hidup sampai sudah
sekali terkena terlalu banyak
susah nak berundur
susah nak melupa
sengsara membelit diri
jadi hamba sampai mati.

Jauhi
diri sendiri jadi benteng
tiada siapa boleh memaksa
jangan diikutkan nafsu serakah
hidup lebih bermakna
kalau pun tidak untuk orang sekeliling
cukuplah untuk diri sendiri
katakan tidak.

CNM, 19/11/11, 15.48 pm
BBB

RM 100

Adat menerima
kuucapkan terima kasih
atas bantuan persediaan persekolahan 2012
kerajaan prihatin
meringankan bebanan ibubapa
menyediakan anak-anak ke sekolah.

Yuran juga ditiadakan
alhamdulillah meningkatkan jumlah boleh guna
moga kerajaan bertambah teguh
ekonomi berkembang berlimpat ganda
aman damai rakyat hidup bahagia
negara maju seperti dicita.

Biar apa tanggapan sentengah puak
bantuan kerajaan harus dihargai
kata-kata mainan politik
hanya agenda musuh yang pandai berkata-kata
pelaksanaan janji entah ke mana
semua tak kena kalau titik hitam menyelimut jiwa.

Kita 1Bahasa, 1Bangsa, 1Malaysia.

CNM, 19/11/11, 13.36 pm
BBB

Senario masa cuti

Duhai ayah dan mama
bawalah daku berjalan-jalan
cuti-cuti satu Malaysia
cuti panjang ruang bersantai
tinggalkan tugasmu seketika
temanilah anakmu ini berlibur.

Duhai anakku
ayah dan mama terlalu sibuk
banyak tugasan nak diselesaikan
lebih baik anakku ke pusat tuisyen
ulangkaji yang belum faham
nanti tak ketinggalan.

Duhai pentadbir sekolah
kenapa tak buat kelas tambahan
ayah dan mama dah pening
nak layan kerenah anak-anak cuti sebulan
selama hari ni guru dijadikan babu
jaga anak kalau boleh sampai ke malam.

Duhai ibubapa
berilah peluang guru berehat
sepuluh bulan dah menjaga anak didik anak kalian
sebulan saja takkan tak boleh jaga sendiri
cuba curi peluang ajar anak-anak dengan acuan sendiri
cuba cari ruang bawa anak-anak bercuti.

Anak-anak kita tanggungjawab kita
keluarga kita tanggungjawab kita
berikan masa berkualiti untuk mereka
jangan hanya fikir pasal kerja
rumahtangga anak isteri perlu dibela
sebuah negara bermula dari keluarga yang bahagia.

Renung-renungkan sahabat semua!!!

CNM, 19/11/11, 13.10 pm
BBB

Masih buntang

Sudah pertengahan malam
mata masih buntang
membaca bait-bait kata suara teman-teman
ngantuk merajuk barangkali
setelah aku tidak melayan ajakkannya
kerana ada pepatah
orang yang hebat tidurnya kurang
betul ke begitu?
aku juga mahu jadi hebat
hebat menulis bait kata yang bermakna
menyampai mesej sesama
jadi peringatan mentaati yang Esa.

CNM, 19/11/11, 00.01 am
BBB

Tiga dara sebilik

Asalnya tepung beras
dimasak dengan kepala santan
dibiar menggelegak separa pejal
diceduk ke daun pisang
diletak tiga dara
dibalut kemas
hujungnya dilipat bak bersila
emm!!! sudah sedia untuk dinikmati
dicumbui baunya
dijilati lemaknya
itulah penangan tepung bungkus.

CNM, 17/11/11, 23.10 pm
BBB

Rimau Malaya vs Garuda

Malam ini saksikan
garuda ingin terbang tinggi
memagut taring rimau malaya
hendak dicampak ke selat sunda
lemas dalam asakkan bertali arus.

Berhatilah rimau malaya
aturkan seran hendapmu
patahkan paruh garuda
campaknya ke laut jawa
lemas dalam terkaman berbisa.

Siapa yang silap dia yang kena
atur langkah berseni
pantang berundur sebelum berjuang
berlawananlah dengan semangat kesukanan
maruah jangan dipermainkan.

CNM, 17/11/11, 18.06 pm
BBB


Rimau Vs Garuda II

Separuh masa
rimau membenam satu taring
sedang garuda gagal memagut
tinggal lagi separuh masa
ayuh! garuda jangan ribut
tebarkan sayapmu
bersedialah menerima terkaman maut rimau.

CNM, 17/11/11, 21.07 pm
BBB

Rimau vs Garuda III

Akhirnya
jatuh melayah garuda ke kaki rimau
kiranya silap percaturankah garuda ini
seharusnya mengajak rimau bermain di angkasa
bukan turun beradu tenaga di padang rata
syabas kepada anak rimau malaya
pada garuda ubati sayapmu untuk terus terbang tinggi
moga majulah sukan di rantau rumpun melayu.

CNM, 17/11/11, 22.06 pm
BBB

Oleh kerana

Oleh kerana teman-teman membisu
barang kali bersiap siaga menunggu malam jumaat
maka dengan ini lebih baik aku membaca novel
katanya menunggu keretapi
entah aku pon tak tahu keretapi apa yang ditunggu
aku belum lagi pon membaca
barangkali menunggu cinta datang
lalu menumpang cinta ke gerbang bahagia.

Oleh kerana teman-teman mendiam diri
barang kali mengulik teman istimewa sendiri
maka dengan ini lebih baik aku bermanja dengan sang ratu
menambah keitiman yang tersedia
aduh! jangan "jeles" pula ya
kemesraan lebih berharga dari emas permata
tiada dapat diniaga
tiada dapat di pasaraya.

CNM, 16/11/11, 21.55 pm
BBB

Dia gundah gulana

Hujan masih setia
menitis dan menitis
membasahi segenap rasa
walau tanpa air mata mencurah
resah gelisah bengkak mengening
hatinya jadi rawan
bagaimana harus memburu rezeki
sedang gelora menggila
menunggu saat menelan lenyap sebuah pengharapan
mengundang cucuran jernih
di tubir anak yang belum mengenal
erti hidup kais pagi makan pagi
hatinya berbisik lirih
ya Allah limpahkan rahmat buat kami
di hujung biduk pusakanya.

CNM, 16/11/11, 18.05 pm
BBB

Bilik terakhir

Dulunya hebat zahir dan batin
buat onar tak ingat mati
jual najis dadah
jual daging mentah
jadi lintah darat cekik darah
sepandai tupai melompat jatuh juga ke tanah
dituduh ke makhamah
tersabit salah
tunggu di bilik akhir
di hantar menemui Allah.

CNM, 16/11/11, 15.10 pm
BBB

Sebelum aku senyum

Kau tahu apa yang kuharapkan
sebelum aku senyum.

Kau tahu apa yang kufikirkan
sebelum aku senyum.

Kau tahu apa yang kuinginkan
sebelum aku senyum.

Kau tuliskan puisi paling indah dalam hidupmu
baru aku tersipu senyum.

CNM, 16/11/11, 13.22 pm

Andai aku mampu

Andai aku mampu
ingin aku jadi master goldkey
bisa aku buka pintu-pintu kebaikkan
memimpin teman-teman menuju redha-Nya
direstui.

Andai aku mampu
ingin aku jadi master goldkey
bisa aku mengunci pintu-pintu kejahatan
melencong teman-teman dari menuju kemurkaan-Nya
dirahmati.

CNM, 15/11/11, 22.38 pm
BBB

15 November, 2011

Dahsyat

Jerat
menjerat
pikat
memikat
ikat
mengikat
sakat
menyakat
angkat
mengangkat
hajat
berhajat
melekat
tamat.

CNM, 15/11/11, 15.40 pm
BBB

Laut kasih 87

Yang kupuja-puja
yang kusanjung-sanjung
yang kurindu-rindu
yang kucinta-cinta
yang kusayang-sayang
adalah kamu dinda
insan yang melimpahkan kasih
seluas lautan yang membiru ke ufuk.

CNM, 15/11/11, 13.50 pm
BBB

Ilham membeku

Hujan berdenting
memukul bumbung akal
dingin menyelimut pelusuk rasa
aku damba seteguk milo kosong
dicicah biskut empat bucu hup seng
menghangat ruang dada
menjana ilham membeku
menarikan jemari yang seakan kejang
untuk melukis kata pada skrin bercahaya
dalam bait yang bererti.

Hujan yang mencurah
akan terusan menangis
di tubir mata awan yang hitam
terejam manik-manik tajam menikam
larut bersama gumpalan toksid
meranapkan kesucian alam
yang sekian lama dicalit debu kemajuan
menerjah ilham-ilham beku
memecah bongkahan kebongkakkan
tersentak dan tersedar alam kian nazak.

CNM, 15/11/11, 13.38 pm
BBB

Terus melangkah

Berjanjilah teman
teruskan langkah
walau jalan kehidupan
penuh jerangkap berduri
yang dicipta makhluk yang direjam
selusuri nur hidayah yang terpancar
jadikan bagai rumah api menujuk jalan
jangan biar diri terbelit akar-akar kesesatan
lalu tersungkur ke lembah noda
jalan ketakwaan terbentang saujana mata memandang
di bawah redha syariat-Nya.

CNM, 15/11/11, 12.10 tgh
BBB

Laut Kasih 86

Andai ada
sepuluh insan yang menyayangimu
seorang daripadanya adalah diriku dinda,

Andai hanya seorang
di dunia ini yang menyayangimu
insan itu adalah diriku dinda,

Andai tiada lagi
insan yang mencintai dan menyayangimu,
ketahuilah dinda tiada lagi diriku di dunia ini.

CNM, 14/11/11, 23.25 pm
BBB

Highway Cinta

Berliku di jajari jurang dalam
andai tersalah panduan
bisa terbabas ke cenuram
membunuh jiwa
merana.

Beronak dan duri tajam
andai tersalah pilihan
bisa bernanah luka
meracun jiwa
sengsara.

CNM, 14/11/11, 22.57 pm
BBB

Mahu melelap

Mata merayu-rayu
ingin melelap sejenak
rindukan dengkuran syahdu
kuturutkan
rentaknya.

CNM, 14/11/11
BBB

Bahaya membenci

Bahaya membenci

Membenci itu bahaya sekali
barangkali boleh bertukar jadi sayang
parah jadinya
malu sendiri nanti
bila sudah sayang mulalah merindu
makan tak lalu
termenung menunggu-nunggu
merindu boleh bertukar jadi cinta
cinta kepada yang dibenci
boleh jadi begini.

Hik! Hik! Hik!

CNM, 13/11/11, 22.10 pm
BBB
@adeh

Yang

Yang kecewa,
kusemai cinta tumbuhnya lalang.

Yang berjaya,
kucampak biji bertunas pohon cinta.

Yang malas,
kutunggu cinta yang datang bala.

Yang rajin,
kumengejar cita yang hadir cinta.

CNM, 13/11/11,
@adeh.

Tersenyum

Tersenyum

Cuti sekolah
ada insan tersenyum girang
diiklankan kehebatannya
pisaunya diasah tajam
hatta bulu roma mampu dicukur.

Cuti sekolah
anak-anak terasa gerun
berhadapan si pemotong
ada yang lari naik gunung
takutkan mudim yang tersenyum.

CNM, 12/11/11, 18.07pm
BBB
@puisi poyo

Tukarkan waktu

Waktu yang melebur
alangkah indahnya jika ditukar
jadi sebuah kitab ilmu
rujukan sepanjang zaman
untuk waris dan warisan.

CNM, 12/11/11, 17.20 pm
BBB

Menanti senja

Duduk bersimpuh di atas tangga
menunggu langit merona warna jingga
membawa hari yang bermakna
beriring ucapan doa
memohon kesejahteraan dari yang Esa
moga dianugerahkan limpahan hidayah-Nya
segala amalan diredha
suci dari segala dosa
jauh dari bakaran api neraka
mendapat nikmat syurga
jadi hamba yang berjaya.

CNM, 12/11/11, 15.15 pm
BBB

Hujan kenduri

Di sana menjemput
di sini memadah
terasa semput
perut kenyang membunting
itulah nikmat
panjang silaturrahim
persaudaraan tak terputus.

CNM, 12/11/11, 12.12 tgh
BBB

Di hujung minggu

Di pagi hujung minggu begini
bersantai bersama yang tersayang
jadi idaman jadi kemestian
detik keemasan
sukar dilepaskan.

Di pagi hujung minggu begini
bergurau senda dengan yang tercinta
jadi keperluan jadi amalan
saat tak ternilai
selalu dinantikan.

Waktu bersama keluarga
terlalu berharga melebihi segala
kembalilah yang alpa
menyayangi
mereka yang menunggumu.

CNM, 12/11/11, 11.11 am
BBB

12 November, 2011

Senyumanmu



Senyuman yang terukir
sungguh anakku
sungguh mendamaikan hati
tiada yang lebih indah
dalam seharian selain menatap
sebaris lengkung senyuman di bibirmu
bahagia hatimu bahagia abah dan ibu.

Senyumlah selalu duhai anakku!

CNM, 12/11/11, 10.35 am
BBB

Ayam bapak vs bapak ayam

Dua-dua makhluk Tuhan
satu tiada akal fikiran
satu diberi akal dan kemuliaan.

Ayam bapak
berperikemanusiaan
berkokok menyedarkan insan
bangkit dari lena mengerjakan perintah Tuhan
memberi sumbangan.

Bapak ayam
tiada perikemanusiaan
menjual daging mentah ayam-ayam
menjerumus insan ke jalan kehinaan
menyusahkan.

yang mana lebih mulia tuan-tuan?

CNM, 10/11/11, 22.33 pm
BBB

Telur mata kerbau

Persatuan ayam sedunia
melancarkan demonstrasi di seluruh dunia
di mana pengeraknya berpengkalan di Tanah Melayu
membantah akan penggunaan istilah
yang menjadi duri dalam daging
kepada kaum ayam
betapa kejamnya penjenamaan ini
nama telur ayam sewenang-wenangnya ditukar
setelah dimasak dipanggil telur mata kerbau
adilkah?

CNM, 10/11/11, 22.20 pm
BBB
@puisi poyo

Kerana susu

Seringkali kita dengari
anak-anak kini tiada jati diri
punya perangai buat ibubapa makan hati
maka ramai yang mengkaji
setelah meneliti pelbagai situasi
dirumuskan remaja bermasalah mentaliti
bertindak tanpa memikirkan kesannya nanti
saya mencadang barangkali
kesibukkan ibubapa punca berpotensi
anak-anak diberi minum susu lembu dari zaman baby
jadi perangai tak berapa menjadi.

CNM, 10/11/11, 22.02 pm
BBB
@puisi poyo

Satu rasa

Ingin kukongsikan satu rasa
namun apadaya akal berkata tidak
jadi aku biar saja ia tersimpan dalam kabinet memori
mungkin suatu ketika
akan kamu temui
dalam puisi-puisiku
yang mengalir
ke lembah nyata.

CNM, 10/11/11, 14.23 pm.

Rencam

Kita sama
punya mulut yang perlu disuap
namun menimbul rencam warna hati.

CNM, 10/11/11, 13.55 pm
bbb

Aku berjalan

Aku berjalan seiring hela nafas
mengutip puing-puing pengajaran
dan kukendung buat bekalan meredah
sebuah kehidupan sebelum dijemput pulang.

CNM, 9/11/11, 23.32 pm

Keegoan dendam

Jika bergelumang
dalam kubang berlumpur
keegoaan dendam akan membunuh
sisa kasih dan sayang yang berbaki di hati
kelak penyesalan menyusul tiada berguna lagi
malu di atas keterlanjuran kata dan tingkah sendiri
meratap dan membenci kebongkakkan diri
tidak bisa mengundurkan waktu
menebus kesilapan lalu
bersedia terimalah
padahnya.

CNM, 9/11/11, 23.16 pm
BBB

Aku tak sempurna

Aku tak rasa aku cukup sempurna
yang tidak pernah menyakiti secebis hati
jika aku jelek pada pandangan mata
maka jeleklah aku
namun aku dari masa ke masa
mencuba dan terus mencuba
untuk tidak mencalar rasa
dan
andai aku dalam tidak sedar
merobek luka
aku akui itu adalah kelemahan
yang aku sendiri tidak inginkan
kerana aku tahu betapa sakitnya disakiti
salam kemaafan kulafazkan atas kesulitan
dalam sedar aku ingin jadi sesempurna termampu.

CNM, 9/11/11, 22.33 pm
BBB

Kalau ya pun

Kalau ya pun
merajuk
seeloknya senyum saja
sembunyikan dalam hati
biar hanya berkenaan yang tahu.

Kalau ya pun
merajuk
usah ditayang muka cemberut
kalahkan cencorot
muncungnya boleh disimpul.

CNM, 9/11/11, 17.19 pm
BBB

Budu Cinta

Peraman bilis kasih
dalam tempayang rindu
disimpan di para-para cinta
harum mewangi menusuk kalbu
enak dicicah ulam asmara
nasi bertambah penangan budu cinta
sekali rasa tidak pernah melupa
hidangan pasangan bercinta.

CNM, 8/11/11, 23.16 pm.

Merindu

Pekat malam
menyalakan bara rindu
setelah dihembus bayu berharuman wangianmu
sukma menggelinjang di ranjang asmara
banyangan wajahmu memenuhi benak kalbuku
kutewas dalam amukan kenangan bersamamu
aku merindu.

CNM, 8/11/11, 21.23 pm
BBB

Berhujan rindu

Berhujan rindu

Hatinya menagis sendu
menelan hari-hari dalam bisu
hanya kenangan yang bertamu
menjadi pengubat jiwa di penjara syahdu
setelah berhujan rindu.

CNM, 8/11/11, 17.45 pm
BBB

08 November, 2011

Malam dan siang




Melewati senja ini
kebiruan langit mengendur
memberi laluan merah saga menempel
mewarnai bumbung alam
menanda berselisih malam dan siang
pada satu sempadan tiada kelihatan
yang saban waktu silih berganti
pada saat dan ketika sepertinya berulang
namun tiada pernah menyamai yang semalam
mahupun akan datang
bukan juga ilusi bukan juga mimpi
suatu realiti yang pasti
malam takkan mendahului siang di laluannya.

CNM, 8/11/11, 16.50 pm
BBB.

Penat

Zaman berubah,
masa budak penat berjalan
masa remaja penat kayuh basikal
masa belia penat rempit motorsikal
masa dewasa penat beratur naik bas
sekarang dah tua penat pandu kereta,
sampai bila-bila pun penat memburu.

CNM, 7/11/11, 21.10 pm
BBB.

Tujuh November

Kulihat mentari pagi
memberi senyuman manis
dari celah dedaunan pohon di puncak gunung
berseri menyuluh kabus pagi
embun meruap bersama wangian reremputan
hari kian terang dihiasi awan yang memutih
langit kebiruan melaut saujana mata memandang
kicauan burung membelah suci alam
indah sungguh aturan ciptaan
Ya Tuhanku maha Agung Kekuasan-Mu.

CNM, 7/11/11, 9.10 am
177, Chini 05.

Salam

Salam
selamat pagi semua
bangkitlah teman-teman
tunaikan solat
sesungguhnya bersolat itu lebih baik dari tidur
ucapkan syukur kepada Ilahi
masih diberi-Nya kesempatan satu lagi hari
meneruskan kehidupan yang indah ini.

Didoakan agar kalian semua
dalam limpahan dan kurniaan
kesihatan dan kesejahteraan tubuh badan
mempunya akal yang waras dalam segala tindakan
sentiasa bermuhasabah diri
mengkaji dan meneliti yang baik dan yang keji
agar nantinya tergolong dalam kalangan golongan
yang berjaya di dunia dan juga akhirat.

CNM, 7/11/11, 5.58 am
Chini 05.

Aku diserang penyakit

Ah! Di musim perayaan begini
aku sering kali diserang penyakit
setelah menelan pelbagai juadah
perut mula terasa sebu
mata tiada boleh dibuka
hendak berbaring saja
inilah bahana penyakit kenyang
syukur Alhamdulillah.

CNM, 6/11/11, 12.41 pm
Chini 05.
@puisi poyo

Raya Budak Zaman IT

Berduyun-duyun datang beraya
semangat rasa nak jamu selera
ketupat rendang semua ada
kuih bangkit sungguh menyelera
jemputlah makan apa yang ada
"kami kenyang sudah", kata mereka
kami datang nak duit saja
budak zaman ini materialistik ajaran siapa?
bukan hendak beramah mesra
agaknya nak kumpul duit beli Ipad segala.

CNM, 6/11/11, 10.30 pm
Chini 05
@puisi poyo

06 November, 2011

Salam Eidul Adha

Salam sejahtera
salam dan doa kuutuskan
semoga kalian dalam limpahan rahmat-Nya
dapat bersama-sama menyambut eidul adha
berkorban ke jalan kebenaran
jalan mulia jalan yang diredha
seperti mana redha-Nya kepada Rasul-rasul pilihan
makan tergolong kita dalam kalangan yang mencapai kemenangan
dunia dan akhirat
mudahan
InsyaAllah.

للّÙ‡ُ اَÙƒْبَرُ، اَللّÙ‡ُ اَÙƒْبَرُ، اَللّÙ‡ُ اَÙƒْبَرُ، لاَ اِÙ„َÙ‡َ اِلاَّ اللّÙ‡ُ اَللّÙ‡ُ اَÙƒْبَرُ، اَللّÙ‡ُ اَÙƒْبَرُ، ÙˆَÙ„ِÙ„ّÙ‡ِ الْØ­َÙ…ْدِ,

CNM, 6/11/11, 7.12 am
Chini 05.

Maha Suci Allah

Sesungguhnya
malam-malam gelita
jadi bercahaya dengan memuji-Mu.

CNM, 6/11/11, 1.15 am
Chini 05.

Cinta Pertama

Dari pandangan mata
menyelinap ke pangkal jiwa
hati berbunga-bunga
muka merah merona
kelu seribu bahasa
tak terkata
hanya rasa bergelora
jantung berdegup luar biasa
peluh dingin menempias di muka
malu-malu nak bertanya
di hati hanya Yang Esa ketahuinya
bahawa dia jatuh cinta pandang pertama.

CNM, 5/11/11, 20.44 pm
Chini 05.

Aku di Chini

Bukan mencari naga tasik Chini
bukan juga mencari bidadari
mengunjungi ipar yang disayangi
sudah lama tidak bersantai di sini
banyak sudah yang diperbaharui
rumah makin besar macam pak menteri
wifi pon ada boleh melayari laman puisi
tak ketinggalan zaman ICT
canggih sungguh era ini
tak terputus hubungan di serata bumi.

CNM, 5/11/11, 18.41 pm
CHINI 05

Memperkata

Kita sering jumpa
macam-macam orang memperkata
kerana ia beribu kali lebih mudah dari melaksana.

Kau juga?

CNM, 4/11/11, 21.51 pm
BBB

Diburu kisah silam

Andai diburu kisah silam
yang amat sukar melupa
tanya sama hati
berbaloikah air mata
menyiram subur kenangan
tumbuh jadi duri
menyakiti waktu ke waktu.

Kuburkan kisah silam
bernesankan jalan hidup baru
biar gelak tawa jadi saksi
kenangan hanya pelangi
yang datang sesekali menyeri
dan pergi tanpa menoleh lagi
tinggal senyuman berdiri.

CNM, 4/11/11, 21.10 pm
BBB

Jadi lupa

Terkadang aku jadi lupa
namun aku cepat sedar diri
tiada memiliki ilmu yang tinggi
hanyalah sekadar meminati
penulisan puisi
dan aku mengharapkan
apresiasi yang membina
komentar yang buat aku belajar
di mana kurangnya
di mana lebihnya
nukilan yang ternukil ini.

CNM, 4/11/11, 20.33 pm
BBB

Ganasnya

Ditetak bertubi-tubi
tanpa sekelumit rasa kemanusiaan
dipotong-potong seenak rasa
lalu disumbatnya isi
memenuhi segenap rongga
dibakarnya hidup-hidup
berjam lamanya hingga terhangus.

Dikejar hingga ke hujung dunia
dengan seluruh kekuatan anggota
dipegang lalu disembelih
dilapahnya kecil-kecil
dan dicampak ke gaung aluminium
baunya menusuk-nusuk deria
memecah selera.

Ganasnya menyedia lemang dan rendang ayam!
Selamat menyambut Hari Raya Korban.

CNM, 4/11/11, 17.27 pm
BBB

Konon atas nama kebebasan hak manusia

Ingin diperjuangkannya
hak kebebasan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual
mengamalkan cara hidup songsang
sungguh jijik
sedang binatang yang bernafsu
memilih pasangan lawan jenis
di mana taraf akal kamu, sedang kamu mendakwa kamu golongan bijak pandai?

Tidakkah kamu pelajari dari umat terdahulu
hancur binasa akibat kesongsangan memilih jalan kehidupan
Ya Allah Ya Tuhanku
Engkau gagalkanlah segala bentuk kemungkaran ini
lindungi kami dari malapetaka yang menimpa orang-orang yang sesat
sesungguhnya seksaan balasan-Mu amat pedih
hancurkanlah anasir-anasir menyesatkan.

CNM, 4/11/11, 16.20 pm
BBB

04 November, 2011

Selangkah

Selangkah yang dirancang
lebih bermakna
dari seribu langkah yang membuta tuli.

Selangkah ke belakang dengan iringan ketenangan
lebih bererti
dari seribu langkah ke depan dengan kekalutan.

CNM, 3/11/11, 23.33 pm
BBB

03 November, 2011

Tak Dapat Anak

Siang dan malam
baginya tiada lagi keindahan
hanya air mata jadi teman
diburu persoalan
diburu penyesalan
jika diundurkan waktu
tidak akan dijamah telur itu
kerana kata suami
"kita tidak akan dapat anak".

CNM, 3/11/11, 1029 am
Kajang

Laut Kasih 85

Malam ini dinda
akan kubisikkan kata cinta
biar dikau terlena
dalam dakapan yang hangat membara
membantali dada.

Malam ini dinda
akan kulagukan kata asmara
biar dikau tergoda
dalam amukan gelora jiwa
berpelukan melayari sendaloka.

Malam ini dinda
akan kubelai hatimu sepenuh raga
biar dikau tersenyum berbunga
menyambut kasih dan cinta
yang kutahta padamu jua.

CNM, 2/11/11, 22.55 pm
BBB

Laut Kasih 84

Dengan nama Allah
yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihi
sempena ulang tahun kelahiranmu dinda
kutuliskan sebuah puisi
yang lahir dari perut kalbu
bahawa cinta kasih dan sayangmu
sungguh melimpah ruah
bagai air bah melimpahi tetambak.

Dengan nama Allah
yang maha Pemurah lagi Maha Mendengar
kupanjatkan doa
kurniakan kesihatan yang berpanjangan
limpahkan rezeki yang halal
lanjutkan usia isteriku
dan dengan itu dapat kami berkasih sayang
bersama menghambakan diri beribadat kepada-Mu.

Ya Rabbi
jauhi laut kasih kami dari
badai taufan yang menggila,
tsunami yang tak disangka-sangka,
gempa yang bisa meruntuhkan rumahtangga,
fitnah yang merosakkan ikatan suci sedia terbina,
ujian yang tak tertanggung kami berdua,
aku mohon sungguh-sungguh pada-Mu yang Esa.

CNM, 2/11/11, 20.45 pm

Kalut

Bergelut
muka herot
mencari yang patut
dalam rencah akal yang kalut
berselibut
carut mencarut
berselut
cipta rasa takut
melalut.

CNM, 2/11/11, 19.07 pm
BBB

Ketika

Ketika
menjauh
rindu pun
berputik girang
mengedik-gedik.

Ketika
bersama
asmara bergelora
menguntum mekar
mengelinyau.

CNM, 2/11/11, 15.30 pm
Seri Kembangan

Bahawa November ini

Bahawa November ini
awan sering kali merona hitam
tepu membawa titisan hujan
mencurah dingin
basah kontang bumi.

Bahawa November ini
bumi dan penghuni bisa tersenyum
hilang dahaga
seraya berdoa tiada musibah
kebanjiran menjauh.

Bahawa November ini
benih-benih cinta disemai
dalam dingin malam dan siang
nah! menjelang ogos
tangisan pertama bergema lagi.

Bahawa November ini
mencatat seribu satu cerita
dalam sejarah setiap hamba
aku doakan saja
semoganya yang terbaik diterima.

CNM, 2/11/11, 15.10 pm
Seri Kembangan.

24 jam

Aku rasa tidak cukup
begitu lelah mengejar masa
masa yang tidak pernah ingin berhenti
berputar dan terus berputar
moga aku tidak tersungkur
dan ditertawakan waktu.

CNM, 2/11/11, 14.58 pm
Seri Kembangan.

Cinta Tiga Bucu

Cinta pada alam
demi sebuah kehidupan.

Cinta pada insan
demi sebuah ikatan.

Cinta pada Pencipta
demi sebuah keredhaan.

CNM, 1.11.11. 17.58 pm
BBB

Di sudut

Di sudut mata
tubir merona merah.

Di sudut hati
tiris titisan merah.

Di sudut sepi
bicara dengan menadah.

Pasrah!

CNM, 1.11.11, 17.47 pm
BBB

Tak perlu berkata

Siapa pun mereka
yang tiada kena mengena
biar saja
tak perlu kata apa-apa.

Urus tadbir dada!

CNM, 1.11.11, 16.53 pm
BBB

Laut Kasih 83

Dinda
mahukah kamu tahu
kenapa aku memilihmu?
jadi suri hati
jadi ratu yang kusayangi.

Dinda
dari detik pertama kali
sinar matamu menusuk kalbuku
aku yakin dan pasti
kamulah anugerah Ilahi.

Dinda
keyakinan dan kepastian
yang kugenggam menjadi permata
kerana limpahan laut kasihmu
tidak sesekali mengecewa.

CNM, 31/10/11, 23.12 pm
BBB

Kita tak sama

Kau sebutir bintang
mengerlip berkerdip berkilauan.

Aku sekeping kaca
kusam kelam kehitaman.

Jauh,
jauh,
dan jauh.

CNM, 31/10/11, 19.46 pm
BBB

Melurut Gundah

Kutulis puisi berantai
buat tatapan hatimu dinda
melurut gundah yang terpagar
jadi duri yang menyucuk perit pedih
agar dikau bisa tidur lena
dalam dakapan kasihku.

CNM, 31/10/11, 17.12 pm
BBB