Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

24 January, 2016

Makan

Si miskin
kais pagi makan pagi
kasi petang makan petang
tertanya-tanya
apa yang akan dimakan?

Si kaya
ada segala
sebut saja ada di meja
bertanya-tanya
nak makan di mana?

Si politikus
saban hari mendengus
lubuk mana nak ditimbus
liar menikus
siapa mangsa nak dihapus?

CNM

Kedah Vs Pahang

Kedah
hijau panorama indah
rakyat tiada gundah
tadbir urus berhemah
pemimpin berwadah
khidmat kerana Allah.

Pahang
merah hangat berbahang
rakyat dalam bimbang
tadbir urus bertualang
pemimpin main wayang
khidmat kerana wang.

CNM

Bicara Puisi

Hei!
Pembogel aksara
apa yang engkau ghairahkan itu?
Aku bukan wanita seksi
bertelanjang di ranjang berahi
lenggang-lenggokku sekadar berbasa-basi.

Hei!
Penelaah kosa kata
apa yang engkau kecurkan itu?
Aku bukan jeruk mempelam muda
memecah liur ibu bunting kembar dua
siratan maknaku sekadar di pemuka.

Hei!
Tuntun ghairahmu
lempias hajat biar bersukat
dan pimpin liurmu
biar gecarnya tak tersasar
engkau belajar aku tak beronar.

CNM

3P

Insan
dambakan
PENERIMAAN.

Insan
inginkan
PERHATIAN.

Insan
dahagakan
PENGHARGAAN.

CNM

Bauksit

Digali segala bukit
bukan sedikit
rona karat melekit
selut debu menghimpit
penyakit menyelit
alam terpalit
rakyat tersepit
tadbir urus berbelit
kekayaan disumpit
kelestarian dihumban ke parit.

CNM

Parah

Belantara ditarah
robot-robot rakus menarah
tangan-tangan penjarah
tak kenal padah
alam musnah.

Tanah-tanah berdarah
lurah-lurah alirkan nanah
muara meludah
laut biru berubah
lenyap panaroma indah.

Siapa punya kerenah?

CNM

Ikat

Kerana gelaranku
aku diikat tanpa tali
akur janji
perintah itu ini
membatasi.

Kerana gelaranmu
kamu mengikat tanpa tali
menabur janji
lunak didengari
mengaburi.

CNM

Adus!

Kelihatannya dia telus
mulus lagi tulus
kudus.

Bungkus membungkus
rakus merebus
terkukus
dek fulus.

Penyamun Tarbus.

CNM

Tunai

Ketahuilah semua
kenaikan bayaran tol itu benar
kenaikan harga barangan dapur itu benar
kenaikan kos sara hidup itu adalah benar
kenaikan tambang pengangkutan awam itu benar.

Ya Allah
kami diminta ikat perut kami reda
kami diminta kerja lebih masa kami reda
kami diminta berjimat cermat kami reda
kami diminta bangun awal pagi elak kesesakan kami reda
Jika ada yang bertanya
mahukah lagi pemerintah sedia ada?
maka jawaplah dengan yakin dan pasti
kami akan guna kuasa undi
mengubah nasib kami.

Jangan nanti
pak-pak menteri
meroyan kehilangan kerusi
kerana apa kami janji
tunai tetap kami tunai.

CNM

13 December, 2015

Tersandar

Dipersandar
pada ucap dasar
ramai yang mendengar
dunia bergegar
ramai tersandar
air mata menitis lancar

syahdu di kamar
menelah dalam samar
sisa-sisa tinggal terpancar
tak terhapus dek uar-uar
mainan di saat tercabar
sekadar melepas lelah hingar bingar
mencari ruang tebar sayap mencakar.

CNM

27 November, 2015

Warna Langit

Seindah mana pun
simbahan cahaya mentari
di dada langit 
tak terjanjikan
panas ke senja.

Seburuk mana pun
gumpalan awan hitam
di kaki langit
tak menjanjikan
titis hujan.

Tak siapa ...kan tahu
kesudahan waktu.

CNM, 15/11/15

Terkadang

Tatkala diri terasak
pun tersentuh nurani
seakan terasa;

ingin saja
berlari ke hujung dunia
tinggalkan segala
bawa suka duka
buat menenami jiwa,

ingin saja
menyendiri seketika
renung yang menimpa
mencari punca
kenapa dan mengapa?

Ya Rabb
dekatkan daku kepada-Mu
takdirkan daku reda-Mu.

CNM, 15/11/15

Renung

Pada dada langit
ada tercatit,

pada muka bumi
ada dikiasi,

pada gelita kegelapan
ada harapan,

pada terang cahaya
ada tanda-tanda,

renung
kutip jadikan payung
berlindung.

CNM, 14/11/15

Letih

Letihnya
tatkala salah memilih
terpedaya
janji mulus
mendidih merebus.

Lelahnya
tatkala tiada kuasa
diperdaya
kata nista
membakar jiwa.

CNM, 14/11/15

14 November, 2015

Nov-Dis

... dia datang lagi
manis atau ngeri
tak siapa pasti

...dia bertandang lagi
menggamit tragedi
bergenang mengingati
dibanjiri

...dia mendekat lagi
gusar menghimpit hati
apakah bencana menanti?
Hujan mula membasahi
bumi diladungi

...dia seakan menyakiti
seribu robekkan menyiat naluri
dia mengajar erti berbudi
alam perlu dilestari
pewaris mampu nikmati
sejahtera menghuni.

CNM, 13/11/15

Titis Rasa

Di sebalik kaca
titis-titis rasa
deraikan air mata
tatkala
mati langkahan asa.

CNM

50pp Gebang Menteri

Khalayak hangat hati
pak-pak menteri
melontar akalan ngeri
apa sudah jadi?
Gebang mata gergaji
disorong memotong sanubari
ditarik membelah hati budi
ke mana hilang segala janji?
Membela rakyat pabila merayu undi
realiti bukan fantasi
dugaan menguji
himpitan demi himpitan mendatangi
kepada siapa lagi rakyat menagih simpati?
Ya Allah lindungi kami.

CNM, 5/11/15.

50pp Impian

Setiap dari kita pasti ada impian
hanjatkan sesuatu yang didambakan
yang bijaksana akan mengatur tindakan
menyusun langkah mengapai kejayaan
yang beralasan keinginan tinggal anganan
hanya duduk menyatakan seribu kepayahan
belajar daripada yang beroleh kesejahteraan
menempuh setiap dugaan penuh kesabaran
menyelesai ujian dengan segala kepintaran
janji-Nya pasti untuk yang gigih merencanakan.

CNM, 5/11/15

50pp Tercekik-Mencekik

Dahsyat orang politik
apabila tercekik dia mencekik
segala benda dinaik
bukan sikit tapi macam daik
tegak menjulang konon amalan terbaik
berkokok girang mendabik
khabarnya membela rakyat dari terbalik
sayang satu dunia pelik
rakyat rakus dicekik
buat menutup lompong dan carik
ya Allah lindungi kami dari dicebik
anugerahkan kami pemimpin baik.

CNM, 3/11/15

50pp Iradat

Hidup ini jalannya telah tercatat
usah menggelepar terperanjat
perbanyakkan doa bermunajat
mohon dipermudahkan segala hajat
dianugerahkan rahmat dan nikmat
andai hidup tersagat disiat
anggaplah ujian menjadi yang kuat
reda dengan segala kudrat
perah titisan keringat
perlu diingat
bahawa langit tak selamanya akan berkarat
bahawa setelah hujan pelangi mendekat
terimalah hakikat.

CNM, 2/11/15

Melarik Hujan

Kepul-kepul debu ketamakan
meruap serata jiwa petualang
ranapkan sisa-sisa harapan
hidup sejahtera aman damai
yang terbit gelisah
menghimpit kehidupan.

Tangan-tangan keikhlasan
gigih melarik hujan kebenaran
seribu hadangan sengaja diciptakan
terhalang arus buat menyimbah
daki-daki pembohongan
ke cenuram keadilan.

Ya Rabb lindungi kami.

CNM, 17/10/15.

Ranap

Semalam
telah jadi sejarah
keranapan diukir
kata-kata mungkir
dizahir.

Hari ini
kita mengampu keranapan
dengan tangan-tangan polos
membayar dengan ongkos
hutang menerobos.

Esok
kita mungkin meranap
dengan beban dihempap
hidup kian malap
gelap menyelinap.

Siapa antara kita peranap?

CNM, 14/10/15

Calon


Tolak
yang memahalkan.

Pilih
yang memurahkan.

Berjanjilah.

CNM

Giris

Dari atas tikar awan-gemawan
terlihat negeri hujung benua
diselubung jerebu
kian kalut
rakyatnya terjerut...

dari atas hamparan awan-gemawan
tertabir negeri tepian benua
disimbah resah
kian melalut
khalayaknya dicerut...

yang kembang ...kan mengecut.

CNM, 12/10/15

Pernah?

Engkau
pandai tulis baca
kerana siapa?

Engkau
pandai mengaji
dek siapa?

Engkau
pandai mengelecek
latihan siapa?

Engkau
pernah ucap terima kasih?

CNM, 16/9/15

Pudar

Betapa
jerebunya negaraku
tak seindah warna-warna Jalur Gemilang
sirna gemerlapan
ditelan caturan berkarbon.

Betapa
berhabuk negaraku
tak sedamai kibaran Jalur Gemilang
lesu berdebu
pincang dek salahlaku.

Merah membarah
Biru membeku
Putih Merintih
Kuning Meruncing
pudar.

CNM, 16/9/15

Enambelas September

Malaysiaku meriah
Melayu dalam warna merah
lambang amarah
Melayu marah
berpadu satu arah.

Malaysiaku indah
Melayu dalam warna merah
lambang pejuang gagah
Melayu tabah
bersatu dek satu akidah.

Malaysiaku berdiri megah
Melayu dalam warna merah
tak akan Melayu hilang kata Bang Tuah
Melayu tak mahu dijajah
Melayu Islam bangun menyangah.

Malaysiaku gah
Melayu satu wadah
pertahan tanah tumpah darah
bangsa bermaruah
khalifah di bumi Allah.

CNM, 13/9/15

#Jerebu

Alam turut kelabu
terserak debu-debu
pedih mata kalbu
bergenang kristal biru
menitis laju
betapa tadbir urus lesu
mengeliru
berapa lama perlu tunggu
pimpinan berhala tuju
rakyat dipacu
duduk di mercu.

Jerebu bawalah luka bersamamu.

CNM, 12/9/15

Terlajak

telah banyak yang tak sajak;
yang sedia compang-camping
dirobak-rabik,
yang kemas segak
diselubung lintup,
yang bodoh memimpin
yang bijak mengekor,
yang gemuk disumbat-sumbat
yang kurus dikebulurkan,
yang jahat diangkat
yang baik dikerat.

Tinggal dalam kemelaratan
merempat dibangsatkan.

CNM, 9/9/15

Lima Lapan

Mata itu tidak mahu mendengar
telinga itu tidak mahu melihat
merdeka tanpa jiwa.

Mata itu ditulikan
telinga itu dibutakan
merdeka tanpa rohnya.

Lima lapan
menuju kekaburan
tunggang-langgang.

CNM, 30/8/15