Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

29 February, 2012

orang duk gelak

orang duk gelak

aku lihat orang duk gelak
kuamati arah mata mereka
tertancap kepada suatu tingkah
yang kelihatan normal
yang diperlihatkan sempurna
tiada cacat cela
molek lenggang lengguk
pakaian cakna bergaya.

kuamati
setelah lama memerhati
rupanya ada kelemahan diri
dia rupanya suka pakai kasut terbalik
kata orang suka yang songsang
dek nak 'cover' salah sendiri
orang tepi jalan dimarahi
orang lain pun dikata tak reti
hi! hi! hi! aku gelak dalam hati.

CNM, 29/2/12, 21.45pm
BBB

teruskan

eh! baru sedar ke?
kau mengheret balak
menongkah arus
teruskan...

eh! baru terjaga ke?
kau menjunjung batu
mendaki gunung
teruskan...

eh! baru keluar dari mimpi ke?
kau nanar mencakar benar
dengan kata yang terputar
teruskan...

CNM, 29/2/12, 20.55pm
BBB

senja berkata

usah kisah saudara
biarkan awan hitam dengan keangkuhannya
tiba waktu ia akan diputar ribut kebinasaan
terperosok ke penjuru alam
dalam kehinaan.

usah gentar saudara
halilintar keceluparan akan lenyap ditelan bumi
menjadi batu hampar terbenam selamanya
dibakar panasnya mantel penyesalan
tanpa kemaafan.

CNM, 29/2/12, 19.19pm
BBB

Akan

akan kutanam kenangan
biar tumbuh jadi pucuk sayuran
kelaknya dapat kumakan
jadikan ulaman.

akan kusemai harapan
biar tumbuh jadi pohon berdahan
nantinya dapat kuberteduhan
jadikan lindungan.

CNM, 29/2/12, 18.42pm
BBB

Aku bukan penakut

aku bukan penakut
aku hanya takut kepada Allah
aku dihina tidak mengapa
aku dicerca itu hak mereka
aku tetap dengan pendirian
berdiri dengan izin Yang Esa
tak perlu ikut menghina
tak perlu ikut mencerca
kerana aku tak ingin dihina-Nya.

kau ada peduli?
jauh sekali...

CNM, 29/2/12, 16.10pm
BBB

Langit pun menangis

betapa langit pun ngeri
menangis meratapi
kata-kata yang menikam diucapi
terpancul dari mulut insan lupa diri
tak mengenal budi pekerti.

betapa langit pun nyeri
merembas gerimis hati
melihat kejadian luar tabii
mempersenda agama sendiri
mempertahan kesesatan dilaknati.

CNM, 29/2/12, 15.02pm
BBB

29 Februari

29 Februari
empat tahun sekali
tahniah yang menyambut hari jadi
semoga dipanjangkan umur dimurahkan rezeki
sentiasa sihat dan diredha Ilahi.

29 Februari
istimewa sekali
begitu lama menanti
hari ini dapat merai
hari ulang tahun kelahiran bererti.

CNM, 29/2/12, 14.44pm
BBB

Syair Sepanjang Zaman III

sudah tamatkah pengajian?
sudah cukup tinggikah ilmu kalian?
memperlekeh orang tanpa pertimbangan
usah meninggi diri kuberpesan
kelak menyesal dipermainkan.

sudah lupakah asal permulaan?
sudah alpakah dengan pujian?
mencerca orang seperti tak berpedoman
usah bongkak diri kuingatkan
kelak lemas dalam keangkuhan.

baru sedikit kurniaan tuhan
sudah lupa daratan
ingat balasan tuhan
janji-Nya tidak didustakan
janji-Nya akan dilaksanakan.

CNM, 29/2/12, 15.59pm
BBB

Syair Sepanjang Zaman II

sungguh kini kita di akhir zaman
telah lahir tuan kepada ibu yang melahirkan
anak-anak tiada menghormati ibubapa yang memberi didikan
apa lagi orang tua, dipandang menjijikan
sungguh kurang sopan.

ingatlan wahai anak-anak yang budiman
jangan sesekali merasa diri tiada kesilapan
itu sudah dikira penyakit dalaman
lekas-lekas rawat dengan iman
moga tak tergolong dalam golongan kufur pada tuhan.

ini hanya pesan
terpulang pada kalian
jika merasa diri hebat teruskan
jika ada kebenaran balik ke pangkal jalan
tidak terlewat sebelum ditakbirkan.

CNM, 29/2/12, 14.41pm
BBB

Syair Sepanjang Zaman

Kutuliskan syair untuk renungan
dalam mencari keredhaan-Nya tinggalkan larangan
kerjakan segala suruhan Tuhan
bermuhasabah diri elak kealpaan
sentiasa mencuba tambahbaikan.

Kutuliskan syair untuk tatapan
dalam menjalin persahabatan
tutur kata jangan sembarangan
telajak kata binasa badan
tunggulah jika dimaafkan.

Kutuliskan syair untuk bacaan
mari kita gabungjalinkan
keakraban sesama insan
saling berpesan-pesan
saling mengingatkan.

Salam Persaudaraan.

CNM, 28/2/12, 21.08pm
BBB

aku berdiri

aku berdiri
bukan di atas kakimu
jauh sekali menumpang kehebatanmu
tak teringin aku
bernaung di bawah ketaksuban tololmu.

aku berdiri
dengan izin Ilahi
tak tumbang aku dengan bicara sumbangmu
kerana itulah pengenalan
siapa kamu yang sebenarnya.

CNM, 28/2/12, 20.40pm
BBB

Aku dan jalanku

Aku dan jalanku

biar setajam mana
kata-kata yang menghina
membingit ke telinga
aku tetap dengan caraku
jalan mencari keredhaan-Nya.

biar sekeras mana
kata-kata yang mencerca
menusuk ke jiwa
aku tetap dengan halaku
menuju redha yang Esa.

CNM, 28/2/12, 19.59pm
BBB

Bicara di kaki senja

kamu jangan lupa
kaca-kaca yang kamu taburkan
suatu ketika
bisa merobek kaki angkuhmu.

kamu jangan alpa
kata-kata yang kamu dustakan
suatu ketika
bisa jadi saksi kepalsuanmu.

dan aku mohon
dijauhkan dari semua itu.

CNM, 28/2/12, 18.57pm
BBB

tukang

kamu tukang kasut?
'ya, saya'
kalau kamu tukang kasut
kenapa buat kasut kulit babi
untuk orang Islam.

kamu tukang kasut?
'ya, saya'
kalau kamu tukang kasut
kenapa buat kasut kulit anjing
untuk muslim.

kamu tukang kasut?
'ya, saya'
kalau kamu tukang kasut
kenapa tak macam rupa kasut
nampak macam ladam.

CNM, 27/2/12, 20.45pm
BBB
tulis jangan tak tulis

kau tulis
aku pun tulis
aku tulis selapis
kau tulis berlapis-lapis.

tulis jangan sebarang tulis
tulis biar berjenis
aku tak kisah apa kamu nak tulis
tapi jangan sampai bertentangan dengan Al-Quran dan Hadis.

tulis jangan sebarang tulis
tulis biar berjenis
aku tak kisah apa kamu punya idealis
tapi jangan sampai membelit habis.

CNM, 27/2/12, 20.10pm
BBB

bicara tanpa suara

kularutkan mimpi
jadi embun buat menyirami
pusara janjimu.

kusyairkan kata
jadi pesanan buat mengiringi
pemergianmu.

kusulam air mata
jadi selendang buat menghiasi
pedatimu.

kukuburkan kenangan
jadi pohon meneduhkan
kesayuanku.

CNM, 27/2/12, 19.26pm
BBB

Hujan

Hujan pun menari
diiringi tiupan seruling angin
memecah kesunyian senja
menelan rona jingga
jadi kelam tak bermaya.

Hujan pun menari
menyimbah pohon-pohon layu
tersenyum dedaun dan melambai
menyambut rahmat kurniaan Ilahi
aturan alam yang misteri.

Hujan pun menari
menghibur seisi alam ini
tangis-tangis terhenti
terpegun dengan ayunan tari
melodi hujan yang dinanti.

CNM, 26/2/12, 19.05pm
BBB

dalam mimpi

kumenulis
sebuah catatan yang panjang
setelah tersedar dari mimpi yang mengasyikan
kisah kau dan aku
bertemu dan bercumbu rayu
memadu kasih cinta setia yang padu.

kumengkhayalkan tentang dirimu
lalu kugarapkan pada helaian-helaian bisu
menjadi bait-bait kata rindu
yang menjadi temanku di malam-malam sepi tanpa bicaramu
sungguh aku terbuai dalam mimpi itu
walau hanya di alam bawah sedarku.

CNM, 26/2/12, 12.41pm
BBB

Sumpah Tak kahwin Dua

"kalaulah kutahu
penatnya berulang alik
sini rumah isteri pertama
sana rumah isteri ke dua
sumpah aku tak kahwin dua.

isteri muda
sepatutnya menenangkan
ini tidak, kerenahnya
mengalahkan lima anak isteri tua
berkira.

isteri tua juga yang setia
tak pernah mengungkit masa
apa lagi bertanya kenapa
duhai lelaki di luar sana
kalau nak kahwin dua
jangan sesekali abaikan isteri pertama".

keluh, Ustaz Rock.

CNM, 26/2/12, 11.50am
BBB

Duhai Lelaki

Sebahagian kebahagiaan kamu ada pada wanita
sebaik-baik wanita adalah yang solehah
ketika kamu memandangnya kamu akan menyukai
ketika bersamanya kamu merasa tenang dan damai
ketika berjauhan kamu tidak ada risau pada dirinya dan hartamu.

seburuk-buruk wanita
apabila memandangnya mendatangkan keburukan kepadamu
apabila berkata dia meninggikan suaranya
apabila tidak bersamanya
kamu merasa tidak aman pada dirinya dan hartamu.

CNM, 26/2/12, 9.51am
BBB

titis hitam

sepasang mata
yang tertitis pandangan hitam
dari rasukan hati yang dendam
selamanya akan melihat imej contengan arang
walau kelirnya putih semulus kapas.

sepasang mata
yang tak mampu mengarah bicara
menyata yang sewajarnya
terpenjara memeluk nista
terpasung dalam buta.

CNM, 28/2/12, 23.40pm
BBB

kenapa?

kenapa dipanggil kutu rayau
sengajakah mereka sedemikian rupa?
atau telah habis daya
mencari kerja dari tangga ke tangga
di perut kota
buat menyara diri dan keluarga
namun nasib tak menyebelahi mereka
berbaring di mana saja
asalkan dapat memulihkan tenaga
buat mengatur langkah mengemis di kotaraya.

kerajaan harus peka
bantulah mereka
berikan bantuan yang sepatutnya
ajar mereka kemahiran untuk pasaran kerja
di mana khidmat sosial firma ternama
terima mereka berkerja dengan bayaran minima
tidaklah mereka merayau tak tentu hala
ada pekerjaan yang harus dilaksana
diripun terbela
gelandangan jadi penyumbang pembagunan negara.

pak menteri banyakkan agenda
bantu rakyat jelata
usah duduk di kerusi empuk saja
fikirkan program memajukan bangsa
jangan kantung sendiri saja dijaga
anda dipilih untuk berjasa
membantu rakyat yang tak berdaya
memperjuangkan kepentingan yang teraniaya
wakil kepada rakyat mendapat haknya
lima tahun tak lama.

CNM, 25/2/12, 21.20pm
BBB

Air Kelantan

tak selesai lagi rupanya
kesian rakyat kena gali telaga
bangun tengah malam tadah air dalam belanga
menitik-nitik buat air minum hilang dahaga
nak cuci kain baju kena cari sungai yang keruh airnya.

siapapun memerintah ambillah tindakan yang cakna
air itu keperluan asas yang amat berguna
tiada letrik boleh tahan juga
tiada air susah segala
ketepikan hal politik demi rakyat tercinta.

pusat dan negeri duduklah semeja
air bawah pengurusan negeri ikut perlembagaan kita
buang fahaman politik atasi masalah rakyat jelata
lebih mulia
dari saling tuduh menuduh sesama.

harap tok guru selesaikan segera.

CNM, 25/2/12, 20.46pm
BBB

25 February, 2012

Tebal

dia segalanya tebal
poket tebal
cermin mata tebal
baca buku kulit tebal
telinga tebal
bibir tebal
muka tebal
tapak kaki tebal.

harap iman pun tebal.

CNM, 25/2/12, 18.51pm
BBB

Atuk Tua Nak Kahwin Muda

Fikir dulu atuk ya,

i.
jumpa rakan sebaya
nanti kena tanya
ini cucu yang mana?

ii.
malam-malam anak terjaga
atuk kena bangun bancuh susunya
itu syarat bini muda.

iii.
siang penat kerja
malam pula akan dikerja
nafkah batin tak boleh ditunda.

iv.
cemburu harus tiada
jantan hidung belang pasti mengoda
takkan isteri nak dipenjara.

v.
poket kena sendat sentiasa
makeup kena penuh meja
kalau tak alamak kembali menduda.

vi.
atuk kena pandai bergaya
pakaian kena yang berjenama
pasar malam punya 'low class' katanya.

vii
lebih baik ke surau belajar agama
tambah amalan bekalan di sana
bini muda belum tentu boleh menjaga.

CNM, 25/2/12, 18.40pm
BBB

Apa nak buat!!!

"Apa nak buat
aku dapat suami tua
orang ke taman
suami tuaku ke taman
orang bawakan kuntuman bunga
suamiku bawakan kera.

Apa nak buat
aku dapat suami tua
orang lain berkerja
suami tuaku pun berkerja
malam oranag lain layan isteri berasmara
suamiku lena membuta.

Apa nak buat
aku dapat suami tua
orang rambut hitam bergaya
suami tuaku putih rambut macam atuknya
berkecai sudah gelora cinta
terkubur sebelum masa.

Apa nak buat
aku dapat suami tua".

bicara, dara jelita.

CNM, 25/2/12, 17.28pm
BBB

Wilayah yang suci

sudah seminggu
dia menghidu bau kota
yang di dalamnya penuh racun
sedikit demi sedikit kerongkongnya melecur
menjadi payah menikmati rezeki tuhan
bagai menelan buah berduri jadinya.

lalu dia berkata
"nak! ayah terlalu rindu akan bau laut
hantar saja ayah pulang
tempat ini bukan untuk ayah
biar laut yang menemani
ayah ingin pergi dalam tenang dan damai di wilayah yang suci"

CNM, 25/2/12,14.12pm
BBB

Sebelum mengucap selamat malam

di ranjang yang berahi
wangian tubuh sang isteri merangsang rasa
melonjak keinginan hati sang suami
membisikan bicara terhangat
sebagai kata azimat
balasan untuk makan malam yang lazat
enak dan berzat.

dan kini
suatu hidangan makanan batin
menjadi rutin
sebelum sang suami lena dalam kekenyangan batin
sang isteri tanpa pernah lalai
berkhidmat untuk suami yang dicintai
sejenak malam pertama dinikahi.

CNM, 25/2/12, 9.59am
BBB

Bila kali terakhir

Bila kali terakhir
kalian mengucup tangan
ayahbonda tercinta
pada saat bersalaman
untuk meninggal mereka membilang usia
membiarkan mereka menunggu di teratak usang
ditemani air mata rindu
dalam nada sendu
berbisik meraka pada awan yang lalu
pulanglah anakku.

pulanglah sebelum mereka pergi untuk selamanya.

CNM, 25/2/12, 00.10am
BBB

Kunci Cinta

Kucari di pasar malam
mungkin ada kunci cinta
dari satu gerai ke satu gerai
aku bertanya
"bang! ada jual kunci cinta?"
berkerut dahi mereka
saling menjeling sesama
agaknya apa mereka perkata
entah-entah mengata aku gila.

Ha...ha...ha!!!
aku melawak saja.

CNM, 24/2/12, 23.50pm
BBB