Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

06 August, 2013

Laut Kasih 302

Laut Kasih 302

mencintaimu kasih
satu ketentuan yang berbayar
kerana cintamu tidak pernah hambar
setiasa bersinar memancar suria

mencintaimu sayang
satu keputusan yang gemilang
kerana cintamu penuh kasih sayang
sentiasa merangsang kedamaian

mencintaimu dinda
satu perbuatan yang berharga
kerana cintaku yang kamu takhta
sentiasa setia dalam suka duka

selaut kasih termilik.

CNM, 6/8/13.

Laut Kasih 301

Laut Kasih 301

teratak kenangan
jadi saksi
bercantumnya
aliran sungai rinduku
dan ombak rindumu
di muara laut kasih kita...

lalu berpadu ia menjadi pulau cinta
dalam kesyahduan gelora kasmaran asmara.

CNM, 6/8/13

05 August, 2013

Celup

Celup

di hari raya
ramai anak-anak bertamu
menjamu selera sudah tentu
tak lupa duit diserbu

sebelum balik
ada tak yang kena celup jari
dakwat kekal tanda bertamu
elak dua kali menyerbu

CNM, 5/8/13

Tembak Menembak

Tembak Menembak

kepada siapa sekalipun sasaran
yang kini kelihatan kepada individu berprofil
dek amarah dan dendam
ia harus dipandang serius pihak keselamatan
jangan biar isu ini jadi biasa
kerana masyarakat kita kaya budi bahasa
keamanan jadi teras kemajuan negara.

CNM, 5/8/13

Pertimbangan

Pertimbangan

di akal
ada jalan,

di dada
ada pilihan,

di hati
ada ketetapan...

pertimbangkan yang diredai Tuhan.

CNM, 5/8/13, THMK.

apa guna

apa guna

mata yang celik
sengaja dibutakan,

telinga yang mendengar
sengaja dipekakkan,

akal yang bijak
sengaja dilembamkan.

CNM, 4/8/13

Pilihan

Pilihan

lelaki
memilih yang cantik
memuja yang bergetah
tidak yang teguh akidah
yang akur perintah Allah

wanita
memlih yang poket sendat
memuja yang berpangkat
tidak yang mendukung syariat
yang membawa kepada syafaat

jadilah yang bijak.

CNM, 4/8/13, THMK.

tiada kepastian

tiada kepastian

Langit cinta
tidak menjanjikan pelangi bahagia
adakala awan duka menyelubungi
menutupi seri wajah rindu
gerimis resah menempias
membasahi sekeping hati
dan perlahan meleraikan
segenggam harapan...

CNM, 4/8/13

Sistem yang Pincang

Sistem yang Pincang

saban hari beronar
adegan jenayah terpapar
sana sini tersebar
keselamatan kian tercalar
hidup aman kian tercabar

di mana bermulanya akar?
padaku sistem yang pincang telah menjalar
kelemahan yang tidak mahu didengar
pemimpin sibuk dengan politik dalam pagar
gagal membulatkan suara membendung pencakar

pasukan besar
tak menjamin mencapai sasar
strategi tepat perlu dikibar
biar gerun penjenayah tegar
menghormati undang-undang tersiar

bangkitlah pembesar
sebelum barah kian menular
kaji selidik mematahkan selumbar
yakinkan rakyat keselamatan tak tercemar
terkawal dari anasir yang mengelar.

CNM, 4/8/13, THMK.

Ya Rahman Ya Rahim

Ya Rahman Ya Rahim

kurniakan kami kemuliaan-Mu
ketemukan kami dengan malam yang ditunggu
malam yang lebih baik dari seribu bulan itu
sesungguhnya Engkaulah penentu
untung nasib kami di hari amalan disemak satu persatu...

CNM, 2/8/13

Salam Kemaafan

Salam Kemaafan

sepertinya langit
yang tidak selalu cerah
kutahu
bicaraku tidak selalu indah
tingkahku tidak selalu berhemah
wajahku tidak selalu ramah

kususun
sepuluh jari
menghulurkan salam kemaafan
atas ketelanjuran
atas kesilapan
yang mungkin tanpa disengajakan
mengguris hati sahabat sekalian

salam aidilfitri maaf zahir batin

CNM, 2/8/13

Jika Pulang

Jika Pulang

biarlah
menguntumkan senyuman
disambut penuh keriangan
jangan
mengukir kedukaan
disambut penuh kepiluan

biar lambat asal selamat...

"Selamat Hari Raya Aidilfitri"

CNM, 2/8/13, THMK.

Laut Kasih 300

Laut Kasih 300

bajai pohon cintamu
dengan siraman kasih suci
biar merimbun dedaun rindu
menaungi redup kasih abadi
janji tak dimungkiri...

bajai pohon cintamu
biar ia jadi saksi
tiada dua tiada tiga
cinta diberi setelus hati
kekal ke akhir nanti...

CNM, 5/8/13

Laut Kasih 299

di matamu ada sinar cinta,
di lehermu ada nadi cinta,
di dadamu ada debaran cinta,
di hatimu ada kamar cinta.

di teratak jiwaku ada sinar cinta
yang berkerdipan pabila bertamu ke kamar laut kasihmu.

CNM, 5/8/13

Laut Kasih 298

kugembur laut kasih
dengan memeluk sekujur rindu
dengan mengucup wangian cinta
dengan mendengar syair asmara
dengan memotret wajah cinta membara
dan kuvideokan untuk tatapanmu.

CNM, 5/8/13

Laut Kasih 297

Puisi cinta
yang kutulis bertinta rasa
merangkai bait-bait kata rindu
kurentangkan umpama jaluran pelangi
menyeri dada langit dari ufuk ke ufuk hati
dan menguntum sebuah senyuman di ulas bibirmu...

Puisi cinta
yang kualunkan beriring melodi muzik alam
mendayukan kata suara syahdu
kuperdengarkan hanya ke telinga hatimu
membisik elus sukma
dan terukir seraut wajahmu yang rupawan...

CNM, 5/8/13

Laut Kasih 296

Aku sering kali menyimpan rasa
untuk kubisikan dalam kelambu cinta kita
kerana kutahu
saat cuping telingamu menyambut ayat cinta
merona merah pipi mulusmu...

Aku sering memandang ke dalam mata hitam
dalam-dalam kubongkar rahsia hatimu
kerana kutahu
saat matamu bertatapan mataku
kautertunduk malu mengiyakan rasa gelora asmara...

Aku cinta kamu dinda!!!

CNM, 5/8/13

Laut Kasih 295


apa lagi yang hendak kukata
setelah cintaku berbalas bahagia,

luasnya lautan kasihmu
tak terjangkau dek mindaku,

ucapan syukur kepada Yang Satu
kuzahirkan bertalu...

CNM, 3/8/13

Laut Kasih 294



aku bukanlah novelis
untuk mengarang sebuah novel cinta
aku bukanlah terlalu daif
untuk menyatakan rasa cinta

memadailah
kulafazkan
aku cinta kamu hingga akhir nanti
atas selaut kasih yang engkau beri...

CNM, 3/8/1
3

Laut Kasih 293

yang terindah
berbaring di ribaan laut kasihmu
mendengar bisikan rindu syahdu
menghirup wangian cinta tulus padu
yang kauberikan padaku

aku terlena dalam dakapan cinta kasih sayangmu.

CMN, 22/7/13, THMK.

01 August, 2013

100pp: ketemukan

100pp: ketemukan

...lelah yang pernah singgah ke dada ini, terasa telah berbayar, dengan berbakti pada agama, bangsa dan negara, jika bukan kerana keizinanmu, aku tidak di sini hari ini, punya keluarga, punya anak isteri yang membahagiakan, hidup seadanya, syukur atas kurniaan Yang Maha Pemurah lagi Maha Menyayangi, aku yakini semua itu atas berkat doamu, doa yang kini aku tak merasai lagi, hanya utusan doa yang mampu kupanjatkan kepada-Nya, semoga dirimu di sana dalam keredaan dan kemuliaan Sang Pencipta, amanlah, tiada lagi air mata yang tertumpah, yang aku tahu bukan sedikit membasahi pipimu, dan aku pohoni sungguh-sungguh Ya Allah ketemukan aku dengan dia...

CNM, 1/8/13, THMK

50pp: semalam, hari ini dan esok

50pp: semalam, hari ini dan esok

...sepahit mana, pun semanis mana yang semalam itu, jadikan guru yang mengajar, untuk jadi lebih matang dalam kehidupan, buat menempuh hari ini dengan tenang dan sabar, menempatkan diri ke landasan terbaik, demi kemenjadian mencapai kebahagiaan, dan kemampuan menduga yang bakal ditempuh esok lusa, adalah persediaan berasas pengalaman yang telah mendewasakan...

CNM, 1/8/13

Mungkin

Mungkin

Ya Allah
mungkinkah
kerana janji keampunan-Mu
jadi asbab
ramai yang mengingkari

syariat-Mu dipandang sepi
dek suatu ketika sebelum mati
difikir sempat mohon diampuni...

CNM, 31/7/13

50pp: 3G

50pp: 3G

...kini zaman kecanggihan ICT, maklumat di hujung jari, pelbagai gadjet dan peranti dimiliki, dari pemimpin tertinggi ke pelajar yang belum boleh berdikari, semua memiliki dalam kocek sendiri, namun fenomena ini mungkin mengundang tragedi, murid mengenepi fokus bila mengaji, asyik teruja dengan peranti 3G dek terkena sindrom 3G: gedik, gelinyau, gatal...

CNM, 31/7/13

"Iceberg"

"Iceberg"

pandanglah
dengan mata hati
kebaikan yang terpamer
mungkin menutupi sebongkah kemungkaran
tunjang diri yang tak kelihatan...

CNM, 31/7/13

Pergi

Pergi

pergi
dengan janji terpateri
ia menyakiti

pergi
dengan merungkai ikatan tali
ia mengubati

jika tiada lagi ruang di hati
pergilah tanpa mengkhianati
maruah tak dicemari.

CNM, 31/7/13

dekat

dekat

dekat kemari
biar bau ketiak terhidu
usah menjauh ke belakang

dekat padaku
biar terpercik liur
usah menghindari ke tepi

dekat pada punca ilmu
lebih mudah menguasai
lebih menjadi
lebih direstui.

CNM, 30/7/13, THMK.

?

?

kenapa tu?
memandang dari celahan jari
malu ek?
tak mengapa!
aku tak akan memperlekeh nukilanmu
kongsikanlah
ramai saja yang menanti mainan bahasamu...

aku akan senyum lebih manis dari madu.

CNM, 30/7/13, THMK

50pp: belum masa

50pp: belum masa

...kawal diri, belum masanya, fokus kepada matlamat pendidikanmu, biarkan dahulu naluri untuk mencintai dan dicintai, kerana aku yakin cinta itu akan hadir jua, dan pada ketika yang tepat bukalah seluasnya kamar hatimu, bajai rasa itu dengan kesetiaan dan kejujuran, cinta tanpa kejayaan diri tak membawa ke mana, ia bisa memusnahkan...

CNM, 30/7/13

Nur

Nur

di mata
ada nur yang menyaksi,

di telinga
ada nur yang mendengar,

di hati
ada nur yang mengerti,

bahawa janji-Nya tak didustai.

CNM, 30/7/13, THMK.