Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

26 July, 2012

Laut Kasih 165

di hatimu
kulihat letupan
warna bunga-bungaan
pabila panas tiba
ia menguap semerbak wangian kasih
pabila dingin tiba
ia membeku segumpal rasa cinta
dan akulah penikmatnya limpahan laut kasihmu.

CNM, 24/7/12, 4.37pm
THMK

Laut Kasih 164

telahku mencintaimu
ke hujung nyawa
kujunjung takdir-Nya.

CNM

Laut Kasih 163

seluruh alam
kampus UKM bangi
telah menjadi saksi
cintaku dan cintamu berputik
dari detik ke detik.

suka duka
tawa tangis
jadi rempah
adunan kisah
cinta antara kita.

syukur
anugerah-Mu
menemukan seorang hawa
yang melimpahkan laut kasihnya
dengan penuh jiwa raga.

CNM, 16/7/12, 10.37pm
THMK

Laut Kasih 162

sungai-sungai kasihmu
menganjur dari banjaran titiwangsa
mengalir ke lembah cintaku...

sungai-sungai kasihku
mengajur dari banjaran pantai timur
menyelinap ke lembah cintamu...

sungai kasih kita
menuju dataran bangi
bercantum di muara rindu
menjadi kepulauan laut kasih.

CNM, 16/7/12, 10.13pm
THMK

Laut Kasih 161

ingat lagikah sayangku
saat membendung rindu
kala tak bertemu...

ingat lagikah manjaku
saat berjauhan di kampung halaman
terpisah dek urusan...

ingat lagihkah dindaku
saat janji terpateri
memupuk cinta ke pelamin...

ingat lagikah sayangku
saat kita diijab kabulkan
dalam restu dan doa...

syukur laut kasih kita bercantum mesra...

CNM, 16/7/12, 9.46pm
THMK

Laut Kasih 160

malam ini
di pesisir laut kasih;

ingin sekali
aku membelai rerambutmu
mengucup syahdu ubunmu
biar bergetaran rasa cinta
menyirap rasa rindu
memadu kasih denganmu.

malam ini
bicara tidak utama lagi
memelukmu
merasai hangat asmara
suatu yang tak terlukis
dalam baris-baris puitis
mahupun kata-kata romantis.

CNM, 10/7/12, 9.47pm
THMK

12 July, 2012

Laut Kasih 159

malam ini
di pesisir laut kasih;

ingin sekali

aku membelai rerambutmu

mengucup syahdu ubunmu

biar bergetaran rasa cinta

menyirap rasa rindu

memadu kasih denganmu.

malam ini

bicara tidak utama lagi

memelukmu

merasai hangat asmara

suatu yang tak terlukis

dalam baris-baris puitis

mahupun kata-kata romantis.

CNM, 10/7/12, 9.47pm

THMK

08 July, 2012

Laut kasih 158


dinda

sungguh kukecanduan

mendamba bisikan asmara

dahaga belaian manja

kucupan kasih mesra

sayang

sungguh kuketagihan

mendengar pujuk rayu rindu

pelukan hangat membara

merangkul kejat sekujur jiwa

kasih

sungguh kufanatik

segala tentangmu yang cantik

hati mengedik-gedik

ingin memetik

setangkai kasih di luat kasih yang mengasyik...

CNM, 8/7/12, 6.11pm

THMK

Manisnya

Manisnya wajah
kerana sekuntum senyuman
manisnya senyuman
kerana sebuah keikhlasan
keihkhlasan mencari redhanya Tuhan.

Manisnya cinta
kerana sehati sejiwa
manisnya sehati sejiwa
kerana terbitnya bahagia
bahagia mencari redhanya Yang Esa.

Manisnya persaudaraan
kerana keakraban
manisnya keakraban
kerana kejujuran hati
kejujuran amalan diberkati Ilahi.

CNM, 8/7/12, 4.59pm
THMK

kumemilih

kutelah memilih
yang terpilih dek hati
yang berkenang dek kalbu
yang menyenangkan di jiwa
tak akan kupersia.

kutelah memilih
dikau yang terpilih
yang memberi kasih
yang ingin dikasih
tak akan kumenyisih.

redha memilih
indah berkasih
syukur dikasih
orang terpilih
anugerah Yang Pengasih.

CNM

Laut Kasih 157

senja ini

perlahan kukuak jendela

membiarkan elus bayu laut kasihmu

membelai pipi cintaku

dengan kasih mesra.

senja ini

kulabuh tirai kamar

membiarkan haruman bayu laut kasihmu

mewangikan sanggar cintaku

dengan wangian rindu.

senja ini

kusingkap selendang cinta

lalu kukucup ubun laut kasihmu

tanda kasihku padamu

tanpa ragu.

CNM, 4/7/12, 7.08pm

THMK

Laut kasih 156

kuukir bingkai cinta
untuk kumuatkan selembar kanvas rindu
yang terlukis wajah laut kasihmu
lalu kugantung di teratak hati
buat tatapan di kala sepi.

CNM, 3/7/12, 9.21pm
THMK

01 July, 2012

Sepanyol atau Itali

Sepanyol
main cantik
kawalan bola menarik
penyerang licik
menjaring dengan baik
tapi malam ini jangan terlalu gedik
Itali juga ada pemain boleh ditabik
bertahan kemas susah digelecek
serang balasnya memerit
silap-silap jaring dicarik
Balotelli macam pelesit
ligat sukar dihimpit...

CNM, 1/7/2012, 8.51pm
THMK

Mario Balotelli

Mario
Ancamanmu digeruni
Robek gawang Spain
Ike Casillas menggigil
Ouch! takut dibocori

Balotelli
Amukanmu menjadi
Lemas benteng pertahanan
Orang bersorak beri sokongan
Tendangan tepat menerjah jaring
Esok ini pastikan menjadi
Lakukan yang terbaik
Ledakkan jaringan
Itali pasti julang juara Euro 2012.

CNM, 1/7/12, 9.11pm
THMK

Berikan Daku

Oh! Tuhan
berikan daku ilham
untuk kukalam
menyampaikan...
kebaikan.

Ya! Rabb
berikan daku kekuatan
untuk berjuang
menegakkan...
kebenaran.

CNM, 1/7/12, 8.39pm
THMK

muwat lolok

mubui harape
mubino impie
hanyo dale mimpi semele
bakpo muwat lolok...

mubui janji
mubui kepercayae
hanye dale mimpi sie
bakpo muwat lolok...

CNM, 30/6/12, 4.30pm
THMK

p/s baca ikut loghat klat

Laut Kasih 155

saat kamu meniup lembut
ke corong telinga cintaku
meremang sekujur tubuh
teramat geli
mengkhayalkan...

saat kamu menggigit lembut
ke kuping telinga sukmaku
berdegup laju jantung hati
berdebaran
menghairahkan...

dan kamu tersenyum nakal
dengan kenyitan menggoda
di pelantar laut kasihmu.

CNM, 29/6/12, 11.36pm
THMK

Laut Kasih 154

di ufuk timur
bertemankan mentari pagi
aku berdiri memandangmu
lalu kumemegang sejalur pelangi
yang melengkung ke ufuk barat
merentangi dada laut kasihmu
di sana kauberdiri
bertemankan mentari senja
memadang kepadaku
lalu kaulontarkan sebuah kucupan
ke pipi cintaku.

CNM, 29/6/12, 11.12pm
THMK

Laut Kasih 153

di puncak cintamu
tompokan salji asmara
mencair menuruni lurah-lurah rindu
menyusur tebing sungai keasyikan
menuju muara impian
menimbunkan kasih dan sayang
menjadi delta kebahagiaan
di celahan kepulauan laut kasihmu.

CNM, 29/6/12, 10.59pm
THMK

Laut Kasih 152

aku seringkali
berhenti dan menanti
ketibaanmu bersama angin senja
membawa sebongkah senyuman
di hujung tanjung laut kasihmu.

aku selalu
duduk dan menunggu
suara bisikan cinta
menyapa dan membelai jiwa
di pesisiran teluk laut kasihmu.

CNM, 29/6/12, 10.27pm
THMK

Laut Kasih 151

kerana limpahan laut kasihmu;

aku ingin menjadi sekuntum bunga
yang menyerbakkan haruman wangian
di taman hatimu,

aku ingin menjadi sepohon kayu
yang memayungkan hawa ketenangan
di halaman rindumu,

aku ingin menjadi awan gemawan
yang meneduh terik cahaya mentari
di padang cintamu,

aku ingin jadi apa saja
agar dapat kita bersama
dalam jaga dalam lena.

CNM, 28/6/12, 10.24pm
THMK

Laut Kasih 150

dulu aku seorang
kini kamu yang teman
berkongsi luar dan dalam
semoga ke akhiran
laut kasih kita berdeburan
mendamparkan ombak kebahagiaan
memutihkan pasir-pasir keceriaan
menghidupkan karangan kasih dan sayang
menghiasi pulau kesyukuran.

CNM, 28/6/12, 9.57pm
THMK

Laut Kasih 149

dalam mimpi-mimpi indahku
kaulah watak yang sering bertamu
menunggu di pasiran laut kasih
berlari mendepangkan tangan
berpelukan dalam lemas hela nafas.

dalam doa-doaku
kaulah watak yang kupohon
memperoleh kesejahteraan
dilindungi dari kesengsaraan
berbahagia dengan limpahan laut kasih kita.

CNM, 28/6/12, 9.36pm
THMK