Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

31 July, 2014

Maafkan Daku Mak

Maafkan Daku Mak

Ampun daku mak;
yang tersalah tingkah di mata
yang terkhilaf dalam menyusun kata
yang menggores rasa tanpa sengaja.

Ampun daku mak;
tak ingin aku menyakiti sebesar hama
tak ingin aku jadi anak derhaka
redamu adalah reda-Nya.

CNM, 31/7/14

Hujan Derita


Hujan Derita

Hujan peluru-peluru gila
dek tangan zionis durjana
merentap ribuan nyawa
anak-anak yang tak berdosa
ibu-ibu yang tak berdaya
tragedi paling menghiris jiwa.

Ya Allah yang maha berkuasa
utuskan tentera-Mu membinasa
puak yang melampaui peri manusia
lenyapkan mereka dari muka dunia
sesungguhnya mereka bangsa membinasa
bangsa yang bongkak dengan kuasa.

CNM, 31/7/14

Oh! Lelaki

Oh! Lelaki

Data terkini
lelaki masih mendahului
tapi apa erti
andai tiada kualiti
hanya tahu menyakiti;
hati ibu bapa sendiri
wanita-wanita yang dinikahi
anak-anak darah daging yang belum mengerti.

Lelaki jadilah lelaki sejati!

CNM, 27/7/14

Kontradiksi

Kontradiksi

Di sini
jeritan lancang mengecam
kejamnya Zionis
tangannya menyalakan
letupan-letupan
membingitkan telinga jiwa
saudara sendiri.

Di sana
jeritan lelah bertarung nyawa
dibedil tanpa peri manusia
tangannya menadah berdoa
mohon gegak gempita
peluru menggila
terhenti dek musuh terbinasa.

Tepuk dada tanya selera
terpamer rupa dan suara.

CNM, 27/7/14

Jumpakah lagi?


Jumpakah lagi?

Ramadan
ingin aku menahan
usah tinggalkan kami
hadirmu membawa keampunan
rahmat dan nikmat anugerah Tuhan.

Ramadan
jumpakah lagi?
Ya Allah takdirkan kami
menemui bulan istimewa
buat memohon keredaan-Mu.

CNM, 26/7/14

Satu Suara


Satu Suara

Hari ini
terbukti warga Malaysia
mampu cari kata sebulat suara
dalam hadapi krisis pengkhianat antarabangsa.

Ayuh! Kecil besar tua muda
hapuskan sengketa
bentuk satu bangsa
berpadu mempertahan negara
hidup aman sejahtera.

CNM, 23/7/14

Tak Selalunya

Tak Selalunya

Bicaraku
tak selalunya sebening embun.

Tingkahku
tak selalunya menyeri bak pelangi.

Tulisanku
tak selalunya menghijau damai.

Dari itu
aku memohon keampunan
pada yang terasa
tiada niat
menggores sesiapa.

CNM, 23/7/14

Berpisah Jua

Berpisah Jua

Semalam
masih segar dalam ingatan
gurau senda gelak tawa
lembut bicara
terlekat di jiwa.

Telah pergi sahabat
pada pencipta ke alam abadi
tinggal kami di sini
pasti menyusuli
jejak bertemu Ilahi.

Doaku
semoga kamu
di sisi orang bertakwa
mendapat syafaat dan reda
dianugerah syurga.

Al-Fatihah buat seorang sahabat.

CNM, 22/7/14

#MH17 II

#MH17 II

i
Langitmu tak membiru
diselaputi awan kelabu
hati-hati ditusuk sembilu
sayu pilu membelenggu
atas tragedi yang berlaku.

ii
Pelaku
tiada peri di kalbu
tiada maaf bagimu
ya Allah ya tuhanku
tunjukkan kebenaran itu.

iii
Doaku
semoga kalian aman di sisi Pemilikmu.

CNM, 20/7/14

‪#‎MH17‬


‪#‎MH17‬

i
MAS
dirundung malang
diselaputi mendung kelam
berwajah suram
tercatat sejarah hitam.

ii
MALAYSIA
langitnya tak selalu ceria
gumpalan awan menduga
tragedi demi tragedi menimpa
tak terjangka.

iii
Dunia
bermain agenda
mengatur konspirasi gila
nyawa tak berdosa
jadi mangsa.

Salam takziah kepada keluarga korban malapetaka.

CNM, 18/7/14.

Mangsa


Mangsa

i
Apek
mangsa
bahana emosi berbara
seorang wanita
hilang waras minda.

ii
Wanita
mangsa geseran kereta
naik darah menggila
hilang budi bicara
terpampang di media massa.

iii
Pengunci stereng kereta
mangsa manusia
diperguna tak semena-mena
menjadi senjata bahaya
merosak harta benda.

CNM, 16/7/14

Pembuli Jalan Raya

Pembuli Jalan Raya

Ketua Polis Negara
akan ambil tindakan kepada wanita
yang darahnya mendidih pasal kereta
tak hormat orang tua
berlagak macam jalan raya dia yang punya
biar jadi pengajaran kepada semua
tak usah jadi samseng negara
tak ke mana
sudahnya maruah diri diperkata
memalukan tujuh keturunan keluarga.

KPN bertindak segara!
Melayu Cina India jangan beri muka.

CNM, 16/7/14

Saksikan


Saksikan

Pada langit membiru
pada kepulan awan-gemawan
pada jalur-jalur pelangi
pada bukit-bukau menghijau
pada lenggang-lengguk alir sungai
pada riang alunan ombak lautan
pada segenap isi alam semesta
bahawa semuanya
ada petanda kekuasaan-Mu.

Maha suci-Mu ya Allah.

CNM, 14/7/14

Nakal Si Hidung Tinggi

Nakal Si Hidung Tinggi

Brooom Broom Prak
masih tinggi lagi!

Tekak berkahak telinga berdengung
uwek! uwek!
Hidung memuntah lendir hijau.

Sesekali disedut balik
syruuuuk!
Eh! Bukan cendol?

CNM, 12/7/14

Tak terasakah?

Tak terasakah?

Anak ini teresak
hanya kerana pasukan pilihan tewas
di padang bola sepak.

Tak terasakah kita?
Bila anak-anak Palestine
ditembak dibunuh
tanpa peri kemanusiaan.

Duhai Perdana Menteri
tak memadai sekadar mengencam
desaklah atas kapasiti ketua negara
hentikan keganasan rejim zionis.

CNM 10/9/2014

Siapa Sebenarnya Pengganas?


Siapa Sebenarnya Pengganas?

PBB melalui Majlis Keselamatannya perlu bertindak menghentikan segera tindakan Israel ke atas Palestine. Malangnya anggota tetap Majlis Keselamatam PBB (USA, Britain, Rusia, China, Perancis) hanya membisu terutamanya Amerika yang sering mencanang diri sebagai 'polis' dunia.

Objektif PBB untuk melindungi hak asasi manusia tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit tinggal prinsip yang hanya indah tercatat pada kertas. Secara realitinya badan ini di bawah telunjuk 'polis' dunia itu.

Oooo-bama mr presiden dengan sepantas kilat menegur, mengutuk, dan memberi amaran jika Rusia, Aghanistan dan China terlibat dalam konflik ketenteraan. Malang sekali lagi, kepada Israel tiada apa-apa kenyataan mengencam ke atas keganasan yang dilakukan rejim zionis laknatullah itu. Jauh sekali mengeluarkan teguran atau amaran dikenakan tindakan ketenteraan.

Jadi, siapa sebenarnya pengganas?

Ya Allah hancurkan rejim zionis yang menjatuhkan kesucian agama-Mu.

CNM, 10/7/14

Oh! Aedes Oh! Denggi

Oh! Aedes Oh! Denggi

Selangor tertinggi
wabak denggi
kian menduri
kes meningkat setiap hari
kenapa harus terjadi?

Dibimbangi
musim aidilfitri
denggi bermigrasi
mencari mangsa dijangkiti
nyamuk jadi agen digeruni.

Mari perangi
aedes dan denggi
bersih kawasan sendiri
longkang pari dicuci
elak air bertakung didiami.

CNM, 9/7/14

Insaflah!


Insaflah!

Tragedi demi tragedi
hilang jari
jika kerana pertiwi
boleh dibangga jadi begini
malang kerana mercun digilai.

Duhai penguatkuasa
telah tiba masa
banteras penjual berleluasa
hantar ke penjara
lama-lama.

Cacat sudah anak bangsa!

CNM, 8/7/14

Manusia Hilang Peri


Manusia Hilang Peri

Niat suci
membantu keluarga sendiri
berakhir dengan tragedi
dibelasah hingga mati
bapa sendiri.

Di mana peri?
Anak sendiri disakiti
syaitan merasuk ke lubuk hati
bila amarah membakar diri
nyawa tiada lagi erti.

Pincangnya jati diri
tiada rasional dalam beremosi
nyawa jadi galang ganti
betapa tenatnya institusi
keluarga bukan jaminan harmoni.

CNM, 7/7/14

Terpalit Mengutip


Terpalit Mengutip

Cebis-cebis diri
meniti titian waktu
menuju sang pencipta
mengutip bekalan amalan
selalunya terpalit hanyir lumpur.

Dalam sedar
pun dalam tak sedar
tertunduk pada nafsu
menggelicirkan langkah takwa
ke jurang kemurkaan.

Di bulan keampunan
mari tadah tangan
mohon disucikan
catatan amalan.

CNM, 6/7/14

Ampuni


Ampuni

Haruman embun janji suci
yang melata mewangikan kepercayaan
belum sempat larut menyubur pohon ketakwaan
hancur dimamah onar-onar nafsu
terbakar dek bahang kejahilan
dan tiba di garis senja
tanpa basahan keimanan.

Berhenti dan toleh
ke perdu nur kebenaran
walau telah jauh
belum terlewat memula semula
menadah tangan 
memohon diluluhkan 
ketul-ketulan kemungkaran.

Ya Allah 
ampuni kami
sebelum mewakilkan utusan
menjemput pulang.

CNM, 6/7/14

Isu Gelandangan II

Menteri kaya raya
yang susah menjadi hama
tak dipandang sebelah mata
konon sampah kota raya
kudis negara.

Menteri punya kepala
yang bantu nak didakwa
bukan nak galak orang buat pahala
perasuah dipuja
yang kaya makin kaya.

Apa kata!
Menteri pakat bantu mereka
sediakan rumah tanggung semua
tak banyak mana 
elaun keraian ada.

Hentikan mencelarukan negara.

CNM, 5/7/14, 6.40am.

Isu Gelandangan


Isu Gelandangan

Pada aku membantu yang susah bukan satu kesalahan. Jadi tidak bijak nak mendakwa orang nak lakukan kebajikan.Kalau nak dakwa buru yang duk bagi rasuah dan mengayakan kroni tu, duhai menteri budiman.

CNM, 5/7/14

Isu OKU III


Lumrah
yang nampak di mata dipersalah
ibu yang menjaga diperkata
tak patut tiada peri manusia
anak jadi mangsa.

Bagaimana dengan bapa?
Orang yang perlu bertanggungjawab
yang berwajib perlu tangkap
mempersia amanah
tak boleh dibiar terlepas begitu saja!

CNM, 23/6/14

Isu OKU II


Maka gegak gempita
seluruh negara tertumpah air mata
anak kurang upaya tak terbela
kurus kering makan tak terjaga
simpati mengalir dari pelusuk jiwa.

Aku juga ada anak kurang upaya
alangkah bertuah jika begini pandangan mereka
anak-anak kurang upaya dipandang mulia
itu hanya sementara
pengalaman mengajar aku masyarakat belum terbuka
memandang anak OKU penuh curiga.

Bertabahlah sahabat punyai anak ahli syurga
sesungguhnya mereka anugerah tak ternilai dari-Nya.

CNM, 23/6/14

Isu OKU I

Sanggup Memperlakukan!

Di mana peri kemanusiaan?

Ya Allah ya tuhan
tergamak insan memperlakukan anak sedemikian
jauhkan kami dari kemurkaan.

Tak tergambar akan perasaan
marah benci kesal dengan manusia tiada akal fikiran
anak itu anugerah takdir pengujian
semoga kamu terbela daripada ibu yang hilang pedoman.

CNM, 21/6/14.

Duhai Pemerintah

Dengarkan keluh kesah
hati rakyat yang dalam gundah
usah putarkan madah berhelah
ketirisan audit telah dedah
haruslah diagnosis dan bedah.

Rakyat kian lelah
hidangan khidmatmu tak menyerlah
sana sini retak menanti belah
cegah sebelum parah
jangan biar nanah menjadi barah.

Atap bocor memusnah
rintik keraguan membasah
bahang kepalsuan memamah
perpaduan sedikit demi sedikit dijarah
lantaian politikmu kian reput merekah.

Andai kamu melatah
akar tunjangmu boleh patah
perjuanganmu boleh hilang getah
belum terlambat berpatah
dari terus di jalan salah.

CNM, 18/6/14.