Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

27 December, 2011

Duhai Merpati

Usah terlalu jinak
telah kau ketahui
ular sawa jantan ada pasangan
ular sawa betina sedang mengeram
bahaya, kerana dia kelaparan.

Duhai merpati
kenali ular sawa jantan
sekali membelit rela nyawanya tergadai
ingat! lebih baik kamu terbang tinggi
dari menghampiri.

CNM, 27/12/11, 16.47 pm
BBB

Singa jantan main wayang II

Penat singa betina memburu
dimintanya singa jantan menjaga hasil buruan
singa jantan beragenda pura-pura ingin tidur
konon malam nak berkawal
sedang sebenarnya berselingkuh dengan singa betina seberang.

Ditinggalkan singa jantan hasil buruan
dimintanya dubuk menjaga
maka bertepuk soraklah si dubuk
yang entah dari mana datang menjadi balaci singa
maka dipandir-pandirkan singa betina itu.

CNM, 27/12/11, 16.12pm
BBB

Aduhai Murai II

Pesan orang tua-tua
jika murai bersiulan
tandanya ada berita nak dibisikkan
maka berilah salam kepadanya.

Jika berita baik yang kaubawa
aduhai sang murai bersiullah
jika berita buruk yang kaukhabarkan
aduhai sang murai silalah terbang pergi.

Lihatlah
apa yang murai buat
terus bersiulan atau terbang pergi.

Moga tiada hampa di hati.

CNM, 27/12/11, 15.36 pm
BBB

Aku kata jangan

Jangan monyet, jangan!
itu buah jangan dicuba
jangan monyet, jangan!

Hah! Kan dah tercabai
menggelepar sana sini
Ada aku kesah.

CNM, 27/12/11, 15.28 pm
BBB

Garam dan Gula

Kalau garam masih bertukar dengan gula
usah berlagak jadi dewasa
belajar dulu selok belok alam remaja
kenal dulu dosa pahala
kiri kanan dipersenda
atas bawah memperkuda
sungguh tiada harga
celikkan mata.

CNM, 27/12/11, 9.18am
BBB

Jika nak membakar

Jika kamu nak membakar
simbahlah petrol
biar terbakar hangus
dan semua berakhir di situ.

Jangan biar ia berbara
berasap memedih mata
kelak kamu yang tak selesa
makan hati berulam kaca.

CNM, 27/12/11, 9.11am
BBB

Singa Jantan main wayang

Singa Jantan main wayang

Pepagi dah mengaum
konon dialah hebat mengawal malam
senang taik mata bertepek.

Maka tunduklah singa betina
kagum dengannya
kelihatan gagah perkasa.

Sedarlah singa betina
kamu dibelacikan
usah nak berjaga malam
makannya pun engkau burukan.

CNM, 27/12/11, 8.56am
BBB

Aduhai Murai

Aduhai Murai

Dari jendela kamar
pagi-pagi yang bening indah
kudengar siulan murai betina yang sumbang
mendendang lagu cinta agung
konon cintanya cinta sejati
menemukan murai jantan tampan berbudi bahasa.

Aduhai Murai betina
kamu hanya dipandirkan
murai jantan sering berselingkuh
kanan sayang kiri pun sayang
usah terlalu yakin
hatta kentut murai jantan pun kau kata wangi.

Adehsss Murai,
Kesian kamu.

CNM, 27/12/11, 8.19 pm
BBB

Andai

Andai

Andai tinta ini
tidak lagi menari
merangkaikan kata-kata
tiada lagi aku di sini
menanti
bicaramu teman.

Andai tinta ini
tidak lagi menyanyi
memelodikan syair jiwa
tiada lagi aku di sini
meneliti
nukilanmu teman.

Andai tinta ini
enggan lagi menitis
jangan sesekali ditangisi
yang patah akan kering layu
yang tumbuh akan berpucuk berbuah
menggantikan.

Goldkey, 26/12/11, 22.43 pm
BBB

26 December, 2011

Surat Orang Tua

Surat Orang Tua

Aku sudah tua
tiada lagi gigi untuk menggigit
cuma ada petua-petua tua
yang barangkali dipersenda
anak muda.

Anak muda
dalam meniti hidup peganglah dan susuri waspada
agar kamu tak tergelincir jatuh ke lembah hina
jika kamu makan jangan sampai menyepahkan meja
tak elok dipandang mata.

CNM, 25/12/11, 21.18 pm
BBB

Aku berdehem

Aku berdehem

Ehem! Ehem!
aku berdehem
kerana aku rasa geli tekak
barangkali dah lama tak bertekak
kering meledak.

Alih-alih
ada yang tersedak
macam budak-budak
makan gelojoh
tak dikunyahnya main telan saja.

Ada aku kesah
kalau makan
sendiri mahu ingat
kalau tak tahu makan
belajar makan
jangan nak marah orang.

CNM, 25/12/11, 20.47 pm
BBB

Keras Kerak Nasi

Keras Kerak Nasi

Sekali dengar keras
susah nak dimakan
sekali kena siram dengan air
lembik lunyai.

Itik ayam suka kerak nasi
kalau nak brutal jangan jadi kerak nasi.

CNM, 25/12/11, 13.14 pm
FTS

Maafkan

Maafkan

Bila aku
terpandang
duri sembilu terpacak
mencacah luka di hati-hati mereka
maafkan
aku terpaksa mencabutnya
sebelum nanah membarah
tak terubati lagi.

CNM, 23/12/11, 23.23pm
BBB

Pemuisi vs Komentator

Pemuisi vs Komentator

Pemuisi
garaplah puisi mengikut gayamu tersendiri
klasik moden
konvensional berinovasi
tradisional berinfomasi
kias mengias tidaklah dikisahkan
namun
apabila nukilanmu dikongsi di laman ini
haruslah berlapang dada dengan komentar komentator
barangkali ada ruang dan peluang untuk menambah baikan puisimu.

Komentator
kamu baca betul-betul
apapun aliran pemuisi biarkan saja
andai kamu ingin memberi komentar
berikan komentar yang membina
kerana itu akan memartabatkan lagi kualiti puisi kita
berikan cadangan penambahbaikannya
bukan hanya mengkritik tanpa apa-apa usul
kerana kritikan tanpa usul menyendeng ke arah memperendahkan suatu karya
harus belajar menghormati teman sepemuisi.

Belajar dan terus belajar
jangan menggelepar tak tentu pasal
nanti hati calar balar
laman jadi pudar
emosi tercakar
idea meliar
puisi hambar
bicara tak segar
ukhwah longgar
keharmonian terbubar.

CNM, 23/12/11, 21.33 pm
BBB

Ketinggalan

Ketinggalan

"bang, jom tengok ombak rindu".

sejam kemudian
di pesisiran pantai
"sayang,
macam mana nak tahu ombak rindu"?

CNM, 23/12/11, 18.18 pm
BBB

Bina Prihatin

Bina Prihatin

Kerana tidak prihatin,
nah!
merempit
merompak
merogol
pecah rumah
mengedar dadah
berkesedudukan
buang bayi
dera kanak-kanak,
semakin menjadi-jadi
bina prihatin untuk keredhaan-Nya
jangan ada konsep mu-mu, aku-aku.

CNM, 23/12/11, 17.42 pm
BBB

Hukuman mati

Hukuman mati

Dalam mahkamah nyamuk
Manusia telah dijatuhkan hukuman mati
Kerana kesalahan membunuh.

Hati-hati dengan serangan nyamuk.

CNM, 23/12/11, 00.05 am

Tiadakah secebis iman?

Tiadakah secebis iman?

Telah difirmankan-Nya;

bahawa air kencing syaitan
punca segala masalah
namun kedapatan manusia
masih rakus
tetap gelojoh meneguk
botol ke botol
dengan tololnya,

bahawa judi
memudaratkan diri
mengabaikan keluarga
namun kedapatan manusia
masih kecanduan dengan judi
tetap menghumbankan diri ke lembah kepapaan
dengan bahalolnya,

bahawa perzinaan
membawa kepincangan keturunan
menjatuhkan martabat diri dan keluarga
namun kedapatan manusia
masih membeli daging mentah di sela kangkang
yang dijual di lorong-lorong busuk lagi hanyir
dengan sudalnya.

Ya Rabbi
lontarkan secebis nur keimanan
di hati-hati mereka.

CNM, 22/12/11, 17.32 pm
BBB

Maruah ditelanjang

Maruah ditelanjang

Kerana kepingan kertas
yang bergambar gobenor bank negara
maruah ditelanjang
mengangkang di ranjang
tersenyum si hidung belang
menjilat lendir-lendir hanyir
sedangkan daging sembelihan terhidang.

Kerana kepingan kertas
yang bernombor siri sembilan angka
maruah dihumban ke lubang jamban
memperdaya anak bangsa jadi keldai najis dadah
mempertaruhkan nyawa ke tali gantung
memenangkan syaitan atas kesengsaraan saudara seagama
sedangkan anak bangsa perlu dibela.

CNM, 22/12/11, 15.56 pm
BBB

Adakah



Adakah

Cinta seperti bunga?
berkembang hanya untuk layu
cinta kamu?

CNM, 21/12/11, 22.17 pm
BBB

Saya sedar



Saya sedar

Saya bukan manager
saya hanya drebar.

Saya bukan boss besar
saya hanya buruh kasar.

Saya bukan CEO
saya hanya penggali kubur.

Saya tak perlu jadi orang lain
kerana saya adalah saya
setinggi mana terbang bangau
ke belakang kerbau jua kembalinya.

CNM, 21/12/11, 23.02 pm
BBB

Aku kura-kura



Aku kura-kura

Aku kura-kura
aku tak pura-pura
aku sangat kecewa
kecewa dengan manusia
alam sekitar tak jaga
sampah sarap buang ikut suka
aku nak bernafas tak cukup udara.

Tolong tok ketua!

CNM, 21/12/11, 22.28 pm
BBB

Picit

Picit

Dik! Picit dik
tetiba belakangku dipicit,

"Abah nak picit, bukan nak dipicit"
'Picit tu apa?'

Tu hah!!
'Oo! Remote control', sorry kata bujangku.

CNM, 21/12/11, 21.39 pm
BBB

Kecantikan



Kecantikan

Kecantikan
jadi buruan sesetengah orang
lelaki mata keranjang berdetup detap jantung bila memandang
wanita yang mencari makan dengan kecantikan berhabis wang menjaga badan
sepertinya bunga yang cantik dipandang
ia tidak kekal selamanya
datang dan pergi bak pelangi
sekadar menyeri.

CNM, 21/12/11, 21.22 pm
BBB

Yang berpunya



Yang berpunya
tentu bahagia berdua
tidak sepertinya yang belum berpunya
memadu kasih kepada yang setia
membaja cinta.

Yang berpunya
usah memasang dua
kelak kamu dihempap duka
masalah datang bertimpa
cinta bersengketa.

Yang berpunya
jangan bermain api nanti terbakar jiwa
hangus menjejas rupa
yang tampang buruk airmuka
yang comel nampak dah tua.

Yang berpunya
aku berpesan saja
aku pun berpunya
aku pesan untuk diriku juga
yehaaa..aku bahagia aku berpunya.

CNM, 21/12/11, 15.29 pm
BBB

Kau lupa janji!

Kau lupa janji!

Bukan lagu dendangan Jamal Abdillah
tetapi
janji-janji kita dalam iftitah;
"Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku,
hidupku dan matiku,
hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam".

Jangan lupa janji
kau lupa?

CNM, 20/12/11, 22.04 pm
BBB

Biar tumbuh dulu

Biar tumbuh dulu

Kanda,
andai dinda telah tiada
biarlah tumbuh dulu rumput di pusara
baharulah mencari ganti akan dinda.

Dinda,
akan kanda tunaikan permintaan dinda
hari-hari kanda akan menyiram pusara
biar cepat tumbuh rumputnya.

CNM, 20/12/11, 20.48 pm
BBB

Ingatkan aku



Ingatkan aku

Ingatkan aku
cantik itu sementara
tidak kekal selamanya
tiba masa gugur serinya
tiba masa meluruh gebunya
akan dimamah usia
tinggal kedutan duka.

CNM, 20/12/11, 18.55 pm
BBB

Hidup bukan seorang



Hidup bukan seorang

Tak akan mampu bertahan
dengan hanya sebelah kaki
aku pasti goyang akhirnya
usah menyombong diri
kita hidup perlukan orang di sekeliling
ditegur, diperbetul untuk kebaikan
buang jauh-jauh egomu
kerana kita tak akan terlepas dari kesilapan.

CNM, 20/12/11, 15.05 pm
BBB

19 December, 2011

Sendiri

Sendiri

Manusia tak mengerti
aku terpenjara
sedang mereka memperjuang
kebebasan
begitu sikap manusia
untuk diri sendiri boleh saja
untuk orang lain ada saja alasannya.

CNM, 19/12/11, 22.26 pm
BBB

Melayu Tak Hilang Di Dunia



Melayu Tak Hilang Di Dunia

Kalau Bang Tuah ada
tentu Bang Tuah merasa terhina
pantang melayu bersikap durjana
Bang Tuah!!! Bunuh saja
melayu kahwin sama jantina
rosak binasa bangsa
aku mohon berlindung dari bahana dosa
Bang Tuah!!! Bukan salahmu melayu terhina.

CNM, 19/12/11, 22.15 pm
BBB

Cinta Vokal

Cinta Vokal

Tak pernah bersua
hanya dengar suara
telefon menjadi perantara
cinta tak mengenal saluran apa
terbit rasa sayang di jiwa
kalau tak mendengar suara lemah segala
kecanduan vokal
mengalahkan lagu artis popular.

Tak jumpa pun tak apa
janji boleh dengar suara
jatuh cinta pada suara
tak kenal pun rupa
begitulah hebatnya panahan cinta
tepat mengena dada asmara
melekat tanpa paksa
janji hati bahagia.

CNM, 19/12/11, 21.56 pm
BBB

Lanun



Lanun

Lanun zaman ini
duduk di dunia hutan batu
beroperasi bila tiba waktu
teknologi membantu
bot berkuasa tinggi senang dipacu
sekejap saja sampai ke tempat dituju
merompak merampas di perairan buat duit saku.

Lanun zaman ini
mencetak rompak karya seni
jual di pasar malam berguni-guni
kaset, cd, vcd serba serbi
sebut saja pasti ada menanti
buat duit atas keringat penggiat seni
sedikit pun tak rasa bersalah penjenayah ini.

CNM, 19/12/11, 21.45 pm
BBB

Mata



Mata

Pada mata
ada kata tak bersuara.

Pada mata
ada cerita di jiwa.

Pada mata
ada emosi diperaga.

Pada mata
ada cinta buta.

Pada mata
ada beribu makna.

CNM, 19/12/11, 21.35 pm
BBB

Belang



Belang

Tuan-tuan
walau badanku berbelang
jangan berhati walang
aku bukan si hidung belang;
yang memerangkap anak dara orang
memperdaya isteri orang
hanya wajahku berbelang
hatiku tidak berbelang
aku tidak main wayang.

CNM, 19/12/11, 17.12 pm
BBB

Sengketa



Sengketa

Alangkah ruginya bersengketa
seorang di atas seorang di bawah
waktu yang singkat ini
alangkah baiknya diisi dengan hal yang indah-indah
bercinta bercumbu rayu
nikmat dunia yang dianugerahkan-Nya
rebutlah
kerana di sana kita belum tentu bahagia.

CNM, 19/12/11, 16.40 pm
BBB

Tak berteman



Tak berteman

Jangan jadi macam rimau
mengaum sana sini
sudahnya tak berteman
garang biar bertempat
sudahnya merempat
tiada siapa nak dekat.

CNM, 19/12/11, 16.20 pm
BBB

Duhai burung



Duhai burung

Duhai burung dalam sangkar
kamu sudah berteman
usah bersiulan memasang denak
memikat kawanan yang terbang bebas
setialah pada yang satu
itu lebih bermakna bagimu.

CNM, 19/12/11, 16.13 pm
BBB

Aku sayang Dia

Aku sayang Dia

Aku sayang Dia
dari remaja sampai ke tua
kasihku tertumpah padanya
cintaku terikat padanya
Ya Allah
kurniakan bahagia
buat kami berdua
menjadi hamba-Mu yang kaya dengan rasa cinta
dalam limpahan keberkatan dan keredhaan-Mu.

CNM, 19/12/11, 15.48 pm
BBB

Ilmu Lelaki

Ilmu Lelaki

Duhai wanita
kenalilah lelaki
kerana dia bakal jadi suami
kenal hati dan budi
kelak tak sakit hati.

Duhai wanita
ketahuilah lelaki
mereka tidak suka dileteri
cakap elok-elok dia mengerti
tiada sakit hati.

Duhai wanita
sedarlah tentang lelaki
mereka juga ingin dikasihi
belaian manja isteri
jadi penawar himpitan hati.

Duhai wanita
akurlah kehendak lelaki
bukan paras rupa yang dicari
ramah mesra layanan manja yang diingini
tentu kamu akan ditahta di hati.

Duhai wanita
tambatlah lelaki
dengan air tangan kamu yang sejati
kenyangkan perut dan batinnya hari-hari
pasti dia tak lari.

Duhai wanita
sayangi lelaki
kerana dia pelengkap hidup dari Ilahi
jangan ada benci
pupuk diri menyayangi lelaki.

CNM, 19/12/11, 13.13 pm
BBB

Ilmu Wanita

Ilmu Wanita

Duhai lelaki
tidakkah kamu sedari
wanita ingin dikasihi
maka berikan kasih sayangmu
sepenuh hati.

Duhai lelaki
tidakkah kamu pelajari
wanita suka dipuji
maka berikan pujianmu
seikhlas hati.

Duhai lelaki
tidakkah kamu ketahui
wanita suka digeli
maka geletek hatinya
nescaya kamu diberi bahagia.

Duhai lelaki
tidakkah kamu rasa
wanita juga setia
jangan kamu permainkan jiwa mereka
kelak kamu dipukul bahananya.

Duhai lelaki
mari kenali wanita
pasangan kita anugerah yang Esa
dengannya kita hidup bersama
saling melengkapi sesama.

CNM, 18/12/11, 9.48 am
BBB

Di sana menanti Di sini menunggu

Di sana menanti Di sini menunggu

Lelaki
Usah memberi harapan palsu
Pilihlah satu
Kerana kamu tak akan mampu
Membahagikan kasih.

Lelaki
Jangan sesekali menyakiti
Hati wanita jika terluka
Sampai mati akan berdarah
Walau kemaafan terucap melupa tiada.

Lelaki
Yang ada sayangi seadanya
Jangan dikejar yang tak pasti
Kelak merana diri
Cinta tak berkesampaian.

Lelaki
Jika kamu punya hati
Dengarlah luahan
Cinta bukan barang mainan
Yang boleh dijual beli.

Lelaki
Jika kamu tidak mencintai
Lepaskan dia pergi
Sebelum harapan yang kau beri
Ditagih sebagai janji.

Lelaki
Aku menasihati
Usah pasang dua
Kelak kamu dibenci
Dua-duanya sekali.

CNM, 19/12/11, 7.37 am
BBB

Hangus..

Hangus..

1 ringgit...
2 ringgit...
3 ringgit...
4 ringgit...
aaa!!! hangussss
kalau sudah gila judi
habisss!!! tak berbaki
mula hutang sama ceti
hutang sampai mati.

CNM, 18/12/11, 20.20 pm
BBB

sebelum fajar

sebelum fajar

Malam mengajak aku ke ranjang
mencumbui mimpi yang bertelanjang
sebelum fajar mengetuk pintu kamar.

CNM, 17/12/11, 00.10 am

16 December, 2011

Dunia Hutan Batu

Dunia Hutan Batu

Hutan batu
tumbuh beribu
ramai jadi hantu
terkeliru
hidup diperkotak katik celaru
antara adat timur dan budaya barat yang haru
kecing syaitan diteguk tanpa segan silu
betina jantan bergaul tanpa malu
malam jadi siang tidur tak mahu
rosak binasa umat melayu
jadi kutu
merayu
minta duit saku
buat beli syabu
lepas gian rempit malam minggu
usung awek gedik tak berbaju
sembilan purnama berlalu
gempar bayi terbujur kaku
tiada siapa mengaku
kejam sungguh si ibu
hidup tak menentu
jual daging mentah dapat duit beribu
dapat penyakit balasan Yang Satu
mohon dilindungi sahabat dan keluargaku
dari malapetaka dunia hutan batu.

CNM, 16/12/11, 12.17 pm
Tinta Hati.

Laut Kasih 100

Laut Kasih 100

i
Dinda
Kutuliskan semua soneta ini
Buat tatapan hatimu
Yang kauserahkan sepenuh jiwa raga
Putih suci mewangi.

Dinda
Garapan ini khas untukmu
Simpanlah sebagai kenangan
Betapa indahnya memiliki cintamu
Mengasyikkan sukma.

ii
Sayang
Telah telanjur aku mencintaimu
Akan kupertahankan selagi ada hayat ini
Kerana kutahu cintamu anugerah buatku
Terima kasih Ya Rabbi atas limpahan cinta-Mu.

Sayang
Telah aku tanamkan janji
Mencintaimu sehingga nafas terhenti
Andai tiada lagi cintai ini
Telah bersemadi jiwaku bersama cinta abadi.

iii
Manja
Kaulah yang satu
Cinta yang ketemui
Tulus suci tiada benci
Setia menanti.

Manja
Kaulah yang satu
Kasih yang bersemi
Teguh berdiri tiada iri
Jujur memberi.

iv
Dinda
Dari detik mengenalimu
Aku yakin dan pasti cintaku ada padamu
Musim ke musim berlalu
Ternyata ia bukan palsu.


Dinda
Dari detik mengenalimu
Aku tak ingin menoleh lagi
Meneruskan perjalanan bersamamu di sisi
Ternyata ia sampai ke destinasi.

v
Sayang
Ijab dan kabul mengikat kita
Dalam simpulan suci
Biar ia terus menyimpul mati
Tak terlerai ke akhir nanti

Sayang
Zuriat yang kita miliki
Pengikat kasih nan suci
Biar mereka mengetahui
Cintaku dan cintamu diberkati.

vi
Manja
bergandingan kita
menempuh badai dan gelora
melayarkan bahtera
menuju syurga.

Manja
Bersama kita
Dari kaki tangga
Berpimpin tangan mendaki ke menara
Menjunjung bahagia.

vii
Dinda
Biar usia berganda
Cintaku tetap muda remaja
Kuhiasi dengan kasih berbaja
moga dinda bahagia.

Dinda
Biar zaman berlalu
Kasihku tetap padamu
Kuperteguhkan dengan bicara jiwa
Moga dinda tiada duka.

viii
Sayang
Bagaimana indahnya cinta kita
Begitulah indahnya impian
Mencari keredhaan-Nya
Buat bekalan di sana.

Sayang
Temani daku jadi tetamu
Sujud di hadapan Baitullah
Tanah suci
Menyuci jiwa sesuci cinta kita.

ix
Manja
Andai ada gurisan di hatimu
Kupohon ampun darimu
Kerana dalam tidak sedar
Aku menyakitimu.

Manja
Tiada gurisan rasa yang aku simpan
Tiap detik dan ketika
Kemaafan kuhulurkan untukmu
Sambutlah dengan segaris senyum.

x
Dinda
Kulabuhkan kata cinta
Tanda menetapnya jiwa
Memuja kasih dan sayangmu
Bersaksi alam semesta.

Dinda
Kuukirkan bicara terindah
Dalam lautan kasihmu
Agar ia tercatat sebagai sejarah
Cintamu dan cintaku berpadu degan restu Yang Satu.

CNM, 16/12/11, 00.20 am
Tinta Hati.

Laut Kasih 99

Laut Kasih 99

Dinda
untuk mengenali cintamu
aku tak perlukan cahaya lentera di malam gelita
cukup dengan nada desah nafasmu
menampar cupingan hatiku.

Dinda
untuk mengecam cintamu
aku tak perlukan cahaya neon di malam kelam
cukup dengan haruman wangianmu
menusuk hidung hatiku.

Cukup kukenali gelora laut kasihmu.

CNM, 15/12/11.

Sepi

Sepi

Telah kuduga
memang dijangka
di malam jumaat setelah purnama
hormon barangkali berganda
beragenda.

Aku ketawa tanpa suara.

CNM, 15/12/11.

Cepatnya

Cepatnya

Usai solat isyak
pak imam yang suka berborak
kulihat tergopoh gapah
bagai ada yang tak kena
lalu jemaah bertanya
"pak imam kenapa"?

'Maaf saudaraku
hamba terpanggil melaksana
tugas di malam jumaat',

pak imam berlalu dengan senyum seribu makna.

CNM, 15/12/11

Perempuan Montel

Perempuan Montel

hatinya gundah
terlebih sudah
mula mengelabah
mencari pakar bedah
menokok tambah
menarah yang bertambah.

hatinya resah
risau cinta beralih arah
menyesal tak sudah
mula cari helah
tak mahu mengalah
montel punya salah.

CNM, 15/12/11.

Berbahagi luka.

Berbahagi luka.

Luka tak berdarah
bisikan pada hujan malam
biar dibasuh suci
melarut hanyut ke muara
jadi pulau cinta.

Luka tak berdarah
khabar pada angin malam
biar diterbang ke ufuk
merentangi dada langit
jadi awan cinta.

Luka tak berdarah
suarakan pada embun malam
biar dibasahi ketenangan
dibekukan di jiwa
jadi azimat cinta.

CNM, 15/12/11

Laut Kasih 98

Laut Kasih 98

Dinda
jika mentari membahang
membawa kehangatan ke pelusuk alam
hangat lagi cinta dari limpahan laut kasihmu
menyinari alam hidupku.

Dinda
jika angin membelai lembut
membawa ketenangan ke serata alam
lembut lagi belaian rindu dari limpahan laut kasihmu
menenangkan alam hidupku.

Dinda
jika bulan mengambang
menyuluh cahaya ke muka bumi
lagi gemerlap cahaya kasih dari laut kasihmu
menerangi kamar cintaku.

CNM, 15/12/11.

Laut Kasih 97

Laut Kasih 97


Dinda
Aku bahagia
Terpenjara dalan cintamu
Yang berdebur
Bersama gelora asmara ombak laut kasihmu.

Dinda
Aku rela
Terantai dengan kasihmu
Yang mengikat
Bersama bayu rindu tiupan laut kasihmu.

Goldkey

Di ambang senja

Di ambang senja ini
aku menunggu untuk bersujud kepada-Mu
Ya Tuhanku
jangan sesekali Engkau palingkan kiblatku dari sujud kepada-Mu.

CNM, 15/12/11

Belantara cinta

Belantara cinta

Dalam belantara cinta
kudapat menghidu wangian asmara
yang kau kuntumkan bertangkai kasih
mewangi sepanjang denai ke menara rindu
jadi ranjang peraduan kau dan aku
memadu kasih berdua.

CNM, 14/12/11.

Yang

Yang

Yang berjalan masa
yang menanti kubur
yang mendatang mati.

CNM, 14/12/11.

Tak mengerti



Tak mengerti

Pantai setia dalam keterpaksaan
walau terus dibadai ombak
yang tak pernah
memahami
erti
kelukaan.

CNM, 14/12/11

Cap Ayam



Cap Ayam

Kamera cap ayamku
menangkap gerhana bulan dari kejauhan
halus hampir tak kelihatan
nak minta kak lid sponsor lens yang lagi kencang
boleh tangkap gambar dari celah-celah lubang
besar cantik dan menawan.

CNM, 14/12/11

Ingat!!!

Ingat!!!

Sekali mencuba terlalu banyak
terlalu jauh untuk berpatah balik
nah! jangan sesekali terjebak
kerana panjang ceritanya
dan cerita berakhir di bilik terakhir.

CNM, 14/12/11, 15.34 pm
Tinta Hati.

Kecewa

Kecewa

Percayalah
bukan salah aku buat kaurasa kecewa
aku hanya satu rasa di hatimu
aku tiba bila kaugagal dalam bercinta
tidak salahkan?,
aku mendampingimu
saat kauperlukan teman di kala berduka
aku hanya rasa kecewa di hatimu.

CNM, 14/12/11, 12.16 pm
Tinta Hati.

Laut Kasih 96

Laut Kasih 96

Dinda
terima kasih
membuka selendang di ubun hatimu
memberi aku ruang mengucup cinta hatimu
menghirup madu cinta dari kuntuman mawar laut kasihmu.

Dinda
terima kasih
membuka jendela sukmamu
memberi aku kesempatan mengintai ayat-ayat cinta di sukmamu
dan kulagukan dalam nyayian beriramakan suara laut kasihmu.

CNM, 14/12/11, 11.55 am
Tinta Hati.

Rindu

Rindu

Rindu tak bersuara
membungkam memendam rasa
di temani air mata
kerana cintanya terpisah antara benua
mengharap cinta datang memuja
membelai rindu dalam dakapan disaksi senja jingga.

Aku tak terkasima
bicara rindu sering menusuk sukma
mendayukan lagu dimelodikan jiwa
berbisik ke angin lalu menyampai gelora rasa
menunggu jawapan tak kujung tiba
rindu tak bersuara.

CNM, 14/12/11, 11.23 am
Tinta Hati.

Siang dan Malam

Siang dan Malam

Masing-masing di aturannya
dan takkan malam
dapat mendahului siang.

Aku yakin, kamu?

CNM, 14/12/11

Kebaikan

Teman
bertuahnya kita
kebaikan yang kita semai
tercatit dan takkan terpadam di sisi-Nya.

Teman
bertuahnya kita
kesalahan yang kita goreskan
akan terpadam dengan taubat yang bersungguh-sungguh.

Marilah kita bersegera memohon ampun.

CNM, 14/12/11

Laut Kasih 95

Laut Kasih 95

Malam ini
Kutemani dinda
Menyempurnakan penulisan ilmiah
Menyimpul hasilan kajian
Mempertahan dapatan
Aku bangga denganmu sayang.

Lekas siapakan
Kutunggu kerana kasih dan sayang
Dalam susah dan dalam senang
Tiada apa yang dapat meluluhkan
Cinta yang terbina
Megah melayari laut kasih kita.

CNM, 13/12/11, 00.45 am
Tinta hati

Luka tak berdarah

Luka tak berdarah

Peritkah?
menyisih luka yang tak berdarah
hanya titis air mata
menyata rasa serelung kecewa
membungkam di dada.

CNM, 13/12/11, 8.54 am
tinta hati

Di kesunyian pagi

Di kesunyian pagi
Sepi suasana menyelubungi masa
Ya Rabbi
Aku memohon kepada-Mu
Ampunilah kekhilafan diriku sepanjang hari
Sesungguhnya akulah hamba-Mu yang lemah
Takdirkan kepada diriku ketentuan-Mu yang mampu terpikul
Permudahkan perjalanan hidupku sepanjang pinjaman waktu yang Engkau kurniakan
Jangan sesekali Engkau memalingkan mukaku dari bersujud kepada-Mu
Jangan sesekali Engkau padamkan nur keimanan di hatiku
Semoga dengan kemurahan limpahan rahmat dan nikmat-Mu
Aku tergolong dalam kalangan yang bersyukur kepada-Mu.

CNM, 13/12/11, 1.15 am
Tinta hati

Yatim Piatu



Yatim Piatu

Anak kucing yatim piatu
kelmarin pagi-pagi ada depan pintu
hatiku sayu
manalah bapa ibu
nak halau naluri kasihan menahanku
aku buat keputusan memelihara atas permintaan anakku
putih cantik bulu pun gebu
rezeki agaknya buatku.

CNM, 12/12/11, 20.55 pm
tinta hati

Buncit

Buncit

Perut buncit makan terlalu banyak
perut buncit banyak minum arak
perut buncit sedang kandungkan anak
perut buncit penyakit kian membengkak
perut buncit banyak simpan lemak
perut buncit lama tak berak
perut buncit angin bergelodak
perut buncit bahana tukang masak
perut buncit susah nak bergerak
perut buncit jangan digelak
perut buncit bukan bahan lawak
perut buncit jadi pilihan tak?

CNM, 12.12.11, 12.30 pm
BBB

12 December, 2011

Kupu-kupu dan buaya

Kupu-kupu dan buaya

Pencinta malam
digugah embun jantan
terbeliak buntang biji matanya
menyaksikan kupu-kupu menjerat buaya
memukau dengan berdiri dalam pakaian telanjang
buaya dirasuk nafsu syahwat persis kuda di musim mengawan
membontoti yang betina bersama ghairah yang mencanak
lalu bermaharajalela sang laknatullah
bertepuk tangan menyeret anak cucu adam ke neraka
dan pencinta malam menitiskan air mata hiba
kerana kedurjanaan terus bertunas zaman ke zaman.

CNM, 11/12/11, 23.16 pm
BBB
Akrostik

Halimah Jongang

Halimah jongang
Arahan A. Aida
Layarkan kisah anak dara jongang
Ingin dicintai jejaka pilihan hati
Malang diri tak secantik puteri idaman lelaki
Ali tak memandang Halimah sebagai buah hati
Hanya anggap kawan tempat membicara isi hati.

Jenaka ini
Orang komen menjatuhkan maruah mereka yang kekurangan
Namun bagiku ada mesej yang nak disampaikan
Garapan cerita perlu dihayati hingga ke hujung jalannya
Agar tidak tersalah tafsiran
Nasihat dan pengajaran amat berguna
Gasaklah apa orang nak kata janji tidak menyelewengkan ajaran agama.

CNM, 11/12/11, 18.45 pm
BBB

Sakit Mata

Sakit Mata

Tadi aku bermain boling satu keluarga
terjumpa seorang anak dara
gedik gelinyau menghala
pakai baju tak cukup ela
seluar ketat macam pembalut nangka
sungguh menjolok mata
tetek selambak di atas dada
sengaja diperaga pangkalnya
sungguh tak sesuai dikhalayak berpakaian sedemikian rupa
sungguh tak takut dosa
bukankah menutup aurat itu tuntutan agama
perintah daripada Yang Esa
jangan bangga memperaga aurat mempersenda suruhan-Nya
Ya Allah kuniakan nur hidayah kepada mereka
patuh dah taat titah perintah menuju jalan sempurna.

CNM, 11/12/11, 16.13 pm
BBB

Kau ni kenapa?

Kau ni kenapa?

"Kau ni kenapa? Dengki sangat dengan aku malam ini. Kau tahukan malan ini rampai peminat aku menunggu. Berilah aku peluang bergaya memperaksikan kecantikan tubuh badanku. Sesekali ingin aku memperlihatkan keajaiban, tanda kebesaran tuanku. Nyah kamu dari situ", kata bulan kepada awan.

CNM

Duhai Awan

Duhai Awan

Duhai awan
berundur dari langit yang kujunjung
beri kesempatan kumemandang gerhana bulan
bukan selalu peluang datang bertandang
malam ini ia datang
jangan menghalang pandangan.

Duhai awan
berarak pergi ke hujung alam
biar dada langit dihiasi bulan
ditemani bintang gemintang
menyeri malam
walau gerhana kelam.

CNM, 10/12/11, 21.44 pm
BBB

Laut Kasih 94

Laut Kasih 94

Kerana kaucuri hatiku dinda;
kukunci cintamu di hati
Kupenjara kasihmu di jiwa
agar tenang gelora kasih sayang dari laut kasihmu.

CNM, 10/12/11, 14.51 pm
BBB

Laut Kasih 93

Laut Kasih 93

Kedinginan malam
menghangat haruman cinta
menyemarak rasa rindu
menguja mengusik naluri kelelakianku
ghairah memuncak
menghanyutkan daku ke pusaran asmaramu
cumbuilah daku dinda
biar jiwa bergelora
biar sukma bergetaran
biar sama-sama merasa nikmat cinta suci
terbit dari ufuk ke ufuk
menyatu dalam pelukan laut kasih.

CNM, 10/12/11, 00.05 am
BBB

Hari Jumaat

Hari Jumaat

Hiasi diri dengan amalan kebajikan
Akan berharga di hari kemudian
Redha Ilahi impian semua
Itulah penyelamat ke syurga.

Jangan berlengah lagi beribadat
Umur kian meningkat
Mati kian mendekat
Amalan perlu diperhitung
Ada ruang dan peluang untuk memperbetul
Tuhan maha pengasih lagi maha mengasihani.

CNM, 9/12/11, 14.25 pm
BBB

Tak ingin kutersungkur

Tak ingin kutersungkur

Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah
Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah
Aku bersujud kepada-Mu
Berlapar dan dahaga atas perintah-Mu
Berkongsi apa yang aku miliki dengan yang hak
Menyahut seruan menjadi tetamu-Mu di tanah Suci
kerana tak ingin kutersungkur di hadapan-Mu kelak.

Aku memohon di hari mulia ini Ya Rabbi
Permudahkan segala urusanku di dunia dan akhirat.

CNM, 9/12/11, 12.44 tgh
BBB

Puisi Akrostik

Puisi Akrostik

Bintang Kartika

Bahasa mapan sekali
Indah garapan dalam bait kata
Nanti aku cuba pelajarinya
Tak terjangkau dek akalku kata-katanya
Amat tinggi kosa kata
Nak kukuasai sepertinya
Guna menggarap puisiku.

Kekasihnya di Jepun
Aku doakan mereka cepat bersatu
Rindu mereka tak tertanggung lagi
Talian internet penyambung kasih
Indah sungguh cinta antara benua
Kerinduan membaja kasih
Akur setia menunggu hari bahagia.

CNM, 8/12/11, 9.42 am
BBB

Comic Comot

Comel dan bergaya
Orang memandang terpukau
Muda remaja
Ikhlas dalam bersahabat
Cantik rupa indah pekerti

Coloteh tak habis
Orang gelak sakan
Membaca puisi Comic Comot
Orang tak aka lupa
Tautan sulaturrahim termetrai.

CNM, 8/12/11, 9.30 am
BBB

Sazalee Sulaiman

Seorang yang kreatif
Aku kenal di laman PBKS
Zahirnya macam kaki pukul
Aku kaji baik hatinya
Lemah gemalai orangnya
Elok rupa boleh tahan gaya
Esok-esok ramai peminatnya.

Sungguh produktif menulis puisi
Untuk tatapan bersama warga PBKS
Langsung tak jemu menulis
Aku kagum dengan komitmenmu
Insan yang tekun mencurah rasa
Moga diberi kekuatan terus berkarya
Aku sokong penuh dari belakangmu
Nanti meriah laman kita usahakan.

CNM, 8/12/11, 13.18 pm
BBB

Norafida Aris

Nantikan cinta hatimu
Olakan rindu membadai sukmamu
Rasakan indahnya anugerah cinta
Fantasi jadi realiti
Impian memiliki
Dambaan
Agungmu.

Antara rindu dan air mata
Ramuan yang biasa
Indah alam bercinta
Selalu menguja jiwa.


CNM, 8/12/11, 14.59 pm
BBB

Selendang Hitam

Susunan kata memikat kalbu
Elok rupa elok budi bahasa
Lelaki pasti lemah longlai tergoda
Enggan berpaling bila memandang
Nak terkeluar biji mata
Detak hati lelaki berdetup detap
Namun sopan satun tetap dijaga
Genggam erat pesanan ayahbonda.

Hiasi diri dengan iman
Ikutan para ilmuan
Tertib adab jadi pedoman
Amanah dan tanggungjawab jadi keutamaan
Menulis puisi berpesan buat teman-teman.

CNM, 8/12/11, 14.50 pm
BBB

Muhammad Rois Rinaldi

Menggarap puisi jadi kecanduan
Ungkapan-ungkapan menggelinjang
Hamilkan minda
Amukkan bicara sensual
Memukau nafsu
Membuntingkan rasa
Aduh!
Dahsyat.

Romansa ditelanjangi
Omelan-omelan ghairah
Inti pati
Susunan kata.

Rois
Ilmu menunduk digurui
Nak menawan Artika Dirumah
Amalkan bertapa di Gua Hantu
Lamanya 40 tahun
Dunia terasing
Impian menakluk cinta Artika.

CNM, 8/12/11, 15.24 pm
BBB

Wan Zul

Walau malu-malu meow
Ayat-ayatmu baik sekali
Nah! terus garap lagi.

Zahirkan isi hatimu
Ukirkan larik terindah
Lukiskan gelojak rasa terpuitis.

CNM, 8/12/11, 16.09pm
BBB

Ibnu Din Assingkiri

Ilmunya bergedung
Berguru dengannya memang tepat sekali
Natijahnya terungkap puisi mampan indah sekali
Usaha membimbing pemuisi muda kukagumi.

Dalam berkarya
Ingatlah katanya tiada kasta
Nasihat yang bernas lagi bijaksana.

Aku bangga
Sempat mengenali sahabat Ibnu Din Assingkiri
Sesuatu kupelajari dari puisi-puisi hebatnya
Istilah puisi jelas diapresiasikan
Nota-nota kaki sangat membantu pembaca
Gagasan puisinya bermacam pola dan tema
Ketepatan diksi menjelaskan makna
Inilah penulis berbakat besar
Ramah tamah orangnya
Isteri gagah menyokong di belakang.

CNM, 8/12/11, 15.36 pm
BBB

Nik Zharif Aimran

Nakal dan cerdik
Itulah kusimpulkan
Kepada anakanda tercinta.

Zaman silih berganti
Hanya kepadamu kumenumpah kasih
Anugerah Tuhan tak ternilai
Rahmat dan kurnia-Nya
Indah sekali memenuhi
Fragmen perjalanan hidup ini.

Anakku
Ingatlah akan janjimu
Memilih kami jadi orang tuamu
Restu untukmu
Anakku
Noktah.

CNM, 8/12/11, 19.07pm
BBB

Nik Nurazahara Suhada

Nik Nurazahara Suhada
Inilah puisi abah buatmu
Kakak satu-satunya harapan ibu dan abah.

Nasihat Abah berikan
Untuk kakak yang disayangi
Restu ibu dan abah mengiringi perjuanganmu
Akan abah cuba berikan yang terbaik
Zharif adikmu sayangilah seperti mana ibu dah abah sayangi
Abah harapkan kamu menjaga adikmu yang teristimewa
Hanya kakak jadi harapan masa depan adik
Akan tiba masanya nanti adik perlukan perhatianmu
Rasanya kakak akan lebih menyayangi
Adik tidak seperti orang biasa yang mungkin boleh berdikari.

Statusmu sebagai kakak
Usaha sehingga jaya
Harapanmu pasti tercapai
Abah yakin kakak akan berjaya
Demi masa depan kakak dan adik
Abah dan Ibu membantu yang termampu.

CNM, 8/12/11, 20.48 pm
BBB

Hasma Maymeng

Hanya insan terpilih
Allah kurniakan nur hidayah-Nya
Seperti para rasul pilihan
Maka berdoalah sentiasa
Agar mendapat cahaya keimanan.

Mantapkan takwa
Amalkan sunnah rasul
Yakinlan ia jalan kebenaran
Membawa ke jalan keredhaan Ilahi
Esoknya nanti terpelihara
Nasib menyebelahi kita
Gemilang terbilang dunia dan akhirat.

CNM, 8/12/11, 21.55 pm
BBB

PUISI BAIT KATA SUARA

Pemuisi-pemuisi sekelian
Untaikan kata-kata puitismu
Ilham yang mencurah larikkan dalam bait kata bermakna
Silaturrahim antara kita amat bermakna
Ikatan ukhwah kita bina.

Bersama kita hidupkan laman PBKS
Antara kita tiada kasta sepertinya pesan Ibnu Din Assingkiri
Ingat, kita berkarya untuk memupuk setiakawan jauh dan dekat
Terapkan nilai saling hormat menghormati.

Kekuatan kita saling mencintai puisi
Anggaplah kita dari satu keluarga besar mendukungi bidang seni
Tugas kita memartabatkan bahasa ibunda yang tercinta
Amalan yang sama-sama kita genggam.

Sudilah saling bantu membantu
Uruskan laman yang tercinta
Adakala salah faham mengguris rasa
Redha, memaafkan sesama kita dalam sebuah keluarga
Ambil yang jernih buang yang keruh.

CNM, 8/12/11, 22.15 pm
BBB

Tengku Raknemas

Telah bertunas cintanya
Entah siaplah si jejaka bertuah itu
Nak juga kukenal mungkin setampan Aaron Aziz
Gempar semalaya
Kerana kehebatan jalinan cinta
Umum tertunggu-tunggu kemunculan pasangannya.

Raut wajah yang menawan
Amat memikat jejaka mata keranjang
Kerana pesan ayahbonda
Nakalnya terpenjara
Etika berkawan tetap dijaga
Malu sebahagian iman di dada
Ayahbonda sentiasa di minda
Selamat dari segala fitnah dunia.

CNM, 8/12/11, 22.28pm
BBB

Rita Karim

Rajin menggarap puisi
Itulah minat orang berseni
Tercipta puisi-puisi indah
Akalan Rita Karim.

Kekalkan karyamu
Aku mengalu-alukan nukilan hebatmu
Rangkap-rangkap puitis yang bermakna
Ilham tak pernah pudar
Mencoret laju bergaya.

CNM, 8/12/11, 22.50 pm
BBB

Kajang High School

Kajang High School
Antara nama tersohor mencipta sejarah
Jelas terbukti dengan kecemerlangan warganya
Ampuh dalam bidang yang diceburi
Nakhoda bijak mengatur strategi
Gemilang dan terbilang pasti.

Hayat kian meningkat
Impian kian menggunung
Galas Visi dan Misi Kementerian Pelajaran Malaysia
Hasilkan modal insan berdaya saing bertaraf global.

Seluruh warga
Ceria sentiasa memupuk budaya mesra
Hilang lelah bila perpaduan jadi agenda
Orang melihat bertambah selesa
Organisasi cemerlang berbuat jasa
Laksana agenda pembangunan negara.

CNM, 8/12,11, 23.12 pm
BBB

Puisi Akrostik : Cikgu Nik Mie

Puisi Akrostik : Cikgu Nik Mie

Cahaya tamaran senja semalam
Impian menjebak sebuah rindu
Kamu dan sekeping aku di pojok asa
Gurat semalam rekahkan berjuta rona di mataku
Utuh bagai pendar gemintang di matamu

Nelangsa pelangi muncul seperti kemarau merindu hujan
Indah canda malam yang terasa panjang
Kini senyum berhamburan untuk sebuah kerinduan yang terpendam

Mencintaimu seperti orang lain mencintai kekasihnya
Impian menjunjung, tiada hujan yang tak pernah reda
Entah kapan tapi janji itu pasti !

By: Bintang Kartika


Cara apa yang hendak kau lakukan untuk menautkan rindu
Ingatkah saat kau kudekap
Kerontang daun menjadi hijau
Gemintang seakan terbit di siang petang, seketika itu
Ulat pun menjelma kupu-kupu, mengembangkan sayapnya yang lugu

Nukilan cintamu seakan abadi dalam bara, juga
Ilalang terus bergoyang melantunkan senyummu
Ke mana laju angin, kesitulah aku menemu parasmu

Melaka, entah kapan aku tiba kesana, teringat
Inang yang lama hilang jauh di perantauan
Esa sungguh kau di dalam hatiku

By: Windu Mandela


Corakkan puisi bagai melodi
Indah berlagu tanpa henti
Keindahan maya bererti kini
Gemilau sinar semakin menyinari

Nukilan jemari
Indah tersusun penuh santun dan budi
Keasyikan menatap lukisan hati

Moga laman ini terus hidup berbudi
Impian terbina bersama harapan
Empangan kasihkan terus terbentang.

By: Norafida Aris


Corakkan puisi bagai melodi
Indah berlagu tanpa henti
Keindahan maya bererti kini
Gemilau sinar semakin menyinari
Unggul meresap ke hati

Nukilan jemari
Indah tersusun penuh santun dan budi
Keasyikan menatap lukisan hati

Moga laman ini terus hidup berbudi
Impian terbina bersama harapan
Empangan kasihkan terus terbentang.

By: Norafida Aris



Cermin diri yang terbaik
Ilmu dicurah tak kenal siapa
Kegigihanya menegur membangkit rasa
Galau bukan sebarang suara
Untuk membimbing mengolah kata.

Nilai puisi bukan taruhan
Idea datang berganti-ganti
Kesungguhan tak terlihat.

Melalui jalan semalam
Intai kenangan ketika mula berpuisi
Esok lebih yakin, menulis lagi.

By: Comic Comot


Cemerlang berdedikasi
Impian yang jitu
Kemahiran bertata bahasa
Garapan terbina
Untuk membina PBKS berjaya

Nion terpancar
Indah cahayanya
Kepada semua warga PBKS tercinta

Miliki hati yang amat mulia
Itulah Cikgu Nik Mie yang bijaksana
Emosi terjaga walau terkadang tercalar hatinya.

By: Sazalee Sulaiman


Cita-citaku
Ingin jadi penyair
Kepalang ayah keluar modal
Gugusan bima sakti itulah nantinya
Usia bukan halangan, kejarlah impian

Naluri tulisanmu bagai kembang
Indah rangkaian kata karyamu
Kemudian jadikan sebuah buku

Masalah nasib siapa tahu
Imbuhkan harap pada aksara
Engkau yakin dan harus bisa

By: Sajak Astro Zackhoy


Cikgu
Ikhlas
Kita cakap
Guna semua nasihat cikgu
Untuk panduan buat pedoman.

Namun hadirmu ikhlas berteman
Ikut cara sendiri setia pada yang satu
Ketulusan cinta hanya untuk Sang Ratu.

Memang bertuah Sang Ratu
Ikutkan hati nak juga begitu
Elok cikgu carikan satu untukku.


~ Selendang Hitam ~


Contoh orang aku hormat


Insan yang berjawatan cikgu
Kalau berpuisi dia nombor satu
Guru utama dalam PBKS ini
Untung sungguh sumbanganmu

Nasihat demi nasihat
Idea mencurah-curah
Kepada semua sahabat PBKS

Maka demikianlah
Ingin kutabik hormat
Engkaulah Cikgu Nik Mie..

By: Wan Zul

Salah faham

Salah faham

Gempar!
seluruh penduduk sebuah pekan terkejut
lalu beramai-ramai menyerbu hospital
berebut-rebut ingin menyaksikan kepelikan
konon bayi dilahirkan dengan anggota badan binatang
maka kecohlah satu hospital
gara-gara berita bayi dilahirkan berkaki ayam.

CNM, 7/12/11, 22.38 pm
BBB

Terpinar

Terpinar

Suatu petang yang suram
dari kejauhan
mataku dicucuk cahaya terang
terpinar
lalu kuhampiri sumbernya
sangkaku
cahaya dari balikan cermin kusam
adeh!
rupanya dari kepala pak mat cermin.

CNM, 7/12/11, 22.53 pm
BBB

Berapa bulan

Berapa bulan

aku senyum
dia pun senyum
aku senyum melihat dia senyum
dia senyum melihat aku senyum
lalu aku bertanya;
"bang!!! dan berapa bulan?"
'dah enam bulan'
sambil menggosok-gosok lembut perutnya.

CNM, 7/12/11, 22.03 pm
BBB

07 December, 2011

Jadi seperti air

Teman jadilah seperti air
merendah diri
mengalir ke lembah
menuju ke muara
bertaut dengan laut yang bergelora
punyai kekuatan dalaman
lihat kerasnya titisan air
batu pejal bisa diluluh
sesekali tsunami membadai
bisa memusnahkan.

CNM, 7/12/11, 11.11 am
BBB

Hari ini

Hari ini

Hari ini
tentu kamu tahu hari rabu
jangan keliru
jika keliru hatimu celaru
barangkali sukmamu ditusuk sembilu
akal goyah diserbu
persoalan yang menghantui kalbu.

Hari ini
cuba muhasabah dirimu itu
senaraikan kelebihan dan kekuranganmu
kaji halangan dan peluang di sekelilingmu
buat analisis jitu
tambah ilmu
tentu berjaya hidupmu.

Hari ini
aku berpesan padamu
kawallah amarah yang menggebu
sabar lebih baik untukmu
berdiam lebih baik dari merapu
banyak bercakap kesilapan melutu
renung-renungkan sahabatku.

Hari ini
aku juga mengingatkan diriku
setiap yang terjadi ada tujuan tertentu
takdir yang Esa terbaik walau tak membantu
ada hikmah di sebalik apa yang berlaku
terima dengan redha ketentuan itu
moga hati tak terbuku.

Hari ini
aku ingin menyuara sesuatu
laman ini tempat kita bertemu
berkarya berkongsi garapan bermutu
usah ada sengketa yang membelenggu
itu yang kuharapkan daripada kamu
sama-sama berpadu.

Hari ini
aku ingin memberi tahu
aku juga sepertinya kamu
ada melelakukan kesilapan dalam karyaku
perbetulkan aku jangan segan jangan malu
aku harapkan komen yang dapat membantu
memperbaiki nukilanku.

Hari ini
dan seterusnya ketahui olehmu
aku menegur bukan untuk mengkritikmu
hanya memberitahu akan kesilapanmu
agar tidak diulangi lagi kesilapan itu
mudahan karyamu bertambah mutu
semua yang membaca terpaku.

Hari ini
aku bukan nak merapu
saja berpesan memartabatkan bahasa dan ilmu
aku perlukan sokongan kamu
sama-sama memperbaiki yang tak jitu
jangan hanya membisu
bantulah apa saja yang kamu tahu.

Boleh gitu...?

CNM, 7/12/11, 10.26 am
BBB

Indah

Indah

Mahu kamu tahu sesuatu yang indah kerana apa?
indah puisi kerana kata puitis
indah rupa kerana solekan
indah pemandangan kerana panorama
indah foto kerana jurufoto
INDAH WATER kerana jamban!!!

CNM, 7/12/11, 00.00 am
BBB

aku tua

aku tua

aku sudah tua
aku sedar itu semua
aku sudah melepasi zaman remaja
aku menikmati alam dewasa
aku mencari redha-Nya
aku mengumpul bekalan ke sana
semoga aku diterima.

CNM, 6/12/11, 23.11 pm
BBB

Tampang bergaya


Anak abah suka bergaya
lagak macam orang dewasa
idea mencapah berkali ganda
abah tumpang gembira
senyumlah sentiasa
sirami ria di rumah kita
semoga dalam limpahan nikmat dan rahmat-Nya
meniti usia
menjadi dewasa.

CNM, 6/12/11, 22.53pm
BBB

Kita

Kita

Datang bersambut
pergi berhantar
kita sama saja.

CNM, 6/12/11, 20.42 pm
BBB

Aku

Aku

Aku dah benci
aku dah tak suka
aku dah tak sayang
aku dah tak kisah
aku dah tak heran
aku dah letih
aku dah bosan
aku dah menyampah
aku dah meluat
aku dah rasa macam-macam.

ha! ha! ha! gempar..
"aku wat lolok jah"

CNM, 6/12/11, 1534pm
BBB

Tempat bertemu

Tempat bertemu

Muka buku
tempat bertemu
tidak jemu
semua bertamu
berkongsi ilmu
walau tak sebulu
boleh bersatu
berkongsi puisi bermutu
jadi pedoman mencari keredhaan-Mu
setuju kamu?

CNM, 6/12/11, 16.16 pm
BBB

Aku baca dan baca

Aku baca dan baca

Aku duduk di suatu sudut
minda menerawang berjalan ke pelusuk laman
meninjau setiap perdu puisi
ditumbuhi ilalang atau tak berbaja
lalu aku tegur tanpa menyuara
moga ada yang peka
siramilah dengan tekun
agar bercambah pucuk keindahan
nantinya tumbuh pohon puisi indah mata memandang
sejuk hati menumpang teduh
berbuai menyanyikan lagu syahdu
buat menghibur hati yang sayu.

CNM, 6/12/11, 12.02 pm
BBB

Macam kucing dengan anjing?

Macam kucing dengan anjing?

Ya ke?
tak boleh dekat
masing-masing nak menyagat.

Jangan
usah berbuat khianat
berbaik-baik lebih selamat.

Musuh
jangan dicari
berkawan biar beribu
ek!!! berkasih biar satu.

CNM, 5/12/11, 18.35 pm
BBB

kerana seekor semua terpalit?

kerana seekor semua terpalit?

kalau kawan pencuri
orangkata
siakap senohong gelama ikan duri
mula-mula bercakap bohong lama-lama mencuri.

kalau kawan berbudi pekerti
orang kata
duduk bersama orang wangi
akhirnya bau kita pun wangi.

Kau yang mana?

CNM, 5/12/11, 18.27 pm
BBB

05 December, 2011

Kerja Hitam

Bapak ayam
buat promosi siang malam
jual daging ayam
warga tempatan juga pendatang haram
jantan miang
pilih yang berkenang
bawa pergi berkubang.

Ibu ayam
bela anak-anak ayam
cari duit haram
buat joli sakan
hidup asyik nak melaram
tak takut tuhan
dosa tak terbilang.

Ceti haram
bagi wang pinjaman
bunga berganda siang malam
kaki hutang masuk sarang
pinjam wang buat bayar hutang
ini orang gali lubang tutup lubang
akhir jatuh lubang terkangkang.

Lumba haram
pertaruh nyawa orang
rempit sana sini menyusahkan
keselamatan awan terancam
kalau ditegur melawan
kalau kemalangan nyawa melayang
keluar surat khabar ditutup plastik hitam.

CNM, 5/12/11, 17.44 pm
BBB

Ulang tahun ke 12, 5 Disember 1999-2011

Ulang tahun ke 12, 5 Disember 1999-2011

Selamat hari jadi,
selamat hari jadi,
selamat hari jadi Nik Zharif Aimran,
selamat hari jadi.
Abah panjatkan doa
semoga adik sihat sentiasa
dapat bergembira macam insan biasa
senyumlah wahai anakanda.
Kamu kian dewasa
kini meniti alam remaja
abah dan ibu sentiasa ada
membimbing kamu jadi insan berguna.
Ketahuilah anakanda
abah dan ibu rasa bangga
miliki kamu anak istimewa
sungguh bertuah dipilih yang Esa.
Akan abah jaga
selagi ada nyawa
kamulah penyelamat ke syurga
moga bahagia milik kita.

CNM, 5/12/11, 16.10 pm
BBB

Esok di tangan Tuhan.

Esok tetap di tangan Tuhan
bukan aku yang menentukan
bukan kamu yang rencanakan.

CNM, 5/12/11, 14.35 pm

Kita sama

Kita sama ketika lahir
kita lahir dengan berkaki ayam
tiada siapa yang berkasut
mahu pun berselipar jepun
belum dikira darah
kaya miskin hanya satu warna
merah mengalir
dan ketika dikembalikan kepada-Nya
kita juga sama
berkaki ayam
dibaluti tujuh lapisan kain putih
hanya takwa menentukan darjat di sisi-Nya.

CNM, 4/12/11, 22.39pm
BBB

Kueh Puak Kito



Akok nekbat kosui dijaja
lompat tikam laksa laksam menyelara
teri mandi onde-onde gula melaka
tahi itik koleh lebih kurang serupa
tepung bungkus seri muka
cuba sekali nak sokmo
nasi manis pulut kuning pembuka selera
tepung gomok butir nangka
semua ada di bulan puasa.

CNM, 4/12/11, 22.17 pm
BBB

Telefon Seterika

Syoknya teruna
menggosok baju hadiah si dia
menyanyikan lagu aku cinta dia
sedang leka
telefon menjerit lagu sambaria
tanpa banyak bicara
seterika di tekap ke telinga
gara-gara
ghairah menjawab panggilannya
garing telinga
dari seperti ceper astro bentuknya
dah jadi macam lempeng kelapa
ha ha ha! kesian dia.

CNM
, 4/12/11, 22.00 pm
BBB

Si Pisau Cukur

Si Pisau Cukur

Lembut bila bertutur
strategi memang diatur
mencukur hingga tersungkur
si tua tak tahu bersyukur
rumah kata pergi, mari kata kubur
galak mengerling si muka bujur
wang ringgit terkubur
janji nafsu digembur
lupa anak bini tiada barang dapur
asyik berkepit berlibur
sedar-sedar akaun melebur
cukup buat beli bubur
hancur.

CNM, 4/12/11, 18.31 pm
BBB

Cinta Sekerat

Cinta melarat
diselaputi karat
ciptaan pengkhianat
mengayat
macam gasing berpusing ligat
memasang jerat
dengan umpan yang memikat
denak memang hebat
duit ringgit ditabur lebat
dara jelita terikat
terasa terhutang budi yang amat
jiwa raga diserah tanpa siasat
rakus meragut apa yang dihajat
mula mengelat
'call' tak dapat-dapat
perut mula membulat
itulah natijah kalau tak nak dengar nasihat
hati-hati dengan buaya darat
membaham tak kira tempat.

CNM, 4/12/11, 16.57 pm
BBB

Laut Kasih 92

Di pinggiran pantai kasih
aku dan dia menghangat rasa cinta
bersaksikan;
langit yang membiru
pelangi yang melempar jeling
awan yang tersenyum memutih
deburan ombak mendendang lagu asmara
pasiran pantai mengemilaukan seri
batuan mengendeng pandang
asyik.

Ya Allah
Kumemanjatkan rasa kesyukuran
di atas kurniaan rasa kecintaan
yang sedalam dalam di hati antara kami
jangan sesakili menjauhkan kecintaan ini
kerana antara kami saling melengkapi
limpahilah laut kasih kami
dengan nur hidayah
penyuluh ke jalan keredhaan-Mu
agar kami tergolong dalam kalangan yang memperoleh kemenangan
meraih cinta kami dan cinta kepada-Mu.

CNM, 4/12/11, 15.35 pm
BBB

Hidangan seni

Chef-chef di PBKS
punya daya kreativiti yang tinggi
mengadunkan bait-bait kata
menjadi masakan bicara
enak membuka minda
ada kala resepi pedas mengigit
mengundang air mata
ada kala resepi lemak mendayu
membuai syahdu
ada kala terlebih garam
sukar nak ditelan
ada kala terkurang manis
tawar hambar
semuanya rencah masakan puisi
buat hidangan yang berhati seni.

CNM, 4/12/11, 14.36 pm
BBB

Sudah Remaja

Sudah remaja
hari esok ini
selamat ulangtahun ke dua belas
melangkah ke alam remaja
usah gusar abah tetap bersama
membimbingmu
jadi insan mulia
menghormati yang tua
mengingati yang Esa.

Abah doakan
adik dikurniakan kesihatan yang baik
hati yang gembira sentiasa
di kelilingi orang-orang yang menyayangi
mudahan perjalanan hidupmu penuh keceriaan
gelak tawa tiada duka
ketahuilah
kakak ibu dan abah amat menyayangimu
anugerah terhebat untuk abah junjungi.

CNM, 4/12/11, 12.44 pm
BBB.

03 December, 2011

Kepada Politikus

Nak berhimpun, berhimpunlah
nak bergelak ketawa, ketawalah
aku tak kisah pun
parti apa kau dukungi
idea apa yang kau junjungi
ingatlah kita mahkluk Tuhan
takwa lebih bermakna di sisi-Nya
usah terlalu takjub menyelongkar dalam kain orang
jagalah tepi kain sendiri yang barangkali menyeret tahi ayam candu
Islam tak mengajar membuka aib orang.

Kau Islam?

CNM, 3/12/11, 00.15 am
Kg. Joh.

Pengharapan

Pengharapan

Sesungguhnya anak-anak dan harta
hanyalah perhiasan dunia
beruntunglah mereka yang sering bermuhasabah diri
memperhitungkan amalan kebaikan
sebaik-baik bekalan
sebaik-baik pengharapan
pada hari yang anak pinak tiada gunanya
pada hari yang seluruh anggota menjadi saksi
hanya amalan diredha jadi penyelamat.

Duhai Ulama
bimbinglah kami
umat Muhammad S.A.W
dengan tingginya ilmu kamu
pimpin kami menuju jalan kemenangan
jalan yang menjauhi kesesatan
jalan yang menyedarkan kami dari kealpaan
tidak terpedaya dengan tipu daya dunia
tidak disibukkan nafsu yang melalaikan.

Duhai remaja
bersedialah dengan jati diri
kalian pewaris bangsa
usah telalu leka
dengan segala hiburan yang menjolok mata
terkinja-kinja tak tentu masa
lebih baik pergunakan masa
menambah ilmu ke dada
hidup diredha yang Esa.

CNM, 2/12/11, 14.31 pm
Kg. Joh.