Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

04 January, 2013

apa lagi...

apa lagi...

apa lagi yang nak kutuliskan?
bahawa tinta ini bergenangan di jemari
tertahan menyebak
tak terlakar pada kanvas maya
telah kering kolam idea...

apa lagi yang nak kutuliskan?
datanglah ilham
tarikan kalam
bait-bait kata teranyam
jadi puisi indah yang bersemayam...

CNM, 4/1/13, 4.13pm, THMK.

Hari Cemburu!



aku rasa
jika hari ada jiwa
tentu ada cemburu di hati mereka
yang paling ketara
tentu Jumaat paling terasa
kerana ramai manusia
berwangi-wangi bergurau senda
menambah mesra
intim bermanja
melepaskan gelora di dada...

kih, kih...

CNM

kalau tak suka jangan suka

kalau tak suka jangan suka

kalau tak suka dimarah
jangan suka marah-marah,

kalau tak suka diperli,
jangan suka perli-perli,

kalau tak suka baca puisi
jangan suka masuk laman-laman puisi,

pendek kata
kalau tak suka jangan suka.

.

CNM, 2/1/13, 10.37pm, THMK.

Naik Lemak

Naik Lemak

kalau kita tak banyak bergerak
makan minum melepak
senamannya tidak
badan berketak-ketak
naik lemak...

kalau kita tak henyak
biar saja orang pijak
makin lama makin mendesak
diinjak-injak
naik lemak...

kalau asyik makan nasi lemak
lauknya bertimbun banyak
sampai nafas naik sesak
alamak!
kamu fikirlah, naik tak lemak?...

CNM, 2/1/13, 9.40pm, THM

Dua Air Mata

Dua Air Mata

aku lihat berita
anak-anak menitis air mata
kerana hari pertama
menjejak kaki ke alam sekolah
belum mengerti apa itu ilmu
bagai emas bekalan hidup...

11 tahun nanti
biar air mata ibu ayah
menitis membasahi
sehelai keputusan
yang kamu bawa pulang
menebus air mata darjah satu...

CNM, 2/1/13, 9.11pm, THMK.

dua hari bulan satu dua ribu tigasbelas

dua hari bulan satu dua ribu tigasbelas

cuti dah lepas
esok memula tugas
tugas banyak perlu digalas
membantu murid capai yang teratas
tak boleh malas
tak boleh culas
moga kaki tangan tak kebas
perut tak memulas
nak masuk kelas
bukan masuk tandas
buang hampas...

malam ni kena tidur pukul sebelas
esok pagi bangun badan cergas
tak terbabas
kena bergerak pantas
nanti sesak lalu lintas
hati jadi panas
emosi jadi ganas
tindakan boleh jadi luar batas
asyik nak melibas
orang pun rimas
melemas.

CNM, 1/1/13, 9.37pm, THMK.

Telah Pergi

Telah Pergi

2012 sudah pergi
tak akan kembali
yang tinggal hanya memori
putih suci
hitam berdaki
tercatat dalam cacatan Ilahi
yang mampu
gandakan ibadat setiap hari
mohon keampunan agar terluluh amalan berdaki
telah dijanjikan keampunan akan diberi
dengan taubat sepenuh hati...

CNM, 1/1/13, 5.40pm, THMK

01 January, 2013

Yang Indah


Bunga Cintaku


Akrostik Januari

Akrostik Januari

Janji kepada-Nya
Amalan kebajikan akan diganda
Nekad berusaha
Untuk mencari redha
Allah saja penyelamat kita
Redha-Nya didamba
Itulah sebaik-baik kurnia.

CNM, 1/1/13, 10.42am, THMK

Akrostik Isnin Terakhir

Akrostik Isnin Terakhir

Isnin terakhir
Sehari lagi
Nak melangkah ke tahun baru
Impian segera laksana
Nanti rasa terkilan pula.

Tahun baru bakal tiba
Esok hari terakhir
Ramai yang akan menyambut
Ambang dua ribu tigabelas
Kebiasaan berhimpun ramai-ramai
Hayati detik duabelas malam
Ingat!
Railah tanpa mengundang kemurkaan Tuhan.

CNM

Akrostik Dua Ribu Tigabelas

Akrostik Dua Ribu Tigabelas

Dengarkan
Ungkapanku
Ambil jika betul padamu

Rentasi masa
Ikut syariat Yang Esa
Banyakkan amalan mendatang pahala
Usah alpa dan leka

Tunaikan perintah-Nya
Imbangi akhirat dan dunia
Gilap keimanan dan takwa
Allah Maha Melihat hamba-Nya
Beribadat mengikut masa
Elak dari terlupa
Lakukan dengan redha
Amalan akan diterima
Selamat kita akhirat dan dunia.

CNM, 29/12/12, 5.15pm, THMK

Januari Satu

Januari Satu

Apa khabar kamu?
di tahun baru
sudah menyemai azam
atau masih berangan
tentang hari semalam...

Apa perancangan kamu?
pada tahun yang bertamu
sudah melakar pelan
atau masih berkhayalan
tentang impian tak kesampaian...

Apa aktiviti kamu?
Januari telah muncul dan akan berlalu
sudah bersedia melangkah maju
atau masih beku kaku
tak pasti apa yang akan dilaku...

Merancanglah
agar kejayaan berhasil.

CNM, 1/1/13

dalam kehangatan

dalam kehangatan

kaudatang menggoda
kautiba membelai jiwa
kaudekati membuai sukma
kala bayangan wajah di muka kali
bagai tersenyum asyik
kauberlalu pergi
meninggalkan aku dalam kehangatan...

Oh! Angin permainan apakah ini?

CNM, 1/1/13, 12.45am, THMK

Disember Tigapuluh Satu

Disember Tigapuluh Satu

Disember Tigapuluh Satu
andai hatimu terluluh membeku
dengarkan nasihatku
ketentuan-Nya terbaik untukmu
yakinlah ada pelangi menantimu.

Disember Tigapuluh Satu
andai jiwamu mengeluh terbelenggu
tataplah pesananku
ruginya memulau lagu
kebahagiaan mutlak milikmu.

Disember Tigapuluh Satu
tahun baru akan bertamu
sedih pilu lontarkan dari kalbu
ceriakan mememori silammu
hadapi hari esok dengan azam baru.

Disember Tigapuluh Satu
berdoa pohon restu
semoga dipermudah bagimu
dikurniakan langit biru
tiada awan mendung menganggu.

Disember Tigapuluh Satu
kususun sepuluh jariku
memohon ampun atas silap salahku
dalam tak sedar mungkin menguris kalbu
sesungguhnya, insan biasa itu adalah aku.

CNM, 31/12/12, 9.12am, THMK.

Petualang

Petualang

bak sang helang
tajam memandang
menunggu ruang dan peluang
terbang melayang
menyambar garang...

malang
di kakinya ada gelang
terikat di dahan medang
terbelenggu terpasung terhalang
dek dendam yang berkubang.

CNM, 30/12/12, 9.28pm, THMK

Bulan Menyaksi

Bulan Menyaksi

Kulihat
bulan tergantung di dada malam
sedang menyaksi isi alam
kekadang kelihatan
ia tersenyum
berseri...

adakala
berkerutan dahi
sepertinya kesedihan
menelan kesaksian
tingkah insan
membelakangkan Tuhan.

CNM, 30/12/12, 8.52pm, THMK

30 December, 2012

Petang ini

Petang ini

aku duduk
membaca puisi
puisi yang menangis
puisi yang tertawa
puisi yang bergurau senda
puisi yang menikam ke dada
puisi yang meluah rasa
semua ada
aku hanya mencerna
mencari makna
buat bekalan di hari muka
menempuh pancaroba
alam maya...

CNM, 30/12/12, 4.25 pm, THMK.

Jam Dua Petang

Jam Dua Petang

Sunyi sepi laman ini, kukira ramai yang buat persiapan, melengkapkan keperluan anak-anak kembali ke sesi persekolahan. Tahiah kepada ibubapa yang cemerlang sentiasa peka dengan keperluan sekolah anak-anak. Berikan yang terbaik semoga mereka muncul jadi insan yang terbaik.

Membekalkan ilmu lebih bermakna dari mewariskan wang berjuta.

CNM

rela kukorbankan

rela kukorbankan

setelah kutemui jawapan
rela kukorbankan
apa yang teramat kusayang.

telah kaupertahankan
tangan-tangan yang melakar kudus
tentang kenabian
tentang kerasulan
di dinding-dinding awam...

kaulupa
kaualpa
tangan-tangas yang melakar kudus
menconteng dinding-dinding sendiri
dengan pornografi
sungguh keji...

CNM

putar

putar

setelah terlanjur bicara
aku hulurkan kemaafan
atas keterlanjuranmu
yang kufikir tak disengaja...

kausering memutar kata
memainkan sandiwara
kata menghina kuterima buat kali kedua
tak mampuku hulurkan lagi salam kemaafan
kuserah kepada ketentuan-Nya...

CNM

Duri Kata

Duri Kata

duri kata
yang telah kautabur
dalam madah-madah yang takbur
suatu detik akan melebur
menjadi racun menghancur
kehormatan diri yang kauanggap masyhur...

CNM

hinaanmu

hinaanmu

kata hinaanmu
kusagat hancur
kuracik halus
untuk kutaburkan
ke pusara keegoanmu
biar tumbuh rerumput
yang mendoakan keinsafanmu...

CNM

Laut Kasih 248

Laut Kasih 248

degup-degup rasa
meniti gelora
teroleng di samudera
menuju pulau cinta di laut kasihmu...

CNM

Suka Tak Suka IV

Suka Tak Suka IV

Suka tak suka
kita bukan raja
nak bergolek dari pagi sampai senja
bangkit berusaha
rezeki ada di mana-mana.

Suka tak suka
kena ada ilmu di dada
hidup di dunia tak semudah disangka
banyak tipu daya
silap langkah terpedaya.

Suka tak suka
wang kena ada
semua benda ada harga
masuk tandas pun diletak harga
30 sen kalau tak silap saya.

Suka tak suka
zaman sekarang komputer kena ada
banyak urusan secara online di laman maya
yang ketinggalan dianggap buta
tak celik multimedia.

Suka tak suka
zaman dah berubah era
tak sama dengan era datuk nenek kita
kena sentiasa peka
kena selalu bersedia hal-hal luar jangka.

Suka tak suka
dah makin susah didik anak muda
pengaruh globalisasi kian melanda
budaya asing dipuja
budaya sendiri semakin dilupa.

Suka tak suka
ibubapa harus lebih peka
anak-anak amanah Yang Esa
corakkan dengan warna yang diredha
hidup aman sejahtera.

Suka tak suka
kembali kepada agama
perkukuh didikan di awal usia
itu jalan terbaik membentuk remaja
jadi manusia berguna.

Suka tak suka
cabaran makin berganda
persikataran makin berbahaya
penjenayah ada di mana-mana
menunggu kita lalai dan leka.

Suka tak suka
kena lebih waspada
jaga diri dan juga keluarga
mohon perlindungan Yang Esa
dijauhkan segala musibah dunia.

Suka tak suka
versi keempat sampai di sini saja
mudahan ada lagi idea
berpesan sesama
ke arah kebaikan bersama.

CNM, 29/12/12, 11.55am, THMK.

khatulistiwa cinta

khatulistiwa cinta

khatulistiwa cinta
sentiasa hangat membara
pohon-pohon rindu menghijau rimbun silara
memayungi taman kasih di jiwa
pelangi asmara mewarnai langit sukma
beburung menyanyikan lagu bahagia
indah panorama
di daerah khatulistiwa cinta...

CNM

seulas rindu

seulas rindu

aku mengesani
di sebalik tenang tampangmu
ada seulas rindu
yang mekar mewangi
kaupamirkan pada rona merah bibir senyumanmu...

CNM

Globalisasi

Globalisasi

Globalisasi
dunia di hujung jari
canggih berbunyi
hati-hati
boleh mengundang tragedi...

zaman ICT
mengubah cara komunikasi
gadget dan pelbagai peranti
sungguh digilai
sampai sanggup mencuri...

video internet pelbagai aksi
melambak dalam kad memori
yang elok tak apa lagi
yang tak elok menjadi-jadi
anak-anak sekolah tumpang sekaki...

ibubapa zaman kini
usah telalu percaya anak-anak dewasa ini
di rumah pijak semut tak mati
di luar apa pun boleh terjadi
kenali anak sendiri...

jadikan globalisasi
pembina generasi
ke arah diredhai Ilahi.

CNM

Laut Kasih 247

Laut Kasih 247

bersaksikan
deruan ombak dan desiran angin laut kasihmu
aku sering merindui senyuman nakalmu...

CNM

Bapa

Bapa

siapa itu bapa?
pangkat hakiki kurniaan yang Esa
tinggi martabatnya
ketua keluarga
yang mencorak bangsa negara dan agama.

bapa
berat tanggungjawabnya
mencari rezeki halal buat keluarga
kerana jika haram sumbernya
maka jadi bahan bakar nereka.

bapa
kena beri contoh mulia
mendidik anak-anak berjaya
berpegang kepada landasan agama
patuh kepada suruhan-Nya.

bapa
jangan leka
alpa dengan laman maya
anak isteri tak terjaga
porak peranda keluarga.

bapa
pangkatmu mulia
jaga nama jaga air muka
anak isteri bergantung sepenuhnya
berkualiti bapa berkualiti keluarga.

mengingatkan kaum bapa termasuk saya.

CNM, 28/12/12, 3.49pm, THMK