Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

08 September, 2013

Laut Kasih 310

Laut Kasih 310

malam ini kasih
ingin aku mengajakmu
berbicara berdua di kamar cinta
berkata tentang rindu
melerai rasa terpedam di kalbu...

malam ini kasih
ingin aku dipeluk kasihmu
biar ia lena dibuai asmara
bermimpikan rona-rona bahagia
dalam bajaan laut kasihmu...

CNM, 29/8/13

Laut Kasih 309

Laut Kasih 309

saat aku termangu
melayan rasa rindu
pada luasnya laut kasihmu
menerjah haruman rambutmu
terpampang sekuntum senyumanmu
dan lirikan nakal itu peniup gelora cintaku.

CNM, 27/8/13

Laut kasih 308

Laut kasih 308

sepertinya
bulan dan mentari yang gerhana
gelora laut kasih sesekali membadai
terhempas aku ke pesisir pantai rindu
dan kurenangi kembali menuju pulau cintamu
kerana kutahu di sana
engkau mendepangkan tangan
menungguku tiba menghangatkan asmara...

CNM, 26/8/13

Laut Kasih 307

Laut Kasih 307

dalam redup sinar matamu
ada hangatan bayangan laut kasih
yang kurindu
yang kudamba
saat kita tak bersua...

membendung rindu mengasyikan jiwaku
mengenangmu suatu nikmat bagiku.

CNM, 23/8/13

50pp: rungkaikan

50pp: rungkaikan

....jika telah tiada lagi secebis rasa di hati, sisa-sisa kasih yang suci meruap pergi, jangan sesekali dikhianati, cinta kasih sayang suatu anugerah yang hadir tanpa disedari, tiba dan menginap di sudut hati, bercambah, berputik dan berbunga dari hari ke hari, dan rungkaikan kasih yang bersemi tanpa menyakiti, itu memaruahkan diri...

CNM, 8/9/13

Ingin

Ingin

ingin aku
terbang bebas sepertinya burung
hinggap dari ranting ke ranting
jauh dari hiruk pikuk keduniaan
menikmati indah alam...

ingin aku
terbang tinggi sepertinya helang
jelas memandang dengan mata tajam
mencari sudut paling tenang
buat merawat hati yang walang...

ingin aku bebas dalam batasan.

CNM, 7/9/13

Torpedir kata

Torpedir kata

yang diberi akal sempurna
guna dengan bijaksana
guna dengan cakna
usah suka mentorpedir kata
kelak diri menjatuhkan wibawa...

di mana budibicara?
di mana timbang tara?
jadilah yang realistik bukan bombastik
jadilah yang rasional bukan emosional
sabar itu keperibadian terindah...

CNM, 6/9/13

kembali

kembali

tak terlambat
selagi nyawa belum di halkum
kembalilah...

taubat
memohon keampunan
bukan hanya pengucapan
ia perlu seiring amal perbuatan...

menyesali sungguh-sungguh
melontar jauh-jauh
segala yang keruh
menjaga diri
mentaati syariat Ilahi...

CNM, 6/9/13

dua kaki

dua kaki

berpijakkah?
atau terawang-awangan...

realistik strategik logik
pasti kamu memetik...

aku yakin dan pasti
percayalah pada diri.

CNM, 6/9/13

kasihani diri

kasihani diri

apalagi nak ditangisi
tentang cinta yang dikhianati
ia meracun sanubari
memakan hati
rugi...

sedang yang menghianati
ketawa melepaskan diri
tinggalkan sisa yang membenci
tiada dipeduli
rugi...

kasihani diri
kamu ada Ilahi.

CNM, 5/9/13

biasa

biasa

membilang jari jemari
menghitung detik waktu
tanpa sedar
malam Jumaat kembali
senyuman meniti
sunyi sepi...

CNM, 5/9/13

Kemucup disalahkan

Kemucup disalahkan

kononnya
dia pemain bola
larinya berdesup bertenaga
tak terkejar tak terjaga
dah menang banyak piala
kalau disenarai panjang berjela...

tetiba
dia rasa tertikam jiwa
sepak bola asyik tak kena
disalahkan kemucup mencucuk kakinya
kalau tak tahu main
jangan kemucup disalahkan...

kemucup tak tahu apa ada di hatimu.

CNM, 4/9/13

Yang Menyimpang

Yang Menyimpang

yang menyimpang
barangkali kurang kasih sayang
untuk tarik perhatian dia meragam
dengan harapan ada yang melayan
hatinya girang...

yang menyimpang
barangkali suka kejanggalan
untuk lain dari yang lain
dengan harapan menongkah kebiasaan
hatinya kembang...

yang menyimpang
barangkali atas kedangkalan
kerana kurang pengetahuan
tapi telah terbiasakan
dianggapnya tak menyalahi hukum hakam...

CNM, 4/9/13

Cinta dan Air Mata

Cinta dan Air Mata

Opp!
jangan sesekali
engkau membeli cinta dengan air mata
kerana cinta itu bukan dari jiwa
ia hanya dari rasa kasihan yang alah pada air mata.

Opp!
jika cinta berteman air mata
itu cinta dusta penuh sandiwara
cinta dari jiwa
ia bawa bahagia.

opp!
jangan bazir air mata
pada cinta pura-pura
punca sengsara
ia bazirkan masa.

CNM,3/9/13

Bila Malam

Bila Malam

bila malam
datang yang hitam
lorong-lorong kelam
diidam sang khadam
mengecap yang haram.

bila malam
mata nak terpejam
tenaga siang dihadam
rehat bisa memadam
penat yang bungkam.

bila malam
puisi menerkam
serata alam
baris-baris kalam
terakam.

CNM, 3/9/13

mengulangi

mengulangi

sekali terlalu kuat
melekat...

harumanmu pekat
tampanmu memikat
godaanmu dahsyat...

seleraku meningkat
kakiku mengelejat
melangkah mengulangi hajat...

ooh! teh tarik kasih sayang,...hebat.

CNM, 3/9/13

Apa Kata!

Apa Kata!

yang banyak 'minyak'
mula jalan kaki
boleh juga kayuh basikal
pasti 'minyak' akan turun
kesihatan terjaga
jimat belanja...

hah! tak percaya
kena cuba...

CNM, 3/9/13

dua wajah

dua wajah

tersenyum pagi ini
tauke-tauke minyak
masuknya banyak...

kelat pagi ini
pengguna-pengguna khalayak
bayarannya banyak...

dua wajah kerana minyak.

CNM, 3/9/13

"Minyak" turun, "Gula" naik

"Minyak" turun, "Gula" naik

mana ada orang suka 'Minyak" naik
semua tak suka
tembam muka
besar paha
pinggang tiada ...

awas jika"minyak" turun
itu tanda penyakit "gula" naik...

kih...kih!

CNM, 2/9/13

Puisi Minyak

Puisi Minyak

berdesup puisi minyak
macam orang naik minyak
meluru macam orang dikejar pontianak
muncul di laman-laman dengan banyak
mencoret rasa hati yang menyesak
marah mula meledak
bebanan dihentak
rakyat diasak...

sakit mula membuak.

CNM, 2/9/13

dia

dia

dia mula berdehem
dia mula batuk
dia mula lelah...

aku yang resah
aku yang takut
aku yang risau
dia mati tengah jalan...

cnm 2/9/13

Cinta Ingin Mampir

Cinta Ingin Mampir

kenapa sukar ia hadir
cuba kamu fikir;

bila ada rasa kasih
cepat-cepat kamu sisih
konon tak mahu ketagih,

bila ada rasa rindu
cepat-cepat kamu tutup pintu
konon tak ingin dibelenggu,

bila ada rasa sayang
cepat-cepat kamu buang
konon tak nak dikata gila bayang,

bagaimana cinta ingin mampir?

CNM, 1/9/13

engkau suka, dia suka

engkau suka, dia suka

kausuka tapai beras
kausuka pulut durian
kausuka pengat pisang
kausuka air berkarbonat
kausuka cendol pulut tapai
kausuka bubur pulut hitam
kausuka teh tarik tiga lapis
kausuka segala yang manis-manis

diabetes akan suka engkau!
kausuka dia?

CNM, 1/9/13

50pp: Menuding

50pp: Menuding

...seringkali kita jumpa, ramai manusia menuding salah siapa, sedang kita tak pernah diajar berbuat derhaka, dari mana datangnya sifat celaka, dan telah difirmankan-Nya, demi masa rugi manusia, kita sendiri memilih jalan binasa, leka alpa, sedar tetapi membutakan mata, memekakan telinga, hanyut dalam nafsu yang bergelora, gagal meletak diri untuk direda...

CNM, 1/9/13

rasmi

rasmi

merah putih biru kuning
empatbelas melintang jalurnya,

tiada yang lain
inilah yang rasmi.

CNM, 31/8/13

Kecah

Kecah

mereka bernama gah
mereka berilmu gagah
mereka lebih terdedah
buta sejarahkah?

dikecah
menyemai pecah belah
mengundang padah
menempah punah
dengan wadah menongkah...

duhai penongkah
apa yang engkau cuba ubah?

CNM, 31/8/13

tak tertebus

tak tertebus

wajah-wajah hiba
pewaris pejuang negara
tersiksa dalam reda
mengalir air mata
tak tertebus dek pingat negara
kerana hilang nyawa bukan sandiwara...

engkau yang berkata
kembalikan mereka pada anak isteri tercinta
jika tidak engkau penulis skrip perosak bangsa.

CNM, 31/8/13

Gaul Jadi

Gaul Jadi

kulekatkan api dapur gas
kuhangatkan kuali
kutuang minyak masak
kucampak ikan masin jeruk
kumasukkan cabai tumbuk
kucampurkan bawang besar
kutaburkan nasi putih
kugaul hingga sebati
kuhiasi dengan daun sup
pergh! wangi...

jadilah nasi goreng ikan masin.

CNM, 31/8/13

Malam Merdeka

Malam Merdeka

ramai teruna dara
berjanji setia
ingin bebas merdeka
membina bahagia
dengan mengadai mahkota
kesucian ibunda...

Ya Allah jauhkan bala.

CNM, 30/8/13

30 August, 2013

minda terjajah

minda terjajah

ramai yang menggelupur
bila dikatakan mundur,

ramai yang menggeletik
bila dikatakan tak patriotik,

egonya!
sedang masih ada warga;

buang sampah dari kereta,
campak putung rokok bawa meja,
lagu negaraku terlupa senikata,
banyak lagi kalau nak catat semua

sesuaikah dengan 56 tahun merdeka?
tepuk dada buka minda
jangan nak sentap bila orang mengata...

CNM, 30/8/13