Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

22 May, 2012

tak mampu sendirian

dinda
bersaksi rona jingga senja ini
sungguh aku ingin bisikkan
bahawa hidup ini suram
tanpamu di sisi.

kasih
bersaksikan warna emas senja ini
sungguh aku ingin lafazkan
bahawa saat bersamamu
detik yang indah bagiku.

sayang
bersaksikan sinar mentasi senja ini
sungguh aku ingin nyatakan
bahawa sungguh bertuah
memiliki selaut kasihmu.

sungguh tak mampuku sendirian...

CNM, 22/5/12, 6.56pm
THMK

? ...kaukah itu


yang menjerut tangkai hati ini
dengan seutas tali bersembilu kaca
menyiat halus menjadi kepingan berkecai
yang tak bisa kucantumkan kembali
untuk mengucapkan kemaafan buatmu
maafkan aku kerana gagal memaafkanmu
sehingga saat ini.

CNM, 22/5/12, 2.27pm
THMK

20 May, 2012

Kecantikan malam

indahnya malam gelita
ditemani rembulan purnama
memberi ruang pada manusia
merenung segala amalan sebelum senja
diredha atau dicela.

indahnya malam sunyi
sujud kepada-Nya memohon diampuni
atas segala kesilapan tanpa disedari
sucikan hati
akur akan syariat Ilahi.

indahnya malam tanpa mentari
sunyi dan sepi
kecantikan asli
alam realiti
bukan imiginasi.

CNM, 20/5/12, 11.19pm
THMK

perlukah?

perlukah
mempertahankan sebuah rasa
yang telah dikhianati
dengan janji-janji manis bersalut racun kepalsuan
hanya kepuraan-puraan.

perlukah
terusan membazirkan air mata
yang mahal harganya
kerana sebuah cinta diri diperhamba
dibiar terpenjara jiwa.

perlukah
membiarkan hati terus terguris
dengan bisa-bisa calar
demi kesetiaan yang dipersia
insan yang tiada rasa cinta.

pandanglah pada indahnya rumput di bumi
kerana pelangi tak mampu dimiliki
walau seindah mana datang menyeri
ia tetap pergi tak kembali
meninggalkan kamu dalam sepi.

CNM, 20/5/12, 12.38 pm
THMK

19 May, 2012

apakah?

apakah
pendirianmu
tegak berdiri bak daik merapi
menunjuk lurus ke dada langit Ilahi
atau
sekadar di atas pagar
bak ilalang menunggu rebah ditiup angin
tersungkur di kaki ikut-ikutan.

CNM, 19/5/12, 10.02 am
THMK

hari ini

hari ini hari sabtu
bangkit teman dari lamunan itu
atur langkah menuju mercu
sebelum datang kesempitan mengasakmu
menghumban kecenuram beku.

hari ini hari sabtu
usah dibuai mimpi yang menipu
susun tindakan cakna yang jitu
sebelum datang kesakitan yang memburu
membunuh semangat yang padu.

hari ini hari sabtu
umur makin meningkat waktu ke waktu
usah berlengah membazir usiamu
sebelum rambut memutih di kepalamu
menghantui kenangan amalan lalu.

hari ini hari sabtu
usah tunggu
ahad mungkin tiada lagi buatmu...

CNM, 19/5/12, 7.24am
THMK

09 May, 2012

aku tak mampu



aku tak mampu
mencantumkan kembali
cebisan-cebisan yang telah hancur berkecai
menjadi sekeping hati yang tiada gurisan luka
aku hanya bisa menyuntik kata
tanamlah benih cinta
setelah kebun kekecewaan yang kamu miliki
telah suci dari darah-darah benci.

CNM, 9/5/12, 6.20pm

THMK

07 May, 2012

membuncit, dibuncit

tolong!
kerana nafsu
dia membuncit.

tolong!
kerana sayang
dia dibuncit.

kawal makan ya...

CNM, 7/5/12
THMK

hujung dan hujung

di hujung sini
gegak gempita
dengan berita masalah negara
aku dengar saja
buat timbang tara.

di hujung sana
riuk rendah
dengan cerita tak berfaedah
aku buat tak endah
baik buat benda berfaedah.

kalau kita tak tahu cerita
diam saja
doakan kepada yang Esa
itu tuntutan agama
dari melalut tak tentu hala.

CNM, 7/5/12
THMK

27 April, 2012

ada ketika

ada ketikanya
bahasa tidak perlu
perhatikan saja.

ada ketikanya

bahasa tidak penting lagi
nikmati saja.

ada ketikanya
bahasa tidak bermakna
diam saja.

CNM, 26/4/12, 11.19pm
THMK

21 April, 2012

Sangkar Cinta

dijanjikan emas permata
indah tutur kata menawan sukma
sekali terjerat ke dalam sangkar cinta
terkurung terikat selamanya
berteman titisan airmata

dianugerahkan wang berjuta
mewah harta benda mengaburi mata
sekali termasuk ke dalam sangkar cinta
terbelenggu terpasung ke akhir nyawa
berteman deraian airmata.

CNM, 21/4/12, 9.53pm
THMK

Laut Kasih 105

sayang
bila tiba malam
rinduku membuak-buak
mendambakan pelukan hangat
lena dalam alunan ombak laut kasihmu.

sayang
bila tiba malam
cinta menyerlahkan sinar
menerangi kamar asmara kau dan aku
belayar meredah lautan kasihmu.

CNM, 21/4/12, 9.10pm
THMK

17 April, 2012

Belum Tentu


belum tentu
bagaimana sudahnya.

belum tentu
ke mana sudahnya.

belum tentu
di mana sudahnya.

pohon restu...

CNM, 17/4/12, 10.20pm
THMK

di tangga malam

di tangga malam
aku mengatur langkah
meredah kelam bersuluh lantera
menuju cahaya
sepanjang jalan kebenaran.

di tangga malam
aku tak ingin menoleh ke belakang
kerana gelita yang lalu cukup mengajar
erti sebuah kekesalan
yang terzahir dari hati bening.

di tangga malam
aku tak ingin tersungkur
tanpa redha-Mu.

CNM, 16/4/12, 10.49pm
THMK

malam ini

malam ini
aku tak ingin bicara apa-apa
sekadar membaca puisi mimpi semalam
menceritakan cemburunya seorang lelaki
pada mimpi seorang isteri memeluk awan
di ranjang kesepian.

kutelaah lagi
puisi kembara seorang aku
sang penyajak mencari erti diri
dalam janji-janji kepada Ilahi
mencari jalan ke syurga yang hakiki
kekal abadi.

dan aku terus menatap
satu persatu
nukilan teman-teman
membawa pesanan
buat pedoman
dalam perjalanan pulang.

CNM, 16/4/12, 9.19pm
THMK

sucikan

sucikan
sekeping hati
biar mengalir darah-darah merah murni
ke segenap urat sendi
dengan denyut nadi
yang sujud pada Ilahi.

sucikan
wajah sukma
biar terpancar nur takwa
menyuluh seluruh kamar jiwa
terang jalan-jalan menuju-Nya
dalam berkat doa yang diredha.

CNM, 15/4/12, 10.34pm
THMK

adakah esok?

adakah esok
menanti kita seperti selalu
atau malam ini
malam yang tiada siangnya lagi.

adakah esok

tiba untuk kita seperti selalu
atau malam ini
malam yang terakhir di alam ini.

adakah esok
Allah berikan lagi kesempatan
untuk memohon keampunan
dari kesilapan yang tak disengajakan.

Ya Rabbi
ampuni kami
waktu ke waktu yang pergi
sebelum menjemput kami ke sisi-Mu.

CNM, 15/4/12, 10.02pm
THMK

kamu punya yang mana?

anganan
yang kamu perindah
tanpa ambil kisah
ia tak membawa faedah
terusan dalam khayalan tak sudah,

atau


imiginasi
yang disusuli
perancangan rapi
mampu menjadi realiti
bukan hanya impian tak bertepi.

CNM, 14/4/12, 12.42pm
THMK

tabib puisi

tabib puisi

di mana dapat kutemui

tabib puisi
yang bisa menunjuk ajar
petua-petua menulis puisi
jadi hebat mengesani.

ke mana dapat kutuju

mencari tabib puisi
yang ingin berkongsi ilmu
menggarap bait kata
jadi pedoman sesama.

kamukah tabib itu...?

CNM, 14/4/12, 11.28pm
THMK

14 April, 2012

Bidan Cinta

kaudengan sengaja
memberi khidmat cakar harimau percuma
menggoda buaya tembaga
pulang ke lubuk asmara
menyedut benih-benih noda
buat tangkal awet muda.

kaudengan selamba
menayang tubuh montok mendada
menawan gelora rasa sang kumbang durjana
hinggap ke kelopak nista
menyunting bunga-bunga dosa
buat susuk menyeri muka.

kaumenakluki lelaki-lelaki
bukan untuk suami
hanya memperkuda penuhi nafsu nafsi
mempermainkan dendam berahi
menyakiti lelaki
yang buta mata hati.

CNM, 14/4/12, 9.22pm
THMK

Doktor Cinta

kau sering permainkan wanita
kauciptakan lagu indah membuai jiwa
tertewas hati-hati sang hawa
tunduk menyerah cinta
sedang engkau taburi tuba
menghancur rasa.

kau sering permainkan wanita
kautuliskan puisi indah membelai sukma
tersungkur hati-hati sang hawa
datang menagih cinta
sedang engkau bermuka-muka
bermain sandiwara.

kaupilih wanita-wanita
yang dahaga belaian manja
kauubati kecewa
setelah pulih bergelora asmara
kaubunuh cinta di dada
meninggalkan nesan cinta.

CNM, 14/4/12, 8.52pm
THMK

silara kasih

silara kasih
redup memayungi cinta
tak terbakar dek bahang sengkata
tumbuh pohon asmara
rendang berpucuk rindu.

silara kasih
naungan terpilih hentian cinta
berteduh dari hujan cemburu
tak terhakis ladang bahagia
kekal subur sejahtera.

CNM, 14/4/12, 5.14pm
THMK

13 April, 2012

kamu tak yakin

macam-macam ragam manusia
mengumpat mengata
mencaci mencerca
mengutuk menghina
jangan alpa
Yang Esa tak pernah lupa.

macam-macam ragam insan
membunuh dengan kejam
merogol tanpa belas kasihan
merompak tanpa perikemanusiaan
jangan ikut syaitan
syaitan dimurkai Tuhan.

kamu tak yakin?
suatu saat kamu akan menghadap Tuhan
ketika kakimu terbelanggu menanti persoalan
apa yang kamu ingin persembahkan
janji-Nya hidup ini tiada yang sia-sia
yang baik dibalas syurga
yang jahat dihumban ke neraka.

CNM, 13/4/12, 5.29pm
THMK

malam berkata-kata

aku datang dengan gelap
supaya kamu berehat
bukan merayap-rayap
meneroka alam gelap
di kelab-kelab.

aku datang dengan dingin
supaya kamu tak naik angin
berkepala pusing
semua orang naik runsing
aksimu yang bengkeng.

aku datang menganti siang
supaya kamu tak berbahang
berhenti main wayang
perbanyakkan sembahyang
mengingati Tuhan.

CNM, 12/4/12, 11.57pm
THMK

12 April, 2012

Laut Kasih 104


telah beratus purnama
kita berdua memateri cinta
bersaksikan seluruh cakrawala
yang mengaminkan doa
sejahtera buat kita berdua.

telah beratus purnama
laut kasihmu megah beralun irama cinta
mendendangkan lagu asmara
membuai daku dalam lena
memiliki cintamu ke hujung nyawa.

CNM, 12/4/12, 10.31pm
THMK

mengapa?

di kota
lampu-lampu neon
harganya yang berjuta
tidak mampu membawa pulang
manusia ke tangga rumahtangga
ramai yang tersesat
di lorong-lorong hanyir
lemas dalam lopak nafsu.

di desa
walau hanya bersuluh purnama
samar-samar cahaya
berjaya membawa pulang
manusia ke tangga rumahtangga
terselamat dari lopak noda
tak tergelincir ke lubuk dosa
terhindar dari dimurka.

CNM, 12/4/12, 7.00pm
THMK

ajaran siapa?

ada manusia
sungguh pelahap
meratah daging saudara sendiri
sedang junjungan tidak mengajar begitu
ajaran siapakah itu?
tak malu?

ada manusia
sungguh gelojoh
menelanjang kain saudara sendiri
sedang difirmankan agar menutupi keaiban
ajaran siapakah itu?
tak malu?

CNM, 12/4/12, 6.22pm
THMK

Mulut

mulut orang
akan berdendang
apa saja irama yang disukai
kita tidak mampu menutupnya
yang baik dengari
yang jelek lupai.

mulut kita
kita boleh tutupkan
tak perlu berbunyi seperti mulut orang
elakkan mendendang yang jelek
kerana kita jadi sama dengan si mulut murai
andai bercicipan sebegitu.

CNM, 12/4/12, 5.57pm
THMK

anak-anak alpa

luhurnya
ibubapa menghantar kamu
menimba ilmu ke dada
buat bekalan hari muka
hidup berguna
untuk bangsa, negara dan agama.

anak-anak sungguh bangsat
tak malu buat jahat
kepercayaan ibubapa dikhianat
guru tak dihormat
tak mengerti konsep berkat
hidup kamu tak selamat.

Ya Allah
lindungi dan pelihara
anak-anak kami
dari perbuatan sia-sia
pancarkan nur takwa
jadikan mereka anak mulia.

CNM, 12/4/12, 3.27pm
THMK

pejuang

dia pejuang
dalam bahasa tulisan
jadi bahan baca anak cucu
mengenali asal usul negara bangsa
tapi mengapa
hilang sudah semangat tuah
yang dulunya jadi tunjang perjuangan
jangan kerana
rasa yang berlainan citra
kedamaian akal anak cucu tergadai maruahnya
kerana di tangan kamu pejuang
tercorak langkah-langkah anak muda
jauhi titik hitam yang akan mencemari gebar putihmu
dan aku hanya berpesan
kemuliaanmu harus dijaga kerana kamu juga manusia punyai kelemahan.

CNM, 11/4/12, 9.34am
THMK