Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

08 May, 2011

Hidup ini



Adakah hidup ini sekadar
berlegar-legar mencari makan
mengejar pasangan melempias nafsu
memburu kekayaan dengan jalan belakang.

Kawan,
kita ada agama untuk berpegang
usah terlalu mengikut nafsu syaitan
kelak kita yang menanggung kerugian
hadir di hadapan Ilahi dengan kegagalan.

~CNM, 8/5/11, 22.05 pm~

Bulan bagai bibir



Bulan bagai bibir di muka langit
tersenyum memandang ke bumi
siniskah?
hanya Tuhan yang mengetahui
apakah pengertian di sebalik semua itu?
Ya Rabbi hanya Engkau
maha mengetahui yang terang dan yang tersembunyi.

~CNM, 8/5/11, 21.12 pm~

Bicara labah-labah



Bersalahkah aku?
dikatakan memasang perangkap
sedangkan itu rumahku
berdosakah aku?
kiranya ada yang menemui ajal
pada jaringan wilayah taklukku
aku hanya labah-labah
hidup di tali-tali siratan
yang aku ciptakan.

~CNM, 8/5/11, 21.38 pm~

Hidup biar berteman



Hidup biar berteman
kerana telah ditentukan
kejadian makhluk berpasangan
terimalah seadanya teman
jangan dilihat hanya pada kekurangan
lihatlah pada apa yang disumbangkan
takkan mampu hidup berseorangan
susah senang sakit demam
perlukan perhatian
pasangan.

~CNM, 8/5/11, 20.54 pm~

Pada

Pada ikatan satu lafaz
terjalin hubungan suci
dua insan suami isteri.

Pada tangkai rindu
menguntum kelopak kasih
mengharumkan haruman cinta.

Pada jambangan asmara
terbina tautan dua hati
memadu kasih membara.

~CNM, 8/5/11, 20.42 pm~

07 May, 2011

Sempena hari ibu

Sempena hari ibu
ingin daku ucapkan
terima kasih.

Duhai ibu
tanpamu takkan daku melihat dunia
walau ibu telah tiada
haruman kasihmu mewangi sentiasa
bersemadilah
daku utuskan doa
sejahteralah di sisi Yang Esa.

Duhai isteriku
tanpamu takkan ada anak-anakku
sekalung kasih daku serahkan
moga amanah ini
sama-sama kita jaga
didik mereka
jadi insan mulia di sisi Yang Esa.

~CNM, 7/5/11, 22.11 pm~

Berpada-pada

Aku dengar cerita
makin lama makin mengada-ngada
kau tak baca perlembagaan negara?
jangan nak tiup bara
nanti api marak menyala
membakar yang tak berdosa
berpada-pada
diberi betis nakkan paha
celaka!!!

~CNM, 7/5/11, 20.09 pm~

Haiku7

Senja nan merah
lambai malam di ufuk
bawa kenangan.

Bangkitlah

Di atas tapak kaki modul bina insan
aku berdiri menyiram rangkap-rangkap kata
kepada anak-anak didik yang kehausan ilmu
dalam larian mendaki anak-anak tangga kejayaan
menuju puncak menara gading.

Bangkitlah duhai anak-anakku
pendekkan lena dibuai mimpimu
masa yang berbaki
ragutnya sepenuh hati
jangan lepaskan tanpa erti
sehingga tawaran ke Universiti kau genggami.

~CNM, 7/5/11, 11.33 am~

Bila Dia Pergi

Bila dia pergi
dua puluh empat purnama lamanya
kupujuk hati
terima hakikat dia takkan kembali
yang tinggal cuma
kenangan bersama dia
betapa dalam kasih dia
menetap kekal dalam memori
duhai bonda
moga takdir memihak
pertemukan keluarga kita
di bawah limpahan rahmat-Nya.

~CNM, 7/5/11, 10.45 am~

06 May, 2011

Haiku6

Terbenam senja
malam bawa cerita
kasihnya bonda.

Muka yang bermuka-muka

Muka yang bermuka-muka
tak suka tengok muka
tak sanggup bersemuka.

Muka yang bermuka-muka
pamirkan kekelatan rupa
ingat orang tak tahu dia bermuka-muka.

Muka yang bermuka-muka
selalu buat muka
orang pun tak suka.

Muka yang bermuka-muka
selalu mengada-ngada
nak dilayan macam raja.

Muka yang bermuka-muka
maaflah saya tak tega
buang masa.

~CNM, 6/5/11, 18.55 pm~

Panjatkan sebaris doa

Sebelum terbukanya mata
alam gelita dalam kandungan bonda
sembilan purnama sepuluh hari lamanya
dibawa dengan segala siksa
jangan sesekali melupa
ibu itu besar jasa
bertarung nyawa
titiskan air mata
semata
lihat kita bernyawa
dan membuka mata
melihat dunia
tidak mampukah kita panjatkan sebaris doa?

~CNM, 6/5/11, 14.18 pm~

05 May, 2011

Kaca Cinta

Berderai kaca cinta
dihempap ketulan dusta
perlahan-lahan bercantum di pelantar jiwa
dibajai alunan ayat-ayat doa
disirami air mata redha
dipagari dawai-dawai waspada
terhindar dari barah cinta
yang bisa meranap rasa
ke dasar sengsara.

~CNM, 5.5.11, 22.55 pm~

Kunci

Dengan kunci kita mampu buka segala pintu
dan mahukah kamu jadi kunci?
berkhidmat kepada tuanmu
tanpa mempersoal
walau ke mana sekalipun dicampakkan
akhirnya
kamu juga dicari
kerana tanpa kamu
perjalanan hidup tuanmu terhenti.
untungnya kunci
walau hanya sekeping besi.

~CNM, 5.5.11, 20.51 pm~

Ingatan buat pembesar

Wahai Pembesar-pembesar!!!
sama ada berbadan besar atau kecil
sedarkah?
bintang-bintang kebesaran
yang tersemat di dada
mahupun tergantung di leher
tiada kuasa magik
ala-ala Harry Potter
untuk melindungi diri
dari ketentuan ajal dan maut.

Dari itu saya sebagai pacal yang hina
ingin berpesan
marilah kita naik saksi bahawa
Muhammad itu Rasulullah
dan tiada Tuhan selain Allah
semoga apa yang kita miliki
adalah demi cinta kita kepada Ilahi
yang limpah kurnia-Nya tak terperi
menyelamatkan kita
di dunia dan akhirat nanti.

~CNM, 5.5.11, 20.13 pm~

Akal singkat yang buta

Kesakitan yang menimpa
adakah mungkin?
ianya suatu peringatan
tentang kebiasaan yang kita jalani
harus dihentikan
cuma akal singkat yang buta
tetap asyik masyuk
terarak oleh nafsu
yang gagal
menghidu haruman kebenaran.

~CNM, 5.5.11, 18.55 pm~

Kartografikan hidup

Sejarah hidup kita
kitalah yang kartografikan
di atas topografi alam
kita ada penanda aras
kita punya sumber rujukan
tinggal lagi
perkiraan bearing haluan perlu tepat
memilih jalan yang selamat
agar hala perjalanan kita
akan tiba ke destinasi yang benar.

~CNM, 5/5/11, 13.50 pm~

04 May, 2011

Fikir-fikir

Fikir-fikir

Kita ini manusia
dalam keadaan normalnya
walau;
berbeza jantina
berbeza bangsa
kita punyai persamaan
ehh!!! jangan fikir bukan-bukan dulu.

Sama di sini dari sudut pandangan saya
pertamanya,
sudah tentu kita dilahirkan oleh wanita
setuju?

keduanya,
ketika lahir kita semua berkaki ayam
aik! aik! jangan putar-putar
maksud saya tak berkasut atau berselipar
macam mana setuju?

ketiga,
jika anda muslim
kita akan disemadikan juga dengan berkaki ayam
ada setuju?

ada anda fikir macam saya fikir?
kita hadir ke dunia atas izin-Nya
jika pergi dari dunia atas kehendak-Nya
kita sama, akan kembali kepada-Nya.

~CNM, 4/5/11, 21.49 pm~

Pertanyaanku

Jika bahagia kamu akan temui
setelah mengalirkan selaut airmata
maka menangislah jangan pedulikan apa-apa lagi
curahkan selebat-lebatnya
tewaskan hujan pada musim tengkujuh di pantai timur
teriaklah kalahkan halilintar
biar seluruh alam mendengar kamu mengejar bahagia
jika kamu tak mampu lagi keluarkan airmata
biar aku bantu pipiskan lada ke matamu
mahu?....

~CNM, 4/5/11, 19.36 pm~

Nasihatku

Untuk apa airmata yang kamu titiskan?
jika untuk seseorang yang telah menyakitkan hati kamu
aku dengan ini menasihati kamu
usah bazirkan airmata itu
kerana harga setitis airmata kamu itu
lebih bernilai dari nyawa seseorang yang menyakitkan kamu.

Berakhirkah hidup kamu kerana dia?
tidak bukan!!!!
bukankah banyak lagi insan lain?
yang sepuluh kali lebih baik mampu kamu temui
bukankan banyak lagi cara lain?
yang mampu mengembirakan kamu mampu kamu lakukan.

Bangkitlah dari perasaan yang membuai kamu
ruginya bila kamu memenuhkan hari dengan kedukaan
sedangkan waktu hidup sedetik cuma
lebih baik detik-detik hidup kamu yang berbaki ini
dipenuhi dengan perkara yang membahagiakan
kerana di sana kita belum tentu bahagia.

~CNM, 4/5/11, 17.57 pm~

03 May, 2011

Langit itu tinggi

Dalam reruang alam
manusia dan manusia
manusia dan alam
saling berinteraksi
mencari keredhaan
namun ada yang iri
terpancul kata dengki
tunggulah hukum Ilahi
baru kau sedar langit itu tinggi.

~CNM, 3/5/11, 22.55 pm~

Bila Alam dicemari

Manusia terkena bahana sendiri
konon maju dengan industri
tapi lupa akan kesan diberi
udara, air, tanah dicemari
semuanya membawa kesan ngeri.

Udara tak lagi suci
bila dipenuhi asap, habuk dan gas dicemari
nafas manusia terhenti-henti
penyakit sistem pernafasan menjadi-jadi
siapa yang rugi?

Air disimbah dengan sisa industri
hidupan akuatik tak mampu bertahan lagi
nelayan jadi mangsa fenomena ini
rezeki kian pergi
anak bini hiba menanti.

Tanah tak terlepas dicemari
sampah sarap dibuang sana sini
campak ikut suka hati
lalat tikus lipas berparti
bawa penyakit sukar diubati.

Apa nak jadi dengan warga kini?
pembangunan tak lestari
tiada plan kondusif dicari
makin lama makin dibebani
masalah sejagat kesan urbanisasi.

~CNM, 3/5/11, 22.16 pm~

Penjara tempurung

Kau begitu selesa di bawah serkup tempurung
tak ingin mencuba melihat ke luar
pada luasnya dunia
hidup terkurung
dalam reruang sempit yang disangka mencabar
hakikatnya kau terpenjara.

~CNM, 3/5/11, 19.19 pm~

Landasan kebenaran

Prinsip apapun yang engkau ingin pertahankan
keegoan diri apapun yang engkau ingin junjungkan
ingatlah tiada insan yang mampu menongkat langit
setiap detik yang berlalu itu
menandakan waktu hidup semakin singkat
berwaspadalah
dikhuatiri tiada kesempatan
kembali menyelusuri landasan kebenaran.

~CNM, 3/5/11, 17.55 pm~

Sandiwara ke lubang kubur.

Dulu kata-katamu harum
mewangi bagai air mawar
setelah disimpan dalam lohong dusta
katamu kian membusuk
menjadi hanyir pada setiap hela nafasmu
rakyat jelata semakin mengerti
kenapa engkau terus diam membisu
jika benar tampillah dengan kebenaran
jika kepalsuan pohonlah kemaafan
kerana itu lebih baik
dari bersandiwara ke lubang kubur.

~CNM, 3/5/11, 17.42 pm~

01 May, 2011

Biarkanlah

Setelah diberi peringatan
jika mereka dengan cara mereka
biarkanlah.

Allah akan mengurniakan nur ketakwaan
kepada sesiapa yang disukai-Nya
benarlah
Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Maha mengetahui yang terang atau yang tersembunyi.

~CNM, 1/5/11, 22.38 pm~

Mentari

Mentari
tegak berdiri
menjirus bahang
tanpa henti
tiada tepian
menyubur
membakar
dalam sangkar alam
tadbiran Tuhan.

~CNM, 1/5/11, 13.25 pm~

Sepi

Sepi yang menghujani
merajut kenangan berduri
diseret ke tabir mimpi
dipaksa merangkak kembali
mengetuk pintu memori
mencacah parut-parut hirisan hati
luka berdarah berulang lagi
menitis ke pipi lipatan sanubari
sejarah kecewa menguasai
sukar melupai
kedurjanaan perajut sukma insani.

~CNM, 1/5/11, 12.21 tgh~

Pekerja

Pekerja
penggerak ekonomi negara
melaksanakan dasar-dasar negara
dalam suka dan duka
tak kira masa
wajarlah diharga
tanda prihatin pemimpin negara
dapat bersantai bersama keluarga
kerana di belakang seorang pekerja
ada sebuah keluarga yang perlu dijaga
jika keluarga bahagia
nescaya
produktivitinya meningkat sama
andai keluarga porak peranda
mutu kerja pasti tak ke mana.

Pekerja
juga seorang manusia
yang ada emosi rasa
ketua-ketua
perlu menjaga
kebajikan dengan bijaksana
tiada unsur pilih kasih di minda
tiada unsur puak dalan urusan kerja
barulah organisasi cemerlang mencapai jaya
sesekali pekerja perlu diiktiraf sumbangannya
ucapkanlah kata-kata perangsang menyubur jiwa
menyemai rasa kecintaan menyayangi tugas seadanya
tidak membantah arahan ketua
melaksanakan sepenuh jiwa raga
selagi tidak bertentangan hukum yang Esa.

~CNM, 1/5/11, 11.20 am~