Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

21 March, 2020

PENJARAKAN SOSIAL

Penting untuk pencegahan
Elak dari berdekatan
Nanti virus berjangkitan
Jarak akan kedudukan
Ambil langkah bertepatan
Ramai yang boleh faham
Amalan demi kebaikan
Kesihatan bukan hal main-main
Akibatnya ada yang terkorban
Nasib buruk boleh dihindarkan

Sepatutnya semua warga main peranan
Orang ramai tidak berkumpulan
Seharusnya duduk dalam kediaman
Ikut arahan pihak kerajaan
Aktiviti luar ditangguhkan
Laksana penuh keikhlasan.

CNM

20 March, 2020

PILIHAN DI TANGAN

Padan alam yang memesan
Iktibar ambil jadikan sempadan
Laluan ke kebun kelazatan
Impian semua makhluk Tuhan
Hindar perit nyalaan kedukaan
Akibat nafsu yang memesongkan
Nikmat mana ingin didustakan?

Dia beri panduan
Iblis musuh menyesatkan

Tadah tangan mohon dipermudahkan
Allah pasti memberi pertolongan
Nasib berubah atas usaha kaum berkenaan
Gagal bertindak itu satu kelemahan
Ambil langkah ikhtiar menyelesaikan
Nah! Baru tawakal kepada yang menciptakan.

CNM

KITA JAGA KITA

Kita jaga kita
Impian masyarakat semua
Tolong ambil cakna
Arahan kawal pergerakan negara
Jangan keluar bersepah
Aktiviti hadkan di rumah
Gagal mematuhi satu jenayah
Akibatnya virus makin bercambah
Kita jaga kita
Indah saling mendoa
Tulus ikhlas mohon kepadaNya
Agar berakhir ujian menimpa
CNM

COVID19

Covid19
Onak kehidupan
Virus jadi igauan
Ilahi didik jaga kebersihan
Dalam era bersaing kecanggihan
1 dunia diuji penularan
9 purnama belum tentu berkesudahan

CNM

DUDUK DI RUMAH

Duduk di rumah
Untuk kekang virus bercambah
Dengar arahan pihak diberi amanah
Usah panik dengan perintah
Kekal tenang jangan menggelabah

Diuji Allah
Insaf diri dan muhasabah

Ramai yang masih tiada hemah
Urusan berjalan walau ditegah
Mungkin tak efektif usaha mencegah
Ambil mudah isu bawa padah
Hakikat nyata masyarakat kurang endah

CNM

30 June, 2017

Kerana Kasih Sayang

Suami
boroi perutnya
tatkala dijamu isteri
masakan penuh kasih sayang
tak ditolak walau pun kenyang. 

Anak-anak
montel badannya
tatkala dibela seorang ibu
dengan penuh kasih sayang
hatinya tiada walang.

Isteri
tembam pipinya
tatkala dicurah suami
dengan limpahan kasih sayang
hatinya jadi tenang. 

Lemak pun menumpang
dengan penuh kasih sayang.

CNM

Oh! Ubi Kayu.

Tatkala
hujan bermelodi
dingin menyelimut naluri
muncul di benak memori
enaknya setongkol rebusan ubi.

Tatkala 
sinar disimbah mentari
bahang membakar naluri
hadir di benak memori
enaknya segelas sirap tapai ubi.

masih adakah yang mengenalimu?

Oh! Ubi Kayu.

CNM

Teraju

Bertukar teraju
hati rasa bercelaru
akan terbangkah di angkasa biru
atau menjunam ke tanah lesu
berkecamuk kalbu.

Ya Rabb hadirkan
yang bervisi
yang ada hati budi
yang mudah didekati
yang mahu mengenali
takdirkan kami
berteraju utamakan organisasi.

CNM

Ya


Bau tanah ini
menusuk sukma
tanah yang terukir beribu kenangan...

terubat akan rindu
rindu pada kampung halaman
kicau burung kokok ayam 
kembalikan kenangan silam...

ya semuanya
tak pernah hilang
tak mungkin pudar
detik ke detik membugar
walau kini jauh di rantau...

sesekali kembali
menghangat memori 
kusimpan ke akhir nanti.

CNM

23 December, 2016

Di Tangan Orang

Pabila harga di tangan orang
lelah kita dipermain.

Getah, sawit, minyak, timah
sumber kita yang dijarah
harga diperendah.

Kita masih dijajah
dicatur arah
lemah
tiada daya menyanggah.

Bumi bertuah
hasil melimpah ruah
tadbir urus dikelir indah
petani pekebun nelayan gundah
himpitan hidup tak sudah-sudah.

CNM

28 November, 2016

Takdir Kita Berbeza 14


Kak
Kala orang lain seusia
tekun menjawab SPM
aku tak tertakdir ikut serta
perancangan-Nya
terbaik buatku.

CNM

Takdir Kita Berbeza 13

Kak
jika tersusun sijil-sijilmu
capaian cemerlang
kususuri
sepertimu
kujuga ingin cemerlang
buat ibu abah bangga.|

CNM

Takdir Kita Berbeza 12

Dia sempurna di mataku
keistimewaanmu
kekuatan bagiku
kekuranganmu
cabaran bagiku
dalam dirimu
mengalir darahku.

Takdir Kita Berbeza 11

Kak
lihat teman-temanku
lihat teman-temanmu
takdir kita berbeza
aku anak istimewa
hanya di sisi ayah bonda

Kak
dikau ke pelusuk dunia
merantau cari ilmu
Bawa pulang
moga tak ketinggalan
kutumpang senang.

CNM

Warkah Buat YDPA XV

Warkah Buat YDPA XV

Daulat Tuanku
sembah patik harap diampun

hamba susun sepuluh jari
menitip kata dari tinta hati
dengarkan bicara hamba ini

tahniah ucapan diberi
selayaknya Tuanku ke takhta tertinggi
payungan Tuanku kami nanti
moga berkat serata negeri

titah perintah Ilahi
diutuskan rasul dan nabi
hidupkan syariat yang diperingati
subur makmur negara menjadi
sejahtera bawa ke alam abadi

kami setia mentaati
lihatlah kami dari takhta suci
sengsara dalam indah manipulasi
perit hidup dalam kekayaan dimiliki
perbetulkan tadbir urus negara dicintai
kembalikan hak-hak kami

Tuanku yang disanjungi
kepada siapa lagi nak kami ratapi
berabad sudah Tanah Melayu menangisi
dari satu tangan ke satu tangan menjajahi
tak sanggup lagi dirobek hati-hati kami
dengan kuasa yang Tuanku miliki
perbaiki institusi memayungi

Tuanku yang disanjungi
politik berbasa-basi
kelihatan menikam harmoni
mencalar sanubari pejuang demokrasi
rasuah sana sini
serata dunia mula sangsi
amanah negara dikotori
rakyat terpana kepercayaan dikhianati

Ampun Tuanku
sembah patik harap diampun
bicara hamba yang hina
pertimbangkan dengan bijaksana
mudahan ada petunjuk dari-Nya
memayungi rakyat jelata.

CNM, 14/10/16.

GURU

Guru penyempurna akhlak
tampal yang koyak
baiki yang rosak
bukan sembarangan tempelak
ada asas nak ditegak.

Guru pemangkin integriti
bina jati diri
kawal emosi
bukan sembarangan provokasi
ada dasar kritis menyata harga diri.

Guru junjung amanah
lafaz janji bersumpah
bangunkan bangsa berdiri megah
bukan sembarangan bantah
ada kepincangan membarah.

Guru semua pun tahu
wariskan ilmu
suburkan rasa bersatu
bukan sembaragan sembilu
ada nanah mencucuk kalbu.

Guru selamanya dikau guru
engkau tahu
aku tahu
Dia tahu.

CNM

Akar dan Pucuk

Pucuk
subur menghijau 
rendang bersilara
disimbah mentari
disirami embun pagi
usah lupa diri
semuanya 
dek akar yang berbakti
teguh mencengkam bumi
bekalkan nutrisi.

Satu waktu pucuk ...kan layu
penangan akar dibiar mereput
duhai! pucuk kembalilah ke bumi
korbankan diri jadi humus.

CNM

Sijil

Helaian kertas
tercetak butir bernas
layak di atas

Kepingan kertas
bernilai dari wang kertas
hapus waswas

Ada yang terbebas
dek sekeping kertas.

CNM

Takdir Kita Berbeza 10

Duhai anak
takdirmu berbeza

satu ayah bonda
nasib tak serupa
kasih kami sama

betapa kami ingin lihat
kasih sayang kamu terikat
tak terluntur ke akhir hayat
mohon pada-Mu Ya Rabb
tautkan mereka kejat.

CNM

Takdir Kita Berbeza 9

Kak
Apa khabarmu di sana?
Sejahteralah kudoa

di sini
rindu menyelinap ke hati
kutabahkan diri

terpisah kita
hanya di mata
dekatnya kita di hati.

CNM

Takdir Kita Berbeza 8

Kak 
segalanya mungkin bagimu
gapai impian hidup

Kak
aku tak mampu sendirian
mengharap payunganmu
jalan seiringan
hingga ke akhiran.

CNM

Takdir Kita Berbeza 7

Tiada kata-kata
kasihnya diperaga
biar potret berbicara

tak terluah
dengan bahasa indah
hanya mampu bertingkah

kak
biar beza kita
bagai lagi dan bumi
namun kutahu
antara kita ada ikatan padu

peruntukan kasihmu untukku.

CNM

Takdir Kita Berbeza 6

Alam itu
saling melengkapi
kita pun sama

kak
moga kekuranganku
tidak melemahkanmu

kak
kelebihanmu
jadi kekuatanku
dalam diri kita
mengalir darah yang sama
waris ayah bonda.

CNM

Takdir Kita Berbeza 5

Dik
engkau sempurna
di mata kami

kasih sayang
tak berbelah bahagi
itu pasti

pada dirimu
tertakdir begitu istimewa
mengajar erti sabar

terima kasih
memilih kami
berkongsi suka duka
mudahan tertakdir kita ke syurga.

CNM

Takdir Kita Berbeza 4

Kak
aku tak setandingmu
cerdik pandai menuntut ilmu

Kak
yang aku tahu
kasih sayangku padu

Kak
biar terpisah beribu batu
ikatan kasih
biar kejat waktu ke waktu

Kak
bertuahku
menjadi saudaramu
selamanya biar begitu.

CNM

Takdir Kita Berbeza 3


kak
kita bersaudara
satu ayah bonda

kak
di mata dunia
kulahir tidak sempurna
jangan pernah ada kecewa

kak
anggap aku seperti yang lain
punya hati dan perasaan
mengharap kasih dan sayang

kak
ke mana pun langkahmu
jangan pernah lupa
aku di belakangmu

jika telah tiada yang kasih padamu
tiadalah lagi aku.

CNM

Takdir Kita Berbeza 2

kak
izinkan daku
menumpang kasihmu

kak
jangan pernah lupa daku
walau kuhanya menanti di sini
doaku mengiringi

kak
ibu abah berikan ilmu
kubukan sepertimu
ditakdir daku harapkan ihsanmu
seumur hidupku

kak
pulangmu kunanti
bergelak tawa
mengusir duka
pimpinku ke syurga.

CNM

Tebah

Malam ini
tebah menebah
perak dalam tangan
emas jadi impian
catat sejarah terbilang.

Malam ini
jadi saksi
bangsa Malaysia
pamer aksi taraf dunia
buru emas pertama.

Mudahan dapat cuti satu negara.

CNM

Takdir Kita Berbeza

Selamat jalan kak
semoga selamat sampai

takdir kita berbeza kak
biar adik di sisi abah ibu
menunggu kepulanganmu

tak mungkin kujejak langkahmu kak
tanpa kenal tulis baca
hanya doa kuutuskan
suatu hari pulangmu dengan kejayaan

hakikatnya kak
kita miliki ibu abah
yang sama.

cnm

Lima Sembilan

Sudah lima sembilan
diulang, ulang

datang dan pergi
disambuti serata negeri
terlekatkah di hati?

Payung negara
pak menteri gah di tandu
rakyat masih menelan
asap candu gerhana

mereka atau kita
yang hanya galak
laungkan kata merdeka
minda jiwa terpasung
tiada untung.

CNM, 7/8/16