Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

24 January, 2016

Makan

Si miskin
kais pagi makan pagi
kasi petang makan petang
tertanya-tanya
apa yang akan dimakan?

Si kaya
ada segala
sebut saja ada di meja
bertanya-tanya
nak makan di mana?

Si politikus
saban hari mendengus
lubuk mana nak ditimbus
liar menikus
siapa mangsa nak dihapus?

CNM

Kedah Vs Pahang

Kedah
hijau panorama indah
rakyat tiada gundah
tadbir urus berhemah
pemimpin berwadah
khidmat kerana Allah.

Pahang
merah hangat berbahang
rakyat dalam bimbang
tadbir urus bertualang
pemimpin main wayang
khidmat kerana wang.

CNM

Bicara Puisi

Hei!
Pembogel aksara
apa yang engkau ghairahkan itu?
Aku bukan wanita seksi
bertelanjang di ranjang berahi
lenggang-lenggokku sekadar berbasa-basi.

Hei!
Penelaah kosa kata
apa yang engkau kecurkan itu?
Aku bukan jeruk mempelam muda
memecah liur ibu bunting kembar dua
siratan maknaku sekadar di pemuka.

Hei!
Tuntun ghairahmu
lempias hajat biar bersukat
dan pimpin liurmu
biar gecarnya tak tersasar
engkau belajar aku tak beronar.

CNM

3P

Insan
dambakan
PENERIMAAN.

Insan
inginkan
PERHATIAN.

Insan
dahagakan
PENGHARGAAN.

CNM

Bauksit

Digali segala bukit
bukan sedikit
rona karat melekit
selut debu menghimpit
penyakit menyelit
alam terpalit
rakyat tersepit
tadbir urus berbelit
kekayaan disumpit
kelestarian dihumban ke parit.

CNM

Parah

Belantara ditarah
robot-robot rakus menarah
tangan-tangan penjarah
tak kenal padah
alam musnah.

Tanah-tanah berdarah
lurah-lurah alirkan nanah
muara meludah
laut biru berubah
lenyap panaroma indah.

Siapa punya kerenah?

CNM

Ikat

Kerana gelaranku
aku diikat tanpa tali
akur janji
perintah itu ini
membatasi.

Kerana gelaranmu
kamu mengikat tanpa tali
menabur janji
lunak didengari
mengaburi.

CNM

Adus!

Kelihatannya dia telus
mulus lagi tulus
kudus.

Bungkus membungkus
rakus merebus
terkukus
dek fulus.

Penyamun Tarbus.

CNM

Tunai

Ketahuilah semua
kenaikan bayaran tol itu benar
kenaikan harga barangan dapur itu benar
kenaikan kos sara hidup itu adalah benar
kenaikan tambang pengangkutan awam itu benar.

Ya Allah
kami diminta ikat perut kami reda
kami diminta kerja lebih masa kami reda
kami diminta berjimat cermat kami reda
kami diminta bangun awal pagi elak kesesakan kami reda
Jika ada yang bertanya
mahukah lagi pemerintah sedia ada?
maka jawaplah dengan yakin dan pasti
kami akan guna kuasa undi
mengubah nasib kami.

Jangan nanti
pak-pak menteri
meroyan kehilangan kerusi
kerana apa kami janji
tunai tetap kami tunai.

CNM