Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

28 November, 2012

Fakta bukan Auta V

Fakta bukan Auta V

...bahawa kematian itu sesuatu yang semakin menghampiri, marilah sama-sama kita saling mengingatkan bahawa kita akan dipanggil pulang.

CNM

Fakta bukan Auta IV

Fakta bukan Auta IV

...bila mengantuk tidur adalah jalan terbaik, tidur juga waktu pemulihan yang terbukti paling berkesan...

CNM

Fakta bukan Auta III

Fakta bukan Auta III

...insan yang merajuk itu sebenarnya adalah mereka yang dahagakan belaian kasih sayang, simpatilah kepadanya...

CNM

Fakta bukan Auta II

Fakta bukan Auta II

...jika kamu mencari hanya kata-kata yang manis teman sejati tidak akan memberikannya, carilah pengampu...

CNM

Fakta bukan Auta

Fakta bukan Auta

sesedap mana pun masakan di luar sana, percayalah masakan di rumah dek bikinan isteri mahu pun mak sendiri jauh lebih enak kerana nilai tambahnya adalah penuh kasih sayang.

CNM

Putrajaya




Putrajaya

Dulu ada yang kata
pembaziran wang rakyat jelata
konon tak ada faedah kepada negara
aku rasa sekarang ekonomi dijana
puluhan ribu pelancong jejak putrajaya
kagum seni taman dan seni bina
tahniah kepada mantan Menteri Perdana
ideamu memaju ekonomi negara...

Dulu ada yang kata
pembaziran wang rakyat jelata
konon kerajaan rancang pembangunan membabi buta
aku rasa kerajaan memandang jauh melangkaui masa
yang tak terfikir akal orang biasa
kini jadi rebutan politikus yang konon mahu berjasa
suatu ketika sinis menghambur celaan tanpa usul periksa
bak meludah ke langit suatu waktu akan jatuh ke muka..

CNM, 27/11/12, 3.18pm

nota pendek

nota pendek

...kutuliskan sebaris nota
mengandungi tiga perkataan
supaya apabila kamu memandangnya
seawal pagi
terukir senyuman manis
dan kamu tahu bahawa
aku sayang kamu...

CNM

Diari Semalam

Diari Semalam

diari semalam
telah tercatat sudah
yang nantinya akan dipersembah...

bisa dilupakan
namun tak terpadam
hanya doa ucapan keampunan
merayu ianya diredhakan...

mudahan
yang baik-baik dalam catatan
diperlihatkan pada hari tiada pertolongan...

CNM, 25/11/12, 10.03am, THMK

saling melengkapi

saling melengkapi

kita ini
aku sedari
serba serbi kekurangan
adalah lebih baik
kita saling melengkapi...

kita ini
aku rasakan
saling memerlukan
adalah lebih baik
kita menjauhi permusuhan...

kita ini
aku katakan
dari satu rumpun
yang perlu berhimpun
bersatu padu memartabat bahasa serumpun...

kita ini
pada satu landasan selari
sama-sama dalam gerabak puisi
sama-sama berkongsi rasa hati
dalam laman maya yang dikasihi.

CNM, 24/11/12, 10.36pm, THMK

Jendela Cinta

Jendela Cinta

andai kamu
telah menguak jendela cinta
biarkan saja kumbang pilihan terbang hinggap
menghirup manis madu
di tangkai kuntuman bunga kasihmu...

andai kamu
ingin mengetuk jendela cinta
cerminkan diri
biarlah pemilik kamar cinta
menghamparkan permaidani menyambutmu...

CNM, 24/11/12, 5.35pm, THMK

Apa Dipelajari?

Apa Dipelajari?

apa yang kamu dapat?
bila melihat titis air
lembut fizikalnya
mengalir ke lembah
menuju muara menyatu...

apa yang kamu dapat?
bila merasakan hembusan bayu
dingin menikam kalbu
tak kelihatan
wujud menyumbang...

apa yang kamu dapat?
bila menyaksikan tanah terbentang
luas saujana mata memandang
kaya dengan hasilan
nadi kehidupan...

apa yang kamu dapat?
cuba renung dan perhatikan
bahawa alam itu ada menyampai pesan
bahawa alam itu tanda-tanda agungnya kejadian
fikirkan...

CNM, 24/11/12, 4.10pm, THMK

24 November, 2012

30 tahun dulu

30 tahun dulu

30 tahun dulu
bila mek nak menjahit
mie "tolong cucukkan benang
aku tak nampak"
aku senyum saja....

kini
aku sudah tahu kenapa
aku belum pakai kaca mata
barang kali sudah tiba masa
aku senyum kenang saat indah bersama bonda...

CNM, 24/11/12, 10.11 am, THMK

23 November, 2012

Mercu Perpaduan



Mercu Perpaduan

lihatlah
betapa megah
mercu perpaduan
menyatukan tanpa mengira warna
pada saat sujud kepada-Nya
tiada beza
biru hijau putih
sama sahaja
di bawah kalimah
tiada tuhan melainkan Allah.

CNM

sebak

sebak

mahu kamu tahu
apabila orang yang kita sayangi
akan pergi meninggalkan kita
buat sementera atau selamanya
hati jadi sebak
dan aku juga pernah merasakannya;

pertama kalinya
saat seorang abang
yang kusayangi meninggalkan kampung
mencuba nasib di kota
entah kenapa tergenang manik jernih...

kedua kalinya
saat menatap jenazah arwah ibu
yang teramat kusayangi pergi buat selamanya
tak tertahan lagi air mata tertumpah laju
membasahi ke dada pilu...

ketiga kalinya
saat mengetahui anak bujangku
didiagnosis menghidap leukemia
tak terkata bagaimana pilunya
melihat anak dalam kesakitan bertarung nyawa
telah kering air mata mengiringi doa...

keempat kalinya
saat melepaskan anak perempuan ke asrama
belum yakin anak menguruskan diri mungkin
air mata bergenangan
sebak menghimpit rasa
kamu ada rasa sebak di dada?...

CNM, 22/11/12, 11.14pm, THMK

pernah

pernah

pernah jantungmu
apabila memandang seraut wajah
berdegup kencang seakan ada pertemuan sebelum ini...

percaya atau tidak
aku percaya kamu pernah merasainya
kautahu dan aku tahu seakan ada pertalian yang tersembunyi...

CNM

Hari Tandas Sedunia



telah dilancarkan hari tandas sedunia
perlu ada harikah untuk ubah minda
guna tandas dengan bijaksana
mentaliti kena cakna
baru tandas wangi sentiasa...

tandas hari-hari diguna
tandas penanda aras berguna
dari sana dikenali sikap pengguna
sama ada pembersih atau pengotor orangnya
bersih tandas bersihlah orangnya...

CNM

dua jiwa satu hati

dua jiwa satu hati

dua jiwa telah bersepakat menyatukan hati dalam sidang meja bulat keluarga. aku tumpang gembira, nanti boleh makan nasi minyak pencuma. tahniah kepada tuan punya jiwa memilih untuk mengikat tali ijab dan kabulnya. berkali telah kutekan bahawa terlalu indah andai hidup ini saling mengasihi.

CNM

Andainya

Andainya

andai kamu berumahkan rumah bunglow bukannya sekeping kotak kertas,
andai kamu tidur bertilamkan tilam vono bukannya lantaian simen,
andai kamu tidur berbantalkan bantal empuk bukannya batu bata,
andai kamu berselimutkan gebar gebu yang mewangi bukannya embun,
andai kamu makan makanan yang memenuhi peti sejuk bukannya dari dalam tong-tong sampah,
andai kamu meluncur laju di jalan raya dengan kenderaan ratusan ribu ringgit bukannya berjalan dengan kaki ayam...

maka,
makanya
ucapkanlah syukur.

CNM, 22/11/12, 9.16 am, THMK

kenapa kejam pada diri?

kenapa kejam pada diri?

...kita ini dijadikan-Nya berpasang-pasangan. Dijadikan untuk saling sayang menyayangi, saling melengkapi. Kenapa terlalu kejam pada diri? dek kerana sebuah kegagalan, kamu berhenti dari berusaha. Ya, berhenti berusaha mencari kebahagiaan yang disulami rindu, cinta , kasih sayang suci. Mengelak untuk berhadapan dengan perasaan rindu, rasa menyayangi, rasa mengasihi sepertinya menolak nikmat Allah yang dikurniakan. Bangkitlah mencari... kerana terlalu indah andai hidup saling menyayangi...

CNM, 22/11/12, 8.46am, THMK

Merindu



Merindu

merindu itu tiada salahnya... cuma aku merasakan teramat ralat... andai asyik merindu sendirian... kenapa? jika apa yang dirindu itu tak tergapai dek tangan... tinggi melangit yang ternyata di luar kemampuan memilikinya... umpama ingin mendakap warna-warna pelangi, aku kira teramatlah rugi... memasang angan juga tidak tiada salahnya... dari bermimpikan warna pelangi di langit lebih baik mengintai embun di hujung dedaun... berpijak di bumi nyata, mampu dimiliki walau embun hanya hadir seketika sebelum suria membawanya pergi... jadilah yang realistik.

CNM, 22/11/12, 8.21am, THMK

lakso klate

lakso klate

hoh! jeliro molek
pekena lakso klate
dua kali ule
bucit perut kawe
hirup kuah ike
tak cukup sepingge
dua pingge ambo behe...

CNM

air mata Palestine

air mata Palestine

telah kering air mata Palestine
menangisi para syuhada
yang gugur satu-satu
demi maruah bangsa
telah dipersenda...

telah menjadi darah air mata Palestine
menitis membasahi bumi berdaulat
mengiringi para sahabat
yang berjihad
memerangi bangsa pengkhianat...

telah tiada air mata Palestine
buat mengiringi doa
Ya Robbi
singkapkan hijab pertolongan-Mu
hancurkanlah bangsa yang memerangi agama-Mu.

CNM

Oh! Tuhan


Oh! Tuhan

tunjukkanlah aku jalan
jalan pulang ke arah kebenaran
kebenaran yang telah Engkau syariatkan
syariatkan sebagai landasan
landasan perjalanan ke syurga-Mu
syurga-Mu dambaan sekalian makhluk
makhluk yang Engkau jadikan
jadikan untuk beribadat dan sujud kepada-Mu
kepada-Mu kami memohon pertolongan.

CNM

Sendirian

Sendirian

telah ditadirkan
kusendirian di sini
meneruskan baki kesempatan
tak sesekali kukesalkan
kerana kutahu, aku tidak keseorangan
Engkau sentiasa ada untukku Tuhan.

CNM

Ketenangan

Ketenangan

alam nyata
dianugerah Dia
buat ketenangan jiwa
indah panorama
menyejukkan mata
merehatkan minda
dari kekalutan kota...

CNM

Berdua

Berdua

denganmu
kurenangi lautan kehidupan
dalam suka duka yang ditakdirkan
moga menebusi ke pintu syurga
dengan berkat restu dan redha-Nya

CNM

Ingat pese mok (loghat klate)

Ingat pese mok (loghat klate)

ingat pese mok
jange tingga semeye
panda-panda jago diri tepat oghe...

bersain biar retah negeri
musuh jange dicari
InsyaAllah disayegi...

CNM

jika ini kaurasa

jika ini kaurasa

bila di sisinya terkaku seribu bahasa
di dalam hati bergetar seribu rasa
luahkan saja
cinta telah memasuki kamar jiwa
ianya akan terus berdegup tanpa henti
pada saat kamu memandang dia
pada saat kamu merenung matanya...

CNM

mahu kamu ketahui

mahu kamu ketahui

saat kauhulurkan jemari keikhlasan
memelukku berbaring di ribaan
alam bagai terawan-awan
membuai perasaan...

suaramu
yang berbisik hangat
ke cuping telinga hatiku
tak terhurai dalam kata-kata...

hanya syair jiwa
jadi coretan rasa
mengukir senyuman
menyusun warna-warna cintaku.

CNM

aku tiada jawapan

aku tiada jawapan

jika kaubertanya
kenapa dirimu dicinta
aku memang tiada jawapan
kerana misteri cinta
hanya Dia yang tahu jawapannya
yang kutahu bahawa
dirimu sering kudamba
menenami di sisi pada tiap ketika
dan aku berharap dirimu begitu jua...

CNM

Wanita

Wanita

dengarkanlah
bahawa sekasar mana pun lelaki
sekeras mana pun kata-katanya
akan tunduk lemah gemalai dia
dengan layanan mesramu
jadi berbicaralah dengan senyuman termanis
bukan paras rupa jadi keutamaan
kasih sayang belaian manja jadi dambaan.

CNM

Lelaki

Lelaki

dengarkanlah
bahawa sesedap manapun
bancuhan teh tarik kedai mamak
atau mana-mana kedai janda
tidak seenak bancuhan isteri tercinta
yang amat teristimewa terselit rasa kasih dan sayangnya...

CNM

Sampai bila

Sampai bila

...sampai bila asyik merindu sendiri, ada kasih ada cinta hati menanti. tak teringinkah jumpa si kadi minta dipersatukan melayari bahtera kehidupan walau dijangka badai dan gelora akan melanda...

...jangan biarkan pelabuhan impian terbiar begitu lama sepi.

Terbenam

Terbenam

kasih, yang tak pasti akan terbenam lenyap ditelan sepi, yang rapuh tak akan dapat berdiri, andai kita gagal menjunjung janji, jadi payung sebuah kesetiaan...

CNM

Bingkisan Akhir

Bingkisan Akhir

...aku masih di sini berdiri memegang cokmar cinta yang kita ukir bersama. kutuliskan bingkisan akhir ini buat mengiringi perpisahan yang tak terbayang dalam sejarah hidup ini. jadikan ia bekalan sepanjang perjalanan mencari mahkota pelamin impianmu...

CNM

Dalam Air Tenang

Dalam Air Tenang

...tersingkap bebayang wajah yang mewarnai sekeping hati. retak kasih merona luka, tersimpan ampuh dalam lipatan memori. embun kasih yang menitis memecah cermin hati...

CNM

Pada dirimu

Pada dirimu

sekuat manakah pada dirimu mempertahankan kata janji. setelah jiwa dilukai, andai masih tersisa manik-manik kasih, itulah namanya cinta. cinta yang berlandaskan kesucian tak sekali memungkiri...

CNM

Perindu

Perindu

dalam gementar rindu, didakap potret cinta. mengharap angin lalu pergi membisik kata rindu ke telinga kasih. dahaga kasih tak terpadam dek titisan mimpi...

CNM

Cerita Pasal Muka Buku

Cerita Pasal Muka Buku

muka buku
medium perhubungan alaf baru
cukup banyak membantu
dalam pelbagai cabang ilmu
ini permerhatianku;

i.
muka buku
tempat berkongsi ilmu
guru-guru dapat membantu
persoalan anak murid di luar waktu
pembelajaran dan pengajaran sentiasa berlaku.

ii.
muka buku
tempat berjumpa tanpa bertemu
berbicara tanpa segan silu
ada juga yang malu-malu mahu
ada juga yang sentap tak kira waktu.

iii.
muka buku
tempat memupuk ukhwah padu
yang jauh didekatkan walau beribu batu
yang lama terpisah kembali bertemu
mengenang pahit manis kisah lalu.

iv.
muka buku
tempat mengenakan seteru
dimuat naik foto yang memalu
menyebar berita palsu
bertujuan menjatuhkan maruah si anu.

v.
muka buku
tempat lepaskan ketegangan membelenggu
status update meredakan perasaan pelaku
melepas geram apa yang terbuku
sekurangnya menurun suhu.

vi.
muka buku
tempat mencari kenalan yang dimahu
nak jumpa malu
sembang di muka buku sebelum bertemu
akhirnya hantar rombongan untuk bersatu.

vii.
muka buku
tempat main permainan maya dan dengar lagu
macam-macam ada aku pun tak tahu
yang pasti anak-anak muda tahu
banyak terbuang waktu.

viii.
muka buku
satu dunia tahu
yang tak ada akaun bagai dipalu-palu
nak jengok apa ada dalam muka buku
jangan sampai tertinggal teknologi baru.

ix.
muka buku
jadi tempat pemimpin memberitahu
apa-apa dasar maklumat baru
rakyat dapat maklumat telus dan jitu
penyampaian jadi pantas merentasi waktu.

x.
muka buku
ada seribu macam cerita kalau nak sebut satu-satu
cuma aku nasihat selidiki yang benar dan palsu
jangan sampai jadi mangsa teknologi yang sepatutnya membantu
gunakan muka buku untuk mencari jalan direstu.

CNM, 19/11/12, 7.05pm, THMK

mat rembo (loghat Klate)

mat rembo (loghat Klate)

dah soho
pete-pete kelilin kapo
gege duk ghoyat kena toto
buat beli sebutir moto...

mat rembo
masuk keda bual koso
pedih tekak minta air koso
pitih jimat buat beli nombo...

mat rembo
kecek tinggi ego
ore lain semua tak beto
kalahke penyiasat hawai five-O.

CNM, 18/11/12, PLN1M

dedoh mendedoh

dedoh mendedoh

hok,aloh!
ada satu kisoh
rama hok suko paka kain tebeloh
napok poho metoh-metoh
nak tengok serbo saloh
sakit mata tak dok aroh...

CNM, 18/11/12, PLN1M

dedoh=dedah
rama=ramai
paka=pakai
tebeloh=terbelah
napok=nampak
poho=peha
serbo=serba

Dadoh (loghat klate)

Dadoh (loghat klate)

awah! perankat dadoh
habih duit tak dok pekdoh
sekali hisap lekat sapa sudoh
habih punoh ranoh...

ore tua pese doh
jange buat kije tak pekdoh
kena dadoh nak undur payoh
jadi hambo dadoh sapa jadi gemuloh...

ingat wei budok sekoloh
jauhi najis dadoh
pikir molek maso depe tak punoh
katake tidak pada dadoh...

CNM
18/11/12
PLN1M

Durian

Durian

molek akan kejadian
memberi pengajaran
menilai bukan dari luaran
walau dikelilingi duri tajam
di dalam ada isi yang enak tak terlawan
itu satu tanda kebesaran dan keagungan Tuhan.

durian
manis menawan
jaga-jaga kalau makan
boleh jadi memudaratkan kesihatan
jika kuantiti di luar kawalan
darah tinggi kencing manis semakin mengancam.

CNM

Bunga Bangsa

Bunga Bangsa

titisan merah tertumpah
bumi suci tak kekeringan darah juang
tak akan terhenti memgalir
dari jiwa-jiwa bunga bangsa
yang pertahankan tanah tumpah darah...

walau terkorban bunga bangsa
gugur syahid ke jalan Allah
akan tumbuh melata di bumi Palestine
dari akar-akar jihad
para syuhada yang rela darah merahnya
mengalir mewangikan semangat juang...

CNM

Salam Hujung Minggu

Salam Hujung Minggu

Salam sejahtera buat kamu
salam hujung minggu untuk semua tetamu
terima kasih masih sudi bertamu
ke ruang maya tempat kita bertemu
menitipkan bingkisan senda gurau suka duka tangis sendu.

Didoakan Tuhan merahmati perjalanan hidupmu
dikurniakan kesihatan yang berpanjangan dalam restu
dianugerakan rezeki yang luas dan fikiran yang jitu
dimuliakan darjat seperti insan-insan yang bertakwa kepada-Mu
Ucapkan syukur Alhamdulillah atas ukhwah yang terjalin padu.

CNM, 18/11/12, 7.48am, THMK

Beri untuk Menerima

Beri untuk Menerima

berikan sebahagian milikmu
pada yang hak
untuk kamu terima
gandaan dari-Nya
yang maha pemurah...

sekali kamu memberi
kepada insan yang menadah tangan
ketahuilah betapa tinggi syukurnya mereka
maka diangkat tangan mendoakan
akan kesejahteraan kamu...

sekali kamu menyedekahkan
berapa ramai yang mendapat habuan
harta milikmu suci dari haknya
kamu akan memperoleh keberkatan
dalam urusan seharian...

sekali kamu menghulurkan
bantuan seikhlas kemampuan
telah dijanjikan pahala kebajikan
datang pertolongan
dari sudut yang tak terjangka...

CNM, 17/11/12, 1.02pm, THMK

Kenali Kebahagiaan

Kenali Kebahagiaan

Kita sering kali berkata tentang kebahagiaan
tapi kenalkan kita apa itu kebahagiaan
bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta
jadi cuba kenali kebahagiaan...

Didik jiwa perbetulkan niat
jika niat kerana-Nya
nescaya kita di landasan kebenaran
kebenaran itu bukankah cabang bahagia?

Didik jiwa mengingati-Nya
jika kita mengingati-Nya
nescaya kita perolehi ketenangan
ketenangan itu bukankah cabang bahagia?

Didik jiwa memaafkan
jika kita memaafkan
nescaya kita bebas dari dendam
tiada dendam itu bukankah cabang bahagia?

Didik jiwa mensyukuri
jika kita mesyukuri apa yang kita ada
nescaya hati kita perolehi kedamaian
kedamaian itu bukankah cabang bahagia?

Didik jiwa menerima seadanya
jika menerima seadanya diri kita
nescaya kita rasa berbangga
kebanggaan itu bukankah cabang bahagia?

Didik jiwa jangan berhutang
jika kita bebas dari hutang
nescaya kita rasa lapang
rasa lapang itu bukankan cabang bahagia?

Didik jiwa berkasih sayang
jika kita menyemai kasih sayang
nescaya kita menuai persaudaraan
persaudaraan itu bukankah tunjang bahagia?

CNM, 17/11/12, 7.25am, THMK

Jika tak berteman

Jika tak berteman

berbicara pada alam
nukilkan segala ilham
tarikan jemari berkalam
lepaskan tekanan yang kusam
biar terang segala yang kelam.

alam itu teman
berkata dengan kejujuran
menyampai kebenaran
menunaikan perintah Tuhan
menyedarkan insan yang berfikiran.

CNM, 17/11/12, 7.08am, THMK

Kaum Adam

Kaum Adam

tinggalkan
segala urusan
dari kerja ladang
hingga bisnes jutaan
apabila azan berkumandang
dari menara masjid berhampiran
bergegas kita menyahut seruan Tuhan
menunaikan solat Jumaat penuh keberkatan
seusai salam kirimkan doa kesyukuran yang mengurniakan
kesihatan, kesejahteraan, kebahagiaan tanpa apa-apa pembalasan
maka kita bertebaran ke serata pelusuk alam mencari rezeki yang dijanjikan.

CNM, 16/11/12, 12.34pm THMK

masihkah kauingat

masihkah kauingat

pada hari pertama
atuk nenek ayah bonda
menghantar kamu ke kelas menulis baca
dengan kosong dada
menimba ilmu jadi insan berguna
syukur ayah bonda kepadamu terhutang budi sampai bila-bila...

pada hari pertama
lafaz ijab dan kabul bersama si dia
mengikat kammu di atas singgahsana
berdua melayari bahtera
dengan penuh kasih mesra
syukur kepada-Nya menemukan jodoh seperti didamba...

pada hari pertama
mendengar tangisan zuriat di depan mata
setelah isteri tercinta mengandung sembila purnama
dalam keperitan suka duka tawa ria
redha demi sebuah cinta dibina
syukur atas anugerah tak terhingga...

CNM, 16/11/12, 9.32am, THMK

16 November, 2012

Malam Jumaat

Malam Jumaat

Malam Jumaat
Ambil berkat
Lakukan amalan sunat
Alunkan ayat-ayat bermunajat
Memberi salam dan selawat.

Jangan mengelat
Umur dah sekerat
Makin hari makin liat
Amalan sepatut dipergiat
Amalam sepatut diperhebat
Tentu akan selamat.

CNM

akrostik Cikgu

akrostik Cikgu

Cikgu
Insan yang berkongsi ilmu
Kerja untuk menambah maju
Golongan muda mudi bakal peneraju
Universiti jadi sasaran murid tuntut ilmu.

CNM

Akrostik Hijrah

Akrostik Hijrah

Hijrah
Istilah kisah Rasulullah berpindah
Jalankan dakwah ke jalan Allah
Ramai umat mengucapkan kalimah syahadah
Allah yang disembah
Hijrah akidah mengEsakan Allah.

CNM, 14/11/12, 9.45pm THMK

Akrostik Maal Hijrah

Akrostik Maal Hijrah

Maal Hijrah
Al-Qur'an firman Allah
As-Sunnah amalan Rasulullah
Laluan ke syurga Allah

Hayati penuh hikmah
Iktibar peristiwa jadi panduan ummah
Jalin ukhwah
Rasulullah pemula dakwah
Ambil contoh cara musyawarah
Hubungkan kaum berbalah.

CNM, 14/11/12, 6.44pm
THMK

Akrostik Akhir Tahun

Akrostik Akhir Tahun

Akhir tahun
Kaji akan diri
Hasilan adakah menepati
Impian yang telah disemi
Rugi jika belum dipenuhi

Tuhan maha memberi
Ambil peluang yang mungkin sekali
Hayun tangan langkahkan kaki
Urusan akan menjadi
Nikmat Tuhan perlu dicari.

CNM, 14/11/12, 7.23am, THMK

Akrostik Gurisan Hati

Akrostik Gurisan Hati

Gurisan Hati
Umumnya mengetahui
Remuk redam akan sanubari
Istilah kekecewaan dialami
Seperti tidak akan ada lagi pelangi
Akan muncul menyeri
Nasib menimpa sungguh ngeri.

Hati
Akur dan redhai
Takdir tuhan yang terjadi
Ikhlas pasrah kepada Ilahi.

CNM

Kita memiliki

Kita memiliki

telah diberi
titisan air mata yang membasahi
untuk tidak terlalu senang hati
ketawa lupa diri
anugerah Ilahi...

telah diberi
senyuman manis yang menyeri
untuk tidak terlalu bersedih hati
berduka membawa diri
lupa ada Ilahi...

telah diimbangi setiap satunya
pengajaran kepada yang mengerti...

CNM, 16/11/12, 7.27am, THMK

Gapai dengan bijaksana

Gapai dengan bijaksana

alam semesta
luas terbentang buat semua
kejayaan ada di mana-mana
gapai dengan bijaksana
ucap syukur kepada-Nya...

kekayaan
keegoan diri
sering kali memusnahkan
insan yang terbuai dek kejayaan
yang ternyata hanya pinjaman...

CNM, 16/11/2012, 7.17am, THMK

Kita akan sendirian

Kita akan sendirian

syukur
kita masih
ada pasangan
ada anak-anak
ada teman-teman
tiba waktu kita akan sendirian
meninggalkan puluhan teman
meninggalkan berapa banyak pun harta
diusung jua berapa kuat pun kita
dibaluti tujuh lapis kain putih tanpa pangkat dan darjat
melainkan amalan kebaikan, doa anak-anak yang soleh dan sedekah jariah.

CNM

memori manggis timbang

memori manggis timbang

dulu aku masih ingat
masa isteri mengandung sulung
bila lalu jalan kuala kangsar taiping
katanya teringin buah manggis
aku senyum saja
memang banyak manggis
tapi yang banyak yang bergantungan
dia mahukan manggis timbang...

layan sajalah dah orang mengandung
ada beza ke?

CNM

Sebelum

Sebelum

sebelum terlena
perhitung pahala dosa
semalam adakah lebih bermakna
hari ini adakah lebih cakna
hari esok apa bekalan di dada...

sebelum terpejam selama
dirikan solat yang lima
berzakat membersih harta
jadilah tetamu-Nya walau sekali cuma
agar kita tiba dengan bercahaya muka...

CNM

menunggu kepulangan

menunggu kepulangan

andai malam-malammu
kesyahduan menunggu kepulangan
tangan-tangan cinta yang membelai mesra
ingatlah lafaz semalam yang masih hangat
yang menyemarak rindumu...

bersungguhkah kamu memegang janji?

CNM

Kuwarkahkan kepada Majlis Raja-raja Melayu

Kuwarkahkan kepada Majlis Raja-raja Melayu

Ampun Tuanku
sembah patik harap diampun

hamba pacal yang dhaif lagi hina
mengusulkan cadangan kepada ke bawah duli-duli yang maha mulia raja-raja melayu
bahawa perlukan satu jemaah penasihat tentang etika pewaris takhta raja melayu...

patik pacal yang dhaif lagi hina
mendapati laman-laman sosial
sama ada hanya mainan maya atau kebenaran yang nyata
telah menyebarkan keburukan pewaris takhta raja melayu...

sungguh
sungguh patik rasa terhina
mengharapkan payungan mulia
namun pewaris kian menakutkan hamba rakyat jelata...

Yang Dipertuan Agung
Timbalan Yang Dipertuan Agung
berbuatlah sesuatu
pada tuanku rakyat seperti hamba mengharap...

kujunjung maruah bangsaku bangsa melayu.

CNM, 15/11/12, 9.53am, THMK

Perjalanan Pulang

Perjalanan Pulang

bertiketkan ucapan dua kalimah syahadah
telah berada dalam armada 1434H
telah memasuki landasan 1 Muharram
sentiasa hubungi pusat kawalan 5 kali sehari
pada waktu zohor, asar, maghrib, isyak dan subuh
menyucikan diri di tanah suci
bekalan sebelum ketibaan berbuat baik, sedekah dan ilmu bermanafaat
alat ganti dibawa zikirullah, selawat dan salam
audio memutar mainkan lafaz memohon keampunan...

berdoalah agar tiba dengan selamat.

CNM, 15/11/12, 8.42am, THMK

Hijrah Minda

Hijrah Minda

Tahun baru bermula
apa kata buat hijrah minda
dari yang baik kepada lebih baik kesudahannya
moga kita tergolong dalam kalangan yang mengharga
peluang dan ruang yang tersedia...

di jalan raya
cuba jadi pemandu yang bertimbang rasa
beri laluan kepada yang kurang budi bicara
mungkin mereka baru pandai memandu atau terkejar masa
lebih baik mengalah dari berlaku kemalangan yang menyusah semua...

dalam beribadat kepada Yang Esa
mari kita laksanakan pada waktunya
menyegerakan tuntutan yang disyariatkan kepada kita
usah bertangguh yang mungkin melalai-leka dan terus lupa
berazamlah jadi hamba yang peka kehendak agama...

sentiasa positif dalam setiap perkara
berusaha sedaya upaya mencuba hingga jaya
tiada erti kegagalan dalam diari kita
anggaplah kegagalan itu kejayaan yang tertunda
jadikan ia titik untuk berusaha dengan berlipat ganda...

dalam berpolitik harus berpada-pada
elakkan dari mengumpat keji sesama kita
jangan kerana pegangan kepartian maruah diperkuda
rasulullah mengajar kita selesai cara musyawarah bersama
itu lebih baik selesa untuk semua...

tanggungjawab kepada diri dan keluarga
tak lupa juga kepada masyarakat, negara dan agama
mari perbaiki dari masa ke semasa
moga kita jadi rakyat yang berguna
menyumbang ke arah kebaikan bersama...

CNM, 15/11/12, 8.04pm, THMK

Terputuskah?

Terputuskah?

hangatan cinta kian mendingin
dalam rindu tergenggam warkah
setelah membaca dalam gementar jiwa
coretan bingkisan memilukan penuh duka
pudar sudah sinar cinta
buat kutermenung dalam gelisah
bicaramu adakah hanya menduga...

CNM

Salam Maal Hijrah 1434h

Salam Maal Hijrah 1434h

Maal hijrah mencatat sejarah
hijrah Nabi dari Mekah ke Kota Madinah
atas rasa kecintaan kepada ummah
penuh kasih melakukan hijrah
meneruskan perjuangan di luar Kota Mekah
membangunkan ummah perteguh akidah
menyatukan manusia taati syariat Allah.

Kita ummatnya patut teguh sudah
ada al-Qur'an dan as-sunnah
tiada pecah belah
mengenggam tali-tali Allah
La Illah Ha Ilallah
Muhammad Rasulullah
aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah
dan Muhammad itu persuruh Allah.

CNM, 14/11/12, 6.13pm
THMK

Bicara Ziana Zain (ZZ) Bicaraku III

Bicara Ziana Zain (ZZ) Bicaraku III

dia bertanya
kenapa teruskan jika tiada persefahaman
usah terus menipu diri,
mereka tak tipu diri dik zz
mereka cuba pertahankan cinta suci...

dia bertanya
sekuat mana mempertahankan janji
tahankah diuji berkali-kali,
mereka pasrah pada takdir Ilahi
kerana cinta mereka tabah diuji...

dia tanya
apa guna tenang di permukaan
sedang di dasar berkocakan,
adat bercinta berselisihan
itu pengukuran dalamnya keikhlasan...

CNM

Bicara Ziana Zain (ZZ) Bicaraku II

Bicara Ziana Zain (ZZ) Bicaraku II

ungkapannya
terkenang jua
bahawa ada rindu dari kejauhan,
memang bila berjauhan akan ada rindu
itu tandanya cinta kasih sayang subur di hatimu.

luahannya
sepi tanpa rela
kerana cinta hanya pada kata-kata,
hati-hati dengan cinta segera
selalunya ia bersalut tuba.

bisikannya
hanya waktu akan menentukan
walau cinta tiada lagi bayangan kasih menghantui,
sesiapa pun andai telah tercurah kasih
pasti tersisa harapan untuk bersama.

CNM

Bicara Ziana Zain(ZZ) Bicaraku

Bicara Ziana Zain(ZZ) Bicaraku

kata ZZ setiaku di sini
mempertahankan cinta suci,
setiaku di sini
membaca puisi-puisi teman sejati.

bicara ZZ tiada jodoh antara kita
jodohnya dengan pramugara,
ya memang tiada jodoh antara kita
kerana kita tak pernah bersua.

lafaz ZZ madahmu madah berhelah
memulakan sengketa dalam bicara,
anggapanmu kusangkal dengan hemah
aku bermadah berkongsi rasa.

CNM

Laut Kasih 241

Laut Kasih 241

dalam diri kita sama mengalir
haruman wangian laut kasih
mewangi sepanjang zaman...

engkau ditakdir milikku
aku ditakdir milikmu
kasih ini bak dian menyuluh kamar cinta...

CNM

dedikasi untuk sain

dedikasi untuk sain

dialah sain
jak dulu dialah sain
jak sekolah menengah duk sain
sama-sama masuk U duk sain
lo ni ikut jale masin-masin...

dialah sain
lamo bena duk sain
macam adik beradik buke orghe lain
sama-sama kejar impiyer bersaing
lo ni ikut haluwe masin-masin...

CNM

p/s baca ikut loghat Klate

apa lagi yang dimahukan

apa lagi yang dimahukan

apa lagi yang dimahukan
setelah cinta kasih sayang ditabur
senyum tawa dipersembah
janji sumpah setia tetap dilupa
pasrah andai perpisahan jua akhirnya...

apa lagi yang dimahukan
setelah kehendak hati dituruti
tidak ada sesekali mengingkari
sedang kehambaran wajah menghiasi
pasrah andai terputus dalam keterpaksaan...

tiada guna memendam segala
kerana cinta perlukan belaian manja
bukan penderaan rasa
yang dalam kesengajaan dicipta
membarahkan luka...

CNM, 14/11/12, 8.36am, THMK

aku berpesan dik!

aku berpesan dik!

persoalan demi persoalan
yang dia seringkali tepis penuh helah
menyembunyikan seribu satu sandiwara
ada agenda yang terancang
bahawa kesetiaan perlu berbalas kejujuran
bahawa kejujuran perlu hadir tanpa paksaan...

sia-sia belaka sebuah pengorbanan
sekiranya dia tiada keikhlasan
demi masa depan aku merayu
waspada dengan helah bernoda
kelak hanya ditemani air mata
cinta suci berbalas selautan tuba...

CNM, 14/11/12, 8.07am, THMK

Sebalik

Sebalik

yakin dik!
di bawah gelora lautan
ada suatu daerah tersembunyi
yang tenang setenangnya
carilah...

yakin dik!
di sebalik awan mendung
ada suatu hamparan langit biru
yang terang membiru
tunggulah...

yakin dik!
di bawa kerak bumi gersang
ada mata air yang menyejukan
melegakan kehausan
galilah...

CNM, 14/11/12, 7.14am, THMK

Gulai Kawah



dimasak bawah khemah
kenduri dapat menantu anak tuan tanah
ramai berewang ramah tamah
senang hati tuan rumah
majlis dipermudah...

gulai kawah
wangian menggamit menjamah
makan kenyang teringat sampai ke rumah
daging kambing juga lembu pawah
enak tak dapat disanggah...

CNM

Laut Kasih 240

Laut Kasih 240

datanglah kasih
pekat malam kian berlabuh
rinduku menghimpit rasa
biar embun jadi saksi
hangatan kucupan laut kasihmu
meredakan bahang asmara ini...

CNM

Laut Kasih 239

Laut Kasih 239

betapa rindu ini
kian memuncak
menghidu wangian laut kasihmu
dari terbit sinar suria pagi
hingga embun dara menitis sepi
rinduku menjadi-jadi...

CNM

Tanah Tumpangan

Tanah Tumpangan

kata atuk
tanah ini bukan tanah kita
tanah tumpangan yang atuk sewa
janji mulut tok ketua dengan taukeh cina
haji duduklah sampai bila-bila...

tiga generasi masa
janji entah ke mana
tanah ini tanah kami punya
keluar dari hak milik kami katanya
itulah sejarah yang nyata
betapa terhina andai tiada harta...

CNM

Menadah

Menadah

mereka menadah
barang kali kerana tiada upaya
tidurnya berselimutkan embun
rumah berbumbungkan langit
bertilamkan simen
berbantalkan tulang lengan...

syukur kita masih mampu menadah
mengucapkan alhamdulillah
dengan selesa...

CNM

Tanah

Tanah

teman
usah gusar
di akhir nanti
pasti antara kita memiliki tanah...

sebelum memilikinya
kita perlukan sekeping sijil
sijil yang kita tak akan pernah pegang untuk selamanya...

sijil kematian untuk tanah kubur.

CNM

hati!

hati!

hati!
tolong
jangan ada titik benci
kerana dikhuatiri
jadi tunas kehancuran
dalam sebuah keharmonian...

hati!
bantu
jangan ada cebisan iri
kerana dibimbangi
jadi semaian sengketa
dalam sebuah kerukunan...

hati!
berlapang dada
jangan berprasangka
kerana dijangka
jadi api pemula
dalam kebakaran jiwa...

CNM, 13/11/12, 8.05am, THMK

Dua Air Mata

Dua Air Mata

dua air mata
di hari persandingan seorang dara
aku nak cerita;

satunya
air mata syukur
temui cinta luhur...

duanya
air mata derita
dipaksa terima cinta pilihan orang tua...

CNM, 12/11/12, 3.59pm, THMK

Jangan Gelak

Jangan Gelak

nenek: sedalam mata cintamu padaku...

atuk: sedalam lesung pipitmu itu...

CNM

Memori Daun Pisang

Memori Daun Pisang

hah! ini bukan tajuk lagu dangdut Iwan
memori daun pisang
yang banyak kenangan
hampir setiap petang
kumencari daun pisang
buat membungkus kuih tiga dara sebilik
memori yang tak mungkin carik
kekal dalam hamparan sejarah hidupku yang perih...

CNM

Sendu Di Hujung Rindu

Sendu Di Hujung Rindu

mahu kamu tahu
andai ada sendu di hujung rindu
itu tandanya cinta telah menakluki hatimu...

mahu kamu tahu
andai ada sayu di hujung rindu
itu tandanya cinta telah berputik di hatimu...

tak gitu...

CNM, 12/11/12, 1.19pm, THMK

Sepanjang Jalan Pulang

Sepanjang Jalan Pulang

Ya Tuhanku
sepanjang jalan pulang
kurniakan tempat berpegang
agar aku tidak tergelicir
ke cenuram kehinaan...

Ya Tuhanku
sepanjang jalan pulang
suluhkan nur kebenaran
jadi pedoman memilih haluan
ke sisi-Mu tanpa sesalan...

Ya Tuhanku
sepanjang jalan pulang
ampuni dosa-dosa yang kulakukan
sesungguhnya Engkaulah pemberi keampunan
dari balasan yangg tiada Kamu dustakan...

aku ingin pulang dalam redha-Mu.

CNM, 11/11/12, 1.27pm, THMK

catatan perjalanan





Aku dihunjam ke puncak pergunungan. Suatu daerah yang dinginnya mencengkam ke tulang. Terlontar ke kepala batuan. Berkecai hacur merecik kepiluan. Merangkak mencari cebis-cebis kekuatan untuk bercantum kembali menjadi satu. Melarut ke dasar bumi menakungi hamparan akuifer. Merembes mencari jalan-jalan pulang ke muara. Sisa-sisa kecaian mengesot memasuki alur galur-galir menuju muara. Segala kekotoran tangan-tangan manusia yang tiada memperdulikan alam melumuri tubuh suci ini. Dari sesuci bening embun rupa bertukar wajah menjadi kelat karat menguning. Itulah aku setitis air yang dihumban dari langit.

CNM, 11/11/12, 12.31pm, THMK

Jemari Tak Bersuara

Jemari Tak Bersuara

Andai
jemariku tidak lagi bersuara
ketahuilah sahabat semua;
barangkali talian internet telah tiada,
barangkali minda telah tiada apa nak diperkata,
barangkali bait-bait kata telah terluluhawa...

demi masa sesungguhnya
kita tidak mengetahui apa yang berlaku esok lusa
moga bertamu yang baik-baik jua...

CNM, 11/11/12, 12.15pm, THMK

11 November, 2012

Aku Masih Celik

Aku Masih Celik

aku masih celik
melihat apa yang jelik
guna akal memilih yang mana baik...

aku masih celik
memerhati apa yang pelik
guna kewarasan menyinsih yang dicebik...

aku masih celik
mohon mata hatiku tidak dibolak-balik
hingga tungang terbalik...

Ya Malik
kurniakan yang terbaik
untuk diriku perbaik.

CNM, 11/11/12, 12.03pm, THMK

Aku Bukan Buta

Aku Bukan Buta

aku tidak buta
pada apa yang kaukata
hanya menghindar sengketa..

aku tidak buta
pada apa yang kaukerja
hanya mengelak salah sangka...

aku tidak buta
kerana aku ada timbang tara
yang tersemat di dada...

CNM, 11/11/12, 11.50am, THMK

Di hujung Hari

Di hujung Hari

Di hujung hari ini
biarlah sejarah yang diukir
lebih manis dari semalam
sebagai harga
untuk waktu yang dilepaskan...

Di hujung hari ini
pastikan yang terlebih baik
digenggami
sebagai dapatan
untuk bekalan hari esok...

CNM, 11/11/12, 10.47am, THMK

Kita Adalah Hamba

Kita Adalah Hamba

kita sama saja
mencari sebuah redha
meniti lorong disyariat yang Esa...

kita tiada beza
hidup di muka dunia
tiba masa dipanggil ke sisi-Nya...

kita serupa
sedang di jalan sehala
menuju ke alam tiada akhirnya...

CNM, 10/11/12, 10.25am, THMK

Merindu Sendiri

Merindu Sendiri

lepaskan diri dari dibelenggu
onar-onar materealistik
yang membawa ke daerah
pasungan rindu
cinta jadi beku...

cinta suci yang dilafazkan
usah dipersiakan
cinta yang berlandaskan kesucian
membunuh kesepian
kebahagiaan datang mengusir kesendirian...

CNM

Mahligai dari air mata

Mahligai dari air mata

teman
usah bina mahligai
dari air mata insan yang dikecewa
janji cinta yang dipalsu
jadi sejarah yang datang menganggu
dan hati jadi terpilu waktu ke waktu...

CNM

Telah Membuka Pintu

Telah Membuka Pintu

sejak detik itu
kautelah membuka pintu
cinta bak hamparan padang baldu
terbentang menghijau ke kaki langit biru
tak bertepian menyelubungi sukmaku...

sejak detik itu
akan kupertahankan cinta yang satu
yang kauberikan pada diriku
kini dan selamanya sejak dulu
dirimu sang ratu yang bertamu...

CNM

Bajai Pohon Cinta

Bajai Pohon Cinta

bajai pohon cintamu
dengan siraman kasih suci
biar merimbun dedaun rindu
menaungi redup kasih abadi
janji tak dimungkiri...

bajai pohon cintamu
biar ia jadi saksi
tiada dua tiada tiga
cinta diberi setelus hati
kekal ke akhir nanti...

CNM

Pergi Tak Kembali

Pergi Tak Kembali

setelah cinta
pergi tak kembali
kesepian menyebati
sukar melupai
sumpah dan janji
membarah di hati...

setelah cinta
pergi tak berpaling
jiwa mengering
gurau senda berpusing
sedang sukma terasing
diri terumbang ambing...

CNM

Permata dan Kaca

Permata dan Kaca

Permata
semua memuja
jadi bahan didamba
ada harga
dipandang mulia...

Kaca
sering dijumpa
walau tiada harga
tetap berguna
kenali kaca...

CNM

Pedih Semalam

Pedih Semalam

andai pedih semalam
masih berdenyutan
menyesak perasaan
teruskan titis ubatan
agar bisanya hilang
ditelan keredhaan...

CNM

Berlikunya jalanmu

Berlikunya jalanmu

hujan yang menerjah atap
berguguran ke longkang, lesap
memenuhi alur yang berselirat
meresap menutupi liang-liang pori sendat
merembes menakungi akuifer
mencari jalan bercantum jua
di muara...

CNM

Yang mana?

Yang mana?

datang hujan disalahi
datang mentari juga disalahi
apa mahunya hati?...

jika mahu salji
kena ke tempat bersalji...

CNM

Cuti Bermula

Cuti Bermula

rasa lapang dada
boleh rehat bersama keluarga
ada ruang dan masa
beri perhatian pada diri pula
melakukan apa yang disuka...

rasa bebas seketika
dengan rutin yang sama
pagi-pagi pergi kerja
lewat petang baru tiba
badan dah habis tenaga...

rasa lapang minda
nak menulis puisi banyak idea
boleh baca nukilan THMK punya warga
semuanya indah belaka
teruskan memeriahkan laman maya...

CNM, 9/11/12, 2.52pm THMK

ada apa pada mata



ada apa pada mata

ada apa pada mata
yang berkilau bak permata
sedang yang nyata
terselindung duka
ditinggalkan bonda
sebatang kara...

ada wajah duka?

CNM

Selamat Pagi Dunia

Selamat Pagi Dunia

Salah sejahtera semua
warga THMK yang dimulia
semoga dilindungi yang Esa
walau di mana jua berada
mulakan hari dengan senyum dan tawa
moga segala aktiviti dalam suasana ceria
tiada yang lebih indah dari menikmati hari-hari yang bahagia
dalam hidup yang berbaki cuma
kerana hari esok kita belum tahu apa adanya...

CNM

Cuti Sekolah

Cuti Sekolah

ingat nak berehat saja
rupanya kena jaga periksa
panjang masa
November hingga Disember
dah tugasan hamba...

sahabat dan saudara mara
kirim kad jemputan kenduri kendara
kenalah tunjuk muka
bila dah habis jaga periksa
moga ada kesempatan masa...

tok mudim pula
senyum sepanjang masa
melihat gelangat mangsanya
dipotong sesuka
tapi tak sampai cacat pula...

CNM


Cuti sekolah bakal tiba
anak-anak ibu bapa pula jaga
jangan rasa pening kepala
beri cikgu rehat seketika
jangan pula hantar orang lain jaga...

Cuti sekolah bakal tiba
kenduri kendara sini sana
mari kita meriahkan acara
mengunjungi jemputan rakan kita
semoga ukhwah terus melata...

Cuti sekolah bakal tiba
anak-anak masuk khatan jadi remaja
ibu bapa carikan mudim segera
cepat laksana
cepat sembuhnya...

CNM, 7/11/12, 7.37pm, THMK

Hatinya

Hatinya

hatinya
tidak sekejam yang kausangka
kerana kedalaman cinta
dia rela sengsara
mencintai tak semesti memiliki...

CNM

Di Balik Mendung

Di Balik Mendung

...sabar
di balik mendung awan mega
ada hamparan langit yang membiru
yakin dan pasti
awan akan dibawa pergi
dek angin yang mengerti...

CNM

Kerana Esok Tak Kelihatan

Kerana Esok Tak Kelihatan

...kerana esok tak kelihatan
maka ramai yang leka dengan keseronokan
tiada wawasan dalam pelajaran
menipu diri sendiri jadi amalan
membohongi ibu bapa jadi kebiasan
mempermainkan guru-guru jadi gurauan
tunggulah bila hari esok datang
bila tiba masa kamu cari pekerjaan
bila tiba waktu kamu nak mencari makan
kamu tentu ingat apa yang aku perkatakan...

CNM

Pak Dogol

Pak Dogol

watak tolol
dalam cerita wayang kulit
perutnya buncit kepala botak
tapi bijak
pakar rujuk akan sri rama
berlawan ada cara
ada helah di jana...

melihat sesuatu
bukan dari luarannya
lihatlah ke dalam akalnya...

aku suka watak pak dogol
tolol tapi berbaloi...

CNM

~Menelah~

~Menelah~

Awan kelabukah
yang menyelubungi taman hatimu
kerana kulihat
wajah matamu meredup
mendung...

Sinar suria pagikah
yang memancarkan nur keceriaan
kerana kusaksikan
sinar matamu bercahaya
menyeri...

CNM

Esok ini

Esok ini

beratus ribu
calon SPM akan berjuang
menentukan masa depan
termasuk anak saya seorang
moga dipermudahkan...

saat begini
hanya doa dapat dipanjatkan
mengiringi anak-anak berjuang
mencurah ilmu yang telah disimpan
dalam persoalan yang dibangkitkan...

Ya Allah kurniakanlah,
kelapangan dada
ketenangan memahami soalan
tajam akan fikiran
bernas memberi jawapan...

CNM

Doakan Buat Mereka

Doakan Buat Mereka

telah kita curah segala
menyemat ilmu ke dada
buat anak didik tempuhi periksa
dengan tepu minda
semoga dipermudah-Nya...

doakan buat mereka
halalkan segala cacat cela
biar diberi kelapangan dada
mudah memahami soalan ditanya
dapat menjawab tepat semua...

mereka anak didik kita.

CNM

Setelah Berjanji

Setelah Berjanji

jangan sesekali memungkiri
andai kamu mengkhianati
hilang sebuah kepercayaan diberi...

usah berjanji
andai tiada kemampuan memenuhi
ia memerangkap diri sendiri...

lebih baik tidak berjanji
cuma berusaha memenuhi
mengikut kemampuan diri.

CNM

Marah

Marah

Sepertinya api
jika terkawal
bisa melembutkan masakan
enak dimakan
mudah ditelan...

Umpamanya api
jika tak terkawal
hangit terbakar masakan
tak boleh dimakan
sukar ditelan...

jangan main dengan api.

CNM

Jadi Bakau

Jadi Bakau

dia hidup subur
hijau rendang merimbun
di pesisir laut yang bergelora
teguh dibadai pasang surut
dek hidup berjelekit...

kita manusia
jadi seperti bakau
tumbuh rapat-rapat
saling menyokong kuat
selamat dari musibat...

bersatu teguh bercerai roboh.

CNM

Fizikal Mental

Fizikal Mental

Fizikal
di pagi minggu
bangkit segera temanku
buat aktiviti regangan urat sarafmu
biar lancar perjalanan darah yang membeku
cergas sihat selalu...

Mental
di pagi minggu
jemput ke mari bertamu
melegakan minda yang bercelaru
titipkan kata dalam mindamu
ilham bertambah padu...

CNM

KBSM

KBSM

ya! KBSM
bukan kurikulum baru sekolah memandu
pun bukan kurikulum baru sekolah menengah...

apa yang bermain di fikiran anda
tentang KBSM yang saya utara
tiada idea!...

KBSM ini, pesan orang tua-tua
sila peruntukkan ruang dan masa
melawat mereka sahabat kita bila
Kenduri, Bersalin, Sakit dan Meninggal.

Moh kita...

CNM

Laut Kasih 238

Laut Kasih 238

di hari ulang tahunmu dinda
kudoakan semoga
laut kasih kita
terus beralun seirama
membina ombak-ombak asmara...

CNM

Ruang Langit-Bumi

Ruang Langit-Bumi

selama waktu
yang telah kulalui
banyak yang kuperhati
ruang antara langit dan bumi
jadi rencah kehidupan ini...

di pentas insani
yang berskrip sejak azali
setiap seorang pasti diuji
dengan pemberat tersendiri
belajarlah meredhai...

ruang antara langit dan bumi
awan gemawan bergumpalan menaungi
angin menyanyikan lagu sepi
pepohon ikut melambai seiring melodi
dan hujan menari tarian simpati...

di luar sana
tak terjangkau dek minda
sesungguhnya telalu agung kekuasaan-Nya
yang maha mengetahui
antara yang nyata dan yang tersembunyi...

CNM, 3/11/12, 8.00pm, THMK

Kasmaran Cinta

Kasmaran Cinta

dalam kamar indah
berhias bait-bait puisi romantis
aroma wangian syair jiwa
membuai rasa
membibit kasmaran cinta...

dalam kamar indah
bermelodi denyut nadi yang berlagu
detak-detak jantung bagai berirama
mendodoi sukma
membangkit naluri kasmaran cinta...

CNM

Teratak Cinta

Teratak Cinta

Teratak cinta ini
jadi saksi
bercantumnya
aliran sungai kasihku
dan muara rindumu...

lalu berpadu ia menjadi pulau cinta
dalam kesyahduan gelora kasmaran asmara.

CNM

aku ingin

aku ingin

aku ingin
jadi sepertimu pagi
tenang mendamaikan
menbawa sinar suria
ditunggu pelusuk alam semesta...

aku ingin
jadi sepertimu embun
suci bening
menitis membasahi
dedaun yang kelayuan...

aku ingin jadi yang disukai.

CNM

Tibanya

Tibanya

tibanya mentari pagi
membawa sinar penyeri
tak terusirkah galau di hati?

tibanya mentari pagi
menyuluh jalan ke destinasi
tak teringinkah bangkit melangkah pergi?

tibanya mentari
petanda bermula satu lagi hari
tak terujakah mencatat sejarah diri?

ekori mentari sebelum malam menghambat.

CNM

Antara Senja, Malam dan Fajar

Antara Senja, Malam dan Fajar

antara senja dan malam
ada satu garis yang tak kelihatan
menjadi tanda
pada yang punya kesedaran
bahawa telah semakin hampir kepada-Nya...

antara malam dan fajar
ada satu sempadan tak tertera
menjadi panduan
pada yang miliki keyakinan
bahawa telah semakin dekat garisan di hadapan-Nya...

senja, malam, fajar silih berganti mengingatkan.

CNM

andai telah memiliki

andai telah memiliki

andai kamu telah memiliki
permata yang menyeri bak pelangi
jangan biar debu menyaluti
sirna akan cahaya penyeri
kelak kamu rugi...

andai kamu telah memiliki
sekuntum bunga mekar mewangi
jangan biar ia layu sebelum hari
hilang wangian hati
kelak kamu sesali...

CNM

tulis baca

tulis baca

aku tulis
aku baca
kamu tulis
aku baca...

baca, baca, baca
ikut ayat pertama
tentu ada makna...

CNM

Yang Kecil

Yang Kecil

aku umpamakan
dosa-dosa besar
bak gajah, harimau dan singa
ditakuti, dijauhi
tapi
berapa ramai yang mati
dek gajah, harimau dan singa ini...

aku umpamakan
dosa-dosa kecil
bak nyamuk aedes
diabai, dipandang sepi
tapi
telah ramai yang mati kerananya...

menjauhi dosa besar
belum tentu menyelamatkan kita
andai dosa-dosa kecil dipandang remeh...

renung-renungkan dan selamat beramal.

CNM

Penyengat



Penyengat

kena beringat
nanti disengat
satu badan berbirat
hati jadi hangat
senyum jadi kelat
perasaan diganggu gugat...

jangan jadi penyengat.

CNM

Laut Kasih 237

Laut Kasih 237

tidak kupinta
secebis pengertian
kenapa aku mencintaimu
kerana aku tahu
apa yang hatiku mahu
tiada ragu
dikaulah sang ratu
dulu, kini dan selagi berbaki waktu...

Laut kasihmu sentiasa mendendang lagu kecintaanku.

CNM

Laut Kasih 236

Laut Kasih 236

sebelum senja ini
ingin sekali kurenungi
sepasang matamu yang bening
kerana di sana
jika kupandang sedalam-dalam
terpancar nur laut kasihmu...

aku jadi rindu mengucup wangian kasihmu.

CNM

Laut Kasih 235

Laut Kasih 235

telah kutulis
sebaris namamu
dalam diari laut kasihku
agar anakcucu kita
bisa membacanya
bahawa mereka punyai
seorang ibu dan nenek yang kaya
dengan kasih dah sayang...

CNM

Setelah hujan

Setelah hujan

sayup-sayup
suara nyayian
mendayu-dayu
dari kejauhan
Onk! Onk!
katak melepas gian...

CNM

Jalan

Jalan

tiada jalan lurus
umpama landasan terbang
untuk kamu tiba ke puncak
jalan berliku
denai berduri
pasti ditemui...

ada jalan pantas
umpama kereta api laju
untuk terjunam ke lembah
bergelumang kehinaan
andai memilih lorong-lorong hitam
tidak perlu bersusah..

CNM