Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

Loading...

19 May, 2013

cendol bakar

cendol bakar

pernah dengar?
pernah rasa?
kalau nak cuba
sila ke Kuala Selangor
ada cendol bakar

usah pelik
usah panik
cendol ni tak unik
cuma agak menarik
gelarannya cendol bakar
kerana tukangnya bernama Bakar...

CNM, 19/5/13, THMK

Tukang Bakar

Tukang Bakar

tukang bakar
cuba main kasar
bikin onar
cabar mencabar
dah hilang sedar

tukang bakar
hajatnya kelakar
nak jadi raja dalam gebar
sembunyi wajah sebenar
pakai topeng menolak mungkar

tukang bakar
lihat pada gambar
kenapa wajah makin hambar
hilang seri dek bahang mengucar
dengan cerita-cerita tawar.

CNM, 19/5/13, THMK

Gembala

Gembala

gembala
mencari seruling kuasa
buat mengawasi segerombolan kuda
bagi menjaya agenda
menapak ke puncak cita

gembala
meniup seruling berbara
buat membakar gelora rasa
agar hangatnya menyala huru hara
menggugat mandat rakyat jelata

gembala
kembalilah ke desa
lihat anak-anak tunggu dibela
kuburkan cita sia-sia
dengan jalan porak-peranda.

CNM, 19/5/13, THMK

Kalut

Kalut

...nak menuntut
habis dicarut
tak sayang mulut
dah kena angkut
kecut...

...belajar dulu statut
patut ke tak patut
jangan main ikut-ikut
sudahnya ke laut
kalut...

CNM, 19/5/13, THMK

Membaca Bingkisan Hati

Membaca Bingkisan Hati

dalam bingkisan hati
andai kedapatan nada sendu
percayalah
dia mengharap pujuk dan rayu
hatinya masih milikmu...

dalam bingkisan hati
andai ada nada amarah
percayalah
dia sudah pasrah
hatinya telah kaupecah...

bingkisan hati
adakala mainan psikologi
kaji dan teliti
kiasan kata bersulam emosi
petanda memperhalusi...

CNM, 18/5/13

18 May, 2013

Duhai Tiang Negara

Duhai Tiang Negara

tamadun yang terbina
bukan sikit mengalirkan air mata
jangan dengan senang mencarik luka
parut lama masih belum kering semua
telah berhabis yang di tampuk mengubat cara

sejarah tercatat pada diari negara
tumpah darah bukan agenda
menderhaka pantang melayu beraja
guna akal yang bijaksana
menuntut tiada salahnya
ada adab yang perlu dijaga

duhai tiang negara
runtuh kamu runtuhlah bangsa
jangan biar diri diperkuda
jangan mudah terpedaya
dengan mereka yang pandai memain rasa
kelak kamu yang diusung dalam keranda sengsara
bernesankan harapan sia-sia.

CNM, 18/5/13, THMK

Selamat Pagi

Selamat Pagi

sahabat dihormati selalu
dalam mengunyah waktu
lumatkan halangan yang memburu
telan untung laku
buang sepah mengeliru
membukit amal baikmu
meluluh dosa-dosa lalu
dan Dia menunggu
hamba yang datang dengan suci kalbu.

CNM, 18/5/13, THMK

17 May, 2013

Jangan Mudah Lupa

Jangan Mudah Lupa

jangan mudah lupa
sejarah sengsara
sebelum capai merdeka
datuk nenek moyang kita
teraniaya...

jangan mudah lupa
sejarah derita
zaman penjajah negara
bapa-bapa pramerdeka
terseksa...

jangan mudah lupa
asal usul bangsa
merangkak dari selut desa
menuju puncak pentas dunia
penuh pencaroba...

jangan mudah lupa
senang-senang merosak negara
kerana desakan rasa
pejuang yang penuh sandiwara
memperkuda...

CNM, 17/5/13, THMK

Hari Jumaat Malam Sabtu

Hari Jumaat Malam Sabtu

hari jumaat malam sabtu
kamu tak sihat tiada bertamu?

hari jumaat malam sabtu,
kalau tak sihat pergi klinik jangan tunggu,

hari jumaat malam sabtu
jangan tak ingat poskan puisi kamu,

hari jumaat malam sabtu
bina semangat puisi membantu,

hari jumaat malam sabtu
jangan terlalu ligat nanti semput dadamu,

hari jumaat malam sabtu
mari berehat sambil berpuisi satu,

hari jumaat malam sabtu,
moga kalian selamat doaku kepadamu,

hari jumaat malam sabtu
jangan lambat mataku dah kuyu,

hari jumaat malam sabtu
aku dah tak larat tenaga kian beku,

hari jumaat malam sabtu
esok bangkit lewat sebelum fajar berlalu,

hari jumaat malam sabtu
sambung ya sahabat biar boleh buat buku.

CNM, 17/5/13, THMK

YB Menteri

YB Menteri

tahniah atas pelantikan YB
semoga tanggungjawab menjadi
jangan hanya jadi penganti
jadilah YB yang mengkaji
apa yang boleh diperbaiki...

YB Menteri
kenali rakyat sendiri
apa keperluan yang harus diberi
tunaikan hak mereka seperti yang dijanji
mudahan lima tahun lagi YB terus diundi

YB Menteri
jangan cepat melatah
jika caramu dibantah
dengar dulu apa hujah
rasionalkan dengan berhemah

YB Menteri
undi bukan untuk kepentingan diri
undi adalah akur janji
berkhidmat sepenuh hati
membela rakyat yang diwakili.

CNM, 17/5/13, THMK

Bukan Pakar

Bukan Pakar

aku bukan pakar melarik
namun aku mampu larikkan kata puitis
buat menenami degup nadimu hari ke hari

aku bukan pakar geografi
namun aku mampu membaca peta hati
dan kutahu letakan cintamu dalam diri

aku bukan pakar astronomi
namun aku mampu mengenali planet kasihmu
dan kutahu saat ia menyinari rinduku

aku bukan pakar fizik
namun aku mampu membidik rasa
andai kamu tiada aku rasa kosong jiwa

CNM, 17/5/13, THMK

aku rakyat biasa

aku rakyat biasa

aku rakyat biasa
padamu Seri Paduka Baginda
payungkan kami seada
satukan kami berbilang bangsa
satukan kami walau berbeza agama

aku rakyat biasa
padamu Menteri Perdana
berikan kami khidmat tercakna
pacu negara ke puncak jaya
keluarkan kami dari duka nestapa

aku rakyat biasa
yang cintakan negara
kedamaian lebih bermakna dari wang berjuta
kepada petualang negara
nyah kamu dari bumi merdeka

Ya Allah yang maha pengurnia
anugerahkan kami aman sentosa
jauhi kami dari malapetaka
suburkan bumi Malaysia
berkati seluruh warga.

CNM, 17/5/13, THMK

KPN

KPN

tahniah tuan
atas pelantikan
semoga negara lebih aman
rakyat hidup tanpa rasa tertekan
dapat mencari rezeki tanpa bimbang...

perteguhkan barisan
rapatkan saf-saf kebenaran
pertahankan keadilan
semoga dipemudahkan segala urusan
teruskan bakti dengan gemilang...

tegakkan peraturan
utamakan kejujuran
selami hati kakitangan
penghormatan akan datang
dari mereka yang ikhlas berjuang...

amankan Malaysia!

CNM, 17/5/13, THMK

Dikencing

Dikencing

kalau
harimau atau singa
mengencing itu dia menanda
tanda kawasan
konon jajahan dia punya...

kalau
sesama manusia mengencing
itu apa?
gali lubang
tutup lubangkah?

CNM, 17/5/13

Kita yang pilih

Kita yang pilih

kita yang pilih
kenapa nak berdalih
kata terlatih
kenapa mudah letih
mereka menagih
perhatian dan waktu lebih
kita yang pilih
berikan yang tercanggih...

CNM, 16/5/13

Buka Pintu

Buka Pintu

bangun bangsaku
bukakan pintu
mentari datang mencuit
mengajak kita berlari
menuju garisan senja
dengan lelehan keringat
dengan segenggam rezeki
buat mengalas
lapar dahaga anak cucu
dalam perjalanan menunju
hutan urbanisasi
yang kian sendat dengan kerenah birokrasi...

CNM, 16/5/13

Duhai Anak

Duhai Anak

duhai anak
yang meniti ke alam dewasa
jangan sesekali
mempersenda guru
kerana mereka bagaikan tiang
menyokong kejayaanmu

duhai anak
yang sering keliru
dengarlah walau sekali
nasihat guru
kerana mereka gedung ilmu
yang mencurah alir kebaikan

belajar adab belajar.

CNM, 15/5/13

Cikgu

Cikgu

tugas ini
tiada tarikh luput
selagi nadi berdenyut
mendidik perlu bersahut
melahir modal insan bukan pak turut.

tugas ini
terjunjung ke liang lahad
teruskan berjihad
waktu bukan had
tugas mulia abad ke abad.

CNM, 15/5/13, THMK

Yang Bermakna

Yang Bermakna

Yang bermakna
padaku bukan hadiah bertimbun
pun bukan kata puji melambung tinggi
juga tidak main wayang berakhlak di kelir.

Yang bermakna
padaku cukuplah ucapan terima kasih cikgu
susah payah pengorbanan diingati
dan ikhlas mentaati amalan diberkati.

CNM, 15/5/13, THMK

Dulu dan Kini

Dulu dan Kini

Dulu
anak murid ke tepi
pabila lihat guru menghampiri;
Kini
guru ke tepi
pabila berselisih anak murid sendiri.

Dulu
anak murid malu
pabila jumpa guru luar waktu;
Kini
guru yang malu
pabila lihat tingkah murid luar waktu.

Dulu
mak ayah beri kebenaran
perbetulkan anak demi masa depan;
Kini
mak ayah pantang
sedikit kekeliruan akan menyaman.

Dulu
guru dihormati
disanjung tinggi;
Kini
guru dikeji
dicerca segelintir pembenci.

CNM, 15/5/13, THMK

Panas

Panas

menyental karat
di bawah terik mentari di ufuk barat
peluh menyejat
memadangmu satu nikmat
menghirupmu sungguh lazat...

Oh! cendul pulut
kecur mulut

CNM, 13/5/13, THMK

Tetap

Tetap

ketatkan ilmu di dada
pilih jalan kita
tetap pegangan kepada Yang Esa
itu sebaik-baik cara
mengelompok diri dalam kalangan diredha
semoga dianugerahkan syafaat dan syurga
berbahagia
selamat dari bahana neraka...

CNM, 13/5/13

Laut Kasih 265

Laut Kasih 265

bila malam
lirikan nakalmu
buat jantung laut kasihku
berdegup laju
menggebu
dan kamu tersenyum malu...

CNM, 12/5/13

Laut Kasih 264

Laut Kasih 264

engkau isteri
yang aku sayangi
dari pertama kali mengenali
InsyaAllah hingga nafas terakhir nanti
kamu di hati...

engkau ibu
buat anak-anakku
besar pengorbanmu
itu kutahu
sejak dari dulu...

terima kasih sayang
moga laut kasih kita bisa dikenang
melimpah dengan kasih sayang
dihiasi anak-anak yang cemerlang
anugerah terbilang...

CNM, 12/5/13, THMK

Selagi Ada

Selagi Ada

Sahabat
aku mengingat
selagi mereka ada hayat
lawat
kerana doa mereka berkat
hilang mereka hilang satu doa dirahmat.

Ziarah ibu dan bapa jangan rasa penat.

CNM, 12/5/13, THMK

Lelaki

Lelaki

...pernah kamu?
melihat seorang ibu
menyabung nyawa melahirkan
begitu sukar
sakit tak tergambar...

...tak kamu terasa?
betapa peritnya dia
cukuplah
duhai seorang bernama lelaki
jangan disakiti lagi...

CNM, 12/5/13, THMK

Air Mata Ibu

Air Mata Ibu

...duhai anak!
bertuah
andai air mata ibu yang menitis
atas rasa kesyukuran
tingkahmu direstui
dirimu di jalan diredhai Tuhan...

...duhai anak!
malang
andai air mata ibu yang gugur
atas rasa sebak amarah
tingkahmu memalukan
dirimu tersimpang dari jalan diredhai Tuhan...

pilih air mata mana yang ingin kausaksikan!

CNM, 12/5/13, THMK

IBU

IBU

Ibu
Budi, bakti dan jasamu
Unggul sentiasa di kalbu.

Ibu
Berkat restu dan doamu
Umurku tak sia-sia berlalu.

Ibu
Belaian kasih mesramu
Unggun yang memarakkan kasihku.

Ibu
Betapa agungnya pergorbananmu
Untuk lihat anakmu berdiri maju.

Ibu
Bersemadilah dengan amalmu
Utusan doa akan kukirimkan selalu.

CNM, 12/5/13, THMK

11 May, 2013

Laut Kasih 263

Laut Kasih 263

...ingin aku
mencoret kata di dada langit
biar serata alam menyaksi
bahawa haruman laut kasihmu
sentiasa membugar segar...

...ingin aku
melukis potret berbingkai pelangi
biar seluruh alam memandang
bahawa wajah laut kasihmu
sentiasa berkilau menyeri...

...ingin aku
memintal kepulan awan
jadikan kalung cinta
agar bisa kugantung ke lehermu
sebagai tanda sebahagian nyawaku untukmu...

CNM, 11/5/13, THMK

Ketentuan

Ketentuan

...sudah-sudahlah!
setelah berusaha
setelah berdoa
pasrah dengan ketentuan-Nya
tentu ada hikmah
walau perit untuk ditelan
yakinlah ada manis di pengakhirannya...

engkau tak yakin?

CNM, 11/5/13, THMK