Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

05 September, 2014

Bibik V

Hello!
Tak semua bibik durjana,

i
Bibik baik-baik saja
aurat dijaga
solat cukup yang lima
tutur kata indah berbunga
terima arahan siap siaga.

ii
Anak-anak yang tak boleh terima
bibik dikata agen penyekat kebebasan media
gadjet tekini jadi masalah ibu bapa
kerja rumah terbiar di meja
anak-anak dengan perisian mainan pungut mata.

iii
Bibik punya laporan semasa
anak-anak anggap aduan tak berguna
bibik dikerjakan bila tiada ibu bapa
adegan sabotaj bermaharajalela
bibik seorang dijadikan hamba.

iv
Terimalah hakikat
sesuatu itu ada suka duka
sesuatu itu ada pahit dan manisnya
bertindaklah dengan bijaksana
akal diberi guna dengan cakna.

CNM, 5/9/14

Bibik IV

Macam-macam cerita
ada suka ada duka,

i
Bibik punya angkara
sengsara satu keluarga
diberi makan barangan puja
tak takut bahana dosa
janji dapat kerja selesa.

ii
Bibik punya penangan
anak-anak mula renggang
dengan bibik macam isi dan tulang
berpisah tiada pagi petang siang malam
akhirnya bibik jadi tuan.

iii
Bibik punya selera
dulu datang naik tongkang tua
kalau balik nak naik kapal udara
tak dipenuhi meragam pula
katanya tak nak balik lagi bekerja.

iv
Bibik punya agenda
khabarnya rindu anak saudara mara
nak pulang ziarah sekejap saja
tunggu punya tunggu tak nampak muka
sedar-sedar dah diperdaya.

v
Bibik ada baik buruknya
yang bijak tak akan terkena
yang muda percaya selalu terkena
selidik tawakal dan doa
mudahan bibik baik perangainya.

CNM, 5/9/14

BibiK III

Suami isteri
dalam dilema,

i
Bibik jadi orang ketiga
suami berubah selera
bibik lebih mesra
bibik tempat bermanja
bibik sedia segala.

ii
Bibik buat huru hara
suami isteri pening kepala
bil telefon berganda
barangan dapur lesap tiba-tiba
waktu kerja ada tetamu luar negara.

iii.
Bibik perenggang kasih
anak-anak mula menyisih
bibik tempat merujuk merintih
ibu ayah kerja tak habis-habis
siang malam kumpul pitis.

iv.
Bibik
ada susah
tak ada lagi payah
sebelum jadi masalah
kaji upaya cari kaedah.

CNM, 5/9/14

Bibik II

Bibik berkata
walau dalam hati saja,

i
Puan!
Kok tak ingin masak sendiri
tuan itu mahukan masakkan puan
bukannya air tangan gue
nanti hilang seleranya.

ii
Puan!
Kok tak ingin digosok sendiri
tuan itu teringin sentuhan puan
bukannya kerja tangan gue
nanti hilang mesranya.

iii
Puan!
Kok tak ingin dihantar sendiri
tuan itu perlukan perhatian puan
bukan dipesan bawa balik madu
nanti dibawa balik isteri baru.

iv
Tuan!
Eh! Janganlah berbahagi kasih
kasihan cik puan itu
nanti hidupnya celaru
dek menerima madu.

CNM, 4/9/14

Bibik

Isteri
selalunya,

i
Bik!
Tuan nak makan
tolong buat maggi jantan
masak dua bungkusan
bagi tuan kenyang.

ii
Bik!
Tuan nak pakai baju melayu
tolong gosok yang terbaru
samping warna biru
bagi tuan bergaya selalu.

iii
Bik!
Tuan nak pergi kerja
tolong angkat bag di meja
pesan pada tuan bawa balik madu
jangan lupa tutup pintu.


Suami
akhirnya,

i
Bik!
tolong buka pintu
tunjukkan bilik puan punya madu
esok bantu puan baru
masak dan gosok baju.

CNM, 3/9/14

Belatok

Dikisah seekor belatok sensasi
riwayat hidup memang tak teperi
pandai membuat lubang berseni
tersebar masyhur serata negeri.

Ada pun belatok sungguh berseni
lubangnya cantik indah sekali
ketajaman paruh telah terbukti
terkagumi isi rimba didiami.

Ada pun tersebut pada satu hari
belatok merantau seberang titi
dijemput membuat rumah menteri
tersedia timbunan si kayu jati.

Riwayat tercatat sungguh ngeri
belatok ditegur si pari-pari
jangan ditebuk kayu jati
lubangnya tak akan menjadi.

Keegoan belatuk memakan diri
paruh pecah tak berguna lagi
nasihat pari-pari ditolak tepi
sudahnya belatok merana sendiri.

CNM, 3/9/14

100pp Teringin

Jujurnya aku ingin sekali menulis rencana dalam satu ayat yang panjang tanpa ada tanda-tanda bacaan. Hanya ada satu titik nokhtah di pengakhirannya. Namun hati ini merasakan satu kejanggalan. Mampukah pembaca menelahnya dalam satu nafas? Adakah kemahuan aku ini betul? Atau hanya nantinya mengundang satu kekaburan dalam memaknai yang tersurat dan yang tersirat. Aku belum pernah melihat tulisan seperti yang dimaksudkan. Cerpen, novel dan tulisan ilmiah dihasilkan sebegitu rupa untuk menzahirkan maksud sekaligus menarik pembaca menikmati isi kandung sesuatu penulisan sama ada berbentuk ilmiah atau pun karya kreatif. Jadi bagaimana aku ingin menjayakan hasrat andai terbukti perbuatan itu menongkah arus persuratan?

CNM, 31/8/14