Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

05 August, 2015

Dua Titik Enam

dua titik enam punya pngk
kena ganda usaha
tak boleh cari makan

dua titik enam punya skala richter
gempa yang tak terasa
boleh terus makan

dua titik enam bilion punya derma
ramai tak terkata
tujuh keturunan tak habis makan

CNM, 5/8/15

Laut kasih 369


kasih
puisi ini
ceritanya tentang kamu

kasih
hati ini hanya sekeping
dan kamulah yang menafaskannya

kasih
mata ini
tak terlepas dari bayanganmu.

CNM, 5/8/15

Laut kasih 368

kasih
dikau telah sedia mencuri hatiku

usah tertawa
aku kaubawa ke duniamu

senyumlah
merah bibirmu
semerah cinta di hatiku.

CNM, 5/8/2015

Laut Kasih 367

Berjanjilah kasih
tak akan pernah meninggalkan
diri ini.

Katakan
manis bibirmu yang basah
hanya untukku.

Serahkan laut kasihmu
biar teryakini
cintamu milikku.

CNM, 5/8/15

Duhai anakku

andai esok abahmu ini tiada
ingatlah
penciptamu adalah pelindung

senyumlah
jangan bazirkan air mata
terus gembira walau dalam kesedihan.

CNM, 5/8/15

Bukan tanya

Aku bukan tanya
kerana bertanya sudah jadi salah
selepas Tun M bersara
aku tak nampak projek mega boleh dibangga.

Aku bukan tanya
kerana bertanya tiada jawapan didedah
selepas Tun M menyerah tugas
aku tak nampak idea yang bernas.

Aku bukan tanya
kerana bertanya menyemput minda
selepas Tun M tinggalkan penanda aras
aku tak nampak penambahbaikan bertunas.

Aku nampak
rakyat kian diasak
dasar yang tidak memihak
beban hidup berlambak
nafas masyarakat sesak.

CNM 3/8/15

Malaysiaku

Malaysiaku

Hari memperingati
laungan keramat mendekat
sejarah kian lumat
hancur dari minda umat
tiada yang melekat.

Julai terkulai hangat
pecat memecat
gugur dikerat
ralat menghambat
satu negara terkulat-kulat.

Malaysiaku memberat
urus tadbir berselaput karat
kelihatan sagat menyagat
mempertahan pangkat
rakyat meluat.

CNM

Karatan Merdeka

Makin jauh
harapan tokoh
melihat bangsa teguh
berpadu ampuh
elak negara jatuh

integrasi kian lusuh
polarisasi membunuh
semangat patriotik meluruh
negara mungkin lumpuh
diterjah musuh

pemimpin tak bersusuh
berjuang tanpa paruh
rakyat dicucuh
dasar tak kukuh
sejarah mengeruh.

CNM, 26/7/15

MALAYSIA SEHATI SEJIWA


Malaysia
Ampuh di persada dunia
Lantunan usaha teraju bangsa
Anjur pembangunan buat rakyat jelata
Yang terbukti mencapai agenda
Sosial ekonomi terlonjak ke menara
Insani terbina berlandas ajaran agama
Anggun di mata dunia.

Sehati
Ego ditolak ke tepi
Hayati erti kemerdekaan sejati
Amanat bapa kemerdekaan digenggami
Tunjang kecemelangan dikecapi
Imbalan selayak dinikmati.

Sejiwa
Etika satu bangsa satu negara
Jelmakan dalam tingkah bicara
Institusi keluarga terbela
Warga masyarakat bahagia
Anugerah bangsa merdeka.

CNM, 26/7/15

Kehilangan

...bahawa kehilangan itu pasti
maka bersedia
dihimpit pilu
air mata akan meluncur laju
tak tertahan dek kesayuan menerjah kalbu

...bahawa satu ketika
akan tiba saat menyebak dada
melepaskan orang tersayang pergi
perginya tak kembali
hanya doa dapat mengiringi

...bahawa ketentuan-Nya
akan datang menguji
bertabahlah duhai hati
kepulangan dinanti
moga diredai.

Maha suci Engkau Ilahi.

CNM, 18/7/15

Dek Raya

Dek Raya

Atuk nenek
menyembelih ayam itik
bikin rendang regunya lemang,

ayah bonda
ternanti di anak tangga
rindu kelibat anak cucu pulang beraya,

yang berjiwa
pulang ke pelusuk desa
mencium tangan mak ayah di pagi raya,

yang tinggal di kota
dek tugas demi negara
berderai air mata ditemani takbir raya,

dalam kemeriahan suasana
yang miskin jangan dihina
hulurkan apa yang ada raikan bersama.

CNM

dan

...dan
...dan keheningan malam
mengusir lelah yang hadir mencelah.
...dan kedamaian malam
membelai sukma yang diterjah gelora.
...dan malam pasti berlalu
meninggalkan aku sendiri merona waktu.
CNM