Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

26 June, 2015

Gentarlah 2

Telah
diperlihat;
antara langit dan bumi
setiap satunya menjadi
dari langit dicurahkan air putih suci
dari kerak bumi ditumbuhkan pohon merimbuni,
lalu kuasa apa yang mengatur?
Beruntunglah bagi hati-hati yang akur.

CNM, 26/6/15

Gentarlah

Telah
diperdengar;
tatkala langit terbelah
tatkala mentari digulung
tatkala bintang-bintang berguguran
tatkala gunung ganang berterbangan
tatkala laut membuak-buak,
ke mana kita?

CNM, 25/6/15

Satu, satu pergi.

Satu, satu pergi
pergi tak kembali
yang tinggal menangisi.

Satu, satu pergi
pergi menghadap Ilahi
yang tinggal menginsafi.

Satu, satu pergi
pergi ke alam abadi
yang tinggal pasti menyusuli.

Satu, satu pergi
pergi untuk diadili
yang tinggal doakan moga diredai.

Satu, satu pergi
pergi mengikut takdir sendiri
yang tinggal ingatlah detik menghampiri.

CNM, 24 Jun 2015.

Netizen

Panjang
menelanjang
nota-nota dalam kain pejuang
serkap jarang
pun mungkin dari risikan
membentang.

Garang
memarang
tindak-tanduk si dalang
pantang
kesilapan dihidang
diserang.

Malang
semangat pahlawan
hanya kerana berita sesawang
entah benar entah rekaan
tanpa usul-periksa
memarak bara kebencian.

CNM

Terimaginasi Menu

Terimaginasi Menu

Sejuk halus
menyusur kerokong
berhalwa pandan
ah! Cendol sirap
selera menyirap.

Kekacang
bergaul keropeh ayam
bau mengancam
sambal taucu
selera melutu.

Nenas limau bali
gaul sekali
sengkuang timun batang
keropok keping rojak buah
selera bertambah-tambah.

CNM

Tergoda


Safia
kegebuan kulitmu
buat insan berahi.

Ajwa
kemanisanmu
buat insan ternanti-nanti.

Dua kurma
pembuka selera berbuka.

CNM

Teringat

Zaman remaja
di bulan puasa
pabila tiba senja
berbaris membeli seketul ais
buat menghilang dahaga
tigapuluh sen harga
satu palung dikerat tiga.

CNM

RAHMAT


Senja tadi
langit kebiruan 
disimbah rona senja
kemilau cahaya 
rahmat bakal tiba.

Malam ini
langit gemerlapan
kerlipan bintang 
bagai menanti
rahmat bulan suci.

CNM

Rakus-Jerlus-Menikus

Desas-desus
mereka membaham rakus
menongkah pasir jerlus
disergah terus menerus
kenapa menikus?

Pahlawan perlu menebus
andai berjiwa telus
usah mendengus
kepercayaan rakyat yang tulus
kembalikan dengan mulus.

CNM

Polos-Lolos-Bolos.

Polos-Lolos-Bolos.

Berbogel polos lolos
jual manusia bolos
senangnya menerobos
Malaysiaku keropos
dek ongkos
jadi sos kehidupan bos.

Semua boleh lulus
janji ada fulus
terjual telus
bengkok yang lurus
hilang mulus
tak tertebus
direbus hangus.

CNM

Banyak

Banyak
dan memang terbanyak
tapak-tapak kaki menapak
memijak titian ke puncak
di seberang mereka berkahak.

Banyak
dan memang terbanyak
muka-muka hapak merenyak
menghentak titian ke geledak
di atas mereka menyalak
mereka bijak.

CNM

Besar Kecil

Eh!
Ini negeri apa?
Hah! Negeri Kelantan!
Besarnya,
tapi bakpo ada namo mat saleh?

Eh!
Ini negara ke negeri?
Ya ke negara Singapura?
Kecil je,
pelik la tak ada pun nama mat saleh!

CNM, 24/5/15

Menang Sorak


Gegak
penuh sesak
merah berasak-asak
menang sorak
kalah diamuk todak.

Merah parah
saksi Kijang diratah
Singa mengaum meluas jajah.

Semangat yang menggelegak
jadi sejuk dek tiga biji peledak.

CNM, 24/5/15

Kijang lawan Singa

Kijang
akalnya panjang
kudrat mungkin kurang
perlu bijak atas padang
bikin sesak elak lapang
Singa lelah semak menghalang.

Singa
muda belia
kuat penuh tenaga
semangat juang membara
mengasak demi sebuah piala
meratah Kijang matlamat juara.

Kijang perlu berakal
Singa menerkam harus gagal
kudrat muda atau geliga si tua
caturan peneraju penentu kuasa
sama-sama saksi
mereka beraksi.

CNM, 23/5/15

Ramai Melihat

Bidalan dahsyat
perumpamaan kelat.

Segenap sudut kaurembat
tak mengira sudut tirus atau tepat
janji kaufikir boleh sumbat.

Ramai melihat rakam kelibat
ada penjaga gawang menyukat
ada penjaga garisan tercegat
ada pengadil mengekor rapat.

Curi ayam mengelat
tangan-tanganmu gian terlibat
engkau yakin jadi penjaring hebat
jangan lupa kiri kanan mencatat
kamera atas bawah ulang tayang ralat.

Bertaubat.

CNM, 17/5/15.

Teganya

Engkau memaksa aku
hadir menatap
senyumanmu di pelamin dusta
yang kauhias di atas kuburan cintaku
tanpa rela air mata jadi saksi
tunjang kasih kausirami racun berbisa
kesetiaanku dipersenda sandiwara
teganya engkau berbahagia di atas pentas deritaku.

CNM, 17/5/15

Janji Manismu

Setahun yang lalu
kudengar janji manismu
seluruh warga guru
tertunggu-tunggu
konon ada pemberian "komputer buku".

Setahun berlalu
tiba lagi hari guru
terukir indah janji manismu
bekerdipan di dada langit biru
tak tergapai dek tangan guru.

Aku bahagia dengan "komputer bukuku".

CNM, 17/5/15

Seloka Rakyat

Pemimpin diangkat
tempat bergantung hajat,

parti dimartabat
pejuang nasib dari melarat,

khazanah tanah melayu hebat
beratus tahun diberi berkat,

kekayaan negara tercatat
agihan tak begitu tepat,

rakyat diayat,
ekonomi dimanipulasi barat,

pemimpin menyemat
rakyat pandang terkulat-kulat,

cukai makin berat
kos hidup mencanak meningkat,

rakyat mungkin tukar pendapat
pilih yang mampu ikhlas berkhidmat.

CNM, 17/5/15

Yang Tua Kecewa

Yang Tua Kecewa

Dengar orang tua
diingat diberi petua
apabila orang tua kecewa
hikayatmu tak akan lama
kata mereka bagai doa.

Orang tua itu pendokong
kerana dia kamu disokong
cukup sudah mengelentong
lontaran kata kosong
buat kamu hilang penyokong.

Muhasabah
perbetul tindak tingkah
kerat buang barah
pimpinanmu mungkin cerah
jangan terhantuk baru tengadah
sesal tak sudah.

CNM, 17/5/15

Dunia Kini


Dunia kini
dunia globalisasi
penuh agenda provokasi
muslihat penuh strategi
demi kelangsungan diri.

Hadap jangan lari
bina jati diri
ingat kita ada Ilahi
Tuhan pemilik langit dan bumi
kepada Dia mohon diberkati.

Dunia hasad dengki
cambah hari ke hari
pudar sudah sunnah nabi
manusia hilang pekerti
kemanusiaan ditelan emosi.

Dunia di hujung jari
tekan saja papan kekunci
terpapar apa yang dicari
yang elok yang keji
tepuk dada tanya hati.

Dunia kini
ditakluk teknologi
manfaatkan ICT
dalam mencari reda Ilahi
mudahan tiada rugi.

CNM, 16/5/15

Guru itu

Guru itu
kawan bukan lawan,
guru itu
pembimbing bukan penyeleweng,
guru itu
pemotivasi bukan pengkeji,
guru itu
pemudah cara bukan pembinasa,
guru itu
cahaya bukan gelita,
guru itu
mengajar yang mulia bukan penderhaka,
guru itu
penunjuk jalan sejahtera.

CNM, 16/5/15

Lalu bagaimana?

Hari-hari yang dulu
aku pujuk kalbu
satu, satu
sahabat berlalu
menghala ke pentas baru.

Hari-hari bakal kulalu
entah bagaimana berlaku
rasa tinggal aku
dalam dunia penuh isu
bertahankah aku di situ.
Lalu bagaimana?

CNM

Kontradiksi


Katanya manis
kata kita hamis,

bicaranya bertumis
bicara kita sadis,

ungkapannya bermadu
ungkapan kita palsu,

suaranya bab buluh perindu
suara kita bab hempedu,

tapi satu aku tahu
dalam perutnya penuh najis berbau!

CNM, 9/5/15.

Hang Kata

Hang kata
molek-molek belaka
untung negara
maju sejahtera
tapi mengapa rakyat kian tersiksa?

Hang kata
dengan mulus bicara
barang tak naik harga
cuma subsidi dah tiada
tapi mana pergi wang negara?

Hang kata
manis bab air gula
pertumbuhan ekonomi ada
banyak peluang niaga
tapi mengapa bertambah hutang negara?

Hang kata
dan Hang akan terus berkata
negara tak apa-apa
hakikatnya rakyat dipanggang bara
tidakkah Hang melihat api derita akan menyala?

Hang tolong baca
rakyat di bangsal ternganga
rakyat di dangau tertanya
Hang di istana permata
Hang teguk minuman berperisa
mereka hirup air telaga.

Hang masih megah berkata
aku dah tak terkata
menitis air mata
lihat Hang meraja
rakyat dikikis jiwa raga.

CNM, 9/5/15

Macam kenal

Dicucuk belakang
diberi lampu tinggi
aku ketepi.

Dipotong laju
mengaum-ngaum
aku senyum.

Cilok kanan
cilok kiri
aku tak sedap hati.

Dari jauh berasap
aku nampak bawah lori
macam kenal itu Myvi
maaf tak dapat berhenti.

CNM, 5/5/15

Pukulan Myvi


Aku ngeri
aksi myvi
cilok sana
celah sini
aksi berani mati.

Aku ngeri
gelagat myvi
laju gadai nyawa
tak ingat anak bini suami
bagai ada nyawa ganti.

Al-fatihah
kerana myvi
tiga nyawa pergi
tinggal anak kecil lagi
menangisi tanpa mengerti.

KEJAMNYA KAMU MYVI.

CNM, 4/5/15.

Di Kasut Bos

Kelihatan mudah
mengatur arah
minda ligat diperah
strategik padu dikerah
pacu ke mercu anak buah.

Kelihatan gagah
adakala goyah
diasak segenap arah
kawal emosi tepis amarah
jadi contoh pemimpin tabah.

Di kasut bos
tidak mudah
diburu lelah
pantang silap salah
maruah tercalar sudah.

Sabar bos
bina empayar
korban diri akan berbayar.

CNM, 1/5/15

Realiti itu Guru

Mereka
subuh dingin
bangkit mengatur langkah
menjajat pohon-pohon getah
berbahasa kerbau di sawah
menebar jala di muara resah
demi hari depan anak amanah Allah.

Aku, kamu dan mereka
subuh dingin
bangun menyusun langkah
menjajat bilik-bilik darjah
mendidik anak bangsa sedarah
maju ke depan dengan gagah
duduk berdiri sama megah
negara bangsa bermaruah.

Realiti itu guru
membina ilmu menyempurna akhlak.

CNM, 1/5/15

Pekerja Sihat, Produktiviti Meningkat

Indah tema yang tercatat
hari pekerja semua peringkat
majikan ambil ingat
beri pekerja cukup rehat
baru adanya sihat
bertugas penuh semangat
produktiviti harus meningkat
usah hanya pandai perah keringat
kebajikan pekerja disiat-siat
kemanusiaan tak diangkat
hanya fikir hasil bertingkat-tingkat
tanpa sedar tindakan merencat
pekerja ditekan mampat
sering kali buat nafas tersekat.

Renung-renung yang berpangkat.

CNM, 1/5/15

Ruang Peluang


Ruang Peluang

...dan mentari saban waktu muncul membawa sinar. Terhidang peluang. Terbentang ruang. Rebutlah sebelum senja mencelah dan malam melebarkan sayapnya.

CNM

Syair Kerinduan

Pagi-pagi beburung galak berkicauan
menyanyikan lagu melodi keriangan
aku duduk termenung sendirian
mengingati buah hati berpergian,

Mentari muncul membawa sinaran
dedaun menghijau beri ketenangan
aku berdoa sepenuh harapan
biar si dia dalam kesejahteraan,

Embun menyejat rumput kekeringan
basah disiram hujan perolakan
aku menanti sebuah kepulangan
menepis kegusaran penuh harapan,

Angin malam sepoi berpupukan
menerjah ke pipi membelai perasaan
aku sendiri mengimbau kenangan
waktu ke waktu dalam pelukan,

Terbit bulan cahaya berserakan
terang benderang menyuluh kegelapan
aku terkenang saat berduaan
memadu kasih mengenggam kesetiaan.

CNM, 16/4/15

Suatu Senja

Rona jingga
bawa petanda
terbuka lapang dada
indah nian tercipta
warna-warna semesta
Dia sang pencipta
maha berkuasa seluruh cakrawala
dengan kata "kun" maka jadilah segala.

CNM, 22/4/15

Rebel Anak-anak

Pak mak
muhasabah
kenapa anak-anak
melepas geram
meragam.

Cikgu
lihat ke dalam
kenapa anak-anak
menyimpan dendam
tiada azam.

Pemimpin
contohkan
amalan terpuji
biar anak-anak mengenali
jati diri bukan sajian berseligi.

CNM

GST

Guru sahabat terbaik
kongsi ilmu ikhlas mendidik
dari buta tulis baca jadi celik
lahir generasi cerdik.

Guru sahabat terbaik
banyak membimbing dari mengherdik
ajar tulis baca walau hati dicarik
sabar diduga kerenah anak didik.

Guru sahabat terbaik
walau perasaan sering terusik
wawasan negara jadi penarik
laksana tugas dengan senyuman menarik.

Guru Membina Ilmu Menyempurna Akhlak.

CNM, 14/4/15

Aduhai Menteri

Tuan diangkat
mungkin kerana hebat
bercakap tak tersekat-sekat
lancar memperdebat
tapi jangan sampai banyak ralat.

Tuan patutnya membantu
bukan menambah celaru
rakyat kian buntu
bicaramu merapu
tak sepatutnya begitu.

Tuan khabarnya ijazah kelas satu
nak menyata siasat dulu
fakta ke auta seruan itu
kelak jadi isu
malu.

CNM, 12/4/15

Yang Mana Satu?

Kata menteri
GST turunkan harga barang
wah! Bagusnya
isteriku tak payah masak selalu
makan kedai jimat waktu.

Kata menteri
pelajar universiti kena masak selalu
elak GST makan di luar
ironinya
bila pula boleh memasak di hostel?

Zaman aku belajar tak dibenarkan
adakah aku ketinggalan?

"Cer citer".

CNM, 11/4/15

Duit


Bukan hak kita
bila gaji tiba
bayar sini sana
habis semua
macam akaun tumpang saja.

Bukan hak kita
BRIM pun sama
rakyat berbelanja
bayar GST berganda
macam main silap mata.

Bukan hak kita
hanya untuk senyum seketika
banyak buat pening kepala
tak cukup nak cari di mana?
ada banyak jadi sasaran yang haloba.

CNM, 11/4/15.

Malang

Insan-insan
yang cuba menggilap
karat dan kotoran
tidak disokong
sebaliknya
ditaburkan debu
dicalitkan lumpur
dibunuh sebelum ajalnya.

CNM

Harung

Titis-titis hujan
di lorong
tiada jalan pulang
dalam kuyup kedinginan
tabahkan
laras perimbangan
biar tiba
tanpa kosong tangan.

CNM

Hanyut

Dan perjalananmu terapung-apung
dibawa arus ke muara
ingatlah, ada bongkahan
mengertilah, ada jurang
sedarilah, ada tubir
yang bisa memusar
ke dasar lubuk kesesatan
ikuti alir arus kebiasaan
dengan nafas yang dalam
singgah ke tebingan
tinjau arah laluan.

CNM

GST

sahabat
apa pun terimalah GST
biar ukhuwah bawa ke mati

sahabat
betapa perlunya hargai GST
nilainya disanjung tinggi

sahabat
jangan merunggut pasal GST
GST yang dicari

sahabat
GST perlu dijaga
biar kita Geng Sampai Tua.

CNM

Dedalu

Pohon nan merimbun
tumbuh subur memayung
kelihatan jelek
tatkala dihinggapi dedalu
nantinya ia layu kekeringan
rebah diperah
tanpa rasa bersalah.

Di bahumu
jangan ada dedalu
cantas tanpa segan silu.

CNM

Engkau Dahulu

Jika nak difahami
kaudahulu yang memahami,

jika nak didengari
kaudahulu yang mendengari,

jika nak membetulkan
kaudahulu yang perbetulkan,

jika nak menyedarkan
kaudahulu yang punya kesedaran,

pendek kata
kaudahulu mendahului segala,

Jika telunjuk lurus,
kelingking pun kena lurus.

CNM, 3/4/15.

Tak Serupo Mulo

Demo loni
tak serupo mulo
banyak tinggi
rakyat pening palo.

Demo loni
tak serupo mulo
itu ini
bayar lebih dari skalo.

Demo loni
tak serupo mulo
salah ngundi
baru pade muko.

Demo loni
tak serupo mulo
shoping sekerat guni
duit habis blako.

Demo loni
tak serupo mulo
cukai sana sini
sedia pitih se blango.

CNM, 2/4/15

Tabik Mydin

Saat rakyat rungsing
Mydin beri berita penting
15 juta serap kos GST
beginilah contoh dinanti.

Saat peniaga melonjak harga
Mydin muncul wira
pertahan harga barang
rakyat rasa lapang.

Tabik Mydin
pilih jalan timbang rasa
kurangkan derita rakyat jelata
dek kos sara hidup menyesak dada.

Jom ke Mydin!

CNM, 31/3/15

Ulang Tahun 96 KHS

Tanggal 1 April 2015
genap usiamu sembilan puluh enam tahun
menghampiri satu abad
penuh sejarah yang terhebat
tercatat dalam dairi keramat.

Anak-anakmu telah dewasa
menempa nama dipersada negara
cucu-cucumu meniti ke menara
menjejaki mereka yang berjaya
itulah KHS yang dibangga.

Tarikh ini diingati semua
tertubuhnya institusi berharga
mendidik anak bangsa
KHS pembina warga sejahtera
demi maruah negara dan agama.

Warga KHS semua
bertaut padukan tenaga
bangunkan suatu nama
catat sejarah ternama
lahirkan modal insan berhati waja.

Adanya KHS
anda berdiri hari ini
simpan dalam lipatan memori
untuk dikenang suatu hari
di sini anda membina jati diri.

Warga pendidik KHS
teruskan visi dan misi
bina modal insan sejati
cabaran zaman menjadi saksi
tugas mendidik perlu diperkasai.

Selamat Ulang Tahun ke-96 KHS.

@KHS1919

GST O GST

GST O GST
Rakyat makan ikan kering
pemimpin makan daging,

GST O GST
rakyat naik kenderaan awam
pemimpin naik jet persendirian,

GST O GST
rakyat kepalanya rungsing
pemimpin jalan pusing-pusing,
GST O GST
rakyat pakai lusuhnya kain
pemimpin melaram pakaian Britain,

GST O GST
tak banyak tahun lagi nak mengundi
barangkali ada yang hilang kerusi.

Guano senyap ter!
O
Guano senyap ter!

CNM, 31/3/15.

Hujan Tiba

Tadi baru aku berbicara
kalau rindukan rintik hujan
tunggulah musim kemarau tiba
belum pun sempat kemarau mesra
tempias hujan membasahi pepohon melata
beburung dapat mandi manda
rerumput tersenyum hilang dahaga
dan hari meredupkan dingin ke dada.

CNM, 22/3/15

Rindu Hujan


Jika kamu rindukan rintik hujan
tunggulah musim kemarau
bahang membakar menitiskan keringat dingin
mengalir membasahi kolam harapan
dan tumbuh anganan
lalu terangkat kedua tangan
memohon doa dimakbulkan.

CNM, 22/3/15

Terima kasih

Terima kasih
ibu abah
mak ayah
mama papa
mummy daddy
telahku pilih
dirimu memegang amanah
menumpang kasih ke Jannah.

Ya Rabb
kurniakan kami kesihatan
anugerahkan kami kegembiraan
limpahkan kami kesejahteraan
hidup penuh kesabaran
dalam menempuh sedikit ujian
kerana rahmat dan nikmat-Mu janjikan
bahagia di hari kemudian.

CNM, 21/3/15

"Selamat menyambut hari Sindrom Down Sedunia"