Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

20 March, 2015

Metamorfosis


Insan
ditekan tertekan
berlipat semangat
mampat padat kuat
mantap.

Insan
hatinya memejal
melantun kebal
bereaksi bebal
kepada yang dangkal
bermain tangkal
mendajal.

CNM, 19/3/15

Seakan Mengerti


Langit petang
bertemankan mendung
bakal menangisi

dentuman guruh
panahan petir
seakan mengerti isi hati

bergelojak jiwa kerana mungkin
terpaksa melepaskan dikau pergi
tinggal kami mencari ganti
yang tak akan seperti.

CNM, 9/3/15.

Jangan Dialih

Tolonglah mengerti
jangan dialih
pohon tempat kami berteduh
silaranya melindung kami
dari panas dari hujan.

Kami perlu
dahan-dahan teguh
buat kami berbuai
memasang angan
ke puncak jaya.

Sekali lagi
tolonglah
kami tak sanggup
menanti pohon lain tumbuh
belum tentu merimbun memberi teduh.

CNM, 9/3/15.

Setahun Berlalu

Tragedi meruntun kalbu
hilang lenyap di awan biru
tinggal waris setia menunggu.

Tanpa jasad ditemu
pencarian makin buntu
ke mana lagi harus dituju.

Banyak jiwa terpaku
tiada jawapan merungkai isu
tinggal kekal menikam kalbu.

Hanya Dia yang satu
hanya puak yang beragenda mungkin tahu
di sebalik MH370 hilang dari radar malam itu.

CNM, 8/3/15

Air Mata Syukur


Tugasmu sukar diukur
berjuang walau dikukur
ikhlas penuh jujur.

Benih yang subur
kalau bersalut lumpur
kalau digilap jadi masyhur.

Hari ini air mata syukur
laju meluncur gugur
kerana usaha tak tersungkur
telah tertuai apa yang digembur.

kepada-Mu Ya Rabb
berkati usaha kami
mendidik insani
demi pertiwi.

CNM, 3/3/15

Nyanyian Pagi

Nyanyian Pagi

Di sini
di daerah masih hijau
gegak kicau
beburung menyanyi
sampaikan salam pagi
bangkit insan cari rezeki
telah Allah janji
yang berusaha pasti menjadi.

CNM, 1/3/15

Lopak

Sehebat mana ciptaan
seindah mana garapan
semantap mana ungkapan
pasti ...kan ada
lompang
lubang-lubang
kelemahan berkubang
tuntut tambah baikan
hakikat yang tak bisa diabaikan.

CNM

Jerit Tanpa Suara

Di sini
di kota berneon
batin menjerit-jerit tanpa suara
merintih tanpa air mata
menongkah tanpa lantunan kata
tenang mengenap dalam keladak sengsara
damai menyerap dalam gelojak rasa.

CNM, 11/2/15

Kuala Lumpur

Kuala Lumpur

Walau di cerukmu banyak lumpur
walau ramai yang menggelupur
walau ramai yang berdengkur
walau ramai yang tak berdapur
walau ramai yang kebulur
senyumlah Kuala Lumpur
neon bisa mengaburi duka
pengcakar langit membayangi
sungai-sungai mengukir tenang
hamismu ditelan karbon-karbon metropolitan.

CNM, 11/2/15

Air Mata Titiwangsa

Air Mata Titiwangsa

Air mata titiwangsa
menerjah kampung bonda
meninggalkan pilu luka.

Ranap harta benda
amukkan paling bisa
lantunan provokasi manusia.

Kamu amati
banjaran itu disakiti
sesekali asakkannya melampaui
jangan terduduk menangisi.

CNM, 16/1/15

Sendiri


Mak!
Setelah kaupergi
hilang kasih sejati
tak berganti
aku kian sendiri.

Mak!
Aku rindu
bicaramu
air mata ini
membasahi pipi.

Mak!
Moga ketemu kita
mendapat syafaat
dianugerah
syurga-Nya.

CNM, 14/1/15

Lecak


Air mata menyejat
tinggal hati yang lecak
renung dahsyatnya landskap
hasilan tangan-tangan keparat
yang buta tuli menjarah.

Kepiluan ini
dalamnya menikam asa
bukan kepalang buat mengangkat muka
terbeban dek amukan alam ternoda
natijah tak terjangka.

Insaflah
alam itu bernyawa
responsifnya tak terduga.

CNM, 13/1/15