Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

11 January, 2015

Sukar

Nun
di daerah yang ranap
dek arus dan selut mengenap
yang tinggal cuma mengharap
bantuan tiba pulih semangat
ujian ini terlalu berat
untuk kembali tegak.

Turun
hulurkan jabat
sumbangkan kudrat
sapu air mata 
lepaskan trauma jiwa
pohon doa
tabahkan hati mereka.

CNM, 11/1/15

Kawan

Mata, mata
hanya mampu merenung langit
mencari jawapan
alam tidak lagi mesra
dan mungkin
Tuhan mula bosan
manusia berbangga dengan dosa-dosa
membinasakan diri dengan tangan sendiri.

Matahari
laut
bulan
bintang
diam membisu
rerumput
pepohon
tunduk layu.

Bersahabatlah dengan alam
demi reda-Nya.

CNM, 3/1/15

Moga Ada Sinar

2014
begitu banyak air mata Malaya
menitis menuruni lurah titiwangsa
membanjiri lembah duka
satu, satu dugaan menimpa
peringatan kembali kepada-Nya.

2015
bakal tiba
moga ada sinar suria
menyuluh kelam sengsara
mengubati dalamnya luka
dimakbulkan akan doa
dikurnia sejahtera
dijauhkan petaka.

Ya Rabb limpahkan keredaan-Mu.

CNM, 31/12/14

Kau Lihat

Tsunami
gempa bumi
tanah runtuh
kepala air
banjir
puting beliung ...

tiada daya manusia
lemah selemahnya
maka
bila lagi kamu ingin kembali?
kepada siapa kamu ingin beriman?

Dia Tuhan sekian alam.

CNM, 30/12/14

Tiada Pilihan

Aku
atas perintah-Nya
menyimbah bumi.

Aku
mencari bukit bukau
meresap menyelinap
kembali ke laut
hampa
semua diteroka.

Aku
tiada pilihan
memenuhi alur-alur
melimpah
membanjiri kawasanmu
kerana tangan-tanganmu
mengubah laluan asalku.

Aku kesal
kerana menyusahkan kamu
kamu sesal?

CNM, 24/12/14