Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

29 August, 2014

50pp Realiti


Lebih separuh abad dititi
mengekal tautan jabat yang dimateri
jatuh bangun hadir menguji
kesatuan hati diterjah polarisasi
integriti menipis di dada sanubari
tikaman seligi ini bukan mimpi di siang hari
satu realiti yang mendatangi
menaji retak yang kian dibimbangi
menghancur lebur sebuah lafaz janji
tadbir urus di bawah satu panji.

CNM, 29/8/14

28 August, 2014

50pp Merdeka.

Setelah tumpah berlaksa air mata
setelah begitu tebal lumpur sengsara
laungan keramat Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Bergema mengubati jiwa-jiwa luka seMalaya
tercatat pada tiang sejarah dunia
negara merdeka tanpa ufti darah satria
demi bangsa negara dan agama
bersatu warga sepakat kata
berpadu menjunjung panji-panji setia
tunduk di bawah payung Seri Paduka.

CNM, 28/8/14

Payung Kuning


Tangan-tangan berselut
sembah derhaka
mengangkat dada
titah istana
dipersenda.

Payung kuning
dicalit jebak musang
serata alam terbeliak
menyaksi onar berkahak
terhidu bau kurang enak.

Tuanku bukan budak-budak.

CNM, 28/8/14

Kamu Penulis dan Aku Pembaca

Kamu adalah penari jari
menghadirkan lenggok bahasa
mengalunkan melodi bicara
membuka mata minda
merenung aksara.

Aku adalah pembaca
melerai pintalan akal
merungkai siratan makna
mengutip tanda
mengamal mencari reda.

CNM, 28/8/14

Calon


UPSR
ramai tak terkira
harapan ayah bonda.

PT3
agak terpinga-pinga
baru diberitahu ada periksa.

SPM
penentu ke mana hala
hidup alam dewasa.

STPM
selangkah jadi siswa
usaha tentu jaya.

MB
seorang saja
baik-baik nanti Sultan murka.

CNM, 27/8/14

Saat Terindah

Tanya sama wanita
saat paling terindah
aku kira pada detik;
i
seorang lelaki dicinta
melafaskan ijab dan kabul
aku terima nikahnya

ii
seorang wanita
yang sarat sembilan purnama
mendengar tangisan zuriatnya
dan

iii
seorang ibu
yang mendengar panggilan mak
buat pertama kali dari benih sucinya.

CNM, 26/8/14

Lapangkan Dada


Esok akan tiba
pun begitu belum tahu apa menjelma
lapangkan dada
esok sama-sama bertemu mata
doa saja yang elok dikurnia
mohon dijauhkan petaka.

Takdir penentu segala.

CNM, 24/8/14

Owi PT3



Cikgu Owi kata
kamu kena cuba
jangan putus asa.

Pak menteri kata
sistem ini akan berjaya
cikgu-cikgu jangan banyak tanya.

PT3
dulu tak ada periksa
murid hanya buat kertas kerja
pak menteri tak semena-mena
ubah jadi ada periksa.

Murid pening kepala
cikgu Owi sesak dada
ambo tak tahu nak kata apa.

CNM, 24/8/14

Kamu! Ya Kamu!

Kamu! 
Ya kamu!
Pelapor berita beretika
pastikan sahih cerita
istilah biar tepat makna.

Esok-esok kamu ditanya.

CNM, 24/8/14

Mutar Itik


Demo kecek kato molek
demo kecek kato realistik
demo kecek kato holistik.

Kawe duk tengok kerja makin berat
kawe duk kelih sistem makin kalut
kawe duk perati pentaksiran banyak songeh.

Saing-saing kawe duk mutar itik
pusin kiri pusin kane pening tubik.

Pah lagu mano nak budak cerdik?

CNM, 24/8/14

Ayah

Ayah!
Sampai hatimu
tinggal daku dalam dahaga kasih
belum pun puas
berbaring di lenganmu
ayah, wangianmu mengubat rinduku.

Ayah!
Siapa nanti;
yang akan mengajarku bermain layang-layang
yang akan menemaniku memukat di musim tengkujuh
yang akan menungguku pulang dari mengaji
terlalu cepat engkau pulang tanpa melihat kedewasaan ini.

Ayah!
Moga kamu di sisi yang beriman.

CNM, 22/8/14

22 August, 2014

Tebal

Maka
yang tebal
dipuja
dibangga
digilai semua;

i
Tebal soleknya
menutup kejelekan rupa
dilihat membuka
ghairah lelaki bernafsu kuda
hanyut dalam dosa.

ii
Tebal poketnya
menonjol kemewahan berbelanja
dilihat meracun minda
wanita materialistik diperdaya
lemas dalam keasyikkan dunia.

iii
Tebal khazanahnya
menggiur selera pemimpin haloba
membuak ketamakan di dada
kuasa direbut dengan apa cara
demi matlamat dihalakan cara.

Biar nipis segala asal tebal iman di jiwa.

CNM, 22/8/14

Kepiluan

Menyentuh hal yang tak berdosa
kepiluan menusuk dalam ke lubuk sanubari
biar tiada ikatan persaudaraan
seluruh dunia terasa
kejamnya yang beragenda.

Menitis air mata
meruntun jiwa
pedih terluka
hancur sukma
mengenang mangsa.

Tinggal kenangan
buat dikenang
mengubati rawang
nasib malang
dan telah hilang sebuah harapan.

CNM, 22/8/14

Maafkan Ibu

Duhai anak
maafkan ibu
yang pergi meninggalkanmu
belajarlah hidup tanpa ibu
dengan doa dan restu
kejar cita dan cintamu
ibu akan menunggu
moga kita ketemu dan bersatu
di sisi Tuhan yang satu.

CNM, 22/8/14

19 August, 2014

Selangor

Selangor

Benderamu
kibarannya lesu
dek tadbir urus bercelaru.

Kerusi eksekutifmu
direbut yang bernafsu
tadbir urus belum tentu berilmu.

Rakyatmu
harapnya tak merapu
tersalah pilih yang berambut palsu.

Renungkan sahabatku
sebelum terjarah negerimu
berbuatlah sesuatu
agar tiada sesal yang membelenggu.

CNM, 19/8/14

17 August, 2014

Aku

Menunjuk jalan
memimpin tangan-tangan
membetulkan pandangan
makhluk bernama manusia 
supaya nantinya
ada pewaris menyambung amanah
ada pelapis mentadbir tanah tumpah darah.

Di kilang ini
silap kata-kata membunuh jati diri
tersalah bicara menelanjang maruah ibu pertiwi
sedikit senang banyak susah
diasak majikan didesak penjaga
melahir modal insan 
tiada kecacatan kemenjadian.

CNM, 17/8/14

14 August, 2014

PAS!


PAS!

Dah cuba duduk dengan DAP/PKR
dah berjabat tangan erat
hasilnya dapat beberapa negeri.

Apa kata
tolak ke tepi hal peribadi
tautkan tangan dengan UMNO
gabung secara pro
tadbir bersama
demi negara bangsa dan agama.

CNM, 12/8/14

Aduh!


Aduh!

Ke mana
harus diletak wajah
tak diperkenan menghadap
apa lagi nak diucap
sudah jelas pada rakyat.

Di sana
masih menunggu
pulanglah majukan melayu
bangsamu perlu dibantu
hentikan mengharu-biru

CNM, 12.8.14

11 August, 2014

Bingkisan buat TPM

YB TPM
benar UMNO perlu faham Melayu
sebelum parti ini tersungkur dalam PRU
ambil langkah jitu
kaji apa yang rakyat mahu.

YB TPM
aku mahu kata padamu
dalam fikiran Melayu
mungkin banyak isu
cuma tak diambil tahu.

YB TPM
renunglah bicaraku
jangan perlekeh isu Melayu
jangan perbodoh rakyat yang menunggu
jalankan amanah rakyat yang tergalas di bahu
berikan hak rakyat dari khazanah Tanah Melayu.

YB TPM
ikhlas daripadaku.

CNM, 11/8/14

09 August, 2014

Pecat Memecat

Dulu
kesian dipecat
dari kedudukan berdarjat
dicanang segenap tempat
hasil niat jahat
pihak dengki khianat.

Kini
tak sangka memecat
demi kedudukan berdarjat
buat tapak melompat
dari satu tempat ke satu tempat
walau kelihatan jahat.

Dipecat tak semesti tak boleh memecat
pecat memecat adat yang ada agenda dahsyat.

CNM, 9/8/14

Tanah Melayu : Malaysia

Tanah Melayu : Malaysia

Tanah Melayu
tersohor segenap penjuru
satu dunia memberi tumpu
di perut bumi di belantara
hasilnya kaya raya.

Tanah Melayu
dijajah dijarah waktu ke waktu
perit pedih masih terasa di kalbu
laungan Merdeka bagai melepas sengsara
mengatur langkah bangkit dari derita.

Tanah Melayu
pemimpinnya berpadu
tetap hala tuju
tuntut merdeka di meja bicara
elak sengketa hindari huru hara.

Bijaksana menjaga rakyat jelata.



Malaysia
bumi warisan merdeka
bebas membina tamadun bangsa
mengharapkan gah di mata dunia
dalam acuan dicita.

Malaysia
gemerlap infrastrukturnya
pelbagai mercu tanda
diperkata serata maya
sayang, warga terbelenggu minda.

Malaysia
kian pudar warna perpaduannya
kian terlerai ikatan toleransinya
kian berselirat jalan sejahtera
kian bercelaru teraju negara.

Waspada, sebelum tergadai maruah merdeka.

CNM, 8/8/14

Gelap


Gelap

Tidurlah
jika gelap malam itu
menghadirkan sesak dada
membakar jiwa meracun minda.

Biarkan lenamu
menggamit mimpi indah
datang mendamaikan hela nafas
tersejat bisa kegelapan yang merimas.

CNM, 6/8/14

Kerusi MB


Kerusi MB

Satu kerusi
sangat digilai
pusing kanan pusing kiri
melobi diri
diberi peluang menduduki.

Satu kerusi
direbut perempuan lelaki
anak bini suami
jadi penyokong sejati
berebut kerusi bila muzik berhenti.

CNM, 6/8/14

Kosong


Kosong

i
Berasa kosong
hentikan melopong
imaginasikan ada penyokong.

ii
Kelihatan kosong
jika minda dipesong
sedang realitinya ada lorong.

iii
Bual kosong
boleh jadi kelentong
hati-hati dengan 'suara tong'.

CNM, 2/8/14