Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

31 October, 2012

Tengkujuh Datang

Tengkujuh Datang

...hati mak ayah walang
hujan mencurah bimbang
air banjir menenggelam
rosak tanaman
mati ternakan...

...hati anak-anak riang
melompat main air hujan
berenang dalam kubang
merah mata baru pulang
kulit kecut lama berendam...

...hati nelayan melayang
tak dapat ke laut tangkap ikan
rezeki hilang
kais pagi kais petang
nak isi perut anak lima enam orang...

...hati penoreh getah kontang
pokok basah tak boleh dikerjakan
termenung menanti mentari datang
bawa cahaya terang
ada pendapatan...

Oh! Musim hujan, macam-macam hal kejadian.

CNM

Hujan ini

Hujan ini

Hujan ini
mengembalikan ingatan
musim tengkujuh di kampung halaman
berbaju hujan
berkasut Phua Chu Kang
meredah tepian jalan
memerhati sepat puyu haruan
melompat menongkah arus air longkang
masuk ke dalam bubu yang kutahan...

goreng kunyit aku makan kenyang.

CNM

aku buat pilihan

aku buat pilihan

antara;
kegebuan laman maya
dan
keseksian tilam dan bantalku...

naluri kesukaan
tewas kepada
nafsu tidurku...

CNM

Laut Kasih 334

Laut Kasih 334

dingin hujan
mempeluwapkan wangian laut kasihmu
menusuk dalam-dalam ke kalbu
dan aku jadi sangat teruja
mendambakan hangatan asmaramu
sepanjang malam yang membuai...

CNM

Inflasi

Inflasi

semakin menjadi-jadi
barang itu ini
harga makin meninggi
pengeluar main tarik tali
guna kuasa memonopoli
pengguna yang makan hati
boleh diserang darah tinggi...

pelarasan gaji
bonus diberi
menambah kuasa beli
tanpa disedari
panawaran dimanipulasi
pihak-pihak yang bernafsu nafsi
mengejar keuntungan dari situasi...

pengguna kena berpengetahuan tinggi
pengguna kena bijak berdiplomasi
guna kuasa majoriti
tidak membeli
menolak yang melampaui
ada berani?
memboikot yang menaikkan harga sesuka hati...

CNM

Muka Buku

Muka Buku

dalam muka buku
boleh dapat banyak ilmu
elak dari hal merapu
tentu bertambah mutu...

dalam muka buku
boleh kita jumpa tanpa bertemu
berkongsi idea-idea baru
pengetahuan bertambah jitu...

dalam muka buku
boleh isi ruang dan waktu
tidak jadi orang dungu
tak tahu menahu era dunia baru...

dalam muka buku
ada banyak juga hantu
mengambil kesempatan menipu
mereka yang tunduk pada nafsu...

dalam muka buku
kena pandai pilih bulu
kalau tak haru biru
jadi mangsa teknologi baru...

CNM

29 October, 2012

Perempuan Palsu



geli aku
melihat lengguk tak menentu
sekejap lemah lembut macam ratu
sekejap keras pejal macam batu
keliru...

perempuan palsu
badan pejal hati tisu
kembalilah ke asal kejadianmu
hidup dalam restu
tak terkeliru...

CNM

Lelaki Ini

Lelaki Ini

sahabat
apakah kamu
menyedari bahawa
bayangan lelaki ini
yang sentiasa ada di sini

sahabat
apakah kamu
merasakan bahawa
bukan hanya dirimu
memberi waktu bertamu di sisi lelaki ini...

sahabat
apakah kamu
mengetahui bahawa
nukilanmu dihargai
oleh seorang lelaki ini...

CNM

Laut Kasih 233

Laut Kasih 233

kerana laut kasih
yang telah engkau limpahkan
aku berjanji
akan sentiasa menjagamu
selagi ada hayat ini...

CNM

Dalam Stadium

Dalam Stadium

aaa! air, air
kacang ada
jagung ada
burger ada
epal hijau pun ada.

aaa! air bang, air...

CNM

Cinta Berbilas

Cinta Berbilas

andai kaumiliki cinta berbalas
pastikan ia berbilas
suci dan ikhlas...

andai kaumenempuh cinta tak berbalas
pastikan ia dilepas
tarik diri lekas
sebelum terbabas...

CNM

Celoreng


Rindu Membakar

Rindu Membakar

rindu membakar
setelah kaumenjanjikan kebahagiaan
namun kauperolokkan dengan gurauan berbisa...

rindu membakar
setelah kaumenjanjikan kesetiaan
namun kaupersendakan dengan sandiwara durjana...

kauhulurkan dahan rapuh
yang kautahu aku tak bisa berpaut
menyalakan rindu...

CNM

aku pasti

aku pasti

tiada siapa yang mampu
membaca ayat-ayat pada kelir hati
yang terpamer di kamar sukma
melainkan terpamer
dek ukiran air mata pada wajah
dek lakaran senyuman di bibir.

senyum dan tangis bahasa jiwa.

CNM

Semernak Wangian


Tanpamu


28 October, 2012

Tak Terucapkan

Tak Terucapkan

Andai tak terucapkan
selamat tinggal
usah membiarkan hati
membatu pada pujuk dan rayu
kerana masih bersisa
kasih dan sayang di hatinya...

Usah biarkan
waktu-waktu yang berlalu
pergi tanpa diiringi senyuman
kerana terlau rugi membiarkan diri
terjeruk dalam hal tak membahagiakan
dan di sana kita belum tentu bahagia...

CNM, 28/10/12, 8.24am, THMK

Telah Muncul

Telah Muncul

...telah muncul mentari
di sebalik gunung pasak bumi
membawa cahaya menyinari
serata alam di tunggu penghuni
ucapkan syukur kepada Ilahi
kita masih diberi satu lagi hari
menikmati kurniaan yang tak terperi
Sesungguhnya Dia maha pemurah lagi maha menyayangi...

Allahuakbar.

CNM, 28/10/12, 8.35am, THMK

Laut Kasih 232

Laut Kasih 232

dingin malam
bak halwa di antartika
tidak bisa menelan kehangatan
gelora laut kasihku
merindui wangian cintamu...

panas mentari
bak halwa di sahara
tidak bisa meleburkan
bongkah laut kasihku
yang kuukirkan untukmu...

CNM

27 October, 2012

Bicara Tok T

Bicara Tok T

i.
tanpa disedari
terperangkap dia dalam jerat percintaan
dia jadi lupa dalam arus percintaan
tetapi apabila menyedari diri
lalu bertanya pada diri sendiri
apakah perlu diteruskan
untuk berkorban demi pertahankan kebahagiaan
dalam persimpangan dilema
dia terus menanti
di manakah akhirnya...

ii.
kata dia
begitu banyak cerita
cintanya bukan cinta biasa
cintanya bukan di atas kertas
cintanya getaran yang tak perlu dipaksa
cintanya tak perlu dicari
bahawa dia ada jawapan
bahawa dia miliki naluri yang sama
hatinya yakin menunggu
jawapannya...

iii.
andai dia memiliki cinta
andai dia mencurah rasa hati
tentu bahagia dimiliki
tapi sayang
bila cinta berbunga
ia jadi air mata di jari
bahawa aku cinta padamu
dihulurkan doa walau di mana berada
walau seribu tahun dia rela menunggu
sematkan diriku di hatimu duhai kekasih...

CNM

Manik Rindu


Embun


Malam memancar cahaya

Malam memancar cahaya

seringkali
malam ditakuti
membawa gelap gelita
sedang padaku ia membawa cahaya
jemari galak menarikan bicara
bait-bait kata menerjah minda
lalu kususun dalam titipan kata
menghiasi laman maya...

malam pembawa cahaya.

CNM

Esok Masih Ada

Esok Masih Ada

andai hatimu menjeruk rasa
dodoikan ia dengan redha
kerana hari esok masih ada
mentari pasti tiba mengusir duka
pelangi pasti menyeri mewarna ceria...

dan aku di sini sudi mendengar bicara.

CNM

Laut Kasih 231

Laut Kasih 231

telah lama kusedari
limpahan laut kasihmu menguntum seri
pada kelir cinta yang suci murni
bayang-bayang rindu
bayang-bayang asmara
sering muncul bagai sita dewi
menari dan menyanyi
terhibur seri rama yang menanti...

CNM

Laut Kasih 230

Laut Kasih 230

kularutkan seberkas puisi
dalam aliran sungai hati
biar ia menyelinap ke segenap kapilari
membuihkan rindu
menjadi pulau cinta
yang terindah di pesisir laut kasihmu...

CNM

Mewangi Walau Sekali


Rama-rama


Subhanallah



Subhanallah

cantiknya ciptaan
sungguh agung rekaan
Ya Allah Engkaulah penguasa alam.

CNM

aku

aku

aku rindu pada mentari menghangat
aku cinta pada malam yang dingin
aku kasih pada air yang menyejukkan
aku sayang pada udara yang menghidupkan...

aku rindu, cinta, kasih dan sayang kepada Dia.

SubhanAllah, Allhamdulillah, Allahuakhbar.

CNM

25 October, 2012

Ayam, Kambing, Lembu

Ayam, Kambing, Lembu

Kambing:
aku dengar lembu dibeli orang
nak dijadikan korban
kesian...!

Ayam:
aku dengar ada orang nak buat akikah
katanya kambing senang nak diuruskan
apa macam...?

Lembu:
aku dengar dia orang nak buat tahlil arwah
tuan kata ayam paling mudah
jangan macam-macam...!

kita sama...

CNM

Salam Aidiladha

Salam Aidiladha

kuucapkan kepada semua warha THMK
hati-hati memandu ke kampung OK
biar lambat asal selamat tiba
keluarga tersenyum ceria
sama-sama menyambut raya...

kudoakan jemaah haji malaysia
dipermudahkan perjalan melakukan wukuf di Arafah
semoga dalam lindungan dan rahmat Allah
sempurna menunaikan ibadat haji
dan dikurniakan haji yang mabrur...

yang melakukan ibadat korban
semoga mendapat ganjaran
seperti mana yang telah Allah janjikan
mudahan bertambah subur nur keimanan
mudahan semakin teguh tingkat ketakwaan...

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

CNM

Naik Pangkat

Naik Pangkat

terima kasih pengetua hebat
kerana ambil berat
hal-hal naik pangkat
tiada yang tercicir dan terlambat
dapat ganjaran pada masa yang tepat
merangsang berkerja penuh semangat
melaksanakan apa yang diamanat
jayakan transformasi pendidikan yang dihajat.

aku nak mengingat
diri sendiri dan sahabat
dah naik pangkat
maknanya dimartabat
gaji sudah meningkat
kerja mesti kena hebat
tugasan siap pada masa yang tepat
capai matlamat.

ingat!
berikan sebahagian pada yang hak
moga rezeki bertambah berkat
percayalah kita akan dapat lagi lebat
belanja kawan pulut dan pengat
mereka turut mendoakan kita sihat
dapat beramal dan beribadat
selamat dunia dan akhirat.

jangan pula mengelat!
dek poket dah sendat
terasa berat
bangun lambat
hadir bertugas lewat
cari alasan tak nak buat
buruk catatan dalam rekod berkhidmat
nanti kena tahan kenaikan pangkat.

ada yang lagi hebat
dapat gelaran datuk terhormat
kerana cucu dah dapat
rezeki dari Allah penuh nikmat
syukur kepada pemberi rahmat
usah bermegah dengan pangkat
usah wujudkan dua darjat
baru kita dihormat.

ucapkan salam dan selawat
kepada Rasulullah penghulu umat
bahawa dialah bakal penyelamat
pemberi syafaat
pada hari yang tiada kudrat
dipersoal segala amalan diperbuat
jika mengikut syariat
InsyaAllah akan selamat.

CNM, 24/10/12, 11.38am, THMK

Bertenang

Bertenang

andai hatimu berkabus
andai sukmamu berkabut
bertenang
mentari pasti datang
membawa sinar keceriaan...

aku doakan kalian dalam kesejahteraan.

CNM

Gonggok

Gonggok

tak duduk berlonggok
pun tidak terbongkok-bongkok
jalannya lurus tak bengkok-bengkok
boleh dijumpa bawah pokok
tepi pondok...

dia ni banyak kaki
dikatakan tak bergigi
pemalu benar akan diri
gonggok pun pandai manipulasi
kalau disentuh buat pura-pura mati...

kamu pernah jumpa
manusia seperti gonggok bersandiwara
pura-pura tak berdaya
nak lepaskan dari musuhnya
cer cerita...

CNM

Jangan Lupa

Jangan Lupa

kalau balik raya
bawa balik pisau yang mana ada
boleh tolong melapah ayam itik kambing lembu korban raya
nanti melopong saja
pisau terlupa dibawa...

aku suka lapah kepala
walaupun ambil masa yang lama
satu cabaran nak keluarkan otaknya
tak kena cara hancur tak berguna
moh belajar melapah lembu punya kepala...

CNM

dah kira?

dah kira?

dah kira?
dah bayar?
sebelum balik raya
selesaikan bil-bil semasa
nanti duit habis bil berganda
belum awal bulan dah pening kepala
nanti semua benda jadi berbara
pantang silap sikit marahnya berjela
tak mahu bertegur sapa
selalu senyum sampai ke telinga
sekali senyum sumbing saja
ajak makan kata berpuasa
padahal perut berlagu cha cha...

aduh! tolong kira segera...

CNM

tepi kain orang

tepi kain orang

i.
di bawah pohon ketapang
sekumpulan kaki sembang
sedang membelik tepi kain orang
agenda tak dirancang
itu yang hangat diperbincang
kalau cerita tak betul ia jadi wayang
kalau cerita betul ia kena dihalang...

ii.
tepi kain sendiri kena cemerlang
tepi kain sendiri kena berstatus bintang
baru dianggap terbilang
tepi kain orang jangan dibincang
nanti ada yang naik radang
dikejar satu padang
kamu tak bimbang dicincang...?

CNM

Dari Sinar Mata



Dari sinar mata
terpancar suratan di dalam dada
resah gelisah duka lara
tawa ria senyum mesra
tersirat pada cahaya
di layar kornea...

CNM

Ghairah Terlampau



ini dia wajah
betina yang sering kali
beraksi ghairah terlampau
rakus mencumbui tubuh gebu
membingitkan telinga
melempiaskan nafsu
sungguh menganggu
buat semua orang geram
akan perbuatan...

Huh! Anopheles betina...
jaga-jaga.

CNM

Demi Sesuap Rezeki

Demi Sesuap Rezeki

Demi sesuap rezeki
berbajukan kulit
bermandikan hujan
berbumbungkan langit
bertilamkan lantai
dia mengais rezeki
enggan mengharap simpati
kerana maruah diri...

CNM

Aduh! Rokok..

Aduh! Rokok..

aduh! i...

...harga rokok naik lagi
abang adik kakak tentu sakit hati
harga makin tinggi
sedang rokok dah jadi sebahagian diri
sebati, mesti nak beli...

aduh! ii...
...dari dulu aku kata tidak pada rokok
bukan atas sebab sesiapa yang menokok
atas kesedaran sendiri buruk baiknya rokok
kepercayaan sendiri jadi pokok
aku menolak rokok;

satunya,
menambah belanja
sedang wang ada kegunaan lain yang bermakna
boleh beli makanan anak-anak yang meningkat dewasa
juga belanja sekolah atau pakaian mereka
kalau beli rokok hangus begitu saja...

keduanya,
setelah mencuba pelbagai jenama
satupun tak memberi makna
tak memikat jiwa
tiada apa-apa kesan baik berganda
hambar saja...

ketiganya,
orang lain kurang selesa
dengan asap yang menusuk hidung mereka
ada yang terbatuk-batuk pening kepala
lebih-lebih lagi bayi yang tak tahu apa-apa
kesian mereka...

keempatnya,
telah disahkan
mengandungi bahan
yang memudaratkan kesihatan
jadi kita ada pilihan
menolak tanpa alasan...

kelimanya,
ada bau kurang menyenangkan
bila berhadapan dengan kawan-kawan
walaupun tak diperkatakan
sedikit sebanyak mengesankan
keselesaan perlu diutamakan...

keenamnya,
tabiat sesetengah perokok jadi kemuskilan
cuba perhati di gerai makan
puntung rokok bersepak di lantaian
dibuang tanpa fikir panjang
menambah kekotoran...

ketujuhnya,
melalui pemerhatian
kawan perokok ada batuk-batuk kecilan
ini sesuatu yang perlu diberi perhatian
mungkin satu ketika memudaratkan
kesihatan jadi taruhan...

kelapannya,
bila merokok kena bawa pemetik api
sedang kita ajar anak-anak jangan main api
kanak-kanak akan ada konflik diri
dilarang bermain api
tapi orang dewasa membawa pemetik api...

kesembilannya,
di tempat kerja kena menyorok-nyorok
nak lepaskan gian merokok
kerana berada di kawasan larangan merokok
ada yang ke belakang tembok
cari tempat tersorot...

Kesepuluhnya,
dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik
kanser, asma, kardiovaskular dan diabetik
jadi kena realistik
perkara ini bukan bombastik
tapi telah dikaji selidik...

aduh! iii..
maaf teman yang merokok
ini pandangan peribadi saya tentang rokok
pilihlah yang mana elok
bukan nak menyibuk
sekadar berkongsi yang terjeruk...

CNM, 22/10/12, 4.53pm
THMK

Laut Kasih 229

Laut Kasih 229

dingin malam ini
diperhangat wangian laut kasihmu
meniup gelora
menggoda rasa
asmara seorang lelakiku...

CNM

Hujan


hujan berbisik
begitu romantis
buat diriku khayal
dalam dingin waktu
dan mataku kian memberat
tercandu dek dodoian hujan...

CNM

Kuibaratkan...

Kuibaratkan...

Kuibaratkan
marah itu seumpama api
kecil-kecil bisa dikawal
sudah besar boleh memusnahkan
jadi marah biar berpada-pada...

kuibaratkan
kelembutan itu seumpama air
sentiasa merendah diri
akan disenangi
waspada, terlalu lembut akan dikhianati...

kuibaratkan
kata puji itu seumpama gula
manis tapi boleh jadi racun berbisa
merosakkan diri
andai tak berhati-hati bila dipuji...

kuibaratkan
teguran itu seumpama baja
yang bisa menyuburkan kesempurnaan
belajar terima teguran
dengan hati terbuka...

CNM

Ahad!

Ahad!

i.
hari berehat
kumpul kudrat
kerja menunggu di pejabat
tenangkan fikiran yang tersumbat
moga datang idea hebat...

ii.
hari melawat
sahabat keluarga terdekat
hubungan kekeluargaan bertambah erat
hidup jadi berkat
selamat dunia dan akhirat...

iii.
hari merawat
kenderaan yang dah tenat
masuk bengkel servis yang berkarat
perjalanan tak tersekat
hatipun tak menyirat...

iv.
hari berubat
sakit-sakit badan sebelum melarat
berehat atau makan ubat
betulkan segala urat
lancar perjalanan darah tak tersumbat...

v.
apa kamu perbuat...?

CNM

Rewang

Rewang

masih menebalkah?
atau hanya tinggal cerita indah
masyarakat makin tidak mengambil endah
budaya sekampung beramah-tamah
menjayakan majlis bawah khemah
kemesraan terserlah
perpaduan jadi tonggak ummah
itu yang disukai Allah...

CNM

Kijang Juara

Kijang Juara

di hutan
kijang licik
tak termampu celoreng
memasang jerat
memerangkap...

di padang
celoreng tak ampuh bertempur
kijang lincah melompat
melolosi kekebalan celoreng
tahniah buat kijang!

CNM

Jangan Gelak

Jangan Gelak

abah;
kenapa adik makan "nasi ayam"

adik;
mana ada, ini nasi adik

abah;
kesian ayam tak der nasi...

adik;
tak! tak!...

CNM

Biar tahu!

Biar tahu!

ambil tahu!
kalau kamu tukang cat
biar tahu
segala mak nenek cat
baru boleh bagi tahu dunia
kautukang cat...

ambul tahu!
kalau kamu tukang kasut
biar tahu
segala nenek moyang kasut
baru boleh letak nama
kautukang kasut...

Kalau mengaku tukang
pastikan tahu!

CNM

apa pandangan kamu?

apa pandangan kamu?

malam ini
adakah kijang akan termasuk jerat si celoreng
sedang dalam hutan
kijang licik bagai belut dalam lumpur
mungkinkah si celoreng akan tersungkur...

tapi ini aksi di padang
atas rumput terang berderang
si celoreng pakar tempur pasti garang
bagaimana kijang menghalang?
sama-sama kita saksi hidangan...

CNM

Perang

Perang

andai malam ini
hujan mencurah dingin
kelicikan kijang
kekebalan si celoreng
bakal menghangatkan...

jerit pekik
tepuk sorak
akan bergema
yang menjaring gembira
yang terjaring menitis air mata...

Selamat menonton aksi Final Piala Malaysia.

CNM

Sebelum sesudah

Sebelum sesudah

tidakku ketahui
bahawa terjadi begini
cintamu indah sekali
sentiasa mewangi
menyeri setaman hati...

andai kumengetahui
bahawa begini terjadi
akan kusunting cinta seawal pagi
buat menghiasi
mahligai yang diimpi...

Sebelum kutahu
cintamu hanya untukku
kuhanya berdoa pada Yang Satu
mengharap dikurnia sang ratu
yang cakna pada nilaian kalbu...

Sesudah kutahu
cintamu hanya padaku
kumengucap syukur pada Yang Satu
mengurniakan pasangan bagiku
yang mendamai sukma selalu...

CNM

Laut Kasih 228

Laut Kasih 228

bahawa
yang terindah malam ini
lena di pangkuan laut kasihmu...

CNM

Diari Oktober

Diari Oktober

i.
pada bulan oktober
aku buat pertama kali memandang dunia
lahir dari perut bonda
yang dikendung sembilan purnama
dengan rela penuh redha...

ii.
pada bulan oktober
monsun beralih hala
timur laut dituju dari barat daya
hujan berganda
itu fenomena biasa...

iii.
oktober ini
kita sambut hari raya aidiladha
hari yang teramat mulia
dalam kelendar agama
wukuf di padang arafah berdoa kepada-Nya...

CNM

Aku beri satu kisah

aku labah-labah
mahu kamu belajar bertabah
usaha dahulu bersusah-susah
kubuat jaringan dengan susah payah
setelah siap aku pasrah
rezeki akan datang mencurah
hidup pasti cerah
berbayar segala penat lelah...

CNM

Yakinlah

Yakinlah

jika hari-harimu
diredupi awan kelabu
dikelilingi lorong-lorong berliku
diterjahi waktu berkematu
yakin bahawa
ada pelangi akan berbunga
ada jalan lurus di seberang sana
ada kesempatan mengukir senyuman bahagia...

CNM

Mata berbisik

Mata berbisik

duhai malam
kenapa engkau terlalu cemburu?
terlalu cepat berlalu
hanya sedikit ruang buatku
membaca puisi-puisi tetamu
tidakkah engkau mengasihani diriku?...

salam selamat malam sahabatku
salam kemaafan dariku buatmu.

CNM

Laut Kasih 227

Laut Kasih 227

pabila kamu mengenyit nakal
aku jadi malu
kerana kutahu laut kasihmu menggebu
menggamitku ke kamar beradu
tunggu...

CNM, 16/10/12, 10.31pm THMK

Sibur-sibur

Sibur-sibur

dia jadi penghibur
di kala hati terkukur
dek kekalutan hidup dicukur
lintah darat penghancur
tersungkur
yang terpaksa akur...

CNM

Biru-Merah-Putih

Biru-Merah-Putih

aku jadi biru
bila melihat aksimu
seksi mengalahkan ratu
bergetaran jantung hatiku
dup dap dup dap! laju...

aku jadi merah
apabila kamu beraksi ghairah
menggodaku ke satu daerah
yang mencatat sejarah
terindah...

aku jadi putih
ketika kamu bersedih
tak mampuku melihat kamu merintih
kuhanya mampu mencurah kasih
agar segera kaupulih...

CNM


Rama-rama

Rama-rama

hidup seindah nama
terbang hinggap mendebunga
mekar berkembang setaman bunga
mewangikan sukma
mendamai jiwa...

CNM

Laut Kasih 226

Laut Kasih 226

getaran cinta
yang teralir dari pandangan mata laut kasihmu
memelodikan sebuah lagu
terusan berdendang
ke kamar hatiku.

denyutan asmara
yang mengalir dari renungan mata laut kasihmu
menghangatkan malam-malam dingin
terusan menyalakan obor
menyinari kamar sukmaku.

CNM

Januari-Disember

Januari-Disember

...di suatu hari
pada bulan januari
berangkat dia pergi
meninggal kampung halaman sendiri
mencari rezeki di bumi Ilahi...

...februari menjelma kini
dia masih mencari-cari
peluang memajukan diri
dari kaki tangga ke kaki tangga mendaki
mencari menara yang diimpi...

...mac dia terima sampul berisi
katanya boleh lapur diri
memulakan tugas sebagai kerani
gembira tak terhingga di hati
dapat berkongsi rezeki dengan ibuayah yang menanti...

...april mengamit memori
dalam program latihan kompeni
berkenalan dengan sang pujaan hati
bibit-bibit perkenalan sungguh mengelikan hati
teratuk kepala berebutkan mesin fotokopi...

...mei datang tak sedari
dilamun cinta indah sekali
berdua-duaan ke sana ke sini
senyuman tak lekang dari bibir kini
bahagia seakan kekal abadi...

...jun hampir pergi
dia semakin mengenali
sama-sama kenal hati dan budi
cinta bersemi mengikat janji
ingin bersatu dalam satu lafaz suci...

...ogos dia kembali ke desa dirindui
membawa berita pada ayahbonda ingin jadi suri
sang kumbang telah memiliki hati
menunggu disunting secara rasmi
jadilah dia sang isteri mithali...

...september ayahbonda dikunjungi
wakil jejaka yang disayangi
tersarung cicin di jari
tanda diikat dan dimiliki
tunangan yang dicintai...

...oktober dia sibuk sekali
menempah pakaian raja sehari
barang hataran juga dibeli
sama-sama memilih puaskan hati
buat persiapan di hari kenduri...

....november jadi saksi
kad jemputan diedar semerbak mewangi
jauh dan dekat dipadahi
datang merai
hari bersejarah yang dinanti...

...disember sah jadi isteri
melayari hidup rumah tangga yang diimpi
cuba jadi isteri yang taat pada suami
mencari redha Ilahi
dalam hidup sesingkat kisah januari-disember ini...

CNM

jangan harap, jika begini!

jangan harap, jika begini!

pelangi yang kamu impi
mengkhayalkan warna-warna menyeri
sedang kamu enggan mengatur langkah berlari
mengejar mimpi-mimpi
yang kamu ukir penuh seni.

puncak himalaya kamu ingin takluki
berangan-angan berada di puncak bumi
sedang kamu tak ingin berdiri
mendongak pandang ke destinasi
yang kamu harapkan menjadi realiti.

CNM

14 October, 2012

kerana Cabai?


airmata yang berjurai
menitis laju jatuh berderai
adakah kerana;
kamu tergigit cabai
makan gelojoh main tibai,
hati kamu dipipiskan cabai
dek manusia bergelar pencacai,
kamu menjual hasil tanaman cabai
yang luasnya tak tergapai,
mata kamu terpercik cabai
kala menumbuk cabai buat sambal petai.

jika bukan kerana cabai ceritakan sambil bersantai.

CNM

Mengapa?



mengapa?
kaugubahkan puisi indah
mengkhayalkan sukma...
mengapa?
kauhulurkan tangan buat berpaut
memberi harapan...
mengapa?
kaumenaburkan janji termanis
membeli kepercayaan...

sedang itu hanya permainan ciptaanmu.

CNM

Laut Kasih 225

Laut Kasih 225

malam ini
ingin aku berpimpin tangan
berjalan seiringan
menikmati dingin malam
di bawah langit kasihmu...

malam ini
ingin aku memeluk erat
berganding bahu
memandang ke tengah laut kasih
membilang satu-satu ombak rindu...

dan kita akhirnya lena dalam keasyikan itu.

CNM, 13/10/2012, 11.08 pm
THMK

Bahawa Aku

Bahawa Aku

bahawa aku
lebih rela memilih
daerah yang sepi dan terasing
andai di sana
aku bisa memiliki ketenangan
ditemani yang bisa mengertikan...

bahawa aku
akan meninggalkan
tanpa sekelumit sesalan
sekitaran yang menyesakkan
penuh kata keji bersulam nista
aku redha andai tertakdir sendirian...

mahu kamu bersamaku?

CNM, 13/10/2012, 7.09am
THMK

ambo nak pese

ambo nak pese

puok klate
balik training lagi
lepah ni nak lawe "geng askar"
nama kea nanar.

puok selangor
kelik training lagi
cubo pulok tahun depe
boleh balah dende.

CNM

p/s baca ikut loghat Klate

Fakta Terlampau

Fakta Terlampau

mahu kamu tahu
kenapa keretapi tak bertayar?

sehingga fakta ini ditulis
belum ada sesiapa yang sedia menerima jawatan pengepam tayar keretapi
kamu sudi terima?


Fakta Terlampau II

mahu kamu tahu
kenapa lampu terpadam awal di malam jumaat?

mereka tersenyum
dengan alasan jimatkan bil letrik
betulkah?...

CNM


 Fakta Terlampau III

tak pelik
ramai orang nak cantik
maka dibuat pembedahan plastik
belanja wang puluhan ribu ringgit
buat "bumper" melentik
buat hidung terpacak macam tiang letrik
cucuk sana sini bagi tegang bagi terik...

pelik
yang Tuhan suruh tak diusik
sujud kepada-Nya tak terdetik
doa kepada-Nya tak pernah dibisik
Ya Allah jangan Engkau herdik
kurniakan hamba-Mu akal yang celik
membezakan yang baik dan yang jelik...

CNM, 12/10/12, 2.24pm
THMK

Monolog Cinta

Monolog Cinta

Aku tak pernah dilihat di mana-mana. Aku adalah rasa yang ada di jiwa.
Aku sebuah rasa yang bertunas dari sebuah pertemuan. Pandangan mata menguntumkan kelopak kasih di sukma. Dari waktu ke waktu, andai aku dibajai kejujuran dan disirami kesetiaan, aku akan hijau merimbun. Subur menaungi dua jiwa. Aku tidak menjanjikan bahagia. Aku juga bukan pemula duka. Pemabuk cinta yang gagal mengawal emosi rasa akan kuhumban ke cenuram kecewa. Pemain cinta yang pandai mengatur langkah di alam cinta akan kupimpin ke takhta bahagia.

CNM

Bantal Peluk Hidup

Bantal Peluk Hidup

kala hujan merenyai
dingin menerjah ke dada
lalu rindu berputik
pada bantal peluk hidup
yang sedia memberi hangat
di ranjang asmara berapi...

jangan cemburu
pada yang belum miliki
bantal peluk hidup yang memberahi
lekas-lekas jumpa tok kadi
musim banjir tiba kini
bantal peluk hidup bisa mengubati...

CNM

Laut Kasih 223

Laut Kasih 223

bila hujan menari
membawa irama kedinginan
di malam jumaat penuh romantis
laut kasihku mula mengebu
rindukan haruman wangian kasihmu
menyelinap ke kamar cintaku
memadu kasih
dalam hangatan nafas asmara.

CNM

Peminat Ekor

Peminat Ekor

tak asing lagi
ramai yang kecur
bila disebut-sebutkan
sup ekor...

tak pelik
walau tahu ia kotor
ramai yang beratur
beli nombor ekor...

suka ekor!
tak salah
jadi seperti yang berekor!
itu yang salah.

CNM

Ketam

Ketam

kalau berduaan
jangan suka duduk tempat hitam
nanti ketam tangan berjalan
duduk tempat terang
jelas pada padangan
syaitan tak boleh main peranan
selamat iman...

CNM

esok dan seterusnya

esok dan seterusnya

andai esok dan seterusnya
aku tiada lagi di ruangi ini
usah ditangisi
usah dicari
teruskan berpuisi
kerana pasti
internetku tak berfungsi
komputerku meragam sesekali
ada tugasan yang menagih waktu sepanjang hari.

andai tiada halangan ini aku pasti di sini.

CNM

alam mengerti

alam mengerti

bahawa
kala hati dibajiri air mata
sang suria hadir
mengeringkan kolam rasa
hilang luka yang duka...

bahawa
kala hati terik dibakar mentari
sang gerimis hadir
membasahi tasik hati
damai resah yang menyesak...

CNM

jika



jika tak tahu
kukatakan tak tahu
aku tak buat-buat tahu.

jika tak pasti
kukatakan tak pasti
aku tak buat-buat pasti.

jika tak yakin
kukatakan tak yakin
aku tak buat-buat yakin,

aku tahu, pasti dan yakin apa yang aku tulis.

CNM.

jika tiada upaya

jika tiada upaya

jika kamu tiada upaya
menyuarakan rasa jiwa
yang sering kali ditemani air mata
tulis saja di dada maya
akan kubaca tanpa kacamata
memberi pendapat yang cakna
barangkali tenang minda...

CNM

Telah Tertulis

Telah Tertulis

telah tertulis
segala pahit manis
yang membawaku ke sini
dari ceruk desa yang masih suci
ke dada kota yang penuh seligi
merentasi denai-denai pengujian
dan syukur kepada-Mu
kumasih mampu melolosi...

CNM

Di hari Ulangtahunku

Di hari Ulangtahunku

Terima kasih
tak terhingga kepada isteri dan anak-anak
yang menyayangi dan menyokongku selama ini
terima kasih dinda dengan kad ucapan
terima kasih azahara dan zharif aimran.

Terima kasih
kepada semua teman-teman di sini
yang mendoakan kesejahteraanku
yang mengucapkan keselamatan diriku
yang selalu menghiburkan diriku.

Ingin sekali
aku jadi yang lebih baik
sedaya upaya jadi yang menyenangkan semua
andai ada kelemahan dan kekurangan
kemaafan jua kupinta.

CNM, 10/10/12, 3.45 pm

Kerat Buang

Kerat Buang

sebelum kelukaan
yang menikam dalam-dalam
bernanah membarah
di segenap urat saraf batin
di celahan sendi-sendi jiwa
kerat buang
dengan lembut titisan wuduk
dengan kesabaran berdoa di setiap sujudmu...

CNM

Laut Kasih 221

Laut Kasih 221

terima kasih dinda
menjadi orang pertama
mengucapkan doa
sempena ulangtahun kelahiranku
telah kujangka
limpahan laut kasihmu tetap padu...

CNM

Serelung Dendam Setitis Kemaafan

Serelung Dendam Setitis Kemaafan

Serelung dendam
yang becak dengan amarah
akan membuakkan bauan hanyir
jika terus dijeruk dalam tempayang hati
ia tak bisa mengubah apa-apa yang telah lalu...

Setitis kemafaan
yang dilimpahi wajah keikhlasan
akan mewangikan serata alam rasa
jika ditaburkan di segenap kamar hati
ia bisa mengubah perjalanan kehidupan masa depan...

CNM, 9/10/2012, 9.08pm, THMK

Kerdas@Genuak@Pithecellobium Bubalinum

Kerdas@Genuak@Pithecellobium Bubalinum

Buah Kerdas, Genuak, Pithecellobium Bubalinum
namanya cukup harum
baunya cukup mengancam
ulaman yang memberahikan
kalau makan tak cukup nasi sepinggan
tak ada lauk pun jalan
regunya budu campur isi ikan tawar
boleh juga bilis tumbuk campur tempoyak...

ini memang kegemaran ambo.

CNM

ngada-ngada

ngada-ngada

hih! Mata ni ngada-ngada
cepat sangat kuyu nak membuta
nak layan puisi pun tergendala
jenuh nak menyekang bagi terbuka
tak tahan mengantuk sangat dah saya...

undur dulu ya
salam kemafaan buat semua
selamat malam esok saja kita jumpa...

CNM

Akrostik Laut Kasih

Akrostik Laut Kasih

Laut Kasih
Aku tuliskan untuk tatapan isteri
Utaian kata datang dari lubuk hati
Terukir indah dalam bait-bait kata berseni.

Kasih sayangmu dinda
Aku sanjung tinggi ke hujung nyawa
Sesungguhnya dikau anugerah Yang Esa
Indah mengenali dan memilikimu
Hanya cintamu paduan cintaku.

CNM, 7/10/12, 8.21pm, THMK

07 October, 2012

Usah Termenung

Usah Termenung

Duhai sahabat
usah termenung kelat
bangkit mulakan harimu cepat
masa terus berputaran ligat
zaman teknologi yang kian mempercepat
pergerakan dan keputusan harus tepat
rutin kehidupan memadat
andai kamu hanya tercegat
kamu akan ketinggalan dek manafaat.

Jadi yang hebat sebelum terlambat.

CNM

Soalan Bodoh

Soalan Bodoh

Pukul lima lapan minit pagi tadi
anak buahku menelefon
katanya sistem amaran ADT berbunyi
aku bergegas telefon pak polisi
mohon bantuan kecemasan
yang musykil pemantau sistem gagal menelefon
memaklumkan aku ada cubaan menceroboh
atau apa-apa kemungkinan...

...dek kerana kegagalan itu
aku menelefon pusat kawalan ADT
aku menanyakan kenapa mereka gagal mengesan sistem yang berbunyi?
pada pukul lima lapan minit pagi
jika kamu ditanya balik betulkah sistem berbunyi
apa kamu rasakan?
apa bentuk respon yang kamu berikan?
bukankah itu soalan bodoh namanya?...

sesiapa yang pangkatnya penyelia, ketua unit, pengarah dan seumpamanya
ajarlah orang bawahan cara berbicara dengan pelanggan dalam kecemasan.

CNM

Aku Senang Begini

Aku Senang Begini

Aku senang begini
mencari rezeki sendiri
tak mengharapkan simpati
jauh sekali mengemis untuk sebiji nasi
aku yakin dan pasti
rezekiku ditentukan Ilahi
bukan pada mereka yang suka memonopoli
juga bukan pada mereka yang suka membuli...

kehidupan ini telah tersurat sejak azali.

CNM

Sejoli

Sejoli

andai hati telah tersimpul mati
inilah bukti
sejoli
berdua ke sana ke sini
seakan tak terpisah lagi...

aku cuba jadi seperti merpati...

CNM

Bikinanmu

Bikinanmu

sesedap manapun
bancuhan air kopi kedai mamak
tak termampu menandingi air tanganmu sayang
kuyakin dan pasti
bikinanmu bersulamkan limpahan laut kasih
tak tertanding dek sesiapapun...

CNM

aku, dia, kamu

aku, dia, kamu

aku, dia dan kamu
sama saja
mendada
merangkak
bertatih.

tiada yang lebih...
datang berkaki ayam
kembali berkaki ayam
Tuhan maha adil.

CNM

Pucuk Paku Ubi Kayu

Pucuk Paku Ubi Kayu

dulu
pucuk paku ubi kayu
yang mengalas perutmu
yang tak jemu berpucuk baru
yang tak pernah menjadi kayu
demi kamu...

kini
setelah kamu kenal McD burger keju
kamu jadi lupa pada pucuk paku ubi kayu
jasa mereka padamu
terlalu besar sungguh padu
kenapa kamu jadi begitu...?

ibubapa kian ramai disisih anak-anak alaf baru.

CNM

Laut Kasih 216-220

Laut Kasih 216

dingin malam ini
tidak kuresahi
kerana kumemiliki
hangatan laut kasihmu yang suci.

aku ingin lemas dalam hangatan kasihmu.



Laut Kasih 217

di kamar ini
cintaku dan cintamu
memadu asmara membaja kasih...

rahsiaku dan rahsiamu
jadi harta cinta
tersimpan di dasar laut kasih kita...


 Laut Kasih 218

tika kumemandang tampang wajahmu
hatiku sayu dinda
tak kusangka laut kasihmu melimpah ruah
lebih dari mencukupi
lebih dari apa yang kuingini
syukur kepada Ilahi
menemukan daku denganmu ratu hati...


Laut kasih 219

mawar itu wangi
mendamaikan sukma yang meneguk
bagiku
wangian laut kasihmu
tak tertanding dek seribu mawar sekalipun...

sekuntum laut kasihmu mengharuman seluruh alam hidupku.








 Laut Kasih 220

Kekuranganku, kelemahanmu
Kekuatanku, kelebihanmu
Kita dijadikan berpasangan
saling melengkapi kekurangan
dua jiwa satu hati
bahagia melayari laut kasih nan suci.

CNM

Senja jadi Saksi

Senja jadi Saksi

bahawa senja ini
telah menjadi saksi
sekeping hati telah dilukai
disiat-siat lumat
dihancur lebur
cinta terkubur...

jangan menangis dik!

CNM

Pahitnya

Pahitnya

...tak kusangka
pahitnya terasa
kopi jantan tongkat ali
ramuan tradisional
sungguh mencabar kejantananku
menahan pahit...

CNM

Laut Kasih 215

Laut Kasih 215

Laut kasihmu
tak pernah berhenti
membuai rasa cinta ini
dalam lena dalam jaga
hanya raut wajahmu menjelma.

Laut kasihku
telah kuserahkan
moga jadi mutiara berkilauan
menerangi kamar cinta yang kamu impikan
tak terpadam dek hembusan zaman.

CNM, 2/10/12, 10.52pm
THMK

Sayangi Nyawa

Sayangi Nyawa

seringkali kita dengar berita
penunggang motorsikal meninggal dunia
mangsa langgar lari pemandu durjana
tak kurang yang menunggang membabi buta
helmet tak dipakai sepatutnya
sayangi nyawa
anda mampu mengubahnya
anda mampu menyelamat nyawa
pakailah topi keledar tak seberapa harganya...

CNM, 2/10/12, 9.17pm THMK

Gurauan?

Gurauan?

Gurauankah? Mempersenda
kelemahan saudara seagama
gelak tawa dicipta
dengan sengaja...

Gurauankah! Mengena
kelurusan saudara sekerja
mereka cerita tak kena mengena
dengan selamba...

kalau kamu yang kena bagaimana?

CNM

jadi lupa

jadi lupa

nakkan yang berharga
nakkan secara percuma
begitulah sifat manusia
pabila dikena sedikit harga
keluh kesahnya panjang berjela
mana teknologi yang tiada kosnya
mana aplikasi yang wujud begitu saja...

jangan jadi lupa
kesenangan buat manusia mengada-ngada
dulu orang tak ada pun kereta
dulu orang tak ada pun laman maya
dulu orang tak ada pun penyaman udara
dulu orang tak ada pun makanan segera
dulu-dulu orang hidup sejahtera juga
jadi jangan cepat melatah sebelum ambil kira...

CNM

Ikut Prosedur

Ikut Prosedur

di alam nyata
apapun jua urusan kita
apapun jua sistem yang diguna
kena ikut prosedur kerja
tak boleh ikut rasa
tak boleh membabi buta...

kenapa?

kerana setiap satu ada batasannya
kerana setiap satu ada peraturannya
kerana setiap satu ada buruk baiknya
kerana setiap satu ada timbangtaranya
kerana jangan sampai kita yang kena
dari sistem yang kita guna...

CNM

1 Oktober

1 Oktober

hari warga emas sedunia
mari kita mengingati yang tua
menziarahi mereka
andai masih ada
jangan dipersia...

warga emas harus dimulia
tanpa mereka siapalah kita
pengorbanan mereka patut diharga
diberi keutamaan di mana saja
tanpa mergira pangkat bangsa dan agama...

CNM

Menunggu Hari

Menunggu Hari

dedaun gugur ke bumi
mereput di perdu membajai
yang tinggal hanya dahan reranting mati
kering tiada bermaya lagi
membilang hari...

CNM

Belalang

Belalang

suatu kejadian
indah menawan ciptaan Tuhan
memainkan peranan dalam kehidupan
boleh jadi agen pendebungaan
dalam koloni tumbuhan.

manusia juga jadikan makanan
rangup dan lemak dikatakan
kamu pernah makan?
aku belum menikmati kelazatan
mungkin suatu hari kena buat percubaan.

lain padang lain belalang
kata orang dulu-dulu memberi pesan
jadi jangan ambil ringan
perhatikan apa kiasan
moga jadi pedoman.

belalang oh! belalang.

CNM