Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

30 August, 2012

Laut Kasih 197

puisi-puisi yang kutulis
terus bernadi di kamar hati
kerana laut kasihmu yang abadi.

puisi-puisi yang kuukir
terus bergemerlapan di mahligai cinta
kerana laut kasihmu terus bercahaya.

puisi-puisi yang kukompilasikan
terus bernafas di dada jiwa
kerana laut kasihmu terus bernada.

CNM, 30/8/2012, 8.33pm
THMK

Laut Kasih 196

kasihmu
yang telah tertumpah
memenuhi kolam hatiku
tak akan sesekali kubiarkan
ia terpeluwap menjadi awan sesalan
aku kupastikan
kasih dan sayangmu
memutih bagai ombak
yang berlarian di kepulauan laut kasih kita...

CNM, 27/8/12, 9.47pm
THMK

Laut Kasih 195


dek getaran cinta yang sama
mengalir dalam tubuh antara kita
badai dan gelora yang melanda
sama-sama kita tangkis
seakan tiada apa yang melanda...

dek kilauan kasih yang bergemerlapan
menerangi alam laut kasih kita
denai-denai berduri kita lolosi
tiba ke teratak bahagia
seakan tiada duka yang pernah kita rasa...

jangan pernah lupa berdoa
untuk rahmat dan nikmat
bahtera yang kita layari bersama
agar tak terkaram dibadai gelora
sebelum tiba masa dan ketikanya...

CNM, 25/8/12, 2.31pm
THMK

Laut Kasih 194

aku bahagia jadi milikmu
aku berbangga ditakdirkan memilikimu
kaubagai dian yang menghangatkan
kaubagai pelangi yang penuh warna-warni
kaubagai bunga-bungaan setaman mewangi
telah dijodoh kita
inginku setia ke hujung nyawa
mempertahankan selaut kasih antara kita...

CNM, 25/8/12, 2.12pm
THMK

Laut Kasih 193

Sinar matamu
adalah kilauan cinta
bagai lentera cakrawala
menyinari seluruh hidupku
teruslah bercahaya
agar aku lemas
dalam dakapan laut kasihmu
tak akan aku lepaskan
ikatan cinta ini...

Selimutkan daku dengan asmaramu
biar cinta ini terus menggebu
dalam kelambu laut kasih kita.

CNM, 23/8/12, 10.43pm
THMK

Laut Kasih 192

demi memiliki
keikhlasan laut kasihmu
aku redha terpenjara dalam janji
kerana apa yang ingin kumiliki
tersedia menanti
tidak sekali kukesali
tidak sekali membawa rugi
dikau anugerah Ilahi
amanah suci.

CNM, 23/8/12, 9.52pm

THMK

Laut Kasih 191

Pabila matamu berkaca
membias sekuntum senyuman cinta
bagai obor menyala
menyinari kamar asmara
aku yang merasa getarnya
debaran kasih cinta yang meronta
betapa nilai laut kasihmu cukup berharga
dan aku tak mungkin berpaling mendua cinta
kerana telah kuserah jiwa raga
tanpa paksa.

CNM, 23/8/12, 9.24pm

THMK

Laut kasih 190

aku tidak pernah melupa
dari bawah kita daki bersama
dari anak tangga ke anak tangga
terjatuh luka berdarah jiwa
kita bangkit kembali menuju takhta
dek janji sumpah setia seia sekata
mempertahankan selaut kasih anugerah Yang Esa.

CNM, 22/8/12, 10.23pm

THMK

Laut Kasih 189

saat
kaulena di dadaku
jika titis-titis hangat
membasahi pipimu
ketahuilah
air mata syukur
gugur kerana memiliki
seluas-luas laut kasihmu...

CNM, 21/8/12, 10.07pm

THMK

21 August, 2012

Laut Kasih 188

ingin aku menyelinap
ke alam bawah sedarmu
menjadi mimpi indah yang kamu nantikan
agar kala terjaga nanti
senyuman terukir bak mawar kembang pagi...

ingin aku menetap
di alam bawah sedarmu
membaca nota-nota cinta yang kamu puisikan
agar dapat kubawa ke alam realiti
dan kutulis di dada pelangi merentangi laut kasih abadi.

CNM, 20/8/12, 12.45am
THMK

Laut kasih 187

hanya kepadamu
kuserahkan
cinta kasih dan sayang

hanya kepadamu
kutuliskan
puisi cinta kasih dan sayang

hanya kepada-Nya
tempatku meminta
laut kasih kita kekal bertaut
ke hujung nyawa.

CNM, 20/8/12, 12.16am
THMK

Laut kasih 186

di pagi aidilfitri ini sayang
aku ingin mengucup ubunmu
mendekap erat
membisikkan salam kemaafan
atas segala kekhilafan
atas segala ketidak sehaluan
dalam melayari bahtera cinta
menempuh gelora dan badai
laut kasih kita
moga kehadiran syawal ini
bisa kita labuhkan layar
di labuhan kedamaian.

maafkan daku atas kelemahan diri
terima daku seadanya
seperti mana
aku memaafkan dirimu
dan menerimamu seadanya
dalam melengkapi hidup ini
tanpa dirimu pincang perjalanan hidup ini
kerana dikau hela nafasku
kerana dikau jiwa dan ragaku
kerana dikau tunjang kekuatanku
untuk berdiri merealisasi
apa yang kita janji
dengan izin Ilahi.

Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar Walillahilham...

CNM, 19/8/12, 7.02am
THMK

Laut Kasih 185

usah biar kubersendirian
kerana hidup ini, ...kan kelam
tanpa dirimu menjadi teman
mengharungi rencam malam
di kamar keseorangan.

usah biar kukesepian
saat dikau berpergian
tinggalkan bekalan
semerbak wangian
laut kasihmu yang mengasyikan.

CNM, 18/8/12, 10.20pm
THMK

Laut Kasih 184

telah kumemandang
sekuntum mawarku
tidak kumenoleh pada yang lain
kaulah yang terindah
jangan kaunafikan
kerana kautelah jadi isteriku
yang selalu kupuja
yang selalu kumanja
yang selalu kudamba
seperti juga kaulimpahkan
wangian laut kasihmu.

CNM, 18/8/12, 4.58pm
THMK

Laut Kasih 183

menjelang satu syawal
kumerindui tampang wajahmu
berseri bak purnama di pagi raya
tersenyum manja
mengucup tanganku
memohon keampunan
mohon diredha atas segala...

tiada apa yang menyesak dada
terima kasih atas sebuah cinta
laut kasihmu paling berharga
tak akan kupersia
kumemberi redha
padamu dinda
atas setia janji bersama...

CNM, 17/8/12, 10.48pm
THMK

17 August, 2012

Laut Kasih 182

telah kulafazkan
kata janji sumpah setia
akan kujunjung selagi berbaki nyawa
menyayangimu
seperti mana kamu menyayangi diriku.

telah kuserahkan
seluruh jiwa dan raga
untuk kamu rangkul kejat dalam dakapan
jangan meleraikan
seperti mana kumendekap jiwa ragamu.

telah kita tempuhi badai laut kasih ini
dan bahtera kita berlabuh tenang
setenang air di telukan cinta suci.

CNM, 17/8/12, 1.19am
THMK

Laut Kasih 181

terang cahaya mentari siang
menambah gelora di laut kasih
yang memisahkan kita
antara ruang dan waktu...

gelita malam tanpa cahaya
mendinginkan laut kasih
yang menyatukan kita
di bawah redupan cinta.

CNM, 17/8/12, 1.09am
THMK

Laut Kasih 180

aku sering
melihat dalam dalam
ke dalam anak matamu
agar degup jantung sukmamu
memelodikan getaran asmara
dan menyairkan puisi laut kasih kita.

aku terlena
dibuai syahdunya suara cintamu.

CNM, 17/8/12, 12.19am
THMK

11 August, 2012

Laut Kasih 179

Laut Kasih 179

malam ini ingin sekali
aku memelukmu dengan penuh kehangatan
mengucup ubun membelai rambutmu
biar nafas cinta ini
mendesah ke jatung hatimu...

malam ini ingin benar
aku memelukmu dengan penuh kasih
mengalirkan getar degupan cinta
menyelinap ke seluruh tubuhmu
dan asmara bergelora...

dan kamu tersenyum mulus
melimpahkan asmara laut kasihmu.

CNM, 11/8/12, 11.21pm
THMK

Laut Kasih 178

hampir sepurnama
setia dikau
menyediakan juadah
berbuka jua bersahur
tanpa jemu.

hampir genap
sebulan ramadhan
dikau aminkan doa
solat fardhu solat terawih
semoga amalan kita diredha.

cintaku padamu seluas laut kasih yang kauberi.

CNM, 11/8/12, 10.48pm
THMK

Laut kasih 177

kerana cinta dan kasihmu
aku dibelai
aku dimanja
aku ditatang seadanya...

kerana cinta dan kasihku
kumenyayangi
kumelindungi
kumembajai kesejahteraan...

moga damai laut kasih kita selamanya.

CNM, 11/8/12, 5.19am
THMK

Laut kasih 176

pabila
seruling kasihmu
memainkan lagu cinta
deburan ombak laut kasihku
menari-nari di muka matamu.

pabila
harmonika rindumu
memelodikan lagu cinta
hembusan bayu laut kasihku
membelai pipi cintamu.

irama dan lagu
laut kasihku dan kasihmu
menyatu padu
dari dulu
berkat doa restu.

CNM, 9/8/12, 11.03pm
THMK

08 August, 2012

Laut Kasih 175

menunggumu di kamar hati
sesuatu yang terindah
dibuai rindu
diulit mimpi
kelopak cinta menguntum
disapa bayu laut kasihmu.

mengkhayalkanmu
bersama degupan waktu
sesuatu yang mengasyikan
lemas dalam wangian
karam dalam hangatan
limpahan laut kasihmu.

CNM, 8/8/12, 5.07am
THMK

Laut Kasih 174

pabila purnama
menerangi kegelapan malam
degup jatung kian bertalu
saat beradu bersamamu
getar-getar asmara menyiku
membangkit gelora kelelakianku
dan kamu tersipu menahan malu
dek usikkan di dalam kelabu laut kasihmu.

CNM, 4/8/12, 6.09pm
THMK

Laut Kasih 173

akan kusimpan
cinta kasih dan sayangmu
pada satu sudut paling indah
yang kusediakan khas
di kamar hati ini
dindaku...

telah kumencintaimu
tiada pernah kukesali
kerana kutahu
cinta kasih sayangmu
tertumpah hanya padaku
dari luasnya laut kasihmu.

CNM, 2/8/12, 6.31.pm
THMK

Laut Kasih 172

terima kasih dinda

kerana tidak melupa

bukan intan permata

bukan wang berjuta

mencipta bahagia

atas janji setia

yang kita lafaz bersama

berpanjikan tautan laut kasih kita.

CNM, 29/7/12, 10.34pm

THMK

Laut Kasih 171

tak perlu bicara
tak perlu kata-kata
memadai;
belaian mesra,
kucupan manja,
pelukan hangat membara,
untuk buat kulemas
dalam gelora laut kasihmu.

CNM, 29/7/12, 12.17pm
THMK

Laut kasih 170

purnama berganti purnama
musim cinta dipupuk rindu
asmara bergelora
membaja kasih
merimbun redup
pesisiran laut kasihku
dan limpahan nikmatnya
memercik ke dada jiwamu.

CNM, 29/7/12.12.am
THMK

Laut Kasih 169

pabila kulena
mimpimu berlari-lari
memimpin alam bawah sedar
berkejaran ke laut kasih
mencari jejak-jejak rindu

pabila kuterjaga
wajahmu menari-nari
mengulit alam bawa sedar
mengkhayal pada laut kasih
membayangkan wajah rindu...

CNM, 28/7/12, 11.55pm
THMK

Laut Kasih 168

andai tiada lagi;
sinar suria terbit menyinari,
pelangi merentangi dada langit menyeri,
alunan ombak menari-nari,
hembusan bayu membelai,
ke pesisir laut kasih kita
itu tandanya tiada lagi
nukilan puitisku untukmu...

CNM, 28/7/12, 1.08am
THMK

Laut kasih 167

Laut Kasih 167

di peraduan ini
yang bercadarkan kasih
kumenunggu kamu dinda;
datang membisikkan kata cinta
yang mendebarkan dada,
datang mengucup manja
yang mengasyikkan asmara,
datang memeluk penuh mesra
yang menghangatkan rasa jiwa,

aku jadi rindu pada kisah semalam
di laut kasih yang menggoda...

CNM, 28/7/12, 12.48am
THMK

Laut Kasih 166

kutuliskan
puisi-puisi cinta
untuk kubacakan di kamar hatimu
biar kamu lena dalam senyuman
bermimpikan pelangi cinta
merentangi langit laut kasih kita
dari muncul suria
membawa ke senja...

dan kusentiasa di sana.
menanti kamu terjaga
di ribaan cinta.

CNM, 28/7/12, 12.10am