Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

28 September, 2011

Kuingatkan

Aku bukan sesiapa
hanya hamba Allah ingin berpesan
berpesan tanpa rasa bosan
mengingati dengan kesabaran
dan kuharapkan
takdir memihak kepadaku
jadi golongan yang mencapai kemenangan.

Teman
usah bangga dengan kecantikan
kecantikan yang kamu sering pamerkan
kepada mereka yang bukan haknya
barangkali boleh menyakiti kamu apabila bertemu Tuhan
fikir-fikirkan
adakala aku perlu menjaga tepi kain orang.

Tanpa gagal teman
adakah kita sering mencuba
menunaikan titah perintah-Nya
atau buat-buat tidak endah
malah berbangga melanggar suruhan-Nya
jangan macam-macam
kalau tak nak dihentam.

Aku takut teman
kerana janji-Nya tak didustakan
sesungguhnya siksa-Nya amat pedih
beruntunglah mereka yang diredha-Nya
maka sia-sialah mereka yang dimurka-Nya
aku sekadar mengingatkan diriku dan juga kalian
jangan tersalah pilih jalan.

CNM, 28/9/11, 20.55 pm

Dalam-dalam

Dalam-dalam kuhela nafas
lalu kuseka selama mungkin
membiar udara menyelinap ke segenap 'sinaps'
memberi kekuatan urat saraf berdangdut 'raggae'
menguburkan stress seharian
menjadikan aku kembali segar bugar
membulat mataku membaca garapan di sini
kerana puisinya kian rancak berbaris
menanti bola mataku
memberi pandang yang menggoda.

CNM, 28/9/11, 20.28 pm

Waktu kian uzur

Waktu kian uzur
ditambah badan juga uzur
izinkan daku berundur
yang tegang seharian dapat kukendur
esok-esok kita bertegur
menyambung silaturrahim yang subur
agar persahabatan tidak terkubur
sebelum nasi jadi bubur
lebih baik mengucapkan syukur
di atas rahmat dan nikmat yang tak terukur
dikurniakan-Nya kepada insan-insan jujur
ikhlas dalam bertutur
punya hati luhur
sentiasa akur
tidak takbur.

CNM, 27/9/11, 22.59 pm

Ilmu

Teman
apa pun yang kamu ingin lakukan,

selidiki
jangan nantinya ada penyesalan,

memang kesilapan adalah pengajar yang baik
namun kebijaksanaan membaca kemungkinan perlu,

dari mana datang kebolehan itu
jika bukan dari manafaat ilmu yang kamu telah kumpulkan.

CNM, 27/9/11, 22.22 pm

Sesekali

Sesekali
kurasa ingin terbang di angkasa
melihat isi alam
pelbagai warna
pelbagai rupa.

Sesekali
kurasa ingin menyelam di dasar lautan
melihat perut laut
pelbagai hidupan
pelbagai keanehan.

Sesekali teringin.

CNM, 27/9/11, 17.57 pm

apabila berkata

Teman
apabila berkata
berkatalah dengan sebaik-baik perkataan
barangkali ia jadi doa
yang didengari yang Maha Esa.

Ya Allah
jauhkanlah kami
dari sifat keluh kesah
yang menjauhkan kami dari mengucap syukur
kerana ketetapan-Mu yang terbaik untuk kami.

CNM, 27/9/11, 14.33 pm

25 September, 2011

Kiwi Cinta

Di serata alam ini
barangan lumrah akan lusuh
diselaputi debu
kelihatan tak bermaya
hilang gemerlap dimamah waktu.

Begitu juga cinta
akan melusuh hilang serinya
dan sudah tentu perlu dikiwi cinta itu
agar kembali memancar sinar
kelihatan seperti baharu berputik.

CNM, 25/9/11, 22.51 pm

Laut Kasih 57

Bahtera yang kita layari dinda
telah meredah badai dan gelora
bertahan panas dan hujan
masih mampu membelah laut kehidupan
dengan ampuhnya menyusuri
pesisir pantai cinta kita.

Labuhan yang kita singgahi dinda
menyatukan pecahan bibir kata
bertaut kembali menjadi sempurna
tiada cacat cela
bersaksi sekalian isi laut kasihmu
mewarnai indah alam cinta kita.

CNM, 25/9/11, 22.17 pm

Adakalanya

Adakalanya
aku tak akan berbicara
menyimpan kata-kata lebih bermakna
kerana aku yakin tiada jawapan yang diperoleh
hanya menambah beban di dada
sia-sia.

Adakalanya
aku akan meluah rasa
mengeluar segala yang menyesak jiwa
kerana aku yakin dengan berkata ia menenang sukma
lapang dada seakan terlepas bebanan yang menimbun
berharga.

Adakalanya
aku dalam dilema
antara berkata-kata dan diam saja
lalu kupanjatkan doa
mengharap petunjuk dari-Nya
dan cukuplah bagiku hanya kepada Dia memohon pertolongan.

CNM, 25/9/11, 18.25 pm

24 September, 2011

Dulunya

Dulunya aku hidup
dalam kelam malam yang gelita
hanya pelita ayam membekal cahaya
dan esoknya penuh jelaga
mewarnai serobong nafas ke dada
seakan terasa gelap itu tak akan berakhiran.

Dari lembah kehidupan
berbekal cahaya lampu minyak tanah
aku mengenal huruf menulis dan membaca
aku daki anak-anak tangga
satu persatu penuh cermat kujaga
dan aku mula menyaksi ada samar cahaya.

Berbekal harapan dan doa
kuteruskan langkah mencapai jaya
dengan restu ayahbonda
yang tidak putus mendoakan
aku kini aku tahu aku tiba di puncak
dan diterangi cahaya mentari rezeki.

Kerana-Mu Ya Rabbi
yang maha pemurah lagi menyayangi
aku tak akan lupa mengucapkan syukur
di atas limpah kurnia
di atas keredhaan
Engkau penguasa langit dan bumi.

Kepada-Mu cukup bagiku memohon pertolongan.

CNM, 24/9/11, 17.58 pm

Laut Kasih 56

Telah kutemui jalan
menuju muara kebahagianku
yang bercantum dengan laut kasihmu
semoga tiada gelora membadai pergi
janji sumpah setia yang terpetri.

Telah kulayari bahtera
meredah taufan yang menerjah
syukur layar cintaku kekal berkibar
membelah indah laut kasihmu
mengelilingi pulau-pulau rindu.

Telah kubina labuhan
buat melabuhkan bahtera cinta
berteduh dari panas dan hujan laut kasihmu
dan setelah langit cerah kembali
kita belayar lagi mencari mimpi.

CNM, 24/9/11, 17.11 pm

Aku cinta kamu dinda!!!

Aku sering kali menyimpan suara
untuk kubisikan dalam kelambu cinta kita
kerana kutahu dinda
saat cuping telingamu menyambut ayat cinta
merona merah pipi mulusmu dinda.

Aku sering memandang ke dalam mata hitam
dalam-dalam kubongkar rahsia hatimu
kerana kutahu dinda
saat matamu bertatapan mataku
kau tertunduk malu mengiyakan rasa gelora asmara.

Aku cinta kamu dinda!!!

CNM, 24/9/11, 12.43 tgh

Terbaik

Terbaik dari hulu
adalah alir beningnya
mendingin akan bara kekalutan
salju putih menaburi alam ketenangan
damai terasa memuncak ke langit biru.

Terbaik dari muara
adalah menghijau liuk lintuk pepohon
tumbuh subur di dada tanah enapan delta
unggas riang mendendang lagu kedamaian
menari-nari tanpa peduli alam disakiti parasit isinya.

Terbaik dari laman
adalah bait-bait indah
garapan teman-teman pemuisi
dalam nada melankolik dilingkari bisikan romatis
dipagari sedaloka gelak tawa tak berketepian.

Cerialah PBKS!

CNM, 24/9/11, 11.07 am

Beku di puncak rindu

Aku yang terbeku di pucak gunung rindu
dibaluti sajlu unggu dari langit berhiasmu
laluku mengharapkan angin asmara meniup menghangatkan
meretak lapis salju yang mencengkam jiwa
perlahan salju merekah mencair mengalir sendu
menuruni cerun kasih menuju lembah cinta
tinggal aku tegak berdiri
menanti garuda belaanmu menyambar
membawa aku ke alam cinta abadi
memadu kasih dan sayang
di ranjang baldu bersalut emas putih
berlangit awan gemawan bersulam kabus suci.

CNM, 24/9/11, 9.45 am

Lelaki ke jantan?

Lelaki ke jantan?

Jenis apa kamu ini
lelaki ke jantan?
belum apa-apa sudah minta itu ini
sedang apa yang kamu minta
sepatutnya kamu yang adakan.

Kamu wanita!
tidak nampakkah itu bala
jantan durjana yang akan membinasakan hidup kamu
tak rugi kalau kamu lepaskan
usah ditagih cinta jantan keparat.

Kamu lelaki!
jika menyusahkan wanita bacul namanya
cinta bukan sekadar mengucapkan rindu kasih dan sayang
belajar menghargai anugerah Tuhan
belajar memuliakan.

CNM, 23/9/11, 15.14 pm

22 September, 2011

Siapa dia?

Siapa dia?
waktu mudanya
dia begitu rakus mengikis
dia begitu ligat menarah
yang dikendungnya jernih
jalannya lurus menegak.

Siapa dia?
waktu dewasanya
dia mula melencung
dia mula menyimpang
yang dibawanya berkarat
jalannya mula berliku.

Siapa dia?
waktu tuanya
dia mula lemah
dia mula mengesot
yang diheretnya subur
jalannya makin lebar.

Siapa dia?
di hujung nyawanya
dia melawan ombak
dia mengenap delta subur
yang dibinanya tak ternilai
jalannya mencoret sejarah yang panjang.

CNM, 22/9/11, 20.04

Laut Kasih 55

Kuraup buih-buih rindu dari laut kasihmu
kupintal jadikan selendang
buat menutup ubun cinta.

Kukutip mutiara kasih dari dasar laut kasihmu
kugilap jadikan kalung
buat menghiasi dada cinta.

Kutahu setiap isi laut kasihmu
jadi barangan indah
menghidupkan alam cinta kita.

cnm, 21/9/11, 18.27 pm

Hari ini realiti, Esok belum lagi

Hari ini realiti
walau menyakitkan
itu pasti
redhakan
tenanglah hati.

Esok belum lagi
walau didambakan
itu tak pasti
doakan
moga ia jadi realiti.

Ketentuan Ilahi
ada rahsia yang tersembunyi
terima dengan besar hati.

cnm, 18/9/11, 23.35 pm

18 September, 2011

Lekas sedar

Aku dengan ini sungguh-sunguh teman
berpesan kepada diriku dan juga kamu
lekaslah sedar
kita hidup tak akan menongkat langit
dunia ini hanya pinjaman
titian ke alam abadi
sama-sama kita persiapkan diri
melaksanakan suruhan-Nya
meninggalkan larangan-Nya
tanpa gagal
tanpa culas
sebelum tersedar di alam barzakh.

CNM, 18/9/11, 21.20 pm

Senyum dengan ikhlas

Senyumlah dengan manis
seperti ada selaput madu di lengkung bibirmu
kerana senyum itu penenang jiwa
jika ianya ikhlas terbit dari hati suci
jangan sesekali memberi
senyum kelat
senyum sumbing
senyum kambing
senyum hambar
senyum tawar
dan segala macam senyum
yang menjadi tanda soal penerimanya.

Boleh kau senyum?

CNM, 18/9/11, 21.07 pm

Masa tidak pernah berhenti

Tidakkah boleh kita belajar
dari masa yang tidak pernah berhenti;

tegar melaksanakan tintah perintah-Nya
tanpa gagal
melangkah dan melangkah
seharusnya kita mencontohi tegar begitu,

masa tidak pernah memandang ke belakang
meninggalkan jejak-jejaknya terkubur
tanpa secebis simpati
seharusnya kita lepaskan dengan redha yang berlalu,

masa itu hidup
sebahagian dari proses alam yang berubah
seharusnya kita sedar
masa itu berubah seperti kita dari kanak-kanak menjadi dewasa,

masa itu guru
yang mengajar tentang kehidupan
tidakkah kamu sedar
cuba mengertikannya,

kenapa masa dijadikan tidak pernah berhenti?

CNM, 18/9/11, 19.45 pm

Demi masa.

Demi masa yang berkecepatan
dari siang menjadi malam
dari malam berganti siang
dan janganlah kamu hanya duduk termanggu
menanti bulan jatuh ke riba
berangan akan hal yang muluk-muluk
sedang telah difirmankan
'demi masa manusia dalam kerugian'
berbuat sesuatu yang cakna
itulah yang terlebih moleknya.

CNM, 18/9/11, 19.10 pm

Beli cinta?

Ada yang beli cinta
di kaki kaki lima
ada cinta duit
ada cinta plastik
ada cinta materialistik
semuanya bikin hati sakit.

Cinta sejati cinta tak berjual beli
sukar dimiliki
sukar dicari ganti
setelah engkau miliki
hargai setulus hati
jangan biar cinta sejati terbang pergi.

Dapat kamu tangkapnya?

CNM, 18/9/11, 11.50 am

Telah berjayakah aku bonda?

Aku hidup dengan peninggalan kasih sayangmu
aku hidup dengan kenangan indah ketika bersamamu
aku terus melangkah kerana satu amanatmu
dan cerita cerita dalam memori terusan bermain putar
layar kenangan tidak pernah sunyi.

Suka duka
tawa dan tangis
air mata yang berjurai
doa dan harapanmu jadi azimat
yang aku genggam hingga kini.

Tidak ada satu detik yang tertinggal
aku jadikan bara yang membakar
semangat mengejar impian
jadi insan berguna
membina keluarga bahagia
berkhidmat untuk bangsa negara dan agama.

Telah berjayakah aku bonda?
CNM, 18/9/11, 10.02 am

17 September, 2011

Aku rindu bonda!!!

Mahukah kamu tahu
suatu rahsia di kalbuku
walau sudah 16 tahun waktu terkubur
bersama jasadnya
kenangan tidak pernah dinesankan
ia megah melayang di awangan
tidak pernah sekali jatuh tersungkur ke bumi.

Tiada siapa pun di dunia ini
yang mampu membuatkan hatiku rindu
seperti mana rindu yang terbit kerana mengingatinya
dan aku yakin
tidak akan ada yang mampu menyaingi
betapa indahnya saat hidup
di bawah naungan kasih sayangmu.

Aku rindu bonda!!!

CNM, 17/9/11, 15.42 pm

Bagaimana kamu merasainya?

Pernah kamu rasai
emosi saat berpisah
dan entah bila akan ketemu lagi
hati bagai dijerut tali berkaca
hanya menunggu dan menunggu
kepulangan tanpa kepastiaan
berpegang pada janji yang termeterai
waktu ke waktu berlalu tanpa ketahui.

Dan satu detik akhirnya
khabar berita tiba jua
dia akan pulang akhirnya
pulang bersama keranda dan bendera pahlawan
dan sekujur tubuhnya tidak lagi kamu lihat
hanya dua batu nesan
jadi bukti kepulangan
menepati janji yang termeterai.

Bagaimana kamu merasainya?

CNM, 17/9/11, 11.52 pm

16 September, 2011

Hargai

Apabila di depan mata
kebahagiaan kecil terasa
tetapi
apa bila kebahagiaan melangkah pergi
baharulah merasakan betapa besarnya nikmat itu
dari itu teman
kecapilah dengan syukur
jika kamu memilik kebahagiaan
sunguh-sungguh aku berpesan pada diriku juga.

CNM, 16/9/11, 17.30 pm

Kita satu negara!!!

Sejarah tidak pernah berdusta
sejarah telah mencatat yang nyata
hanya manusia yang membelitkan fakta
manusia tidak ingin belajar dari sejarah yang tercipta
merosak anak bangsa
dengan memuja pelbagai gejala
melupa yang Esa.

Apa ertinya merdeka
jika minda masih di kelas ketiga
enggan membuka mata
selesa di bawah tempurung tanpa cahaya
sepatutnya melihat dunia dari angkasa
peluang luas terbuka
bersaing memajukan bangsa
berdiri setanding warga sedunia.

Kita satu Malaysia
bangkitlah mempertahan maruah bangsa
warisan pahlawan merdeka
bersatu berpadu demi negara
menangkis propaganda
bangsa yang menjajah jangan dilupa
tidak sesekali meraka alpa
mencari ruang dan peluang menghancurkan kita.

Kita satu negara!!!

CNM, 16/9/11, 15.30 pm

15 September, 2011

Satu Malaysia

Kita bajai satu cita
kita semai satu rasa
kita pupuk satu citra
kita canai satu teromasa
kita satu Malaysia.

Kita junjung satu matlamat
kita bangunkan satu darjat
kita sanjung satu rahmat
kita pegang satu azimat
kita satu Malaysia.

CNM, 15/9/11, 19.12 pm

Waspada!!!

Adakah kamu terperangkap
sepertinya serangga
terlekat di sarang labah-labah
tidak mampu bergerak
hanya berharap
nasib yang baik
angin bertiup kencang
memecahkan sarang labah-labah
dan bisa meloloskan diri
atau hanya berserah
hanya menunggu saat dan ketika
dibaham labah-labah itu.

Waspada!!!

CNM, 15/9/11, 18.56 pm

13 September, 2011

Cinta bernyawa

Dari degup jantung yang berdetap
pasti ada sebuah kehidupan
dan bagaimana untuk mengenali
sebuah cinta yang hidup
sedang cinta tidak punya jantungnya
maaf doktor cinta
maaf pawang cinta
jika ini kedengaran melucukan
kerana naluriku berkata;

saat mata kamu berlaga dengan si dia
ada getaran di hati yang maha dahsyat,
saat kamu memandang si dia
hati kamu mengukir senyum lebar ke telinga,
saat kamu berjauhan dari si dia rindu pun membakar
dan dengan gelojoh resah gelisah menggigit,
setiap detik tanpa si dia di sisi
kamu menunggu khabaran darinya
seperti mengharap cahaya di malam gelita.

Itulah tanda cinta kamu bernyawa!!!

CNM, 13/9/11, 19.55 pm

Suntikan kasih sayang

Mahukah kamu tahu
apa rahsia yang bisa
menyuntik kekuatan luar biasa
bangkit dari kegagalan
bangun dari kekecewaan
berdiri dari curam kemusnahan
berjuang meneruskan baki kehidupan.

Percaya atau tidak
cubalah kamu berikan
ya, berikan kepada yang memerlukan
nescaya kemunculan semula terjadi
dan dengarlah bisikan terikhlas
ucapan terima kasih bersulam linangan air mata
di atas 'kasih sayangmu'.

CNM, 13/9/11, 19.11 pm

11 September, 2011

hati-hati dik!!!

Mencari cinta umpamanya
mencari permata di dalam lambakan pasiran
setelah dijumpai
belum tentu ianya bercahaya
ia perlu dicanai digilap dik
moga yang muluk-muluk
pengakhirannya dik!!!

Jangan biarkan
guruh petir menghentam dadamu
saat kamu tidak dipedulikan
saat cinta hati kamu berpaling
kepedihan dan kelukaan
tidakkah kamu dapat membayangkannya?
hati-hati dik!!!

CNM, 11/9/11, 22.33 pm

Laut Kasih 53

Denganmu kasih
kumengerti akan harga kesetiaan
tak terbayar dek harta benda
ia hanya ada pada jiwa suci
tidak dijual beli
aku bersyukur apa yang kumiliki.

Denganmu dinda
kubelajar erti pengorbanan
tak terlihat dengan dua mata
hanya pada mata hati
nilainya terlalu tinggi
aku bersyukur apa yang kuada.

Denganmu manja
kumembaja kasih sayang
tak terbina dalam satu saat
waktu ke waktu kumemupuk
membimbing rasa cinta
ke pundak laut kasih sayangmu.

CNM, 11/9/11, 21.40 pm

Alam kampunganku

Sebutlah apa saja gadjet zaman moden ini
ianya tak akan mampu menyaingi
betapa indahnya;

saat melayan puyu mengutis mata kail
membilang gerak pelampung batang riong
gaya usikkannya sudah kukenal,

saat menimba lubuk di musim kemarau
berembun mengeringkan kubang
menanti siang dengan sepat keli puyu terkepong,

saat meredah hutan belukar
menahan jebak candik kuning
dengan denak yang bercicipan merdu,

aduhai! anak zaman moden
kamu tak akan dapat
menikmati pengalaman ini.

CNM, 11/9/11, 21.00 pm

Aku ingat semuanya bonda!!!

Petang begini
kenangan bersama bonda
sering kali menerjah minda
masih aku ingat
lincah tangan bonda
menguli tepung gandum
dikamilnya jadi roti
buat mengalas perutku adik beradik
sungguh
tak pernah kujumpa roti canai
segebu roti canai yang bonda hidangkan.

Sering kali
aku merempitkan motorsikal
membawa bonda
mencari serai kayu
mencari bunga kantan
buat ulam nasi kerabu
dan bondalah
di sunyi subuh hening
bangkit menanak nasi kerabu
membungkus untuk jualan
mengumpul sedikit belanja untuk anak-anak.

Aku ingat semuanya bonda!!!

CNM, 11/9/11, 18.00 pm

Abah sayang kamu!



Melihat kamu gembira anak
hati terasa bahagia
sekurangnya abah pernah membahagiakan kamu
tidak sanggup abah melihat kamu berduka
bermuram durja
senyumlah anak
senyumanmu mendamaikan
tiada yang lebih bermakna
tiada yang lebih berharga
dari menguntumkan senyum di lengkung bibirmu.

Abah sayang kamu!

Bagai Layang-layang

Tahukah kamu
hidup ini seperti bermain layang-layang
adakala ia jatuh terjunam buat kita kecewa
namun kita lambung lagi
menarik dan menghulur tali panjang-panjang
mengharap layang-layang terbang tinggi
dan apabila ia berada di puncak
kita rasa bangga rasa puas.

Tahukah kamu
adakala layang-layang
dibadai angin kencang
lalu ia berpusing-pusing tanpa haluan
kerana kepandaian pemainnya
layang-layang tidak putus talinya
diladeni angin dengan bijaksana
layang-layang terbang megah tanpa koyakan.

CNM, 11/9/11, 13.30 tgh

10 September, 2011

Kerana manis dan mahalnya zaman remajaku;

Aku jadi rindu
pada sawah dan bendang
bergelumang dengan pacat dan lintah
mengagau sepat keli dan puyu
buat regu sepinggan nasi
dan segala macam kenakalan
mengukir senyuman tak bertepi.

Aku jadi rindu
pada musim tengkujuh
apabila hujan tak celik mata
mengayuh perahu ke hulu ke hilir
mencari dedaun pohon sisik puyu
buat mengisi perut
sekandang kambingku.

Aku jadi rindu
pada musim kemarau
berteman sebatang bambu
merenangi separuh sungai kelantan
mencari etak di mendapan pasiran sungai
menjajat tebingan sungai mengutip pucuk paku
sayuran percuma segar tak tercemar.

Aku jadi rindu
pada musim buah
tiada pohon yang tak aku panjat
memenggal bontot kelapa muda di atas pelepahnya
meneguk segar manis airnya
tanpa rasa takut
dan aku sedar semuanya hanya tinggal kenangan.

Aku jadi rindu pada kampung halamanku.

CNM, 10/9/11, 22.45 pm

Laut Kasih 52



Dinda
inilah bukti kasihmu
yang aku simpan dalam kamus hidupku
masih ampuh
walau sudah 23 tahun berlalu
hadiahmu yang berharga buatku.

Dinda
sungguh utuh cintamu
sepertinya benang emas itu
yang dikau sulam rapi
tersusun kemas pada rak hatiku
itu kupasti.

CNM, 10/9/11, 15.45pm

Setelah memberi cinta

Setelah kamu memberi cinta
dengan seluruh jiwa dan raga
dan yang hadir cuma rasa terseksa
itu namanya memperhamba
cintamu berbalas tuba.

Setelah kamu memberi cinta
dengan rela tanpa paksa
dan yang hadir semuanya rasa bahagia
itu namanya memilikinya
cintamu bercagar nyawa.

Setelah kamu memberi cinta
dengan debaran yang bergelora
dan tiada rasa yang hadir membaja
itu namanya cinta lara
cintamu bukan pada haknya.

CNM, 10/9/11, 13.23 pm

Laut Kasih 51

Mencintaimu kasih
sepertinya menghela nafas
di daerah pergunungan bersalju
dingin menyusup ke segenap bilah nadi
dan kecintaan meluap-luap jadinya.

Merinduimu kasih
sepertinya menghirup wangian mawar
di taman flora cinta
haruman menyelinap ke segenap rongga rindu
dan kemesraan berkobar-kobar jadinya.

Menyayangimu kasih
sepertinya membelai asmara
menghangat getaran jiwa lelakiku
mengegar sukma kerinduan
dan memuncak keghairahan rasa cintaku.

CNM, 10/9/11, 12.52 tgh

Usir pilu

Teman
jika air matamu
mengalir bagai air wadi di gurun
menyubur tumbuh pepohon yang meredupkan
tangisilah semahu-mahumu
andai air mata itu menyubur rasa tenang
melarutkan duka bersama guguran rintik kristalmu.

Teman
setelah terpeluwap kristal jernih
jangan lagi ada rasa kepiluan
biar ia diterbangkan bayu
menyatu menjadi awan gemawan
memutih di dada langit
menemani pelangi berkembar
mewarnai sekeping hatimu.

Teman
biar hujan rindu kepada-Nya
berguguran membasahi laman nuranimu
kerana dengan mengingati sang pencipta
hatimu akan jadi tenang
bagai air di kali
mempotret wajah langit yang membiru.

CNM, 10/9/11, 7.50 am

Roda hidup

Roda hidup

Embun masih mengejat
mentari masih membuta
burung-burung masih membisu
aku sudah bersimpuh di soda gebu
menerokai laman ini
membaca bait-bait bicara
sahabat yang mencurah rasa
kudoakan kalian sejahtera
yang mengyambut ulang tahun
salam berbahagia
yang menyambut warga baru
salam tahniah
yang kehilangan orang disayang
salam takziah
sesungguhnya begitulah roda hidup
tak pernah terhenti.

CNM, 10/9/11, 7.35 am

Dia

Dia
mencuba segala
sungguh istimewa
dalam serba kekurangan diri
dia ada jiwa mega
dan aku bangga.

Dia
pengubat duka
sungguh bertuah kami
kasih terikat di hati
mengukir bahagia
dan aku rasa diredha.

Ya Rabb
dia harta
dia anak manja
penyeri hidup hamba
syukur kepada-Mu
yang maha berkuasa.

CNM, 9/9/11, 23.59 pm

09 September, 2011

Laut Kasih 50



Menanti rona senja dari langit laut kasihmu
satu saat yang tak tergambar dengan bait puisi
beriringan mengatur pandang dibayangi awan mega
memaut jari jemari dalam dakapan hangat nafasmu
aku termanggu longlai di dada cintamu.

Menanti embun malam dari laut kasihmu
satu saat yang tak tertulis dalam ayat cinta
bergandingan menari di hamparan pasir memutih
mengikut irama pungguk mendayu merayu rembulan
aku terlentuk syahdu di bahu cintamu.

Menyaksikan bulan dan bintang
di layar langit laut kasihmu
membawa aku ke alam cinta sucimu
berkemilauan kerdipan bintang
bagai menghiasi pelamin cinta kita.

Aku mencintaimu dinda
dalam susah dan senang
dalam suka dan duka
dalam jaga dan lena
dari saat pertama kasihku tertumpah ke dada cintamu.

CNM, 9/9/11, 23.23 pm

Laut Kasih 49

Bagai arus dan ombak
menyatu di muara kasih
tiada antara dalam jiwa
bertaut ampuh menjadi satu
seiya sekata sehati sejiwa.

Muatan aliran laut kasihmu
berpadu menimbun subur delta cinta
jadi tanah tumpah darah anak-anak kita
anugerah Ilahi dari benih asmara
yang kita semai dalam ikatan suci.

Dikau yang bertahta
dikau yang setia
dikau utusan bahagia
dikau amanat yang Esa
akan aku jaga selagi ada nyawa.

CNM, 9/9/11, 22.37 pm

Pukulan Takdir



Pukulan takdir
bisa membelah jiwa
calang-calang keimanan
bisa menggugat keteguhan takwa
seringkali manusia jadi tidak sabar
bertindak mengikut nafsu dan perasaan
lupa mengucapkan syukur
lemas bila didatangi sedikit dugaan
sedang itu secebis ujian mengusik iman
bertabahlah
kesabaran kemantapan peribadi mulia
insyaAllah teman.

CNM, 9/9/11, 18.39 pm

08 September, 2011

Perlukah?

Perlukah terusan kamu bersedih
sedang;
kesedihan itu membuat kamu takut menghadapi masa depan
kesedihan tidak akan mengembalikan yang hilang
kesedihan tidak akan memanggil pulang yang telah pergi
kesedihan tidak akan menghidupkan yang mati
kesedihan itu tipu daya syaitan yang membinasakan
sedarlah;
di sebalik pintu kepedihan itu
ada sinar kebahagiaan
ada nur kesenangan
yang menanti dengan pasti untuk dipetik.

CNM, 8/9/11, 19.10 pm

Laut Kasih 48

Gulungan rindu
menghempas ke dada pantai kasihmu
yang terdakap kejap
tidak bisa melepaskan diri
untuk tidak datang menagih dilayani.

Badai cinta
bergelora ke pesisir labuhan kasihmu
yang terangkul kejat
tidak mampu meronta diri
untuk tidak datang memohon dikasihi.

Begitu luar biasanya
panahan laut kasihmu
merekat jiwaku dan jiwamu
berpadu jadi satu
bersaksi seluruh isi alam laut kasihmu.

CNM, 8/9/11, 16.40 pm

Dalam bicara yang pahit

Anak
dalam bicara ibumu yang pahit
terselit seribu kemanisan
dengarlah
walau tidak seiring dengan geletak hatimu.

Anak
dalam bait kata gurumu yang sinis
tersemat seribu kebaikan
pandanglah
walau tidak selari dengan detak jiwamu.

Anak
dalam keras tajam pesanan orang tua
tersirat seribu azimat
akurlah
walau tidak membungakan kuntum sukmamu.

CNM, 8/9/11, 16.16 pm

Waspada!

Datangnya angkuh
konon membawa salju putih
sedang dalam setiap tetesan
terkandung beribu enap cemar
yang menganggu gugat makhluk alam ini.

Datangnya bongkak
konon membawa cerita indah
sedang dalam setiap bait kata
tersuntik racun bisa
yang membarah isi alam ini.

Waspada!

CNM, 8.9.11, 14.30 pm

Laut Kasih 47

Sesaat berjauhan denganmu
rindu pun bertandang
memerah rasa di kantung jiwa
hela nafas bagai tersekat
melemaskan
mendambakanmu.

Sesaat berjauhan denganmu
anganan pun berputar
mengalirkan debar di dada jiwa
detak jantung memecut laju
mengujakan
menantikanmu.

Sesaat berjauhan denganmu
memori indah pun memancar
mengukir senyum di lengkung bibir
membaja rindu menguntum kasih
mekar di tangkai sukma
mengharum selaut kasihmu.

CNM, 8.9.11, 7.58 am

07 September, 2011

Tak dok maso nok koya

Kewe tak dok maso nok koya
banyok benda nok kejar
tak sir hanyut dale arus angane
satu karo pon tak jadi
sudohnyo susah diri sediri.

Kewe tak dok maso nok koya
banyok benda nok bayar
tak sir hanyut denga hute
satu karo pon tak sene
sudohnyo susah hati sore diri.

CNM, 7/9/11, 23.00 pm

aku tersedar!

Aku bukan pencari mimpi
peliknya mimpi sering muncul dalam lenaku
alam bawah sedar ini memelikkan
seakan realiti bermain putar
emosi bawah sedar menggelepar
menyeret fizikal ke dalam layar
mengikut lagu dan irama mimpi
berenang dan melingkari ilusi.

aku juga bukan penafsir mimpi
yang kutahu mimpi hanya mainan
yang hadir di alam bawah sedarku
membawa cerita silam
yang tercatat sebagai sejarah
terkubur dengan nesan kenangan
terimbas dalam alam mimpi
jadi sempadan yang mengajar.

aku tersedar!

CNM, 7/9/11, 22.44 pm

Aku hanya Hamba-Mu Tuhan!

Aku bukan penunggu
aku juga bukan pengembara
aku manusia yang bergerak mengikut masa
sedaya cuba bergerak seiringan
tidak mahu jauh tertinggal ke belakang
kukhuatiri akan tersesat tanpa haluan
juga tidak mahu jauh mendahului ke depan
kutakuti terbabas ke jurang kebinasaan.

Aku bukan hanya peminta
aku juga ingin memberi seikhlas hati
dengan itu aku meminta kepada-Mu
kurniakan kesihatan yang berpanjangan
agar mampu kumengatur langkah
memberi apa yang kumiliki
kepada yang hak
agar jadilah aku nantinya makhluk yang dirahmati.

Aku hanya Hamba-Mu Tuhan!

CNM, 7/9/11, 22.10 pm

alam cinta

Terlukis potret hati
pada dada langit yang membiru
diwarnakan dengan warna teras sukma
berbingkaikan awan gemawan yang terpintal memutih
bercerminkan warna-warna pelangi berseri
kuntuman bunga kasih mengelopak mekar
mewangikan setaman sanubari
harum semerbak
menyelubungi alam cinta.

Sesekali potret diselubungi kabus duka
kelam dibawa angin salah sangka
tersalah tafsir bicara
gerimis menempias luka
tubir airmata hangat membara
menitis membasahi dada kecewa
dan ketika rasional hampir di cenuram akal
kesabaran memaut kejap mengikat perasaan
tidak terjatuh ke dalam jurang perpisahan.

CNM, 7/9/11, 21.30 pm

Cinta Kelat

Ha! ha! barangkali cinta dua darjat
yang terbina tanpa restu tanpa berkat
harus dirasakan tergugat
jangan terperanjat
saja saya menyakat.

Cinta kelat
mungkin mangsa diperalat
banyak ralat
yang menganggu gugat
dalam mencapai hajat.

Adeh! hebat
cinta tak tersurat
cinta yang tersirat
berselirat
terjerat rapat.

CNM, 7/9/11, 19.00 pm

Laut Kasih 46

Alam laut kasihmu
terang benderang dengan cahaya cinta
diwarnai pelangi kasih
redup awam gemawan rindu
membelai baru asmara
tenang damai daku diulit pelukanmu.

Alam laut kasihmu
berkemilauan dengan nur kesetiaan
yang membina tugu kepercayaan
di atas tapak kesefahaman
dan aku pasti kasih
setiamu kerana limpahan cinta di alam laut kasihmu.

CNM, 7/9/11, 7.16 am

06 September, 2011

rahsia Tuhan

Mahukah kamu tahu?
ajal maut jodoh pertemuan
adalah rahsia Tuhan
lekas sedari
menangis meratap
tidak akan mengembalikan kasih yang tercicir
jangan jadi manusia yang tidak sabar
bertindak mengikut perasaan dan nafsu.

Memang lumrah kehidupan
hati akan terpukul oleh perpisahan
namun ia bukan garisan penamat
yang membunuh seluruh kehidupan
bangkit pulihkan jiwa
ketentuan Ilahi
tersimpan rahsia
yang tak terungkai dek akal manusia.

CNM, 6/9/11, 22.44

cermin nyata


Ada nada mendayu dalam puisi-puisinya
berlagu sayu sayup-sayup di remang senja
bicara bersulam air mata melingkari rasa
dada berombak bersama gelora derita
merindu sang arjuna kembali
mendampingi saat dia lemas
dalam arus cinta ciptaan jiwa
dan hatinya tetap dipagut kecewa
bila tersentak di cermin nyata
dia bermimpi dalam jaga.

CNM, 6/9/11, 17.57 pm

05 September, 2011

Kumulakan hari

Kumulakan hari ini
dengan ucapan alhamdulillah
syukur di atas limpah kurnia-Nya
menganugerahkan kesihatan
dapat terus berkhidmat kepada anak bangsa
melunaskan cabaran dan wawasan negara
membina modal insan cemerlang gemilang dan terbilang
tersohor serata dunia.

Kumulakan tugas hari ini
dengan ucapan bismillah
memohon kerberkatan-Nya
dipermudahkan segala urusan
dipelihara dari kekusutan
semoga dapatku memberi yang terbaik
demi anak bangsa yang menagih segendung ilmu
buat bekalan menempuh kehidupan penuh dugaan.

CNM, 5/9/11, 7.06 am

04 September, 2011

Alam pun mengerti

Di sebelah mentari jatuh sana
masih kedapatan manusia tidak bertamadun
tanpa secebis rasa bersalah
mengambil nyawa mereka yang tidak berdosa
berperang dengan mereka yang tidak bersenjata
takutkah mereka?
takut kepada kebenaran
bahawa kedamaian di sebelah mentari tiba
bisa mengugat ketamadunan mereka
takutnya meraka pada bayang-bayang kepalsuan sendiri
konon memperjuang hak asasi manusia
konon menjaga keamanan dunia
dan aku tahu bangsa itu
bangsa yang bangsat!
memperdaya
bersandiwara
tunggulah kehancuran
yang kamu tak sangka-sangka
alam pun mengerti derita isinya.

CNM, 4/9/11, 23.14 pm

kepalsuan dan kebenaran

Mahukah kamu fahami
menilai buku bukan hanya pada kulitnya
kamu perlu baca setiap patah kata
kamu perlu teliti setiap rangkap bicara
kamu perlu hayati setiap lenggok hujah
dan setelah itu letak nilaian berapa bintang yang selayak.

Mahukah kamu fahami
menilai seseorang itu bukan hanya pada paras rupanya
senyuman manis tak bermakna dasar hatinya tak bergelora
gelak tawa tak bermakna jiwanya tak dilanda tsunami
perlu tinggi aras mentafsir sekeping hati
perlu tahu bahasa rajuk
perlu faham bahasa membisu.

Dan guru terbaik adalah
seluruh pengalaman yang kamu kutip
di sepanjang jalan kedewasaan
usah terlalu yakin pada pandangan mata
sesekali mainkan peranan mata hati
menafsir di sebalik ukiran wajah
dan barangkali kamu ketemu jawapan
antara kepalsuan dan kebenaran.

CNM, 4/9/11, 21.12 pm

Berdoalah!

Teman
ujian sang Pencipta
datangnya dalam pelbagai rupa
diberinya kesakitan
diberinya kefakiran
diberinya kekayaan
lalu kepada-Nya jua
harus menadah tangan
memohon keredhaan.

Teman sepertinya ujian itu
dalam pelbagai rupa
yakin dan pasti
sematkan ke dadamu
pertolongan sang Pencipta
akan datang dari arah
dan jalan yang tak disangka-sangka
kesabaran menerima ketentuan
seribu kali lebih baik dari satu keluhan.

Berdoalah!

CNM, 4/9/11, 20.37 pm

Laut Kasih 45

Andai kumampu
memetik bunga di serata alam
akan kujadikan jambangan cinta
menghiasi kamar peraduan
agar mewangi seluruh hidupmu.

Andai kumampu
mengumpul manisan di pelusuk alam
akan kujadikan madu kasih
menghilang dahaga rindu
agar berseri seluruh hayatmu.

Andai kumampu
mengikat jaluran pelangi indah
akan kujadikan tirai kebahagiaan
menghalang kesepian bertamu
agar ceria seluruh alam laut kasihmu.

CNM, 4/9/11, 17.54 pm

Laut Kasih 44

Dinda
ingin kujadi udara
agarku dapat menyelinap
ke kamar hatimu
membaca diari kasih
yang kamu tuliskan untukku.

Dinda
ingin kujadi cahaya
agarku dapat menyusup
ke gedung memorimu
membaca puisi cinta
yang kamu tintakan untukku.

Dinda
ingin kujadi angin
agarku dapat membelai
ke pipi impianmu
menelah anganan asmara
yang kamu ukir untukku.

CNM, 4/9/11, 17.17 pm

Laut Kasih 43

Nun di hujung teluk kasihmu
tersergam indah mahligai cinta
kubina dari sisa-sisa kasih
yang kukutip satu-satu
di pesisiran pantai
laut kasihmu tak pernah menghampakan.

Nun di hujung labuhan asmaramu
terbina megah tugu kesetiaan
kuukir dari permata hati
yang kugilap memancar
di cermin hiasan
laut kasihmu tak pernah mengecewakan.

CNM, 4/9/11, 17.02 pm

Masa terus berlari

Masa akan terus berlari
mendahului tanpa mengerti
yang di belakang diburu kepayahan
yang di belakang lelah menahan sesak nafas
tidak akan dipedulinya
dengan masa tiada erti berhenti sejenak
dan benarlah firman-Nya
'Demi masa sesungguhnya manusia dalam kerugian'.

Sedarilah
apapun jua kepayahan
apapun jua pengujian
itu adalah cabaran kehidupan
telah dianugerahkan akal yang bijaksana
itulah sumber kekuatan
mentadbir uruskan perjalanan
agar tidak tergolong kita dalam kalangan insan kerugian.

Bolehkan!

CNM, 4/9/11, 9.50 am

Sepi mencengkam

Telah bertebaran anak-anak
seperti kalkatu terbang bebas
meninggalkan sarangnya
meneruskan kehidupan mencari rezeki
di perantauan
dan tinggallah si tua berdua
dicengkam sepi
diulit sayu
menunggu kepulangan seterusnya
entah ada kesempatan waktu
sebelum terbujur kaku.

CNM, 4/9/11, 9.10 am

03 September, 2011

perutku lena

Lagu yang didendangkan
sejak senja tadi
aku telah bunuh
kejamkah aku?
lagu yang didendang
acapkali telah kudengar
menyesak ke dada
mencengkam ke kepala
entah mengapa
dendangannya membuat aku agresif
mencari dan mencari helah
membenam irama itu
dan kini aku tenang
dan kini aku senang
menikmati indah bait-bait puisi
kerana perutku sudah terisi
Alhamdulillah rezeki malam ini
biskut berkrim lemon dan secawa milo kosong
syukur perutku lena.

CNM, 3.9.11, 21.35 pm

Sore ini kasih

Sore ini kasih
kudambakan berpeleseran denganmu
berpegangan tangan berjalan beriringan di gigian pantai
membiarkan dua pasang kaki dibelai damparan ombak
menghela nafas dalam dalam
menyaksikan mentari separa terbenam
menyimbah merah rona senja
seakan tidak mempeduli sepasang mata malam mengintai cemburu
dan kita semakin erat berpelukan menghangat asmara
membiarkan bayu membisik cicipan camar laut
yang mengerti paduan kasih kita berdua.

CNM, 3/9/11, 18.00 pm

Laut Kasih 42

Andai aku mampu
memelodikan hela bayu laut kasihmu
akan kugubah lagu rindu
jadi irama dendangan saat kamu beradu
biar lenamu bermimpikan yang indah-indah.

Andai aku mampu
memintal buih-buih ombak laut kasihmu
akan kuanyam sutera kasih
jadi hamparan alas peraduanmu
biar istirehatmu mempusarakan lelah.

Andai aku mampu
mencantum karangan laut kasihmu
akan kubina istana cinta
jadi lambang cinta kasih sayang
biar keyakinanmu teguh berdiri di puncak kasihmu.

CNM, 3/9/11, 8.47 am

Dia Ayahbonda

Dia ayahbonda
tidak mengharap hartamu
ditaburi untuk rasa gembiranya
cukup sekadar hadirmu di sisinya
saat rindunya tak terbendung.

Dia ayahbonda
tidak mengharap seluruh detikmu
diluangkan untuk rasa sejahteranya
cukup sekadar ingatanmu saban waktu
saat rasa kasihnya tak terhintung.

Dia ayahbonda
tidak mengharap balasan darimu
pengorbanan demi kerana-Nya
syukurilah punya ayahbonda
yang memberi segala.

Dia ayahbonda
tiada gantinya
kasihnya tiada penghujung
berkorban apa saja
demi anak-anak tercinta.

Dia ayahbonda
selayaknya dibela
selagi masih ada masa
tak terbalas segala jasa
hanya kepada Yang Esa harus dipinta.

Dia ayahbonda
restunya membawa ke syurga
redha Ilahi kerana redhanya
jaga mereka
selagi ada nyawa.

CNM, 3/9/11, 7.25 am

02 September, 2011

Laut Kasih 41

Sayang
tiada saat lebih indah
yang pernah kurasai
selain saat memadu kasih denganmu
tidakkah kamu rasa apa yang kurasa.

Sayang
tiada saat lebih memilukan
yang pernah kualami
selain saat terpisah berjauhan denganmu
tidakkah kamu merasakan pilu itu.

Sayang
tiada bahasa yang lebih anggun
yang dapat kupuisikan
selain bait-bait kata cintaku ini
tidakkah kamu dapat menyelami suara itu.

CNM, 2/9/11, 21.41 pm

Terlebih manis

Dari kejauhan
terukir senyuman bermadu
wajah itu menyenangkan
wajah itu didambakan
bahagia pada orang di sekeliling.

Tahukah kalian
di sebalik senyuman bermadu
tersimpan rasa yang kelabu
menyubur resah di tangkai kalbu
kerana dia tahu
dia terlebih manis sudah.

Apakah maknanya itu?

CNM, 2/9/11, 12.12 tgh

01 September, 2011

Bumi Bertuah

Bersaksikan;
titis embun suci
rerumput yang menghijau
langit biru dengan awan memutih
kuhela nafas dalam dalam
kutahan selama mungkin
biar kembali gagah memori
menyimpan segala sejarah
bahawa bertuahnya
dilahirkan di bumi Malaysia
aman dan damai
bersatu membina harmoni
berpadu menjaya wawasan
bersyukur di bumi anugerah Tuhan
tiada sengketa berpanjangan
tiada malepetaka kebinasaan
tiada huru hara yang mencengkam
itu warisan yang harus dipertahankan
dalam arus kemodenan yang mengalpakan
anak-anak Malaysia sematkan
perpaduan tiada harga untuk menebusnya
keharmonian tiada nilai untuk mengukurnya
kerana tamadun bangsa tidak mampu dibina dalam sehari.

Kamu bangga?

CNM, 1/9/11, 9.00 am

Duhai anak didikku

Duhai anak didikku

Telah sempurna berpuasa Ramadhan
telah disambut Syawal yang mulia
tanda kemenangan akan perjuangan
menahan diri dari lapar dan dahaga
menyuci diri dari segala dosa
mendapat redha-Nya.

Cukuplah bergembira
perjuangan kamu belum selesai
ada medan pertempuran bakal menjelma
bersiap sedia dengan segala senjata
semoga kamu beroleh jaya
cikgu hanya membantu yang terdaya.

Masih punya masa
untuk mengubah strategi dan cara
ukur nanti dalam pra-pertempuran sebenar
tambah apa yang kurang
baiki apa yang jadi kelemahan
dan kejayaan pasti jadi milikmu.

CNM, 1/9/11, 8.27 am

Laut Kasih XL

Sayang
sejak termeterai janji kasih kita
hanya dirimu jadi ratu di hati ini
kupupuk cinta kasih sayang
kukumpul segala kemesraan
kusatukan segala kekuatan
demi sebuah ikatan yang berkekalan
dan syukur kepada Ilahi
cinta kasih sayang kita terus teguh berdiri
kuharapkan kekal ke akhir nanti.

Sayang
sejak kulafaz ijab dan kabul ikatan suci kita
hanya dirimu jadi isteriku satu satunya
kuserahkan jiwa dan raga
kukorbankan masa dan tenaga
kupasrah kepada Ya Rabbi
semoga cinta kasih sayang kita
sentiasa atas landasan kebahagiaan
terbina keluarga harmoni
dalam limpahan rahmat dan nikmat-Nya
atas kurniaan selaut kasih antara kita.

CNM, 1/9/11, 7.46 am

Laut Kasih XXXIX

Dengarkan duhai kasih
bersama elusan bayu laut kasih kubisikkan
inginku terus berdiri di pesisiran pantai hatimu
menikmati indahnya panorama laut biru
menyaksikan mentari separa di ufuk
menantikan malam muncul dengan bulan dan bintang
menantikan rintik embum menempias ke pipi
dalam pelukan hangatmu.

Dengarkan duhai kasih
bersama melodi deburan ombak laut kasih kutitipkan
inginku terus mengenggam erat jari jemarimu
memerhati anak-anak lambang cinta kita
berlarian di gigian air
bergurau senda seakan tiada duka
membina istana pasir untuk kita
dan kamu tersenyum senang kasih.

Dengarkan duhai kasih
bersama cicipan camar laut kasih kucoretkan
inginku berjalan bergandingan denganmu
berjalab menyusuri tepian pantai
mengatur langkah terus maju
meninggalkan jejak-jejak silam
membiarkannya jadi sejarah
dan dihanyutkan ke dasar laut kasihmu.

CNM, 1/9/11, 6.51 am