Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

30 July, 2011

Saya sedar

Saya sedar
dan akan terus sedar
bahawa saya datang dari lembah.

Menyusuri denai penuh duri
peritnya masih mencacah rasa
mendaki anak-anak tangga ke puncak.

Terkadang melawan arus
mengemudi biduk perjalanan
agar tiba ke muara kejayaan penuh makna.

Biar pun sesaat
saya ingin menikmati
nyamannya menyedut udara di puncak.

Tiba masa saya pasti
saya akan kembali menetap
dengan rasa puas pernah ada di mercu.

Saya tak akan lupa dari mana saya datang!

CNM, 29/7/11, 22.48 pm

Bicara hati

Bicara hati tidak ingin saya gumam lagi
akan saya luahkan semahu-mahunya
saya garapkan di sini.

Sinis atau membina
moga ada yang sudi membaca
mengetar akan tembok ego di dada
mencuit rasa yang seakan membatu.

Terpendam bertahun lama
di dasar lubuk jiwa
walau tenang pada riak wajah
bergolak berolak di dasar hati
kini tercoret di layar bercahaya tak bersuara.

CNM, 29/7/11, 22.22 pm

Madah berhelah

Madahmu madah berhelah
bagai bayu tenang di ulas bibir
gelora rasa melanda di lautan hati
mohonlah berlindung
dari badai yang tidak bermata
berteduh di bawah payung naungan-Nya
berpaut pada ketentuan takdir kurniaan-Nya.

CNM, 29/7/11, 19.04 pm

Rindu yang menculas

Rasa rindu yang menculas
tidak ingin bertandang ke teratak cintamu
barangkali jadi tanda
culasnya cintamu untuk menetap
mendiami sebuah kamar hati
yang telah menyerahkan kasihnya
sepenuh jiwa dan raga.

Dan cintamu mempersiakan
sebuah penyerahan
tanpa paksaan.

Begitukah?

CNM, 29/7/11, 18.40 pm

Jika kamu tidak ingin

Jika kamu tidak ingin
cakap terus terang kamu tidak ingin
jangan berdolak dalik
hingga ada yang menaruh harapan
lebih parah janji kamu ditagih.

Jangan mainkan perasaan
hanya kerana rasa seronok dikejari
buruk padahnya
andai kasih yang diberi kamu ketepi
memerangkap diri dalam api benci.

Dan dendam bertunas.

CNM, 29/7/11, 18.27 pm

2018

2018

Tidak terlalu lama
mulakan langkah pertama mulai esok
jangan duduk diam FAM
itu kerja kamu
masuk kampung
cari pemain berkualiti
latih
dedah
bina kekuatan mental fizikal.

tak mustahil berjaya!

CNM, 28/7/11, 22.59 pm

28 July, 2011

Harapan yang berkubur

Harapan yang kian jauh
seakan lenyap bersama gema sorakkan
ditiup angin kekecewaan
semangat belum mampu
membuah kejayaan.

Terimalah, kita masih jauh
jauh di belakang.

CNM, 28/7/11, 22.33 pm

Harimau Malaya

Malam ini
jika Harimau Malaya mampu menerkam seawal mungkin
ada harapan sang singa akan akur tunduk
dengan ketajaman gigitan jaringan
anak-anak Harimau Malaya.

Kamu perlu tangkas
menangkis setiap cakaran sang singa
mengaum dengan jelas memecah kesunyian stadium
agar semua tahu hadir kamu penuh kesungguhan
bukan hanya melengkap jadual pertandingan.

Baham sang singa!

CNM, 28/7/11, 18.08 pm

27 July, 2011

Kolek kehidupan

Kolek kehidupan teroleng-oleng
dilambung gelora zaman
terkadang dimasuki bendasing
terkadang terpusing kiblatnya
namun waktu yang tersisa
memungkin semuanya terbega
tidak karam di pertengahan lautan perjalanan
selamat tiba di labuhan kebenaran.

CNM, 27/7/11, 22.58 pm

Ramadhan akan tiba lagi

Ramadhan akan tiba lagi
menghulurkan tangan keberkatan
tidakkah kamu ingin menyambutnya?
dengan penuh rasa syukur
merangkulnya erat sebulan penuh
menemaninya sepanjang waktu
dengan amal dan doa
memohon keampunan
yang telah dijanjikan-Nya.

CNM, 27/7/11, 21.30 pm

Saya ingin

Saya tidak ingin jadi seperti habuk
yang berterbangan dalam atmosfera
lalu termendap di mana-mana
menutupi ruang dengan imej tercemar
menyusahkan semua pihak.

Saya ingin jadi seperti udara
yang didambakan seluruh alam
memberi kekuatan untuk kehidupan
membantu yang terdaya saya berikan
menyenangkan semua pihak.

CNM, 27.7.11, 21.12 pm

Malam tidak kisah

Malam tidak kisah
andai siang merajuk hati
kerana malam ketahui
rajuknya tak berpanjangan
bila hatinya mula dingin
cahaya kehangatannya akan muncul kembali
begitulah
ibaratnya tautan dua jiwa
tak terlerai dek gelora rasa.

CNM, 26/7/11, 23.23 pm

Luka

Luka yang tidak berdarah
tidak pernah sembuh
hanya berhenti berdenyut
dan bisa membarah
jadi dendam yang kejam
membunuh sebuah rasa tenang.

CNM, 26/7/11, 22.06 pm

Kenapa?

Kenapa?
hati yang bergeluk
akal yang menjeruk.

Kenapa?
hati yang menangis
lengkung bibir mencuka.

Kenapa?
di sana yang terasa
di sini yang merana.

CNM, 26/7/11, 22.03pm

24 July, 2011

digetus rasa

Dan bila hati digetus rasa
terzahir segala
dalam nada bicara yang hampa.

Malam pun turut hiba
mendengar dengan telinga tergangga
simpati akan sebak jiwa.

Adeh! sesak nada
rimas mencekik dada
perindu jadi tak tentu hala.

Biar bayu bawa padanya
kamu sedang membega rasa
yang sukar dikawal kala malam menjelma.

CNM, 24/7/11, 22.55 pm

Pejuang sekalian

Siapa yang kamu tentang
adakah semuanya jelik?
tidak adakah satu kebaikan
yang pernah mereka lakukan
jangan butakan mata
hanya kerana tidak selari pendapat.

Siapa yang kamu sokong
adakah semuanya mulus-mulus?
tidak adakah satu kejelikan
yang pernah mereka lakukan
jangan pejamkan mata
hanya kerana kamu rasa ia betul.

CNM, 24/7/11, 16.10 pm

Sehangat Asmara IV

Air mata barangkali
hanya membawa pergi separuh
rasa cintanya yang diserah dengan nyawa sekali
tiada pernah terlintas membiarkan cintanya ditiup angin dendam
diikat teguh pada tiang hati
kukuh berdiri tak terluluh dek gelora emosi.

Selama sembilan tahun
hujan rindu petir amarah silih berganti
terpikul di pundak
saat pertemuan kembali
betapa rindu yang terkumpul
tak terucapkan hanya hati yang tahu.

Perlahan dilepaskan kekaburan rasa
dipupuk kembali rasa kasih
setelah menyedari cintanya tak pernah dikhianati
bahagia yang ditunggu
tiba jua dengan tautan sejati
atas keredhaan ayah bonda yang merestui.

Sekian.

CNM, 24/7/11, 15.45 pm

Hari ini

Hari ini bukan hari semalam
manis atau racun
biar ia jadi sejarah
yang akan dikenang
sepanjang zaman.

Hari esok tak mungkin
sama dengan hari ini
apa pun yang bakal terjadi
tunggu dengan teguh hati
sejarah semalam bekalan terbaik.

CNM, 24/7/11, 15.32 pm

Rasa

Sepatah kata yang mengikut rasa
boleh jadi lebih tajam dari tajamnya sembilu
boleh jadi lebih pahit dari pahitnya hempedu.

Sekilas pandang yang memendam rasa
boleh jadi lebih kejam dari tusukan belati
boleh jadi lebih garang dari harimau yang luka.

CNM, 24/7/11, 15.23 pm

Sehangat Asmara III


Sehelai rindu yang tertinggal
bisa memaksa hati menangis tanpa air mata
menahan pilu yang menggigit jiwa
dan damba belaian kasih
dalam kenangan musim semalam
jadi racun menyelinap ke seluruh raga.

Bila dia muncul kembali membawa harapan
hati tidak bisa melupa
pada kisah ditinggalkan tanpa khabar berita
yang menyemak akal hanya kenapa, kenapa dan kenapa?
sukar menerima
dibayangi kebimbangan sejarah silam berulang kembali.

Cinta yang tulus tak pernah membohongi
terserlah dalam ungkapan dan untaian kata
seperti lewat musim semalam
begitulah bunyinya walau telah lama terpendam
dan dia tidak pernah sesekali membeci
cintanya kekal dijaga rapi tak terhakis walau seinci.

CNM, 24/7/11, 13.15 pm

23 July, 2011

ada betul?

Tahukah kamu
adalah tidak betul
sekiranya merasakan diri sentiasa betul
mana mungkin kita sentiasa betul
dan diri sendiri sukar mengesan apa yang tak betul
jika ada orang mengata kita tidak betul
maka renung dan kaji apa yang tidak betul
haruslah kita memperbetul
agar kita jadi betul
tak usah cepat melenting kerana itu tidak betul
yang betul kena bertindak dengan betul
memperbaiki apa yang tak betul.

ada betul?

CNM, 23/7/11, 22.02 pm

Sehangat Asmara II

Sehangat Asmara II

Cinta yang diberi
dengan separuh nyawa
kekal bersemi walau hati terseret di mata duri
dendam tidak bisa menyuci sisa-sisa kasih yang tertumpah
kekal mewarnai rindu yang tiada penghujung
menunggu dan menunggu tanpa rasa jemu.

Terpisah sepasang suami isteri
atas perancangan ayah bonda sendiri
begitu kejam menghancurkan hidup anak sendiri
sembilan tahun perpisahan yang membibitkan rasa dendam
salah sangka bahana tiada khabar berita walau sebaris ayat
hidupnya penuh tanda tanya.

Janji yang dimeterai
dimungkiri atas keterpaksaan
namun si tua bongkak
menginsafi kesilapan diri
dan cuba menebus kembali dosa silam
dengan mengaturkan pertemuan kembali.

CNM, 23/7/11, 21.10 pm

21 July, 2011

Orang tak suka

Kalau orang tak suka
tak perlu nak buat cerita
pedulikan saja
banyak lagi hal yang bawa bahagia
kalau aku, aku buat selamba
tak rugi apa-apa
yang aku tahu aku tak salah dengan yang Esa
cukup bagiku DIA maha kaya.

~CNM, 21.7.11, 20.10 pm~

20 July, 2011

Sehangat Asmara

Lagi garapan memilu
cinta yang tulus jadi racun paling bisa
menghiris dalam dalam hati seorang wanita
begitu kejamnya lelaki membiarkan sebuah cinta layu sebelum masa
terkapai kapai kamelia najwa mencari apa silap salah
ditinggalkan zainal Arief dengan seribu tanda tanya.

Setelah kepahitan
sembilan tahun bersaksi purnama yang hambar
tiba tiba dia muncul menunaskan kembali kenangan
sejarah cinta pertama yang tak akan terpadam
walau hati disiat siat tanpa belas kasihan
rasa kasih masih berbaki di lautan bisa kepedihan.

Itulah namanya cinta
setelah kesakitan masih tertingal rasa kasih.

CNM, 20/7/11, 23.09 pm

19 July, 2011

oh dunia !

Aku tidak hairan
jika kucing jalanan
mencuri masuk membawa lari ikan
kerana mungkin ada dendam
pada insan yang menyingkirkan
hidup tanpa tujuan.

Aku jadi kisah
bila kucing yang dijaga
dalam baik tertibnya
mencuri keluar dan menconteng arang ke muka
dan mendabik dada
seakan tiada rasa kesal.

oh dunia !

~Goldkey, 19/7/11, 18.53 pm~

Mahukah kamu tahu

Mahukah kamu tahu
sebesar mana pun rahsia
yang kamu simpan dan kamu fikir
menutup keterlanjuran teman-teman kamu
itu bukan langkah yang bijak
lambat laungnya ia terbongkar jua.

Percayalah
tiada insan bergelar pendidik
ingin memusnahkan anak didiknya
hanya yang terbaik ingin kami janakan
kerana bagi kami tugas ini terlalu mulia
untuk diselewengkan.

Berani kerana benar
berkata jujur walau pahit nak ditelan
sebelum mata terpejam masih ada peluang
yang mungkin bisa menyelamatkan
mereka yang terkeluar dari landasan
dan mengembalikannya pada laluan kebenaran.

CNM, 19/7/11, 18.44 pm

jalan yang terpilih

Andai jalan yang terpilih
jalan yang membawa mati
berhentilah dan berundur
belum terlambat
berpatah balik
memulakan semula perjalanan
dengan merintis jalan baru
biar keperitan membuka jalan baru
membawa ke puncak yang benar.

CNM, 19/7/11, 18.09 pm

Keinsafan

Keinsafan
yang mengalir dari lubuk jiwa
barangkali yang terbaik
menakungkan kesedaran
menyiram kesuraman hidup
yang dibakari kesilapan silam
menyinarkan cahaya keazaman
bangkit mentaati
mengakui ketergelinciran
dari jalan lurus
yang masih ada ruang dan peluang
mudik kembali sebelum
menyelusuri arus menuju muara keredhaan.

~CNM, 19.7.11, 17.55 pm~

18 July, 2011

Saya dapat

Hari ini
ada bekas muridku datang mencari
dengan termengah-mengah
menjengah ke kelas yang aku sedang mengajar.

'Yes' Yap Norman,
apa cerita sapaku?
cikgu ! saya sudah dapat
dapat apa? kutanya kembali
dapat masuk UPM
wah! tahniah kuucapkan.

Dengan muka kemerahan
datang dia bersalaman
itulah anak didik yang padaku
mengenang budi
datang mencari guru setelah berjaya
mengucapkan terima kasih.

Sebagai guru aku bangga
sekurangnya berjaya sudah
menghantar anak didik ke menara gading
meneruskan perjuangan dalam kehidupan
yang masih panjang
banyak lagi yang pelu kamu pelajari.

doa cikgu
semoga kamu terus berjaya
jangan leka
masa tak akan menunggi kita
aturkan langkah dengan bijaksana
nescaya sampai ke destinasi pilihan dengan jaya.

CNM, 18/7/11, 18.31 pm

Lelah pun lelah

Lelah pun lelah
bila diri tak mengendah
tubuh badan yang termengah-mengah
mengejar waktu menyelesaikan amanah
amanah yang bertambah-tambah
seakan tak sudah.

Nafas pun berhelah
mencari ruang menghela gundah
khuatiri sakit menyinggah
kelak tugas punah ranah
haruslah mengatur rehat dengan berhemah
agar diri tetap berdiri gagah.

CNM, 18/7/11, 14.20 pm

17 July, 2011

Kamu bak bunga




Aimran sepertinya bunga
mekar dan mengharumlah
mewangikan taman hati ibu dah abah
ukirkan senyuman seindah kelopak mawar
mengasyikkan.

Aimran sepertinya bunga
hiasi dan serikanlah
hari-hari yang ibu dan abah lalui
dengan gelagat dan aksi santaimu
menghiburkan.

Aimran kamu bunga kami !

CNM, 17/7/11, 21.21 pm

Cikgu, saya masuk U

Kumula terima pesanan ringkas
daripada anak didik
cikgu ! saya masuk U
alhamdulillah syukur kepada yang Esa
mengalir rasa bangga
ke seluruh kamar jiwa
cikgu doakan kalian terus berjaya
jadi anak cemerlang untuk negara, bangsa dan agama.

Pesan saya
terus berusaha
jaga nama baik keluarga
jangan tinggal solat yang lima
pandai memilih sahabat yang membina
tinggalkan sahabat yang membawa binasa
InsyaAllah kamu akan berjaya
diredha Allah sepanjang masa.

CNM, 17/7/11, 20.11 pm

Lelah telah pergi

Setelah lelah pergi meninggalkan daku
tak ingin kududuk kaku
memandang waktu berdetak berlalu
langkah padu perlu kupacu
menggapai impian ke mercu.

Mahukah kamu mengekoriku?

CNM, 17/7/11, 10.50 am

15 July, 2011

Andai itu takdirnya III

Jika telah terukir rasa cinta
tak terhakis dek gelora kepiluan
dipertahankan jua
demi sekuntum kasih yang mekar di jambangannya
tidak mudah membiar kuntuman cinta layu kaku begitu saja.

Adakala hati dibolak balik rasa curiga
kebenaran pasti menjelma
setelah bersabar menyeka kesakitan jiwa
pasrah setelah meredha
bahagia akan bertandang di akhirnya.

Bahagialah hidup
andai itu takdirnya
menempuh duka sebelum kecapi bahagia
terimalah dengan ucap syukur
tiada yang terlepas ujian-Nya.

CNM, 15/7/11, 17.54 pm

14 July, 2011

Andai itu takdirnya II

Rasa cinta
hadir bukan kerana dipaksa
ia anugerah yang amat berharga
cinta tak mengenal pangkat darjat atau rupa
bertunas subur di jiwa walau tak dibaja.

Aleya
cintanya tertumpah kepada jejaka kaya
seorang lelaki yang merasa dunia dia yang punya
terperangkap dengan mainan hasad dengki manusia
cintanya bagai terjatuh ke mulut buaya.

Kerana terpaksa
ikatan satu lafaz terjadi tanpa rela
bermula derita dan sengsara
cintanya berbalas tuba
hanya deraian air mata tunjang cerita.

CNM, 14/7/11, 21.47 pm

Andai itu takdirnya

Suatu garapan pilu
yang menyentuh kalbu
berkisar tentang kejamnya hati seorang lelaki
manusia yang bongkak mementingkan darjat
demi dendam yang sengaja diciptakan
seorang wanita jadi mangsa.

Parut luka tetap tertinggal
walau kata kemaafan terucapkan
ingatlah lelaki
jangan disakiti hatinya wanita
sekali tercalar
tiada kata yang bisa menggilap kembali.

CNM, 14/7/11, 21.15 pm

Luka

Merawat luka lebih mudah
berbanding menghilang rasa perihnya
bertahun terasa seakan tusukan tak pernah lepas
mencacah dalam dalam ke dasar jiwa
tiada gelora pada permukaannya
berkocak di dasar sejak mula
perit untuk melupa !

CNM, 13/7/11, 21.45 pm

12 July, 2011

Kocakan Jiwa

Tidak sepertinya permukaan laut
yang jelas mempamerkan gelora
jarang sekali memperdaya pandangan mata.

Manusia tidak begitu
nampak tenang di permukaan wajah
siapa yang tahu di dasar hatinya bergelora.

Kamu mampu membaca kocakan jiwa?

~CNM, 12/7/11, 22.35 pm~

Sepertinya



Sepertinya senyuman kamu
yang manis menawan
moga hati kamu
juga tersenyum
duhai manjaku.

Sepertinya santaian kamu
yang sejahtera di pandangan mata
moga jiwa kamu
juga bahagia
duhai sayangku.

Terima kasih sayang
kerana jadi penghibur
ibu dan abah gembira
diikat kasih sayangmu
mudahan miliki kita selamanya.

CNM, 12/7/11, 17.24 pm

10 July, 2011

Aku Lihat Bulan

Aku tadi lihat bulan
cahayanya hanya separuh
menyuluh kelam ke bumi
ditemani kerdipan gugusan bintang
separuhnya bergelap menyorok dari mentari
seakan malu
malu kepada siapa?
kepada kitakah?
manusia yang rambut sama hitam
tapi hati bermacam ragam

bumi ! jawaplah..

CNM, 10/7/11, 22.14 pm

Kau Bungaku



Kau bungaku

mewangikan kamar cintaku

harumanmu memekarkan kasihku

senyumanmu menguntum rinduku

mekar segar sepanjang zaman.

Kau bungaku

telah kusunting ke jambangan hati

menghiasi istana yang kita bina

bersama memadu kasih mesra

moga terus bersemi menyeri.


Kau bungaku !

CNM, 10/7/11, 16.56 pm

Ceria bersamamu



Aimran
saat bersamamu
amat berharga buat abah
gurau sendamu mendamaikan
peluk ciummu abah rindukan
moga sinar terus berkerdipan buat kita.

Aimran
tak akan abah persiakan
hidupmu akan abah pelihara
memberi gembira menghilangkan duka
syukur kepada-Mu Ya maha berkuasa
menganugerahkan kesejahteraan kami sekeluarga.

CNM, 10/7/11, 16.16 pm

Mawar Diraja



Saya bersih lagi mewangi
menyenangkan hati yang cintakan kedamaian
saya tak teringin menyusahkan
apatah lagi menghuru harakan bangsa merdeka
saya mahu bangsa saya terus maju dan berjaya
mekar dan berkembang selamanya.

saya mawar kuning
mawar diraja
menjunjung titah Paduka Baginda
tak ingin membantah Raja berperlembangaan
bukan Raja bertindak sewenang-wenang
Daulat Tuanku.

CNM, 10/7/11, 15.54 pm

Adik Seronok


Adik seronok
terima kasih ibu dan abah
bawa adik jalan tengok bunga
adik ingin sihat sepertinya
berkembang mengharum setaman
menyenangkan semua.

09 July, 2011

Karangan kehidupan

Karangan kehidupan
kitalah yang mengerakkan penanya
tercatat drama-drama tragis
yang menyayat hati
tercoret cerita-cerita sadis
yang menguris sanubari.

Lakarkan corak
berlandaskan syariat Ilahi
mudahan lukisan kehidupan
diredhai dan dalam lindungan Ya Rabbi
sejahtera meniti hari
kekal bersemi ke alam abadi.

CNM, 9/7/11, 22.55 pm

Untuk apa?

Untuk apa?
kekalutan yang dicipta
sengaja menyemai benih sengketa
agar berpucuk tunas-tunas huru hara
memecah belahkan keharmonian negara.

Apa faedahnya?
banyak lagi cara
nak menyelesaikan pendapat berbeza
jangan ikut suka kepala
kelak membawa binasa.

Kamu tak cukup dewasa?
anak-anak pun tahu akan sengsara
belajarlah dari sejarah kehancuran bangsa
tiada satu pun bangsa yang maju dengan porak peranda
kau lupa?

buka mata !
pasang telinga!
guna akal di kepala !

CNM, 9/7/11, 13.30

Jangan rasa betul

Kawan
jangan selalu anggap kita betul
kerana kita belum tentu betul
dengarlah suara sekeliling
timbangkan benar atau selingkuh
dengan berpedomankan
al-quran dan as-sunnah
buat keputusan
mengikut syariat Ilahi
moga dilindungi
dunia akhirat.

CNM, 9/7/11, 12.45 tgh

Kuning pun tak mahu

Kuning warna diraja
jangan cemari warna ini
warna kuning itu sendiri
tak menyetujui dirinya diperkuda
apatah lagi raja-raja melayu yang memayungi
kau, kau
cuba faham !

CNM, 8/7/11, 23.43 pm

Jika kamu

Jika kamu ingin tahu, bertanyalah
Jika kamu ingin berpengetahuan, belajarlah
Jika kamu ingin berpengalaman, berjalanlah
Jika kamu ingin sesuatu, usahalah
yang bulat tak akan datang bergolek
yang pipih tak akan datang melayang
faham !

CNM, 8/7/11, 19.32 pm

07 July, 2011

Malam pun malu

Langit malam pun malu
malu dengan kerdurjanaan makhluk
mempersendakan
dan ingatlah
janji-janji Allah
tiada satu pun yang dusta.

CNM, 7/7/11, 23.03 pm

Dan malam pun berbisik

Dan malam pun berbisik
menyata akan kerinduan
rindu akan purnama yang menghilang
rindu akan kerdipan bintang bertebaran
rindu akan alunan pungguk merayu
rindu akan dendangan cengkerik mendayu
rindu akan panorama malam yang kelam
rindu akan sesemesta alam berpaduan menghidup malam
dan aku jadi rindu pada malam malam yang berlalu
tanpa akan datang lagi walau seribu tahun menunggu.

CNM, 7/7/11, 22.33 pm

06 July, 2011

Bersih

Bersih diri
belum tentu bersih hati
bersih hati
sudah tentu bersih diri

Bersih ! Bersih ! Bersih !
satu kata yang suci jernih
jangan kotori sejarah yang putih
pertahankan walau darah ditagih.

CNM, 6/7/11, 22.50 pm

Telah saya katakan

Telah saya katakan
telah saya tunjukan
telah saya contohkan
adakah kamu memperoleh sesuatu
atau hanya melopong menadah udara kosong.

CNM, 6/7/11, 22.30 pm

U

Kaku,
kelu,
bisu,
ragu,
membelenggu,
kalbu,
haru,
biru,
mengerutu,
bertamu.
Pilu,
memalu,
kalbu,
sendu,
menyerbu,
temu,
sayu,
lalu,
menyatu,
membatu.


CNM, 21.34 pm

05 July, 2011

Penat

anda penat ya?
jangan dipaksa
esok masih ada
rehatkan minda
pejamkan mata
pulihkan tenaga.

anda tak tahu ya?
saya yang penat sebenarnya
rasa nak lena
tak nak mimpi apa-apa
salam selamat malam semua
saya labuhkan tirai malam dengan salam kemaafan andai tersilap kata.

CNM, 5/7/11, 23.39 pm

Siapakah?

Siapakah di antara kita
yang dulu menegak tembok dusta
memisah rasa percaya.

Siapakah di antara kita
yang dulu menabur pasiran kata
menusuk luka ke kaki jiwa.

Siapakah di antara kita
yang dulu merungkai tali setia
melerai ikatan yang tersimpul sejak mula.

Siapakah?

~CNM, 5/7/11, 23.15 pm~

Cinta yang terikat

Andai cinta kamu telah terikat
jangan sesekali
membiarkan ia terungkai;

sepertinya layang-layang yang terputus tali
dibawa angin entah ke sudut mana terdampar
rosak binasa tanpa terbela,

sepertinya kambing pulang petang
merayap segenap ceruk hutan
memburu cebisan-cebisan dedaunan yang layu,

sepertinya bola yang dipermainkan
ditendang ke depan ditendang ke belakang
diarak keliling padang hanya dijadikan bahan.

CNM, 5/7/11, 22.31 pm

adakah aku merepek

Andai aku perlu menunggumu sepanjang hayatku
duhai kasih nescaya akan aku tunggu
setelah aku ketahui betapa dalam kasihmu.

Andai aku perlu menyeka mata sepajang malam
duhai kasih nescaya akan aku sekakan
setelah aku ketahui betapa berharga dirimu.

Andai aku perlu mencari penawar racun terbisa
duhai kasih nescaya akan aku usahakan sedaya
setelah aku ketahui betapa aku tak daya tanpa ragamu.

adakah aku merepek ni duhai kasih !

CNM, 5/7/11, 22.00 pm

tidak bisa

Kamu bisa menelan rindu
kamu bisa menanti sapaan kasih
kamu bisa menyimpan rasa cinta
kenapa kamu gagal menahan butiran jernih itu?
mahal harganya
tidakah kamu ingin menghujaninya saat kamu disatukan?
tidak bisa kerana itulah jiwa yang rasuk cinta
longlai tak berdaya.

CNM, 5/7/11, 20.12 pm~

Andai

Andai mata tidak lagi mampu memandang
pejamlah biar rupa wajah itu hilang dari pandangan
biar yang tinggal hanya garis-garis kabur tiada bermakna.

Andai telinga tidak lagi mampu mendengar
pekakkan biar suara itu hilang dari pendengaran
biar yang tinggal hanya desiran lirih yang tiada erti.

Andai hati tidak lagi mampu menerima kembali
tutuplah pintu penerimaan itu dari kamus hati
biar kisah silam jadi sejarah yang tertanam abadi.

~CNM, 5/7/11, 19.28 pm~

titik akhir perjalanan.

Sudikah kau menebarkan sayap kasihmu
buat menumpang teduh menghabiskan sisa hidupku
bayangan kasihmu
memberi semangat untuk terus kubernafas
mengatur langkah demi langkah
menuju ke titik akhir perjalanan.

CNM, 5/7/11, 18.57 pm

Mencari cinta

Mencari cinta
tak perlu ke hujung dunia
cinta ada di dalam dada
tinggal kepada siapa nak ditahta
jaga-jaga
jangan terambang mata
terpilih kaca bukan intan permata
kelak menguris luka jiwa merana
sengsara jadi hidangan sepanjang masa
derita menelan tanpa rela
aduh...sedihnya.

CNM, 5/7/11, 14.32 pm

04 July, 2011

Gelita Malam

Setelah mentari membenamkan diri
gelita malam menyelubungi
terpadamkah cahaya lentera hati
seiring kegelapan bawaan malam
aku kira tidak begitu
nur kematangan tak akan terpadam
walau terbenam dalam gelap gelita alam
sinarnya berkerdipan walau jauh di dasar sanubari
jadi obor pada sukma menyuluh jalan diredhai Ilahi.

CNM, 4/7/11, 23.32 pm~

Sandiwara

Adakah lengkung ulas bibir senyuman
membawa makna akan hati sedang berbunga
atau sekadar senyuman mengaburi mata hati yang gagal menghidu kekelatan.

Adakah titisan air mata
membawa makna hati sedang dijeruk rasa
atau sekadar meraih simpati buat menutupi kesilapan diri.

lakonan
sandiwara
bermaharajalela
waspada sebelum terkena !

~CNM, 4/7/11, 18.56 pm~

Kehidupan

Mana mungkin hidup ini
sentiasa nyaman mendamaikan
bagai di kamar berpenyaman udara
ada ketikanya hati dihujani air mata kepiluan
ada ketikanya sukma dibakar hangat api kemarahan
ada ketikakanya jiwa jadi kebas tanpa merasa apa-apa
sepertinya roda berputar atas ke bawah sehingga tamat riwayatnya.

Itu kehidupan
terusan berganjak
berputar ke penamatnya
tiada siapa yang terlepas dari landasan ini
suka atau tidak akurlah dengan kententuan-Nya
belajar menerima takdir itu pengujian dan cubaan
kesabaran dan ketabahan pasti membawa kejayaan.

CNM, 4/7/11, 17.58 pm

03 July, 2011

Aimran



Aimran
lupakan keperitan silam
usah lagi pandang ke belakang
biar ia jadi sejarah yang tersimpan
dalam lipatan ingatan.

Jalani hari-hari mendatang
dengan hati girang
usah gusar tentang semalam
ibu abah ada meneman
sepanjang zaman.

Jauh kamu renungkan
moga yang molek-molek jadi impian
doa dan harapan ibu abah iringkan
moga kamu terus dalam kesejahteraan
meniti alam kedewasaan.

~CNM, 3/7/11, 21.51 pm~

Suami isteri

Suami isteri
sepatutnya saling melengkapi
membina keluarga di bawah rahmat Ilahi
bukan mencari-cari
kesalahan pasangan sendiri
untuk menyemai rasa benci.

Suami isteri
pasangan sejoli
memadu cinta ke ranjang berapi
mencari keberkatan buat bekalan pabila kembali
moga mendapat syafaat junjungan Nabi
dianugerahkan syurga Firdausi.

Suami isteri
sepakat melayari
alam rumahtangga yang tak bertepi
sama-sama jaga sama-sama bertolenrasi
saling menghormati saling mempercayai
selamat dunia akhirat yang menguji.

Suami isteri
bertabahlah menghadapi
pancaroba hidup yang berseligi
kesefahaman dan kesabaran perlu ditunjangi
perteguh ikatan yang bersemi
biar sampai ke akhir nanti.

~CNM, 3/7/11, 19.19 pm~

02 July, 2011

Aku tidak keliru

Aku tidak keliru
aku juga tidak tepu
dengan segala liku ciptaanmu
yang sengaja membenih ragu
memecah padu.

Aku tahu
dan aku perlu
menyatakan rasa terbuku
tingkahmu yang mengerutu
menyesak benakku.

kau sedar itu !

CNM, 2/7/11, 22.07 pm

Jangan jadi lupa

Jangan jadi lupa
bangsaku tinggi tolenrasinya
bangsaku tinggi budi pekertinya.

Jangan jadi lupa
tanah ini tanah bangsaku yang merdeka
tanah ini tanah berdaulat di bawah Payung Seri Paduka.

Jangan jadi lupa
akan sejarah bangsa
sejarah mencatat apa yang nyata bukan dusta !

~CNM, 2/7/11, 21.00 pm~

01 July, 2011

Malam

Malam menggodaku ke ranjang asmara
dengan wajah gulita membisik kata cinta.

Malam mendendangku lagu sepi
dengan irama syahdu menusuk sanubari.

Malam menantiku melabuhkan tirai semalam
dengan kesabaran berpesan penuh iltizam.

Malam akan pergi
meninggalkan aku terus menanti bersama mimpi.

CNM, 1/7/11, 22.27 pm

Jangan jadi lupa

Jangan jadi lupa
dek terperangkap dalam arus cinta
sedarkan diri
apa akan terjadi akhir nanti
perlukah meneruskan langkah ini
atau beralih arah mengikut tiupan naluri.

Tanya sama hati
kau pasti
temui.

~CNM, 1/7/11, 15.10 pm~