Followers: TQ

Carian Dalam Laman ini

30 April, 2011

Esok ini

Esok ini
1 Mei 2011
berakhirlah bulan pertukaran monsun
bulan di mana hujan maksimum
angin timur laut bertukar jadi angin barat daya
laut China Selatan tak lagi bergelora
mengancam nyawa.

Esok ini
1 Mei 2011
hari cuti sempena meraikan para pekerja
tahniah dan syabas
semoga kita berkerja dengan lebih bertenaga
membangun modal insan
demi negara, bangsa dan agama.

~CNM, 30/4/11, 23.23 pm~

Usah ditangisi

Jika kita tak dipeduli
sesama insan di dunia ini
usah ditangisi
kita ada Ilahi
yang sentiasa memberi
segala pertolongan tak terperi
doakan yang memutus silaturrahim kembali
menginsafi diri
hidup ini ditetapkan perlu berkongsi
perlu saling memahami
hidup dalam harmoni
bukan umpat keji
khianat dengki
kerana semua itu jadi daki
di akhirat nanti.

~CNM, 30/4/11, 18.33 pm~

Memanjatkan pinta

Ya Rabbi;
andai aku mampu menyelami setiap hati
ingin kutulis di muka bulan-Mu bait kata menasihati
andai aku mampu membaca setiap sanubari
ingin kucoret di dada langit-Mu baris kata simpati
andai aku mampu menelah setiap sukma
ingin kulakar di lantai awan-Mu rangkap-rangkap doa
namun aku hanya mampu memanjatkan pinta
kurniakan kebahagiaan
anugerahkan kesejahteraan
kepada saudara seagamaku.

~CNM, 30/4/11, 18.25 pm~

Hello!!!



Hello!!!
Selamat pengantin baru
kepada yang naik pelamin
tak kira di mana jua anda berada
semoga kekal ke anak cucu
direstui keluargamu
dirahmati Tuhanmu.

~CNM, 30/4/11, 18.06~

Kehilangan menginsafkan

Saat hadapi kehilangan
tak termampu
membendung segala emosi
geram, marah, tertekan
binggung, sebak, sedih
menusuk-nusuk jiwa.

Hanya kekuatan iman
jadi penawar
redhai apa jua ketentuannya
anggap itu suratan terbaik
meskipun sepahit jadam.

Kehilangan menginsafkan
jiwa terkedu kudrat melesu
walaupun sukma bagai batu
kehilangan bisa meranap jadi debu.

CNM, 30/4/11, 17.11 pm

Senyum

Senyum
satu, dua, tiga ..klik!!!
sekali lagi
satu, dua, tiga..klik!!!
nanti masuk FB ya
saya tag gambar kamu.

CNM, 30/4/11, 17.00 pm

Cinta teratai

Cinta ini
nampak indah
kembang di permukaan
akarnya tak jejak kedasaran
mekarkah cinta itu?

Cinta ini
nampak tenang
dalam genggaman
namun tiada kepastian
kekal di telapak tangan.

~CNM, 30/4/11, 16.29 pm~

Hari ini

Hari ini
aku lewati
dengan aktiviti
padat sekali
pagi-pagi lagi
sudah berlari
menguruskan sendiri
keperluan peribadi
agar nanti
dapat diberesi
lancar sekali
senang hati.

~CNM, 30/4/11, 8.40 am~

Bila menunggu

Bila menunggu
fikiran menerawang
meneroka lorong-lorong silam
meninjau jalan-jalan masa depan
muncul anganan dari akal yang berterbangan
mendarat mencari kepastian
di lapangan jangkaan
apakah hala tuju?
apakah tindakan?
dalam menentu keputusan
memperbaiki diri
jadi insan lebih cemerlang
jadi insan punya kebertanggungjawaban
pada diri, keluarga, bangsa dan agama Tuhan.

~CNM, 30/4/11, 8.15 am~

Awal Berlari

Subuh hening
Kesunyian belum memecah
Dingin masih membaluti
Gelita malam beranjak pergi
Sinar mentari kian mendominasi
Aku dipaksa berlari seawal pagi
Mengejar giliran
Menuruti kehendak keretaku
Kepinginkan minyak hitam baru
Kuturuti jua
Agar nantinya tidak ia meragam
Menyusahkan daku di jalanan
Sesekali perlu berkorban
Demi mada depan.

~CNM, 30/4/11, 6.30 am~

28 April, 2011

Saya akan kata

Kalau saya suka saya akan kata saya suka
kalau tak suka saya akan kata saya tak suka
saya suka cakap apa yang saya rasa
saya tak suka pura-pura
jika apa yang saya kata buat anda terasa
sepuluh jari saya susun ampun maaf dipinta
bukan niat saya ke ruang ini menyakiti sesiapa
hanya berkongsi indah bait kata
dengan sesiapa saja
yang punya masa
membaca
moga
ada yang terkesan di dada
jadi panduan sesama.

~CNM, 28/4/11, 22.20 pm~

Kasih yang memipih.

Andai kita disisih
hati terasa pedih
darah mendidih
dunia dirasakan teralih
cuba renung dengan gigih
kenapa kita tak terpilih?
adakah kita terlalu memilih?
adakah kita selalu berdalih?
usah merintih
usah ditagih
kasih yang memipih.

~CNM, 28/4/11, 21.57 pm~

Rintih

"Kerana tangan-tangan kamu
aku hanyut
hanyut mengikut denai air mengalir
dibawa arus ke muara
diheret rakus
dihumban ke lembah
apa daya
aku hanya mampu menuruti
apa yang telah diperlakukan
aku terima takdirku"
rintih lirih sebatang balak.

~CNM, 28/4/11, 21.13 pm~

Serabut perut

"Hohh!!
guano pulok wei?
ke hulu, ke hilir
serabut perut ko gapo?
kalu dah buat saloh
ngaku sajo la
mintak maaf
pastu tobat banyok-banyok
Allah tu maha pengampo
InsyaAllah".

p/s baco dengan loghat klate deh.

~CNM, 28/4/11, 17.52 pm~

Butir-butir janji

Butir-butir janji yang kau taburkan
pastikan kukuh memejal
jadi tugu kepercayaan
jangan biarkan babak kepalsuan meranap
jadikan ia debu kepuraan
meracun buah kepercayaan
membunuh hati yang menaruh harapan
menguburkan kecintaan tanpa nesan
ke lubuk jiwa yang menuju kebinasaan.

~CNM, 28/4/11, 17.38 pm~

Pantai rindu

Di pesisir pantai rindu
buih-buih cinta memutih
berderai pasir-pasir kesetiaan
dibadai ombak ketidakpastian
camar berterbangan mentertawa sinis
bayu laut menyemarak gelora jiwa
tatkala panas mentari membakar rasa
bulan dan bintang menyaksi
garis-garis pantai memutus ikatan kasih
yang disimpul separuh mati.

~CNM, 28/4/11, 17.17 pm~

Tilik Muka

"Pade pade la
bakpo doh khenat ko anok bangsa
buelah egomu
mukelik tilik muka ko cermin
layak ko mu buat lagu ni
jange ingatmu bulih tukat langit
mukelik getek ko anak bini
jange ingat nafsumu jah".

p/s baca molek dengan loghat Klate deh.

CNM, 28/4/11, 14.14 pm

Mendung merenung

Mendung merenung tajam
pada sinar yang terik membakar
membunuh dingin embun di hujung dedaun
rerumput melayu kecut
unggas lesu mencari teduh
berdoa moga hujan mencurah
membasah gersangan alam.

~CNM, 28/4/11, 13.42 pm~

26 April, 2011

Cerita Bulan

Layakkah kita bercerita tentang bulan?
jika bulan pun tak pernah kelihatan
percayakah kita pada khabaran?
yang belum tentu akan kebenaran
lupakan cerita pasal bulan
andai kita tiada apa untuk diperkatakan
lebih baik mencari bulan
agar terjawab segala persoalan
jangan biar diri dirasuk khayalan
indahnya rupa bulan.

~CNM, 26/4/11, 22.36 pm~

Maya yang celaru

Dia kata dia lesu
tapi suaranya tak juga bisu
tentu menang kalau lawan murai batu
semua orang sudah tahu
dia selalu naik hantu
cakapnya tak bernoktah walaupun satu
orang lain semua kelu
dan dia hanya dalam maya yang celaru.

~CNM, 26/4/11, 22.17 pm~

Bungkam, suram, kelam..:

Bungkam, suram, kelam..:
dendam..,
malam..,
tikam..,
iltizam..,
benam..,
ilham..,
tenggelam..,
dalam..,
cenuram..,
hitam..,
legam..,
padam, diam, seram.

~CNM, 26/4/11, 22.00 pm~

Rindu menjengah

Bila rindu menjengah
hati kian gundah gelisah
mengharap bicara seindah madah
terbisik ke telinga hati yang pasrah
mengubati segumpal resah
ingin bersua melepas rindu yang menambah
memperteguh cinta jadikan sejarah
menyatu hingga ke pelamin indah.

~CNM, 26/4/11, 18.50 pm~

Detak-detak rindu

Detak-detak rindu di jiwa
bernada menguja merangsang asmara
tertabir saat-saat manis bersama menghimpit masa
hati merintih hiba mengharap belaian manja
ratu hati yang bertahta
kala jarak dan waktu pemisah antara.

~CNM, 26/4/11, 14.17 pm~

Taklukan rindu

Dalam daerah taklukan rindu
getaran rasa menguja sendi jiwa
mengarah langkah mencari perdu asmara
agar rindu terubati sua bicara
yang jadi anganan sesama.

~CNM, 26/4/11, 13.55 pm~

24 April, 2011

Mulut orang

Bila kita berdiam, orang kata kita sombong
bila kita berhujah, orang kata kita banyak cakap
bila kita menyepi, orang kata kita merajuk hati
dan macam-macam lagi
mulut orang tak akan berhenti
selagi mereka belum mati
jadi jangan mudah terasa hati
perteguhkan jati diri
yakinlah yang benar akan mengatasi
lama kelamaan mulut mereka terkunci
dengan sendiri.

~CNM, 24/4/11, 9.15 am~

23 April, 2011

Menyatu di kelir

Kepada angin lalu kubisikan dengan lirih
agar membawa pesan ke telinga orang dikasih
pada malam yang mula menyerpih
aku dambakan belaianmu ratu kasih
hadirlah ke pangkuan hatiku yang merintih
perdengarkan lagu cinta yang terpilih
agar lena kepastianku dalam dakapan kesetiaanmu kasih
tak tersisih
bagai sita dewi dan sri rama menyatu di kelir putih bersih.

~CNM, 23/4/11, 23.50 pm~

Teh tarik bikinan isteri

Detik ini hujan menghujani bumi
dingin menyelinap ke urat-urat sendi
mata kian kuyu melawan bisikan satu sudut hati
agar pergi kepada tilam dan bantal yang setia menanti
kata satu sudut hati lebih baik minum teh tarik bikinan isteri
belum sempat menyata keinginan ini
sudah sampai ke meja secawan teh dihajati
seakan memahami kehendak hati suami
isteriku memang mengerti saat-saat sebegini
terima kasih sayang atas keprihatinan yang diberi.

~CNM, 23/4/11, 17.55 pm~

Mengkritik

Mengkritik memang mudah
menjayakannya itu yang payah
jika kita ada kebolehan kenapa tidak dikongsi untuk nilai tambah
jangan hanya tahu mencari salah
ini sifat yang tak membawa faedah
pandai tapi tak boleh nak mengasah
apakah jadah!
fikir-fikirkanlah.

Bukankah?
salah satu tugas kita membetulkan yang salah
rasanya itu satu sunnah dan perintah
bukan memberi sumpah seranah
ingat! kita akan kembali ke tanah
jangan banyak kerenah
kelak menyesal tak sudah
kalau tak nak membantu usah mencipta nanah
kerana yang bernanah itu jijik dan membawa punah.

~CNM, 23/4/11, 17.14 pm~

Barah melata

Bila jiwa dibaluti luka
dendam meraja
kesumat bertahta
yang terlihat hanya tingkah berbara
yang terdengar hanya suara menghina
tiada lagi kata puji intan permata
semuanya buruk pada pertimbangan minda
rosak binasa
entah bila akan reda
selagi ada barah melata.

~CNM, 23/4/11, 15.36 pm~

Sukanya

Ada orang boleh suka
kerana barangkali dia belum kena
simpan sedikit suka untuk waktu terkena
tidaklah berduka hingga merana
apapun tindakan harus bersederhana
agar tidak tergolong kita dalam kalangan membinasa
jaga-jaga dalam melaksana
segala buruk baik harus ditimbang tara
tidaklah nanti ditertawa
kerana terpedaya, lena dan leka.

~CNM, 23/4/11, 15.03 pm~

Tak kecil hati

Saya tidak rasa kecil hati
jika suara puisi saya tak didengari
yang saya tahu saya telah menitipkan isi hati
biarlah pembaca sendiri cuba memahami
yang tersurat mahupun tersirat di sini
doa saya moga ada yang terkesan di sanubari
lantas mengambil tindakan yang bertepatan sekali
tak menjadi duri
sekiranya titipan ini tak diteliti
saya akan terus menggarap bait puisi
selagi ada kudrat menyebelahi
tak akan terhenti di sini.

~CNM, 23/4/11, 14.36 pm~

Sepohon kayu

Sepohon kayu
merayu-rayu
jangan rosakkan daku
aku menyumbang kepada sejahtera bumiku
tahukah dikau tanpaku;
hujan tak menentu
mentari membakar sepanjang waktu
angin membadai selaju-laju
hakisan tanah bertalu-talu
air bawah tanah kering layu
karbon bertambah bagai diseru
wap air sukar diketemu
dunia semakin bercelaru
wahai manusia yang akal kian lumu!
hentikan perbuatanmu
sayangi sepohon kayu
besar jasanya kepada alam kamu.

~CNM, 23/4/11, 14.17 pm~

Lenakah kita!!!!

Lenakah tidur kita?
andai ada rakan-rakan
yang masih kosong perutnya
nada keroncong yang terdengar memilukan
dari kejauhan sayup kedengaran
rintih si kecil
mengharap seteguk air kosong mati
mengharap sebuku roti benggali
jatuh ke perut yang riuh berbunyi
agar reda lagu kebuluran.

Lenakah tidur kita?
andai ada rakan-rakan
yang tidurnya bertilamkan simen
berbumbungkan langit
bila malam menempias dingin ke tulang putih
tubuhnya meringkuk herot
badannya berselimutkan titis embun
mengharapkan hangat bahangan hutan batu
bersama mimpi terlena di tilam empuk
yang entah bila dapat dikecapi.

Lenakah kita!!!!

~CNM, 23/4/11, 13.31 tgh~

Tugasan hakiki

Pada keheningan pagi
aku bangkit menyuci diri
menunaikan perintah Ilahi
memanjat doa agar dirahmati
moga dipermudahkan tugasan hakiki
mendidik anak bangsa mengecapi
kejayaan yang cemerlang untuk menjejaki universiti
itulah tugasan saban hari
selagi ada hayat ini.

Ya Rabbi
permudahkan hamba-Mu ini
menguasai dan menyampaikan ilmu kepada pewaris generasi
moga terbina negara bangsa yang harmoni
tenteram dalam limpahan rahmat dan diredhai.

~CNM, 23/4/11, 6.45 am~

22 April, 2011

Kepuraan hati

Dalam memori ilham rasa saya
jika saya kehilangan semua kawan sekalipun
saya akan tetap akan cuba berdiri
yang penting saya tidak menyalahi hukum Ilahi
saya tidak ingin hidup dalam kepuraan hati
kerana saya tahu kepuraan hati mematikan silaturrahim.

~CNM, 22/4/11, 21.38 pm~

Jalan Pilihan

Jalan yang kita pilih tidak menjanjikan kita sampai ke penghujungnya
barangkali mungkin kita tergelincir ke dalam parit di tepinya
atau kenderaan kita meragam di pertengahan jalannya
atau kita sendiri tidak sempat tiba ke penghujungnya.

Jika kita rasa kita kehilangan arah di pertengahan jalan
maka jangan malu untuk kembali semula ke permulaan perjalanan
biar kita lambat tiba nantinya, tetapi kita melalui jalan yang ditentukan
lalui jalan lurus yang telah ditentukan untuk yang faham kehendak Tuhan.

~CNM, 22/4/11, 21.10 pm~

Senja yang lesu

Senja yang lesu
memancar cahaya kelabu
dari kaki langit yang berjerebu
bertamu malam dengan senyap bisu
menelan siang dengan gelita yang padu
merangsang makhluk malam bertingkahlaku
aku tak tahu apa yang mereka laku dan mahu.

~CNM, 22/4/11, 19.25 pm~

Ingatan!

Wahai penulis sekalian
tulislah yang benar
kerana apa yang ditulis hari ini
baik atau buruk
akan jadi teman kita di akhirat nanti.

Tulislah yang mendatangkan pahala
jangan tulis yang mendatangkan bala
sekurangnya pada diri sendiri
kalau pun tak mempeduli
hati dan perasaan saudara sendiri.

Orang yang muflis di akhirat
adalah orang yang suka mencaci cerca
adalah orang yang suka menghina
adalah orang yang suka menuduh tanpa saksinya
nanti hadirnya di hadapan Tuhan dengan kosong pahala.

~CNM, 20/4/11, 14.09 pm~

Alam sudah penat

Alam sudah penat bersuara
memberi tanda-tanda tersiksa
namun apa daya
manusia buat-buat lupa
mengejar kekayaan dunia
merosak binasa khazanah negara
tanpa mengambil kira
kelangsungan hidup generasi muda
tiba masa alam membalas pula
tsunami, banjir kilat serta gempa
menyedarkan manusia yang leka
usah bangga
menarah alam sesuka
bala akan menimpa.

~CNM, 20/4/11, 12.39 tgh~

Alam kian suram

Dalam atmosfera bumi
ada selimut karbon
yang menyerap menyerak bahangan mentari
dibenarkannya bahangan lolos
namun diperangkap di muka bumi
bumi jadi hangat kepanasan
pemanasan global jadi bualan
tangan-tangan manusia yang memulakan
segala aktiviti tanpa kawalan
dari pembalakan hingga ke perindustrian
semuanya menyumbang
manusia kian tertekan
mencari jalan penyelesaian
hidup tak lagi dalam kebersihan
udara kotor dengan asap kenderaan
diburukkan lagi dengan jerebu asap kilang
Oh!!! Tuhan
syukur hujan yang Engkau kurniakan
meredakan keadaan
kekalutan ciptaan insan
berpelajaran
namun tuntutan pembangunan
buat mereka kealpaan
kesan ke atas hidupan
rosak binasa isi alam
sampai bila bumi mampu bertahan?

~CNM, 22/4/11, 7.59 am~

Jika kasih telah disemai

Jika kasih telah disemai
biarlah ia tumbuh merimbun
bajai dengan kata-kata keikhlasan
sirami dengan tingkah bertepatan
agar nantinya hadir kepercayaan
yang membuahkan kesetiaan
itulah nikmat sebuah kasih yang sejati
paduan jiwa dua hati
yang saling mengerti
dipupuk dijaga ke akhir nanti.

~CNM, 22/4/11, 7.38 am~

21 April, 2011

Perolakan

Perolakan

Bila mentari memancar
panas membahang
menyejat air permukaan
jadi wap-wap panas
naik ke stratosfera
mendekati nukleus kondensasi
berkumpul membentuk kumulonimbus
hitam pekat memancarkan kilat
petir menyambar menemani rintik hujan
pada lewat petang
di bulan perantaraan monsun
membawa hujan yang maksimum.

~CNM, 21/4/11, 12.20 pm~

20 April, 2011

Alam ini

Tentang alam ini
ianya ciptaan Ilahi
namun kefahaman kita adalah
mentari menggerakkan segalanya
panas dan dingin
menghasil angin, air, tanah
dalam berjuta proses
terlihat
tersembunyi
bergerak di aturannya
hingga satu detik itu yang pasti.

~CNM, 20/4/11, 22.38 pm~

Percayalah

Percayalah sahabat-sahabatku
ketentuan Ilahi adalah yang terbaik
biar sepahit jadam
perancangan-Nya semanis madu
kita tak tercapai memikirkan pintu mana yang akan terbuka
ternyata rahmat-Nya dari arah yang tak disangka
pasti tiba
jika meredai.

~CNM, 20/4/11, 22.20 pm~

Jika kamu yakin

Jika kamu yakin dengan cinta
perlukah kamu menyimpan rasa cinta?
kenapa tidak kamu luahkan saja.

Jika kamu yakin dengan janji
perlukah kamu menyimpan curiga?
kenapa tidak kamu pasrah saja.

Jika kamu yakin dengan takdir
perlukah kamu menyimpan resah?
kenapa tidak kamu belajar meredha saja.

Jika kamu yakin dengan diri kamu
perlukan kamu menyimpan rasa rendah diri?
kenapa tidak kamu menonjolkan diri saja.

~CNM, 20/4/11, 21.32 pm~

Saya kepenatan

Saya kepenatan mengejar masa
memenuhi tuntutan keluarga
juga tugasan kerja
lalu saya berbaring di ribaan isteri tercinta
diusap-usapnya kepala
saya hampir terlena
lantas saya dikejut dengan bisikan manja
"bangkitlah kita minum teh segera"
terima kasih sayang laut kasihmu membara
menyirami hatiku yang dahaga
seteguk kata pembakar semangat waja.

~CNM, 20/4/11, 21.12 pm~

Ketenangan

Senja hari ini
tiba dengan dingin mengiringi
tapi hati saya separa dingin
separuh lagi dihangatkan bakaran rasa
namun kehangatan itu saya selubungi dengan kabus ketenangan
lalu jiwa saya bersimpuh damai di hamparan kematangan.

~CNM, 20/4/11, 18.23 pm~

Awan merejam

Awan merejam butiran air dengan garang
mengetar debu-debu di hamparan tanah gersang
membasahi liang-liang pori yang kekeringan
melarut resap ke storan akuifer
melimpah ruah alur-alur air mengalir
mengalur galir tebing
jadi tanda hujan turun bagai lembing
petir sahut menyahut menyambar
kilat memancar menambah debar
aturan alam yang perlu diambil iktibar
tiada kuasa dapat menahan kuasa Allahuakhbar.

~CNM, 20/4/11, 17.43 pm~

19 April, 2011

Penafsir puisi

Saya bukanlah penafsir puisi yang hebat
hanya sekandar mengikut firasat
yang muncul di celah-celah urat akal yang berselirat
mungkin tidak tepat
seperti apa yang dihasrat
penulis-penulis berbakat
yang kian lebat
menitip kata tersirat
mahun pun tersurat
sarat.

~CNM, 19/4/11, 23.01 pm~

Gali lubang tutup lubang

Orang yang gali lubang
untuk tutup lubang
tak dapat menutup lubang
kerana wujud satu lagi lubang
akhirnya dia sendiri terperosok ke dalam lubang.

~CNM, 19/4/11, 22.29 pm~

Kesakitan

Kesakitan
bukanlah suatu keinginan
namun ia pasti ke depan
singgah di teratak kehidupan
untuk mengajar harga sebuah kesihatan
bila mana insan
terlupa menjaga amalan pemakanan
kesihatan mula bosan
penyakit hinggap menyapa sopan
terkadang terus menetap berkekalan
ingatlah akan kesakitan!!!

~CNM, 19/4/11, 22.15 pm~

Sepanjang jalan

Sepanjang jalan meredah arus kehidupan
mampukah kita bertahan jika kita tidak pandai berenang?
arus yang kian menggila
menghakis iman di dada
melarut kesabaran di jiwa
menghanyutkan semangat waja
dimendapkan ke muara bernoda
sebelum kita ditewaskan arus sengsara
belajarlah menempuh perjalanan dunia
moga tak ditertawa musuh yang nyata
ingatlah janjinya merosak binasa umat manusia.

~CNM, 19/4/11, 19.22 pm~

Pada setiap hela nafas

Pada setiap hela nafas
ingatlah usia semakin terbatas
jadi lekaslah bergegas
memohon keampunan kepada Yang Di Atas
jadilah yang teratas.

Pada setiap hela nafas
ingatlah ianya anugerah tanpa balas
jadi lekaslah bergegas
menyempurnakan suruhan Yang Di Atas
jangan culas.

Pada setiap hela nafas
ingatlah tanggungjawab yang digalas
jadi lekaslah bergegas
kembali mentaati syariat Yang Di Atas
jaga batas-batas.

~CNM, 19/4/11, 18.41 pm~

Kembalilah

Selalu kita dengari
sejak dulu lagi sudah macam ini
kalau yang sejak dulu itu tak menepati
malukah nak berhenti?
kita ada panduan perlu diikuti
kita ada model untuk dicontohi
kembalilah ke perdu yang asli
jangan terusan bergayut pada dahan mati
kelak binasa diri
sesal tak berguna lagi.

~CNM, 19/4/11, 17.35 pm~

Airmata

Airmata bagai permata
tak gugur ia dengan sengaja
tentu hatinya diguris rasa
mungkin rasa kecewa yang menghimpit dada
atau rasa gembira yang terbuak-buak di jiwa
apa pun jua sebabnya
titiskanlah airmata
jika harga penyebabnya
lebih bernilai dari airmatamu yang berkaca.

~CNM, 19/4/11, 15.18 pm~

Sempurna

saya bukanlah manusia yang sempurna
namun saya sentiasa mencuba untuk jadi sempurna
kerana dalam beribadat pun kita dituntut melakukan dengan sempurna
jika tak sempurna ibadat maka sia-sialah amalan kita
begitu juga dalam menulis bait kata
tulislah dengan sempurna
kerana yang sempurna menambah lagi keindahannya

~CNM, 19/4/11, 14.54 pm~

Tadi saya lihat bulan

Tadi saya lihat bulan
terang berderang di dada langit
cahayanya putih suci tak ternoda dek awan
damai hati walau di keliling gulita malam
dingin embun meredakan sisa-sisa kehangatan siang
yang bergelumang dengan debu-debu nista.

Malam yang bertemankan bulan
seakan mengerti
ada sebahagian insan cintakan kedamaian
rindukan hirupan udara segar
tanpa unsur cemar
yang menyesak dada
dari celik hingga pejam mata.

~CNM, 19/4/11, 00.03 am~

18 April, 2011

Senja ini

Senja ini
dingin menyengat ke urat nadi
tapi saya perlu mandi menyuci diri
sekejap lagi ingin saya menghadap Ilahi
memanjatkan doa moga diredhai
duhai kawan-kawan di ruang puisi
mari berhenti menitip kata puisi
bersiap siaga menunai perintah Ilahi
jadilah nanti kita hamba yang mentaati
walau dalam kesibukan yang tak bertepi
dalam kekejaran masa yang mencemburui.

~CNM, 18/4/11, 19.16 pm~

Putaran dan edaran alam

Putaran dan edaran alam
telah ditetapkan Pencipta alam
dari tadbiran ini tersimpan beribu kalam
jadi tugasan insan menyelami sedalam-dalam
mencari petunjuk yang terperam
membongkar rahsia memadam suram
terpancar nur bergemerlapan menyinari kelam
hidup tidak lagi suram
tidak karam
dalam kekalutan dunia penuh ragam
yang membelit hati insan ke lembah hitam.

~CNM, 18/4/11, 18.55 pm~

Memori rasa

Saya ada banyak memori rasa
yang menguja ilham saya
menyata rasa jiwa
lalu saya nyatakan dalam bait-bait kata
saya titipkan suara rasa itu dengan titisan tinta
titisan tinta dari kamar hati yang bernada
mendendangkan lagu-lagu kisah suka duka
nyayian tagisan dan tawa ria
yang segar membugar dalam lipatan sejarah hidup saya
semuanya jadi sempadan dan panduan menjalani hidup yang fana
mencari keredhaan yang Esa
Tuhan yang menjadi pelindung dari segala malapetaka.

~CNM, 18/4/11, 18.13 pm~

Indahnya kau bulan



Indahnya kau bulan
bercahaya menyeri serata alam
kau menerangi kegelapan
dinanti penuh kesyahduan
aku ingin jadi sepertimu
menyinari hidup insan di sekelilingku
biar segelita mana pun sekitaranku
tiba masanya akan kunyalakan pelita kebahagiaan
demi tali persaudaraan
yang menjadi tuntutan
menjaganya dalam susah senang kehidupan.

~CNM, 18/4/11, 17.59 pm~

Hadirmu sayang



Hadirmu sayang
bagai bulan di malam yang kelam
menyinar memberi cahaya kebahagiaan
dalam suka duka tawa dan tangis
kaulah penawar yang memberi kekuatan
kaulah permata yang bergemerlapan
memberi harapan
memberi semangat
pada abahmu ini
bahawa ketentuan Allah
takdir yang terbaik
syukur Alhamdullilah.

~CNM, 18/4/11, 13.31 pm~

Hilang penat

Badan saya penat
tapi bila tiba melayan anak bujang saya
hilang penat saya
kerana kasih saya padanya
saya ingin lihat anak saya gembira
saya ingin temankan anak saya ke mana saja
dan ini semua saya ingin sentiasa laksana
sebelum mata saya terpejam buat selamanya.

~CNM, 18/4/11, 14.33 pm~

17 April, 2011

Angin petang

Angin petang membisik sepoi
membawa berita dari hujung dunia
malam akan tiba dari kaki langit timur
menghimpit senja ke kaki langit barat
bulan akan muncul dengan seri wajah
menyinari gelita malam
ditemani embun yang menitis dingin
mendamai hati-hati perindu
yang berangau di siang hari.

~CNM , 17/4/11, 17.35 pm~

Mimpi tak sudi

Tadi saya melenakan diri
tidak hadir pun mimpi
itu tanda saya tidur mati
atau mimpi saya membawa diri
bersembunyi dari kekalutan siang hari
menunggu tibannya hening malam nanti
menampakkan diri.

Jika malam nanti
mimpi tidak juga kembali
tandanya saya tenang hati
kerana mimpi saya menari-nari
bila mana fikiran saya ditabiri
cerita-cerita yang menganggu emosi
berputar-putar dalam kotak memori.

~CNM, 17/4/11, 15.51 pm~

jika saya jadi burung

Saya berbaring sejenak di muka pintu
lantas terdengar murai berlagu
agaknya di reranting jambu
rumah jiranku
apapun tak kisahkan itu
suaranya riang mendayu
bahagia meniti hari yang berlalu
jika saya jadi burung murai itu
akan saya sampaikan kata taati Allah yang satu
jangan ragu
itu iktikad yang jitu.

~CNM, 17/4/11, 12.42 tgh~

Saya sedar

Saya sedar
saya telah menulis panjang lebar
moga saya tak tersasar
berpesan-pesan memberi sedar
jangan kita melampaui pagar
seperti yang telah Rasulullah war-war
amalkan perbuatan yang sejajar
tinggalkan perbuatan yang diselar
selamat kita dari perkara mungkar
itulah yang wajar
kita kejar.

~CNM, 17/4/11, 12.04 tgh~

Makhluk hidup

Semua makhluk yang hidup
mungkin mendengar kita
katakan kepadanya
kita sama
kita makhluk dijadikan Tuhan
bersama kita berdoa
akan kesejahteraan berpanjangan
dapatlah kita mengabdikan diri kepada-Nya.

~CNM, 17/4/11, 11.52 am

Lihat diri

Sudah tinggi mentari
saya masih di ruang ini
menulis bait-bait kata suara hati
dititipkan sebagai suara puisi
berpesan kepada saudara dan diri sendiri
agar sentiasa melihat ke dalam diri
sebelum menuding jari
perbetulkan sahsiah budi pekerti
itu lebih baik dari mencari
salah saudara yang belum pasti
salah sendiri harus diamati
silap sendiri harus diperhalusi
moga nanti tidak terpercik air ke muka sendiri.

~CNM, 17/4/11, 11.30 am~

Saya

Saya tak ingin menyusahkan
kerana saya ingin jadi orang yang menyenangkan
kalau saya tak mampu menyenangkan
saya tak ingin jadi orang yang menyusahkan
andai pada mata kamu saya menyusahkan
saya susun sepuluh jari memohon kemaafan
kerana itu mungkin dalam ketidaksengajaan
kerana saya manusia yang tak terlepas dari kesilapan.

~CNM, 17/4/11, 11.20 am~

Takdir

Jika takdir saya tak seperti yang saya damba
saya pun bertanya kenapa saya?
awalnya berputar persoalan sehingga menyesak dada
saya cuba fikir dengan rasional minda
jika Tuhan telah memilih saya
mungkin ini satu amanah pengujian buat saya
lama kelamaan keredhaan membasahi jiwa
ketentuan-Mu saya rela
ketetapan-Mu saya terima
kerana saya yakin itu adalah yang terbaik buat saya
dan saya ingin jadi hamba yang diredha
dulu, kini dan selamanya.

~CNM, 17/4/11, 10.57 am~

Menang kalah

Untuk menang undian
kata semanis madu ditaburkan
janji-janji dipetrikan
maka tertawan pilihan
lantas kemenangan diberikan
sudah menang tiba masa melaksanakan
segala janji perlu dikotakan
jangan pula hilang dari pandangan
muncul kembali lima tahun mendatang.

Yang tak menang
akurlah anda buka pilihan
bersama bagunkan kawasan
memberikan idea dan pandangan
moga masyarakat jadi keutamaan
bukannya jadi petualang
bagai gunting dalam lipatan
merosakkan keharmonian
dikenang orang si putar alam
amatlah rugi dimurkai Tuhan.

~CNM, 17/4/11, 9.52 am~

Bila mata menerawang

Apabila mata menerawang
apakah yang dipandang?
sebelum ke seberang
sesekali lihat ke dalam sarang
sesekali lihat ke dalam diri
gali dan cari yang tak nampak diperhati
jangan cuba tutup dengan iri
bongkar segala isi
jika membarah perlu dikimoterapi
sucikan diri dari penyakit hati
hendaknya damai sanubari
bersih rohani
disukai Ilahi
beruntung ke alam abadi.

~CNM, 17/4/11, 9.09 am~

Betul

Kita sering kali merasakan kita saja yang betul
ada betul?
jika perasaan merasakan kita saja sentiasa betul
sudah tiba masanya kita perlu diperbetul
kerana mana mungkin kita sentiasa betul
ambil kira pandangan orang lain yang mungkin betul
kitalah yang perlu menilai betul-betul
jangan menolaknya sebelum didapati tidak betul
barulah tindakan kita dianggap betul
bukan awal-awal lagi melabelkan idea orang tak betul
itu tidak betul
yang tak betul kena diperbetul
perkara yang tak betul
jika diamalkan perlu dihentikan agar jadi betul
jika kita memilih yang betul kita di landasan yang betul
diredhai Ilahi itu baru betul.

~CNM, 17/4/11, 8.14 am~

Hening pagi

Pagi yang hening
titis embun berkilau bening
di hujung reranting
kicau burung meninggi nyaring
sahut menyahut seiring
mencari rezeki bersama pengiring
demi sebuah kehidupan yang bersaing
yang kuat mampu bertanding
yang lemah jadi terasing
lumrah kehidupan dah tak asing
melepaskan diri masing-masing
usah bising-bising
usah melenting
semua makhluk ambil pusing
keutamaan pada diri sendiri yang penting

~CNM, 17/4/11, 7.52 am~

16 April, 2011

Apabila malam

Apabila malam mengintai dari ufuk timur
senja kian tersipu di ufuk barat
melambai dari kejauhan
seakan ingin bersembunyi di balik kaki langit
tak ingin melihat adegan di ranjang malam
kelam malam kian menyaluti
menukar warna-warna lembaran insan
ada kupu-kupu malam berterbangan
memperdaya pandangan insan bernafsu binatang
membawa pulang ke sarang-sarang hitam
tak mempeduli catatan amalan
hingga muncul siang yang malu menatap ragam.

~CNM, 16/4/11, 19.12 pm~

14 April, 2011

Tari sumbang

Rentak tarian yang kau tarikan
tidak senada dengan lagu yang kau nyayikan
usah kesal andai tiada hati yang sudi mendengar
kau gula-gula mereka dengan kata-kata hambar
kau kenyangkan mereka dengan janji manis
namun kau tidak sedar mereka luka terhiris
kerana sepuluh yang kau katakan
sepuluhlah yang kau dustakan
ingatlah kawan
takkan mampu kamu hidup dalam kepuraan-puraan
binasalah mereka yang melampaui batas
kembalilah mentaati Yang di Atas.

~CNM, 14/4/11, 18.25 pm~

12 April, 2011

Guano

Guano senyap belako
nok kato male Jumaat
baru male rabu
kije berat ko blako pete tadi?
ambo po nak masuk tido
saing-saing tak sir joget tange male ni
sunyi sepi tak memberahi
puisi jadi mati terenti.

~CNM, 12/4/11, 23.12 pm~

Laut kasihmu

Laut kasihmu yang beralun selembut sutera
membawa bayu sedingin salju ke kamar jiwa
menghangatkan gelojak asmara
naluri kelakianku digoda
pada asyiknya bicara kata cinta
yang engkau bisikkan ke telinga
dengan lirih nan manja
aduhh!!! bagai di syurga dunia.

~CNM, 12/4/11, 21.10~

Kasihku kasihmu



Kasihku kasihmu

Kasihku kasihmu
menyatu padu sejak dulu
moga kekal begitu
suci dalam ikatan yang satu
syukur kepada-Mu
mengurniakan kasih jitu
di antara kami hamba-Mu.

~CNM, 12/4/11, 14.15 pm~

11 April, 2011

Plastik realiti

Plastik realiti

Kehidupan kini
di ambang realiti
hanya bersifat plastik mengaburi
lihatlah lakonan insan sungguh ngeri
berlagak baik ala menteri
tapi sebenarnya penyanggak licik sekali
memperdaya mangsa tanpa mempeduli
asalkan kantung penuh berisi
boleh joli sana sini
atas kesengsaraan bangsa sendiri.

CNM, 11/4/11, 22.56 pm

Bila upaya dah tak kaya

Bila upaya dah tak kaya
bila lemah dah naik lemak
tandanya usia dimamah masa
sedarlah tenaga tidak lagi memihak
badan kena jaga
moga bertahan untuk anak-anak
amalkan gaya hidup sihat
kawal pemakanan jangan main rembat
penyakit pun tak melekat
hidup selamat.

CNM, 21.30 pm, 11/4/11.

Dalam cinta

Dalam cinta
kepastian membening kesetiaan
kesetiaan permata impian
dalam sebuah hubungan
kesamaran membuncah resah
hilang keyakinan
pada jalinan persahabatan
yang tak disirami kata kesungguhan.

CNM, 11/4/11, 21.21 pm

10 April, 2011

Cinta besi karat

Cinta besi karat

Cinta besi menyakit hati
hilang segala besi
kerana dicuri
ini kerja konon cari rezeki
hak orang tak dipeduli
janji dapat sesuap nasi
cinta besi karat menjadi-jadi
trend masa kini
cari duit buat joli
sana sini.

~CNM, 10/4/11, 22.20 pm~

Jika malam mampu bicara

Jika malam mampu berbicara
akan dibisikan kata kecewa
kepada alim ulama
kerana ramai sunggup manusia
leka dan alpa dengan urusan dunia
melupakan ajaran agama
berpeleseran jantan betina
tak takut dosa.

Ya Rahman Ya Rahim
kurniakan cahaya ketaqwaan
kepada seluruh insan
agar kembali kepada syariat-Mu Tuhan
meninggalkan segala larangan
mengamalkan segala suruhan
moga nanti dijauhkan dari siksaan
dilindungi dari malapetaka balasan
yang telah Engkau janjikan.

~CNM, 10/4/11, 20.47 pm~

Hari hari yang pergi

Apa pun yang kita bicarakan
apa pun yang kita luahkan
apa pun yang kita dambakan
sedarlah kawan
hari hari yang pergi
malam yang berganti siang
siang yang berganti malam
memberi tanda
masa dan waktu untuk bersama
kian mengecut
amatlah rugi
jika baki masa ini
disia-siakan dengan sengketa
dipisah-pisahkan dengan rajuk gila
kerana selepas ajal tiba kita belum tentu bahagia.

~CNM, 10/4/11, 19.19 pm~

Anakku



Kian remaja kamu
kamu sentiasa dalam bola mataku
keletahmu jadi penawar lelahku
tak penah rasa jemu
mendidikmu
dari dua jari besar tapak kakimu
hingga kini kamu mampu
berdiri sendiri sebaya usiamu
moga kamu direstu
dalam perjalanan hidupmu.

CNM, 10/4/11, 16.16 pm

Budu

Tak asing bagiku
semua orang pun tahu
makanan dari pantai timur itu
dicicah dengan ulam membangkit selera makanku
genuak, jering, petai jadi regu budu
ulam-ulaman petua awet muda jangan diragu
cubalah kalau nak tahu
pekena sekali nak selalu
hu hu hu.

~CNM, 10/4/11, 15.33 pm~

09 April, 2011

Suci Alam

Sore ini

Sore ini
dalam kelam pandangan
ternampak kelibat bayang-bayang silam
seakan mengejar laju dalam ruang masa
menerjah ke pintu akal
menerawang ke lorong-lorong ingatan
lalu layar igauan memutar mainkan
kisah jerih perit suka duka
tawa ria bersulam deraian air mata
yang membangkitkan keazaman
mengejar impian
berdiri sama tinggi
dengan idola kampunganku
yang berada di puncak menara kejayaan.

~CNM, 9/4/11, 19.20 pm~

08 April, 2011

Melawak

Melawak
buat orang ketawa terbahak
tapi hati awak
macam mana pulak?
boleh gelak?
tak retak?
tak menyentak?
bukan menempelak
cuma hati sendiri perlu diletak
ditempat yang layak
untuk melawak.

~CNM, 8/4/11, 22.49 pm~

Saya diam bukan bisu

Saya diam bukan bisu
diam dengan mata bulat terbuka
melihat memerhati meneliti
tajam menyerap warna
apa sudah jadi?
dengan pentas opera kehidupan
makin berbelit jalan cerita
menimbulkan resah khalayak
sehebat mana pelakonnya
bila dimamah waktu
meniti masa
yang benar pasti tersurat
maka akan terjerut
di tali sandiwara sendiri
mengubur moral diri
memacak nesan sebelum ajalnya.

~CNM, 8/4/11, 20.42 pm~

06 April, 2011

Aku tidak tahu

Aku tidak tahu
bahan bakar apa menunggu
khabarnya ada yang terbakar
memang aku terbakar dek bahang mentari
mungkin esok hatiku akan terbakar
dengan berita yang jadi bahan bakar
moga bahan bakar ini mesra dengan hati
jika sudah ditakdirkan
aku terima
aku redha
ketetapan-Mu terbaik untuk kami.

~CNM, 6/4/11, 22.55 pm~

05 April, 2011

Aku tidak marah

Aku tidak marah
jauh sekali merajuk
cuma hati tidak lagi ingin bersuara
biar hatiku jadi bisu
biar hati dipagari segugus pendam
kelak nantinya ia berguguran
jatuh ke perdu ketenangan
jiwa aku jadi kebas
nurani aku jadi beku
pada sebuah cerita yang sama
yang diulang-ulang tabirkan
pada layar tak berbingkai
yang zahirnya tak pernah kelihatan.

~CNM, 5/4/11, 22.10 pm~

Kerana apakah derai air matamu?

Kerana apakah derai air matamu?
kerana sebuah cinta
kerana sebuah derita
kerana sebuah penyesalan atas dosa
kerana rasa takut akan janji-janji balasan yang Esa
atau hanya kerana sebuah lakonan semata
mencari simpati pada mata yang lemah leka
gagal mengesani sandiwara air mata.

~CNM, 5/4/11, 21.40 pm~

Terima kasih Bonda

Saat aku kehilanganmu
terasa goyah biduk pelayaranku
aku jadi takut dilambung gelombang kehidupan
aku jadi takut hilang arah perjalanan
kerana bagiku
kamu umpama tiang layar
yang tegak berdiri
menyokong
kala layarku ditiup angin
membawa bidukku rentasi masa
kekal teroleng-oleng
di puncak lambungan alunan arus
namun pesananmu
tinggalkan aku kekuatan
menempuh
meredah
apa jua
terima kasih bonda.!!!

~CNM, 5/4/11, 21.10 pm~

03 April, 2011

Aku

Aku di sini
bukan untuk menyakiti
dan lagi
jika ada yang benci
tidak jadi daki
aku datang menitip kata puisi
berpesan-pesan pada diri
jua pada yang sudi
perjalanan ini tidak abadi
aku mencari keredhai Ilahi
dirahmati dalam hidup sedetik ini
mengharapkan kurniaan firdausi
di sana yang belum pasti.

~CNM, 3/4/11, 21.41 pm

Jujur

Si hitam yang jujur
jadilah sepertinya
tidak pernah mendusta
yang dizahirkan pada tampuknya
itulah isinya
jujur pada kata
jujur di hati.

~CNM, 3/4/11, 21.33 pm~

Kemenjadian

Kemenjadian insan
bila patuh kepada suruhan
meninggalkan segala larangan
menyempurnakan segala suruhan
diberkati Tuhan
mendapat kurniaan nur keimanan
berbahagialah insan
rahmat dan restu yang berpanjangan
menuju hari akhiran.

~CNM, 3/4/11, 12.04 tgh~

Bila alam tak lagi mesra

Alam juga ada batasannya
usah leka dan alpa
berpada-pada mengecah alam semesta
alam akan tunjuk bicara
bila manusia melampaui batasannya
hujan asid melanda
jerebu kian melata
sungai sarat bahan kimia
udara semakin berbisa
ribut dan taufan menggila
tsunami meragut nyawa
bumi bergempa
valcano memuntah isinya
manusia tak berdosa jadi mangsa
atas tangan-tangan yang lupa
sesedap rasa mengubah dunia.

~CNM, 3/4/11, 11.57 am~